View Categories

(6) Surah Al-Hijr: Ayat 21-25

14 min read

Khazanah Dunia Di Bawah Kuasa Allah, Peranan Angin & Allah S.W.T Tentukan Kedudukan Manusia

Live Pagi Khamis 02/04/2026 / 13 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (06) Ayat [21-25]

Full video: https://youtu.be/6NlEahHlV4E?si=5GyGyJqYJFv1WIKp

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 21 sehingga ayat 25 dalam juzuk keempat-belas.

*Peringatan:
Sesiapa berpuasa pada hari ini insya’ Allah akan dapat 3 dalam 1;
Puasa hari khamis, puasa hari putih & puasa 6 syawal.
Kita hanya perlu niat puasa Syawal sahaja.

Kita juga boleh berpuasa esok hari Jumaat sempena 15hb (hari putih) kerana sudah berkembar dengan hari ini kerana puasa Jumaat saja tidak elok.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa khazanah dunia di bawah kuasa Allah s.w.t.

Kita hanya menerimanya sahaja, Tuhan bagi banyak mana kita terima.

Yang menjadi masalah apabila yang Tuhan tak bagi pun kita nak juga!

Yang bukan hak kita pun kita nak rempuh masuk juga, halal haram tak kira, apabila usaha cara betul tak dapat cuba acara belakang, rasuah, ugut atau dengan scam dan lain-lain.

Takkan kaya & berkat orang yang dapat harta dengan cara tak halal!

  1. Kemudian Allah nyatakan peranan angin- angin yang besar dan kuat, angin ribut yang membawa kebinasaan, manakala angin yang sepoi-sepoi bahasa mendebungakan bunga dan menyejukkan udara & angin yang kencang menolak & mengumpul awan.
  2. Allah juga nyatakan peranan hujan menghidupkan tumbuhan yang menjadi rezeki bagi haiwan & tumbuhan!
  3. Kemudian Allah s.w.t kata Dia tahu tentukan kedudukan manusia, yang dulu yang kemudian, yang baik yang tak baik- semuanya di bawah ilmu & kekuasaan Allah s.w.t.

Semua kita akan dikumpulkan di hadapan Allah s.w.t untuk menerima balasan atas segala perbuatan kita!

  1. Sentiasalah kita amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada Saidina Muaz agar membacakan doa ini di penghujung solat. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
    اَللّهمَّ اَعِنِّيْ عَلىَ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
    Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingatiMu dan mensyukuri segala nikmatMu serta beribadah kepadaMu dengan baik.” [HR Abu Daud (1522)].

*Tiga permohonan ini jika Allah kabulkan- kita akan tenag di dunia & bahagia di Akhirat.

Ya Allah jadikan kami dari orang yang sentiasa berzikir & bersyukur!

*Semua bacaan & doa ini ada dalam kitab Perisai Muslim:
https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang bahawa bajet rezeki setiap makhluk atas dunia ini Allah telah sediakan.
Kamu hanya penerimanya saja!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan sebab- sumber rezeki itu datang dari mana.

Iaitu semua Khazanah, gedung rezeki, kadar yang disediakan diperuntukkan kepada setiap orang serta kuncinya adalah di sisi Allah.

Dia-lah Pemilik sepenuhnya- Allah jadikan awan mengumpulkan air lalu turun sebagai hujan di mana saja Allah perintahkan!

*Ada ulama’ fokuskan maksud rezeki dalam ayat ini ialah hujan.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ ‎﴿١٢﴾

Ayat 21- {Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.} (Al-Hijr 15:21)

  1. Allah nyatakan segala taqdir & khazanah rezeki itu di sisi Allah tetapi sebabnya kadang-kadang berpunca dari manusia- kerana itu kita kena sentiasa berusaha mencari rezeki, mengelakkan peperangan & kekacauan!
    Jika kamu yang cari pasal kamu terimalah risikonya!
  2. Nota [486]- Khazanah {خَزَآئِنُهُۥ} ialah tempat menyimpan kekayaan atau sumber yang tidak akan pernah kering atau habis walau bagaimana dibelanjakan!

*Khazanah atau simpanan manusia sekejap saja kering- lihat saja sumber minyak hari ini sekejap saja berlaku perang terus tersekat atau habis!

  1. Kemudian Allah nyatakan Dia tidak turunkan hujan, rezeki dan apa saja mengikut kadar & masa yang telah ditentukan Allah s.w.t- tidak bertambah atau berkurang.
    Ianya mengikut kehendak & hikmat kebijaksaan Allah s.w.t!
  2. Ini kerana Allah tahu & kenal hamba-Nya.
    Ada orang yang jika dapat rezeki bersyukur, tawadhuk dan banyak ibadat, tetapi ada orang yang apabila kaya angkuh sambung & takabbur!

*Seperti Qarun yang binasa dek harta, kaya cepat jadi angkuh dan mula lupa.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.} (Ar-Ra’d 13:8)

*Yakni Allah tahu ada bajetnya, jika lebih bahaya!

Seperti manusia ini jika dapat lebih daripada yang sepatutnya akan menjadi sombong & lagha, atau air hujan jika turun lebih akan menjadi banjir yang membahayakan.

ii- {Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.} (Asy-Syuura 42:27)

  1. Kerana itu sebagaimana doa yang diajar oleh Nabi s.a.w kita minta doa rezeki yang baik yakni yang sesuai dan mencukupi bagi kita.

Doa dibaca selepas salam solat Subuh:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

*Nabi s.a.w tak ajar minta rezeki yang banyak tetapi rezeki yang baik- yakni mencukupi, berkat dan membawa kebaikan.

وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ ‎﴿٢٢﴾‏

Ayat 22- {Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.} (Al-Hijr 15:22)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan dalil tanda kekuasaan Allah di langit & di bumi!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan satu lagi tanda kekuasaan Allah s.w.t antara langit dan bumi iaitu awan yang mengandungni hujan.

Hujan akan turun di tempat dengan perintah Allah & mengikut kadar yang telah ditetapkan!

  1. Allah nyatakan tugas atau peranan angin yang Allah tentukan:

i- angin sebagai pembawa air atau membenihkan awan untuk menghasilkan hujan.

ii- dan pemindah benih tumbuhan dengan pendebungaan; untuk menumbuhkan tumbuhan!

  1. Hadis:
    عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رضي الله عنه قَالَ: “كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اشْتَدَّتْ الرِّيحُ يَقُولُ:
    اللَّهُمَّ لَقْحًا لَا عَقِيمًا

Apabila angin itu kencang Rasulullah s.a.w membaca doa ini:

اللَّهُمَّ لَقْحًا لَا عَقِيمًا

Ya Allah jadikan angin ini pembawa benih- bukan angin yang membawa azab! [HR Ibnu Hibban & Hakim].

  1. Ingatlah bahawa hujan turun kerana rahmat Allah & hujan tidak akan turun, tersekat dengan sebab dosa manusia.

Kita sekarang ini zaman gawat; gawat minyak, gawat ekonomi, gawat akhlak, gawat undang-undang peraturan dan sebagainya!

Maka musim-musim gawat ini jangan banyak bergalak- lebihkan tawadhuk & ingat kepada Allah!

  1. Apabila angin menolak awan dan awan telah membenih dengan baik maka dengan itu Allah menurunkan air hujan dari langit, menjadi rezeki kepada kita makhluk di bumi ini, untuk minum, siraman tanaman dan pelbagai kegunaan lagi.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya.
    Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.} (Al-Nahl 16:11)
  3. Kemudian Allah kata kamu manusia tidak boleh nak turunkan hujan dan apabila hujan turun kamu tidak pandai pula nak simpan air itu!

Walaupun hari ini sudah ada teknologi & manusia pandai membenihkan awan untuk hujan tetapi setakat mana saja ia dapat membantu!

  1. Ulama’ memberi beberapa pendapat tentang firman Allah ini {… dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.}:

i- kamu tak boleh nak simpan air di langit dan menurunkannya bila masa kamu mahu!

ii- apabila hujan turun kamu tak pandai nak simpan air itu!

Yakni Allah telah turunkan air hujan yang banyak sehingga banjir pun ada; tetapi manusia tak mampu, tidak berkuasa untuk menyimpannya!

  1. Walaupun ada beberapa empangan ia masih tidak dapat menampung krisis kekurangan & ketiadaan air di negara kita!

Walaupun air banjir begitu banyak tetapi ia hanyut ke sungai dan hilang di laut begitu saja!

  1. Allah jadikan pokok-pokok di atas bukit sebagai takungan air tetapi manusia menebangnya dan menggondolkan bukit-bukau pula!
    Allahu al-Musta’an!

وَإِنَّا لَنَحْنُ نُحْيِي وَنُمِيتُ وَنَحْنُ الْوَارِثُونَ ‎﴿٣٢﴾‏

Ayat 23- {Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.} (Al-Hijr 15:23)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah sebut hujan yang turun; Allah sebut juga tentang air hujan yang tersimpan dalam takungan perut bumi, dalam sungai, air terjun, empangan sungai dan seumpamanya yang menjadi kegunaan & rezeki manusia.

ii- kemudian Allah nyatakan yang menghidupkan & mematikan semuanya di bawah kuasa Allah bukan dengan kuasa air.
Air & hujan itu hanya menjadi sebab saja.

*Ikan dalam selut kering boleh hidup, unta di padang pasir boleh hidup- tetapi kita manusia ini manja!

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa hanya Allah yang mempusakai menjadi Pemilik & Tuan dunia ini { وَنَحْنُ ٱلْوَٰرِثُونَ}.

Manusia ini hartanya rumahnya segalanya akan menjadi milik orang lain apabila dia mati!

وَلَقَدْ عَلِمْنَا الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنكُمْ وَلَقَدْ عَلِمْنَا الْمُسْتَأْخِرِينَ ‎﴿٤٢﴾

Ayat 24- {Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang segera (berbakti) di antara kamu, dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang lambat.} (Al-Hijr 15:24)

  1. Munasabah ayat:

i- apabila Allah menyatakan bahawa Dia yang menghidup dan mematikan;

ii- maka dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa Dia mengetahui segala perkara & keadaan kamu, orang dahulu orang kemudian, orang malas & rajin ibadat dan lain-lain.

  1. Maka kita kena sedar & ingat bahawa kita semua berada di bawah ilmu & pengawasan Allah s.w.t- maka jangan malas & culas, tingkatkan ibadat kepada Allah!
  2. Kata al-Qurtubi: Ada 8 takwil dari ulama’ tafsir tentang ayat ini- {orang-orang yang segera (berbakti) di antara kamu,- ٱلْمُسْتَقْدِمِينَ} vs
    {orang-orang yang lambat- ٱلْمُسْتَـْٔخِرِينَ}:

i- orang yang dahulu Allah tahu vs orang kemudian Allah tahu juga.

ii- orang yang telah mati vs orang yang masih hidup.

iii- umat terdahulu vs umat Muhammad s.a.w.

iv- orang yang kuat buat ketaatan, laju buat amal ibadat vs orang pemalas; tempat ibadat malas tempat maksiat cepat.

v- orang yang berada di depan saf peperangan vs orang yang berada di saf belakang tunggu nak kutip barang!

vi- orang yang telah mati syahid vs orang yang masih hidup menunggu untuk mati syahid.

vii- makhluk yang terawal seperti langit bumi cakerawal vs makhluk baru yang akan berlaku seperti manusia yang baru lahir.

viii- orang duduk saf depan dalam solat jemaah di masjid vs orang duduk saf belakang hujung dunia!

*Tambahan AAM:
Allah tahu juga tentang orang duduk saf depan dalam majlis ilmu & kuliah vs orang yang duduk jauh dari ustaz, berselindung di sebalik tiang dan bucu-bucu dinding masjid!

وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحْشُرُهُمْ ۚ إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ ‎﴿٥٢﴾

Ayat 25- {Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya; sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Hijr 15:25)

  1. Ilmu Allah s.w.t luas & merangkumi semuanya Dia mengetahui semuanya, yang awal dan yang akhir, siapa yang rajin siapa malas, siapa ikut Sunnah siapa tak ikut Sunnah.
  2. Kemudian dengan ilmu-Nya yang penuh dengan kebijaksaan Allah akan balas semuanya yang baik atau yang buruk!

Semoga kita mendapat balasan yang terbaik!!!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 21- {Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya…}– Allah kata semua rezeki ini- khazanah & gedung perbendaharaan atas dunia ini adalah milik Allah s.w.t dan kuncinya di bawah kekuasaan-Nya.

Tetapi kita sebagai manusia tetap kena usaha, berkerja mencari rezeki bukan hanya menunggu saja itu manusia tidak waras.

Kata Imam Ibnu Hajar: Ayat ini menjadi dalil kepada pegangan mazhab Salaf bahawa semua perkara itu terjadi dengan taqdir Allah Azza wa Jalla.

Kita kena usaha cuba buat yang terbaik tetapi yang mentaqdirkan semua perkara itu berlaku, hanya Allah Azza wa Jalla.

Allah yang mempunyai kkhazanah, Pemilik semua gedung & semua yang berlaku atas dunia ini di bawah ilmu & kuasa Allah!

Jika kita sebagai pegawai atau penguasa jangan kata kita yang mempunyai kuasa mememberi semua rezeki itu tetapi kita hanya menguruskan rezeki yang diberi Allah!

  1. Ayat 22- {Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih;..}
    Allah utuskan angin sebab pembawa benih.

Hantar atau utusan ini {وَأَرْسَلْنَا}- ada dua:
i- utusan agama iaitu rasul-rasul yang Allah lantik.

Sebagaimana firman Allah: {وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦٓ -Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh kepada kaumnya…} (Hud 11:25)

ii- utusan kauni (alam) iaitu Allah hantar untuk alam ini seperti angin, awan hujan dan lain-lain – iaitu benda yang menjadi sebab mendapat nikmat!

Kita kena syukur dengan nikmat yang Allah beri- antara sebab kita mendapat nikmat ialah dengan sebab angin.

Kerana tugas angin yang banyak- meniup awan, mendebunga biji benih dan lain-lain.

  1. Ayat 23- {Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.}– Allah kata kuasa-Nya menghidupkan dan mematikan dan Allah-lah yang akan mewarisi bumi ini!

Kata ulama’- apakah maksudnya { وَنَحْنُ ٱلْوَٰرِثُونَ} Dan Kami mewaris bumi ini?

Jawapan:
Iaitu semua makhluk ini akan pergi & meninggal dunia dan meninggalkan harta yang ada sebanyak manapun!

Maka Allah kata Dia akan ambil balik harta yang ditinggalkan dan diberi kepada orang lain.

Makna perkataan pewaris (ٱلْوَٰرِثُونَ) itu ialah orang yang hidup yang mewarisi harta & apa yang telah ditinggalkan oleh orang yang mati.

Allah itu sahaja yang hidup yang berkuasa apabila rosak semua dunia dan alam ini!

Kerana itu kita jangan dok sayang kepada harta benda yang ada- jika sayang sungguh kita kena pastikan bahawa:

#hartakumilikku

Sebenarnya seperti yang dikempen oleh DDAAM.

Harta yang akan menjadi milik kita hanyalah:
i- apa yang kita makan lalu hancur;
ii- apa yang kita pakai/guna lalu lusuh;
iii- apay yang kita infaq fi-sabilillah.
*Yang lain akan ditinggalkan dan diterima oleh pewaris yang tinggal!

  1. Ayat 24- {Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orag yang segera (berbakti) di antara kamu, dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang lambat.}-

Allah mengetahui semuanya samada orang atau umat terdahulu & umat yang terkemudian.

Sebagaimana kata al-Qurtubi tadi terdapat 8 tafsiran atau takwilan tentang maksudnya ayat ini:
i- {orang-orang yang segera (berbakti) di antara kamu,- ٱلْمُسْتَقْدِمِينَ } &
ii- {orang-orang yang lambat- ٱلْمُسْتَـْٔخِرِينَ}

*Selengkapnya boleh lihat dalam tafsiran Ayat 24 di atas.

Ya Allah jadikan kami orang terawal dalam bab ibadat, dalam kebajikan serta menjadi orang yang terkemudian dalam bab maksiat & kemungkaran!

Dari ayat ini juga para ulama’ bawa 2 istinbat (bawa keluar hukum) yang menunjukkan:
i- kelebihan solat di awal waktu & berada di dalam saf depan solat jemaah.

ii- kelebihan orang yang berada di saf hadapan dalam peperangan kerana jika terkorban dia akan mati syahid awal.

  1. Ayat 25- {Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya; sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.}-

Kita semua manusia akan kembali kepada Allah, kita akan dihimpunkan di hadapan kelak!

Maka usahlah jadi manusia yang degil keras kepala tak dengar kata kerana semua amalan kita atas dunia ini akan dihiasab.

Sebagaimana kata ahli motivasi:
Suratan amalan yang kita nak baca di di hadapan Allah nanti- kitalah penulisnya!

Maka fikirlah apakah kita nak tulis- yang baik atau yang buruk!

Kita manusia ini- yang hidup akan mati, yang muda akan tua, yang sihat akan uzur- maka bersegeralah kita jangan menangguh-nangguh untuk bertaubat dan melakukan kebaikan & beribadat.

Selagi hayat di kandung badan kita masih berpeluang beribadat maka jangan sesekali kita lalai dan lemah dalam beribadat atau buat kejahatan dosa & maksiat!

Dalam muamalat kerja buat kita dengan manusia pula; jika kita tak telus, kita khianat, tidak ikhlas, banyak menipu kelentong orang atau mengambil hak orang- maka bertaubatlah segera sebelum kita dicekup oleh malaikat maut!

Jika tidak tunggulah apa yang disoal oleh malaikat di dalam kukbur nanti!

Atas dunia ini kita banyak tanggung-jawab maka di Akhirat kelak- semua kita akan dipertanggung-jawabkan dengan apa yang kita buat!

Ya Allah akhirkanlah hidup kami dengan husnul-khatimah, jadikan kami orang yang baik, yang ikhlas dalam perjalanan & perjuangan dan mudahkan kami untuk tinggalkan maksiat & mungkar!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 02/04/2026 / 13 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=917952931055228&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top