View Categories

(13) Surah Al-Hijr: Ayat 87-93

15 min read

Anugerah As-Sab’u Al-Mathani, Al-Fatihah, Jangan Terpedaya Dengan Kemewahan Kafir, Berilah Amaran Kepada Musyrikin

Live Pagi Isnin 13/04/2026 / 24 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (13) Ayat [87-93]

Full video: https://youtu.be/DlaXwhfCrGI?si=DcO-Qrare4ayqZh9

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 87 sehingga ayat 93 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa antara anugerah Allah yang besar kepada Nabi s.a.w ialah diberinya As-Sab’u Al-Mathani (Tujuh ayat yang berulang).

Ulama’ mengatakan ia adalah surah Al-Fatihah dan ini adalah pendapat yang paling masyhur.

  1. Allah peringatkan Nabi s.a.w & orang beriman agar jangan terpedaya dengan kemewahan kafir & kesenangan yang Allah berikan kepada mereka kerana ia hanya sementara dan ujian dunia.
  2. Kemudian Allah nyatakan tugas Nabi s.a.w ialah memberi amaran peringatan kepada musyrikin yang menentang al-Quran & melawan Nabi s.a.w bahawa mereka semua akan dipersoalkan pada hari Kiamat kelak!
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sabarkan & tenangkan hati Nabi s.a.w ketika menghadapi gangguan & tentangan kaumnya.

Allah suruh Baginda bersabar dengan sabar yang baik & maafkan mereka.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Allah telah anugerahkan kepada Baginda satu nikmat yang besar iaitu al-Quran dan seluruh isi kandungannya!

Maka apabila ada anugerah yang besar ini- cabaran yang lain menjadi kecil belaka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ ‎﴿٧٨﴾

Ayat 87- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.} (Al-Hijr 15:87)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia telah anugerahkan kepada Rasulullah s.a.w tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya {السَّبْعُ المَثَانِي} – Majoriti ulama’ mengatakan ia adalah surah al-Fatihah.
  2. Nota [512] Tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya ialah surah “Al-Faatihah” yang dibaca dalam tiap-tiap rakaat dalam sembahyang; atau tujuh usul atau dasar yang diulang-ulang huraiannya dalam Al-Qur’an.
  3. Dalil mereka kerana al-Fatihah adalah surah Makkiyyah; manakala tujuh surah yang panjang itu surah Madaniyyah.
  4. Terdapat juga dalil yang jelas dari hadis Nabi s.a.w:

i- Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أُمُّ الْقُرْآنِ، وَأُمُّ الْكِتَابِ، وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah Umm al-Quran, Umm al-Kitab dan as-Sab’ al-Mathani.” [HR Abu Daud (1457)]

ii- Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: Rasulullah S.A.W telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya. Aku berkata kepada Nabi S.A.W: Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku sedang bersolat. Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga rasulnya apabila kamu dipanggil.”
Kemudian Nabi S.A.W bersabda lagi: “Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kami surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?.” Setelah itu, Nabi S.A.W memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah!
Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran.
Maka Nabi S.A.W bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [HR al-Bukhari (5006)]

  1. Kenapa surah al-Fatihah dipanggil {tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya- السَّبْعُ المَثَانِي}??
    i- kerana ia dibaca berulang setiap kali solat.
    ii- mengandungi pujian yang besar kepada Allah S.W.T- maka sebelah atas dikatakan hak Allah.
    iii- kemudian ada doa permintaan dari kita iaitu sebelah bawah hak kita- kita minta Allah anugerahkan kepada kita Siratul-Mustaqim.
  2. Ada juga ulama’ berpendapat bahawa {tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya- السَّبْعُ المَثَانِي} ialah:
    i- tujuh surah yang panjang.
    ii- al-Quran keseluruhannya.
    Wallahu a’lam!

لَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ ‎﴿٨٨﴾

Ayat 88- {Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).} (Al-Hijr 15:88)

  1. Allah memberi peringatan & amaran kepada Nabi s.a.w agar jangan jeling tengok lalu terpedaya, terpengaruh, koyak dengan kemewahan yang sedikit & kesenangan sementara yang ada Allah berikan kepada orang kafir yang tidak beriman!
  2. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah memberitahu kepada Nabi s.a.w bahawa dia telah anugerahkan al-Quran yang begitu besar kelebihan dan faedahnya;

ii- maka dalam ayat ini beri nasihat & peringatan agar jangan kamu kagum terpedaya dengan kekayaan & kemewahan orang kafir yang hanya sementara!

  1. Peringatan ini walaupun ditujukan kepada Nabi s.a.w dalam ayat ini- tetapi ditekankan kepada kita semua orang beriman agar jangan tamak kepada dunia, tetapi hendaklah bersifat zuhud!

Apa rezeki yang datang kita ambil- tetapi jika dia lari kita tidak akan mengejarnya dengan tamak!

Tetapi ingat apa yang kita nak ambil itu pun pilih-pilihlah- pastikan ianya yang halal bukan yang syubhat apalagi yang haram!

  1. Kemudian jika kita kaya diberikan Allah rezeki yang banyak- maka kita jaga hak harta itu- pastikan ia dari sumber yang halal, keluarkan haknya seperti zakat & sedekah- jangan bakhil & kikir juga jangan membazir yang tidak memberi faedah- mak insya’ Allah kita selamat! Jika tidak bahaya!
  2. Nota [513]- pada suatu masa pada zaman Nabi s.a.w- orang Islam di Madinah tidak senang hati melihat barang-barang dagangan yang banyak yang dibawa dari luar oleh orang kafir di situ!

Sebab itu turunlah firman Allah s.w.t ini yang ditujukan kepada Nabi s.a.w tetapi bertujuan mengajar umatnya supaya mereka janganlah terharap-harap & menaruh hati semata-mata kepada harta kekayaan seperti yang ada pada orang kafir itu kerana Allah telah mengurniakan kepada orang Islam Kitab Suci al-Quran al-Karim yang lebih besar daripada segala jenis harta kekayaan & kesenangan!

Oleh pada itu hendaklah orang-orang Islam menurut ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w dengan sepenuhnya supaya mereka dapat menikmati kesenangan & kebahagiaan yang sebenarnya, bukan saja di dunia tetapi di Akhirat kelak.

  1. Kemudian datang ayat ini Allah s.w.t memperingatkan Nabi s.a.w agar tidak bersedih & merasa dukacita terhadap mereka kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan.
  2. Ini kerana Nabi s.a.w sifatnya amat inginkan, tamak agar keluarganya, kaumnya & seluruh penduduk Makkah agar beriman.

Ini supaya mereka selamat dari api neraka & untuk menguatkan Islam kekuasaan Islam dengan penyokong & pendokong yang ramai!

  1. Maka dalam ayat ini Allah peringatkan kepada Nabi s.a.w agar kamu jangan sedih, kamu sudah sampaikan risalah sudah berdakwah tiada siapa akan pertikaikan!

Jika mereka tidak mahu beriman juga itu bukan salah Baginda s.a.w lagi tetapi salah mereka sendiri yang degil keras kepala & tak dengar kata dengan memilih jalan yang salah!

  1. Allah mengingatkan: {… dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).}- yakni Allah peringatkan Nabi s.a.w untuk tawadhuk dan rendah diri kepada pengikutnya yang beriman walaupun mereka adalah dari golongan orang miskin!
  2. Ini kerana memang kedudukan tidak seimbang; orang Islam ramai yang miskin manakala yang kaya adalah puak musyrikin yang menyembah berhala seperti Abu Jahal & gengnya! tetapi Allah ingatkan walaupun orang beriman itu miskin- tetapi tetap Nabi s.a.w kena tawadhuk, bertimbang rasa & saling berkasih-sayang dengan mereka!

Kerana itu kita sesama Islam jangan berasa hina untuk berkawan walaupun miskin dan apa sekalipun- kita duduk sekali.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.} (Asy-Syu’araa’ 26:215)

وَقُلْ إِنِّي أَنَا النَّذِيرُ الْمُبِينُ ‎﴿٩٨﴾

Ayat 89- {Dan katakanlah: “Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar)”.} (Al-Hijr 15:89)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- Allah telah pesan kepada Nabi s.a.w agar jangan sedih jika ada orang yang tidak beriman & mereka sombong kerana mereka kaya.

Serta merendah diri kepada sahabat yang beriman walaupun mereka miskin!

ii- maka datang ayat ini Allah perintakan kepada Nabi s.a.w agar tegas memberi peringatan dan amaran kepada mereka yang kufur itu.

Serta zahirkan kebenaran walaupun ditentang, nyatakan hukuman di Akhirat walaupun mereka tak percaya!
Jangan takut dan segan walaupun mereka adalah orang yang kaya!

  1. Berilah amaran kepada mereka bahawa sesiapa yang tidak beriman tidak ikut perintah Allah & rasul- mereka akan dibinasakan sebagaimana telah dibinasakan orang yang terdahulu!
  2. Allah telah jelaskan dengan bukti-bukti yang nyata tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar sebelum ini!

كَمَا أَنزَلْنَا عَلَى الْمُقْتَسِمِينَ ‎﴿٠٩﴾‏

Ayat 90- {(Kami berikan kepadamu Al-Faatihah dan Al-Quran) samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi.} (Al-Hijr 15:90)

  1. Allah tegaskan sekali lagi bahawa Dia telah berikan kepada Nabi s.a.w:
    i- Al-Faatihah dan Al-Quran;
    ii- samalah seperti Allah menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi.
  2. Maksudnya orang-orang yang membahagi-bahagi {ٱلْمُقْتَسِمِينَ} ini ialah:

i- mereka ini ialah orang yang memilih-milih al-Quran iaitu mereka pilih ayat al-Quran; yang mereka nak mereka ambil; yang mereka tak mahu ditinggalkan.

ii- ada juga ulama’ kata mereka membahagikan jalan di Makkah- jalan ini bagi orang ini jalan ini bagi orang lain pula!

  1. Maka Allah peringatkan Nabi s.a.w agar jangan ikut perangai sebegini!

Umat ini akan ditimpa bala yang sama jika itulah perangai kita.

  1. Kerana itu Nabi s.a.w menyebut dalam sebuah hadis panjang yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, antaranya Rasulullah S.A.W bersabda:

وما لم تَحْكُمْ أئمتُهم بكتابِ اللهِ عَزَّ وجَلَّ ويَتَخَيَّرُوا فيما أَنْزَلَ اللهُ إلا جعل اللهُ بأسَهم بينَهم

“…dan selama mana pemimpin mereka tidak berhukum dengan Kitab Allah (Al-Quran) dan memilih-milih daripada apa yang diturunkan Allah, nescaya Allah akan jadikan kesusahan mereka daripada kalangan mereka sendiri.”
[HR Ibn Majah, at-Tabarani dan al-Hakim.]

الَّذِينَ جَعَلُوا الْقُرْآنَ عِضِينَ ‎﴿١٩﴾‏

Ayat 91- {(Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).} (Al-Hijr 15:91)

  1. Mereka {ٱلْمُقْتَسِمِينَ} ini juga memecah & membahagikan al-Quran kepada bahagian-bahagian {عِضِينَ} seperti jurai (kelate= slice) iaitu:

i- mereka percaya kepada sebahagian
ii- dan menolak sebahagian yang lain.

  1. Nota [514]- yakni orang kafir yahudi & nasrani membahagikan al-Quran; mereka percaya kepada sebahagian darinya dan menolak sebahagian yang lain!
  2. Ada juga setengah orang yang {عِضِينَ} jadikan al-Quran ini mainan.
    Mereka mengatakan al-Quran ini:
    i- syair- dari kitab-kitab sastera.
    ii- sihir atau rekaan tukang nujum & tukang tilik!
    iii- ada yang kata dongeng orang terdahulu.
    *Serta pelbagai syubhat & tohmahan rekaan mereka!
  3. Ibnu Abbas r.a mengatakan ayat ini asalnya ditujukan kepada ahli Kitab nasrani yang membahagi & memisah-misahkan al-Quran (juraikan)- beriman dengan sebahagian & kafir dengan yang lainnya.

Mereka pisahkan al-Quran-apa yang mereka nak mereka ambil apa yang mereka tak mahu mereka tinggalkan!

5.Inilah realiti umat Islam hari ini- memilih untuk beramal dengan apa yang ada dalam al-Quran- nikah kahwin ambil, zakat ambil kerana bawa duit, tetapi dalam bab jenayah hudud NO, bab halal haram tak ambil kira pula!!!!
Kononnya bercanggah dengan enakmen ini dengan perlembagaan itu!

فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٢٩﴾

Ayat 92- {Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak),} (Al-Hijr 15:92)

  1. Allah bersumpah dengan Demi Tuhanmu {فَوَرَبِّكَ} wahai Nabi Muhammad s.a.w-
  2. Bahawa Allah akan bentangkan, akan tunjuk, akan tanya akan menyoal mereka yang kafir itu semuanya pada hari kiamat kelak!

عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ ‎﴿٣٩﴾‏

Ayat 93- {Mengenai apa yang mereka telah lakukan.} (Al-Hijr 15:93)

  1. Iaitu mereka akan disoal & dipertanggung-jawabkan dengan semua yang telah mereka kerjakan atas dunia ini dulu!
  2. Maka kita beringatlah jangan anggap mudah & pandang lekeh dengan perjalanan agama ini kerana;

i- semua yang Allah suka & redha itu berpahala,
ii- manakala semua yang Allah tak suka & murka itu berdosa!!!!

  1. Hadis dari Abu Hurairah R.A. katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

«الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ»
“Iman mempunyai lebih dari 70 atau 60 cabang. Cabang yang utama mengucapkan “La ilaha illallah”, dan yang paling rendah menyingkirkan bahaya dari jalan: dan malu adalah salah satu cabang dari Iman.” [Sahih Muslim].

*Ini menunjukkan luasnya rahmat Allah kepada kita- segala yang baik diberinya pahala manakala segala yang buruk adalah bala!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 87- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.}

Dalil ulama’ yang mengatakan ia adalah surah al-Fatihah:

i- kerana ia turun di Makkah iaitu surah Makkiyah.

ii- telah sabit dalam hadis Nabi s.a.w., Baginda memberitahu bahawa 7 ayat yang berulang itu ialah al-Fatihah.

Jadi jelaslah kepada kita juga kerana surah al-Hijr ini turun di Makkah- maka terdapat percakapan tentang kaum musyrikin Makkah yang menentang & menolak al-Quran.

Maka ini semua menunjukkan bahawa: {tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya {السَّبْعُ المَثَانِي} ialah surah al-Fatihah!

Fakta:
i- surah yang paling afdhal dalam al-Quran ialah- surah al-Fatihah.

ii- ayat yang paling afdhal dalam al-Quran ialah- Ayatul-Kursi.

Sebagaimana:
i- malam paling mulia ialah- Lailatul Qadr.
ii- hari yang paling mulia sekali atas dunia ini- Hari Arafah.

Semua ini tiada percanggahan- jangan kita buat kekeliruan pula!

Alhamdulillah semakin kita baca, belajar & tadabbur semakin kita rasa nikmat kemanisan & faedah kita belajar & tadabbur al-Quran!

Semoga Allah berkati kita semua para pembaca dan pendengar siri Kuliah kita ini- pembaca semoga sihat & rajin selalu, pendengar pula sentiasa setia & istiqomah mengikutinya!

Moga Allah anugerahkan kepada kita kefahaman yang baik dan beramal dengannya!

  1. Ayat 88- {Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu)…}-

Allah memberi amaran & peringatan keras agar kamu jangan terpedaya, terpengaruh tergoda dengan kesenangan yang Allah berikan kepada golongan kafir dari kesenangan atas dunia ini!

Ayat ini walaupun dituju kepada Nabi saw tetapi ia sebenar dituju kepada umatnya- kita semua manusia yang tamak dan lemah ini.

Sedangkan Nabi s.a.w adalah seorang yang amat zuhud dan tidak tamakkan dunia lansung kerana Baginda tahu semua itu hanya sementara- Akhirat yang kekal abadi dengan segal nikmat syurganya tidak terbanding.

Allah sebut kepada Nabi s.a.w dengan tujuan nak didik umatnya!!!

Juga kerana Nabi s.a.w sendiri amat runsing & bimbangkan akan keselamatan & kesejahteraan umatnya dunia Akhirat.

Kita dengan dunia ini ada dua akhir saja;
i- samada kita mati & meninggalkan dunia; segala harta yang dimiliki kan ditinggalkan menjadi milik kepada orang lain.

ii- atau dunia itu (harta & barang yang kita ada) musnah binasa atau habis meninggalkan kita!
Kereta rosak, harta habis bangkrap dan seumpamanya!

Jadi jelasnya Allah s.w.t sebut kepada Nabi s.a.w tujuannya untuk didik kita umat Baginda!

  1. Ayat 88- {… dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).}– Inilah sifat Nabi s.a.w & sifat kita semua yang seharusnya!!!

Kita dengan keluarga, anak isteri jangan jadi diktator paksa apa yang kita nak saja.

Dengan kawan-kawa jangan pilih bulu untuk berkawan dengan siapa!

Jangan hanya memilih & memuliakan orang kaya- orang miskin tak pandang dan kurang diberi perhatian & layanan!

Kita mesti bersifat tawadhuk dengan sesama orang beriman & tegas dengan orang bukan Islam terutama tentang hak Islam.

Kita hidup atas dunia ini jangan sombong, semua percakapan perbuatan & segala kerja buat kita telah dicatat oleh malaikat semuanya!

Allah telah ajar kepada kita akan sifat Nabi s.a.w sebagaimana firman-Nya ini:

{Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).} (Al-Fat-h 48:29)

Ini tidak – kita dengan orang kafir lunak, atas nama toleransi sehingga tergamak membiarkan agama diketepikan.

Tetapi sesama orang Islam keras; berkelahi tuduh menuduh label melabel dengan gelaran yang buruk-buruk!

Buruknya perangai, rosaknya akhlak- atas dasar berlainan pendapat & berbeza citarasa!

Kata DDAAM: Bila hati sudah tidak berkenan; jarinya juga tidak akan tekan!
*Tekan butang share like & menyebarkannya!

Kita hari ini; kita ukur otak & perjalanan hidup kita dengan dunia dan ikut kehenak nafsu bukan dengan ukuran piawai agama!

  1. Ayat 92- {Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak),} & Ayat 92- {Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak),}–

ayat ini menunjukkan bahawa ini kita semua akan dipersoalkan di hadapan Allah di Akhirat kelak akan perbuatan kita atas dunia ini.

Tak kira samada yang kafir atau yang beriman semua akan dibangkitkan dan menghadapi pengadilan serta balasan Allah!

Kita semua akan dipertanggung-jawab di hadapan Allah atas segalannya!

Hari ini kita beralasan bahawa kita banyak tanggung-jawab atas dunia ini- kenapa tak gi masjid- banyak kerja, kenapa tak baca al-Quran- tak ada masa, kenapa tak sedekah tak cukup duit & 1001 alasan lagi tentang banyak tanggung-jawab.

Tetapi apabila kita mati kita akan dipertanggung-jawabkan dengan semua yang kita buat!!!
Maka jangan berani-berani- amaran keras jangan sesekali kamu menentang Allah & Rasulullah- kamu akan dipertanggung-jawabkan!

Bahkan ada juga sesetengah dosa yang Allah segerakan tindakan & balasannya atas dunia ini lagi seperti derhaka kepada dua ibu bapa, orang yang zalim ke atas orang lain & memutuskan silaturrahim!

  1. Ayat 92- {Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak),}– dalam ayat ini Allah kata Dia akan tanya manusia ini {فَوَرَبِّكَ لَنَسْـَٔلَنَّهُمْ}!

Manakala dalam ayat lain pula seolah Allah tak akan tanya jin atau manusia tentang dosa mereka di Akhirat:

Sebagaimana firman Allah ini:
{Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);} (Ar-Rahmaan 55:39)

Bagaimana kita nak sinambungkan (taufiq) antara dua ayat ini?
Kata ulama’:
A) Soalan Tuhan itu ada dua jenis:
i- ada soalan untuk tanya & siasat pasti akan ditanya. Soal dengan herdik dan marah akan ditanya!

ii- cuma soalaan yang dinafikan di sini ialah soalan nak tahu benar atau tidak!

Soalan tenang-tenang tiada pada hari Kiamat kerana Allah sudah tahu segalanya ada dalam catatan!

b) Hari Kiamat itu ada banyak stesen & banyak check pointnya!

Ada waktu & tempat di tanya ada tempat yang tidak akan ditanya.

Begitulah ayat-ayat al-Quran ini jika ada kita rasa seolah bercanggah atau tidak selari maka apabila kita baca dan dengar penjelasan dan huraian para ulama’ yang muktabar kita akan dapati ia tidak bercanggah lansung bahkan penuh dengan hikmah yang boleh difahami- alhamdulillah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 13/04/2026 / 24 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=926393453544509&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top