View Categories

(8) Surah Al-Hijr: Ayat 34-44

14 min read

Iblis Dihalau Dan Dilaknat, Iblis Minta Tangguh & Hamba Allah S.W.T Yang Ikhlas Selamat

Live Pagi Ahad 05/04/2026 / 16 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (08) Ayat [34-44]

Full video: https://youtu.be/HxYvt__77eA?si=uhDP_lb1LUMdPLzr

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 34 sehingga ayat 44 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa setelah iblis derhaka kepada Allah s.w.t maka dihalau keluar samada dari syurga, langit atau dari kalangan malaikat.
    Iblis juga dilaknat oleh Allah s.w.t!
  3. Apabila dijatuhkan hukum, iblis bukannya nak bertaubat minta ampun kepada Allah; tetapi iblis minta tangguh, tak mahu mati terus ke neraka terus!

Tetapi Allah beri tempoh sehingga ke hari Kiamat di mana semua makhluk akan mati & binasa termasuk iblis jin syaitan akan mati semua!

  1. Iblis kemudian mengambil langkah dengan bersumpah bahawa dia akan buat khianat untuk menyesatkan semua anak Adam agar masuk neraka bersamanya!

Allah jawab iblis boleh pesongkan manusia KECUALI hamba Allah s.w.t yang ikhlas beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah- mereka ini akan selamat- iblis tak dapat sesatkan mereka.

*Kita berdoa semoga termasuk dalam hamba Allah yang ikhlas, yang selamat dari godaan iblis dan selamat dari neraka!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang iblis yang memberontak tak mahu ikut perintah Allah s.w.t!

ii- maka dalam ayat ini menyatakan bahawa layaklah mereka untuk dihalau keluar oleh Allah.
Berambus engkau keluar dari sini
{ فَٱخْرُجْ مِنْهَا}!!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ ‎﴿٤٣﴾

Ayat 34- {Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.} (Al-Hijr 15:34)

  1. Allah berfirman kepada Iblis jika demikian kamu keras kepala tak mahu ikut perintah Aku maka bermula dari sekarang kamu adalah orang yang diusir dihalau keluar dari tempat kamu berada sekarang.
    *Ini adalah hukuman pertama.
  2. Nota [492] iaitu samada dihalau keluar dari langit, dari syurga atau dari kumpulan malaikat yang baik-baik!

*Begitulah juga atas dunia ini orang yang jahat juga dijatuhkan hukuman keluar daerah bagi jenayah tertentu.

  1. Allah nyatakan kepada kita dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Allah Maha Kuasa dan dalil bukti bahawa manusia ini jika taat selamat & jika derhaka akan celaka!!!

وَإِنَّ عَلَيْكَ ٱللَّعْنَةَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ ‎﴿٥٣﴾

Ayat 35- {“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat”.} (Al-Hijr 15:35)

  1. Kemudian Allah menjatuhkan hukuman kedua ke atas iblis: iaitu ia akan ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat!!!
  2. Orang yang dilaknat ini (ملعون) maksudnya orang yang jauh dari rahmat Allah- mereka tidak akan dapat lagi kasuhan-belas Allah & kurnia-Nya!

Nabi s.a.w melarang kita orang muslim melaknat sesama manusia, haiwan, kenderaan atau apa saja yang kita miliki- kerana bererti kita telah menjauhkan mereka dari rahmat Allah!

  1. Hadis Nabi s.a.w melarang melaknat apa saja:

عن عمران بن الحصين رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما قال: بينما رَسُول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره وامرأة من الأنصار على ناقة فضجرت فلعنتها فسمع ذلك رَسُول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال: (خذوا ما عليها ودعوها فإنها ملعونة) قال عمران: فكأني أراها الآن تمشي في الناس ما يعرض لها أحد. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Maksudnya: Dari Imran bin Husain r.a, dia berkata: Ketika Rasulullah s.a.w dalam salah satu perjalanannya, ada seorang wanita Ansar yang mengendarai unta, dia marah lalu dia melaknat untanya.

Rasulullah s.a.w. mendengarnya dan berkata: “Ambillah apa yang ada di atasnya dan tinggalkan, kerana ia terkutuk.”

Imran berkata: Seolah-olah aku melihatnya sekarang berjalan di antara manusia, dan tidak ada yang mengganggunya. [HR Muslim.]

  1. Bahkan jika seseorang itu jahat atau zalim kita tak boleh juga melaknat ke atas mereka cuma kita boleh melaknat atau membenci perbuatan zalim mereka itu sahaja!
  2. Kita kata iblis itu dilaknat hasil dari keputusan & hukuman Allah terhadapnya!

Tetapi orang lain jangan walaupun banyak perbuatan yang dilaknat oleh Allah oleh malaikat tetapi kita manusia jangan pandai-pandai melaknat & menjatuhkan hukuman ke atas orang lain.

Slow-slow, pelan-pelan, bumi ini bukan milik kita, kita semua hidup di bawah kekuasaan dan belas-kasihan Allah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.
    “Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”} (Saad 38: 77-78)

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ‎﴿٦٣﴾‏

Ayat 36- {Iblis berkata:” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)”.} (Al-Hijr 15:36)

  1. Apabila menerima hukuman & laknat Allah ini:
    i- iblis bukan saja sekadar tidak berasa bersalah dan insaf lalu bertaubat memohon keampuanan Allah;

ii- tetapi dia tetap angkuh sombong menjawab mulut dan membuat permohonan pula!

  1. Iblis meminta dari Allah agar diberi tempoh, agar jangan binasakan dia- tangguhkan hukuman biarkan dia hidup bersama manusia sehingga ke hari Kiamat. Iaitu apabila dunia binasa dan semua manusia binasa barulah dia juga binasa!
  2. Tidak ada ayat al-Quran yang menyatakan iblis ini meminta ampun dan maaf dari Allah!
    Tidak seperti Nabi Adam a.s yang bersalah tetapi terus bertaubat & meminta ampun kepada Allah- Allah terima taubatnya dan dia akan kembali ke syurga kelak!

قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ ‎﴿٧٣﴾‏

Ayat 37- {Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.} (Al-Hijr 15:37)

  1. Allah s.w.t menerima permintaan iblis ini dan menyatakan sesungguhnya dia dari golongan yang diberi tempoh.
  2. Allahu Akbar- betapa permintaan & permohonan iblis yang dilaknat pun Allah terima apatah lagi hambanya yang beriman, iblis yang jahat Allah layan permintaannya!
  3. Maka apatah lagi kita manusia yang beriman; kerana itu jangan jemu dan jangan malas- berdoalah kepada Allah setiap masa dan di mana jua, dalam apa hal saja!!!

إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْوَقْتِ ٱلْمَعْلُومِ ‎﴿٨٣﴾‏

Ayat 38- {“Hingga ke hari – masa yang termaklum”.} (Al-Hijr 15:38)

  1. Yakni iblis akan hidup sehingga kepada waktu yang dimaklumi iaitu pada hari Kiamat apabila sangkakala ditiup!
  2. Waktu itu adalah waktu yang dimaklumi kerana telah diketahui pada hari itu alam ini akan hancur musnah dan semua makhluk atas dunia akan ikut binasa!
    Maka iblis pun akan turun musnah pada waktu itu!!!
  3. Dikatakan iblis minta tempoh kerana dia tidak mahu mati kerana sakaratul maut itu sakit dan menakutkan!
    Tetapi apabila tiba tempohnya iblis tetap akan merasai maut!!

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٩٣﴾‏ 

Ayat 39- {Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,} (Al-Hijr 15:39)

  1. Apabila permohonannya diterima iblis bersumpah berkata bahawa dia akan menggoda dan memesongkan manusia daripada jalan yang benar!
    Ini sumpah iblis maka kita manusia berhati-hatilah!
  2. Nota [493]- Allah menjadikan iblis sesat.
    Iaitu Allah telah memerintahkan iblis supaya sujud kepada Adam tetapi iblis kerana sombong & takabburnya telah menolak dan enggan sujud kepada Adam!
    Maka sesatlah dia!
  3. Orang yang sesat ini ialah orang yang melanggar perintah Allah!
    Sesat ini juga banyak kategori- jika syirik total sesat, jika sesat lain maknanya derhaka kepada Allah.
  4. Iblis kata dia akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan akan menyesatkan mereka semuanya!

Manakala ibadat pula akan dibuat agar terasa susah dan berat- terasa pelbagai sakit dan kesusahan!!!!

*Contoh nak solat kena duduk atas kerusi tetapi round kedai boleh pula berjalan sambil bawa kerusinya!!!

  1. Yakni kerja iblis syaitan ke atas manusia ini:
    i- menjadikan yang jahat itu baik, memperelokkan perkara buruk, dosa maksiat larangan Allah.

ii- yang baik akan dijadikan buruk; akan menyusah dan meberatkan perkara baik iaitu segala amal ibadat kebaikan yang diperintahkan Allah!

  1. Iblis bersumpah bahawa dia akan akan jadikan manusia melihat segala maksiat itu indah di muka bumi, dan dia akan sesatkan semua manusia, Iblis berdendam dan berjanji akan datang dari pelbagai arah untuk menipu anak Adam.
  2. Hadis riwayat hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Iblis berkata:
    “Demi kemuliaan-Mu ya Tuhanku, aku tidak akan berhenti menyesatkan anak-anak Adam selagi roh mereka masih ada di dalam jasad”.
    Allah kemudian menjawab: “Demi kemuliaan-Ku, Aku akan terus mengampuni mereka selagi mereka memohon ampunan kepada-Ku”. [HR Imam Ahmad & Abu Ya’la- sahih].
  3. Maka kita teruskan istighfar taubat sentiasa semoga Allah menjaga kita dan memberikan kepada kita yang terbaik!

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ ‎﴿٠٤﴾‏

Ayat 40- {“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.} (Al-Hijr 15:40)

  1. Tetapi Allah kata tidak semua manusia akan berjaya digoda iblis.
    Lalu iblis membuat pengecualian, mengaku tewas dari awal lagi!
    Bahawa dia tidak akan dapat menyesatkan manusia yang bersih daripada syirik, yang betul-betul ikhlas dalam tauhid yang murni!

Manusia yang tidak buat syirik yang besar atau yang tersembunyi!!!

  1. Yakni Iblis bersumpah akan menyesatkan seluruh manusia, namun Allah S.W.T menegaskan bahawa Iblis tidak akan mampu menyesatkan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.
  2. Iblis mengakui kelemahannya bahawa dia tidak mempunyai kuasa memaksa, tetapi hanya mampu membisikkan hasutan, syubhah, was-was ke dalam hati manusia.
  3. Kita berdoa memohon kepada Allah dengan nama-Nya yang indah dan sifat-Nya yang tinggi, ya Allah jadikan kami ini hamba-Mu yang ikhlas, ikhlas murni dalam tauhid dan ikhlas dalam segala amal ibadat kepada-Mu.
    Yakni tiada syirik yang besar & syirik yang tersembunyi.

قَالَ هَٰذَا صِرَٰطٌ عَلَىَّ مُسْتَقِيمٌ ‎﴿١٤﴾‏

Ayat 41- {Allah berfirman: “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.} (Al-Hijr 15:41)

  1. Allah kata jika hamba-Nya benar-benar beriman, ikhlas dan sentiasa memohon perlindungan Allah- Allah akan jaga mereka dan tunjukkan mereka jalan yang lurus!
  2. Nota [494]: Jalan yang lurus yang tetap dipelihara oleh Allah Ta’ala ialah: orang-orang yang beriman dan beramal salih serta ikhlas, akan dibalas dengan balasan yang baik, dan orang-orang yang ingkar dan beramal buruk, akan dibalas dengan balasan buruk.

إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ ‎﴿٢٤﴾

Ayat 42- {“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).} (Al-Hijr 15:42)

  1. Allah menegaskan & menjamin bahawa syaitan iblis tidak ada kuasa untuk menyesatkan hamba-Nya yang ikhlas beriman, yang diberi hidayah taufiq oleh Allah!
  2. Tetapi Allah kata: Kecuali sesiapa yang menurut iblis dan ikutnya; mereka adalah dari orang-orang yang sesat dengan pilihannya sendiri!
  3. Kerana itulah kita kena berusaha pagi petang siang malam, belajar ilmu tauhid, belajar tafsir & tadabbur- untuk kita selamatkan diri kita dari terjebak menjadi pengikut syaitan atau orang yang digodanya!
    Wal’iyazubillah.
  4. Kita minta perlindungan dengan Allah dari mengikut perangai buruk yang ditunjukkan oleh pengikut syaitan yang lagha, tidak dengar kata tidak ikut peraturan yang telah ditetapkan Allah!
  5. Jika nak selamat adalah dengan cara ikut Syari’ah Allah & Sunnah Nabi s.a.w agar selamat dunia dan Akhirat.
    Allah sudah kata kamu akan selamat kecuali kamu ikut syaitan!

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوْعِدُهُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٣٤﴾‏

Ayat 43- {“Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).} (Al-Hijr 15:43)

  1. Allah menjatuhkan hukuman bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi iblis syaitan & sekalian mereka yang menurutnya dari kalangan jin & manusia.
  2. Kita sentiasa berdoa kepada Allah supaya pimpin kita untuk duduk atas siratul-mustaqim dan supaya Allah kawal kita daripada perangkap & godaan syaitan!

لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَٰبٍ لِّكُلِّ بَابٍ مِّنْهُمْ جُزْءٌ مَّقْسُومٌ ‎﴿٤٤﴾‏

Ayat 44- {“Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)”.} (Al-Hijr 15:44)

  1. Allah nyatakan bahawa pintu neraka itu ada tujuh!!

Setiap pintu itu menjadi tempat masuk ahli neraka mengikut tahap atau jenis dosa masing-masing!

Ini kerana pengikut syaitan tidak sama- ada yang total ikut syaitan, jahat & zalim lagi, ada yang kafir saja tetapi perangai baik dan lain-lain jenis!

*Hakikat: Pintu neraka ada 7 tetapi pintu syurga ada 8. Kenapa?
Ini menunjukkan rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya.

  1. [495] Neraka Jahannam mempunyai tujuh tingkat berlapis-lapis, masing-masing dengan pintunya; dan tiap-tiap tingkat akan dinilai dengan salah satu puak yang tertentu dari orang-orang yang dijanjikan mendiaminya.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 34- {Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.} – setelah iblis derhaka maka Allah jatuhkan hukuman ke atasnya:
    Keluarlah daripadanya, sesungguhnya kamu adalah yang terkutuk.

Dalam ayat yang mulia ini Allah ceritakan kepada kita apabila dihalau keluar syaitan membuat permohonan merayu kepada Allah agar jangan dimatikan dia bahkan hidup sehingga ke hari Kiamat.

Allah terima permohonannya itu dan diberi tempoh sehingga waktu yang termaklum.

Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa Allah perkenankan permohonan iblis dalam masa yang sama- tetapi itu bukan satu kemuliaan bagi iblis tetapi satu bebanan yang berat baginya.

Ini kerana apabila lagi panjang umur dalam kejahatan; lagi banyak dosa & azab yang akan ditimpakan ke atasnya kelak!

Kata ulama’ tadabbur: Ayat in imemberi peringatan kepada kita:

i- ada orang ahli maksiat- tak pergi masjid minum arak ambil rasuah riba, suka wanita tetapi sihat wal-afiat tak sakit- panjang umur dalam maksiat.

Jangan kagum kerana ini bukan satu kemuliaan baginya tetapi satu bebanan dosa yang mengundang bertambah banyak azab pembalasan di Akhirat kelak!

ii- kita kena kagum jika seseorang itu pnjang umur dalam ketaatann kepada Allah – bertambah banyak kebaikan dan amal ibadatnya- alhamdulillah.

Maka jangan sesekali kita kagum terhadap orang yang ingkar derhaka terhadap Allah kerana panjang umur dalam maksiat adalah azab manakala panjang umur dalam taat adalah nikmat!

  1. Ayat 39- {Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,}– iblis brsumpah dengan sebab dia sudah sesat maka dia nak menyesatkan juga orang lain.

Kata ulama’: Sesiapa yang tahu benda yang baik tetapi dia tak buat bahkan berterusan melakukan benda keji & buruk- maka dia adalah spesis iblis!

ini kerana iblis dia tahu dia salah, dia berdosa derhaka terhadap Allah tetapi dia tak pernah bertaubat minta ampun kepada Allah!

Maka manusia yang tahu dia buat salah, tahu dia berdosa, tahu dia tak betul tetapi tak mahu bertaubat minta ampun kembali kepada Allah maka dia adalah spesis iblis!

Seperti sesetengan manusia hari ini yang tahu perkara baik seperti kebaikan solat jemaah tetapi tetap tak pergi masjid.

Ibu bapa Islam yang tahu tentang aurat tetapi tak tegur membiarkan anak & isteri berpakaian tak tutup aurat- ini adalah orang yang dayus!

Kononnya atas nama sporting, bangga dengan kecantikan anak dan isteri yang tak tutup aurat melanggar hukum Allah!

Jangan kita sporting dan ikut syaitan tetapi kita sporting ikut malaikat yang ajak kepada kebaikan!

  1. Ayat 40- {“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.}

Iblis Syaitan telah membuat pengakuan bahawa dia tak mampu untuk pesongkan hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!

Hamba Allah ada dua kategori:
i- dari sudut kejadian alam (kauni) semua makhluk manusia ini hamba Allah secara umumnya- yang kafir yang beriman yang taat yang ingkar!

ii- hamba Allah yang ikhlas yang taat beribadat yang murni aqidah tak bercampur dengan perbuatan syirik terhadap Allah!

Ini pentingnya kita menjadi hamba Allah yang ikhlas yang disayangi Allah, yang diredhai-Nya barulah perjalan hidup kita atas dunia ini aman dan selamat di Akhirat!

Jika tidak akan hidup dalam keadaan huru-hara tak tahu ke mana hala tuju!

  1. Ayat 39- {Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,}– dua janji iblis dalam ayat ini!

Iblis berjanji lagi dalam usahanya untuk menyesatkan manusia ini:

i- sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini.

Yakni seperti kosmetik- benda buruk apabila disaluti mekap akan dirasakan cantik dan benar!
Benda buruk semua akan jadi indah di mata ahli maksiat.

ii- dan aku akan menyesatkan mereka semuanya- iblis akan goda dan hasut manusia sehingga mengikutnya- sesat sepertinya dan masuk neraka bersamanya!

Begitulah syaitan akan perhiaskan semua perkara tak baik jadi comel indah- sumpah iblis ini sumpah keramat yang akan berlaku sehingga ke hari Kiamat dan dia telah berjaya memesongkan banyak manusia yang ikutnya.

Firman Allah s.w.t:
{Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik,…} (Faatir 35:8)

Syaitan iblis dia pandai dia tak masuk melalui lorong no entry- orang suka ibadat dia akan reka ibadat- ibadat yang Nabi tak buat tak ajar itu- yang dia hiaskan menjadikan manusia suka!

Contoh- nak berzikir kena bangun menari berpusing- nak selawat kena bergendang gedebum gedebang- itu yang laris dan disukai hatta 2 jam boleh menari!

Tetapi zikir tasbih, selawat doa yang Nabi s.a.w ajar ini tak habis 1 pusingan dah khusyuk tertidur!

Inilah bahaya iblis akan perhiaskan semua perkara baik akan nampak & terasa betul!

  1. Ayat 42- {“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).}

Allah bagitahu kepada iblis bahawa dia tidak ada kuasa untuk menyesatkan hamba Allah yang beriman yang ikhlas!

Yakni syaitan iblis tidak ada kuasa dan hujjah ke atas orang yang ikhlas betul-betul beriman!

Tetapi iblis ada kuasa ke atas orang yang ikut jalan dia seperti orang kafir dan yang suka buat dosa maksiat kepada Allah!

Seperti firman Allah ini:
{Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.} (Al-Nahl 16:100)

Kesimpulan yang kita dapat ialah kata ulama’:
i- iblis tiada kuasa ke atas orang yang ikhlas beriman kepada Allah!

ii- iblis boleh mempengaruhi dan ada kuasa ke atas orang yang ikut jalan dia.
Orang kafir duduk di bawah kuasa sultan!

Jelaslah dua ayat ini tidak ada percanggahan & boleh digabungkan!

Maka dengan itu kita sentiasa selamatkan diri kita daripada dikuasai syaitan dan selamat dunia Akhirat!

Di akhir ayat Allah kata neraka yang dijanjikan itu ada tujuh pintu semuanya!

Kita berdoa kepada Allah kita tak nak pergi walaupun kepada satu pintu neraka- satu kaki pun kita tak nak jejak neraka!

Ya Allah jadikan kami dari golongan yang ikhlas beriman kepada-Mu yang selamat dari kuasa dan hasutan syaitan!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 30/03/2026 / 10 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=920450277472160&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top