View Categories

(7) Surah Yusuf: Ayat 19-21

13 min read

Yusuf Diambil Oleh Pengembara, Dijual Dengan Harga Murah & Dibeli Oleh Menteri Di Mesir.💎

♥ Live Pagi Selasa 06/01/2026 / 16 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (07) Ayat [19-21] ♥

Full video: https://youtu.be/ZEnr7G5vIcI?si=owc72Z_jtfxR2p-f

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 19 sehingga ayat 21 dalam juzuk keduabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Yusuf telah diambil oleh {سَيَّارَةٌۭ} iaitu rombongan atau kafilah pengembara di padang pasir.

Mereka berhenti untuk mengambil bekalan air dan menjumpai Yusuf lalu mengambilnya.

  1. Mereka membawanya ke bandar Mesir dan dijual dengan harga yang sangat murah kerana mahu cepat-cepat selesaikannya.
  2. Taqdirnya Yusuf dibeli oleh seorang menteri di Mesir yang tidak mempunyai anak.

Inilah tapak permulaan kehidupan baru Yusuf di Mesir.
Begitulah perjalanan hidup manusia tiada siapa yang tahu pengakhirannya.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Yusuf yang telah dicampak ke dalam lubang air atau telaga oleh saudara-saudaranya.

Mereka sengaja meletakkannya di tempat yang boleh dijumpai orang tetapi tersembunyi- masih belum mahu dia mati juga.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 وَجَآءَتْ سَيَّارَةٌ فَأَرْسَلُوا۟ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَىٰ دَلْوَهُۥ ۖ قَالَ يَٰبُشْرَىٰ هَٰذَا غُلَٰمٌ ۚ وَأَسَرُّوهُ بِضَٰعَةً ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِمَا يَعْمَلُونَ ‎﴿٩١﴾

Ayat 19- {Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: “Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)”. (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.} (Yusuf 12:19)

  1. Tidak lama kemudian tibalah satu rombongan pedagang untuk berehat & mengambil bekalan air di tempat itu.

Mereka hantar seseorang untuk pergi mengambil air di dalam telaga itu!
Dia pun menghulurkan timba yang bertali untuk mengambil air.

  1. Apabila melihat tali itu Yusuf bergantung dan berpegang pada tali itu lalu diangkat naik!
  2. Kata Abu Hayyan: Melihat pada kejadian ini- ini menunjukkan Yusuf masih anak kecil ketika itu- berumur dalam 6-7 tahun.

Dalil-dalilnya beberapa keadaan ini:
i- Jika budak besar pasti akan dapat lawan serigala itu atau lari darinya.

ii- Dia hanya bermain-main di padang pasir- tidak sertai abang-abangnya yang lebih besar berlumba dan memanah!

iii- apabila diangkat oleh pengembara tadi- tidak terasa sangat beratnya- dia juga melaung: {Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)}

iv-Kata-kata Menteri Mesir yang membelinya: {“Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”.}- biasa anak kecil diambil sebagai anak angkat.

*Ini kerana pada awalnya ada ulama’ mengatakan Yusuf berumur 12 atau 17 tahun.

  1. Setelah melihat seorang budak yang elok parasnya- mereka sembunyikannya dalam barang-barang mereka & bercadang untuk balik menjualnya di Mesir!
  2. Terdapat dua pandangan siapakah penjual Yusuf ini: {mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan}:

i- para pengembara itu sendiri yang terus sembunyikan Yusuf dan bawanya ke Mesir untuk dijual!

ii- tetapi pandangan kedua kata saudara Yusuf yang sembunyikan keadaan Yusuf dan menjualnya kepada pengembara itu.

*Tafsir Pimpinan & ramai ulama’ tafsir seperti Ibnu Kathir  memilih pandangan ini.

  1. Sebahagian ulama’ tafsir kata tempoh Yusuf berada di dalam telaga itu sebelum dijumpai adalah 3 hari!
    Tetapi dalam tempoh itu tidak ada seorang pun saudaranya yang berasa menyesal dan mengambil balik Yusuf.
  2. Allah kata: {Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.}- yakni Allah tahu semua apa yang berlaku akan peristiwa ini:

i- Allah tahu apa yang abang-abang Yusuf buat juga apa yang para pengembara itu buat- sembunyikan dan jual Yusuf.

ii- & boleh saja jika Allah nak kembalikan Yusuf kepada bapanya atau wahyukan kepada Ya’qub tentang keadaan anaknya!

Tetapi tidak begitu kerana telah taqdirnya Yusuf akan ke Mesir dan melalui beberapa fasa & ujian dalam hidupnya di sana!

وَشَرَوْهُ بِثَمَنِۭ بَخْسٍ دَرَٰهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلزَّٰهِدِينَ ‎﴿٠٢﴾‏

Ayat 20- {Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.} (Yusuf 12:20)

  1. Mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah sahaja, mahu segera selesaikan urusan

Terdapat dua pendapat berkenaan siapakah yang menjual Nabi Yusuf:

i-Abangnya yang menjual dengan harga murah ini kerana mereka mahu Yusuf segera dibawa pergi jauh dari negeri mereka sebelum diketahui oleh bapa mereka.

*Ini pendapat Ibnu Jarir, As-Sam’ani dan ramai lagi ulama’ tafsir lain.

ii- Yang kedua adalah pedagang tadi- kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan itu menyalahi undang-undang- tidak menguar-uarkan kanak-kanak yang dijumpai tetapi sembunyikan dan menjualnya untuk mendapatkan wang segera!

*Jika dilihat kepada susunan ayat kedua pendapat ini boleh diterima!

  1. Lalu mereka menjualnya dengan beberapa dirham sahaja bilangannya; ada ulama’ kata dalam 20- sehingga 22 dirham saja.
  2. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya!!!
    Mereka menjual Yusuf murah-murah kerana mereka tidak tahu nilai sebenar Yusuf & tidak menghargainya!

 وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشْتَرَىٰهُ مِن مِّصْرَ لِٱمْرَأَتِهِۦٓ أَكْرِمِى مَثْوَىٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوْ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدًا ۚ وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُۥ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمْرِهِۦ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ‎﴿٢١﴾

Ayat 21- {Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.} (Yusuf 12:21)

  1. Munasabah ayat: Yusuf diambil dari telaga, dijual oleh abangnya pada kali pertama, kemudian dijual pula oleh para pedagang itu di Mesir.
  2. Akhirnya tibalah mereka di Mesir dan Yusuf dibeli oleh seorang Menteri yang dikenali sebagai al-Aziz yang tiada anak sendiri.

Dia berpesan kepada isterinya agar melayan Yusuf dengan sebaik-baiknya; dengan harapan dia berguna kepada mereka, atau dijadikan dia anak angkat mereka.

  1. Nota [386]: Orang yang membelinya itu adalah seorang pegawai tinggi negeri Mesir, terkenal dengan nama al-Aziz seperti yang tersebut dalam ayat 30.

Sedangkan isterinya mengikut ahli sejarah menamakannya Zulaikha.

Menunjukkan keduanya belum mempunyai anak sehingga ingin menjadikan Yusuf a.s. sebagai anak.

  1. Maka demikianlah caranya Allah menetapkan kedudukan Yusuf di bumi Mesir untuk dihormati dan disayangi dengan menjadi anak angkat Menteri yang berpengaruh!
  2. Yusuf adalah seorang anak yang elok parasnya & elok juga akhlaknya.

Maka sebagaimana:
i- Allah selamatkan Yusuf dari konspirasi jahat saudaranya;

ii- Allah selamatkannya dari lubang air;

iii-Allah letakkannya pada suatu kedudukan yang tinggi di Mesir menjadi anak angkat pembesar. Senanglah sebentar Yusuf.

iv- tetapi ini tidak lama setelah dewasa Yusuf diuji pula dengan penjara!

  1. Allah juga memberi kelebihan kepada Yusuf dengan mengajarnya sebahagian dari ilmu dan takbir mimpi.

Yusuf alim dalam ilmu tentang kitab Allah & perjalanan Sunnah nabi terdahulu selain pandai takbir mimpi!

*Inilah yang menemukannya dengan Raja Mesir kelak!

  1. Ingatlah bahawa sesungguhnya:
    i- Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, Allah buat apa yang Dia nak, tiada siapa boleh lawan boleh sekat kehendak Allah.

ii- akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui akan kuasa Allah, tak tahu tentang hikmah & pentadbiran Allah.

Kerana itulah kebanyakan manusia ramai yang kufur kepada Allah.

  1. Semoga kita menjadi dari golongan yang sedikit ini; yang tahu akan kekuasaan Allah serta yakin apa yang Allah taqdirkan akan berlaku, tiada siapa boleh sekat atau halang!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 19- {Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka;….. sehingga akhir ayat}-

Kisah ini Allah ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan perihal Nabi Yusuf a.s yang menghadapi ujian yang besar akibat perbuatan saudara-saudaranya sendiri.

Waktu ini Rasulullah s.a.w sendiri sedang menghadapi ujian yang besar iaitu tentangan dari kaumnya Quraisy yang terdiri dari kaum keluarga Baginda sendiri.

Serta para muslim pada masa itu yang kena zalim dan kena siksa, tiada siapa yang melalui jalan yang senang, tiada hamparan permaidani merah dalam perjuangan agama ini.

Begitulah juga kita para pendakwah kena lalui jalan yang sama, tiada perkara yang senang dalam perjalanan ini!

Apa yang penting orang yang baik akan disudahi dengan kemenangan tetapi Allah tidak akan beri terus dengan kun fayakun.
Perlu kepada usaha & kesabaran barulah pertolongan Allah akan datang!

  1. Ayat 19- {… ia berseru dengan katanya: “Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)”.}- apabila menemui Yusuf mereka berseru dengan bergembira kerana dapat seorang anak lelaki yang comel!

Sebagaimana analisa yang dibuat oleh Abu Hayyan tadi ini dalil bahawa Yusuf masih kanak-kanak kecil yang berumur antara 6-7 tahun baru.

Dari ayat ini juga kita dapat hukum atau cara orang bertemu anak kecil atau bayi yang ditinggalkan atau hilang لقيط:

i- siapa yang terjumpanya kena tolong ambil untuk selamatkannya jangan biarkannya sehingga dimakan binatang.

Kena muliakan anak Adam yang tidak berdosa itu, ia hanya mangsa perbuatan jahat orang tua!

ii- syarat {لقيط} – orang yang dijumpai itu ialah kanak-kanak yang masih kecil!

Jika dewasa atau cukup umur tidak boleh diambil lagi sebagai anak angkat sesuka-hati!

Kita doakan para sahabat yang diuji belum dapat zuriat; semoga direzekikan Allah dengan segera insya’ Allah!

Boleh baca sendiri sesiapa yang berhajat:
i- Doa yang dibaca oleh Nabi Zakaria a.s sebagaimana dalam al-Quran:
رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
{“Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku bersendirian (tanpa zuriat), dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi.”} (Al-Anbiya: 89)

ii- dan dalam surah lain:
رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku dari sisi-Mu zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.” (Surah Ali ‘Imran: 38)

  1. Ayat 20- {Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya;..}- mereka segera menjualnya murah-murah kerana mahu selesai segera.

Dikatakan harga yang mereka jual itu adalah antara 20- 22 dirham saja!

Kitab Pimpinan ini memilih pendapat Ibnu Kathir yang menyatakan bahawa yang menjual dalam ayat ini ialah saudara-saudara Yusuf.

Ada juga ulama’ lain kata yang jual itu ialah pedagang / sayyarah yang menjumpainya.

Mereka (penjual Yusuf) tidak meminta harga yang mahal kerana mahu selesaikan segera:

i- jika saudaranya yang menjual kerana mahu Yusuf segera dibawa keluar dari negeri mereka sebelum diketahui bapa mereka.

ii- jika para pedagang yang jual kerana mereka tamak nak duit segera sebelum orang boleh kesan kesalahan mereka jual budak yang dijumpai tanpa melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Inilah maksud perkataan { مِنَ ٱلزَّٰهِدِينَ}- iaitu mereka tidak menghargai & tidak mahu menyimpan Yusuf lama kerana mahu diri daripada harta yang tidak betul belako.

  1. Dua ayat yang perlu kita teliti dalam surah Yusuf ini:

i-Ayat 20- {Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah,..}

ii- Ayat 88- {..berkatalah mereka: …. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, …}-

Antara hikmah balasan Allah atas dunia ini lagi ialah:
i- Apabila saudara-saudara Yusuf ini zalim; mereka jual Yusuf dengan tangan mereka sendiri- tidak lama selepas itu;

ii- mereka melutut menghulur tangan meminta bantuan & sedekah dari Yusuf.

Kerana itu para ulama’ kata – cerita dari dua ayat ini tidak jauh beza masanya!

Pada ayat awal yang jual itu adik-beradik dia; lalu datang ayat (88) nanti- tibalah balasan kepada mereka!

Ingatlah dunia ini sentiasa berputar ibarat roda- yang di atas akan turun ke bawah juga suatu hari, yang di bawah mungkin akan naik!

Orang yang di atas lihat orang yang di bawah ini kecil sahaja tetapi mereka tak tahu orang yang di bawah pun lihat mereka yang di atas kecil juga!

Orang yang susah tak selamanya susah; orang yang senang juga tidak semestinya senang sentiasa.

Orang yang berkuasa juga tidak selamanya akan berkuasa- kerana itu semasa berkuasa jangan menzalimi orang, jangan angkuh sombong dan menyusahkan orang- tunggulah tidak lama kamu akan jatuh & akan dihina, dizalimi orang pula!!

Orang yang menghina orang hari ini mungkin kelak dia akan menjadi dihina di hadapan orang yang dihinanya itu!

Kerana itu berhati-hatilah jangan kita angkuh sombong atas dunia, jangan buat zalim aniaya terhadap orang lain!

  1. Ayat 21- {Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”.}- pembesar yang membeli Yusuf berpesan kepada isterinya agar menghormati dan melayan Yusuf dengan baik, mungkin dia akan memberi faedah kepada mereka atau boleh dijadikan sebagai anak angkat mereka!

Dalam ayat ini Allah tidak sebut siapakah pembeli Yusuf itu dengan detail- siapa namanya, apakah jawatannya, apa nama isterinya- tidak disebut!

Ini kerana al-Quran adalah bukan cerita sejarah atau cerita novel- Allah bawa kisah Yusuf ini untuk kita ambil iktibar & pengajaran!

Maka tak perlu kita korek cari dan beri nama atau jawatan mereka- kerana apa yang Allah mahu adalah kita ambil ibrah pengajaran dari kisah Nabi Yusuf ini!

Apa yang dikatakan nama isterinya Zulaikha itu semua tidak ada riwayat yang sahih dari al-Quran atau hadis yang sahih yang menunjukkan Yusuf akhirnya kahwin dengan Zulaikha dan apakah namanya betul Zulaikha?!

Maka kita nasihatkan agar imam atau pembuat kad kahwin tak perlulah sebut seperti Yusuf & Zulaikha ini!

Fenomena hari ini ini ramai orang melansungkan akad nikah atau kahwim di masjid!

Elok juga bagi yang tidak pernah ke masjid sekurang-kurangnya sampai ke masjid hari tu!

Tetapi ingat- jagalah adab & kehormatan masjid.

Tunaikan haknya seperti solat sunat tahuyyatul masjid, wanita yang hadir berpakaian menutup aurat yang sempurna, bagi yang dalam keadaan haid atau nifas jangan masuk dalam masjid, hadirin kena sopan tingkah-laku dan sebagainya!

Kata Abdullah ibnu Mas’ud r.a- berdasarkan kisah dari al-Quran- tiga orang yang bijak membuat penilaian terhadap peribadi seseorang ada 3 iaitu:

i- Al-Aziz yang membeli Yusuf- dia berkata: Ayat 21- {Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”.

Benar sekali Yusuf memberi manfaat & kemuliaan kerana dia akhirnya dilantik sebagai seorang nabi dan pembesar negara.

ii- anak perempuan Nabi Syua’ib yang meminta ayahnya mengambil nabi Musa berkerja dengan mereka apabila merasakan dia seorang yang amanah & kuat.

Dia berkata apabila dia melihat nabi Musa a.s: {Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.} (Al-Qasas 28:26)

iii- Sayyidina Abu Bakar r.a yang nampak bahawa orang boleh menggantikannya menjadi Khalifah ialah Sayyidina Umar r.a.

Lalu dia cadangkan Umar jadi Khalifah selepas kematiannya kerana umat Islam perlukan orang yang tegas dan gagah perkasa seperti Umar!

Kita pun kena pandai, jadi orang yang ada firasat juga, apabila kita jumpa orang yang baik dan soleh terus kita pegang dan rapatkan dari awal lagi.

Ambillah buat sahabat, menantu atau pasangan, seorang yang dapat membawa kebaikan dunia Akhirat kepada kita, insya’ Allah tak akan rugi!

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu a’lam.🎀


#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 06/01/2026 / 16 Rajab 1447H🌷

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=849165667933955&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top