View Categories

(10) Surah Al-Hijr: Ayat 51-60

13 min read

Nabi Ibrahim A.S Terima Tamu, Khabar Gembira Nak Dapat Anak & Malaikat Nak Ke Kaum Lut

Live Pagi Selasa 07/04/2026 / 18 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (10) Ayat [51-60]

Full video: https://youtu.be/Cerv2nmIL_U?si=LNi2qOICPVEYtqel

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 51 sehingga ayat 60 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Ibrahim A.S menerima tamu yang tidak dikenalinya.
    Apabila diangkat hidangan tetamunya tak makan menyebabkan Ibrahim berasa takut.
  3. Malaikat lalu memperkenalkan diri bahawa mereka adalah malaikat dan beri khabar gembira bahawa nabi Ibrahim akan dapat anak. Isterinya bertempik terkejut kerana mereka berdua sudah tua.
  4. Malaikat juga menyatakan tugas utama mereka adalah ke tempat kaum Lut di Qura Sadum untuk membinasakan mereka yang melakukan fahisyah iaitu perbuatan keji dalam sejarah manusia yang rosak fitrah & akal!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kedudukan para nabi a.s, dalil-dalil keEsaan & kekuasaan, Allah cerita tentang hari Kiamat kelak, ada syurga ada neraka, tentang orang yang bahagia & orang yang celaka, semuanya ada.

ii- maka dalam ayat ini Allah ceritakan pula kisah tentang para nabi a.s bagi menaikkan semangat kita untuk ikut jejak langkah mereka dalam berjuang & berdakwah.
Tetapi kita kena pastikan cerita yang sahih dari sumber al-Quran & hadis jika tidak rugilah kita!

  1. Malaikat juga menyampaikan berita gembira kepada Nabi Ibrahim a.s bahawa dia akan menimang cahaya mata di penghujung usianya.

Ini adalah salah satu dalil tanda kekuasaan & kehendak Allah.

Antara keajaiban kejadian manusia juga ialah:
i- tiada ibu bapa- Nabi Adam a.s.
ii- ada ibu tiada bapa- Nabi Isa a.s.
iii- manakala manusia biasa lain ada ibu bapa.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَنَبِّئْهُمْ عَن ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ‎﴿١٥﴾‏

Ayat 51- {Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim.} (Al-Hijr 15:51)

  1. Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk menceritakan kepada kita umatnya tentang kisah malaikat yang datang bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s.
  2. Ini kerana kisah ini panjang dan mengandung ibrah & pengajaran yang kena kita ambil iktibar dan faedahnya.
  3. Sirah para nabi ini bersambung dan mempunyai pelbagai sudut yang boleh memberi pengajaran kepada kita!

Kita ada Fiqhus-Sirah, Hikmah Sirah dan peranan kita pula beramal ikut Sunnah Nabi s.a.w & menyebarkannya kepada masyarakat!

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَٰمًا قَالَ إِنَّا مِنكُمْ وَجِلُونَ ‎﴿٢٥﴾‏

Ayat 52- {Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: Ia berkata: “Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu”.} (Al-Hijr 15:52)

  1. Malaikat datang dengan memberi salam kepada Ibrahim dengan berkata: “Selamat sejahtera kepadamu!” dan meminta izin untuk masuk.
  2. Ayat ini ringkas, Allah tak cerita Ibrahim jawab salam malaikat itu atau apa yang terjadi selepas itu cuma terus diceritakan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu”.
  3. Maka ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.} (Hud 11:69)

{Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)”.} (Hud 11:70).

  1. Nota [497]- Nabi Ibrahim berkata demikian setelah ia menjawab salam yang diucapkan oleh mereka dan dia melihat mereka tidak menjamah hidangan yang disediakan untuk mereka sebagaimana yang tersebut dalam ayat 70 surah Hud.

Tetamu-tetamu tersebut adalah malaikat yang menyamar sebagai manusia dan mereka diutuskan oleh Allah membawa berita yang menggembirakan bahawa nabi Ibrahim akan beroleh seorang anak lelaki dan cucu pula darinya!

  1. Nabi Ibrahim berkata: {“Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu”.}

Maka kata ulama’ pengkaji; jika kita bertamu ke rumah orang jika puasa terus nyatakan agar tuan rumah tidak kalut menghidang makanan.

Atau jika tak puasa & tuan rumah sudah susah-susah mengangkat makanan jangan menolak tak mahu makan dengan alasan sudah kenyang atau sudah makan!

*Kata DDAAM: Menjaga hati lebih baik daripada menjaga body!

  1. Kisah ini juga ada diceritakan panjang dalam firman Allah ini:
    {Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
    Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).
    Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.
    (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)”. Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.} (Adz-Dzaariyaat 51: 25-28)

قَالُوا۟ لَا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَٰمٍ عَلِيمٍ ‎﴿٣٥﴾

Ayat 53- {Mereka menjawab: “Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu”.} (Al-Hijr 15:53)

  1. Malaikat lalu menjawab:
    i- Janganlah engkau takut,
    ii- sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu”.
  2. Nota [498]- Anak itu ialah Ishaq yang kemudiannya akan menjadi nabi.
    Anak yang alim dengan Syari’ah dan akan menjadi nabi pula!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {(Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: “Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?”} (Adz-Dzaariyaat 51:29)

Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui”.} (Adz-Dzaariyaat 51:30)

ii- {Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.} (Hud 11:71)

قَالَ أَبَشَّرْتُمُونِى عَلَىٰٓ أَن مَّسَّنِىَ ٱلْكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرُونَ ‎﴿٤٥﴾

Ayat 54- {Nabi Ibrahim berkata: “Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?”} (Al-Hijr 15:54)|

  1. Mendengar berita malaikat itu Ibrahim begitu terkejut dan bertanya benarkah berita itu, bagaimana mungkin kerana dia adalah seorang lelaki yang sudah tua!
  2. Bukan Nabi Ibrahim tidak yakin dengan kuasa Allah cuma dia sangat terkejut & tidak percaya ketika mula-mula mendengarnya, kerana pada adatnya tiada harapan lagi untuk mempunyai anak kerana usia lanjutnya!

 قَالُوا۟ بَشَّرْنَٰكَ بِٱلْحَقِّ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْقَٰنِطِينَ ‎﴿٥٥﴾

Ayat 55- {Mereka menjawab: “Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa”.} (Al-Hijr 15:55)

  1. Malaikat menjawab dan meyakinkan Ibrahim bahawa berita yang mereka sampaikan itu betul tanpa syak & ragu lagi!
    Memang Allah nak beri anak kepadanya!
    *Bukan prank atau April-fool!
  2. Malaikat juga menasihati Ibrahim agar jangan menjadi orang yang putus harap dengan rahmat Allah.
    Terimalah khabar gembira ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.
  3. Kata ulama’ tarbiyyah: Antara hak seorang anak- ibu bapa, datuk-nenek mesti bergembira dengan khabar menerima rezeki anak!

Barulah anak itu akan menjadi baik dan sesuatu yang ditunggu dengan gembira.

  1. Rezeki Allah itu tidak salah alamat, tercepat atau terlambat- kita bersyukur & gembiralah dengan apa yang diberikan Allah samada cepat atau lambat- semuanya tempoh yang telah ditaqdirkan Allah!

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِۦٓ إِلَّا ٱلضَّآلُّونَ ‎﴿٦٥﴾

Ayat 56- {Nabi Ibrahim berkata: “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat”.} (Al-Hijr 15:56)

  1. Nabi Ibrahim menjawab pula kepada malaikat: Aku tahu apa yang terjadi adalah kekuasaan Allah. Aku tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah kerana hanya orang yang sesat yang berbuat demikian!

Cuma aku terlalu terkejut dan gembira dengan berita ini seolah sesuatu yang mustahil!

  1. Nota [500]- Yakni aku berasa hairan dengan berita sedemikian bukan kerana aku berputus asa dengan rahmat Tuhanku.
    Cuma aku berasa hairan kerana berita itu adalah sesuatu yang luar biasa!

قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا ٱلْمُرْسَلُونَ ‎﴿٧٥﴾

Ayat 57- {Nabi Ibrahim bertanya pula: “Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?”} (Al-Hijr 15:57)

  1. Setelah hilang ketakutan dan panik, dapat hadam menerima berita gembira yang disampaikan kepadanya, Ibrahim bertanya pula kepada malaikat.
  2. Apakah tujuan mereka dihantar Allah itu- kerana nabi Ibrahim tahu pasti ada tugas khas untuk malaikat itu apabila mereka turun dari langit selain daripada memberi khabar gembira kepadanya!

قَالُوٓا۟ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمٍ مُّجْرِمِينَ ‎﴿٨٥﴾

Ayat 58- {Mereka menjawab: “Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka)”.} (Al-Hijr 15:58)

  1. Malaikat menyatakan bahawa mereka diutuskan Allah untuk membinasakan satu kaun yang berdosa.
  2. Nota [901]- Yakni selain dari menyampaikan berita gembira ini kepada tuan, kami juga diutuskan untuk membinasakan satu kaum yang berdosa.
    Puak yang terkeji itu mereka akan dibinasakan!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan), mereka berkata: “Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim”.} (Al-‘Ankabuut 29:31)
  4. Mendengar itu Ibrahim terkejut dan memberitahu malaikat bahawa dalam kaum itu ada nabi Lut- jangan sampai dia dibinasakannyanya!
    Nabi Ibrahim bimbangn akan keselamatan Nabi Lut, pengikutnya atau ada yang kata anak saudaranyg yang beriman!
  5. Ini sebagaimana firman Allah ini:
    {Nabi Ibrahim berkata: “Sebenarnya Lut ada di bandar itu”. Mereka menjawab: “Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) – kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan”.} (Al-‘Ankabuut 29:32)

إِلَّآ ءَالَ لُوطٍ إِنَّا لَمُنَجُّوهُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٩٥﴾‏

Ayat 59- {“Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya,} (Al-Hijr 15:59)

  1. Malaikat menenangkan nabi Ibrahim dan menyatakan bahawa mereka tahu siapa yang ada di Qura Sadum itu & tahu siapa yang beriman siapa tidak.

Sesungguhnya mereka akan menyelamatkan Nabi Lut dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) yang beriman!

إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ قَدَّرْنَآ ۙ إِنَّهَا لَمِنَ ٱلْغَٰبِرِينَ ‎﴿٠٦﴾

Ayat 60- {“Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)”.} (Al-Hijr 15:60)

  1. Malaikat menyatakan kecuali isteri nabi Lut, dia adalah dari orang-orang yang akan dibinasakan.
  2. Ini kerana dia bersubahat atau berkomplot dengan kaum Lut yang jahat itu.

Peringatan: Bukan dia sendiri (isteri Lut) yang melakukan perbuatan keji LGBT itu; cuma dia menjadi tali-barut kepada mereka!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 51- {Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim.}– ayat ini mengisbatkan bahawa wujudnya malaikat.

Malaikat ini adalah makhluk yang wujud, hidup dan ada, boleh bercakap, boleh berupa menjadi pelbagai rupa termasuk manusia dan duduk bersama manusia.

Tetapi jika tak tahu kita tidak akan cam dan mengenali mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ini tidak kenal bahawa tetamunya adalah malaikat.

Begitu juga pada zaman Rasulullah s.a.w malaikat pernah beberapa kali menyamar seperti manusia dan muncul di kalangan para sahabat dan mereka melihatnya:

i- ketika Jibrail menyampaikan wahyu tentang agama dalam hadis Iman, Islam & Ihsan.

Malaikat berupa sebagai seorang lelaki tampan yang amat hitam rambutnya, amat putih bersih pakaiannya!

ii- malaikat juga sering berupa seperti seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi.
Dihyah adalah seorang yang indah penampilan dan sifatnya juga- yakni cantik luar & dalam.

iii- dalam peperangan Badar ada sahabat yang nampak malaikat mengejar puak kafir!

Kita sendiri pun tidak tahu samada kita pernah bertemu malaikat atau tidak.

Boleh jadi orang yang tidak dikenali, yang menegur kita di tepi jalan itu adalah malaikat yang berupa manusia- wallahu a’lam!

Hadis- Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada sahabat tentang satu kisah yang pernah berlaku suatu masa dahulu.

Kisah tersebut menceritakan tentang persahabatan dua orang sahabat kerana Allah Ta’ala untuk mencari keredhaanNya.

Pada suatu hari salah seorang dari sahabat itu ingin menziarahi sahabatnya yang tinggal di sebuah kampung yang lain.

Lalu Allah Ta’ala telah mengutus malaikat untuk bertemu dengan lelaki itu.

Malaikat yang menyamar sebagai manusia itu lalu bertanya kepada lelaki itu, “Ke mana engkau ingin pergi?”
Lelaki itu menjawab: “Aku ingin pergi bertemu sahabatku di kampung ini.”
Lalu disoal lagi lelaki itu tentang tujuannya menziarahi sahabatnya itu.
Lelaki itu menjawab dengan jawaban yang amat indah mengenai sebab sahabatnya, iaitu: “Aku mengasihi sahabatku kerana Allah Ta’ala.

Maka malaikat itupun terus memberitahunya bahawa dirinya adalah malaikat yang disuruh untuk memberitahu lelaki itu bahawa Allah Ta’ala mengasihinya sebagaimana dia mengasihi sahabatnya kerana Allah Ta’ala. [HR Muslim].

Mungin juga kita pernah besentuh tangan dengan malaikat maut ketika kita berada di sisi keluarga kita yang menghadapi sakaratul-maut dan malaikat datang untuk mencabut nyawanya, tetapi kerana belum tiba lagi ajal kita kalau bersentuh pun tak apa.

  1. Ayat 51- {Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim.}
    Allah suruh ceritakan tentang tetamu nabi Ibrahim a.s.

Maka timbul persoalan:
Apakah ini menunjukkan syarat untuk menjadi tetamu itu mesti makan di rumah kita???
Jika tak makan atau puasa maka apakah tidak dikira tetamu????

Jawapannya kata para ulama’:
Jika dia datang sebagai tetamu; Makan atau tak makan jika seseorang itu masuk ke rumah kita dengan beri salam dan masuk dengan keizinan maka itu adalah tetamu yang mesti dirai & dihormati.

*Jika pencuri atau perompak akan masuk tanpa izin & pengetahuan- itu bukan tetamu tetapi penjahat!

Tetamu pula kena merai usaha tuan rumah untuk merai tetamu- jika diangkat air minumlah, ada makanan- makanlah sedikit- jangan mengecilkan hati mereka yang telah bersusah untuk melayan kita!

Jangan di depan makanan yang telah diangkat- bersungguh menolak, tak sentuh lansung dengan alasan sudah makan, sudah kenyang atau ada janji nak pergi makan dengan orang lain pula lepas ini!

Maka belajarlah adab antara hak tuan rumah ialah menjaga hatinya & raikan usahanya untuk merai & menjamu kita sebagai tetamu!

Sebagaimana yang dikatakan tadi menjaga hati orang yang baik lebih afdhal, lebih baik daripada nak menjaga body- dengan tak mahu maka kerana nak diet kononnya!

  1. Ayat 53- {Mereka menjawab: “Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu”.}– kata ulama’ ini menyatakan bahawa sunat untuk menerima khabar gembira ini dan mengucapkan tahniah untuk orang yang akan menerima anak!

Bukan ucap tahniah saja tetapi ucapkan doa sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w.

Boleh rujuk kitab Perisai Muslim:
https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…

Ibu bapa dan keluarga kena bergembira dengan khabar gembira akan menerima anak!

Bersyukurlah dengan rezeki yang Allah beri. Anak itu adalah anugerah (hibah) dari Allah, terimalah ia dengan baik dan penuh kesyukuran.

Setiap orang yang sudah berkahwin bersedialah untuk menerima anak-anak bila-bila masa saja, jangan marah kepada rezeki yang datang bukan seperti yang dirancangkan!

Manakala pasangan yang belum direzekikan Allah zuriat, bersabar dan jangan putus-harap kepada rahmat Allah, berdoa dan usahalah setakat kemampuan kita selebihnya serahkan kepada Allah!

  1. Ayat 55- {Mereka menjawab: “… oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa”.}– orang beriman jangan sesekali putus harap dari rahmat Allah.

Kata ulama’ putus harap akan rahmat Allah ini tidak boleh dalam Islam.
Ini kerana putus harap dari Allah seolah kita berburuk sangka kepada Allah!
Seolah kita kata Tuhan tak mampu nak beri anak, nak beri zuria kepada kita!

Jangan putus harap di awal perjalanan, berusaha dan buatlah apa yang perlu dulu jangan putus harap dari rezeki Allah.

Jika masih tak dapat juga apa yang kita kehendaki maka kita bertawakkal kepada Allah, pasrah kepada taqdir Allah.
Mungkin ada taqdir lain yang lebih baik, yang Allah telah rancangkan untuk kita!

Larangan ini kerana orang yang berputus harap kepada Allah adalah satu dosa besar.

Kita berusaha dulu jika tak berjaya juga maka itu adalah taqdir dari Allah dan kita terimalahnya dengan redha dan tenang!
Setiap sesuatu berlaku dengan qadha’ & qadar Allah!

  1. Ayat 58- {Mereka menjawab: “Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka)”.}– malaikat ini turun ke dunia samada bawa rahmat atau bawa azab Allah!

Peranan dan tugas malaikat itu besar.

Merekalah yang menurunkan wahyu kepada para rasul, membawa rahmat kepada orang yang soleh atau membawa azab kepada golongan yang celaka mengikut perintah Allah!

Ada malaikat rahmat yang menjaga kita iaitu malaikat hafazah, juga Kiraman Katibin yang menulis segala amalan, perbuatan & perkataan manusia!

Ayat 59- {“Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya,}. Ayat 60- {“Kecuali isterinya;…}– dalam ayat ini menunjukkan bahawa seorang isteri itu adalah dikira sebagai ahli keluarga kepada suaminya.

Ada sesetangah kumpulan manusia yang mengatakan isteri adalah bukan dari ahli keluarga seorang suami.

Ini kerana mereka mahu mengeluarkan para Ummul-Mukminin isteri Nabi s.a.w daripada golongan ahlul-Bait atau keluarga Nabi.

Ini adalah puak Syi’ah Rafidha yang membenci UM Aisyah r.a dan lain-lain.

Dari ayat ini kita dapat lihat bahawa Nabi Ibrahim adalah seorang yang prihatin dan cakna kepada pengikutnya apabila dia mengingatkan malaikat bahawa dalam kaum yang mereka nak binasakan itu ada Nabi Lut & keluarganya yang beriman!

Malaikat kata jangan bimbang mereka sudah mengetahui semuanya dan tidak akan menbinasakah Lut dan keluarganya yang beriman!

Kita para pendakwah juga begitulah kena ingat, kena kenal anak murid yang setia, yang rapat, yang rajin belajar dan menyokong perjuangan kita.
Agar kita dapat ambil tanggung-jawab dan cakna akan keadaan mereka.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 07/04/2026 / 18 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=921956607321527&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top