- Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Al-Hijr
- Muqaddimah Surah An-Nahl - سورة النحل
- Nama Surah:
- Maqasid/Objektif Surahالنحل من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ
- Tajuk atau Point Utama (Tafsir Muharrar)
- Intisari Kandungannya(Pimpinan ar-Rahman)
- Munasabah Antara Surah An-Nahl ini Dengan Surah Al-Hijr dan Surah Ibrahim Sebelumnya
- Kesimpulan
Surah Al-Nahl – سورة النحل
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Al-Hijr #

Live Pagi Rabu 15/04/2026 / 26 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (01)
Full video: https://www.youtube.com/watch?v=VDPF41JeMEE
Muqaddimah Surah An-Nahl – سورة النحل #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Nahl – سورة النحل, surah yang keenam belas dalam al-Quran & juzuk yang keempat-belas.
- Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan ijma’ ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 128 ayat.
- Ini kerana surah-surah yang mengandungi kisah & cerita nabi dan umat terdahulu biasanya Makkiyyah sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.
- Ada juga ulama’ kata kecuali tiga ayat adalah Madaniyyah iaitu ayat 95, 96 & 97.
Ayat ini turun setelah syahidnya Sayyidina Hamzah di Uhud.
Ada kata hujungnya Madaniyyah.
Nama Surah: #
- Dinamakan Surah An-Nahl – سورة النحل (Perihal Lebah) kerana perihalnya yang menakjubkan dan perihal madunya yang menjadi ubat penawar ada disebut dalam ayat 68 & 69 surah ini.
- Lafaz perkataan النحل ini tidak disebut dalam surah yang lain, hanya dalam surah ini saja!
- Lebah adalah satu haiwan yang ajaib, kisah bagaimana dia sedut madu dari buah & bunga-bungaan lalu prosesnya pula di dalam sarangnya, sarangnya seolah satu bandar yang lengkap.
Semua ini mengajak kita berfikir, tafakkur akan keajaiban apa yang Allah ciptakan, makhluk yang kecil tetapi hebat kejadiannya.
Ini menunjukkaan bahawa adanya Allah Azza wa Jalla sebagai Pencipta Yang Maha Agung.
- Surah ini juga dikenali sebagai surah an-Ni’am { سورة النِّعَم} iaitu jamak kepada nikmat (نعمة – نعم); kerana banyaknya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita hamba-Nya yang Allah sebut dalam surah ini!
- Dalil nama surah ini telah dikenali pada zaman sahabat ialah sebagaimana hadis dari Ubai bin Ka’ab tentang bacaan surah an-Nahl yang didengarnya dari dua orang sahabat lain! [Asal hadis dalam Sahih Muslim].
*Ini juga menunjukkan bahawa Al-Quran ini ada banyak qiraat atau cara bacaannya.
Maqasid/Objektif Surah
النحل من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ #
- Pertamanya ialah untuk menegakkan dalil yang menunjukkan keEsaan Allah s.w.t, mengisbatkan adanya hari Akhirat & juga benarnya Nabi s.a.w dan ajaran yang dibawanya!
- Untuk menolak sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir & memberi amaran kepada ajaran salah yang mereka pegang!
- Menyatakan nikmat ala’ (آلآء) Allah dan anugerahnya yang diberikan kepada makhluk.
Tajuk atau Point Utama (Tafsir Muharrar) #
- Menguatkan kenyataan bahawa hari Kiamat itu benar, pasti akan berlaku tanpa sebarang keraguan padanya!
- Untuk mengisbatkan keEsaan Allah s.w.t & menyatakan kuasa Allah dalam penciptaan langit & bumi, manusia & haiwan, menurunkan air dari langit, memudahkan urusan pergerakan matahari & bulan, silih beranti malam & siang dan lain-lain nikmat.
- Menyebut nikmat-nikmat yang pelbagai jenis yang Allah anugerahkan kepada manusia seperti: haiwan ternakan (الأنعم)- makan daging, minum susu, bulu & kulit menjadi pakaian & perhiasan dan haiwan tunggangan dalam peperangan atau urusan harian.
- Memberi amaran & peringatan dengan apa yang berlaku kepada umat dahulu yang syirik kepada Allah & mendustakan rasul-rasul- mereka telah ditimpa azab di dunia dan azab Akhirat akan menunggu.
Sekarang sudah berjumpa dengan mereka di dalam kubur!
Sebaliknya pula nikmat-nikmat yang baik yang Allah berikan kepada al-Muttaqin, orang yang beriman & benar, orang sabar dalam menghadapi ujian kafir & orang yang berhijrah kepada jalan Allah.
- Menyatakan tentang adab buruk jahiliyyah yang benci kepada anak perempuan dan ada di atau mereka yang telah menanam anak perempuannya hidup-hidup.
- Allah buat bandingan antara orang mukmin vs orang kafir, antara yang syukur vs yang ingkar.
Allah Tuhan yang benar vs Tuhan yang batil yang tak ppakai kerja. - Allah sebut tentang keadaan orang kafir & berhala-berhala mereka di Akhirat kelak!
- Allah sebut sebahagian dari akhlak yang mulia seperti: adil, ihsan, pemurah, menginfaqkan harta yang ada, larangan daripada mengerjakan benda keji, mungkar & kezaliman serta seruan untuk menunaikan janji dan larangan daripada mungkir janji!
- Menyebut beberapa keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir tentang al-Quran.
Mereka kata al-Quran ini Nabi yang reka, hanya syair atau cerita dongang!
Allah tolak hujjah karut mereka dengan hujjah yang mantap dari al-Quran.
- Menyatakan sebahagian dari adab orang mukmin apabila membaca al-Quran.
- Menyebut sedikit daripada kisah Nabi Ibrahim a.s sebagai contoh hamba Allah yang bersyukur!
- Menyatakan kuasa untuk menyatakan sesuatu perkara itu halal atau haram hanya di bawah kuasa Allah Yang Esa!
- Menyebut hukum orang kufur selepas beriman iaitu murtad!
Serta orang yang dipaksa kufur sedang hatinya tetap dengan iman!
Orang yang telah diuji dalam beragama oleh puak kafir yang menindas- kemudian dia bangun berlawan, berjihad dan sabar di atas ujian itu.
- Allah sebut uslub, gaya cara berdakwah kepada Allah yang elok.
Serta bagaimana cara berinteraksi dengan manusia- berdakwah dengan penuh hikmah, nasihat yang baik, bagaimana nak berdebat berdialog dengan cara yang baik, serta kelebihan sabar & beberapa perkara yang lain lagi.
Intisari Kandungannya
(Pimpinan ar-Rahman) #
- Menegaskan bahawa apa yang dijanjikan Allah s.w.t itu akan tetap datang maka jangan lah orang yang kufur ingkar minta disegerakannya kerana akibatnya amat buruk bagi mereka!
- Menerangkan dalil-dalil tauhid yang terdapat pada kejadian langit dan bumi & pada kejadian manusia sendiri yang membuktikan kekuasaan Allah s.w.t & kemurahan-Nya.
- Menegaskan salahnya dalil kafir muysrik yang mengatakan kekufuran mereka adalah kerana taqdir Allah s.w.t semata-mata.
Ini kerana Allah telah mengutuskan rasul-rasul-Nya silih berganti dari dahulu sehingga kepada Rasulullah s.a.w.
Mereka telah menerangkan kepada umat masing-masing apa yang telah dikehendaki Allah iaitu jangan menyekutukan-Nya serta hendaklah menurut hukum-hukum-Nya.
- Menerangkan bahawa hidayah petunjuk yang diberikan Allah s.w.t kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; bukanlan pemberian semata-mata dengan tidak bersebab.
Demikian juga kesesatan yang dijadikan kepada seseorang adalah dengan sebab salah pilih seseorang itu sendiri sesudah diterangkan kepadanya yang mana yang benar & yang mana salah.
- Setelah Allah menerangkan tentang nikmat-Nya yang diberikan kepada manusia dari tanam-tanaman dan pelbagai jenis haiwan yang mengeluarkan susu & madu- lalu diterangkan perihal umat manusia dalam alam kehidupan alam dunia ini.
- Kemudian diperintahkan supaya berlaku adil dalam segala perkara dan menjalankan dasar ihsan, berbuat kebajikan yakni segala apa jua perkara yang samada ibadat atau lainnya hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya & dengan sempurna.
- Diperintahkan pula supaya membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan, kerana merekalah yang perlu diutamakan.
Disamping itu dilarang pula dari melakukan perbuatan-perbuatan yang keji & mungkar, serta perbuatan menceroboh atau melakukan kezaliman. - Ditegasakan pula bahawa orang lelaki & perempuan yang mengerjakan amal soleh sedang dia tetap beriman sehingga akhir hayatnya- Allah akan memberinya kehidupan yang baik di dunia dengan menikmati sepenuh kebahagiaan meskipun dia hidup miskin atas dunia ini- iaitu miskin dunia kaya Akhirat.
Dan di Akhirat pula dia akan beroleh sebaik balasan syurga! - Sedangkan orang kafir atau orang yang tenggelam dalam maksiat akan hidup di dunia dalam keadaan resah-gelisah & tidak tenang jiwanya!
Walaupun mereka kaya raya & di Akhirat pula akan beroleh seburuk-buruk balasan.
*Nampak kaya tetapi tak senang hidup mereka yang kaut harta dengan cara tak betul!
Kaya dengan riba dan rasuah & makan harta dengan batil; tunggulah balasanya di Akhirat kelak!
- Setelah itu Allah menerangkan cara & tata tertib dakwah Islam hendaklah dijalankan dengan:
i- hikmah kebijaksanaan.
ii- dengan nasihat & pengajaran yang baik.
iii- hendaklah berbahas, berdebat dengan golongan yang menentang dengan cara yang sebaiknya iaitu dengan lemah-lembut & kata-kata yang baik, jangan keluarkan perkataan yang buruk & kasar kepada musuh seperti bangang, bodoh dan seumpamanya.
Ini akan menyebabkan orang akan lari!
Surah an-Nahl ini diakhiri dengan agar Nabi Muhammad s.a.w & umatnya bersabar terhadap telatah golongan yang ingkar kerana Allah s.w.t berserta orang yang bertaqwa yang berusaha memperbaiki amalannya!
Munasabah Antara Surah An-Nahl ini Dengan Surah Al-Hijr dan Surah Ibrahim Sebelumnya #
A- Akhir Surah Al-Hijr sangat kuat ikatannya dengan awal Surah An-Nahl:
i- Allah perintahkan untuk menyembah Allah sehingga datang kematian kepada kamu
{وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ}-
ayat ini isbat adanya bangkit semula di Akhirat & Allah akan persoalkan apa yang kamu buat di dunia dulu.
Kemudian di akhir ayat arahan untuk berterusan menyembah Allah sehingga kamu mati.
Yakni kamu akan mati kemudian hidup balik!
ii- maka datang permulaan surah an-Nahl menyatakan telah datang kepada kamu
{أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ}
Kiamat atau mati! Maka kamu jangan gaduh berlorat tentang urusan kematian atau urusan hari Kiamat.
Walaupun perkara belum berlaku tetapi Allah guna lafaz telah datang (past tense); kerana nak menyatakan bahawa perkara itu pasti akan berlaku & sangat dekat sangat dengan kamu; maka digunakan (فعل الماضي).
- Surah an-Nahl juga ada kaitan rapat dengan surah Ibrahim kerana:
i- Allah sebut fitnah kematian & orang mati samada dalam keadaan beriman atau mati dalam kesesatan.
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tentang malaikat yang mematikan manusia- iaitu mati di sana sini!
- Terdapat satu ayat yang sama diulang dalam dua surah ini:
i- dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah berfirman:
{ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ-
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.}
ii- sekali lagi Allah ulang ayat ini dalam surah an-Nahl, ayat 18:
{وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ –
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu;}.
Kemudian Allah sebut dalam surah an-Nahl ini beberapa nikmat yang banyak!
Kesimpulan #
- Surah an-Nahl ini mengandungi usul aqidah iaitu ketuhanan & keEsaan Allah s.w.t, kebangkitan semula, perhimpunan di Padang Mahsyar dan manusia akan keluar dari kubur.
- Ayat ini lebih kepada untuk mengingatkan kemantian, guna nikmat yang Allah beri dengan berhemah, syukur nikmat, beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
Jangan dok berani lawan Allah!
Nikmat Allah kepada kita banyak sekali, maka atas kita untuk bersyukur atau tidak!
اللهم اجْعَلْنِا مِنْ عِبَادِكَ الشاكرين
Penutup
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah an-Nahl ini.
- Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 15/04/2026 / 26 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=927792530071268&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3
Semoga Bermanfaat!
