View Categories

(17) Surah Yusuf: Ayat 58-62

11 min read

Abang-Abang Yusuf Datang Membeli Makanan, Yusuf Minta Bawa Adik Bunyamin & Diberi Makanan Yang Banyak.

♥ Live Pagi Ahad 18/01/2026 / 28 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (18) Ayat [58-62] ♥

Full video: https://youtu.be/fQJSiGil4KA?si=Ihn36Gqa3FgHlVUA

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 58 sehingga ayat 62 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang pertemuan pertama antara Yusuf dan 10 orang abang-abangnya.

Mereka tidak cam & tidak kenal Yusuf yang sudah berubah menjadi dewasa dan hebat. Yusuf pula terus cam & kenal mereka!

*Mereka datang dari Kan’an (كنعان), Palestin untuk membeli makanan pada musim kemarau yang melanda Mesir dan negara sekitarnya- ini adalah hasil perancangan ekonomi yang dibuat oleh Yusuf- Mesir mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan boleh dijual juga!

  1. Setelah bertanya khabar dan siasat tentang keadaan mereka & keluarga mereka- Yusuf minta mereka membawa adik bongsu mereka Bunyamin ke Mesir selepas ini.
  2. Yusuf berjanji bahawa mereka akan diberi bekalan makanan yang banyak jika mereka berjaya membawa adik mereka itu jika mahu datang mengambil makanan lagi.
    Jika tidak, mereka tidak akan dapat berjumpa dia lagi.
  3. Kedatangan Yusuf ke Mesir menjadi rahmat kepada Mesir dan apabila saudaranya datang ke Mesir mereka berjumpa Yusuf.

Selebihnya dari apa yang Allah nyatakan tentang kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran ini adalah lebih kepada cerita Israiliyyat!

Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Yusuf yang menafsirkan mimpi raja bahawa negeri Mesir akan ditimpa ujian 7 tahun yang subur & 7 tahun yang kemarau yang memberi kesan kepada negeri sekeliling mereka juga!

Yusuf juga telah membuat perancangan dan persediaan rapi bagi menghadapi fenomena ini!

ii- maka dalam ayat ini- apabila tiba 7 tahun musim kemarau dan tanaman semua kering- Mesir sudah bersedia menghadapinya- bahkan ramai penduduk dari luar yang datang membeli bekalan makanan dari mereka.
Ini termasuklah saudara-saudara Yusuf yang 10 orang dari Kan’an Palestin.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَجَآءَ إِخْوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَعَرَفَهُمْ وَهُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ ‎﴿٨٥﴾

Ayat 58- {Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.} (Yusuf 12:58)

  1. Apabila tiba musim kemarau, 7 tahun yang telah dijangkakan- Nabi Ya’qub menghantar 10 anaknya yang besar untuk ke Mesir bagi mencari bekalan makanan.

Manakala adik yang bongsu Bunyamin tidak dibenarkan pergi, tinggal bersama bapa mereka di Kan’an, Palestin!

  1. Apabila mereka masuk ke istana- Yusuf terus cam & kenal mereka sebagai saudara-saudaranya yang 10 orang dulu tetapi mereka tidak mengenalinya!

Biasalah anak kecil akan berubah dengan perubahan yang ketara sehingga boleh tidak dikenali apabila dewasa- manakala orang sudah dewasa tidak banyak perubahannya- hanya menua sahaja.

  1. Setelah Yusuf berjaya memastikan benar mereka adalah adik-beradiknya; Yusuf lalu melayan mereka dengan baik dan penuh penghormatan.

Serta mengambil peluang untuk menyiasat dan bertanya khabar tentang bapa & adiknya Bunyamin.

Mereka pun menceritakan segala kisah keluarga mereka!

وَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ قَالَ ٱئْتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّنْ أَبِيكُمْ ۚ أَلَا تَرَوْنَ أَنِّىٓ أُوفِى ٱلْكَيْلَ وَأَنَا۠ خَيْرُ ٱلْمُنزِلِينَ ‎﴿٩٥﴾‏

Ayat 59- {Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:” (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?} (Yusuf 12:59)

  1. Apabila mereka mahu pulang dengan segala bekalan yang diperolehi- Yusuf mula menjalankan rancangannya.
  2. Yusuf mengatakan jika mahu datang lagi selepas ini- dia minta agar mereka membawa bersama saudara mereka yang sebapa.

Ini berdasarkan cerita mereka sendiri kepada Yusuf selama di Mesir bahawa mereka ada seorang lagi adik yang tidak datang dan tinggal bersama bapa mereka.

  1. Yusuf mengungkit kepada mereka: Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?

Yakni mungkin walaupun duit yang mereka bayar sedikit tetapi bekalan yang mereka dapat adalah banyak & cukup serta mereka dilayan sebagai tetamu yang istimewa!

فَإِن لَّمْ تَأْتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيْلَ لَكُمْ عِندِى وَلَا تَقْرَبُونِ ‎﴿٠٦﴾

Ayat 60- {Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi”.} (Yusuf 12:60)

  1. Yusuf bertegas dan membuat syarat yang ketat kepada mereka!
    Yakni seolah mengugut mereka- wajib bawa adik mereka; jika tidak tiada bekalan!
  2. Yusuf berkata: Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka-
    i- tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku,
    ii- dan janganlah kamu menghampiriku lagi!
  3. Yakni Yusuf ugut mereka jika tak bawa adik mereka selepas ini- dia tak akan memberikan bekalan makanan kepada mereka atau dia tidak akan mahu berjumpa dengan mereka lagi!
  4. Kata ulama’ tentang ini:
    i- tak boleh masuk ke Mesir terus & tidak seperti belakan manakan!

*Tetapi pandangan ini tidak berapa diterima.

ii- ada kata boleh masuk Mesir cuma tidak akan dapat keistimewaan untuk berjumpa Yusuf & dapat makanan darinya sendiri sebagai layanan istimewa & bekalan yang banyak!
*Ini pandangan yang masyhur.

قَالُوا۟ سَنُرَٰوِدُ عَنْهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَٰعِلُونَ ‎﴿١٦﴾‏

Ayat 61- {Mereka menjawab: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.} (Yusuf 12:61)

  1. Saudaranya menjawab dengan berat hati: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.
  2. Mereka berjanji akan cuba sedaya-upaya untuk pujuk & rayu bapa mereka Nabi Ya’qub untuk lepaskan Bunyamin bermusafir berama mereka ke Mesir bagi mendapatkan belakan sebagaimana yang dipinta Menteri!!!
  3. Ini kerana mereka tahu bukan mudah untuk memujuk bapa mereka bagi mendapatkan kebenaran bapa mereka untuk membawa keluar Bunyamin.

*Ini kerana bapa mereka sudah perit & kesal dengan apa yang terjadi terhadap Yusuf!

  1. Kata ulama’ tafsir janji mereka untuk berusaha memujuk ini {سَنُرَٰوِدُ عَنْهُ} menunjukkan kepada sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan!

وَقَالَ لِفِتْيَٰنِهِ ٱجْعَلُوا۟ بِضَٰعَتَهُمْ فِى رِحَالِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَعْرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَهْلِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ‎﴿٦٢﴾

Ayat 62-{Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)”.} (Yusuf 12:62)

  1. Bagi memastikan mereka akan datang lagi selepas itu- Yusuf memerintahkan orang suruhannya untuk mengembalikan semula barang dagangan mereka yang digunakan untuk membayar harga bekalan makanan.

2.Kata ulama’: Barang dagangan ini samada:
i- duit dirham untuk membayar dengan matawang atau barang.

ii- memang barang juga yang menjadi sistem tukaran barang perdagangan (sistem barter) pada zaman dulu.

  1. Kenapa Yusuf buat begini?
    i- supaya mereka tahu pemerintah Mesir tak ambil pun duit atau bayaran mereka.

ii- agar mereka ada modal untuk datang semula nanti bagi membeli semula.

iii- supaya mereka tahu Yusuf sebagai pemerintah yang baik & pemurah- maka ini sebagai galakan untuk mereka datang lagi.

  1. Semua ini akan menyebabkan abang-abangnya tertarik untuk datang lagi dan akan berusaha bersungguh untuk membawa adik mereka itu bagi mendapat bekalan makanan yang banyak!
    Ini kerana cukup syarat apa yang dibuat oleh Yusuf.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 58- {Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.}- apabila saudara Yusuf datang untuk mengambil bekalan makanan di Mesir- mereka terus dapat berjumpa dengan Yusuf!

Kata ulama’ al-Biqa’i: Ayat ini menunjukkan Yusuf a.s sebagai Menteri turun padang sendiri- amanah dan bekerja sendiri tidak hanya lepaskan tugas kepada para pegawainya sahaja.

Jadi Yusuf jaga dan pantau sendiri ekonomi negara kerana keadaan sedang gawat- maka tidak akan berlaku kebocoran dan ketirisan- bekalan makanan akan cukup dan dapat diagihkan kepada yang memerlukan dengan adil dan saksama!!

Inilah orang yang amanah dan bertanggung-jawab!
Yusuf turun padang, buat kerja sendiri bukan hanya mengarahkan pegawainya sahaja buat itu ini!

Sesiapa yang memegang jawatan seperti para Menteri kena turun padang, jumpa rakyat, dengar masalah mereka serta kena buat kerja sendiri setakat yang boleh sebagaimana yang dibuat dan ditunjukkan oleh nabi Yusuf a.s.

Ada orang ini dia tidak tahu apakah tugas dan tanggung-jawabnya yang sebenar!

Saudara Yusuf dapat berjumpa dengan menteri Yusuf- Yusuf kenal mereka & mereka lansung tidak kenal Yusuf. Ini kerana:

i- kerana berubah rupa.
Yusuf yang dulu kecil sekarang sudah dewasa maka pastilah besar perubahannya apabila dewasa.
Yusuf pula masih cam mereka kerana mereka sudah besar dan dewasa ketika melakukan jenayah ke atasnya dulu.
Mereka pula ramai- tak cam seorang pasti ada yang lain yang dapat dikenali oleh Yusuf.

ii- kerana berubah tempat atau keadaan. Mereka tidak menyangka Menteri itu adalah Yusuf!
Ini kerana mereka telah menjual Yusuf dengan harga yang murah pasti mereka tidak sangka Yusuf akan mempunyai kedudukan yang tinggi begitu!

  1. Ayat 59- {Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:” (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?}- selepas buat kebaikan kepada mereka dengan beri bekalan yang adil- Yusuf beri syarat kepada abang-abangnya- nanti nak datang pula- mesti kena bawa adik mereka yang tak datang itu.

Untuk menyedapkan hati mereka Yusuf mengingatkan mereka:

i- dia telah memberikan bekalan makanan yang banyak & cukup kepada mereka.

ii- dia juga telah menjadikan mereka sebagai tetamunya yang istimewa, yang mendapat kemudahan dan tempat tinggal yang baik di Mesir.

Kata ulama’: Boleh seseorang itu puji dirinya sendiri yang memang terpuji, boleh sebut kebaikan yang dibuat untuk menarik kebaikan yang lain.
Tetapi jika puji diri sendiri sebab saja nak
Jadi glamor tak boleh

Apabila Yusuf sebut bahawa dia ini seorang yang baik, suka bersedekah & suka menerima tetamu- ini akan menyebabkan abang-abangnya tertarik hati & suka untuk datang lagi dan berkawan dengan Yusuf.

Tidak ada sebab untuk curiga kepadanya- mereka kena kenang budi & ingat jasanya!

Yusuf buat begitu sebagai langkah untuk dia dapat berjumpa kembali dengan bapanya Nabi Ya’qub dan membawanya dan semua keluarganya ke Mesir.

Inilah antara taktik dan cara untuk menawan hati orang- kita kena sebut kebaikan yang telah kita buat kepadanya!

Jadi Nabi Yusuf sebut kebaikan yang telah dibuatnya terhadap adik-beradiknya supaya mereka lebih cenderung mendengar katanya!

Kata pepatah: Kerana buat baik kepada orang; kita akan dapat tawan hati orang!

  1. Ayat 60- {Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi”.}-

Yusuf mengingatkan mereka dengan tegas- jika tak bawa adik mereka selepas ini- tak akan dapat bekalan makanan dari Yusuf lagi!

Ini menunjukkan pentingnya seorang pegawai atau ketua itu bertegas dalam sesuatu organisasi.
Jika kita terlalu berlembut orang tidak akan dengar kata!

Apa-apa prosedur dalam mana-mana organisasi kena tegas & ikut SOP peraturan yang ada- seorang ketua kena baik tetapi tegas- bukan hanya main-main, cincai-cincai (loleh-loleh) tak ikut prosedure & peraturan yang ada nanti orang akan naik atas kepala!

Jangan langgar SOP, mesti kena tegas & ikut proses!
Seorang ketua kena ada ketegasan tetapi bukan zalim tidak juga cuai!

  1. Ayat 61- {Mereka menjawab: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.}- maka mereka berjanji kepada Yusuf akan usahakan untuk membawa adik mereka, akan minta izin dari bapa mereka nabi Ya’qub.

Tetapi mereka juga nyatakan bahawa tidak mudah untuk mendapat keizinan bapa mereka- mereka tak boleh jamin untuk bawa tetapi akan berusaha.

Ini kerana peristiwa pahit yang berlaku ke atas Yusuf sebelum ini yang menyebabkan bapa mereka tidak percaya lagi kepada mereka!

Jadi mereka tak boleh nak jamin berjanji tetapi mereka akan cuba usahakan!

Ini membawa pengajaran kepada kita bahawa walaupun nampak susah setara mana pun sesuatu perkara itu- kita jangan cepat mengalah; kena cuba & berusaha dulu sedaya-upaya jangan lari dulu, mengalah sebelum berjuang atau berpantang ajal sebelum mati!

Tetapi akhirnya bapa mereka Ya’qub melepaskan Bunyamin untuk pergi bersama saudara-saudaranya!

Sedangkan jika kita fikir secara logik tak mungkin dia akan mengizinkan kerana apa yang terjadi pada Yusuf.

Kita katakan Ya’qub sebagai seorang nabi pasti dia ada wahyu dari Allah bahawa Yusuf masih hidup dan berada di Mesir.

Serta mimpi Yusuf sewaktu kecil dulu menunjukkan bahawa Yusuf tidak akan hilang begitu saja bahkan dia akan menjadi seorang yang terhormat dan mulia!

  1. Ayat 62-{Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka,…}-

Yusuf menyuruh pegawainya meletakkan balik barang dagangan saudara-saudaranya ke dalam bekas simpanan bekalan yang akan mereka bawa pulang.

Ini untuk melembutkan hati mereka untuk datang lagi kembali berjumpa Yusuf dan cuba penuhi permintaannya!

Istilah saja {barang-barang dagangan mereka- بِضَـٰعَتَهُمْ}- barang itu bukan lagi milik mereka kerana sudah menjadi tukaran atau bayaran untuk bekalan makanan yang mereka dapat!

Tetapi kerana asalnya barang mereka; maka Allah sebut sebagai {barang-barang dagangan mereka- بِضَـٰعَتَهُمْ}- yakni bekas barang mereka dulunya.

Seperti kita kata: Ini kereta saya dulu- sedangkan kita sudah menjualnya dan jadi milik orang lain!
Bekas milik atau mantan istilah hari ini.

Begitulah uslub al-Quran yang cukup indah dan terperinci.

Kita jumpa esok tengok apa respon Nabi Ya’qub apabila anak-anaknya balik membawa kisah mereka di Mesir & permintaan Yusuf a.s.

Wallahu a’lam.


UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 18/01/2026 / 28 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1XzUM4k1K2/

Semoga Bermanfaat!

← Back

Thank you for your response. ✨ #

Rating(required)

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top