View Categories

(7) Surah Al-Hijr: Ayat 26-33

14 min read

Asal Penciptaan Adam, Kejadian Jin & Iblis Angkuh Tak Mahu Sujud

Live Pagi Sabtu 04/04/2026 / 15 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (07) Ayat [26-33]

Full video: https://youtu.be/XSmEBbWSbmo?si=4xYDNoz4qciKYmRQ

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 26 sehingga ayat 33 dalam juzuk keempat-belas.

*Hari ini adalah hari putih bagi bulan Syawwal ini maka jika berpuasa sunat Syawwal hari ini kita akan dapat dua pahala insya’ Allah!
Jika sudah cukup enam puasa hari putih saja.

*Maka apa yang kita belajar kita amalkan- jangan belajar saja tetapi tak amal- sama seperti orang yang bual besar saja tetapi praktiknya tidak- itu cakap tak serupa bikin.
Kita kena walk the talk!

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang asal penciptaan Nabi Adam a.s, yang dicipta daripada tanah.
    Tanah ini tenag dan sabit (tatap).
  2. Lawannya adalah kejadian jin & iblis yang dicipta daripada api yang panas!
  3. Kemudian Allah uji iblis dengan memerintahnya sujud hormat kepada Adam a.s.
    Tetapi akibat sombong angkuh, iblis dengan keras kepala tak mahu sujud kepada Adam dan melanggar perintah Tuhan!
    Inilah punca kerosakan!
  4. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang berakhirnya episod perjalanan manusia ini apabila dikumpulkan di padang Mahsyar.

Manusia akan berkumpul semua sekali serta bertemu dengan musuh tradisi kita syaitan & iblis.

ii- maka Allah nyatakan di sini manusia pertama yang dicipta ialah Adam, sebelum dicipta Adan telah diipta jin & iblis.

Serta permusuhan manusia dengan iblis berpunca apabila iblis enggan ikut perintah Allah untuk sujud hormat kepada Adam, kerana dia angkuh sombong berasa dirinya lebih mulia!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ مِن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ‎﴿٦٢﴾

Ayat 26- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.} (Al-Hijr 15:26)

  1. Allah nyatakan peringkat kejadian manusia pertama iaitu nabi Adam- bermula daripada tanah liat yang diuli kemudian menjadi kering {صَلْصَـٰلٍۢ}. Ia mempunyai bermacam warna dan baunya yang boleh berubah-ubah {حَمَإٍۢ مَّسْنُونٍۢ}.
  2. Nota [489]: Mulai dari ayat ini Allah menerangkan asal-usul kejadian datuk kita Nabi Adam a.s.

Allah menjadikan Adam asalnya bermula dari tanah liat yang kering kemudian tanah tersebut dibancuh dengan air kemudian dibiarkan sehingga menjadi hitam dan berubah baunya.

Kemudian dari tanah hitam tersebut dibentuk sebuah lembaga manusia yang kosong lalu dibiarkan kering sehingga menjadi nyaring bunyinya ketika lembaga itu diketuk dengan benda yang lain.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (كَٱلْفَخَّارِ)} (Ar-Rahmaan 55:14)

وَٱلْجَآنَّ خَلَقْنَٰهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ ٱلسَّمُومِ ‎﴿٧٢﴾‏

Ayat 27- {Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.} (Al-Hijr 15:27)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah sebut tentang kejadian penciptaan manusia;
    ii- Allah sebut dalam ayat ini pula bahawa sebelum dicipta manusia, Allah telah mencipta jin sebelumnya.
  2. Yakni Allah telah mencipta iblis bapa kepada segala jin daripada angin api yang sangat panas {نَّارِ ٱلسَّمُومِ}, panasnya menyerap ke liang bulu roma.

*Angin panas dinamakan {ٱلسَّمُومِ}.
Manakala angin sepoi bahasa yang enak dipanggil (نَسِيْم -Nasim).

  1. Asal nama:
    i- Dinamakan jin kerana maksudnya jin ialah makhluk yang terlindung dari pandangan mata, tak nampak dilihat oleh manusia.

ii- Sepertimana dinamakan janin (جنين); janin yang yang berada dalam rahim ibunya, yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa juga!

iii- Manusia pula dinamakan manusia kerana dia mudah lupa- insan (إنسان) – nisyan (نسيان) dengan makna lupa!

  1. Inilah punca permusuhan manusia & Iblis.
    Ia juga punca kerosakan manusia semenjak dari dulu sehingga bila-bila iaitu hasad dengki, sombong angkuh & keras kepala!

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى خَٰلِقُۢ بَشَرًا مِّن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ‎﴿٨٢﴾

Ayat 28- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.} (Al-Hijr 15:28)

  1. Allah s.w.t peringatkan balik kepada Rasulullah s.a.w akan peristiwa penciptaan datuk kita Adam a.s. yang dicipta daripada tanah liat.

Allah berfiman memberitahu kepada malaikat bahawa Dia hendak mencipta manusia daripada tanah.

  1. Iaitu asal kejadian manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya!
  2. Pada mulanya malaikat membantah juga kehendak Allah untuk mencipta manusia ini:
    {Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.} (Al-Baqarah 2:30)

*Ingat ini bukanlah bantahan sombong, sebaliknya soalan untuk memahami hikmah Allah (al-Afkar).

  1. Yakni Malaikat bertanya (bukan membantah secara mutlak) mengenai penciptaan manusia kerana khuatir manusia akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi, berdasarkan pengalaman terdahulu.
    Ini kerana malaikat telah melihat puak jin & iblis yang telah berbalah sesama mereka- maka pastilah manusia begitu juga!

فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَٰجِدِينَ ‎﴿٩٢﴾

Ayat 29- {“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.} (Al-Hijr 15:29)

  1. Kemudian apabila selesai penciptaan anggota dan badan manusia dengan rupa yang sempurna dan lengkap terbentuk- kita sendiri perhatikan kepada penciptaan anggota yang elok terletak dengan penuh praktikal!
  2. Kemudian Allah tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Nya) lalu Adam hidup celik mata dan bernafas menjadi manusia yang hidup!
  3. Apabila Adam hidup, Allah lalu perintahkan semua malaikat hendaklah sujud hormat kepadanya- sebagai tanda menghormati & memuliakanya bukan sujud ibadat.

فَسَجَدَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ ‎﴿٠٣﴾

Ayat 30- {(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali,} (Al-Hijr 15:30)

  1. Setelah selesai penciptaan Adam- dengan perintah Allah maka bersujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali dengan penuh akur & ketaatan!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    {(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -} (Saad 38:73)

إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰٓ أَن يَكُونَ مَعَ ٱلسَّٰجِدِينَ ‎﴿١٣﴾‏

Ayat 31- {Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.} (Al-Hijr 15:31)

  1. Iblis tidak mahu sujud kepada Adam. Ia enggan sujud bersama malaikat yang sujud ikut perintah Allah!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    {Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.} (Saad 38:74)

*Iblis menjadi kafir- begitu juga sesiapa yang tidak ikut perintah Allah akan menjadi kafir!

  1. Inilah tiga makhluk dengan 3 unsur kejadian yang berbeza:

i- malaikat yang dicipta dari cahaya- kerana itu ia ringan & laju dapat turun naik menjalankan tugasnya antara langit dan bumi dengan cepatnya.

Seperti pada malam Lailatul Qadr malaikat turun memenuhi bumi- kerana mereka cahaya tidak memberi kesan kepada kita.

ii- manusia daripada tanah- berat tidak dapat terbang seperti malaikat.

iii- kumpulan ketiga ialah jin yang dicipta daripada api. Ringan juga tetapi panas dan jahat serta keras kepala!!!

قَالَ يَٰٓإِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلَّا تَكُونَ مَعَ ٱلسَّٰجِدِينَ ‎﴿٣٢﴾

Ayat 32- {Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”.} (Al-Hijr 15:32)

  1. Setelah melihat iblis tidak sujud- Allah bertanya kepadanya:
    {… apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”.}
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah berfirman: ” Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu?
    Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?”} (Saad 38:75)
  3. Allah memarahi iblis yang tidak mahu ikut perintah-Nya itu!

قَالَ لَمْ أَكُن لِّأَسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُۥ مِن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ‎﴿٣٣﴾

Ayat 33- {Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya”.} (Al-Hijr 15:33)

  1. Iblis bukannya takut & gerun dengan pertanyaan Tuhan itu tetapi Iblis syaitan yang angkuh lagi keras kepala menjawab dengan penuh sombong kedegilan!
  2. Iblis menjawab: Aku yang dicipta daripada api ini tidak patut, tidak selayaknya untuk sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat….
  3. Nota [490]- Dalam ayat-ayat al-Quran yang lain iblis berbangga dengan asal kejadiannya daripada api maka dia tak mahu sujud kepada manusia yang dicipta daripada tanah!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah “.} (Saad 38:76)
  5. Betulkah api lebih hebat daripada tanah??? Apa yang lebih hebat, tanah, air, api atau angin? Semuanya makhluk Allah- setiap satu ada kekuatan & kelemahan tesendiri- hanya Allah yang paling Kuat & paling berkuasa!

Penutup & Faedah #

1.Ayat 26- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.}
Allah beritahu kita bahawa Dia telah mencipta manusia daripada tanah liat yang kental kemudian diuli menjadi kering {صَلْصَـٰلٍۢ}.

Dalam proses pencitaan Adam ini tiga ayat dalam al-Quran yang menyebut 3 keadaan tanah yang berlainan:

i- dalam ayat (Al-Hijr 15:26) Allah katakan Adam dicipta daripada {صَلْصَـٰلٍۢ}. iaitu tanah liat yang kering.

ii- manakala dalam ayat ini Allah firman:
{Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).} (As-Saaffaat 37:11)
Iaitu {طِينٍۢ لَّازِبٍۭ}- tanah liat yang senang diubah dan diciptakan semula.

iii- manakala dalam ayat ini Allah kata daripada tanah {تُرَابٍۢ}:
{Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.} (A-li’Imraan 3:59)

Maka timbul persolan kenapa seolah bercanggah sekali begitu sekali begini???

Jawapan:
Allah cipta Adam ini berperingkat demi peringkat.

Allah tak cipta Adam dengan – kun fayakun.
Ini untuk mengajar kita manusia agar bersabar jangan gopoh, nak cepat semuanya.
Semua perkara itu ada peringkat dan prosesnya.

Dari ayat-ayat ini kita boleh buat kesimpulan 3 peringkat kejadian manusia:

i- yang pertama Allah pilih tanah, daripada {تُرَابٍۢ}.

ii- kemudian diambil tanah lembik yang bercampur wana & baunya {طِينٍۢ لَّازِبٍۭ} lalu diuli!

iii- kemudian setelah diuli ia dikeringkan menjadi tanah hitam yang keras {صَلْصَـٰلٍۢ} seperti tembikar- lalu dibentuk menjadi batang tubuh manusia.

Jelaslah tiada ayat al-Quran yang bercanggah cuma nampak seolah bercanggah sebelum kita kaji dan belajar, sebelum faham.

Jika dikatakan bercanggah juga itu kerana kepala otak yang tak betul mengatakannya! Itulah kuasa Allah s.w.t!

Huraian ini dibawa oleh Syeikh Muhammad al-Amin asy-Syanqiti dalam Kitabnya: Menolak Sangkaan Bahawa Dalam al-Quran Ada Ayat yang bercanggah-
(دَفْعُ إِيهَامِ الِاضْطِرَابِ عَنْ آيِ الْكِتَابِ).

  1. Ayat 27- {Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.}

Allah nyatakan bahawa sebelum itu Dia telah mencipta satu makhluk lagi iaitu jin yang dicipta daripada api atau angin api yang panas!!!

Jin dinamakan JIN kerana ia makhluk yang tidak nampak dilihat oleh mata kasar manusia!

Alhamdulillah mujur kita tak nampak jin kerana ia mempunyai pelbagai rupa yang pelik & menakutkan sebagaimana hadis riwayat Ibnu Mas’ud ketika dia dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang pergi berjumpa dengan jin.

Boleh baca kisah ini dalam bab Masjid Jin, kitab Makkah; Kelebihan & Sejarah: https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…

Dengan keadaan tak nampak inipun kita dah takut & kalah kepada hasutan jin syaitan apatah lagi jika nampak sungguh- tak pergi masjid kita!!!

Hadis riwayat UM Aisyah  tentang penciptaan malaikat, jin & manusia:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-
«خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ »

Dari Aisyah r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api (api yang bercampur), dan Adam diciptakan dari apa yang telah disifatkan (diceritakan) kepada kamu (dalam Al-Qur’an).” (HR. Muslim, no. 2996)

Ayat ini menceritakan tentang hakikat kejadian manusia yang sejuk lembut dan tenang kerana dicipta dari tanah!

Manakala jin syaitan pula makhluk yang panas dan garang kerana dicipta daripada api!!

Manusia yang dirasuk jin akan menjadi panas & ganas.

  1. Ayat 29- {“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.}– apabila sempurna kejadian Adam Allah perintahkan para malaikat untuk bersujud hormat kepada Adam!

Maka timpul persoalan di sini- siapa yang lebih mulia manusia atau malaikat????

Kita kata keduanya mempunyai keistimewaan dan kemuliaannya yang tersendiri.

Tetapi kita boleh kata manusia yang beriman & bertaqwa kepada Allah lebih kuat dan mulia kerana dia diberi nafsu, ada syaitan lagi yang menghasut; tetapi berjaya melawan semua itu dan hanya takut kepada Allah serta taat mengikut perintahnya!

Sedangkan malaikat dicipta tanpa nafsu- jika dia menang pun berseorang, menang tanpa perlawanan!

Di sini juga disebut peranan malaikat- Allah anugerahkan kepada mereka ketaatan yang mutlak- tiada keraguan & bantahan lansung!

Apa yang Allah perintahkan mereka terus buatnya tanpa tangguh, apatah lagi untuk melakukan dosa atau maksiat tidak sesekali- mereka terpelihara dari semua itu!

Allah berfirman:
{… mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.} (At-Tahriim 66:6)

  1. Ayat 32- {Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”.}– apabila Allah bertanya dan memarahi iblis;

Ayat 33- {Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya”.}– iblis tidak takut atau insaf bahkan berani menjawab mulut!!!

Ayat ini menunjukkan ada interaksi, ada percakapan antara Iblis dan Allah!

Apakah ini menunjukkan iblis hebat dan dilayan Allah seperti Nabi Musa a.s????

Nabi Musa dianggap hebat kerana dia berkata-kata dengan Allah sehingga digelar Kalimullah!

Jawapan:
Percakakan ini bukan perbualan mesra semata atau kata-kata mulia tetapi lebih kepada herdikan, kemarahan Allah terhadap iblis yang ingkar akan perintah-Nya.

Ia juga menunjukkan sifat buruk perangai iblis yang keras kepala menjawab kemarahan Allah mengatakan dengan angkuh sombong: {…Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering…}.

Maka kita jangan sesekali tiru perangai huduh iblis yang suka menjawab mulut ini terutama kepada guru atau ibu bapa sendiri!

Jika kita ada tak setuju atau letih malas sekalipun senyap saja- jangan tiru iblis!

Kenapakah iblis dinamakan iblis:
i- kerana iblas (إبلَس) maknanya orang yang sudah putus harap dari mendapat kebaikan!

Iblis makhluk yang tiada kebaikan lansung dari mereka.
Iblis adalah dari golongan jin asalnya bukan malaikat!

Allah sebut dalam al-Quran:
{Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.} (Al-Kahfi 18:50)

*Jin yang jahat ketuanya ialah iblis.
Manakala manusia & jin yang jahat dipanggil syaitan sebagaimana firman Allah ini:
{“(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”- مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ} (An-Naas 114:6).

Maka kita jangan jadi syaitan, kita nak jadi orang yang baik, orang yang soleh, taat kepada ibu bapa guru dan semua orang yang berhak.

  1. Ayat 33- {Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya”.}

Allah nyatakan kerosakan manusia & jin atas dunia ini berpunca dari sombong, angkuh, keras kepala & tak dengar kata!

Manakala ahli kitab yahudi & nasara yang menolak Rasulullah s.a.w kerana hasad dengki walaupun mereka kenal & tahu Baginda adalah benar!

Firman Allah s.w.t {حَسَدًۭا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم}:
{Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).} (Al-Baqarah 2:109)

Kerana ini manusia yang sombong & keras kepala ialah mereka yang tak dapat terima nasihat untuk muhasabah dan memperbaiki kesilapan.
Mereka menganggap nasihat adalah cercaan terhadap mereka- lalu tak dengar & tak berubah!

Teguran dianggap kutukan- mereka tak boleh ditegur dan dinasihat maka tak boleh terima kebenaran dan akan terus berada dalam kesilapan kerana menganggap diri mereka sentiasa betul dan tak mahu ubah perbaiki diri!

Sebagaimana iblis yang sombong angkuh- hasad dengki juga menjadi punca kerosakan- maka kita jauhkan diri kita daripada semua sifat yang buruk dan punca kerosakan ini!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 04/04/2026 / 15 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=919368867580301&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top