View Categories

(2) Surah Yusuf: Ayat 1-3

15 min read

AL-QURAN AL-MUBIN, TURUN DENGAN BAHASA ARAB & KISAH YUSUF YANG MENARIK

Full video : https://youtu.be/fWI0goXSse4?si=fwO41RTyX2dR6qvm

MUQADDIMAH #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 01 sehingga ayat 03 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam tiga ayat pertama ini Allah SWT nyatakan Al-Quran turun dalam bahasa Arab dan ia adalah Al-Mubin, iaitu kitab yang menjelaskan segala perkara.
    Dalam surah ini dinyatakan kisah Nabi Allah Yusuf AS bersama keluarganya!
  1. Al-Quran juga turun dengan bahasa Arab kerana pada zaman Rasulullah SAW itu kaumnya Quraisy adalah al-Arabi yang berbahasa Arab lidah mereka.
  1. Allah juga nyatakan dikisahkan kepada kamu kisah yang amat menarik iaitu kisah Yusuf yang menarik. 
    Kerana ia dari al-Quran maka ia adalah kisah yang benar, maklumat betul & tepat, bukan rekaan. 
  1. Cukuplah sekadar yang Allah nyatakan dalam al-Quran, jangan kita terpengaruh dengan cerita yang ditokok-tambah yang sedap didengar tetapi tidak benar. 
    Ini kerana kisah Nabi Yusuf ini berkait dengan wanita maka jika tidak dibersihkan maka ia boleh merendahkan maruah seorang rasul.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ ‎﴿١﴾‏

AYAT 1- {ALIF, LAAM, RAA’. INI IALAH AYAT-AYAT KITAB AL-QURAN YANG MENYATAKAN KEBENARAN.} (YUSUF 12:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة). Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya, {الٓر} dibaca (Alif, Lam, Ra), iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam dan huruf Raa dibaca Raa. 
  1. Ada lima surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf (Alif, Lam, Ra- الٓر) iaitu Surah Yunus (Surah ke-10), Surah Hud (Surah ke-11), Surah Yusuf (Surah ke-12), Surah Ibrahim (Surah ke-14), dan Surah Al-Hijr (Surah ke-15). 
    Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf “al-Muqatto’ah”.
  1. Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
    Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah lebih mengetahui maknanya.
  1. Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk sama ada secara bahasa atau isi kandungan.
    Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya! 
    Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
    [Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah, Pimpinan ar-Rahman].
  1. Allah nyatakan ini adalah ayat-ayat al-Quran yang menyatakan kebenaran, Allah sendiri yang bawanya maka pastilah ia sesuatu yang haq & penuh kebenaran.
    Tiada siapa boleh dakwa bahawa al-Quran ini tidak betul atau sebagainya!
  1. Munasabah pembukaan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
    i- Surah ini dimulai dengan ayat: 
    {تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ}- akhirnya dengan al-Mubin {ٱلْمُبِينِ}- maksudnya Kitab yang menyatakan kebenaran. 
    Berbeza pada ekor ayat dengan surah-surah lain sebelumnya.

    ii- Manakala surah Hud {كِتَـٰبٌ أُحْكِمَتْ ءَايَـٰتُهُۥ}, Yunus {تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ}
    & Luqman {تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ}
    Perkataan akhirnya ialah al-Hakim {kitab yang tetap kukuh dan penuh hikmah, – ٱلْحَكِيمِ}: 
  1. Jawapannya kata ulama’:
    i- Ini kerana kisah Nabi Yusuf adalah surah yang megisahkan tentang ujian yang dilalui oleh seorang nabi yang mulia, yang sangat sabar. 
    Sejak dari kecil lagi ditimpa ujian, sehingga dewasa, ditimpa fitnah, masuk penjara kemudian bebas dari tuduhan dan akhirnya menjadi pembesar negara.
    Panjang dan lengkap kisah hidupnya.
    Lalu munasabahnya adalah al-bayan, al-mubin yang menjelaskan kisah Nabi Yusuf.

    ii- Manakala kisah nabi Yunus adalah untuk mengisbatkan asas agama, tauhid, wahyu & kenabian serta bangkit semula & pembalasan, maka munsabahlah disebut sifat al-Quran sebagai al-Hakim.
    {kitab yang tetap kukuh dan penuh hikmah, – ٱلْحَكِيمِ}. 
    Allah-lah yang menjelaskan ayat ini wallahu a’lam. 
  1. Sebab Nuzul Ayat: Hadis, 
    سَبَبُ النُّزولِ :عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رضي الله عنه قال: «أُنْزِلَ القُرْآنُ عَلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ، فَلَبِثْنَا عَلَيْهِ زَمَانًا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، لَوْ قَصَصْتَ عَلَيْنَا؟ فَأَنْزَلَ اللهُ: ﴿الر ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ﴾ [يوسف: ١]، إِلَى قَوْلِهِ تَعَالَى: ﴿نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ﴾ [يوسف: ٣]، فَتَلَاها عَلَيْهِم رَسُولُ الله ﷺ، فَلَبِثْنَا عَلَيْهِ زَمَانًا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، لَوْ حَدَّثْتَنَا؟ فَأَنْزَلَ اللهُ: ﴿اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا﴾ [الزمر: ٢٣]»

    Daripada Sa‘ad bin Abi Waqqas RA beliau berkata:
    Al-Quran diturunkan ke atas Rasulullah SAW, lalu kami tetap membacanya satu tempoh waktu. Kemudian mereka berkata: Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau ceritakan kisah kepada kami. 
    Maka Allah menurunkan ayat:
    ﴿الر ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ ﴾hingga firman-Nya: ﴿ نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ﴾
    (Yusuf: 3)
    Lalu Rasulullah SAW membacakan ayat-ayat tersebut kepada mereka.
     

    Kami pun terus membacanya satu tempoh waktu, kemudian mereka berkata lagi: Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau menyampaikan nasihat dan peringatan kepada kami. 
    Maka Allah menurunkan ayat
    :
    ﴿اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا
    ﴾ (al-Zumar: 23).” [HR Abu Ya’la dan lain-lain].
    Semua kisah al-Quran jelas, indah & benar.
  1. Inilah ayat-ayat al-Quran yang jelas hukum-hakam dan lafaznya, serta segala perkara yang mengandungi pelbagai makna yang jelas kebenarannnya. 
    Al-Quran telah menjelaskan apa yang tidak jelas dari cerita-cerita orang terdahulu & orang terkemudian.
  1. Kerana itu dalam al-Quran bab ceritanya sama ada:
    i- Cerita rasul & nabi 

    ii- Atau yang bukan rasul atau nabi seperti kisah Luqman & Zulqarnain.

    iii- Untuk orang manusia biasa pula ada yang berbentuk umum & ada yang berbentuk khas seperti kisah hadis al-Ifki tentang UM Sayyidah Aisyah RA dan lain-lain kisah.
  1. Yakni cerita dalam al-Quran ada pelbagai, tetapi jangan ditokok-tambah! 
    Jika bercampur dengan Israiliyyat maka akan rosaklah!

إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ‎﴿٢﴾

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA KAMI MENURUNKAN KITAB ITU SEBAGAI QURAN YANG DIBACA DENGAN BAHASA ARAB, SUPAYA KAMU (MENGGUNAKAN AKAL UNTUK) MEMAHAMINYA.} (YUSUF 12:2)

  1. Allah nyatakan bahawa al-Quran ini diturunkan dalam bahasa Arab; sebagai sebuah kitab untuk dibaca kemudian ditadabbur menggunakan akal untuk memahaminya!
    Bukan sekadar untuk dilagukan dan ditaranum tanpa tadabbur & memahaminya!
  1. Nota: [378] Al-Qur’an’ul-Karim diturunkan oleh Allah Ta’ala dalam bahasa Arab supaya dapat difahami maknanya dan rahsia-rahsianya.
    Bahasa Arab jualah yang dapat menampung dan menghimpunkan makna-makna Al-Qur’an yang luas itu; kerana bahasa Arab ialah sepetah-petah bahasa, sejelas-jelasnya dan seluas-luasnya berbanding dengan bahasa-bahasa yang lain.

    Sebab itulah diturunkan semulia-mulia Kitab (Al-Qur’an), dengan semulia-mulia bahasa (bahasa Arab), kepada semulia-mulia Rasul (Nabi Muhammad SAW), dengan perantaraan semulia-mulia malaikat (Jibril AS); dan kejadian ini berlaku pada semulia-mulia masa (Lailatu’l-Qadar), dan di semulia-mulia negeri (Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah); maka dengan demikian sempurnalah kemuliaan Al-Qur’an dari segala seginya.
    Semua yang berkait dengan al-Quran adalah mulia; maka jika kita nak jadi orang mulia, jadilah ahli al-Quran.
  1. Hikmah al-Quran dalam bahasa Arab: Kerana pada waktu itu Rasulullah SAW berada di Makkah, kaumnya adalah bangsa Arab yang berbahasa Arab, jadi al-Quran mestilah sesuatu yang boleh difahami manusia yang diturunkan Kitab kepada mereka! 
    Apabila dah faham pastilah kena amal.
  1. Imam Qurtubi dan Ibnu Katsir berkata: “Inilah ayat-ayat Kitab, yaitu Al-Qur’an yang jelas, terang, menerangkan hal-hal yang samar dan menafsirkan serta menjelaskannya.” 

    Maksud al-kitab al-mubiin (kitab yang jelas) adalah Al-Qur’an al-Mubiin (Al-Qur’an yang jelas) yang menerangkan halal haram, had dan hukum, dan petunjuk serta kebaikannya.
  1. Sesungguhnya kami menurunkan Al-Qur’an {إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ} kepada Nabi Muhammad SAW dari bangsa Arab dan dengan bahasa Arab yang menjadi bahasa paling fasih dan paling jelas serta luas jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lainnya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Ḥā Mīm. Demi Kitab yang jelas (kebenarannya).Sesungguhnya Kami menjadikannya al-Quran dalam bahasa Arab, agar kamu berfikir dan memahaminya.} (az-Zukhruf: 1–3)
    Pentingnya al-Quran difahami, bukan hanya dilagukan, dipertandingkan tetapi isi kandungannya di abaikan!

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَٰفِلِينَ ‎﴿٣﴾

AYAT 3- {KAMI CERITAKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) SEINDAH-INDAH KISAH DENGAN JALAN KAMI WAHYUKAN KEPADAMU AL-QURAN INI, PADAHAL SEBENARNYA ENGKAU SEBELUM DATANGNYA WAHYU ITU, ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG TIDAK PERNAH MENYEDARI AKAN HALNYA.} (YUSUF 12:3)

  1. Allah mengatakan telah diceritakan kepada Nabi Muhammad SAW seindah-indah kisah melalui wahyu dari al-Quran. 
    Sebelum ada wahyu dari Allah ini tiada orang tahu pun tentang kisah Nabi Yusuf AS.
  1. Kisah al-Harith seorang Makkah yang tidak mahu orang baca al-Quran, lalu apabila dia keluar negara ke Syam dia mencari dan membawa balik koleksi cerita seperti (Isfandiyar) dan lain-lain- bawa balik dongeng ke Makkah.
  1. Nota [379] Yakni yang amat indah bentuk susunannya, amat benar kandungannya dan penuh dengan hikmat serta pengajaran yang mendatangkan iktibar.
    Menurut Ibnu “Abbas RA, bahawa sahabat-sahabat Nabi telah meminta kepada Rasulullah SAW menceritakan kepada mereka (sesuatu yang memberi pengajaran), lalu turun ayat-ayat suci yang menceritakan perihal nabi Yusuf AS.
  1. Cerita nabi Yusuf ini jika kita faham maknanya apabila dibaca walaupun banyak kali tetap akan menyayukan hati dan mengalirkan air mata; seperti Imam-imam di Makkah & Madinah yang sering menangis dalam solat mereka apabila membaca surah Yusuf ini.
  1. Perbincangan tentang maksudnya ayat: { أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ- seindah-indah kisah} diturunkan kepada Nabi SAW:
    i- Kata Al-Qurtubi: Maksudnya seindah-indah kisah ialah kisah yang kembali kepada kisah para nabi yang disebut dalam al-Quran. 
    Cerita ini menarik bukan hanya kerana kisahnya yang memang menarik; tetapi kerana berbalik kepada penceritaannya yang menarik, elok susunan ayat, plot cerita yang teratur, yang setiap kali kita dengar dapat memberi kesedaran, memberi kesan dalam jiwa, dapat memberi pengajaran dan kesedaran!
  1. Kata ulama’ lain pula: { أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ- seindah-indah kisah} ini ialah: Plot penceritaannya sangat menarik, yang membuatkan kita boleh menangis membacanya! 
    Semua kisah dalam al-Quran itu menarik semuanya jika dibandingkan dengan kisah lain.
    Ini kerana kisah dalam al-Quran itu menarik & benar belaka! 
  1. Perbandingan ini jika dibuat dengan:
    i- Kisah yang diluar al-Quran, seperti kisah asfandiyar tadi, kisah nabi Yusuf adalah yang terbaik & yang benar!

    ii- Kisah lain dalam al-Quran, jika dibandingkan dengan kisah nabi-nabi lain pastilah ia juga indah dan lebih kuat lagi seperti kisah Nabi Musa & Fir’aun kerana ia adalah tentang aqidah dan pertembungan dalam bab agama, kerana itu ia diulang-ulang banyak sekali di dalam al-Quran.
  1. Manakala kisah Nabi Yusuf adalah lebih kepada kisah keluarga, hubungan persaudaraan, hasad dengki, godaan wanita (yang Nabi Yusuf tidak melayannya) yakni lebih kepada keduniaan- perebutan kasih-sayang bapa. 
  1. Bukan nak nafikan keindahan kisah Yusuf- tetapi jika dibandingkan kisah nabi-nabi lain, kisah mereka lebih kuat & hebat lagi kerana adalah kisah pertembungan dengan musuh Allah & musuh agama iaitu dari sudut aqidah. 
  1. Allah tegaskan bahawa Nabi SAW sebelum ini, iaitu sebelum menerima wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan hal atau kisah nabi Yusuf ini. 
    Kamu tidak tahu apa yang ada dalam al-Quran daripada iman & petunjuk, daripada ilmu & kisah umat terdahulu; sebelum turunnya wahyu kepadamu!
  1. Ini kerana Allah nak nyatakan bahawa Nabi Muhammad bukan Tuhan, bukan orang yang mengetahui perkara ghaib, bukan mereka-reka kisah dongeng tetapi seorang rasul yang menerima wahyu dan ilmu maklumat dari Allah SWT! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati mengikut perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi.
    Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.} (Asy-Syura 42:52)
  1. Tetapi apabila menerima wahyu, Nabi SAW adalah orang yang pertama beriman dengan al-Quran, yang pertama beramal dengannya & orang pertama yang menyampaikan al-Quran.

PENUTUP & FAEDAH #

  1. Ayat 1- {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.}-

    Inilah yang sangat jelas serta penjelasan yang nyata!
    Kenapa Allah sifatkan al-Quran ini sebagai Kitab al-Mubin (Penjelas) yang sangat nyata:
    i- Kerana al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW yang sangat besar, yang kekal sehingga ke hari ini bahkan sehingga ke hari Kiamat iaitu al-Quran.
    Bukan seperti mukjizat nabi-nabi lain yang sudah tiada sekarang ini!

    ii- Allah nyatakan petunjuk, pimpinan & hukum halal haram secara umum ada dalam kitab al-Quran.
    Untuk penjelasan dan detail kita kena rujuk kitab feqah pula. 
    Jika tidak tak cukup sebuah al-Quran, yang ada sebuah inipun tak habis baca dah kita.

    iii- Dalam al-Quran diceritakan tentang cerita orang dahulu & cerita orang yang terawal.
    Semua zaman kita tahu dengan adanya al-Quran- cerita yang benar & cerita yang tepat.
    Kerana itu digelar dengan kitab al-Mubin.

    Analisa tentang kenapa berbeza hujung ayat pertama surah ini {ٱلْمُبِينِ} dengan surah lain yang seumpamanya seperti surah Yunus & Luqman yang berakhir dengan {ٱلْحَكِيمِ}; penjelasannya panjang sudah kita bincangkan dalam ayat di atas.

    Jawapannya:
    i- Disebut dalam surah Yusuf ini Kitab yang menjelaskan {ٱلْمُبِينِ}; kerana jelas di dalamnya tentang perjalanan hidup Nabi Yusuf yang lengkap dari kecil sehingga dewasa, dari susah sehingga senang berjaya. 
    Tiada kisah lain atau tentang nabi lain disebut dalam surah Yusuf ini.

    ii- Manakala surah Yunus & Luqman yang berakhir dengan {ٱلْحَكِيمِ}; kerana surah ini mengandungi banyak cerita lain tentang kejadian langit & bumi, tentang keagungan & kekuasaan Allah SWT, juga tentang pertembungan antara tauhid & kufur.
    Begitu juga tentang perbandingan { أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ- seindah-indah kisah}, antara kisah Nabi Yusuf & kisah nabi-nabi lain yang lebih hebat kerana:
    i- Kisah nabi lain seperti Nabi Musa AS adalah tentang aqidah dan pertembungan dalam bab agama tentang aqidah dan pertembungan dalam bab agama, pertembungan dengan musuh Allah & musuh agama.

    ii- Manakala kisah Nabi Yusuf adalah lebih kepada kisah keluarga, hubungan persaudaraan, hasad dengki yakni lebih kepada keduniaan.
  1. Ayat 2- {Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.}-

    Allah nyatakan bahawa al-Quran ini diturunkan dalam bahasa Arab supaya kamu berfikir & memahaminya.
    Kata Syeikh al-Biqa’i: Ayat ini menunjukkan bahasa Arab adalah bahasa yang paling fasih dalam dunia ini, lebih luas penggunaannya, lebih teguh & hebat!
    Sebuah kamus bahasa Arab yang bertajuk (Lisanul Arab لسان العرب) datang dalam 10 jilid- tiada bahasa lain yang sebegini, tak pernah jumpa kamsu bahas Inggeris atau lain begini!! 

    Ini kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling indah & lengkap berbanding dengan bahasa lain dalam dunia ini!
    Orang yang paling fasih bahasa Arab ialah Nabi Muhammad SAW an Baginda juga diberi mukjizat sebagai seorang (Jawami’ al-Kalim- (جَوامِع الْکَلِم)); iaitu keistimewaan Baginda yang bermaksud ucapan-ucapan pendek, tetapi membawa maksud yang padat dan sangat bermakna, huraian yang amat lengkap, meliputi Al-Quran dan hadis-hadis ringkas yang mengandungi kebaikan dunia dan akhirat.

    Kita ni bercakap satu jam, orang masih tak faham pun apa yang nak disampaikan!
    Sebagaimana kata Ibnu Kathir : Sebab itulah diturunkan semulia-mulia Kitab (Al-Qur’an), dengan semulia-mulia bahasa (bahasa Arab), kepada semulia-mulia Rasul (Nabi Muhammad SAW), dengan perantaraan semulia-mulia malaikat (Jibril AS); dan kejadian ini berlaku pada semulia-mulia masa (Lailatu’l-Qadar), dan di semulia-mulia negeri (Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah); maka dengan demikian sempurnalah kemuliaan Al-Qur’an dari segala seginya.
    Semua yang berkait dengan al-Quran adalah mulia; maka jika kita nak jadi orang mulia- jadilah ahli al-Quran.
  1. Ayat 2- {.. supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.}-

    Dihujung ayat Allah kata: {semoga kamu menggunakan akal}, ini kerana al-Quran diturunkan untuk difahami, digunakan akal untuk mengkaji & tadabburnya.
    Yakni untuk kita baca, tadabbur dan memahami isi kandungannya lalu beramal denga nisi kandungannya- bukan hanya sekadar dibaca & dilagukan.
    Ayat ini juga untuk menolak sangkaan manusia bahawa dalam al-Quran ada ayat yang maknanya tidak boleh difahami, hanya Rasulullah SAW saja yang faham!

    Ini adalah satu fahaman mungkar & ditolak oleh semua ulama’!
    Dalam al-Quran semua ayatnya boleh difahami tetapi bukan semua orang boleh memahaminya!
    Yang paling memahaminya ialah Rasulullah SAW kemudian para sahabat yang hebat serta para ulama’ Salafus-Soleh yang mempunyai akal yang tinggi.

    Al-Quran ini ada ayat muhkamat & ada ayat mutasyabihah.
    Jika ada ayat yang mutasyabihah, tetapi para ulama’ yang mempunyai akal yang tinggi akan memahaminya! 
    Jadi orang yang tiada ilmu & kefahaman yang tinggi jangan cuba menafsirkan al-Quran dengan akal dan logiknya sendiri! 

    Kena belajar dan ambil apa yang telah dikaji & dijelaskan oleh para ulama’ yang mendapat petunjuk & kefahaman!
    Jangan sibuk berbalah sehingga tak sempat baca al-Quran apatah lagi mengkaji dan beramal dengannya.

    Kata al-Hasan Basri RHM: Allah turunkan al-Quran untuk diamalkan bukan hanya untuk dibaca sahaja tetapi manusia menjadikan bacaannya sahaja sebagai amalan.
    Yang al-Quran perintahkan kita amalkan, yang ditegah kita tinggalkan yang haram jangan kamu buat!
  1. Ayat 3- {Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah…}-

    Iaitu kisah yang indah dari sudut penceritaan dan plot kisahnya.
    Kata ulama’ tadabbur: Kisah yang indah kerana ia menarik dari segi penceritaan, kisahnya yang lengkap bermula dari Yusuf kecil sehingga dewasa, sikap sabar keluarga yang terpisah berpuluh tahun dan berlapang dada nabi Yusuf, kesabaran bapanya Nabi Ya’kub. 

    Maka jika kita nak cari ketenangan & kisah tauladan dan pengajaran; bacalah al-Quran, bacalah kisah Nabi Yusuf, jangan dok cari baca novel yang tidak berfaedah apatah lagi novel lucah atau yang menggalakkan kepada maksiat, tiada faedah!

    Kata ulama’: Dalam masa yang sama kisah dalam al-Quran semuanya adalah kisah yang indah dan penuh kebenaran bahkan ada kisah yang lebih hebat dan besar seperti kisah Nabi Musa yang bertembung dengan Fir’aun dan lain-lain nabi.

    Cukuplah dengan apa yang ada dalam al-Quran, dengan apa yang Allah sampaikan! 
    Kita berhati-hatilah jangan terpedaya dengan kisah-kisah Israiliyyat & kisah dari hadis palsu dalam Kitab Tafsir! 
    Kisah yang menarik didengar tetapi adalah palsu & rekaan yang kebanyakannya boleh menjatuhkan maruah & kemuliaan seorang rasul!

    Boleh baca kitab ini: Isra’illiyyat & Hadith palsu Dalam Kitab-kitab Tafsir oleh Dr. Muhammad Bin Muhammad Abu Syahbah RHM
    Ada terjemahan dalam bahasa Malaysia keluaran JAKIM.
  1. Ayat 3- {Kami ceritakan kepadamu….. padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.}-

    Maka jika nak tahu cerita orang terdahulu & orang terkemudian bacalah al-Quran.
    Cerita tentang Nabi Adam, Nabi Nuh dan lain-lain tiada siapa yang tahu jika tiada wahyu turun dari Allah kepada Rasul-Nya. 
    Semua cerita dalam al-Quran mengandungi pengajaran, ibrah & iktibar!

    Allah sebut nama 25 orang nama nabi &rasul dalam al-Quran, tetapi bukan semua mereka ada kisahnya yang disebut! 
    Seperti nabi Ilyas & Ilyasaa’, tiada siapa tahu cerita mereka kerana Allah tak ceritakannya dalam al-Quran. 
    Tetapi ada nabi yang disebut & diulang-ulang ceritanya kerana ibrah dan pengajaran yang besar seperti kisah nabi Musa & Fir’aun.

    Ini kerana watak Fir’aun itu akan sentiasa muncul pada sepanjang zaman.
    Pertembungan tauhid sentiasa ada, begitu juga pertelingkahan antara keluarga sentiasa berlaku sepanjang zaman walaupun tidak seberat syirik & kufur.

    Maka ia memberi pengajaran kepada kita bahawa kisah nabi Yusuf ini juga hendaklah sentiasa diulang baca dan ditadabbur untuk kita ambil iktibar dan belajar akan erti kesabaran, kasih sayang, pemaaf dan tentang bahaya hasad dengki, perebutan harta dalam keluarga, godaan nafsu dan seumpamanya!

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 31/12/2025 / 10 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/17eRkLHGmT/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top