Yusuf Bertemu Bunyamin, Helah Untuk Menahannya Di Mesir & Abang-Abangnya Resah Dan Gelabah.

Live Pagi Rabu 21/01/2026 / 02 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (20) Ayat [69-77]
Full video: https://youtu.be/VKRGBj2sj5A?si=HuYcizhEC9AHWrdP
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 69 sehingga ayat 77 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Yusuf bertemu Bunyamin, dia memperkenalkan dirinya kepada Bunyamin seorang manakala saudara-saudaranya yang lain belum tahu.
- Agar Bunyamin tidak dapat balik Yusuf buat helah untuk menahannya di Mesir, menunggu kedatangan bapa mereka & seluruh keluarga yang lain.
Yusuf meletakkan bejana (bekas) milik raja dalam bekas Bunyamin yang menjadikannya ditahan.
*Bunyamin ditangkap bukan kerana mencuri tetapi kerana helah saudara-nya Yusuf.
- Dengan kejadian ini, abang-abangnya resah dan gelabah, takut untuk pulang dan menghadapi bapa mereka, bagaimana mahu menyatakan kepadanya bahawa sekali lagi mereka gagal untuk menjaga adik yang diamanahkan kepada mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang ketibaan saudara-saudara Yusuf di Mesir & mereka masuk ikut pintu yang berlainan sebagaimana pesanan bapa mereka.
ii- dalam ayat ini diceritakan pula pertemuan Yusuf dengan adiknya Bunyamin dan Yusuf memperkenalkan dirinya sebagai abangnya yang hilang sejak dari kecil itu.
Serta rancangan Yusuf untuk menahan Bunyamin di Mesir bersamanya dengan buat helah.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيْهِ أَخَاهُ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۠ أَخُوكَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾
Ayat 69- {Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:” Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan”.} (Yusuf 12:69)
- Apabila mereka selamat tiba di Mesir Nabi Yusuf menyambut saudara-saudara dengan sambutan yang istimewa.
- Mereka lalu dijamu sebagai tetamu kehormat dan diberikan tempat tinggal.
Mereka yang lain dipisahkan daripada Bunyamin di mana Yusuf ambil kesempatan untuk memperkenalkan dirinya kepada adiknya!
- Yusuf juga berpesan kepada Bunyamin agar:
i- jangan menceritakan rahsia itu kepada saudaranya yang lain.
ii- menasihati adiknya agar bersabar & jangan berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan terhadapnya sebelum ini.
فَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ جَعَلَ ٱلسِّقَايَةَ فِى رَحْلِ أَخِيهِ ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلْعِيرُ إِنَّكُمْ لَسَٰرِقُونَ ﴿٠٧﴾
Ayat 70- {Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.} (Yusuf 12:70)
- Nabi Yusuf kemudian merancang agar adiknya Bunyamin tinggal bersamanya di Mesir- tidak perlu pulang ke Palestin.
Ini agar nanti bapa mereka Ya’qub dan seluruh keluarga mereka yang lain akan datang segera ke Mesir.
- Dia lalu membuat helah agar ada sebab untuk adiknya itu tidak dapat dibawa balik oleh saudara-saudaranya.
Rancangannya ialah meletakkan sebuah bejana (bekas atau gelas) kepunyaan raja di dalam bekas simpanan barang adiknya.
Hanya helah untuk menjayakan rancangannya!
- Apabila kafilah rombongan kenderaan mereka mula mahu keluar dari Mesir, mereka ditahan kerana pengawal-pengawal mahu menyiasat mencari bekas raja yang hilang itu!
*Seolah buat road blok sekarang ini, kenderaan ditahan dan dicari barang yang polis mahu!
- Mereka terus dituduh mengambil barang raja apabila seorang penyeru menyeru: “Wahai orang-orang kafilah ini {ٱلْعِيرُ}, sesungguhnya kamu adalah pencuri!”
قَالُوا۟ وَأَقْبَلُوا۟ عَلَيْهِم مَّاذَا تَفْقِدُونَ ﴿١٧﴾
Ayat 71- {Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: “Apa benda kamu yang kehilangan?”} (Yusuf 12:71)
- Mereka terkejut lalu berpaling & berhenti; lalu bertanya pengawal yang menahan itu- apakah yang mereka (raja) hilang???
قَالُوا۟ نَفْقِدُ صُوَاعَ ٱلْمَلِكِ وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا۠ بِهِۦ زَعِيمٌ ﴿٢٧﴾
Ayat 72- {Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.} (Yusuf 12:72)
- Pengawal-pengawal menteri Yusuf menyatakan bahawa mereka kehilangan cupak raja.
*Katanya cupak ini boleh dibuat bekas minum juga sebagai penyukat; bekas yang serbaguna dan sudah semestinya mahal kerana kepunyaan raja!
- Pengawal itu menjelaskan: Sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.”
*Maksud { بَعِيرٍۢ} ialah seekor unta yang membawa barang makanan.
- Yakni jika gelas itu dihantar atau dijumpai- orang yang menghantarnya akan diberi hadiah yang besar iaitu bekalan makanan sebanyak muatan seekor unta!
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُم مَّا جِئْنَا لِنُفْسِدَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كُنَّا سَٰرِقِينَ ﴿٣٧﴾
Ayat 73- {Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri”.} (Yusuf 12:73)
- Mereka dengan marah menafikan tuduhan itu dan menyatakan bahawa bukannya pengawal itu tidak tahu:
i- bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi Mesir ini,
ii- dan kami pula bukanlah pencuri.
- Yakni jangan buat tuduhan melulu, kedatangan kami untuk meminta bantuan, kami keturunan baik-baik, bukan mahu datang untuk mencuri!!!
قَالُوا۟ فَمَا جَزَٰٓؤُهُۥٓ إِن كُنتُمْ كَٰذِبِينَ ﴿٤٧﴾
Ayat 74- (Orang-orang menteri) bertanya: “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”} (Yusuf 12:74)
- Pengawal menteri bertanya apakah hukuman jika pencuri itu dijumpai dan dapat ditangkap?
- Ini kerana di Mesir tidak ada hukuman tahanan bagi pencuri pada waktu itu, mereka ada hukuman lain.
Jadi Yusuf mahu mereka sendiri yang memberikan hukuman itu lalu mereka tidak akan dapat menolaknya!
قَالُوا۟ جَزَٰٓؤُهُۥ مَن وُجِدَ فِى رَحْلِهِۦ فَهُوَ جَزَٰٓؤُهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّٰلِمِينَ ﴿٧٥﴾
Ayat 75- {Mereka menjawab: “Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim”.} (Yusuf 12:75)
- Mereka saudara-saudara Yusuf menjawab: Balasan bagi pencuri itu ialah jika dijumpai barang yang hilang, tuan barang boleh menangkap dan menahan pencuri itu!
- Saudara-saudara Yusuf dengan yakin memberikan hukuman ini kerana mereka yakin tidak ada di kalangan mereka yang mencuri bekas raja itu- apatah lagi adik bongsu mereka Bunyamin yang baik sekali.
فَبَدَأَ بِأَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَآءِ أَخِيهِ ثُمَّ ٱسْتَخْرَجَهَا مِن وِعَآءِ أَخِيهِ ۚ كَذَٰلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ ۖ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِى دِينِ ٱلْمَلِكِ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ نَرْفَعُ دَرَجَٰتٍ مَّن نَّشَآءُ ۗ وَفَوْقَ كُلِّ ذِى عِلْمٍ عَلِيمٌ ﴿٦٧﴾
Ayat 76- {Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,} (Yusuf 12:76)
- Sebagai taktik agar tidak ketara helah mereka; para pengawal mula mencari dan siasat dalam bekas-bekas makanan abang-abangnya yang lain dulu & tidak mendapatinya.
- Akhir sekali apabila bekas Bunyamin dibuka, mereka dapati ada bekas raja yang hilang itu!!!
Mereka amat terkejut apabila melihat apa yang berlaku!!!! - Ini bukan kerana Bunyamin mengambilnya tetapi ia adalah helah rancangan Yusuf untuk menahan adiknya di Mesir dan supaya bapa dan semua keluarganya yang lain akan datang ke Mesir.
- Semua ini adalah dengan pertolongan & kehendak Allah yang mahu menjayakan niat Yusuf menahan adiknya Bunyamin di Mesir dengan:
i- memberi ilham kepada Yusuf untuk membuat rancangan dan helah itu.
ii- juga memberi ilham kepada saudara-saudara Yusuf untuk mengeluarkan saranan hukuman menangkap pencuri.
Ini adalah akta yang mengikut ajaran nabi Ya’qub.
*Ini kerana tiada dalam undang-undang Mesir untuk menahan dan menangkap pencuri- hanya boleh dipukul, denda atau bayar nilainya sahaja.
- Mengikut kata sesetengah ahli tafsir: Mengikut undang-undang Mesir pencuri akan dipukul kemudian kena bayar denda harga barang yang dicuri sebanyak dua kali ganda.
Tiada hukum untuk menahan atau menjadikan pencuri itu sebagai tawanana atau hamba! - Maka Allah nyatakan bahawa:
i- dengan ilmu pengetahuan-Nya, Allah tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Dia kehendaki,
ii- dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui. - Yakni jangan sombong dan angkuh, jika kamu kaya ada lagi orang yang kaya, jika kamu rasa alim ada lagi yang lebih alim, jika kamu rasa masyhur ada lagi yang lebih masyhur daripada kamu!
- Yang penting ingatlah setiap orang berilmu akan ada lagi orang yang lebih alim daripadanya sehinggalah tiba kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui segala-galanya.
Ilmu yang tidak terbatas & tertinggi adalah milik Allah!
قَالُوٓا۟ إِن يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَّهُۥ مِن قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفْسِهِۦ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنتُمْ شَرٌّ مَّكَانًا ۖ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ ﴿٧٧﴾
Ayat 77- {Mereka berkata:” Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): “Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu”.} (Yusuf 12:77)
- Melihat kejadian ini, abang-abangnya berkata: {Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu.}
- Betapa apabila mendengar kata-kata mereka itu amat menyinggung perasaan Yusuf tetapi dia tetap sabar & menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka.
- Yusuf hanya menahan perasaan sedih sambil berkata dalam hatinya: {“Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu”.}
*Yakni tunggulah masa apabila Allah dedahkan dan balas semuanya kerana Allah Maha Mengetahui segalanya!
- Kata ulama’ tafsir: Tuduhan ini hanya tuduhan semata-mata!
Keluar dari mulut mereka kerana terlalu kecewa dan marah dengan apa yang berlaku lalu mereka melakukan pembohongan ke atas Yusuf dengan tuduhan palsu.
Penutup & Faedah #
- Ayat 69- {Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya,..}-
Yusuf mengasingkan Bunyamin daripada saudaranya yang lain dan mengambilnya untuk bersamanya.
Ini adalah rancangannya untuk memperkenalkan dirinya kepada Bunyamin tanpa pengetahuan saudara-saudaranya yang lain.
Begitulah jika kita nak- kena buat perancangan yang rapi agar tidak pecah awal rahsia yang kita nak sembunyikan.
Kata ulama’ tafsir tidak dapat digambarkan bagaimana genbiranya hati Yusuf dapat berjumpa dan memeluk adiknya yang dirindui sekian lama.
- Ayat 74- (Orang-orang menteri) bertanya: “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”} – Yusuf bertanya kepada saudaranya hukum bagi pencuri ini supaya hukuman itu datang dari pihak mereka sendiri.
Yusuf membuat helah agar dapat menahan adiknya daripada balik dengan meletakkan barang raja dalam bekas adiknya!
Tetapi dia memerangkap saudara-saudaranya untuk mengeluarkan hukuman ke atas orang yang tertuduh mencuri.
Ini kerana pada waktu itu di Mesir tidak ada undang-undang untuk menangkap atau menahan perncuri.
Jadi untuk menjayakan rancangannya Yusuf buat helah agar mereka sendiri mengeluarkan hukumannya ikut hukum ajaran bapa mereka di Palestin, iaitu pencuri itu akan ditangkap dan ditahan oleh tuan barang!
Jadi apabila mereka sendiri letak hukum; mereka tidak akan dapat tarik balik atau membatalkan hukuman itu selepas ini!
Kerana itu kita kena berhati-hati, jangan gopoh atau berlorat dalam bercakap atau buat tindakan dengan terlalu teruja atau bersemangat untuk buat janji- jika kita tidak dapat tunaikannya kita tak boleh tarik balik nanti orang akan kata kita menipu & tak tunai janji!
- Ayat 70- {“Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.}- penyeru dari istana menyeru wahai rombongan kafilah- kamu adalah pencuri!!!!
Yusuf juga menggunakan bahasa ta’rid – ayat berbelit atau berlapis yakni bukan direct mengatakan mereka mencuri bekas raja itu tetapi menyeru sebagai pencuri: {:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.}
Kata ulama’ bukan Yusuf redha menuduh saudara-saudaranya mencuri bekas raja tetapi dia mengatakan: {… kamu adalah pencuri.}
Yakni mereka dipanggil pencuri bukan kerana curi bekas raja itu; tetapi boleh jadi dengan sebab lain:
i- pengawal itu yang menyeru bukan Yusuf sendiri.
ii- mereka boleh dipanggil pencuri kerana mereka khianat kepada Yusuf dulu- seolah curi Yusuf dan memisahkannya dari bapanya.
iii- percakapan helah untuk memusingkan keadaan, untuk mengelakkan dari maksudnya sebenar.
Banyak contoh & suasana penggunaan ayat ini dalam feqah- tak perlu kita galinya dengan lebih banyak!
- Ayat 73- {Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri”.} – mereka kata jangan tuduh melulu- kami datang bukan dengan tujuan jahat atau buat kerosakan di bumi Mesir ini!
Begitulah apabila kita berhadapan dengan tuduhan yang tidak berasas hendaklah membela diri dan menyatakan keadaan sebenar, kenapa buat tuduhan begini- kita kena jawab!
Kerana itu pada hari ini ramai penjenayah apabila menghadapi pendakwaan di mahkamah: Mengaku tidak bersalah- lalu di lepas tanpa bebas???!!!
Kami datang bukan untuk buat kerosakan atas muka bumi ini, yakni:
Kerosakan atas muka bumi ini boleh jadi dengan maksiat, kerosakan akhlak dan seumpamanya, bukan rosakkan barang atau alam semula jadi saja.
- Ayat 76- {Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf.}- demikian Allah kata- Dia menjayakan perancangan rapi dan helah yang dibuat oleh Yusuf untuk menahan adiknya Bunyamin di Mesir!
Ini adalah helah yang dibenarkan oleh Syara’.
Helah itu ada macam-macamlah ada yang dibenarkan & ada yang tidak dibenarkan Syara’!
Ada juga ulama’ yang menerima helah ini sebagai satu hujjah ada yang tidak menerimanya!
Wallahu a’lam.
Kita behenti setakat ini dulu- kita lihat apa yang terjadi kepada saudara-saudara Yusuf selepas ini!
Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 21/01/2026 / 02 Sya’ban 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:https://www.facebook.com/share/p/1JpceG7q88/
Semoga Bermanfaat!
