Abang Yusuf Letaknya Ke Dalam Perigi, Bawa Balik Baju Berlumuran Darah & Nabi Ya‘qub Menerima Berita Dengan Sabar.

♥ Live Pagi Isnin 05/01/2026 / 15 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (06) Ayat [15-18] ♥
Full video: https://youtu.be/kK5yAwytEbk?si=Ha7NxSMHBrD82qJE
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 15 sehingga ayat 18 dalam juzuk ke 12.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah seterusnya iaitu apabila abang Yusuf menjalankan rancangan mereka untuk meletakkannya ke dalam perigi atau lubang air di tengah padang pasir.
Mereka tergamak melakukannya angkara hasad & cemburu.
*Namun apabila Yusuf di tinggalkan, Allah wahyukan kepada Yusuf bahawa dia akan selamat & suatu hari nanti kamu akan ceritakan kepada mereka apa yang mereka lakukan ini!
Ini untuk menguatkan hati Yusuf agar sabar dan jangan takut.
- Pada waktu petangnya mereka bawa balik baju Yusuf yang berlumuran darah sambil menangis mengatakan kepada bapa mereka bahawa Yusuf telah dimakan serigala!!
- Nabi Ya‘qub menerima berita itu dengan sabar {فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌۭ}- apa boleh buat lagi dia nak pergi cari Yusuf sudah tak larat.
Tetapi jauh di sudut hatinya dia tahu bahawa Yusuf masih hidup dan darah itu adalah palsu bukan darah Yusuf.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan apabila mereka selesai membodek dan merayu bapa mereka Ya’qub untuk membawa Yusuf keluar bersama mereka ke padang pasir bagi menjalankan komplot jahat mereka.
ii- Maka dalam ayat ini mereka telah berjaya mendapat keizinan bapa mereka nabi Ya’qub, lalu membawa Yusuf keluar dan mereka semua sepakat berazam melakukan komplot jahat mereka!
Lalu mereka melakukannya dan tiada seorangpun daripada 10 orang abang itu yang lembut hati untuk membela Yusuf- betapa gagah dan berjayanya pukulan syaitan!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَلَمَّا ذَهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَجْمَعُوٓا۟ أَن يَجْعَلُوهُ فِى غَيَٰبَتِ ٱلْجُبِّ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ﴿٥١﴾
Ayat 15- {Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) “.} (Yusuf 12:15)
- Allah menceritakan akhirnya mereka berjaya mendapat keizinan bapa mereka dan membawa keluar Yusuf ke padang pasir.
Di sana mereka sepakat untuk menjalankan apa yang telah mereka rancangkan!!!
Tiada seorangpun dari mereka yang teragak-agak atau menasihati satu sama lain!
- Maka mereka pun meletakkan Yusuf di dalam telaga atau lubang air itu seperti yang dirancangkan!
Berlakulah apa yang mereka kehendaki itu!
*Lubang air atau telaga ini sebagaimana yang kita bincangkan dalam ayat yang lepas.
- Untuk menenangkan Yusuf yang masih kecil dan pasti dalam ketakutan itu; Allah ilhamkan kepada Yusuf bahawa:
i- jangan takut dia akan selamat!
ii- pada suatu hari nanti Yusuf akan ceritakan balik peristiwa ini kepada saudara-saudaranya itu sedangkan mereka sudah lupa akan perbuatan jahat mereka ini!
*Ilham di sini bukan wahyu lagi kerana Yusuf belum dilantik menjadi rasul.
Ilham ini sama seperti Allah ilhamkan kepada lebah untuk buat rumah di bukit & ilham kepada ibu nabi Musa untuk hanyutkan Musa.
Penjelasan di faedah nanti.
- Kata ahli motivasi:
i- Jika kita buat kebaikan kepada orang- lupakanya. Ini supaya kita tidak sesekali mengungkitnya!
ii- tetapi jika kita buat kesalahan kepada orang jangan sesekali lupakannya!
Ini supaya kita sentiasa ingat untuk tidak melakukannya lagi dan minta maaf dengan orang yang kita sakiti dan bertaubat istighfar kepada Allah.
وَجَآءُوٓ أَبَاهُمْ عِشَآءً يَبْكُونَ ﴿٦١﴾
Ayat 16- {Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.} (Yusuf 12:16)
- Setelah mereka meninggalkan Yusuf di dalam telaga- pada waktu petangnya iaitu apabila hari sudah gelap mereka kembali ke rumah mereka.
- Hikmah mereka kembali apabila hari sudah gelap itu:
I- Ini supaya bapa mereka tidak dapat menyuruh mereka kembali pergi mencari Yusuf.
ii- bahawa mereka menungu dan sudah berusahan mencari Yusuf sehingga gelap!
- Mereka kembali itu dalam keadaan berpura sedih sambil berlakon menangis kesedihan.
قَالُوا۟ يَٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَٰعِنَا فَأَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ ۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤْمِنٍ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَٰدِقِينَ ﴿٧١﴾
Ayat 17- {Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.} (Yusuf 12:17)
- Mereka lalu melaporkan apa yang berlaku kepada bapa mereka dengan bawa alasan palsu dan cerita bohong yang mereka reka-rekakan:
i- Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu- yakni agak jauh dari tempat mereka berkelah.
ii- Dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami- kerana Yusuf masih kecil tak boleh join mereka dalam perlumbaan.
iii- Lalu ia dimakan oleh serigala; ketika mereka tiada itu kononnya datang serigala menyerang dan memakan Yusuf!
- Betapa mereka ini cuba menipu tetapi tidak pandai- kerana baju Yusuf yang mereka bawa itu tidak carik atau rosak cuma dilumuri darah sahaja!
Kerana itu bapa mereka tidak percaya lansung dan tidak boleh terimanya. - Kemudian mereka cepat-cepat buat tuduhan terhadap bapa mereka pula- bahawa bapa yang selalu curiga & suka bersangka buruk kepada mereka- tuduh mereka menipu walaupun mereka telah bawa bukti yang jelas!!!
Maka pasti kali ini bapa mereka tidak akan percaya juga kepada mereka walaupun mereka berkata benar!
- Inilah air mata buaya yang tidak dapat dipercayai- kita pun hati-hatilah dengan orang yang suka menipu dan mudah menangis kesedihan apabila bercerita mencari simpati!!
وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ ﴿١٨﴾
Ayat 18- {Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: “Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”} (Yusuf 12:18)
- Mereka cuba menegakkan penipuan mereka itu dengan bawa bukti yang kukuh bagi mereka!
Mereka melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Sedangkan jelas baju itu tidak rosak atau tak carik lansung! - Ya’qub berkata sambil membantah pembohongan mereka itu dengan berkata bahawa apa yang berlaku bukanlah seperti dakwaan mereka!
Tidak sesekali berlaku seperti itu! - Bahkan nafsu mereka telah memperelokkan kepada mereka suatu perkara yang tidak dapat diterima akal.
- Lalu tiada apa boleh buat lagi- Nabi Ya’qub pun memujuk dirinya untuk:
i- menerima taqdir apa yang berlaku (hilang anaknya Yusuf) bersabar dengan kesabaran yang amat baik & sabar yang luar biasa, tidak keluh kesah dan mengadu kepada makhluk lain!
{فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌۭ}.
ii- dia juga hanya akan mengadu dan merayu kesedihannya hanya kepada Allah.
Hanya kepada Allah tempat memohon pertolongan, tiada kepada yang lain!!!
Hanya Allah yang dapat membantu dan menyelesaikan segala masalahnya!
- Yakni hanya Allah yang mampu menolong, membantu, menyelesaikan segala kesusahan, ujian dan masalah yang menimpa!
Begitulah kita minta sabar & minta pertolongan dari Allah barukah kita akan menjadi manusia yang betul-betul beriman!
Penutup & Faedah: #
- Ayat 15- {Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian),…-}- setelah mereka berjaya mendapat keizinan bapa mereka untuk bawa keluar Yusuf- mereka pun buat persiapannya dengan segera.
Mereka pun bawa Yusuf ke padang pasir yang sunyi yang ada lubang air sebagaimana yang telah mereka rancangkan!
Kata ulama’ tadabbur: Kita kena berhati-hati dengan dosa yang keji lagi membawa kesialan!
Ini kerana satu dosa akan melahirkan dosa-dosa yang seterusnya!!!
Seperti dalam kisah ini:
i- dosa pertama; mereka berbincang untuk membuang Yusuf & memisahkan dari bapa mereka kerana dengki & cemburu.
ii- mereka mencari helah yang bermacam-macam dengan menipu untuk mendapat keizinan bapa mereka!
iii- mereka reka cerita palsu dan bawa bukti palsu & berpura menangis kesedihan!
iv- yang paling berat mereka sanggup untuk membunuh Yusuf pada awalnya atau membuangnya ke dalam lubang seorang diri pada akhirnya!
Betapa satu dosa kecil akan membawa dosa yang beranak-pinak begitu banyak!
Allahu al-Musta’an!
Seperti orang yang hasad kepada orang lain, dia akan memburukkan orang itu, buat fitnah dan tuduhan palsu, mengumpat, mengutuk, mengata dan pelbagai keburukan lagi!!!
Begitulah satu dosa boleh membawa kepada dosa yang lebih banyak- na’uzubillah!
- Ayat 15- {… dan kami pula ilhamkan kepadanya: “Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) “.}
Allah ilhamkan kepada Yusuf- (samada malaikat datang atau macamana) bahawa kamu akan selamat dari kejahatan ini- kamu akan hidup senang selepas daripada ini. Selepas beberapa ujian kamu akan hidup senang & berjaya!
Kamu juga akan mengingatkan dan menceritakan semula kisah ini, perbuatan jahat mereka ini kepada mereka sedangkan mereka sudah melupakannya!
Maka Allah ilham kepada Yusuf- kamu sabarlah Yusuf menghadapi semua ujian ini- pada suatu hari nanti saudara-saudara kamu yang buat kejahatan ini akan datang menghadap kamu merendahkan diri mereka di hadapan kamu yang telah berkuasa pada waktu itu!
Bila kita lihat kepada hasil yang akan kita dapat dihujuang perjuangan atau perjalanan kelak- kita tidak akan terasa lagi lagi kesusahan & cabaran yang dihadapi sebelum itu- semua kecil.
Seperti seorang pelajar yang berusaha belajar, bersengkang mata menghabiskan masanya dengan murajaah untuk mendapat hasil yang cemerlang!
Letih di tengah jalan tetapi dihujungnya ada sinar kejayaan!
Perhatian:
Maksud wahyu {وأوحينا} di sini ialah bukan wahyu rasmi kepada seorang rasul tetapi lebih kepada wahyu beri ilham atau idea sebagaimana dalam ayat-ayat ini juga:
i- Seperti Allah memberi ilham kepada lebah-lebah untuk membina rumah di atas bukit:
{ وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ}
Maksudnya: {Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia”,}- [An-Nahl: 68].
ii- Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa.
Dia juga bukan nabi kerana perempuan tidak ada yang dilantik menjadi rasul atau nabi.
{إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ}-
Maksudnya: {“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya…} (Taha 20:38)
*Wahyu yang buruk juga ada sebagaimana dalam firman Allah ini:
{وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَـٰدِلُوكُمْ}-
{.. dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu;} [Al-An’aam 6:121].
- Ayat 16- {Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.} – mereka kembali pada waktu malam iaitu apabila hari sudah gelap!
Ini kerana lebih mudah untuk berlakon’ menangis dan minta maaf dalam waktu gelap- zaman dulu bukan ada lampu letrik seperti hari ini!
Kerana itu kata ahli motovasi:
لا تطلب الحاجة بالليل ، فإن الحياء في العينين،
ولا تعتذر بالنهار من ذنب فتتلجلج في الاعتذار
“Jangan kamu pergi meminta sesuatu hajat dari orang pada waktu malam!
Ini kerana kejujuran atau sifat malu ada dalam dua mata manusia!”
Pada waktu malam pastilah tidak berapa nampak kejujuran pada wajah atau mata seseorang itu. *Ini menunjukkan bahawa orang yang berdusta biasanya memilih untuk menipu dan buat alasan dalam suasana gelap.
” Jangan pula kamu meminta maaf atau keuzuran pada waktu siang kerana orang akan mencari pelbagai alasan untuk menolaknya!”
Kesimpulannya- abang-abang Nabi Yusuf kembali pada waktu malam kerana:
i- Untuk menunjukkan bahawa mereka telah berusaha mencari Yusuf buat beberapa waktu yang lama- sehingga gelap tunggu.
ii- Supaya tidak nampak tangisan dan lakonan mereka yang palsu.
iii- Biar nampak mereka betul-betul jujur menjaga adiknya.
iv- Untuk mengelakkan dari disuruh bapa mereka Nabi Ya’qub untuk keluar mencari Yusuf lagi!
Hari sudah malam & gelap- tak dapat nak buat apa lagi!
Maka antara kaedah penting daripada ayat ini ialah: Tangisan bukan bererti benar!
Jangan mudah tertipu dengan tangisan musuh, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis musuh!
Jangan menjadikan air mata atau tangisan sebagai ukuran kejujuran seseorang.
Ada orang yang boleh menangis walaupun menipu- ada juga orang tidak pandai menangis walaupun benar!
- Ayat 17- {Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala;..}- mereka pun buat pelbagai cerita dan alasan untuk membuatkan bapa mereka percaya!
Iaitu bahawa Yusuf telah hilang dimakan serigala semasa mereka meninggalkannya sebentar untuk pergi berlumba!
In percakpan nak beli jiwa atau nak pujuk agar bapa mereka percaya!
Tetapi mereka juga mengatakan mereka tahu bapa mereka tetap tidak akan percaya kepada mereka walaupun mereka adalah orang yang benar!!!!
Hati-hatilah jangan mudah terpedaya mudah kena kelentong dengan puak scammer atau tangisan buaya!
Kata ulama’: Ayat ini juga menunjukkan boleh buat pertandingan atau berlumba (musabaqah) dengan syarat-syaratnya!
- Ayat 18- {Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu.}- mereka bawa bukti bahawa Yusuf telah dimakan serigala dengan ditunjukkan baju Yusuf yang berlumuran darah. Darah ini mereka yang bubuhnya!
Dalam ayat ini menunjukkan jelas penipuannya anak-anaknya kepada nabi Ya’qub!
Iaitu baju Yusuf yang mereka bawa tidak ada kesan terkoyak atau carik dek terkaman serigala- tetapi berlumuran darah.
Takkanlah serigala begitu baik buka dulu baju Yusuf baru dimakannya?
Atau sekiranya dikatakan Yusuf buka dulu baju baru kena makan serigala- kenapa pula boleh ada darah pada baju yang tidak buang????
Begitulah manusia ini apabila nak menipu pasti ada lompongnya- dalil yang mebolehkan orang tahu bahawa dia menipu & itu palsu.
*Begitulah cara polis menyiasat & menangkap penipu!
Sepndai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua!
Apabila mengetahui bahawa anak-anaknya menipu- nabi Ya’qub tidak bercakap banyak lagi- dia terimalah taqdir perpisahan ini dengan penuh kesedihan.
Lalu Ya’qub buat dua perkara:
i- Ya’qub juga tekad bahawa dia akan bersabar dengan sebaik-baiknya!
ii- Dia juga menyerahkan segala pergantungan & permohonannya kepada Allah yang pasti akan membantunya!
Ini kerana dia tahu melalui mimpi Yusuf yang ditafsirkannya bahawa Yusuf hanya akan melalui ujian dan kesusahan buat semantara kemudian dia akan bangkit naik menjadi orang yang mulia & terhormat!
Allah ajar di sini agar kita sabar & bergantung kepada Allah s.w.t!
Kesabaran yang baik adalah kesabaran yang tidak ada sikap marah-marah, keluh kesah atau mengungkit!
Juga tidak mengadu kepada makhluk, hanya mengadu kepada Allah & memohon pertolongan dari-Nya sahaja.
Luahan nabi Ya’qub juga sebagaimana dalam firman Allah ini:
{(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.} (Yusuf 12:86)
Siapa yang sedang diuji Allah ambillah ayat ini sebagai motivasi!!!
Jangan dok bercerita mengimbau kenangan tentang orang tersayang kita sudah pergi sehingga berbulan atau bertahun di fb atau apa-apa media sosial!
Allah hanya izinkan kepada kita untuk ucap takziah dan berkabung untuk orang mati hanya 3 hari (kecuali kematian suami).
Jika tidak hanya akan menambah kesedihan!
Kita hanya mengadu kesusahan & kesedihan kita kepada Allah!
Mengadu kepada media sosial- celaka, mengadu kepada orang huru-hara dan tidak akan selesai pun masalah!
Dalam al-Quran ini ada 3 kali {جَمِيلٌۭ} iaitu cantik atau elok:
i- ayat ini tentang kesabaran yang indah & elok { فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌ- maknanya ialah hanya mengadu kepada Allah bukan kepada makhluk!
ii- Kemaafan yang elok- {فَٱصْفَحِ ٱلصَّفْحَ ٱلْجَمِيلَ}- Iaitu maaf yang sepenuhnya!
Apabila telah maafkan tidak mengungkit, mengutuk mencela lagi orang yang kita maafkan itu!
Jangan dok ulang luka lama masih berparut atau mengutuk mengata lagi seperti yang diajar syaitan!
iii- memutuskan secara baik- {وَٱهْجُرْهُمْ هَجْرًۭا جَمِيلًۭا}- yakni kita tinggalkan atau putuskan hubungan dengan seseorang itu secara baik!
Kita tidak hiraukannya lagi atau pedulikannya lagi!
Lupakan kisah silam mulakan lembaran baru.
Begitulah beberapa sifat yang indah, yang Allah sebut dalam al-Quran.
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, kita sambung esok; semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Wallahu a’lam.
UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 05/01/2026 / 15 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=848175924699596&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
