Yusuf Seorang Pemuda, Digoda Oleh Ibu Angkatnya & Allah S.W.T Jaga Yusuf Dari Perkara Keji.

♥Live Pagi Rabu 07/01/2026 / 17 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (08) Ayat [22-24]♥
Full video: https://youtu.be/wURCVthTMi0?si=ieTw998rSBN1plP0
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 22 sehingga ayat 24 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Yusuf telah membesar dalam rumah Menteri dengan penuh kasih sayang sehinggalah Yusuf menjadi seorang pemuda yang tampan.
Allah menganugerahkan kepada Yusuf ilmu & hukum {حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا}.
- Apabila telah besar bermulalah pula ujian terhadap Yusuf; dia digoda oleh ibu angkatnya sendiri yang berkeinginan buat perkara buruk terhadapnya!!
- Tetapi Allah s.w.t telah menjaga Yusuf dari perkara keji sebagaimana perkataan atau doa yang keluar dari mulut Yusuf: {مَعَاذَ ٱللَّهِ}.
Perkataan ini menunjukkan seorang pemuda atau pemudi yang mempunyai keimanan yang tinggi lagi mantap apabila menghadapi godaan yang cukup menawan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Yusuf telah dibeli seorang menteri di Mesir, hidup dalam kemewahan dan kasih sayang keluarga angkatnya dengan penuh aman damai, keadaan begini sehinggalah Yusuf mencapai umur yang matang sebagai pemuda yang tampan dan gagah.
Ada ulama’ seperti Ibnu Abbas berpendapat umur 33, ada ulama’ kata 20 tahun, ada yang kata umur mencapai baligh!
*Ibnu Jarir berkata semua pandangan ini hanyalah anggaran kerana tiada nas dari al-Quran atau hadis yang sahih & jelas tentang umurnya yang sebenar.
Yang penting Yusuf telah tumbuh membesar menjadi seorang pemuda yang tampan sekali.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥٓ ءَاتَيْنَٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ﴿٢٢﴾
Ayat 22- {Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.} (Yusuf 12:22)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan setelah beberapa lama Yusuf mencapai umur yang sempurna kekuatan & akalnya.
Tumbuh menjadi seorang pemuda yang tampan lagi segak. - Lalu oleh Allah s.w.t memberi kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan
{حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا}:
i- kebijaksanaan {حُكْم}- ramai ulama’ kata hikmah ini kenabian.
Ada juga yang kata kebijaksanaan inilah yang menyelamatkan Yusuf daripada huru-hara ujian & musibah yang menimpanya!
ii- serta ilmu pengetahuan {عِلْم}; ilmu di sini bermakna ilmu feqah seperti hukum-hakam atau boleh juga ilmu tafsir mimpi.
Keduanya boleh belaka- semua Yusuf ada kerana dia adalah seorang nabi yang diberkati Allah!
- Begitulah Allah akan membalas orang yang sentiasa memperbaiki amalannya {ٱلْمُحْسِنِينَ}.
Apabila Allah mahu beri kebaikan kepada seseorang itu akan diberi ilmu & kebijaksanaan.
Tetapi semua itu tidak sama dengan ilmu & kebijaksanaan yang dimiliki oleh Yusuf a.s.
*Balasan ihsan dari Allah mengikut kesesuaian dan keperluan seseorang itu mengikut kehendak Allah!
- Kesempurnaan hidup seorang manusia apabila dua perkara:
i- ada kuasa & kekuatan {قدرة} – ada kekuatan saja tak ada ilmu- tak akan boleh maju juga dalam hidup atau karier.
Ada kuasa tetapi tidak ada ilmu maka akan huru-hara dan kucar-kacir sesuatu negara atau institusi.
ii- ada ilmu {عِلْم}- ada ilmu saja tanqpa kuasa tidak akan dapat memberi manfaat yang besar!
Contoh orang alim tetapi sudah tidak ada kuasa untuk bercakap & berjalan tidak akan memberi manfaat yang besar lagi.
- Maka kepada Yusuf a.s Allah beri kedua-dua ini- ilmu & kebijaksaan serta kekuasaan.
وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّٰلِمُونَ ﴿٣٢﴾
Ayat 23- {Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.} (Yusuf 12:23)
- Ujian besar yang menimpa Yusuf ialah apabila isteri pembesar al-Aziz, yang seolah ibu angkatnya berminat kepadanya.
Dalam al-Quran Allah tidak sebut siapakah nama wanita isteri pembesar ini serta isteri kepada siapa.
Hanya perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya!
Allah tidak mahu malukan wanita ini kerana suami seorang yang baik – maka tidak didedahkan semuanya!
Orang yang baik jangan dilodehkan semua jika ada dikesan kesalahannya!
- Wanita itu lalu menggoda dan mengajak Yusuf berbuat perbuatan keji apabila tiada orang dan menutup pintu-pintu rumah agar tidak dilihat orang.
Suasana & tempat telah cukup syarat untuk memberi peluang jika Yusuf terpedaya & menerima ajakan itu!
- Tetapi Nabi Yusuf seorang yang baik jiwa & nafsunya, seorang pemuda yang dijaga Allah maruah dan kehormatannya, sebagai calon seorang rasul & nabi kelak.
- Yusuf menolaknya dengan mengeluarkan kata-kata yang lebih bernilai daripada emas permata:
i- “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu)-
{مَعَاذَ ٱللَّهِ}; Yusuf meminta perlindungan dari Allah akan godaan yang dahsyat itu, dari terjebak dengan perbuatan keji!
- Yusuf juga berkata lagi memberi peringatan kepada isteri al-Aziz: Bahawa sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya!
Yakni Yusuf ingat & kenang akan kebaikan & jasa tuannya {رَبِّىٓ} tuanku, iaitu suami perempuan itu yang telah berbuat baik kepadanya!
Dia tidak akan membalas kebaikan itu dengan satu pengkhianatan!
Begitulah Yusuf menasihati & memberi peringatan kepada isteri al-Aziz.
- Ada juga ulama’ yang menafsirkan makna {رَبِّىٓ} ini ialah Tuhanku yang telah banyak memberi nikmat kepadanya bermula dari dibuang oleh saudaranya di dalam telaga, dijumpai, dijual sehinggalah mendapat perlindungan di rumah al-Aziz.
Takkan dia nak balas semua kebaikan & nikmat itu dengan melakukan kejahatan & pengkhianatan!!!!
- Mulianya Yusuf kerana telah mengeluarkan perkataan ini pada saat yang begitu genting dan kemuncak godaan!
- Begitulah iman & akhlak yang teguh yang Allah pasakkan dalam diri Yusuf, yang kita juga sangat perlukannya untuk kita sendiri, keluarga kita, anak-anak kita semua yang boleh menjadi benteng saat keruntuhan akhlak dan keruntuhan nilai kemanusiaan hari ini.
- Allah tutup ayat ini dengan menyatakan sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.
Iaitu orang yang menzalimi diri mereka dengan berbuat maksiat & mungkar atau perbuatan keji; tidak akan selamat & berjaya!!!
Zalim jika mengkhianati orang yang telah berbuat baik kepada kita, mengkhianati suami yang percaya kepada seorang isteri!
وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِۦ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَٰنَ رَبِّهِۦ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلْفَحْشَآءَ ۚ إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُخْلَصِينَ ﴿٤٢﴾
Ayat 24- {Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.} (Yusuf 12:24)
- Ayat ini menjelaskan keadaan isteri al- Aziz (atau dinamakan oleh ahli tafsir sebagai Zulaikha) yang benar-benar berkeinginan untuk berbuat sesuatu yang tidak baik dengan Yusuf {وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ}, amat berkenan dan berkehendakkan Yusuf- satu cita-cita atau keinginan yang solid.
- Manakala keadaan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu {وَهَمَّ بِهَا}- ada juga lintasan hati atau perasaan tertarik, tetapi lintasan hati saja yang tidak diikuti dengan perbuatan sebenar tidak dikira bersalah.
Bahkan Yusuf terus menolak & menepisnya tanpa ada niat & hajat untuk melakukannya!!!
*Ada perasaan, terlintas sebagai lelaki normal tetapi tiada semangat dan cita-cita untuk melakukannya!
- Ayat ini amat berbahaya jika tidak ditafsirkan dengan baik dan penuh hikmah & ilmu!
Kerana itu apabila baca ayat ini jangan berhenti setakat: Yusuf juga ada keinginan kepadanya- { وَهَمَّ بِهَا} tetapi kena habiskannya:
{ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَـٰنَ رَبِّهِۦ ۚ}!!
Betapa ia boleh menjadi satu fitnah & tohmahan buruk terhadap seorang rasul yang mulia!!!
- Yusuf berjaya menolak semua ini kerana Yusuf telah melihat petunjuk dari Allah
{لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَـٰنَ رَبِّهِۦ}
dan menyedari kenyataan Tuhannya tentang kejinya perbuatan zina itu.
*Kita pun orang muda atau orang tua jika ada orang yang nak khianat buat jahat kepada kita bacalah doa ini.
- Hadis qudsi- Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi S.A.W, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً،
فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya.
Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna.
Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.
Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna.
Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (HR al-Bukhari, no. 6491)
*Maksud perkataan (هَمَّ) disini adalah niat atau kehendak!
- Pendapat ulama’ ada yang kata: Yusuf cuma hanya ada lintasan hati (fitrah sebagai lelaki yang telah cukup umur) apabila melihat perempuan yang cantik & menggoda; tetapi dia tidak berniat sesekalipun untuk berbuat jahat!
Kerana Yusuf telah melihat dalil-dalil kekuasaan {بُرْهَـٰنَ} dari Tuhan-Nya. - Pendapat yang terpilih ialah dari Abu Hayyan rhm: Bahawa Yusuf lansung tidak ada minat kepada perempuan itu kerana adanya {بُرْهَـٰنَ رَبِّهِ} tanda-tanda dalil kekuasaan Allah, yang Yusuf telah lihat!
Tidak berlaku perkara tersebut!
Kata Syeikh al-Amin asy-Syanqiti: Pendapat Abu Hayyan ini yang terbaik untuk membersihkan Nabi Yusuf dari segala spekulasi & kontroversi fitnah.
- Maksudnya dalil-dalil kekuasaan {بُرْهَـٰنَ} dari Tuhan-Nya ini ialah apa yang Allah telah tunjukkan kepada Yusuf dari segi kekuasaan-Nya, tentang ilmu-Nya, hukum-hakam-Nya, azab siksa-Nya dan lain-lain; yang Yusuf telah lihat, yang menyebabkan Yusuf takut kepada Allah dengan iman yang teguh!
- Terdapat banyak kisah Israiliyyat yang diambil dari yahudi- berkisar tentang peristiwa Nabi Yusuf & perempuan al-Aziz ini- semuanya tidak benar dan datang dari kaum yahudi yang mahu memburukkan para nabi!!!
**Semoga para ulama’ tafsir & penceramah apabila menceritakan kisah ini menyebut & menafikan kesahihan kisah ini bukan hanya sebut kisah ini dan diam sahaja menjadikannya tersebar & diterima ramai!
- Allah nyatakan bahawa demikianlah takdir Allah untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, yang tidak layak sebagai seorang nabi yang mulia.
- Ini kerana sesungguhnya Yusuf dari hamba-hamba Allah yang dijaga & dibersihkan dari segala dosa.
Allah bersihkannya dengan iman & tauhid, dengan taqwa kepada Allah dengan ibadat kepada Allah; maka Allah bersihkan Yusuf daripada segala perkara yang tidak baik!
Penutup & Faedah: #
- Ayat 22- {Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya,..}-
Allah nyatakan apabila Yusuf mencapai umur yang sempurna dari segi kekuatan & akalnya.
Sebagaimana yang kita bincangkan tadi ada ulama’ kata apabila mencapai 33 tahun, 40 tahun, 20 tahun dan sebagainya.
Allah hanya sebut begitu saja {أَشُدَّهُ}.
Lalu Allah kurniakan kepada Yusuf ilmu & hikmah {حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا}.
Yusuf adalah seorang yang bijak akal fikirannya, hebat akhlaknya, seorang yang soleh yang tidak melangar perintah Allah!
Allah kata juga Yusuf diberi ilmu & hikmah kerana Yusuf adalah seorang yang baik!
Dengan sebab dia orang baik inilah Allah selamatkanntya!
Sesiapa yang baik Allah akan beri kepadanya perlindungan dan balasan yang dapat menyelamatkannya dari tercalar imej & maruah sebagai seorang pemuda soleh, nabi, anak & cucu nabi, dari keturunan para nabi pula!
Marilah jadi jadi orang baik agar Allah jaga kita dan anak cucu keturunan kita dengan sebab kebaikan itu!
- Ayat 23- {Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata:….}- perempuan tuan rumah yang didudukinya mula menggoda Yusuf, menyediakan persekitaran yang tertutup serta menyiapkan dirinya sedia untuk Yusuf!
Kata para ulama’ ayat ini memberi kepada kita beberapa peringatan besar:
i- bahayanya berkhalwat dengan perempuan yang bukan mahram; tidak kira di pejabat, kedai dalam kereta atau;
ii- fenomena sekarang ini berkhalwat di alam maya!
Iaitu berbual, bermesej dan berchat dengan lelaki/perempuan yang bukan mahram, berkenalan di alam maya terus bermesra!
Tidak kiralah orang tua atau orang muda- semuanya lupa diri sehingga hanyut!!
Semua ini adalah bahaya pergaulan bebas yang boleh membawa kepada perbuatan keji- zina!
iii- dalam firman-Nya ini: {Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya,..}-
Allah tidak sebut siapakan namanya perempuan itu atau nama suaminya.
Cuma orang lain yang sebut.
Ini kerana Allah nak jaga & tutup kehormatan suaminya!
Maka ayat ini jika dibaca dalam solat pun aman, dalam majlis kematian pun boleh, depan kanak-kanak pun tidak mengapa; kerana tiada ayat yang menunjukkan kelucahan atau keaiban!
Inilah uslub al-Quran yang menjauhkan pendedahan, tidak menyebut nama seseorang untuk menjaga maruah dan menutup keaibannya.
Sebagaimana perkataan suri rumah atau orang rumah untuk perempuan walaupun dia sebenarnya keluar bekerja juga.
Tak perlu kita pertikaikan hanya sekadar istilah!
- Ayat 23- {… dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu);…}- dalam keadaan begitu gawat ini- suasana penuh godaan, masa & keadaan memberi peluang untuk berbuat jahat, perempuan itu juga sudah bersedia; Yusuf dengan jiwa yang kental menolaknya dengan minta pertolongan dari Allah:
﴿ مَعَاذَ ٱللَّهِ ﴾- “Ia berkata: Aku berlindung kepada Allah…”}
Begitulah caranya apabila kita menghadapi hasutan syaitan atau kejahatan & godaan manusia, di alam nyata atau alam maya; segeralah kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidah Maryam apabila melihat tiba-tiba ada seorang lelaki (malaikat yang menyamar manusia) di dalam biliknya; terus dia minta perlindungan dengan Allah: {إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ}.
Firman Allah ini:
{Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.} (Maryam 19:18)
Malaikat lalu terus memperkenalkan diri untuk menghilangkan ketakutan Sayyidah Maryam:
{Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”.} (Maryam 19:19)
Dalam ayat ini nabi Yusuf minta berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu dan mengingati kebaikan tuannya {رَبِّىٓ} kepadanya sebelum ini.
Perkataan {رَبِّىٓ} di sini boleh membawa kedua-dua makna tuan atau Tuhan:
i- samada tuan iaitu pembesar yang telah membeli, memelihara dan berbuat baik kepadanya.
ii- atau Tuhan, Allah yang telah berbuat baik memeliharanya dari segala keburukan dan memberinya nikmat selama ini!
Dalam ayat 42 nanti nabi Yusuf berkata pula: {ٱذْكُرْنِى عِندَ رَبِّكَ- “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”.}
Kata-kata yang penting: ﴿ مَعَاذَ ٱللَّهِ ﴾ – amat besar untuk kita minta perlindungan dari Allah dalam apa jua keadaan saja!
- Ayat 24- {Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu).}- dari ayat ini kita dapat melihat dua keadaan:
i- perempuan itu telah sangat berkeinginan kepada Yusuf {وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِۦ}, kehendak yang memang tidak dapat ditolak lagi, benar-benar gilakan Yusuf.
ii- dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya terhadap perempuan itu { وَهَمَّ بِهَ} juga jika dia tidak mendapat peringatan dari Tuhannya tentang kejinya perbuatan zina itu
{لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَـٰنَ رَبِّهِۦ}.
Tetapi oleh kerana Yusuf tengok bukti & dalil perintah dari Allah dia tidak berminat & tiada keinginan lagi!
Pertama kita telah dengar ulasan Abu Hayyan di atas tadi bahawa Yusuf sedikitpun tidak pernah ada keinginan atau niat hendak kepada perempuan makciknya itu!
Dinafikan terus sebarang kemungkinan ini!!
Manakala pendapat yang kedua mengatakan Yusuf bukan berkehendakpun kepada perempuan itu, hanya sekadar lintasan hati tetapi menolak dan menepisnya kerana sifat takut & taqwanya kepada Allah lebih kuat.
Sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w tentang tujuh golongan yang mendapat perlindungan bayang Arasy di Akhirat kelak- salah satunya ialah sifat seperti Yusuf ini.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan daripada Allah pada hari kiamat apabila tidak ada naungan melainkan naungan Allah. Mereka adalah:
- Pemimpin yang adil.
- Pemuda yang sejak kecil sudah beribadat kepada Allah yang Maha Besar lagi Maha Perkasa.
- Orang yang hatinya terpaut pada masjid.
- Dua individu yang saling mengasihi kerana Allah, kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah.
- Lelaki yang dipikat wanita yang mempunyai status dan kecantikan tetapi dia berkata: “Percayalah, saya takut kepada Allah.”
- Orang yang bersedekah dan merahsiakan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.
- Orang yang ingat kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu menitis air matanya. (HR Bukhari dan Muslim)
Perbahasannya panjang kita tak mahu ulas dua kali perkara yang sama.
Seorang penulis Ibnul Jauzi telah menulis tentang: Catatan Tentang Lintasan Hati.
Apabila hatinya terlintas untuk buat sesuatu yang tidak baik dia terus membaca surah Yusuf sehingga sampai kepada ayat ini dan diulang-ulangnya sehingga hilang perasaan atau lintasan buruk itu!
Kita pun begitulah apabila ada terdetik dalam hati & waswas syaitan untuk buat sesuatu yang tidak baik- terus kita kenang & ingat kebaikan Allah kepada kita, Allah beri rezeki yang banyak serta ingat akan azab Allah yang amat dahsyat!
- Ayat 24- {Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.}-
Allah selamatkan Yusuf daripada perkara keji dengan sebab dia seorang yang ikhlas!
Kata ulama’ tadabbur: Ini menunjukkan pentingnya sifat ikhlas & sifat yang baik kerana orang yang baik muhsin & orang yang ikhlas akan diselamatkan Allah!
Ya Allah jadikan kami orang yang ikhlas & muhsin.
Semoga Allah akan selamatkan kita!
Dua ayat pelindung dari kejahatan dalam al-Quran yang kita belajar hari ini ada dua iaitu sebagaimana kata-kata Nabi Yusuf a.s & kata-kata Sayyidah Maryam:
﴿ مَعَاذَ ٱللَّهِ ﴾ & {إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ}.
Jika ada apa yang mengancam kita terus baca ayat ini- semoga diri kita, keluarga kita & semua yang kita sayangi diselamatkan Allah dari segala kejahatan & keburukan.
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Wallahu a’lam.
UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 07/01/2026 / 17 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=850029874514201&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3
Semoga bermanfaat!
