Kiamat Sudah Hampir, Malaikat Jalankan Tugas & Manusia Dari Mani

Live Pagi Khamis 16/04/2026 / 27 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (02) Ayat [01-04]
Full video: https://youtu.be/U3jQLKE0g9Q?si=-_h5G4d1qshw2qs1
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 01 sehingga ayat 04 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam empat ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita bahawa Kiamat sudah hampir, terutama Kiamat kecil atau Kiamat individu iaitu mati.
- Allah nyatakan bahawa Allah hantar para malaikat ke dunia ini untuk menjalankan tugas. Kita telah belajar dalam kitab tauhid tentang peranan & tugasan para malaikat.
- Allah juga nyatakan bahawa manusia ini lemah, berasal daripada air mani.
Tetapi apabila bangun manusia juga suka berlawan sesama mereka!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ ۚ سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ ﴿١﴾
Ayat 1- {Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.} (Al-Nahl 16:1)
- Allah menyatakan bahawa telah hampir tiba azab yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka! Tak perlulah mereka meminta-minta untuk disegerakan azab yang akan membinasakan mereka itu!
- Nota [516]- Kaum kafir musyrik pada zaman Nabi s.a.w selalu bertanya secara mengejek-ejek bilakah akan datangnya hari Kiamat atau azab yang dijanjikan itu!
Bagi menjawabnya turunlah firman Allah Ta’ala ini menegaskan bahawa apa yang telah dijanjikanNya tetap datang;
Maka janganlah mereka minta disegerakan kerana akibatnya amatlah buruk bagi mereka!
- Kata Imam Ibnu Jarir rhm: Ayat ini amaran keras dari Allah Azza wa Jalla kepada puak kafir yang menentang Allah & Rasul-Nya s.a.w. Satu pernyataan bahawa azab itu sudah dekat & apabila azab itu datang mereka akan mati!
- Kata Ibnu Asyur rhm:
i- Ayat ini awalnya ditujukan kepada puak kafir yang isti’jal meminta disegerakan azab.
Yakni mereka yang tidak yakin pada Allah, yang syirik kerana tidak percaya mereka meminta segerakan azab.
ii- Kemudian sekaligus ayat ini juga umum untuk orang beriman kerana jika azab turun orang mukmin yang ada bersama orang kafir akan kena juga!
- Kerana itu kita jangan bersekongkol dengan mereka kerana azab yang turun akan menimpa semua yang ada bersama!
Jangan kita dok berasa lambat azab & nak agar ia segera juga turun ke atas puak kafir itu! - Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.} (Al-Anbiyaa’ 21:1) - Di akhir ayat Allah kata: Maha Suci Allah daripada segala jenis sekutu seperti yang mereka sangka dan warwarkan!
- Munasabahnya jelas:
i- apabila kita ceritakan tentang masa depan kita kena beritahu benda yang akan berlaku.
Apabila seseorang itu minta disegerakan sesuatu yang berat & memberi mudharat maka itu adalah satu kebodohan.
Orang yang berani minta azab ini adalah orang yang tidak yakin dengan Allah.
ii- maka datang ayat ini Allah tegaskan Maha Suci Allah dari seperti yang mereka sangkakan iaitu lemah atau tak mampu untuk mendatangkan azab segera seperti yang mereka minta itu!
- Hikmah Allah tangguhkan azab kerana ada orang yang beriman di kalangan mereka juga kerana nak beri peuang kepada mereka beriman.
Ini memang terjadi sebagaimana ada di kalangan kafir itu yang beriman pada kemudiannya seperti Abu Sufyan r.a, Khalid bin al-Walid r.a dan lain-lain.
*Ramai mereka yang masuk Islam dan amat baik Islam mereka memainkan peranan yang besar dalam Islam.
يُنَزِّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ بِٱلرُّوحِ مِنْ أَمْرِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ أَنْ أَنذِرُوٓا۟ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱتَّقُونِ ﴿٢﴾
Ayat 2- {Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia berfirman kepada Rasul-rasul): “Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku”.} (Al-Nahl 16:2)
- Munasabah ayat:
i- apabila Allah membersihkan dirinya dari segala kekurangan, mensucikan diri-Nya dari segala bentuk syirik & partner;
ii- maka dalam ayat ini Allah menyatakan sifat-Nya yang maha mulia, pemilik alam ini, yang mencipta, mengatur-tadbir makhluk & alam ini.
Semuanya berada di bawah iradah kauniyah Allah Azza wa Jalla yang menentukan segala perkara.
- Allah menyatakan dia menurunkan malaikat membawa wahyu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan manusia yang telah dilantik menjadi rasul!
*Jumhur ulama’ kata maksudnya malaikat di sini ialah Jibril.
- Allah sebut malaikat bukan terus sebut Jibril kerana harus di sini sebut malaikat sebagai ketua mereka atau wakil bagi segala malaikat. Sebut umum atau ramai walaupun yang dimaksudkan hanya seorang atau khas.
- Nota [517] Dalam ayat ini “Wahyu” disifatkan sebagai “Roh”, kerana ia menghidupkan hati yang telah mati disebabkan kekufuran atau kejahilan.
*Sebagaimana air menghidupkan pokok-pokok- wahyu (al-Quran) menghidupkan hati yang telah mati, yang keras yang degil.
- Ayat ini juga menunjukkan bahawa rasul adalah pilihan dari Allah, Allah yang iktiraf- bukan pilihan sendiri atau lantikan oleh manusia lain! Rasul adal anugerah (وهب) bukan atas usaha (كسب).
- Nota [518] Allah Ta’ala menerangkan bahawa menurut peraturanNya, Rasul-rasul yang dipilih dari kalangan umat manusia diberi wahyu dengan perantaraan malaikat.
Ini sebagai menolak fahaman kaum kafir musyrik yang tidak percaya tentang adanya Rasul-rasul itu, dan tentang cara Rasul-rasul itu menerima perintah Allah yang menerangkan: mana yang benar dan mana yang salah.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Hajj 22:75) - Malaikat ada banyak, manakala terdapat beberapa malaikat yang disebut namanya dipilih Allah sebagai ketua atau wakil mereka seperti Jibril, Mikail, Israfil & Malaikat maut.
Begitu juga di kalangan manusia ada beberapa orang nabi & rasul yang dipilih & dilantik oleh Allah s.w.t.
*Maka jika ada orang kata wali itu lebih mulia daripada rasul adalah tidak tepat. Kerana wali adalah lantikan atau ditabalkan oleh manusia pengikut mereka sendiri- bukan Allah yang pilih & nyatakan kedudukannya!
- Allah nyatakan dalam ayat ini tugas & kerja para rasul ialah menyampaikan dakwah kepada manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan hendaklah bertaqwalah & memohon kepada Allah semata-mata. Yakni tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, taatlah larangan & patuhilah perintah-Nya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”.} (Al-Anbiyaa’ 21:25) - Tugas rasul sebagaimana firman Allah ini:
{Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.} (Al-Nahl 16:36) - Iaitu tujuan Allah hantar rasul dan berikannya tugas untuk:
i- menyeru manusia agar menyembah Allah yang Esa, dan;
ii- menjauhi Taghut, meninggalkan segala bentuk dosa & maksiat, derhaka & syirik kepada Allah!
خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ ۚ تَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ ﴿٣﴾
Ayat 3- {Ia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; Maha Tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.} (Al-Nahl 16:3)
- Munasabah ayat ini jelas:
i- apabila Allah nyatakan bahawa hanya Dia saja yang berhak disembah & dipuja;
ii- maka datang ayat ini Allah perkenalkan siapakah Dia- iaitu Tuhan yang mencipta langit & bumi yang begitu hebat kejadiannya ini!
Bukan setakat buat ayam & itik tetapi yang lebih besar dan hebat Allah boleh buat semua.
- Nota [519]- Setelah Allah s.w.t menegaskan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Esa, Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya dan menerangkan dalil-dalil yang menjadi bukti keEsaan-Nya & kekuasaan-Nya iaitu langit & bumi serta segala isi kandungannya yang dijadikan-Nya.
Maka Dia-lah yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya.
Dengan ini jelaslah setakat mana terpesongnya kaum musyrik yang menyembah benda-benda, objek- objek, sesama makhluk yang lemah.
Atau dewa-dewa atau hantu jembalang yang tidak dapat menolong diri sendiri apa lagi memberi sebarang pertolongan kepada mereka!
- Jelaslah bahawa Allah cipta langit & bumi ini dengan penuh hikmah & kebijaksanaan untuk menjadi bukti & hujjah akan kekuasaan Allah s.w.t di alam yang besar!
Jangan pertikaikan akan kejadian Allah kerana Allah cipta & buat semua ini dengan penuh hikmah & kebijaksanaan!
خَلَقَ ٱلْإِنسَٰنَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ ﴿٤﴾
Ayat 4- {Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.} (Al-Nahl 16:4)
- Munasabah ayat:
i- setelah menceritakan tentang tanda-tanda kekuasaan & keagungan Allah di langit & bumi;
ii- dalam ayat ini Allah bawa kita kembali untuk melihat kepada kejadian diri kita sendiri.
Yang asalnya lemah tercipta daripada air mani- apabila besar kuat & sempurna nak lawan Tuhan pula- itulah manusia yang derhaka!!!
- Allah nyatakan bahawa manusia ini dicipta daripada gabungan air mani seorang bapa (sel sperma) dengan gabungan air mani seorang ibu (sel ovum/telur) maka terhasillah satu janin. Iaitu dari sulbi seorang lelaki kepada rahim seorang wanita.
- Banyak ayat-ayat al-Quran tentang kejadian manusia daripada mani ini:
{Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan, Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);} (An-Najm 53: 45-46)
- Kemudian Allah nyatakan manusia yang dicipta daripada air mani ini, setelah sempurna kejadiannya, tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya, keras kepala tidak ingat akan kejadiaannya.
- Iaitu membantah dengan:
i- derhaka melawan Allah & Rasulullah s.a.w- membantah tentang kebangkitan semula, tidak percaya kepada rasul & tidak syukur nikmat Allah!
ii- atau memang sifat seorang manusia itu suka berbantah-bantah!
- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih?
Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),
Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”} (Yaa Siin 36: 77-78) - Hadis riwayat Busr bin Juhash al-Qurasyi r.a:
بَصَقَ يَومًا في كَفِّه فوضَعَ عليها أُصبُعَه، ثُمَّ قال: قال اللهُ: بُنَيَّ آدَمَ، أنّى تُعجِزُني وقد خَلَقتُكَ مِن مِثلِ هذه؟ حَتّى إذا سَوَّيتُكَ وعَدَّلتُكَ مَشَيتَ بَينَ بُردَينِ وللأرضِ مِنكَ وئيدٌ، فجَمَعتَ ومَنَعتَ، حَتّى إذا بَلَغَتِ التَّراقيَ قُلتَ: أتَصَدَّقُ، وأنّى أوانُ الصَّدَقةِ؟!
الراوي: بسر بن جحاش القرشي • شعيب الأرنؤوط، تخريج المسند لشعيب (١٧٨٤٤) إسناده حسن •
Pada suatu hari, Nabi s.a.w meludah pada tapak tangannya, lalu meletakkan jarinya di atasnya.
Kemudian Baginda bersabda, Allah berfirman:
{Wahai anak Adam, bagaimana engkau dapat melemahkan-Ku sedangkan Aku telah menciptakan engkau daripada sesuatu seperti ini?
Kemudian apabila Aku telah menyempurnakan dan membentukmu dengan sebaik-baiknya, engkau berjalan dengan sombong di antara dua helai pakaianmu, sedangkan bumi bergetar perlahan di bawah kakimu.
Lalu engkau mengumpulkan harta dan menahannya (daripada orang lain), sehingga apabila (nyawamu) sampai ke kerongkong, engkau berkata: ‘Aku mahu bersedekah.’ Padahal, di manakah lagi waktu untuk bersedekah ketika itu?}
[HR IbnuMajah, Ahmad & At-Tabarani.]
Penilaian: Sanad hasan oleh Syu‘aib al-Arna’ut.
- Sebuah Kitab yang menarik bertajuk:
(نعم الله على الانسان في ضوء سورة النحل)
Nikmat Allah Kepada Manusia Berdasarkan surah an-Nahl- hasil tesis Master YB Ustaz Abdul Latiff Hj Abd Rahman, dicetak di Jordan.
Penutup & Faedah #
- Ayat 1- {Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah,…}-
Allah kata telah datang {أَتَىٰٓ} apa yang telah Allah janjikan dan tetapkan.
Tetapi kenapa Allah guna lafaz telah berlaku (ماضي- past tense) bukan perkataan () sedangkan Kiamat atau mati itu belum berlaku lagi!
Jawapan:
Kata ulama’ kerana Allah nak tunjukkan bahawa perkara ini pasti akan terjadi.
Seolah sudah datang- menunjukkan perkara yang pasti, maka kamu jangan berani-berani cabar Allah minta segera!
Jika tidak kamu akan mati!
Begitulah kita atas dunia ini jangan minta segera perkara yang kita tidak pasti- seperti jika ditimpa ujian kesusahan atau kesakian lalu minta mati!
Itu tidak baik bahkan kita mintalah kesihatan, aafiyah dan kebaikan agar Allah selamatkan kita.
Maka kamu jangan berani cabar Allah minta segera kerana kamu akan cari nahas nak mati cepat!
Sebagai orang mukmin jangan kita tiru orang kafir:
i- orang kafir minta segera kerana tak percaya.
ii- orang mukmin pula bergumam dalam hati bilakah azab nak turun ke atas orang kafir yang zalim ini atau lambatnya pertolongan Allah!
Jika boleh kita nak semua orang kafir yang jahat lagi zalim menindas orang Islam agar segera dikalahkan, ditimpa bala atau mati segera!
Tetapi begitulah ketentuan Allah s.w.t, Tuhan nak tengok apakah umat Islam ini bersatu hati, berkerja-sama atau hanya berbalah sesama sendiri.
- Ayat 2- {Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul);…}-
Allah turunkan malaikat {ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ} dengan ruh {بِٱلرُّوحِ}.
Walaupun dalam ayat ini Allah sebut:
i- Malaikat sebagai satu kumpulan tapi maksudnya satu iaitu Jibril sebagai ketua atau wakil.
ii- Ruh pula dengan makna wahyu- kerana ia seolah roh yang menghidupkan hati manusia yang beriman, subur dengan keyakinan kepada Allah!
Sebagaimana air hujan yang turun menyuburkan tanah yang gersang & menghidupkan tumbuhan, menyegarkan haiwan;
Wahyu atau al-Quran pula menghidupkan dan menyuburkan hati manusia yang mati & keras.
Maka sesiapa nak suruh subur jiwanya, tenang hatinya & lapang jiwanya maka kembalilah kepada wahyu Allah Azza wa Jalla iaitu al-Quranul Karim.
Kata ulama’ maksudnya firman Allah ini bahawa:
i- Allah pilih malaikat sebagai utusan bawa turun wahyu.
ii- pilih manusia sebagai rasul untuk menyampaikan ajaran Syari’ah Allah kepada manusia lain.
Ini menunjukkan bahawa rasul adalah pilihan & lantikan dari Allah samada di kalangan manusia atau malaikat.
Maka jangan kita dakwa wali lebih mulia daripada rasul kerana ia bukan lantikan Allah!
Ini adalah nikmat pertama yang Allah sebut sebagai nikmat kepada manusia dalam surah ini iaitu Allah turunkan wahyu & utuskan rasul kepada manusia.
Jika tidak kita akan jadi seperti haiwan yang hidup atas dunia tanpa matlamat yang jelas!
Tugas rasul, nabi dan para pendakwah selepasnya ialah menyampaikan amaran akan kekufuran & galakan untuk beriman!
- Ayat 2- {… (lalu Ia berfirman kepada Rasul-rasul): “Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku.}- jelaslah bahawa tugas rasul menyampaikan amaran dan ajaran Syari’ah kepada manusia semuanya.
Ini adalah kerja para nabi & rasul serta semua pendakwah selepasnya.
Kerana itu apabila kita belajar tafsir dari awal sehingga akhir; kita akan jumpa dengan tauhid, dengan ibadat, dengan akhlak, jumpa dengan muamalat dan semua perkara.
Jika belajar bab feqah dari bab toharah sehingga bab jihad- itulah yang dipanggil Syari’ah yang lengkap & komprehensif mengandungi semua perkara!
Pesanan mesra DDAAM kepada para jemaah semua:
Jangan cari benda balik tetapi cari yang sahih.
- Ayat 3- {Ia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; Maha Tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.} – ini adalah dalil penciptaan makhluk di atas iaitu langit & bumi yang begitu besar.
Dalil tentang kekuasaan & keagungan Allah yang tiada sekutu atau partner.
Allah juga menegaskan dalam dalam ayat ini bahawa Allah maha suci, Maha Tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.
- Ayat 4- {Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.}- ayat ini ajar kita untuk menjiwai sifat hina & tawadhuk di hadapan Allah!
Tetapi apabila dah lahir, besar dan ada kekuatan tiba-tiba jadi sombong keras kepala kufur kepada nikmat Allah- tak perlulah begitu!
Maka dalil ini sebagai pelengkap kepada dalil langit & bumi- padahal sudah cukup dalil dengan dua ciptaan Allah yang besar lagi hebat ini!
Tetapi Allah mahu bawa dalil yang secara khusus (specific) kepada manusia; apakah kamu tidak lihat akan kehebatan keistimewaan dalam penciptaan diri kamu sendiri itu wahai manusia!
Dalil yang ada pada diri kita sendiri manusia; tengok & perhati dari mana asal kita, dicipta daripada air mani yang hina.
Ingat siapa kita dan ke mana hala tuju kita atau pengakhiran kita barulah kita akan sedar & insaf!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 16/04/2026 / 27 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=928990453284809&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
