View Categories

(24) Surah Yusuf: Ayat 94-98

12 min read

Nabi Ya‘qub Menghidu Bau Yusuf, Matanya Celik Semula & Anaknya Mohon Ampun.

Live Pagi Isnin 26/01/2026 / 07 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (24) Ayat [94-98]

Full video: https://youtu.be/P76-Nf0M84E?si=_wbmLu5FIl8bHIST

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 94 sehingga ayat 98 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini merupakan episod yang ke-16 bagi kisah nabi Yusuf a.s.

Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan apabila rombongan saudara Yusuf keluar dari Mesir sambil membawa baju Yusuf- Allah beri mukjizat kepada Nabi Ya‘qub dapat menghidu bau Yusuf.

Keluarganya yang di rumah mengatakan dia masih dalam kekeliruannya yang lama- ini kerana bagi mereka Yusuf telah lama mati!

  1. Apabila rombongan anaknya dari Mesir tiba dan mereka meletakkan baju Yusuf dimuka bapanya, terus mata Nabi Ya’qub celik semula!
  2. Setelah itu anak-anaknya mohon ampun kepada Allah dan kepada bapa mereka akan perbuatan yang salah sebelum ini.

Nabi Ya’qub mengatakan dia akan meminta ampun kepada Allah akan perbuatan mereka itu.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang saudara-saudara Yusuf telah diperkenalkan dirinya oleh Yusuf sendiri dan Yusuf beri bajunya untuk dibawa kepada bapa mereka nabi Ya’qub!

ii- nabi Ya’qub yang berada di Palestin berkata kepada keluarganya yang ada di rumah bahawa dia mencium bau anaknya Yusuf.

Ini tidak pelik, kerana ini semua mukjizat, suatu kemuliaan yang Allah anugerahkan kepada Ya’qub, sebagai seorang nabinya, dia boleh mencium bau itu dari awal lagi!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلْعِيرُ قَالَ أَبُوهُمْ إِنِّى لَأَجِدُ رِيحَ يُوسُفَ ۖ لَوْلَآ أَن تُفَنِّدُونِ ‎﴿٤٩﴾

Ayat 94- {Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)”.} (Yusuf 12:94)

  1. Sebaik saja rombongan kafilah anak-anaknya keluar dari Mesir menuju ke Palestin membawa baju Yusuf a.s, bapa mereka yang berada di rumah mereka di Palestin berkata kepada ahli keluarganya yang ada bersamanya:

i- bahawa aku dapat mencium bau Yusuf.
ii- kalaulah kamu tak kata aku nyanyuk atau masih dalam kesedihan tentang Yusuf sehingga terbayang macam-macam- pasti kamu akan percaya.

  1. Ini kerana sebagai seorang nabi, Nabi Ya’qub dapat mencium bau anaknya Yusuf walaupun mereka yang bawa baju Yusuf masih berada jauh beratus batu dari Palestin; ini adalah dengan bantuan mukjizat dari Allah s.w.t.
  2. Sebagaimana kisah Anas bin an-Nadhar r.a. seorang sahabat Nabi s.a.w yang mulia, yang mencium bau syurga dari arah bukit Uhud ketika Perang Uhud.

Dengan semangat tinggi, beliau berkata kepada Sa’ad bin Mu’az: “Wahai Sa’ad, demi Tuhan Kaabah!
Aku mencium bau syurga dari balik Gunung Uhud!”

Lalu dia menerobos masuk ke barisan musuh dan mati syahid. [HR Bukhari & Muslim].

  1. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w juga tentang wanita yang berpakaian tetapi telanjang iaitu tidak menutup aurat dengan sempurna serta beberapa perbuatan keji lagi bahawa:

“Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu. [HR Muslim (2128)].

*Jika untuk para nabi dipanggil mukjizat- untuk orang biasa dipanggil karamah.

قَالُوا۟ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ ‎﴿٥٩﴾‏

Ayat 95- {Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama”.} (Yusuf 12:95)

  1. Betullah- mereka yang ada di rumah (keluarganya yang lain- bukan anak-anaknya kerana mereka berada di Mesir) menafikannya dan marah kepada Ya’qub dengan mengatakan dia berada dalam kesesatan penyakit lamanya {إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ}.
  2. Maksudnya penyakit lama yang berlebihan merindui dan mengingati Yusuf, menyebut-nyebut tentang Yusuf sehingga hilang ingatan akan realiti yang berlaku iaitu Yusuf telah tiada atau mati lalu menyangka Yusuf masih ada!
  3. Kerana itu kita orang beriman kena bersabar; jangan gopoh berlorat, terlalu cepat & kuat komen atau berjanji atau mengulas sesuatu perkara atau isu yang kita tahu supaya kita tidak kesipuan di hadapan hari nanti jika salah!

*Tetapi jika kamu tak malu buat atau cakap apa sajalah!

فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلْبَشِيرُ أَلْقَىٰهُ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ فَٱرْتَدَّ بَصِيرًا ۖ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ ‎﴿٦٩﴾‏

Ayat 96- {Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?”} (Yusuf 12:96)|

  1. Sebaik saja tiba rombongan kafilah dari Mesir itu dengan berita gembira, mereka yang membawa baju Yusuf terus meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala.

Dikatakan Robil, abang sulung yang membawa baju Yusuf itu!

*Sebagaimana dinyatakan sebelum ini bahawa seseorang itu boleh sembuh secara benda fizikal atau kejiwaan- dengan gembira dan suka hati!

  1. Betapa gembiranya Nabi Ya’qub a.s apabila anaknya Yusuf yang dirindui selama ini masih hidup, bukan saja hidup tetapi menjadi seorang menteri yang mulia lagi baik- seorang yang tinggi akhlak dan budi pekertinya!

Bukan hanya Yusuf, tetapi Bunyamin yang baru hilang juga dapat kembali!!!

  1. Nabi Yaakub berkata menempelak mereka yang tidak mempercayainya tadi: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?”
  2. Yusuf sebagai seorang nabi, anak kepada nabi, cucu & cicit kepada seorang nabi juga- tidak lupa diri dan akan asal-usulnya walaupun setelah menjadi orang yang mulia dan tinggi kedudukan di negara Mesir.

Selepas senang kita tak tahu mungkin ada kesusahan menanti- begitu juga sebaliknya- maka sentiasalah kita sedar diri!

قَالُوا۟ يَٰٓأَبَانَا ٱسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَآ إِنَّا كُنَّا خَٰطِـِٔينَ ‎﴿٧٩﴾

Ayat 97- {Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.} (Yusuf 12:97)

  1. Saudara-saudara Yusuf yang telah insaf terus mengakui semua kesalahan mereka selama ini yang menipu bapa mereka dan khianat terhadap Yusuf yang menyebabkan Yusuf mengalami banyak ujian kesusahan pada awal kehidupannya.
  2. Mereka dengan penuh kekesalan dan keinsafan meminta maaf kepada bapa mereka & Yusuf dan memohon agar bapa mereka meminta ampun bagi mereka kepada Allah akan dosa-dosa mereka.

Ayat 98- {Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.} (Yusuf 12:98)

قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ‎﴿٨٩﴾‏

  1. Nabi Ya’qub tidak terus menerimanya tetapi mengatakan bahawa:

i- Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku;
ii- sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani bagi orang yang benar bertaubat & insaf!!!

  1. Nabi Ya’qub berkata: {Aku akan meminta ampun…}- yakni sabar dan tunggulah kamu- aku akan tolong minta ampun bagi kamu dari Tuhanku.
  2. Ini kerana jenayah mereka berat dan memerlukan keinsafan dan taubat yang sebenarnya serta berkait dengan Yusuf pula bukan hanya terserah kepada bapa mereka Ya’qub saja.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 94- {Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)”.} – yakni sebaik saja rombongan kafilah itu keluar dari sempadan Mesir yang masih jauh beratus batu- Ya’qub telah dapat mencium bau anaknya Yusuf.

Kata ulama’ tadabbur:
Ini kerana sekarang sudah habis tempoh ujian, waktu untuk bergembira dan telah meraikan kegembiraan itu!

Manakala sebelum ini adalah waktu ujian maka Allah tidak buka lagi mukjizatnya untuk nabi Ya’qub dapat mencium bau Yusuf- jika tidak pastilah Ya’qub tidak akan berdukacita dan dalam kesusahan begitu- itulah waktu ujian!

Kata ulama’ ar-Razi :
Dalam waktu ujian, apa yang senang atau simple pun akan menjadi susah!
Tetapi dalam waktu bukan ujian; perkara yang susah dan berat pun akan jadi mudah!

Begitulah keadaannya apabila waktu ujian tiada pertolongan atau bantuan yang dikehendaki sampai; tetapi apabila bukan waktu yang kita susah, tiada lagi keperluan banyak pula sesuatu itu!

Begitulah Allah nak lihat kita sabar atau tak sabar ketika waktu ujian itu- kerana itu susah & tiada bantuan!

  1. Ayat 96- {Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu,…}- dikatakan orang yang membawa khabar gembira ini bergerak laju dulu di depan meninggalkan kafilah yang ramai-ramai itu!

Dia bersegera mahu menyampaikan khabar gembira itu kepada Nabi Ya’qub yang sedang menunggu-nunggu, ternanti khabara akan anak-anaknya.

Berita gembira bahawa Yusuf masih hidup dan telah dijumpai!

*Dikatakan abang sulung Yahuza atau Robil tadi yang datang awal.

Begitulah pentingnya untuk segera memaklumkan khabar gembira yang kita dapat atau ada- terutamanya kepada orang tua atau keluarga yang sedang menunggu keputusan.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kita boleh sampaikan dan kongsikan khabar gembira samada tentang isu dunia atau bab akhirat!

Boleh menyampaikan berita yang menggembirakan keluarga kita- kita boleh bergembira dengan sesuatu kejayaan yang kita dapat dari segi duniawi- & kita sendiri bersujud syukur kepada Allah!

Tetapi jangan melampaui kegembiraan itu, jika mampu boleh buat majlis kesyukuran serta jangan lupa bersyukur kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 97- {Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.}- anak-anak nabi Ya’qub meminta ampun kepada bapa mereka nabi Ya’qub dan mengaku bahawa mereka telah bersalah!

Kenapa mereka tidak minta ampun terus kepada Allah sendiri; tetapi minta minta ampun kepada bapa mereka & minta bapa mereka tolong minta ampun kepada mereka???

Jawapan:
Ini kerana kesalahan & dosa ada dua jenis:

i- dosa direct kepada Allah- cukup kita menangis kekesalan, istighfar dan bertaubat minta ampun kepada Allah- insya’ Allah- Allah akan ampunkan!

ii- dosa yang berkait dengan hak manusia- wajib mendapat kemaafan dari tuan hak- tidak akan lepas selagi tak minta maaf dengan tuannya selain minta ampun kepada Allah!

Maka kerana kesalahan mereka ini selain kepada Allah adalah kepada bapa mereka!

Mereka menipu bapa mereka, mengkhianati kepercayaannya, memisahkan anaknya Yusuf dengan buat jahat terhadap Yusuf dan lain-lain.

Jadi dosa kepada sesama manusia tidak cukup dengan istighfar kepada Allah saja, wajib kena dapat kemaafan dari orang itu sendiri!

Tidak lengkap untuk minta ampun dengan Allah s.w.t semata-mata tetapi kena minta maaf dengan tuannya sendiri.

Hadis- Rasulullah S.A.W memberi amaran keras kepada sesiapa yang menuduh seseorang tanpa bukti:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنها قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ:
وَ مَنْ قَالَ فىِ مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيْهِ أَسْكَنَهُ اللهُ رَدْغَةَ اْلخَبَالِ حَتىَّ يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

Dari Abdullah bin Umar R.A berkata, aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa yang berkata mengenai seorang mukmin yang tidak ada padanya, maka Allah akan menempatkannya pada “rodghah al-Khabal” sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan” (HR Abu Daud No: 3597).

Maksud hadis:
i- perkataan (rodghah al-Khabal- رَدْغَةَ اْلخَبَالِ)- ialah tempat yang berisi cairan dari penduduk neraka berupa keringat, darah, nanah, kotoran dan sebagainya.

ii- sehingga ia keluar- ialah keluar dari apa yang ia katakan atau mencabut tuduhan tersebut dan memohon maaf.

Bayangkan akibatnya—hanya kerana satu tuduhan yang tidak benar, seseorang boleh mendapat azab yang dahsyat di akhirat kelak.

Allahu Akbar betapa takutnya kita yang banyak berdosa sesama manusia ini!!!

Maka elakkan forward sesuatu yang berbentuk tuduhan terhadap seseorang.

Jika salah ia menjadi fitnah- jika betulpun dia jadi mengumpat- yang mana keduanya adalah satu dosa besar!

  1. Ayat 98- {Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.}- nabi Ya’qub kata dia akan minta ampun kepada Allah bagi mereka- ini kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun.

Kata ulama’ tadabbur: Di sini terdapat perbezaan antara jawapan Nabi Ya’qub dan jawapan Nabi Yusuf apabila saudara-saudaranya meminta maaf.

i- dalam ayat ini- Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku.

Nabi Ya’qub tidak spontan terus minta ampun untuk mereka- hanya berjanji akan buatnya, akan minta ampun untuk kamu!

ii- Ayat 92- {Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.}- manakala Yusuf terus secara lansung menerima maaf mereka dan meminta ampun untuk mereka kepada Allah!

Jawapanya:
i- pertama nabi Ya’qub sebagai seorang bapa adalah murabbi, pembimbing untuk anak-anaknya- jadi dia kena berkeras sikit agar anak-anaknya terasa berat dan besar dosa yang mereka buat itu- bukan mudah-mudah untuk dimaafkan, belum tentu diampunkan lagi!!

Maka para guru pendidik pembimbing jangan berlembut sangat dengan anak-anak yang telah melakukan dosa ini- kita kena berkeras kerana mereka telah insaf- kita kena berlembut nak suruh mereka bertaubat sebelum mereka mengakui dosa itu!

Maka apabila dah insaf- biar lekat terkunci dalam kepala mereka agar jangan mengulangi lagi dosa itu kerana bukan mudah-mudah untuk minta ampun.

ii- kedua kerana dosa anak-anaknya kepada Nabi Ya’qub tidak direct kepada bapa mereka- tetapi dosa mereka adalah kepada Yusuf- perbuatan buruk mereka ke atas Yusuf cuma derhaka kepada bapa mereka.

Jadi bapa mereka mahu lihat dulu apakah Yusuf telah memaafkan mereka, jika dah maafkan baru nak minta ampun dengan Allah.

iii- ini adalah kesalahan dan dosa yang berat lagi besar- berpuluh tahun telah berlarutan!

Kesan dari dosa ini amat besar dan banyak ke atas jiwa dan akhlak orang yang terlibat!

Kesan kejiwaan ke atas bapa mereka dan ke atas Yusuf sendiri lagi teruk.

Jadi jangan mudah nak beri keampunan- uslub murabbi yang penuh hikmah- tunggu dulu untuk berikan mereka ini kesedaran dan keinsafan yang sepenuhnya!

iv- Yusuf adalah seorang yang berkuasa- boleh saja untuk membalas dan menghukum abang-abangnya!

Dia juga mampu untuk terus memberikan keampunan.

v- Manakala bapanya adalah seorang yang lemah, menanggung dan memendam segala dukacita dalam hatinya selama ini- maka tidak semudah itu dia akan maafkan- tetapi akan mengambil masa untuk prosesnya!

  1. Ayat 96- {… dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala.}- kisah baju ini adalah satu mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Yusuf & nabi Ya’qub.

Terdapat banyak kisah Israiliyyat tentang baju yang dikirimkan oleh Nabi Yusuf kepada ayahnya, Nabi Ya’qub, untuk menyembuhkan kebutaannya.

Dikatan ia adalah baju yang sama dengan yang pernah dipakai oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika beliau dibakar oleh Raja Namrud.

Dalam riwayat Israiliyyat tersebut, disebutkan bahawa baju tersebut berasal dari syurga, yang dibawa oleh Malaikat Jibril untuk dikenakan Nabi Ibrahim ketika dicampakkan ke dalam api.

Kemudian Ibrahim memakaikannya kepada anak Ishaq, Ishaq memakaikannya kepada anak Ya’qub dan Ya’qub memakaikannya kepada anak Yusuf pula!

Kata ulama’ tafsir ini semua adalah cerita Israiliyyat yang tidak boleh dipakai- tiada sumber dalil dan tidak berasal dari wahyu langsung.

Terdapat 3 kisah baju Nabi Yusuf dalam surah ini:

i- baju yang menjadi dalil membuktikan bahawa saudara-saudaranya menipu.
Iaitu dalam ayat 18: {Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu.}

ii- baju yang menjadi bukti bahawa Yusuf tidak bersalah- bajunya carik dari belakang di tarik oleh isteri al-Aziz- ayat 25: {Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang;}.

iii- baju yang menjadi mukjizat penyembuh mata buat bapanya Nabi Ya’qub iaitu ayat 96 ini: {… dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub,}.

Ini menunjukkan bahawa baju itu adalah mukjizat kurniaan Allah s.w.t.

Kita berhenti dulu setakat ini- esok insya’ Allah kita tengok apa yang terjadi seterusnya setelah nabi Ya’qub celik kembali matanya dan tahu tentang keberadaan anaknya Yusuf.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 26/01/2026 / 07 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1BxbRtDjQK/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top