View Categories

(19) Surah Yusuf: Ayat 67-68

12 min read

Nabi Ya’qub A.S Wasiat Kepada Anaknya, Masuk Pintu Berasingan & Hazar (Beringat)Tidak Lepas Dari Qadar.

Live Pagi Selasa 20/01/2026 / 01 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (19) Ayat [67-68]

Full video: https://youtu.be/VrWU_tZyQ9c?si=cafGtv9lM-dnsIf-

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 67 dan ayat 68 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Nabi Ya’qub meluluskan dan memberi keizinan kepada 10 orang anak lelakinya untuk membawa adik mereka Bunyamin ke Mesir bagi mendapatkan bekalan makanan.
  3. Maka Nabi Ya’qub A.S berwasiat kepada anaknya, untuk melakukan beberapa perkara seperti masuk melalui pintu berasingan.

Dikatakan pintu masuk ke Mesir ada empat lalu mereka disuruh berpecah kepada beberapa kumpulan masuk melaluinya.

  1. Ini kerana untuk menjaga keselamatan mereka juga agar lebih berhati-hati:

i- tidak mahu menarik perhatian orang ramai dengan kedatangan mereka yang ramai.

ii- kerana takut penyakit ain, kerana mereka terdiri daripada pemuda yang tampan dan elok rupa-parasnya terutama adik mereka Bunyamin,.

  1. Semua perbuatan itu tidak ada apa-apa kelebihan; kecuali untuk menunaikan hajat Nabi Ya’qub yang mahu mereka berhati-hati!

Tetapi semua itu, hazar (beringat & berhati-hati) tidak akan lepas dari qadar Allah s.w.t.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang anak-anak nabi Ya’qub memujuk bapanya untuk memberi keizininan kepada mereka untuk membawa adik bongsu mereka Bunyamin ke Mesir bagi medapatkan bekalan yang banyak & istimewa.

ii- selepas memberikan persetujuannya kepada mereka- nabi Ya’qub memberi wasiat dan beberapa pesanan untuk anak-anaknya; untuk berjaga-jaga dan berhati-hati bagi menjaga keselamatan dan kebaikan mereka, lebih-lebih lagi kerana ada si bongsu Bunyamin bersama mereka!

Tetapi dalam masa yang sama, Nabi Ya’qub menyerahkan segalanya kepada taqdir Allah s.w.t!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَقَالَ يَٰبَنِىَّ لَا تَدْخُلُوا۟ مِنۢ بَابٍ وَٰحِدٍ وَٱدْخُلُوا۟ مِنْ أَبْوَٰبٍ مُّتَفَرِّقَةٍ ۖ وَمَآ أُغْنِى عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۖ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُتَوَكِّلُونَ ‎﴿٧٦﴾

Ayat 67- {Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.} (Yusuf 12:67)

  1. Nabi Ya’qub a.s memberi pesanan kepada anak-anaknya agar jangan masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.
  2. Dikatakan dalam sejarah, Mesir mempunyai empat buah pintu utama yang besar untuk masuk ke negaranya.

Jadi Ya’qub mahu anak-anaknya berpecah kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil dan masuk melalui pintu yang berlainan, jangan masuk sekaligus semuanya melalui satu pintu sahaja.

  1. Tujuannya adalah supaya mereka:
    i- sebagai orang luar yang mempunyai bentuk pakaian yang sama dan ramai pula- tidak akan menarik perhatian orang ramai sebagai satu kumpulan orang asing yang ramai, yang boleh menimbulkan curiga dan kesangsian orang ramai.

ii- supaya mereka tidak kena penyakit ain- iaitu penyakit mata dengan pandangan yang jahat!

Ini kerana mereka semua elok paras rupanya dan sempurna juga bentuk tubuh-badannya- tampan dan cukup inci!

Menyebabkan orang mudah kagum dan terpegun lalu menimbulkan pandangan ain atau hasad dengki yang boleh membawa bencana.

*Ini adalah pandangan ramai ulama’.

  1. Tetapi Ya’qub berpesan juga kepada anak-anakanya: Semua ini hanya langkah atau usaha dari pihaknya saja: ..{ dengan nasihatku ini tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah.}
  2. Kata-kata hikmah:
    لا يُغْنِي حَذَرٌ من قَدَرٍ
    Langkah keselamatan dan hati-hati yang kita buat; tidak semestinya akan menyelamatkan kita dari taqdir Allah.

*Namun wajib berusaha dan ambil langkah berhati-hati dulu sebelum tawakkal kepada Allah.

  1. Allah akan putuskan dan buat ke atas hamba-Nya apa yang Dia buat!

Kamu mahu dan aku mahu- tetapi Allah akan buat apa yang Dia mahu!

Tetapi jangan lupa usaha dan langkah berjaga kena buat & kena ada barulah tawakkal kepada Allah!

  1. Yakni dalam masa yang sama nabi Ya’qub berserah diri & tawakkal kepada Allah kerana dia tahu hanya Allah jualah yang boleh menjaga & menolak segala bala-bencana!!!
  2. Sebagaimana penutup ayat ini- kata-kata Nabi Ya’qub yang tinggi tawakkalnya: {KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.}

وَلَمَّا دَخَلُوا۟ مِنْ حَيْثُ أَمَرَهُمْ أَبُوهُم مَّا كَانَ يُغْنِى عَنْهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ إِلَّا حَاجَةً فِى نَفْسِ يَعْقُوبَ قَضَىٰهَا ۚ وَإِنَّهُۥ لَذُو عِلْمٍ لِّمَا عَلَّمْنَٰهُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ‎﴿٨٦﴾

Ayat 68- {Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).} (Yusuf 12:68)

  1. Munasabah ayat dengan ayat yang lepas:
    i- setelah diberi wasiat oleh nabi Ya’qub, anak-anaknya pun memulakan perjalanan ke Mesir.

ii- apabila tiba di Mesir mereka pun buatlah apa yang dipesan oleh bapanya!

  1. Iaitu setibanya di Mesir- anak-anak Nabi Ya’qub masuk Mesir melalui pintu yang berlainan menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka.

Semua itu untuk menunaikan hajat yang terpendam dalam hati bapa mereka.
Ini menunjukkan mereka anak yang baik dan mendengar kata bapa mereka.

  1. Walaupun begitu:
    i- tidaklah perintah bapa mereka Ya’qub itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun,

ii- tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub dan mereka telah menunaikannya!

  1. Ini kerana apabila selesai urusan dan nak balik- mereka telah dituduh mencuri bejana (bekas) raja, dan adik mereka Bunyamin yang ditahan oleh polis istana.
    Taqdir Allah adik mereka tidak dapat balik.
  2. Tetapi sebenarnya itu semua hanya helah Yusuf untuk menahan adiknya di Mesir bersamanya!
    Tidak sesekali adiknya mencuri bejana raja itu!

Hanya untuk dijadikan sebab & alasan dia tidak dapat balik dan keluar dari Mesir!

  1. Begitu juga pada zaman sekarang ini- ada orang yang memang dituduh buat jahat atau jenayah (framed) dengan diletakkan bahan bukti di dalam beg, kereta atau rumahnya!

Berhati-hatilah dan kita minta perlindungan dengan Allah selalu dari kejahatan dan kezaliman ini di mana saja kita berada!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 67- {Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.}-

Kata ulama’: Manusia kena berusaha dengan sebab-musabab yang boleh menyelamatkannya atas dunia ini!

Seperti jika sakit pergi jumpa doktor di hospital, cari ubat atau jumpa orang yang boleh ruqyah, urut dan seumpamanya!
Kita kena ambil jalan selamat yang boleh menyelamatkan!

Tetapi jangan lupa tawakkal kepada Allah kerana kita boleh beli atau cari ubat tetapi kita tidak boleh beli kesembuhan!

Kita boleh beli atau cari apa saja tetapi belum tentu kita akan dapat apa yang kita nak!

Sebagaimana kata ulama’

لا يُغْنِي حَذَرٌ من قَدَرٍ

Langkah keselamatan dan hati-hati yang kita buat; tidak semestinya akan menyelamatkan kita dari taqdir Allah.

Namun begitu wajib kita berusaha dan ambil langkah berhati-hati dulu!

Sebagaimana nabi Ya’qub yang tahu dan beriman dengan rukun ini- terus menyatakan bahawa semua pesanannya itu hanya sebagai usaha darinya- semuanya terserah kepada taqdir & kehendak Allah yang mengatasi segalanya!

Ayat ini juga megajar kepada kita umat Islam: Jika kita tahu tentang sesuatu perkara yang tidak baik & tidak elok; wajib kita nasihat kepada kawan kita tentangnya!

Jik tidak nasihat kita dikira tidak bertanggung-jawab dengan ilmu yang kita ada!

  1. Ayat 67- {… Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.}-
    Nabi Ya’qub terus memberitahu kepada anak-anaknya bahawa pesanannya itu hanyalah yang lahir dari hatinya sahaja; tetapi ia tidak menjamin akan dapat menyelamatkan mereka dari apa saja yang telah Allah tetapkan atau taqdirkan!

Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Ya’qub telah meletakkan sifat tawakkal & redha kepada Allah dari awal-awal lagi!

Kata ulama’ aqidah:

لا نرضى بما حدث ولكن نرضى بما قضي الله

Kita orang mukmin tidak redha dengan musibah yang berlaku tetapi kita terima & redha dengan apa yang ditaqdirkan Allah!

Yakni kita tidak mahu akan musibah & ujian yang berlaku tetapi kita terima taqdir Allah.

Maka:
i- pertama: kita kena usahalah untuk mengelakkannya, ikhtiar ambil langkah berhati dan seumpamanya.

Kita tidak redha yakni kita tidak mahu sakit, bala musibah apa semua itu.

ii- kedua: tetapi bila dah kena kita kena sabar terimanya sebagai taqdir Allah dan wajib berusaha pula untuk berubat atau menghilangkannya!

Nabi Ya’qub berkata kepada anak-anaknya bahawa kita tidak akan dapat menolak taqdir Allah; tetapi kita usahalah cuba ikhtiar, buat dulu sebagaimana yang aku suruh.

Kita lihat saja kepada apa yang berlaku dalam hidup kita atau orang lain juga yang melaluinya.

Betapa ada beberapa perkara yang jika kita guna logik akal atau perasaan kita- tidak mungkin kita akan dapat mencapainya atau tak sangka akan lepas!

Tetapi apabila kita berusaha dan bersungguh mencubanya kita akan dapatnya dan mencapainya!

Kerana itu kita tidak boleh tolak taqdir dan menetapkan keputusan sendiri!

  1. Ayat 67- {Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.}-
    Nabi Ya’qub menyuruh anak-anaknya masuk melalui pintu yang berasingan, jangan melalui satu pintu saja kesemua 11 orang itu!

Majoriti ulama’ mengatakan: Ayat ini mengisbatkan bahawa penyakit ain atau bala hasad dengki ini memang wujud.

Hadis Nabi S.a.w tentang penyakit ain ini:

i- riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ
Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”

ii- hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi S.A.W bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya).
Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah. [HR Muslim (5831)].

Kata orang Arab:
“العين تدخل الرجل القبر، وتدخل الجمل القدر”
“Sesungguhnya ‘ain boleh memasukkan seseorang ke kubur dan unta ke dalam periuk (mati lalu dimasak).”

*Walaupun ada yang mengatakan kerana takut menimbulkan curiga orang ramai terhadap mereka sebab orang asing yang ramai-ramai.
Tidak mengapa kita boleh campur kedua sebab ini bersama!

Kerana itu ibu bapa jangan over terlampau menunjukkan anak-anak apatah lagi bayi yang comel di media sosial, atau keputusan periksa anak yang cermerlang, kekayaan atau kebahagian hidup kita; tak perlu tayang tunjuk sehingga boleh menimbulkan kata-kata buruk atau hasad dengki orang lain!

Berpadalah dalam menunjuk dan menayang hidup kita untuk tatapan umum kerana kita tidak tahu apakah yang akan berlaku kelak dan bukan semua orang suka dengannya!

  1. Ayat 67- {Dan ia berkata lagi: …. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah.}-

Nabi Ya’qub mengembalikan segala urusan & taqdir kepada Allah s.w.t.

Katanya: Sesungguhnya kuasa menetapkan sesuatu sebab dan musabab itu hanya tertentu bagi Allah.

Taqdir Allah s.w.t yang kauni pasti akan terjadi- Allah telah sediakan blue-printnya sejak awal lagi.

Sebuah hadis Nabi s.a.w menyatakan bahawa Allah telah mencatat takdir setiap makhluk sejak 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi, sementara Arasy-Nya berada di atas air.

Ini adalah keyakinan dasar dalam Islam tentang Qadha’ dan Qadar, di mana semua peristiwa telah dituliskan oleh Allah S.W.T sejak azali.

Ini adalah qadha’ al-Mubram- yang tidak akan berubah dan tiada siapa dapat lari darinya!

Taqdir yang boleh berubah ada juga, iaitu yang berada di tengah-tengah itu- Allah taqdirkan juga tetapi boleh beribah taqdir dengan taqdir.

Taqdir Allah (Iradah/kehendak) itu ada dua:
i- Iradah Kauniyah (الإرادة الكونية) adalah “Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”.

Iaitu kehendak Allah yang pasti terjadi (terwujud) dan mencakup segala sesuatu, baik yang dicintai-Nya mahupun dimurkai-Nya; seperti penciptaan alam semesta dan segala makhluk seperti matahari, siang, malam, keimanan orang yang beriman dan kekufuran orang kafir.

ii- Iradah Syar’iyah (الإرادة الشرعية) adalah “Apa yang Allah perintahkan agar terjadi, tapi belum tentu terjadi”.

Iaitu kehendak Allah yang bersifat hukum syariat dan perintah-Nya, yang mencintai ketaatan dan keimanan, namun tidak selalu terjadi (seperti keimanan Abu Lahab).

Memang setiap hukuman adalah dari Allah tetapi kita kena usaha cari yang terbaik kemudian bertawakkal kepada Allah.

  1. Ayat 68- {… tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub.}- apa yang mereka buat itu (masuk melalui pintu yang berlainan) adalah hanya untuk menunaikan hajat atau kehendak yang ada dalam hati bapa mereka Nabi Ya’qub.

Inilah contoh yang baik yang ditunjukkan oleh anak-anak nabi Ya’qub walaupun mereka bersalah sebelum ini.

Mereka mengikut nasihat bapa mereka dan melakukan apa yang disuruhnya walaupun tidak memberi apa-apa faedah.

Begitulah anak-anak ingat baik-baik; cubalah penuhi dan tunaikan permintaan atau kehendak ibu bapa kamu selagi ianya tidak bercanggah dengan Syari’ah atau membawa mudharat & bahaya.

Kerana ianya boleh menggembirakan dan membahagiakan hati mereka!

Biarlah walau kamu rasa kolot atau tidak munasabah jangan terus bantah di hadapan muka mereka, sanggupilah dulu walaupun kamu tidak dapat tunaikannya.

Jawab dengan baik, insya’ Allah saya akan usaha dan cuba buat.
Ini kerana kadang-kadang nasihat orang tua itu tetap ada kebaikan dan keberkatannya untuk hidup kamu!

Nabi Ya’qub a.s tetap mengajar kepada anak-anaknya dengan ilmu & dengan hikmah yang dia ada, tetapi walau bagaimanapun taqdir Allah telah ditetapkan, Bunyamin tidak dapat balik, ditahan di Mesir, tidak dapat kembali kepada bapa tercinta!

Kita sambung esok- insya’ Allah tentang perjumpaan yang sangat menyayat hati antara dua beradik yang sudah terpisah lama.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 20/01/2026 / 01 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/181HjRui9M/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top