View Categories

(25) Surah Yusuf: Ayat 99-101

15 min read

Nabi Ya‘qub Bertemu Yusuf, Memberi Penghormatan & Yusuf Berdoa Kepada Allah Mohon Istiqamah.

Live Pagi Selasa 27/01/2026 / 08 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (25) Ayat [99-101]

Full video: https://youtu.be/PgLy51b_VQg?si=-g-ayoCrVRQJZMJp

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 99 dan ayat 100 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita sudah bertemu anakanda & ayahanda yang terpisah lama antara Nabi Ya‘qub dan Nabi Yusuf a.s.
  3. Yusuf memberi sambutan dengan penuh penghormatan kedatangan bapanya dan rombongan.

Yusuf meletakkan bapanya dan abang-abangnya di atas singgahsananya lalu mereka bersujud sebagai penghormatan terhadap Yusuf pula.

  1. Yusuf bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkannya dari pelbagai ujian dan godaan syaitan!

Lalu dia berdoa kepada Allah mohon istiqamah atas Islam sehingga dia mati dan bersama orang-orang yang soleh di Akhirat kelak termasuk datuk moyangnya para nabi yang soleh.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang saudara Yusuf yang telah kembali ke Palestin bawa baju Yusuf, mata bapa mereka telah celik, mereka meminta maaf kepada bapa mereka dan Yusuf menyuruh mereka bawa semua keluarga datang ke Mesir untuk bertemu dengannya.

ii- lalu dalam ayat ini Allah ceritakan kisah pertemuan Yusuf dan bapanya serta sambutan dan penghormatan yang disediakan Yusuf untuk menyambut ketibaan mereka.

*Jika baca yang Israiliyyat banyak kisah yang penuh warna-warni dan detail- tak perlulah kita cari dan galinya; cukup dengan apa yang diceritakan oleh Allah S.W.T dalam surah ini.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

فَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ٱدْخُلُوا۟ مِصْرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ ‎﴿٩٩﴾

Ayat 99- {Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.} (Yusuf 12:99)

  1. Akhirnya tibalah nabi Ya’qub dan keluarganya di Mesir- Yusuf segera menyambut mereka dengan penuh penghormatan dan memeluk kedua ibu bapanya dengan penuh kerinduan.
  2. Kata Ibnul Jauzi terdapat khilaf ulama’ tentang ibu ini- apakah itu ibu kandung Yusuf atau isteri bapanya yang lain;

i- pendapat pertama- ini adalah isteri bapanya yang juga ibu saudaranya yang dikahwini bapanya setelah kematian ibu kandungnya kerana dikatakan ibu kandung Yusuf telah meninggal dunia: ini pendapat Ibnu Abbas r.a.

ii- ada juga yang mengatakan itu adalah ibu kandung Yusuf sendiri- ini pendapat al-Hasan al-Basri & Ibnu Ishaq– pendapat ini disokong oleh Ibnu Jarir.

Ini kerana apabila ayat al-Quran menggunakan perkataan {أَبَوَيْهِ} ia merujuk kepada kedua ibu bapa kandung.

*Jadi alhamdulillah samada ibu kandung atau ibu tiri- keduanya adalah ibunya!

  1. Yusuf menyambut mereka sambil berkata: Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
  2. Sekali lagi ada perbincangan- ada kata ucapan ini menunjukkan:

i- Yusuf menunggu di sempadan Mesir lagi kerana itu dia berkata begitu- mereka belum masuk lagi dalam negara Mesir.

ii- ada ulama’ kata itu hanya ucapan sambutan yang biasa, Yusuf memang menunggu di Mesir lalu mengucapkan ucapan itu sebagai selamat datang kepada mereka.

  1. Yusuf mengalu-alukan kedatangan mereka dan mengucapkan insya’ Allah mereka semua akan berada dalam keamanan semasa berada di Mesir, tempat tinggal ada, makanan mencukupi!!

*Begitulah cara sambutan tetamu- penuh alu-aluan (tarhib) dan tunjukkan kegembiraan dalam sambutan kita!

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى ٱلْعَرْشِ وَخَرُّوا۟ لَهُۥ سُجَّدًا ۖ وَقَالَ يَٰٓأَبَتِ هَٰذَا تَأْوِيلُ رُءْيَٰىَ مِن قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا ۖ وَقَدْ أَحْسَنَ بِىٓ إِذْ أَخْرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجْنِ وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلْبَدْوِ مِنۢ بَعْدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيْطَٰنُ بَيْنِى وَبَيْنَ إِخْوَتِىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى لَطِيفٌ لِّمَا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ ‎﴿٠٠١

Ayat 100- {Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (Yusuf 12:100)

  1. Yusuf kemudian meletakan ibu bapanya bersamanya di atas singgahsananya sebagai penghormatan kepada mereka dan tanda menunjukkan kegembiraannya!
  2. Tidak lama setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf- ibu bapa Yusuf & sebelas orang saudaranya tunduk sujud kepada Yusuf menunjukkan kegembiraan dan hormat!
  3. Sujud di sini {وَخَرُّوا۟ لَهُۥ سُجَّدًۭا} hanya sebagai tunduk penghormatan yang dibenarkan oleh Syari’ah mereka.

Kebanyakan ulama’ seperti Ibnu Kathir  kata begitulah cara penghormatan kepada raja-raja dan pembesar mereka pada zaman itu dan dibenarkan.

  1. Dibenarkan sujud kepada sesama makhluk sebagai penghormatan (bukan ibadat) bermula pada zaman nabi Adam sehingga zaman Nabi Isa a.s.
    Kemudian diharamkan sujud kepada orang dalam agama kita ini!
  2. Hendaklah ingat baik-baik sujud atau rukuk kepada sesama makhluk ini diharamkan dalam Syari’ah kita walaupun sekadar untuk penghormatan!

Tidak kira tok syeikh atau baba, tok guru yang dihormati- jangan sesekali membiarkan anak murid rukuk atau sujud kepada sesama manusia kerana akan menimbulkan ketaksuban yang melampaui dan menyalahi Syari’ah!!

  1. Kemudian Yusuf berkata kepada bapanya: {“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar.”}
  2. Yakni kedua ibu bapa dan sebelas orang saudara itu tunduk memberi penghormatan kepadanya sebagaimana yang dilihat dalam mimpinya sebelum ini:

{إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَـٰجِدِينَ}-

{(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.} (Yusuf 12:4)
*Telah terjadilah mimpi Yusuf yang benar itu.

  1. Yusuf berkata lagi bahawa sesungguhnya Allah telah melimpahkan kebaikan kepadanya iaitu:
    i- ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara;
    ii- dan Ia membawa kamu ke mari dari desa
    iii- ini sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.
  2. Lihatlah Yusuf sebagai seorang yang baik sifatnya lagi mulia menggunakan bahasa yang lunak yang tidak menunjukkan kesalahan dan perbuatan buruk saudara-saudaranya ke atasnya sebelum ini!!!

i- Yusuf tidak sebut lansung tentang telaga tetapi disebut tentang penjara, kerana dia keluar dari penjara selepas dibersihkan tuduhan ke atasnya.

ii- tidak disebut saudaranya yang rosak kerana ikut hasutan syaitan- tetapi katanya syaitan yang merosakkan hubungan mereka!!!

  1. Yusuf terus memuji Allah:
    i- {Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya;..}-
    Betapa susunan taqdir Allah s.w.t begitu cantik- susun atur yang Allah buat untuk mejadikan Yusuf dari seorang yang terbuang kepada seorang yang terbilang akhirnya dengan ilmu yang Allah anugerahkan!!

ii- {sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}:

i- yakni Allah jua-lah yang mengetahui segala kesusahan dan kesenangannya.

ii- semua ini berlaku dengan susunan dan aturan Allah s.w.t yang maha Bijaksana.

  1. Yakni Jika Yusuf tidak dicampak ke dalam telaga, tidak dijual ke Mesir; dia tidak akan dibeli oleh menteri Mesir, jika Yusuf tak masuk ke dalam penjara dia tidak akan berjumpa dengan si pembuat air raja yang akan memperkenalkannya pula kepada raja- dan seterusnya yang menjadi sejarah sehingga Yusuf menjadi menteri yang mulia di Mesir!

رَبِّ قَدْ ءَاتَيْتَنِى مِنَ ٱلْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِى مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِى مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّٰلِحِينَ ‎﴿١٠١﴾

Ayat 101- {“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.} (Yusuf 12:101)

  1. Munasabah ayat ini jelas- apabila selesai semua urusan dan sambutan pertemuan dengan keluarganya Yusuf bermunajat kepada Allah s.w.t pula minta Allah istiqomahkan dia atas Islam dan mati dalam Islam serta bertemu dengan nenek moyangnya para nabi yang soleh!
  2. Nota [429]: Nabi Yusuf a.s memohon kepada Allah s.w.t akan husnul-khatimah- kesudahan yang baik yakni mati dalam Islam.

Sesudah Allah mengurniakan kepadanya pelbagai nikmat yang tidak ternilai, menyelamatkannya dari pelbagai penderitaan yang ditempuhnya, kemudian mengurniakan kepadanya pangkat nabi & kedudukan.

Serta menemukannya dengan keluarga & ibu bapanya setelah mereka bercerai-berai buat beberapa lamanya.

Dengan ini berakhirlah kisah Nabi Yusuf yang mengandungi pelbagai contoh tauladan yang mendatangkan iktibar!

  1. Kita tambah lagi dengan doa & munajat Nabi Yusuf- katanya: Wahai Tuhanku!

i- Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) untuk menguruskan negeri Mesir yang baik ini.

ii- dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi, ilmu tentang kitab-kitab Islam yang terdahulu serta ilmu yang dibawa oleh nabi terdahulu!

  1. Cara Nabi Yusuf berdoa:
    i- memuji Allah s.w.t dengan segala sifat-Nya: {Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat;

ii- kemudian Yusuf berdoa meminta agar dia istiqomah atas agama Islam:

{… sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.}- iaitu para nabi datuk moyangnya yang terdahulu.

  1. Doa Nabi Yusuf ini amat menarik- ketika berada di kemuncak kekuasaan & darjat tinggi yang dia dapat- Yusuf amat tawadhuk- minta istiqomah dan husnul-khatimah.

*Pentingnya doa ini jika kita mendapat jawatan dan kuasa agar jangan angkuh & sombong kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan.

  1. Bacalah doa Nabi Yusuf ini selalu:
    { تَوَفَّنِى مُسْلِمًۭا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ}-
    maksudnya: “Ya Allah- sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.
  2. Kisah Nabi Yusuf telah tamat tetapi pengajaran dan ibrah yang didapati tidak akan habis-habis- begitulah al-Quran makin dikunyah makin terasa kemanisannya!!!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 99- {Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya,…}- betapa terujanya Yusuf dan bapanya Nabi Ya’qub apabila dapat bertemu setelah berpuluh tahun terpisah tanpa ucapan selamat tinggal!

Tak dapat kita bayangkan betapa gembiranya mereka, betapa nabi Ya’qub yang begitu mengasihi Yusuf, kehilangannya pula ketika masih kecil lagi, terpisah dengan paksa tanpa diketahui untung nasibnya!!!

Pergi semasa lecil balik apabila sudah dewasa.

Nabi Ya’qub yang memendam segala kedukaannya di dalam hatinya selama ini- terlerai dan terubat sudah!!!!
Alhamdulillah!

Nabi Yusuf juga mengucapkan kepada mereka: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.”

Begitulah sambutan dan pertemuan yang cukup menggembirakan, terubat segala kerinduan dan kedukaan selama ini!

  1. Ayat 100- {Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf.}- ibu bapa dan kesemua saudaranya yang berada di atas singgahsana tunduk sujud memberi penghormatan kepada Yusuf.

Para ulama’ tafsir sepakat mengatakan keluarga nabi Ya’qub (nabi Ya’qub sendiri dan anak-anaknya) tunduk sujud sebagai satu penghormatan kepada Yusuf- sesuai dengan adat-istiadat yang diguna-pakai kepada pembesar dan raja-raja pada zaman mereka itu!

Ia adalah sujud kerana hormat bukan sujud ibadat- dibenarkan dalam Syari’ah mereka.

Tetapi ingat- dalam Syari’ah kita sujud atau rukuk kepada sesama manusia tidak dibenarkan sama sekali walaupun untuk penghormatan!!!

Jika ada orang yang berbuat begitu dengan niat untuk menghormati guru mereka atau sesiapa saja- tok guru atau syeikh itulah yang kena tegur & larang; jangan biarkan orang jahil terus tenggelam dalam kejahilannya!

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a:

يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ ؟ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ ؟
قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ ؟ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ ‏”‏

Maksudnya: “Wahai Rasulullah S.A.W, seorang lelaki bertemu saudaranya atau sahabatnya lalu menundukkan badannya, bolehkah?
Nabi S.A.W berkata: Tidak boleh.
Bolehkah dia berpelukan dan bercium?
Baginda berkata: Tidak boleh.
Beliau berkata lagi, bolehkah kita berjabat tangan dengannya?
Baginda menjawab: boleh”.
[HR Tirmizi, No. 2728].

Bersalam boleh, bahkan amalan ini merupakan sunnah yang menghapuskan dosa seperti gugurnya dedaunan dari pokok.

Hadis Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim itu bertemu lalu mereka bersalaman melainkan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (HR Abu Daud & at-Tirmizi).

Begitu juga jika bangun menghormati seseorang secara sukarela dibolehkan.

Sebagaimana hadis – Rasulullah S.A.W bersabda:
“Berdirilah kamu semua untuk menghormati pemimpin kamu (Saad bin Muaz).” [HR Bukhari & Muslim].

Ia bertujuan menghormati kedudukan Saad untuk memutuskan hukum terhadap yahudi Bani Quraizah.

Tetapi bukan orang yang ingin dihormati itu suruh manusia bangun menghormatinya!

Sabda Rasulullah s.a.w juga:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَمْثُلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.” [HR Abu Daud].

*Hadis ini menegaskan larangan takabbur sombong dan menuntut penghormatan berlebihan.

*Berpeluk pula jika sudah lama tidak bertemu tidak mengapa- ini tidak- sudah jumpa 4 kali sehari ataupun setiap haripun masih nak berpeluk berlaga pipi juga!

  1. Ayat 100- { Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.}-

Yusuf memuji Allah yang telah melimpahkan nikmat dan kebaikan kepadanya setelah melalui ujian dan fitnah.

Nabi Yusuf a,s menggunakan ayat yang lunak dan begitu menarik agar tidak mengguriskan perasaan dan memalukan para saudaranya:

i- sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara;- yakni Allah menyelamatkannya lalu keluar dari penjara.

Nabi Yusuf tak sebut lansung tentang telaga kerana tidak mahu memalukan saudaranya.

Jika penjara isteri al-Aziz punya rancangan jahat bukan mereka.

Yakni Yusuf tidak mengungkit lansung luka lama agar tidak berdarah kembali!

ii- dan Ia membawa kamu ke mari dari desa- Allah yang bawa mereka datang dari kampung mereka ke Mesir- bukan mereka datang kerana lapar nak cari bekalan makanan!

iii- sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.}- sekali lagi Yusuf menggunakan ayat yang begitu baik- dia tak kata mereka adik-beradiknya yang dihasut dan dirosakkan syaitan lalu buat perkara buruk!

Tetapi syaitan yang merosakkan hubungan mereka- seolah kedua pihak- Yusuf dan abang-abangnya sama-sama bersalah!

Sedangkan Yusuf tidak bersalah tetapi mereka yang mengkhianati dan menzalimi Yusuf!

Para jemaah semua kita belajar dan contohilah bahasa Yusuf yang sangat indah dan lunak ini; insya’ Allah kita akan selamat, hubungan kekeluargaan kita akan mantap begitu juga persahabatan dengan kawan-kawan.

  1. Ayat 100- {Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}-

Yusuf mengatakan segala yang berlaku adalah susunan dari Allah yang penuh hikmah dan lemah-lembut tadbir-Nya, penuh kasih sayang!

Allah-lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana akan segala apa yang terjadi ke atas hamba-Nya!

Sebagaimana Yusuf dari terbuang pada awalnya menjadi terbilang pada akhirnya!

Begitu juga kita semua- jangan mudah koyak dari awal nanti susah untuk perbetulkan balik keadaan!

Memang setiap kita pasti ada perkara yang pada awalnya kita rasa sedih atau tidak suka dengan sesuatu ujian atau perkara; tetapi pada akhirnya kita dapati ia adalah sesuatu yang baik bagi kita!

Sebagaimana yang telah disebut: Ketika ujian atau musibah; perkara mudah pun akan jadi susah tetapi setelah hilang ujian itu- semua yang susah akan jadi mudah & senang!

Segala perbuatan dan taqdir Allah mempunyai hikmah yang besar- ada orang yang tahu ada yang tidak tahu!!!

  1. Ayat 101- {Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.}- akhirnya nabi Yusuf bermunajat & berdoa kepada Allah setelah dia mendapat kekuasaan & kerajaan:

Nabi Yusuf berdoa agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat, sentiasa istiqomah dan matikannya dalam Islam.

Bukan Yusuf minta mati lagi tetapi agar dia hidup dalam Islam & sehingga mati tetap dalam keadaan Islam lalu dihimpunkan bersama dengan orang-orang yang soleh!

Yusuf a.s menunjukkan bahawa dia sangat berhajat kepada rahmat Allah!

Yusuf walaupun dia seorang Nabi, orang besar, seorang menteri, dia ajar kepada kita agar sentiasa bergantung kepada Allah, sangat mengharapkan pertolongan dan jagaan Allah.

Yusuf juga berdoa agar dia dimatikan dalam Islam lalu dihimpunkan bersama orang soleh iaitu datuk moyangnya para nabi-nabi a.s; Ibrahim, Ismail, Ishaq dan bapanya Ya’qub masuk dalam syurga bersama semuanya!

Ayat ini munajat untuk menunjukkan kita sangat berhajat kepada rahmat Allah & pertolongan-Nya, mantapkan tauhid kepada Allah dan kita sangat berhajat kepada kasih-sayang Allah!

Seorang ulama’- Ibnul Jauzi  berkata: Apabila aku baca surah Yusuf aku amat takjub akan kesabarannya!

Allah puji kesabarannya dan Allah nyatakan kisah nabi Yusuf secara terbuka kepada kita- penuh dari berapa ayat yang kita baca dari awal sehingga akhir, Allah angkat darjatnya kerana dia meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t!

Aku perhatikan: Sebab utama Allah angkat darjat Yusuf ialah kerana dia berjaya melawan nafsunya!

Aku sebut dalam diriku betapa ajaibnya tarbiyah Allah ke dalam diri Yusuf- jika dia ikut nafsu akan rosaklah dirinya!

Betapa banyaknya kesabaran nabi Yusuf itu:
i- dia sabar atas ujian yang menimpanya akibat karenah saudaranya;

ii- sabar meninggalkan godaan maksiat & mungkar dari makciknya;

iii- sabar ketika mendapat kuasa, tidak tamak dan salah guna kekuasaannya.

Kerana sabar semua ini Yusuf menjadi seorang yang mulia, Allah angkatnya menjadi contoh role model keluarga yang terbaik untuk kita contohi dan pelajari dari surah Yusuf ini!

Sabar seketika mendapat kemulian sehingga ke hari Kiamat!

Setiap kali membaca surah ini pasti ada orang yang menangis menitiskan air-mata, ada orang yang sedar & insaf!

Ya Allah berikan kami kesabaran dalam melawan nafsu yang jahat, jadikan kami orang yang sentiasa istiqomah atas Islam.

Hidupkan kami atas Islam, mati dalam Islam dan kumpulkan kami di Akhirat kelak bersama hamba-Mu para nabi & solihin.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 27/01/2026 / 08 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/17k5tYMmuG/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top