Abang Nabi Yusuf Minta Yusuf, Nak Bawa Pergi Bermain & Nabi Ya‘qub Nyatakan Kebimbangannya.

♥ Live Pagi Ahad 04/01/2026 / 14 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (05) Ayat [11-14]♥
Full video: https://youtu.be/EjSTbgHJV5s?si=cUcxR96gOH4_kq9X
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 11 sehingga ayat 14 dalam juzuk ke 12.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bagaimana abang-abang nabi Yusuf minta izin kepada bapanya nabi Ya’qub untuk membawa Yusuf pergi bermain, beriadhah bersama mereka keluar mengambil udara luar.
- Pada awalnya bapa mereka keberatan dan tidak sedap hati untuk membenarkan mereka membawa Yusuf.
Tetapi mereka merayu menyatakan mereka adalah sekumpulan yang ramai lagi kuat pastilah boleh menjaga Yusuf.
- Nabi Ya‘Qub akhirnya terpaksa memberi keizinan tetapi sempat menyatakan kebimbangannya jika mereka sedang sibuk bermain, mereka lupa akan Yusuf & dia akan dimakan serigala!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan setelah tamatnya mesyuarat mereka di bawah naungan syaitan dengan keputusan bahawa Yusuf pasti dipisahkan dari bapa mereka dengan keluarkannya dari rumah.
Mereka bersetuju untuk membuangnya ke lubang air di tengah padang pasir.
ii- Maka datanglah ayat ini Allah ceritakan kepada kita bagaimana mereka menggunakan pendekatan berhelah dan berjanji manis dengan bapa mereka untuk membawa keluar Yusuf bagi menjalankan konspirasi jahat mereka.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
قَالُوا۟ يَٰٓأَبَانَا مَا لَكَ لَا تَأْمَ۬نَّا عَلَىٰ يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُۥ لَنَٰصِحُونَ ﴿١١﴾
Ayat 11- {Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?} (Yusuf 12:11)
- Saudara-saudara Yusuf pergi berjumpa dengan bapa mereka dengan merayu bermanja memanggilnya: {Wahai ayah kami!- يَـٰٓأَبَانَا} untuk meminta izin membawa Yusuf keluar rumah.
- Ini kerana bapa mereka sebelum ini seolah tidak percaya kepada mereka- tidak pernah membiarkan Yusuf bersendirian bersama mereka.
- Mereka mengaku sedangkan selama ini mereka amat sayang dan mengambil-berat tentang Yusuf. Ini jaminan pertama
{وَإِنَّا لَهُۥ لَنَـٰصِحُونَ}.
أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ﴿٢١﴾
Ayat 12- {Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.} (Yusuf 12:12)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini mereka telah menafikan tohmahan, kecurigaan Ya’qub terhadap mereka dengan memberi jaminan akan menjaga Yusuf.
ii- Maka dalam ayat ini mereka nyatakan pula kepentingan & kebaikan Yusuf untuk keluar bermain dan bersukaria bersama mereka- penting & baik untuk diri Yusuf sendiri.
- Mereka minta bapa mereka melepaskan Yusuf besok yakni {أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًۭا}:
i- membenarkan mereka untuk membawa keluar Yusuf ikut mereka esok.
ii- untuk keluar bermain, makan dan bersukaria dengan bebasnya- BBQ & outdoor outing.
Kesian Yusuf asyik terkurung saja selama ini!
- Mereka juga berjanji mereka akan ikhlas menjaga & bertanggung-jawab terhadapnya, menjaganya dengan sebaik-baiknya!
Ini adalah jaminan mereka yang kedua
{وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ}. - Biasalah seorang bapa itu apabila orang minta untuk menyukakan anaknya yang disayangi, untuk bergembira dan bersuka-suka pasti dia juga suka apatah lagi diberi jaminan yang kuat untuk menjaganya!
قَالَ إِنِّى لَيَحْزُنُنِىٓ أَن تَذْهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ ٱلذِّئْبُ وَأَنتُمْ عَنْهُ غَٰفِلُونَ ﴿٣١﴾
Ayat 13- {Bapa mereka menjawab: “Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya “.} (Yusuf 12:13)
- Bapa mereka akhirnya membenarkan mereka bawa Yusuf keluar tetapi melahirkan perasaannya bahawa permergian mereka membawa Yusuf bersama sangatlah mendukacitakan dirinya.
- Dia juga melahirkan kebimbangannya, takut kalau Yusuf akan dimakan oleh serigala, ketika abang-abangnya lalai dari mengawalnya.
Dia beri pergi tetapi tetap bimbang & curiga! - Ramai ulama’ tadabbur, ulama’ tasauf dan psikologi mengatakan betapa bahayanya ayat nabi Ya’qub ini!!
Inilah perkataan yang bahaya & buruk kerana membuka pintu syaitan atau memberi idea kepada mereka, apa yang perlu mereka lakukan sebagai alasan nanti!
- Semua kita terutamanya ibu bapa beringatlah jangan lahirkan perkataan atau pesanan negatif & buruk untuk anak-anak kita kerana takut ia akan menjadi doa pula!
Seperti pesanan jangan itu jangan ini- yang tidak baik saja! - Inilah yang perlu kita belajar & berhati-hati! Kita pesanlah yang baik-baik dan positif saja agar ia menjadi satu kenyataan & doa!
قَالُوا۟ لَئِنْ أَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّآ إِذًا لَّخَٰسِرُونَ ﴿٤١﴾
Ayat 14- {Mereka berkata: “Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi”.} (Yusuf 12:14)
- Sekali lagi mereka ini berjanji dan memberi jaminan yang ketiga- { وَنَحْنُ عُصْبَةٌ }.
- Iaitu menjawab kebimbangan bapanya jika Yusuf dimakan serigala- apa guna mereka sedangkan mereka ramai bilangannya, lagi kuat- takkan tak boleh nak menjaga adik seorang, takkanlah mereka lemah sebegitu!
- Jika betul terjadi begitu pastilah mereka orang yang lemah lagi tiada guna lagi hidup atas dunia ini- sesungguhnya mereka sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi!!!
- Semoga Allah lindungi kita daripada semua sifat buruk ini, kelentong, menipu ibu bapa, khianat dan berbalah sesama adik-beradik, serta semua akhlak yang buruk dalam mana-mana kelompok!
Penutup & Faedah: #
- Ayat 11- {Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?}- saudara-saudara Yusuf menggunakan pendekatan membodek- merayu dan memujuk bapa mereka dengan kata-kata & janji manis.
Mereka mengungkit tentang keturunan dan keluarga- kenapa bapa mereka tidak percayakan mereka untuk menjaga Yusuf sedang mereka adalah adik-beradik, satu bapa, sama-sama keturunan dan seumpamanya.
Bila diungkit begini biasanya orang akan mudah percaya dan lemah.
Ahli firasat berkata: Biasanya jika orang yang berperangai begini- suka membodek, berjanji manis biasanya tidak akan bercakap benar, suka berhelah dan menipu.
Kita kena hati-hati takut ada sesuatu disebalik kata-kata manis itu!
Kata-kata ini adalah setelah mereka bermesyuarat.
Di dalam buku-buku cerita dikatakan yang memberi cadangan untuk mencampakkan Yusuf ke dalam telaga itu bernama Yahuza (atau Yehuda/Yahuda).
*Ada juga yang mengatakan namanya Rubin; tetapi pendapat lain mengatakan Rubin adalah saudara sulung Yahuza dari anak-anak Yaakub A.S.
- Ayat 11- {… Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?}- ayat ini ayat tanya.
Mereka bertanya kenapa bapa mereka tidak percaya sangat dengan mereka- kenapa tidak benarkan mereka bawa Yusuf keluar.
Ayat ini menjadi dalil bahawa sebelum ini mereka telah pernah meminta izin untuk membawa keluar Yusuf tetapi bapa mereka tidak membenarkannya!
Jadi apabila bapa mereka senyap, mereka datang lagi bertanya kenapa tak percaya & benarkan mereka???
Sedangkan mereka adalah satu kumpulan yang kuat & ramai!!! {وَنَحْنُ عُصْبَةٌ}
- Ayat 12- {Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya;..}- saudara-saudara Yusuf meminta bapa mereka melepaskan Yusuf {أَرْسِلْهُ} untuk keluar bersama mereka!
Ayat ini menjadi dalil bahawa sebelum ini nabi Ya’qub tidak pernah melepaskan anaknya Yusuf untuk keluar dan berpergian dengan orang lain atau abang-abangnya; sentiasa dibawa dan bersamanya!
Jadi saudara-saudaranya minta Ya’qub lepaskan Yusuf serta nyatakan sebabnya!
Sebab kenapa Ya’qub kena benarkan Yusuf keluar bersama mereka kali ini!
Iaitu sebab mereka minta dilepaskan Yusuf keluar bersama mereka adalah untuk dia boleh bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya.
Biar Yusuf bebas merasai kehidupan seperti kanak-kanak lain yang aktif & bebas- bukan hanya asyik berkepit di bawah ketiak bapa mereka sahaja!
- Ayat 13- {Bapa mereka menjawab: “Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku,…}- nabi Ya’qub meluahkan perasaaannya.
Ya’qub menyatakan bahawa jika mereka bawa juga Yusuf akan menjadikannya sedih & tidak tenang!
Dia akan runsing dan bimbang akan keadaan Yusuf.
Ini dengan harapan agar anak-anaknya tidak jadi meneruskan rancangan mereka untuk membawa Yusuf bersama mereka atau mengajaknya ikut serta.
Tetapi pastilah mereka tidak mahu membawa bapa mereka bersama kerana mereka sudah buat rancangan untuk meninggalkan Yusuf di padang pasir nani- jika tidak pasti gagal plan mereka.
- Ayat 13- {… dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya “.}- Ya’qub menyatakan kerunsingannya; takut Yusuf akan dimakan oleh serigala, ketika mereka lalai dari mengawalnya!
Ini adalah satu ayat yang amat merbahaya!
Seolah mengajar dan menjangkakan apa yang akan berlaku.
Sebagaimana kata-kata hikmah: Bala itu datang dengan sebab mulut kita sendiri:
“إن البلاء موكل بالمنطق”
Ini kerana apabila Ya’qub mengeluarkan perkataan itu- takut Yusuf dimakan serigala- maka ini telah memberi idea dan peluang kepada saudara-saudaranya untuk membuat alasan kepada bapa mereka nanti!!!
Maka ibu bapa jangan dok pesan benda yang tidak baik & negatif, perkara yang kita tidak suka atau yang kita tidak mahu terjadi.
Ingatlah jaga mulut, jaga lidah, ucapkan yang baik-baik agar ia menjadi satu doa yang baik, doa yang kita mahu ianya terjadi!
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita hari ini secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Cerita seterusnya kita tunggu esok!
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 04/01/2026 / 14 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=847508801432975&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
