View Categories

(27) Surah Yusuf: Ayat 108-111

14 min read

Jalan Dakwah Nabi S.A.W, Rasul Melalui Ujian & Ibrah Dari Kisah Nabi Yusuf A.S.

Live Pagi Khamis 29/01/2026 / 10 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (27) Ayat [108-111]

Full video: https://youtu.be/nU6yBicnEaQ?si=jQrvp5UrS_XRj9XU

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 108 sehingga ayat 111 dalam juzuk ketigabelas, episod ke 20 bagi kisah nabi Yusuf.

Ini merupakan siri terakhir dan penutup kepada surah Yusuf, alhamdulillah walaupun kita kayuh secara perlahan, akhirnya tiba juga ke penghujung surahnya.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan jalan dakwah Nabi s.a.w bukan mudah, penuh ujian, mihnah & tribulasi.
  2. Para rasul melalui ujian dan halangan dalam dakwah mereka begitu juga pendakwah yang menyambung tugas para nabi berdakwah kepada jalan Allah ini sepanjang zaman.
  3. Cerita Nabi Yusuf A.S ini serta kisah para nabi-nabi yang lainnya mengandungi ibrah pengajaran bagi orang yang mempunyai akal!
  4. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa kebanyakan manusia itu kafir & walau Rasulullah setara mana semangat mahu orang berimanpun- mereka tetap tidak akan beriman!

Walaupun telah dibawa pelbagai dalil dan bukti akan kekuasaan & keagungan Allah s.w.t, mereka tidak hirau dan abaikannya!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu jelas, iaitu untuk membawa manusia kepada jalan yang diredhai Allah, ikut perintah Allah bukan rekaannya sendiri- jelas ikut ilmu yang Allah perintahkan!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قُلْ هَٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ‎﴿٨٠١

Ayat 108- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”} (Yusuf 12:108)

  1. Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w menyatakan menjelaskan kepada manusia bahawa inilah jalan aku, menyeru mengajak manusia supaya tauhid kepada Allah mengikut ilmu yang disampaikan kepadaku dan yakin dengan apa yang diberikan Allah ini!
  2. Nabi s.a.w juga menyatakan bukan dia saja tetapi: {aku dan orang-orang yang menurutku,..} para sahabat Baginda yang mulia r,anhum, semuanya mengikut jalan yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
    Jika ikut jalan lain tertutup tidak ada yang membawa kepada Allah kecuali yang dibawa oleh Baginda Nabi s.a.w!
    Jalan yang benar hanya satu dan jelas
    {على بصيرة}.
  3. Maha suci Allah dari segala iktiqad dan perbuatan syirik; iaitu mereka yang mendakwa Allah ada anak, ada sekutu dan lain-lain tuduhan buruk yang dilemparkan oleh puak kafir yang karut-karut.
  4. Begitulah kita menyambung tugas Nabi s.a.w. usaha untuk memperkenalkan manusia kenal Allah & tahu siapa dirinya; jika tidak mereka akan ikut jalan yang menyeleweng, yang dibawa oleh syaitan.
    Maka ini adalah perbuatan yang kafir & bahaya!
  5. Maha suci Allah dari segala tuduhan itu dan kita sebagai orang beriman kena wajib membersihkan Allah darinya dan mengakui bahawa kita bukanlah dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain!

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ‎﴿٩٠١﴾‏

Ayat 109- {Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?} (Yusuf 12:109)

  1. Dalam ayat ini jelas Allah s.w.t menyatakan bahawa sifat seorang rasul atau nabi itu ialah:

i- seorang lelaki- majoriti ulama’ kata tidak ada nabi dari kalangan wanita.
Walaupun ada juga pendapat ganjil yang mengatakan bahawa ibu Nabi Musa
{وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ}
dan Maryam ibu Nabi Isa adalah nabi juga kerana Allah mewahyukan kepada mereka.

Kata ulama’ tafsir itu hanya Allah beri ilham bukan wahyu untuk nabi sebagaimana Allah mengilhamkan kepada lebah
{وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ}
sedangkan lebah bukan nabi.

ii- nabi-nabi itu biasanya dari bandar bukan dari kampung pendalaman.

Jika berasal dari kampung pun membesar di bandar.
Ini kerana bandar biasanya lebih maju & tinggi peradabannya.

  1. Ini bererti bahawa Allah s.w.t tidak pernah mengutus seorang rasul dari kalangan wanita tetapi semua dari kaum lelaki dan mereka tidak pernah dipilih dari penduduk pendalaman orang kampunbg atau badwi tetapi dari kalangan orang bandar!
  2. Allah mencela puak kafir itu yang telah melihat kesan peninggalan kebinasaan kaum terdahulu yang kena azab- dalam perjalanan rehlah mereka; tetapi mereka tidak mengambil iktibar pengajaran!
  3. Apa yang berlaku dari bencana seperti banjir gempa bumi tsunami; semua hanya bisa bagi mereka kerana mereka tidak beriman dengan Allah!
  4. Ingatlah negeri Akhirat lebih baik mereka yang bertaqwa tetapi kenapa kamu manusia tetap tidak mahu memikirkannya!

Kesusahan atas dunia ini akan berakhir tetapi azab di Akhirat tidak akan terhenti bagi orang yang kafir!

  1. Orang beriman pula di dunia ini akan selamat manakala di Akhirat kelak akan aman juga alhamdulillah.

Manakala ujian yang Allah berikan hatta kepada para nabi- itu hanya ujian dalam perjalanan- pada akhirnya akan selamat!

  1. Sebagaimana umat nabi terdahulu apabila hendak dibinasakan kaum kafir- Allah akan hantar malaikat untuk menyelamatkan nabi & mereka yang beriman bersamanya.

Maka selamatlah dunia Akhirat- seperti kaum Nuh, kaum Lut yang beriman dan lain-lain!

  1. Nak jadi orang selamat wajiblah beriman & bertaqwa kepada Allah!
    Takkan ini pun tak dapat kamu fikirkan!!

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱسْتَيْـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا۟ جَآءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْمُجْرِمِينَ ‎﴿٠١١﴾‏

Ayat 110- { (Orang-orang yang mendustakan agama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.} (Yusuf 12:110)

  1. Para rasul telah berdakwah kepada kaumnya buat beberapa lama dan tidak terjadi apa yang dijanjikan atau apa yang diancamkan sehingga kaumnya mengatakan mereka berdusta dan terus kufur.
  2. Manakala pertolongan Allah tidak datang lagi; maka para rasul berasa putus-asa terhadap kaumnya yang tidak mahu beriman itu.

Kerana lama sangat tempoh menunggu dalam lintasan dalam hati mereka seolah kecewa kenapa tak datang lagi bantuan Allah ini.

  1. Ulama’ mengatakan: Ini bukan bermakna para rasul itu putus-asa, kecewa atau tidak yakin akan dakwah mereka atau dengan pertolongan Allah; tetapi hanya lintasan hati yang terdetik saja, kecewa dengan kaum mereka yang ingkar dan mendustakan itu!
  2. Sedang Nabi s.a.w bersedih ini akhirnya datanglah pertolongan Allah lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Allah tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.
  3. Nota [434]- yakni dengan kedatangan pertolongan Allah yang ditunggu-tunggu itu- selamatlah para nabi & pengikut mereka yang beriman dan binasalah kaum kafir yang ingkar & mendustakan.

Begitulah Sunnatullah peraturan ketetapan Allah yang berlaku zaman-berzaman dan tidak akan berubah, Walaupun para nabi & rasul melalui pelbagai ujian- tetapi akhirnya mereka tetap akan mendapat kemenangan & kejayaan.

لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ ‎﴿١١١﴾‏

Ayat 111- {Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.} (Yusuf 12:111)

  1. Sesungguhnya kisah nabi Yusuf dan saudara-saudaranya serta kisah nabi-nabi lain dalam al-Quran ini mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran yang sejahtera, yang mengambil pengajaran darinya!
  2. Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, yang direka oleh Rasulullah s.a.w tetapi apa yang disampaikan oleh Baginda itu merupakan cerita benar dari Allah Azza wa Jalla.
  3. Ia juga mengesahkan apa yang yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya seperti Taurat Injil Zabur dan lain-lain, al-Quran membenarkannya- ini menunjukkan semua kitab itu dari sumber yang sama & satu.
  4. Al-Quran juga sebagai keterangan yang menjelaskan semua yang diperlukan oleh manusia dari sudut aqidah tauhidnya, perundangan hukum-hakam, akhlak muamalat dan semuanya ada dalam al-Quran.
  5. Al-Quran juga sifatnya sebagai hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

Jika kamu nak beriman- al-Quranlah sebagai sumbernya & tiada yang lain!

  1. Kata Syeikh Ibnu Asyur  dalam tafsirnya: Pengajaran dalam kisah ini ialah pengajaran yang menguatkan lagi keimanan kita.

Jika para nabi pun kena ujian; apatah lagi kita sebagai manusia biasa.

  1. Dengan kita tengok kepada dalil-dalil ketika berlaku cerita- baru kita tahu bahawa semuanya adalah di bawah kuasa Allah s.w.t!

Asas perjuangan ialah sabar, asas kemenangan ialah taqwa, laluan perjalanan ialah basirah iaitu kita dakwah mengikut apa yang diwahyukan oleh Allah dengan ikut apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 108- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah…}-

Allah suruh Nabi s.a.w mengatakan bahawa inilah jalan aku- iaitu berdakwah kepada jalan Allah!

Kata ulama’ inilah- dakwah yang ikhlas ajak orang kepada Allah bukan untuk orang ikut taksub kepada kita sendiri.
Inilah dakwah para rasul & nabi & para pendakwah yang jujur semuanya!

Tapi apa boleh buat ada orang yang salah guna dakwah ini- ajar orang agar taksub kepada dia sebagai orang yang terpaling baik setia dan sebagainya.

Sekarang ini didoktrin anak murid untuk menghormati individu sebagai ketua atau Syeikh- sekarang ini Terserlah semuanya- merangkak, tunduk hormat kepada Syeikh semua ada bukti dalam video yang mereka sendiri rakamnya!

Berdakwah ajak orang kepada kebenaran, kepada Allah adalah tugas para rasul yang disambung oleh para pendakwah yang ikhlas.

  1. Ayat 108- {… menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.}- nak berdakwah menyeru manusia kena ada ilmu yang berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata {عَلَىٰ بَصِيرَةٍ}!

Jika nak berdakwah tiada ilmu akan menjadi seperti tikus membaiki labu- bukan bawa kebaikan tetapi bertambah kerosakan atau kesesatan.

Seolah kita nak ajak orang kepada Allah tetapi kita rosakkan di tengah jalan kerana akhlak kita punah, dakwah yang kita bawa tak betul, tak ajar ilmu yang sahih tetapi ajar yang pelik!

Kerana itu kata ulama’ disyaratkan orang yang mahu menyeru kepada amar ma’ruf nahi mungakr kena ada ilmu tentang apa yang dia mahu ajak orang dan ada ilmu juga tentang apa yang dia mahu tegah orang.

Jika orang jahil akan rosak banyak kerana itu Allah ajar kepada kita dalam ayat ini kena ada ilmu- {عَلَىٰ بَصِيرَةٍ}!

Ulama’ kata tidak akan ada basirah kecuali kita duduk di atas jalan Allah & jalan Rasulullah s.a.w. barulah kita duduk di atas basirah!

Ini syarat pendakwah kena ada {عَلَىٰ بَصِيرَةٍ}!
atas ilmu pengetahuan, maklumat dan fakta yang jelas, baru kita tahu apakah jalan Allah yang kita nak ajak orang kepadanya!

Jika tidak akan menjadi seperti tikus membaiki labu- bukan ajak orang kepada Allah tetapi taksub kepada manusia!

Para pendakwah juga kena jaga keistimewaan imej atau tanggung-jawab sebagai pendakwah- jangan dia pendakwah tetapi pakaian seperti mat rock, pergaulan tak jaga, akhlaknya rosak, tidak mencerminkan akhlak seorang mukmin, ambil peluang atas nama pendakwah untuk mengambil peluang peribadi dan habuan dunia.

Inilah keadaan yang kita kena usahakan agar segala perjalanan kita di atas jalan yang jelas {عَلَىٰ بَصِيرَةٍ}!

  1. Ayat 109- {Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka.}- sepakat ulama’ ahlu Sunnah mengatakan semua rasul lelaki & tidak ada nabi atau rasul dari kalangan wanita.

Satu lagi sifat rasul itu ialah mereka dari kalangan orang bandar- bukan dari kampung pedalaman atau badwi.

Ini kerana beberapa hikmah yang telah kita sebutkan tadi- di mana biasanya sesuatu trend atau budaya itu jadi ikutan dari bandar turun ke kampung- dia tidak jadi dari kampung naik ke bandar.

Antara dua kriteria ini seseorang itu dilantik menjadi nabi atau rasul.

Manakala riwayat atau pandangan yang mengatakan ibu nabi Musa & Maryam ibu nabi Isa- itu pandangan yang ganjil dan tidak kuat- yang sahihnya wanita tidak ada yang dilantik menjadi nabi atau rasul!

  1. Ayat 109- {Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka?}- galakan mengembara atas muka bumi untuk kita melihat apakah jalan yang selamat dan apakan jalan yang binasa.

Pengajaran dari akibat kaum terdahulu yang telah dibinasakan akibat tidak beriman dan mendustakan para rasul hendaklah kita kaji dan fikirkan lalu kita kena usaha ambil iktibar dari segala yang berlaku.

Serta telah menjadi sunnatullah dalam dakwah- bantuan dan pertolongan itu lambat datang – sehingga para rasul pun datang lintasan dalam hati mereka!

Para pendakwah kena hadapi ujian dan pelbagai halangan- para pendakwah akan ditekan, dituduh, dilabel dan ditohmah orang.

Kita nak bawa apa yang diajar oleh Nabi s.a.w tetapi kita dituduh & dilabel pula dengan gelaran yang tidak baik!

Serta mereka menggunakan orang yang berkuasa untuk menekan sesiapa yang duduk atas jalan Nabi s.a.w.

kata Imam Bukhari: Sabarlah wahai para pencinta Sunnah kerana bilangan kamu tidak ramai!

Makak ita juga kena usaha untuk sabar bagi menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Ayat 111- {Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.}- sesungguhnya kisah Nabi Yusuf dan adik-beradiknya mempunyai pengajaran dan iktibar bagi orang yang mempunyai fikiran yang waras.

Kita telah melalui 27 siri kuliah semata-mata kita nak fikirkan tentang pengajaran yang dapat diambil dari surah ini:

i- betapa syaitan suka memisahkan antara keluarga, memporak perandakan rumah tangga, suka melagakan sesama muslim lebih-lebih lagi antara antara pendakwah.

ii- kesabaran Nabi Ya’qub yang begitu tinggi- setiap kali berlaku musibah yang menimpanya dia hanya mengadu kepada Allah.

Kita hari ini banyak mengadu kepada makhluk, sesama manusia apatah lagi zaman ini mengadu di media sosial!

iii- Nabi Yusuf telah melalui banyak ujian yang getir tetapi dia berjaya melaluinya dengan sabar & iman yang teguh.

Ujian yang paling besar ialah ujian melalui wanita & syaitan.

Rasulullah s.a.w telah menyebut bahawa wanita adalah fitnah yang paling besar bagi manusia.

Maka hati-hatilah kita semua betapa ramai orang besar tersungkur akibat fitnah wanita.
Yusuf yang mulia selamat dari semua itu!

iv- Nabi Yusuf seorang yang berjiwa besar dan pemaaf- tidak pernah berdendam terhadap saudara-saudaranya yang mengkhianati dan menzaliminya!

Dia tidak mengungkit atau menyebut lansung perbuatan mereka tetapi menyambut mereka dengan penuh kasih sayang & kemaafan!

Semua itu disaat dia berada di kemuncak mempunyai kekuasaan & kekuatan untuk membalas dan menghukum mereka!

Janganlah kita apabila mendapat pangkat & jawatan sedikit kuasa hanya cuma nak tekan dan peras sekat orang.

Ingat kuasa hanya sementara tetapi ingatan buruk orang akan perbuatan kita akan diingat sampai bila-bila- itu di dunia & di Akhirat kelak akan diperhitung dan dibalas Allah s.w.t!

Akhirnya Allah sebut sifat al-Quran sebagai menjelaskan, huda petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.

Alhamdulillah tamatlah siri kuliah tafsir bagi surah Yusuf ini dengan 27 siri kuliah kita khatamnya hari ini.

Semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik, mendapat segala ibrah pengajarannya darinya, mencontohi nabi Yusuf yang berjiwa besar sentiasa sabar dan pemaaf serta bapanya Nabi Ya’qub yang hanya mengadu, bertawakkal dan berserah sepenuhnya kepada Allah!

Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu Yang Maha Indah & sifat-Mu yang Maha Tinggi berikan kami ibrah & pengajaran dari kuliah tadabbur kami ini.
Selamatkan kami dari semua godaan syaitan & wanita.
Jadikan kami orang yang sabar & istiqomah atas jalan agama ini!

Boleh ikuti rakaman penuh siri kuliah live ini di youtube: https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046
Wallahu a’lam.


#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 29/01/2026 / 10 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (27 Siri) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1Btt3HCJuL/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top