View Categories

(3) Surah Yusuf: Ayat 4-6

12 min read

NABI YUSUF BERMIMPI, AYAH NASIHAT JANGAN HEBOHKAN & NIKMAT ALLAH SWT KEPADA KELUARGA NABI YA‘QUB.

Full video : https://youtu.be/zaX2yo0Gu0Q?si=KxpfOdP2WRgOVw9r

MUQADDIMAH #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita sambung pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 04 sehingga ayat 06 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini eposid pertama dari kisah Nabi Yusuf AS.
    Allah SWT nyatakan Nabi Yusuf bermimpi melihat matahari, bulan & 11 bintang tunduk kepadanya.
  1. Apabila Yusuf ceritakan mimpi ini kepada ayahndanya Nabi Ya’qub, ayahnya nasihat jangan hebohkan mimpi itu kepada saudaranya kerana dikhuatiri menimbulkan perasaan iri di kalangan mereka!
    Ini kerana syaitan sentiasa menunggu untuk merosakkan dan memecah-belahkan manusia. 
  1. Allah nyatakan telah diberi nikmat Allah SWT yang besar kepada keluarga Nabi Ya‘qub AS yang mana ramai dari ahli keluarganya dilantik menjadi nabi bermula dari nabi Ibrahim AS.
  1. Kita kenali siapakah sebenarnya Nabi Yusuf AS,
    Biodata Ringkas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
    i- Nama: Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.
    Gelaran: Siddiq (Yang Benar/Jujur), kerana keteguhan dan kejujuran baginda dalam menghadapi berbagai ujian. 

    Baginda juga terkenal dengan sebutan “Yusuf As-Siddiq”.
    ii- Keturunan: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah keturunan Nabi-nabi mulia (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub). 
    Baginda adalah cucu Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan cicit Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

    iii- Keluarga: Ayah: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang juga dikenal sebagai Israil. 
    Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat mencintai Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi anak-anaknya yang lain.

    Ibu: Rachel (Rahil), isteri Nabi Ya’qub. 
    Beliau meninggal dunia ketika melahirkan Bunyamin. 
    Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai 3 orang isteri semua sekali.

    Saudara: Memiliki sebelas saudara laki-laki, sepuluh di antaranya daripada ibu yang berbeza (abang tiri) dan seorang saudara kandung bernama Bunyamin.
    Saudara-saudara tirinya iri dengan kasih sayang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

    iv- Kenabian: Diangkat sebagai nabi dan rasul oleh Allah ‎SWT.
    Akhlak dan Sifat: Terkenal dengan kecantikan parasnya yang luar biasa, sehingga sering disebut sebagai “separuh ketampanan”.

    v- Sifat: Baginda juga memiliki sifat kesabaran yang tinggi, ketabahan, kejujuran, kesucian diri, dan kecerdasan yang luar biasa, terutama dalam menafsirkan mimpi.

    vi- Mukjizat: Kemampuan menafsirkan mimpi adalah mukjizat khusus yang dianugerahkan Allah ‎SWT kepada baginda AS.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Dia telah turunkan kisah yang menarik dalam al-Quran; menyebabkan orang buka mata buka telinga nak dengarnya apakah cerita yang pelik itu.

    ii- Lalu dalam ayat ini Allah ceritakan kisahnya Nabi Yusuf AS
    Ia pastilah satu cerita yang benar kerana dari Allah SWT.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَٰجِدِينَ ‎﴿٤﴾‏

AYAT 4- { (INGATLAH PERISTIWA) KETIKA NABI YUSUF BERKATA KEPADA BAPANYA: “WAHAI AYAHKU! SESUNGGUHNYA AKU MIMPI MELIHAT SEBELAS BINTANG DAN MATAHARI SERTA BULAN; AKU MELIHAT MEREKA TUNDUK MEMBERI HORMAT KEPADAKU.”} (YUSUF 12:4)

  1. Allah perintahkan Nabi SAW ceritakan kepada umatnya kisah apabila Nabi Yusuf AS menceritakan kepada bapanya Nabi Ya’qub AS tentang mimpinya dan bertanya tentang maksudnya.
    Nabi Yusuf memanggil bapanya dengan mesra & manja: {يَـٰٓأَبَتِ}.
  1. Mimpi Nabi Yusuf itu ialah: Yusuf melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; melihat mereka tunduk memberi hormat kepadanya.
  1. Adab bermimpi boleh rujuk kepada kitab Perisai Muslim:
    Perisai Muslim https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
  1. Nabi Yusuf AS adalah orang yang termulia pada zamannya kerana dia adalah seorang rasul & nabi, anak kepada seorang nabi, Ya’qub dan cucu kepada seorang nabi juga Ishaq dan cicit kepada Khalilullah, Nabi Ibrahim AS.
    Tiada manusia lain yang mempunyai keturunan nabi yang panjang dan bersambung terus seperti nabi Yusuf AS ini.
  1. Dalam ayat ini Allah hanya ceritakan mimpi Nabi Yusuf saja tetapi tidak diceritakan tafsir tentang mimpi itu. 
    Ia hanya akan diceritakan semula dalam ayat yang akan datang iaitu ayat 99-100.

    Kata ulama’: Tempoh perpisahan Nabi Yusuf & ayahnya Nabi Ya’qub lebih kurang 40 tahun, wallahu a’lam.

قَالَ يَٰبُنَىَّ لَا تَقْصُصْ رُءْيَاكَ عَلَىٰٓ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا۟ لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لِلْإِنسَٰنِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ‎﴿٥﴾

AYAT 5- {BAPANYA BERKATA:” WAHAI ANAKKU! JANGANLAH ENGKAU CERITAKAN MIMPIMU KEPADA SAUDARA-SAUDARAMU, KERANA AKU KHUATIR MEREKA AKAN MENJALANKAN SESUATU RANCANGAN JAHAT TERHADAPMU. SESUNGGUHNYA SYAITAN ADALAH MUSUH YANG NYATA BAGI MANUSIA.} (YUSUF 12:5)

  1. Nabi Ya’qub memanggil anaknya dengan panggilan manja {يَـٰبُنَىَّ}. 
    Dia menasihati Yusuf agar jangan menceritakan mimpinya itu kepada saudaranya yang lain, iaitu abang-abangnya yang ramai.
  1. Ini kerana bapanya khuatir akan menyebabkan mereka terasa iri hati & dengki lalu mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadap Yusuf.
  1. Punca kejahatan ini adalah datang dari hasutan syaitan yang mana syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
    Jadi untuk mengelakkan dari berlaku fitnah ini Nabi Ya’qub mengambil langkah berhati-hati tutup pintu dari awal lagi.
  1. Begitu juga Rasulullah SAW ajar kita agar mengelakkan tohmahan dan salah sangka.
    Sebelum syaitan masuk, kita kena tutup pintu fitnah dari awal lagi. 
    Jangan buat atau berada di sesuatu tempat yang boleh menimbulkan salah-sangka. 
    Su’u zan dan fitnah kepada kita!!
  1. Sebagaimana hadis dari UM Sayyidah Sofiyyah binti Huyay RA:
    فَقَالَ لِصَفِيَّةَ بِنْتِ حُيَيٍّ لَا تَعْجَلِي حَتَّى أَنْصَرِفَ مَعَكِ وَكَانَ بَيْتُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَهَا فَلَقِيَهُ رَجُلَانِ مِنْ الْأَنْصَارِ فَنَظَرَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ أَجَازَا وَقَالَ لَهُمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَالَيَا إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ قَالَا سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يُلْقِيَ فِي أَنْفُسِكُمَا شَيْئًا.

    Maksudnya: “Suatu masa, ketika nak balik dari masjid Nabi SAW berkata kepada Sofiyyah binti Huyay: 
    “Janganlah kamu tergesa-gesa hendak pulang, tunggulah hingga aku keluar bersamamu.” Rumah Sofiyyah berada di perkampungan Usamah. 
    Maka Nabi SAW keluar bersama Soffiyah.


    Kemudian di jalan ada dua orang dari Kaum Ansar yang berselisih dengan mereka lalu keduanya memandang Nabi SAW sesaat lalu keduanya meneruskan perjalanannya. 
    Nabi SAW berkata kepada keduanya: 
    “Kemarilah kalian, ini adalah Sofiyyah binti Huyay”. 

    Maka keduanya berkata: “Maha suci Allah, wahai Rasulullah.” 

    Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya syaitan berjalan pada diri manusia lewat aliran darah dan aku khuatir telah timbul suatu perasaan pada diri kalian berdua.” [HR Bukhari].

    Yakni untuk mengelakkan dari dua orang sahabat itu berprasangka buruk akibat hasutan syaitan, Nabi SAW terus memperkenalkan bahawa wanita yang bersamanya adalah isterinya, UM Sofiyyah RA.
  1. Ingatlah semua pintu yang boleh membawa kepada fitnah & keraguan jangan dibuka & hendaklah dielakkan! 
    Kita hari ini huru-hara atas dunia kerana masing-masing ada fb dan medsos, whatsapp dan lain-lain yang mendedahkan segalanya!
    Perkara yang tidak patut didedahkan semua orang tahu dan boleh lihatnya! 

وَكَذَٰلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعْقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيْكَ مِن قَبْلُ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ‎﴿٦﴾

AYAT 6- {DAN DEMIKIANLAH CARANYA TUHANMU MEMILIHMU, DAN AKAN MENGAJARMU TAKBIR MIMPI, SERTA AKAN MENYEMPURNAKAN NIKMATNYA KEPADAMU DAN KEPADA KELUARGA YAAKUB: SEBAGAIMANA IA TELAH MENYEMPURNAKANNYA KEPADA DATUK NENEKMU DAHULU: IBRAHIM DAN ISHAK. SESUNGGUHNYA TUHANMU MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA”.} (YUSUF 12:6)

  1. Nabi Ya’qub menyatakan kepada anaknya Nabi Yusuf: Demikianlah caranya Allah memilihmu dan akan mengajarmu cara menafsir/takbir mimpi sebagai satu anugerah dan nikmat Allah kepadamu!
    Nabi Yusuf ini naik menjadi orang yang istimewa melalui kepandaiannya menafsirkan mimpi. 
  1. Allah akan ajar kepadamu cara menafsirkan mimpi dan tafsiran kamu itu betul & tepat.
    Kamu akan tahu bukan setakat mimpi tetapi kitab-kitab nabi terdahulu kerana Allah akan wahyukannya kepada kamu! 
  1. Allah juga akan sempurnakan nikmat-Nya untukmu Yusuf, memilihmu menjadi nabi dan sempurnakan juga nikmat ke atas keluarga bapamu Ya’qub di dunia & Akhirat sebagaimana Allah telah sempurnakan nikmat-Nya kepada datuk & moyangmu dulu iaitu Nabi Ibrahim & Ishaq.
  1. Nabi Ibrahim mempunyai dua jalur keturunan anaknya yang menjadi nabi. 
    Yusuf & Ya’qub ini datang dari jalur Ishaq anak kepada Sarah di Palestin. 
    Manakala melalui anaknya Ismail anak kepada Hajar, yang ditinggalkan di Makkah, keturunannya menjadi Arab dan lahir Nabi kita Muhammad SAW! 
  1. Kerana itu apabila kita berselawat ke atas Nabi SAW kita juga turut berselawat ke atas datuknya nabi Ibrahim AS (Selawat Ibrahimiyyah yang lengkap). 
  1. Kaedahnya apabila dikata sebagaimana (آل إبراهيم) itu bermakna orang itu lebih tinggi kedudukannya daripada Nabi SAW.
    Ini kerana walaupun dari sudut kerasulan, Rasulullah SAW seorang rasul yang paling mulia, tetapi dari sudut kekeluargaan, Ibrahim lebih tinggi kedudukannya!
  1. Begitulah apabila ada orang yang berdebat mana yang lebih mulia wali atau nabi:
    i- Maka kita kata pastilah nabi lebih mulia kerana Allah pilih untuk turunkan wahyu kepadanya dengan perantaraan malaikat Jibril AS.
    Nabi mendapat semua itu & mukjizat sebagai anugerah dari Allah SWT.

    ii- Manakala wali pula mendapat karamah (jika ada) dengan usahanya seperti berzikir juta-juta, bertapa sana-sini dan seumpamanya yang pelik-pelik.
    Insya’ Allah ada masa kita akan baca juga kitab yang menarik ini tentang: Wali & Karamah, keluaran Majlis Agama Islam Kelantan.
  1. Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa sesungguhnya:
    i- Tuhanmu Maha Mengetahui segala sesuatu; antara ilmu Allah SWT ialah Dia tahu siapa yang layak menerima anugerah yang besar ini, iaitu nikmat menjadi rasul & nabi.

    ii- Lagi Maha Bijaksana, Allah akan meletakkan tiap sesuatu pada tempatnya yang selayaknya!
    Antara hikmahnya ialah menyusun-atur perjalanan alam ini dan makhluk-Nya, memilih di kalangan manusia yang layak menjadi rasul & nabi, memilih manusia untuk menjadi pemerintah dan lain-lain kelayakan yang Allah beri!
  1. Perbezaan antara lantikan dunia & Akhirat:
    i- Orang yang dilantik menjadi rasul pastilah yang terpilih, lagi mulia dan disayangi Allah.

    ii- Manakala orang yang dilantik menjadi orang besar atau jawatan atas dunia ini bukan kerana pilihan Allah tetapi atas taqdir Allah kepadanya.
    Dia naik menjadi presiden, raja, menteri atau apa saja adalah dengan cara & sebab yang telah ditaqdirkan Allah, kerana itu orang kafir pun boleh, Islam pun boleh! 

PENUTUP & FAEDAH #

  1. Ayat 4- {(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi…}-

    Allah ceritakan kepada Rasulullah SAW ketika Nabi Yusuf yang mulia berkata bapanya yang mulia juga iaitu nabi Ya’qub AS.
    Allah jadikan mimpi nabi Yusuf ini sebagai satu peringatan, bahawa kamu akan menjadi orang besar kelak tetapi laluan itu bukan mudah, perjalanan kamu bukan hanya atas permaidani merah bahkan mungkin akan melalui darah!

    Begitulah para pejuang bukan mudah untuk mencapai kemenangan!
    Mimpi ini menjadi motivasi dan penguat semangat kepada nabi Yusuf AS ketika dia menjalani dan menghadapi ujian dalam hidupnya bahawa dia akan melepasi semua ini dan akan berjaya!

    Allah beri ru’yah mimpi ini dari awal lagi untuk Yusuf jadikan pegangan dan penyuluh bagi dia meneruskan kehidupan dan menghadapi kesusahan; bahkan akan ada sinar dihujung terowong di mana dia akan menjadi seorang yang dihormati pada akhirnya.

    Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil boleh kita menafsirkan mimpi! 
    Tetapi kena mimpi & tafsir yang benar bukan yang karut-marut sehingga menimbulkan khurafat!
    Tetapi ingat bukan semua orang boleh menafsirkan mimpi ini dan bukan semua mimpi harus ditafsirkan!

    Adab bermimpi secara ringkas dari Kitab Perisai Muslim yang diambil dari al-Azkar an-Nawawi:
    i- Jika mimpi baik, hanya boleh ceritakan kepada orang soleh, orang yang baik-baik yang boleh dipercayai. 
    Jangan ceritakan kepada semua orang, apatah lagi tulis di medsos yang mana boleh menyebabkan kedengkian orang, lalu kita boleh stress dan takut!

    ii- Jika mimpi buruk, baca ta’awuz (أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ), minta perlindungan dari Allah seperti meludah (angin) ke sebelah kiri, tukar arah tidur dan jangan ceritakan kepada sesiapa sekalipun apatah lagi share di medsos!
    Ini kerana jika tidak diceritakan mungkin tidak akan terjadi tetapi jika diceritakan mungkin akan terjadi sungguh mimpi buruk itu!

    Jika terlalu buruk bangun berwuduk, berdoa atau solat kepada Allah!
    Untuk detail dan bacaan-bacaan doanya sila rujuk buku Perisai Muslim.
  1. Ayat 5- {Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu,…}-

    Nabi Ya’qub nasihatkan Yusuf dari awal lagi agar jangan ceritakan mimpinya kepada orang lain.
    Ini menunjukkan bahawa Nabi Ya’qub pandai & tahu tafsiran mimpi. 

    Melalui mimpi itu dia tahu bahawa Yusuf akan menjadi seorang yang mulia pada masa depannya. 
    Maka dikhuatiri akan menimbulkan kedengkian dari saudaranya yang lain lalu mereka akan buat sesuatu yang tidak baik pula.
    Jika kita ada pengetahuan atau ilmu tentang sesuatu perkara, kita boleh beri nasihat kepada orang lain agar dia tidak buat dan mendapat kesusahan atau mudharat kemudian hari!

    Begitu juga kita sebagai ibu bapa hendaklah sentiasa ambil tahu tentang keadaan anak-anak kita dan memberi panduan nasihat setakat mampu walaupun anak sudah di universiti.
    Jangan biarkan mereka dalam keadaan keliru, berfikir sendiri tanpa bimbingan & panduan orang tua. 
  1. Ayat 5- {… kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu.}-

    Nabi Ya’qub menasihati anaknya Yusuf lagi sebagai langkah waspada & berhati-hati daripada rancangan jahat & perkara yang tidak baik.
    Kita mesti ambil langkah berhati-hati dalam setiap langkah & perancangan kita! 
    Kena bergerak tetapi berhati-hati & waspada seperti dalam peperangan Allah ajar untuk berhati-hati!
    Pada zaman ini langkah berhati-hati amat penting dalam hidup kita! 

    Seperti nak pilih sekolah & kuliah anak di universiti, carilah yang boleh memberi faedah dunia & Akhirat.
    Jangan juga kita terlampau menunjuk akan nikmat & kesenangan yang kita dapat, ada nikmat yang tidak boleh kita zahirkan kerana nanti boleh menimbulkan hasad dengki manusia.

    Kerana ada satu penyakit yang dipanggil penyakit ain, akibat pandangan mata manusia!
    Kata Imam Sayuti: Dalam ayat ini kita berhukum dengan adat!
    Iaitu sudah menjadi adat, orang terdekat seperti adik-beradik & kaum keluarga adalah orang yang paling mudah untuk iri hati & hasad dengki! 

    Maka akan timbullah naratif yang buruk atau pandangan yang negatif walaupun ia tidak benar, tetapi akibat hasad dengki ia terjadi!
    Kerana itu kata ulama’ hadis: Kritikan tajam dari kawan-kawan kadang-kadang tidak boleh diambil kira.
  1. Ayat 5- {Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.}-

    Syaitan ini tugasnya mencucuk manusia supaya berkelahi, berbalah, berpecah sesama sendiri.
    Antara cucukan syaitan yang paling dikehendakinya ialah untuk menceraikan antara suami isteri!

    Kerana itu Nabi Ya’qub nasihat Yusuf dari awal lagi kerana dia tahu syaitan akan datang & tidak akan melepaskan peluang ini! 
    Nasihat ini kerana berdasarkan pengalamannya ikut adat kebiasaan manusia!
    Maka kita sebagai pendakwah, imam, ustaz atas sesiapa saja dari kalangan orang dihormati dalam masyarakat; bila nak buat sesuatu perkara kita kena fikir banyak kali & lihat akibatnya dari pelbagai sudut apakah natijiah akibat yang akan lahir dari perbuatan kita itu!

    Ingatlah kita jangan terlalu buruk sangka terhadap orang serta dalam masa yang sama jangan terlalu percaya kepada manusia! 
    Yang penting kena sentiasa waspada & ambil langkah berhati-hati dalam setiap perkara.
  1. Ayat 6- {Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.}-

    Demikian Allah memilih Yusuf sebagai rasul, nikmat & anugerah terbesar sebagai utusan Allah sebagaimana Allah beri nikmat ini kepada bapamu, datukmu dan moyangmu dulu!
    Maka kamu kena jaga nikmat ini & sentiasa bersyukur pada nikmat yang Allah berikan kepadamu & kepada keluarga Ya’qub.

    Sebagaimana kata ulama’: “الشكر حافظ وجالب”
    Syukur akan menjaga nikmat yang sedia ada, menarik nikmat seterusnya.
    Maka Nabi Ya’qub amat bersyukur dengan nikmat yang besar dari Allah dalam keluarganya; bapa & datuknya seorang nabi & rasul, anaknya juga seorang nabi & rasul.

    Kita pula kebanggaan kita bukan duduk pada keturunan tetapi kepada apa yang kita sampaikan & bawa.
    Sebagaimana perkataan dari Abu Hurairah RA tentang pertanyaan malaikat dan manusia apabila berlaku kematian:

    Apabila seorang manusia itu meninggal dunia:
    i- Para malaikat akan bertanya: 
    Apakah (amalan) yang dia telah bawa?

    ii- Sedangkan manusia lain akan bertanya: Apakah (harta) yang dia tinggalkan?
    Dua soalan yang berbeza, bersiaplah kita untuk menjawabnya!

    Nikmat yang terbaik ialah sebagaimana yang Allah berikan kepada nabi Yusuf AS.
    Kita juga mahu nikmat ini agar Allah menjadikan kita hamba-Nya yang soleh & solehah, yang taat kepada Allah & Rasul, yang mengikut ajaran al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW.

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 01/01/2026 / 11 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://youtu.be/3n5ChK1k4zU?si=dfTKR5o1Yzcfv7JX

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1AYLa916gF/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top