View Categories

(23) Surah Yusuf: Ayat 89-93

14 min read

Abang Yusuf Ke Mesir Kali Ke 3, Yusuf Perkenalkan Diri & Kirim Baju Kepada Ayahnya.

Live Pagi Ahad 25/01/2026 / 06 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (23) Ayat [88-93]

Full video: https://youtu.be/HBcgbTW5hmE?si=I0U9yCGg4KUZ5DoV

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 88 sehingga ayat 93 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah anak-anak nabi Ya’qub diarahkan bapa mereka untuk ke Mesir buat kali ke 3, untuk pergi siasat intai maklumat tentang anaknya Yusuf & Bunyamin.

Kerana dalam firasat Ya’qub sebagai seorang nabi; mereka masih berada di Mesir dan Yusuf telah menjadi orang besar!

  1. Mereka juga sudah kekurangan modal untuk membeli bekal makanan lalu mereka beri nasihat kepada Yusuf untuk bersedekah dan berbuat baik!

Keadaan mereka sekarang amat sukar dan dalam kesusahan yang berat.

  1. Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi lalu memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya itu!

Mereka meminta maaf dan Yusuf memaafkan mereka tanpa mengutuk dan menghukum!

  1. Kemudian Yusuf kirim bajunya untuk dibawa balik kepada ayahnya sebagai penawar untuk menyembuhkannya yang sudah sekian lama memendam kedukacitaan.
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang bapa mereka nabi Ya’qub suruh anak-anaknya pergi siasat dan mencari khabar tentang Yusuf & Bunyamin.

ii- maka pergilah anak-anaknya yang sudah tinggal 9 orang itu ke Mesir- mengikut arahan bapa mereka menyiasat tentang Yusuf & Bunyamin tanpa jemu!

Yusuf pun berasa sudah kasihan kepada mereka kerana sudah tiga kali bertemu maka terlerailah segala rahsia yang disimpan selama ini!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

فَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ قَالُوا۟ يَٰٓأَيُّهَا ٱلْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَٰعَةٍ مُّزْجَىٰةٍ فَأَوْفِ لَنَا ٱلْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجْزِى ٱلْمُتَصَدِّقِينَ ‎﴿٨٨﴾

Ayat 88- {Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: “Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma”.} (Yusuf 12:88)

  1. Setelah melakukan perjalanan buat beberapa lama saudara-saudara Yusuf pun tibalah di Mesir buat kali ketiga dan bertemu dengan menteri Yusuf.

Bapa mereka pun tidak berpesan apa lagi kepada mereka kali ini- hanya pergi minta bekalan dan siasatlah tentang Yusuf & Bunyamin.

  1. Apabila mengadap Yusuf, pertama sekali mereka mengadu minta simpati kepada al-Aziz menteri akan kesusahan yang menimpa mereka di negeri mereka serta modal untuk bayaran yang tidak banyak mereka bawa.
  2. Lalu merayu agar menteri kasihan kepada mereka, memberikan mereka bekalan yang lebih dengan bersedekah kepada mereka walaupun tak cukup bayaran; kerana sesungguhnya Allah akan membalasnya.

*Kali pertama datang bawa banyak modal, kali kedua Yusuf beri modal, kali ketiga sekarang tiada modal!

**Begitulah caranya jika kita ingin memohon bantuan & pertolongan orang kita nyatakan kelemahan & kesusahan kita, minta simpati dulu baru diberi perhatian oleh mereka.

  1. Kata al-Wahidi: Makna bersedekah di sini ialah memberi nilai yang murah bagi barang yang ingin diberikan kepada mereka- bukan beri secara percuma terus.

Mereka nak bayar tetapi kerana hanya sedikit modal yang ada- minta barang lebih walaupun bayaran tak banyak dan tak sepadan dengan nilai.

قَالَ هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنتُمْ جَٰهِلُونَ ‎﴿٩٨﴾

Ayat 89- {Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”} (Yusuf 12:89)

  1. Yusuf pun tidak dapat menahan perasaan lagi terus membuka mulutnya- mengingatkan mereka akan perbuatan mereka terhadapnya dulu!
  2. Yusuf berkata kepada abangnya: Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya dulu?

Bagaimana kamu sanggup campak dan tinggalkan Yusuf dalam telaga kemudian menjualnya dengan harga yang murah?

Kemudian mempermainkan adiknya Bunyamin pula!

  1. Tetapi Yusuf juga tidak mahu memalukan mereka, Yusuf menambah lagi bahawa kamu buat semua itu kerana kamu: {“.. semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”}
    Yakni kamu ketika itu tidak memikirkan tentang akibat perbuatan buruk kamu itu!
  2. Kata Ibnu Kathir r.h: Zahir daripada ayat ini- Yusuf memperkenalkan dirinya dengan bertanya soalan itu- dengan izin Allah!

Sebagaimana Yusuf telah menyembunyikan maklumat dirinya dalam dua pertemuan yang lepas- juga dengan izin Allah s.w.t.

  1. Kata as-Sa’di: Apabila keadaan telah kemuncak, sudah tiga kali pertemuan dan mereka telah ditimpa pelbagai masalah dan ujian- lalu lembutlah hati Yusuf untuk memperkenalkan dirinya dan mengakhir kemelut yang sudah sekian lama ini!!
  2. Kata al-Wahidi: Cerita ini ada kaitan dengan apa yang berlaku apabila mereka mahu mencampakkan Yusuf ke dalam telaga!

Apabila mereka semua bersepakat meninggalkan Yusuf dalam telaga atau lubang air, Allah s.w.t berfirman kepada Yusuf dalam ayat 15 dulu:
{…dan kami pula ilhamkan kepadanya: “Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) “}.

  1. Kata al-Wahidi- maksudnya jahil di sini ialah: Jahil tentang buruknya akibat perbuatan jahat mereka itu dan jahil tentang hak ibu bapa yang wajib ditaati (jaga adik tetapi khianat) juga hak kaum kerabat yang wajib dipelihara silaturrahim, jika mereka tahu semua itu pastilah mereka akan menyesal dan segera bertaubat!

Ayat 90- {Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.} (Yusuf 12:90)

قَالُوٓا۟ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا۠ يُوسُفُ وَهَٰذَآ أَخِى ۖ قَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّهُۥ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ ‎﴿٠٩﴾

  1. Mereka sangat terkejut dan terus mengesyaki bahawa menteri itu adalah Yusuf sendiri apabila mendengar pertanyaannya itu!

Kerana mereka sekarang berada di Mesir dan tiada yang tahu tetapi peristiwa mereka dan Yusuf kecuali mereka 11 beradik!

  1. Yusuf terus mengaku bahawa: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin).
    Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami dengan berkumpul selepas berpisah, kemuliaan selepas kehinaan dan penderitaan!
  2. Kata ahli tafsir seperti Ibnu Athiyah-walaupun kita tidak tergamak menyebutnya-: Selepas ketiadaan Yusuf mereka membuli Bunyamin dengan menghina dan mengata yang menunjukkan kebencian terhadapnya!
  3. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar; dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan- maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
  4. Sekarang terbukalah segala pengakuan tiada lagi rahsia!

قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَٰطِـِٔينَ ‎﴿١٩﴾

Ayat 91- {Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.} (Yusuf 12:91)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Yusuf memperkenalkan dirinya dan mengungkit dengan nikmat Allah dia menjadi mulia begini sekarang- jika ikut kehendak mereka dah lama mati dia!

ii- mereka terus mengakui kesalahan mereka pula sambil meminta maaf dan memuji Yusuf!

  1. Saudara-saudaranya berkata:
    i- “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami dari segi rupa fizikal yang indah dan akhlak yang mulia!

ii- mereka akui kelebihan & kemuliaan yang Yusuf adalah disebabkan taqwa dan kesabarannya lalu sekarang Allah muliakannya pula dengan pangkat kedudukan & kekuasaan.

ii- dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah- kamu maafkanlah kami yang khilaf ini!

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ ‎﴿٢٩﴾‏

Ayat 92- {Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.} (Yusuf 12:92)

  1. Yusuf tidak berdendam dan tidak mahu memanjangkan cerita; terus menerima kemaafan mereka dengan penuh kesabaran tanpa ada perasaan marah untuk membalas atau memalukan mereka.
  2. Yusuf berkata pada hari ini mereka semua tidak akan ditempelak atau disalahkan tentang perbuatan mereka yang telah terlanjur itu.
  3. Hikmah di sebalik ujian itu Yusuf sampai ke Mesir melalui beberapa pengalaman hidup yang mahal!

Inilah yang dikatakan awalnya terbuang tetapi akhirnya terbilang- dari telaga ke penjara kemudian ke istana!

  1. Yusuf juga terus mengambil kesempatan memberi nasihat dan berdakwah kepada abang-abangnya untuk bertaubat dan meninggalkan segala perangai mereka yang buruk!

*Kata ulama’ tadabbur betapa sifat seorang pendakwah dalam diri Yusuf sentiasa mengambil peluang yang ada, jika dulu di dalam penjara kini kepada saudara-saudaranya sendiri pula.

  1. Kata Yusuf dengan penuh kesabaran dan kemaafan: {Semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.}

ٱذْهَبُوا۟ بِقَمِيصِى هَٰذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىٰ وَجْهِ أَبِى يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِى بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٣٩﴾‏

Ayat 93- {Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya”.} (Yusuf 12:93)

  1. Yusuf lalu mengambil bajunya dan memberikan kepada abang-abangnya untuk dibawa balik dan berikan kepada bapa mereka di Palestin!

*Ini kerana bapanya sakit kerana kerinduan bukan kerana panyakit biasa.

  1. Yakni Yusuf mahu memberikan berita gembira kepada bapanya dengan memberikan bajunya sebagai tanda dia masih hidup.

Serta bau baju itu akan dapat memberi kegembiraan dan kesegaran kepada Nabi Ya’qub lalu memulihkan kembali matanya yang hampir buta akibat menangis kesedihan merindukan Yusuf.

  1. Ini agar mereka semua sihat dan dapat bermusafir pergi ke Mesir untuk berjumpa Yusuf lalu terlaksanalah sebagaimana mimpi Yusuf ketika kecil dulu.
  2. Ini kerana perasaan suka gembira besar kesannya kepada kesihatan tubuh badan seseorang.

Kita ada ketika tak sihat bukan sebab sakit tetapi kerana sakit jiwa atau hati seperti stress, kemurungan atau depression.

Hati yang gembira dan tenang akan dapat memulihkan fizikal tubuh juga.

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 88- {Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: “Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan….}- saudara-saudara Yusuf masuk berjumpa menteri Yusuf dan mengadu hal keadaan mereka yang dalam kesusahan di negeri mereka.

Mereka juga meminta agar menteri membantu mereka untuk meringankan beban mereka dengan bersedekah (bayaran ringan) kepada mereka.

Kata ulama’: Boleh kita mengadu dan menceritakan hal keadaan kita kepada orang yang memang kita tahu atau harap boleh menolong dan membantu kita menyelesaikan masalah itu.
Bukan dengan niat untuk meratap atau hilang sabar!

Iaitu kepada orang yang bertanggung-jawab atau ada kemampuan untuk mennghilangkan masalah atau kesusahan kita itu- seperti pak imam, penghulu, ketua kampung, wakil rakyat, menteri atau seumpamanya.

*Dengan syarat bukan kerana hilang sabar!

Ini supaya orang yang bertanggung-jawab itu tahu masalah & kesusahan yang dialami lalu tahu pula apa yang perlu dibantu.

Walaupun kita nampak Yusuf memaafkan saudara-saudaranya dan nampak seperti tidak marah atau sedih; tetapi soal dalam hati tiada siapa yang tahu!

Tetapi bak kata pepatah Arab:
Tidaklah sama orang yang mengoyakkan baju kemudian menjahitnya semula dengan baju yang tidak koyak dari awal.

Yakni walaupun sudah meminta maaf- maaf diterima dan kesalahan dilupakan tetapi luka tetap berparut!

Yakni kenangan pahit yang menyakiti tetap ada!
Maka kita hati-hatilah jangan dikoyakkan baju walaupun boleh dijahit semula- yakni jagalah hubungan kita dengan orang agar tidak tercalar supaya kita tidak perlu meminta maaf nanti.

  1. Ayat 88- {Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma”.}- mereka mengadu hal mereka susah dan meminta bantuan dan sedekah dari menteri sedangkan arahan bapa mereka suruh mereka pergi siasat cari maklumat tentang adik-adik mereka!

Kata ulama’: Seseorang itu apabila tahu atau syak bahawa orang yang disiasat dan dicarinya itu sudah dijumpai- dia mestilah menggunakan cara dan taktik tertentu seperti menggunakan rayuan dan kata-kata yang boleh menyentuh perasaan orang itu untuk membuka cerita atau mengakui perkara tersebut.

Jadi pengaduan mereka itu untuk menyentuh hati tuan menteri agar bermurah hati memberi sukatan dan timbangan kepada mereka!

Kata ulama’ tafsir: Ulama’ fiqh ambil perkataan { فَأَوْفِ لَنَا ٱلْكَيْلَ- sempurnakanlah sukatan} untuk menunjukkan apabila kita membeli sesuatu; upah orang kerja itu sebenarnya penjual yang kena bayar.

Seperti kita beli barang hari ini- postage sepatutnya ditanggung oleh penjual- tetapi tidak begitu sekarang ini – postge pembeli yang kena tanggung!

*Maka tidak mengapalah atas persetujuan kedua belah pihak!

Keindahan ayat al-Quran lagi:
Ayat ini juga: {dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma}- mereka tidak direct mengatakan Allah akan balas kepada tuan jika tuan bersedekah kepada kami- tetapi Allah akan beri balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma.

Jawapan: Ini juga ayat ta’rid- kerana mereka tidak tahu menteri itu seorang Islam atau kafir- maka jika kafir tidak akan dapat pahala- lalu mereka guna ayat ta’rid.

Sama seperti dalam ayat sebelum ini yang mana Yusuf mengatakan akan menahan siapa yang ada bejana raja dengannya- bukan siapa yang mencurinya!

Kerana dia tahu mereka bukan mencurinya tetapi pengawalnya yang meletakkan bejana raja di dalam bekas mereka sebagai satu helah!

Dalam surah Yusuf ini banyak ayat-ayat yang tinggi dan penuh bahasa ta’rid, bahasa berlapik dan penuh sopan.

  1. Ayat 90- {Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.}- apabila abang-abangnya bertanya Yusuf terus mengaku & menyebut namanya: Akulah Yusuf.

Kata ulama’: Inilah pentingnya apabila kita nak berkenalan, sebut dengan jelas nama kita.

Sebagaimana Yusuf sebut dan guna namanya untuk membesarkan apa yang berlaku dan supaya mereka yakin akan dia!

Kemudian sempat Yusuf berceramah dan nyatakan segala punca kebaikan yang dia dapat adalah kuniaan dari Allah dan sesiapa yang bertaqwa dan bersabar akan mendapat kebaikan & pahala dari Allah!

Sifat sabar adalah tanda keimanan yang tinggi- kerana orang yang sabar adalah orang yang akan dapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t!

Marilah kita menjadi orang yang sabar lalu mendapat kebaikan dari Allah!

Allah juga tidak akan sia-siakan pahala orang yang buat baik!

Alhamdulillah begitulah Yusuf orang yang baik dan dia buat kebaikan kepada semua orang yang dia jumpa!

  1. Ayat 92- {Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu,…}-

Yusuf tidak berdendam kepada saudara-saudaranya- dia tidak mencela mereka dan mengatakan apa yang lepas biarkan berlalu!

Ini kerana Yusuf sekarang telah selamat dan mendapat kedudukan yang baik- menjadi menteri negeri Mesir & keprcayaan raja yang mulia!

Maka dia mahu lagi mengungkit kerana apa yang berlaku semuanya ada hikmah!

Tidak mahu menempelak atau menyalahkan abangnya lagi- biarlah dia terbuang pada awalnya tetapi terbilang pada akhirnya- susah pada awal senang akhirnya!

Yusuf juga terus berdakwah dan memberi nasihat kepada saudara-saudaranya agar bertaubat, meninggalkan segala dosa maksiat dan semua perbuatan yang tidak baik!

Kata ulama’ tadabbur lagi: Nabi Yusuf a.s ini begitu sempurna sifat sabarnya:

i- sabar ketika terpaksa menanggung kesusahan- dicampak & ditinggalkan dalam telaga ketika kecil lagi, berpisah dari ibu bapa, diculik dijual keluar negerinya, kemudian dipenjara, semuanya dihadapi dengan sabar!

ii- kemudian apabila dia berkuasa, tiba saat untuk pembalasan- tetapi Yusuf memilih untuk memaafkan!

Ini adalah sabar pilihan pula- tidak ambil tindakan dan membalas kejahatan saudaranya walaupun ketika dia mampu dan berkuasa untuk bertindak dan menghukum mereka!

Begitulah kita manusia ini ada dua jenis atau keadaan sabar:

i- sabar yang terpaksa (صبر الاضطرار)- memang tak boleh nak buat apa- nak balas tiada kuasa maka kena sabar sajalah!

ii- sabar pilihan (صبر الاختيار)- walaupun mampu untuk membalas tetapi kita memilih untuk bersabar dan memaafkan!

  1. Ayat 93- {Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya”.}-

Yusuf mengirim bajunya kepada bapanya dan menyuruh untuk diletakkan pada mukanya bagi dapat memulihkan penglihatan mata bapanya semula!

Penyembuh penyakit ini ada dua samada:
i- dengan ubatan atau ramuan penawar fizikal.
ii- atau sebab lain yang Allah buat seperti sebab kejiwaan.

Seperti isu Nabi Ya’qub ini- Nabi Yusuf tahu bapanya bukan sakit penyakit fizikal biasa; tetapi sakit kerinduan akan anaknya yang hilang sejak dari kecil lagi buat sekian lama, memendam rasa dalam hatinya.

Inilah penawar dari sudut psikologi- apabila Nabi Ya’qub terbau saja bau baju Yusuf terus celik matanya dan mengatakan dia telah tercium bau Yusuf walaupun ketika itu baju Yusuf masih dalam perjalanan dan belum sampai lagi ke rumahnya.

Maka pastilah bahawa anaknya masih hidup maka kita lihat apakah kisah seterusnya besok insya’ Allah.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 25/01/2026 / 06 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/16PMCVadVx/

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top