View Categories

(22) Surah Yusuf: Ayat 81-87

13 min read

Abang Yusuf Balik Melaporkan Berita, Nabi Ya’qub Menyatakan Kesedihan & Mengarahkan Anaknya Pergi Siasat..

Live Pagi Sabtu 24/01/2026 / 05 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (22) Ayat [81-87]

Full video: https://youtu.be/81jx5aRQcFo?si=CRZR8xSeSzlLsPo7

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 81 sehingga ayat 87 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan abang Yusuf balik melaporkan berita tentang penahanan Bunyamin kepada bapa mereka dan sebabnya, iaitu ditahan kerana mencuri- jika tak percaya tanyalah rombongan kafilah lain.
  3. Nabi Ya’qub menyatakan kesedihannya dan berdoa agar Allah memberikannya kesabaran yang baik dan menghantar semua anak-anaknya balik kepadanya dengan baik!
  4. Akhirnya nabi Ya’qub mengarahkan anaknya pergi kembali ke Mesir untuk siasat dan cari kemabali adik-adik mereka.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Bunyamin yang ditangkap apabila dijumpai bekas raja dalam bekalannya!

Saudara-saudara Yusuf merayu Yusuf untuk membebaskan Bunyamin dan ambil salah seorang daripada mereka tetapi Yusuf kata dia berlindung dengan Allah dari melakukan kezaliman itu!

ii- maka datang sambungan ayat ini apabila tiada harapan Bunyamin untuk dilepaskan; abang dia yang sulung ambil keputusan tak balik dan suruh adik-adiknya yang lain balik dan laporkan kepada bapa mereka bahawa adik mereka ditahan menteri serta ceritakan sebabnya agar bapa mereka faham!!

Nabi Ya’qub tidak berkata banyak, dia berpaling dari mereka, bersabar & serahkan pergantungannya kepada Allah.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ٱرْجِعُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَبِيكُمْ فَقُولُوا۟ يَٰٓأَبَانَآ إِنَّ ٱبْنَكَ سَرَقَ وَمَا شَهِدْنَآ إِلَّا بِمَا عَلِمْنَا وَمَا كُنَّا لِلْغَيْبِ حَٰفِظِينَ ‎﴿١٨﴾

Ayat 81- {Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.} (Yusuf 12:81)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas mereka nyatakan semasa kami berjanji & bersumpah untuk membawa balik adik kami dulu selepas menerima bekalan makanan kami tidak menyangka dia akan mencuri!

ii- lalu dalam ayat ini mereka bawa hujjah & alasan bahawa mereka tidak sangka ini akan terjadi kerana mereka tidak saksikannya & tidak tahu perkara ghaib maka mereka tidak dapat elakkannya dari berlaku!

  1. Iaitu abangnya yang sulung menyuruh adik-adiknya yang lain balik dan menceritakan secara detail kepada bapa mereka apa yang belaku agar bapa mereka faham dan kurang kemarahan dan kekecewaannya terhadap kegagalan mereka menjaga Bunyamin sebagaimana yang mereka telah berjanji!!!
  2. Mereka menyatakan bahawa itu semua bukan di bawah kuasa mereka lagi dengan memberi alasan & hujjah mengatakan:

i- mereka tidak menjadi saksi terhadapnya melainkan dengan apa yang kami ketahui- yakni tak tahu bila adik mereka itu mencuri.

ii- dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib- yakni mereka tak tahu apa yang akan berlaku; jika tidak mereka akan mencegahnya!

وَسْـَٔلِ ٱلْقَرْيَةَ ٱلَّتِى كُنَّا فِيهَا وَٱلْعِيرَ ٱلَّتِىٓ أَقْبَلْنَا فِيهَا ۖ وَإِنَّا لَصَٰدِقُونَ ‎﴿٢٨﴾

Ayat 82- {Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.} (Yusuf 12:82)

  1. Mereka memberi hujjah lagi jika bapa mereka tidak percaya dengan apa yang mereka ceritakan, maka tanyalah kepada:

i- penduduk bandar Mesir yang menyaksikan kejadian itu- bahawa bukan mereka yang buat onar atau masalah.

ii- orang-orang kafilah (dagang) yang mereka balik bersamanya, mereka juga menjadi saksi akan penahanan adik mereka Bunyamin.

Zaman dulu orang bermusafir beramai-ramai agar selamat dalam perjalanan.

قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأْتِيَنِى بِهِمْ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ ‎﴿٣٨﴾

Ayat 83- {(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (Yusuf 12:83)

  1. Setelah mendengar laporan dan cerita yang disampaikan oleh anak-anaknya akan apa yang berlaku, Nabi Ya’qub terus menjawab:

i- Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu- Ya’qub terus mendustakan cerita mereka, dia tidak percaya kepada mereka!

ii- bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara yang kamu rancangkan- terus mengatakan bahawa semua itu adalah rancangan mereka dari awal!!!

  1. Inilah bahayanya orang yang pernah berbohong, orang akan hilang kepercayaannya terhadap mereka!
    Jangan sesekali melakukan pembohongan!
  2. Nabi Ya’qub terus berpaling kepada Allah: Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya {فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌ}- sabar yang sepenuhnya tanpa mengamuk dan mengadu kepada manusia lain!
  3. Nabi Ya’qub berdoa mengharap mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadanya iaitu: Yusuf, Bunyamin dan abang sulung mereka!
  4. Nabi Ya’qub amat yakni bahawa sesungguhnya Allah:
    i- Dia-lah jua Yang Maha Mengetahui,
    ii- lagi Maha Bijaksana.

*Yakni segala yang berlaku adalah di bawah ilmu pengetahuan Allah & perancangan Allah pasti ada hikmah dan sebabnya!

وَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَٱبْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ ٱلْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ ‎﴿٤٨﴾

Ayat 84- {Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.} (Yusuf 12:84)

  1. Nabi Ya’qub berpaling daripada anaknya tidak mahu bercakap lagi dengan mereka!
    Dia bersedih dan kembali menyebut mengingati kembali akan anaknya Yusuf yang dirindui, yang hilang kerana saudara-saudara yang besar itu!
  2. Nabi Ya’qub hanya menangis mengalirkan air mata kesedihan:

i- sehingga putih matanya berselaput {وَٱبْيَضَّتْ عَيْنَاهُ} dek air mata yang sentiasa mengalir!

ii- tetapi dia hanya memendam dalam hatinya saja perasaan dukacita {فَهُوَ كَظِيمٌۭ} dan tidak pernah menzahirkan kesedihan dan kekecewaanya dengan memaki, mengutuk atau memarahi anak-anaknya itu!

  1. Yakni ayat suci ini menyatakan bahawa harus seseorang itu menangis dan bersedih hati apabila ditimpa kemalangan sebagaimana Nabi Ya’qub a.s.

Asalkan jangan melampaui batas seperti mengadu kepada sesama manusia yang lemah atau melampau melakukan perbuatan yang boleh menunjukkan hilang sabar seperti meratap, meraung, menampar muka, mengamuk seumpamanya!

Kita ingat adab sabar ini baru kita tidak kerugian pahala sabar.

  1. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri telah menangis mengalirkan air mata dan bersedih hati ketika kematian anaknya Ibrahim.
  2. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata ketika putera Rasulullah S.A.W yang bernama Ibrahim meninggal dunia kerana demam panas Baginda telah menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf r.a. kepada Baginda:

وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ

Ertinya: “Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah?
Maka sabda Rasulullah S.A.W:
Wahai anak Auf! Sungguhnya ia adalah rahmat.
Kemudian Rasulullah bersabda: Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja.
Dan sungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih.” (HR Bukhari)

  1. Ini kerana naluri manusia pastilah akan bersedih dan dukacita apabila berpisah dengan orang yang disayangi apatah lagi anak atau ibu bapa.
  2. Begitulah Nabi Ya’qub yang melahirkan kesedihan dan kerinduannya terhadap anaknya Yusuf dengan berkata:{ يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ- Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf!}

Ayat 85- {Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa”. (Yusuf 12:85)

قَالُوا۟ تَٱللَّهِ تَفْتَؤُا۟ تَذْكُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَوْ تَكُونَ مِنَ ٱلْهَٰلِكِينَ ‎﴿٥٨﴾‏

  1. Mendengar bapa mereka menyebut nama Yusuf mereka terus memarahi dan menegurnya:

i- Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf,
ii- sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa.

  1. Ini kerana apabila bapa mereka sebut Yusuf; mereka berasa bersalah & tidak sedap hati apabila mengingati akan Yusuf- ini kerana akibat perbuatan jahat merekalah Yusuf hilang!
  2. Kerana itu mereka marah apabila bapa mereka sebut nama Yusuf kerana luka lama berdarah kembali!

Yusuf hilang jelas kerana kesalahan mereka- jika sebut Bunyamin- tak mengapa sikit kerana Bunyamin tak boleh balik kerana menteri yang tahan bukan salah mereka direct!

 قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ ‎﴿٦٨﴾‏

Ayat 86- {(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.} (Yusuf 12:86)

  1. Nabi Ya’qub menjawab bahawa dia hanya mengadu kesusahan dan dukacitanya
    {أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ}
    hanya kepada Allah sahaja bukan kepada mereka!
  2. Kata ulama’ lughah makna {بَثِّى} ialah dukacita yang amat berat!!

Kesedihan yang tidak tertanggung oleh orang biasa yang tiada kesabaran seperti Nabi Ya’qub!

  1. Nabi Ya’qub juga menyatakan dia mendapat wahyu dari Allah, apa yang anak-anakanya tidak mengetahuinya- iaitu Yusuf masih hidup.
    Bunyamin dan abangnya akan selamat!

Dia berharap agar Allah kembalikan mereka semua kepadanya dengan selamat!

*Juga panduan dari mimpi Yusuf dulu bahawa Yusuf akan menjadi orang besar!

يَٰبَنِىَّ ٱذْهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يَا۟يْـَٔسُ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْكَٰفِرُونَ ‎﴿٨٧﴾‏

Ayat 87- {Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.} (Yusuf 12:87)

  1. Munasabah ayat:

i- apabila Ya’qub beritahu bahawa dia ada ilmu melalui wahyu yang diterima dari Allah bahawa Yusuf masih tidak mati dan ada di Mesir begitu juga adiknya Bunyamin.

ii- Maka Ya’qub beri motivasi suruh anaknya pergi menyiasat dan mencari maklumat tentang mereka serta jangan putus asa!

  1. Perbezaan antara dua perkataan yang berdekatan maknanya:

i- (تَحَسَّسُوا۟) ini dengan makna mencari maklumat, siasat, mencari khabar untuk kebaikan atau keperluan seperti mencari orang yang hilang- ini dibenarkan.

ii- (تَجَسَّسُوا۟ ) pula mencari rahsia atau keburukan orang, mengintip dan ini dilarang dalam Islam.

  1. Nabi Ya’qub juag berpesan agar mereka:
    i- jangan berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.

ii- Ini kerana sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.

  1. Kerana itu kita sebagai orang beriman dituntut untuk:

i- semasa dalam kesusahan bertabah hati menghadapinya sambil mengharap sepenuh harapan akan pertolongan Allah yang amat luas.

ii- serta semasa dalam kesenangan kita wajb bersyukur rahmat Allah- semoga bertambah dan berlanjutan!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 81- {Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.} – abang sulung mereka menyuruh adik-adiknya yang lain kembali kepada bapa mereka dan menceritakan apa yang terjadi.

Saudara Ya’qub menggunakan tektik penceritaan agar bapa mereka boleh terima laporan mereka dan boleh terima bahawa anaknya telah mencuri!
Kerana itu tak boleh balik dan ditahan raja!

Mereka tak boleh buat kerana mereka hanya menjaga adik mereka secara zahir dan tidak tahu bila dia pergi ambil bekas raja itu!

Kata ulama’: Begitulah cara orang yang bersalah bila ada kes mereka mencari alasan mahu melepaskan diri daripada kesalahan mereka yang lalu.

Ayat ini menjadi dalil bahawa tidak boleh seseorang itu menjadi saksi apa yang dia tidak tahu!
Terutama saksi palsu yang diupah tanpa tahu apa-apa.

Untuk menjadi saksi kena ada 3 sebab ini:

i- kita benar-benar tahu perkara yang terjadi itu!
ii- kita melihat dengan mata kita sendiri (musyahadah- tengok sendiri).
iii- kita terima berita dari orang yang memang dipercayai jujur & berintegriti yang tidak pernah berbohong!

Jangan setakat dengar orang cakap, orang tuduh, jangan sesekali kita terus terima dan setuju jadi saksi!

  1. Ayat 82- {Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.} – mereka juga menyatakan jika bapa mereka tidak percaya dengan cerita mereka- bapa mereka boleh bertanya kepada penduduk Mesir atau kepada orang-orang kafilah dagangan yang bersama mereka.

Kata ulama’: Ini kepentingan untuk kita menerima persaksian orang yang bersama dalam rombongan, yang ada sekali walaupun kita tak kenalnya sebelum ini atau orang bukan Islam sekalipun.

*Contoh teman se-bas yang duduk sebelah kita, yang lihat kita duduk tidir tidak bergerak dari tempat duduk sehingga tiba ke destinasi!

Iaitu boleh mengambil percakapan orang ramai yang menyaksikan, boleh diterima dan orang yang bersama dalam peristiwa itu!

  1. Ayat 83- {(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan).}- apabila Nabi Ya’qub mendengar cerita mereka dia dia terus mengatakan: Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu!

Ayat ini menjadi dalil bahawa nabi Ya’qub sudah hilang kepercayaannya terhadap mereka!

Bahkan dia mengatakan itu semua rancangan mereka dari awal lagi iaitu bahkan nafsu telah memperelokkan pada pandangan mereka rancangan buruk itu!

Dalam ayat ini apabila anak-anaknya menceritakan apa yang berlaku ke atas Bunyamin, Nabi Ya’qub hanya berkata:

i- “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan).

ii- Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya {فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌ}.

Yakni aku tidak akan mengadu kepada sesiapa kecuali kepada Allah s.w.t!

iii- mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku.

Ayat ini berbeza dengan ayat 18 sebelum ini, apabila anaknya bawa baju Yusuf yang berdarah, Nabi Ya’qub berkata:

i- Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal).

ii- Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya {فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌ},

iii- dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya {وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ}, mengenai apa yang kamu katakan itu.

Ini apabila berlaku permulaan ujian- kita minta pertolongan dengan Allah dengan mengatakan {وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ}.

Kemudian dalam ayat ini sudah sampai ke kemuncak ujian; bukan setakat Yusuf hilang tetapi adiknya Bunyamin juga sudah hilang- maka Nabi Ya’qub meletakkan pergantungan dan harapannya yang tinggi agar Allah hantar balik anak-anaknya kepadanya!!!

Kita orang beriman apabila habis tertutup segala jalan untuk keluar dari masalah- kita jangan fikirkan tentang orang lagi tetapi kembali terus kepada Allah!

Inilah tahap tertingi apabila kita sudah sampai kepada kemuncaknya kesusahan dalam hidup.
Insya’ Allah Tuhan selamatkan kita dengan kehendak-Nya!

  1. Ayat 84- {Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.}-

Nabi Ya’qub berpaling tak mahu bercakap lagi dengan anak-anaknya, sedih hatinya mengingati Yusuf dan mengalir air matanya sehingga putih matanya kerana kesedihan yang amat sangat yang dipendamkan dalam dalam hatinya!

Kata ulama’ tadabbur seperti ar-Razi-: Anggota manusia yang paling mulia yang disebut dalam ayat ini ada tiga iaitu: Mata, lidah & hati!

i- apabila nabi Ya’qub terlalu dukacitanya lidahnya berkata:
{وَقَالَ يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ}

ii- matanya- akibat terlalu banyak menangis telah menjadi putih berselaput
{وَٱبْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ ٱلْحُزْنِ},

iii- hatinya yang memendam perasaan dukacita yang amat sangat {فَهُوَ كَظِيمٌۭ}.

*Inilah tiga anggota yang digunakan apabila manusia sedih!

Kata Syeikh Said bin Jubir- seorang ahli tafsir: Tiada dalam Syari’ah Nabi Ya’qub untuk beristirja’ iaitu berkata {إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ} seperti dalam al-Quran apabila ditimpa musibah!

Kita kena kata sebagaimana ajaran Nabi kita s.a.w apabila ditimpa bala atau musibah:
i- (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ) bermaksud “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali”.

ii- {وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ}- hanya kepada Allah kita minta pertolongan.

Ada orang pertikai, jika sabar kenapa nabi Ya’qub masih berkata:

{يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ-
Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf}???

Jawapan:
i- dia hanya mengadu kepada Allah bahawa dia sedih akan Yusuf!

ii- dengan makna doa- dia minta rahmat & pertolongan kepada Allah agar berikan dia kekuatan jiwa dan semangat agar tidak binasa untuk menghadapi ujian itu.

Kemudian anak-anaknya memarahi bapa mereka yang masih lagi bersedih dan mengingati Yusuf- sedangkan Nabi Ya’qub tahu bahawa Yusuf masih ada belum mati melalui wahyu dari Allah!

  1. Ayat 87- {Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.}- akhirnya nabi Ya’qub menyuruh anak-anaknya ke Mesir semula, menyiasat dan bertanya khabar akan perihal Yusuf & Bunyamin!

Serta memberi nasihat agar jangan sesekali mereka putus-asa dari rahmat Allah s.w.t!

Kata para ulama’: “الإيمان يظهر عند الابتلاء” –
Tahap keimanan seorang mukmin diukur ketika dia diuji Allah, ditimpa musibah & ujian!

Iaitu apabila susah dia berdoa tetapi walaupun kadang-kadang tak nampak Allah terima, seolah tidak dikabul tetapi dia tetap tidak putus-asa, tidak putus harap, ulang balik berdoa mengadu merayu berserah hanya kepada Allah!

Yakni waktu diuji dia sabar, dia berserah kepada Allah- itulah tanda imannya yang tinggi!
Tetapi jika sebaliknya, apabila diuji dia melaung bertempik meratap; maka itu tanda gagal dalam ujian, tahap imannya rendah!

Kita minta Allah selamatkan kita, ya Allah jadikan kami orang yang sabar ketika diuji dengan kesusahan dan orang yang bersyukur apabila diuji dengan kesenangan!

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 24/01/2026 / 05 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1HTatYVpCT/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top