Teruskan Berdakwah, Allah Jaga Nabi S.A.W Dari Para Penghina & Lapangkan Dada Dengan Beribadat.

Live Pagi Selasa 14/04/2026 / 25 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (14) Ayat [94-99]
Full video: https://youtu.be/ubR7hIs3Z14?si=9jZGWZU70IL96izY
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri terakhir tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 94 sehingga ayat 99 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tugas Nabi s.a.w walaupun ditentang, diancam, diganyang tetapi tetap kena teruskan berdakwah, sampaikan wahyu Allah ke teinga manusia semoga ia sampai di hati.
Usah hiraukan tentangan mereka yang keras kepala tak dengar kata semoga Allah anugerahkan kepada kita yang terbaik!
- Kemudian Allah jamin bahawa Dia akan jaga Nabi s.a.w dari para penghina yang sentiasa menghina dan menentangnya!
Allah perintahkan juga Nabi s.a.w agar sentiasa lapangkan dada dengan beribadat dan bertasbih.
- Bagaimana nak lapangkan dada & tenangkan hati ini?
Tasbih & zikir kepada Allah, perbanyakkan solat dan ibadat lain adalah satu cara untuk tenang & lapangkan dada.
Maka teruskan beribadat sehingga kamu mati- ini perintah Allah kepada kita! - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang bagaimana puak kafir bermain-main dengan Kitab Allah- apa yang dia nak, dia ambil; apa yang dia tak nak, dia tinggal.
Mereka juga perli main dengan mengatakan al-Quran adalah kitab sihir jampi serapah atau dongeng orang terdahulu!
ii- maka dalam ayat ini Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk zahirkan & nyatakan ajarannya dan berdakwah secara terang-terangan bukan bersembunyi-sembunyi lagi.
Ini kerana pada awal Islam Nabi s.a.w hanya berdakwah secara rahsia (senyap & sembunyi) kerana takut akan tentangan & tekanan musyrikin Quraisy.
Kali ini Allah kata bangun, jangan takut- dengan jaminan Allah; berdakwahlah secara all out!!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٤٩﴾
Ayat 94- {Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.} (Al-Hijr 15:94)
- Allah s.w.t menyuruh Nabi s.a.w sampaikan secara terang-terangan, zahirkan apa yang diperintahkan Allah kepadanya!
Nyatakan yang benar serta apa yang batil agar dapat ditegakkan hujjah ke atas manusia semua.
Ini benar ini sesat, ini tauhid ini syirik, ini Sunnah ini bid’ah!
- Allah juga perintahkan Rasulullah s.a.w agar berpaling atau jangan hiraukan puak kafir yang memerli hina, membantah, yang cuba menyekat dari disebarkan agama Allah!
- Ada ulama’ kata ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat perang.
Ada juga ulama’ kata ayat ini tidak dimansukhkan tetap ada hukumnya. - Kata Ibnu Juzai maksudnya {dan janganlah engkau hiraukan} :
i- jika maksudnya berlawan dan berhujjah dengan lisan maka ayat ini tidak mansukh kerana perlawanan itu tidak semestinya dengan pedang- ia boleh jadi dengan mulut atau hujjah!
ii- tetapi jika maksudnya peperangan dengan pedang; maka ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat jihad kerana kita diperintahkan untuk melawan apabila diperangi!
إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ ﴿٥٩﴾
Ayat 95- {Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,} (Al-Hijr 15:95)
- Munasabah ayat:
i- apabila Allah suruh berlawan- maka pastilah ada ancaman dan tindak-balas dari puak kafir yang keras, ganas dan agresif dalam perlawanan.
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan kepada Rasulullah s.a.w tidak mengapa kamu berlawanlah- sesungguhnya Allah jamin akan jaga, kawal, bela & tolong kamu dari segala kejahatan mereka itu!
- Apabila mendapat jaminan dan janji Allah ini pastilah akan memberi semangat dan kekuatan jiwa kepada Nabi s.a.w.
Allah kata: Kami akan jaga kamu wahai Muhammad s.a.w- siapa yang perli main-mainkan kamu, “nganyim” hina apa yang kamu bawa ini Kami akan kalahkan mereka!
*Bukan seperti pengikut yang hanya akan menyokong dari belakang atau dari jauh saja- semuanya nak play safe!
- Sebagaimana kata-kata almarhum TG Haji Nik Abdul Aziz: Kita sebagai pendakwah ini seumpama sebuah kereta di atas jalan raya- apabila melihat lampu hijau kita terus bergerak, apabila lampu kuning kita perlahankan kenderaan dan berjaga-jaga, manakala jika lampu merah pastilah kita kena berhenti untuk mengelakkan kemalangan!
Tetapi jangan matikan enjin, berhenti dan tunggu sehingga lampu hijau semula untuk kita teruskan perjalanan!
Begitulah analogi perjalanan dakwah juga jika ada halangan dan sekatan kita perlahankan dan tengok suasana dulu- jika keadaan mengizinkan kita teruskan usaha dakwah!
- Sebagai pendakwah kita jangan mudah koyak, mudah putus-asa, lemah dan jatuh dengan sedikit tekanan dan tentangan dari musuh yang menghalang!
Ingatlah Allah akan menolong para pejuang pada jalan-Nya. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.} (Al-Maaidah 5:67) - Kisah tiang pengawal dalam Masjid Nabi s.a.w- tempat para sahabat duduk berkawal di hadapan rumah Nabi s.a.w sebelum turun ayat ini.
Boleh baca cerita lanjut dalam buku ini:
Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
- Jangan takut kerana Allah akan jaga Nabi s.a.w dari gangguan manusia!
Siapakah manusia itu????
الَّذِينَ يَجْعَلُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ ۚ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ ﴿٦٩﴾
Ayat 96- { (Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).} (Al-Hijr 15:96)
- Iaitu Allah akan jaga Nabi s.a.w dari manusia yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, yakni mereka buat syirik kepada Allah- mengadakan sekutu kepada Allah dalam ibadat & tempat meminta pertolongan!
- Mereka yang derhaka & syirik ini; maka mereka akan mengetahui kelak akibatnya di Akhirat kelak!
Apabila azab datang, neraka sudah menyala di depan mata baru mereka tahu akibatnya!!!
وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ ﴿٧٩﴾
Ayat 97- {Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.} (Al-Hijr 15:97)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat lepas Allah nyatakan mereka akan tahu akibat dari perbuatan mereka kelak!
Tetapi lama tempoh sebelum akibat atau hukuman ke atas kafir itu datang!
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan hikmah kenapa ditangguhkan hukuman ke atas puak kafir yang jahat itu.
- Allah kata Dia tahu: Sebagai manusia pastilah Nabi s.a.w akan terasa sempit dada & sedih hatinya apabila mendengar akan pendustaan, perlian, hinaan dan pelbagai tuduhan jahat yang dibuat oleh puak kafir musyrikin itu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).} (Al-An’aam 6:33)
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ ﴿٨٩﴾
Ayat 98- {Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.} (Al-Hijr 15:98)
- Maka Allah ajar- apabila kamu susah hati dengan perbuatan puak kafir- jangan cari jalan lain untuk menghilangkan kesedihan & bala itu, tetapi dengan; banyakkan berzikir mengingati Allah dan solat sujud kepada Allah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.} (Ghaafir 40:55)
*Ini adalah ubat yang paling mujarab kerana ia diajar oleh Allah s.w.t sendiri!
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ ﴿٩٩﴾
Ayat 99- {Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.} (Al-Hijr 15:99)
- Allah perintahkan bahawa kita kena solat pagi petang siang malam dan mennyembah Allah sehingga datang kepada kita perkara yang tetap yakin!
- Nota [513]- perkara yang tetap dan diyakini kedatangannya itu ialah mati!
Iaitu mati sebagai tunangan kepada hidup! - Ayat suci ini menegaskan bahawa wajibnya untuk menunaikan solat 5 waktu selagi akal masih waras &.Yakni selagi tak mati- sembahlah Allah!
- Dalil hadis- kisah kematian Uthman bin Maz’un R.A. yang sering dikaitkan dengan kedatangan “keyakinan” (maut) merujuk kepada hadis sahih di mana Rasulullah S.A.W bersabda, “Adapun beliau (Uthman), demi Allah, yakin (maut) telah datang kepadanya. Aku benar-benar mengharapkan kebaikan baginya…”.
*Kata Imam Bukhari telah sepakat ahli tafsir mengatakan maksudnya {ٱلْيَقِينُ} di sini ialah mati! - Hadis- Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah seorang lelaki yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah; dia bergegas menuju ke tempat yang dia dengar adanya seruan peperangan atau tercium tanda bahaya.
Dia terus maju, mencari syahid atau kematian di tempat yang diharapkan.
Dan seorang lelaki yang beruzlah dengan beberapa ekor kambing di lereng gunung atau di sebuah lembah.
Dia mendirikan solat secara tetap dan membayar zakat, terus beribadah kepada Tuhannya sehingga maut menjemputnya.
Dia tidak mencampuri urusan manusia kecuali untuk kebaikan.” [Riwayat Muslim]
*Yakni pada akhir zaman manusia ini samada berperang jika berani atau lari beruzlah duduk sorang di bukit sehingga datang kematian.
*Sekarang ini nak beruzlah marilah duduk di pondok kita ini!
Penutup & Faedah #
- Ayat 94- {Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad),..}– dalam ayat ini Allah s.w.t arahkan Nabi s.a.w agar terus berjuang.
Ini bermakna marhalah dakwah pada peringkat awal adalah secara tersembunyi senyap-senyap.
Pusat dakwah pada waktu ialah di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam yang terletak di hujung bukit Safa.
Dakwah dilakukan secara rahsia oleh Nabi s.a.w & beberapa orang sahabat yang awal.
Tetapi apabila datang ayat ini tidak boleh lagi secara rahsia; Allah suruh nabi s.a.w bangkit melawan puak kafir dan sebarkan dakwah secara zahir, Allah akan jaga kamu jangan bimbang!
Boleh baca buku Makkah Kelebihan & Sejarah ini yang cerita sirahnya ikut tempat- seperti dakwah pertama Nabi s.a.w adalah rumah al-Arqam secar rahsia kemudian Nabi s.a.w menyampaikan tentang dakwahnya secara terangan di atas bukit Safa!
Makkah Al-Mukarramah
https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…
Abu Lahab bapa saudara Nabi s.a.w sendiri bangun dan menyumpah celaka atas muka Baginda s.a.w.
Sehingga ke hari ini kita boleh sumpah Abu Lahab di dalam solat atau di luar solat
{ تَبَّتْ يَدَآ أَبِى لَهَبٍۢ وَتَبَّ-}
Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!.
Maka jelaskan kerja dakwah Nabi s.a.w tidak boleh lagi secara diam-diam!
- Ayat 95- {Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,}-
Allah beri jaminan kepada Rasulullah s.a.w bahawa Dia akan jaga Baginda dari kejahatan puak kafir musyrikin.
Ini adalah satu jaminan, takaful, insurans dari Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w!
Apabila Allah kata Dia akan jaga Nabi s.a.w sedangkan yang melawan Baginda adalah orang yang kuat kuasa, kedudukan, pangkat dan kekuatan senjatanya juga!
Dalam Kitab Tafsir al-Munir ini menamakan 5 orang penjahat kepala pengat Quraisy iaitu al-Walid bin al-Mughirah, al-As bin Wa’il, al-Harith bin Qais, al-Aswad Ibnu al-Muttolib & al-Aswad bin Abdu Yaghus- 5 orang ini datang mengkhianati & menyakiti Nabi s.a.w- maka mereka semua dijatuhkan hukum oleh Allah di atas dunia ini lagi!
Contoh; Al-Walid kena anak patah di kakinya lalu membawa maut, al-As bin Wa’il kena duri lalu mati! Al-Aswad Ibnul al-Mutolib luka di dalam mata lalu buta, al-Harith bin Qais, memburuk dalam hidungnya lalu mati manakala al-Aswad bin Abdu Yaghus ditimpa batang pokok lalu mati.
Ini adalah antara nama yang disebut, manakala para penyangak kafir yang selebihnya mati di Badar dan selepasnya.
Maka mereka akan mengetahui kelak apa yang akan jadi akibatnya dengan sebab kejahatan yang mereka buat!
- Ayat 95- {Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,}–
Allah sebut di sini orang yang perli mengejek-ejek dan mempersendakan {ٱلْمُسْتَهْزِءِينَ} Nabi s.a.w.
Kata ulama’ tadabbur: Perli ini biasanya dilakuakn dengan mulut sahaja.
Ini sebagai satu isyarat yang menunjukkan perbuatan yang paling rendah, mimimanya dalam menyakiti Nabi s.a.w ialah dengan mulut atau lisan!
Manakala maksimumnya ialah menyakiti tubuh badan Nabi s.a.w secara fizikal; seperti menyakiti dengan perbuatan, pukul Nabi sehingga luka & berdarah, curah perut unta, cekik leher dengan tali sehingga berbekas, letak duri di depannya dan seumpamanya!
Yakni ini menunjukkan bahawa jika dari perbuatan yang kecil pun Allah jaga- maka apatah lagi dalam perbuatan yang lebih besar lagi- pastilah lagi Allah akan jaga!
Kita kena ingat juga bahawa penentangan terhadap dakwah ini berperingkat-peringkat!
Ada tentangan yang kuat, ada yang tidak.
Contohnya- paling tidakpun orang perli kita, buat poster buruk, buat senarai yang buruk-buruk, lalu sebarkan agar orang benci & tidak suka kepada kita!
Padahal tidak pernah pun orang yang di fitnah itu bercakap buruk atau huduh!
Dari Sunnatullah- Allah akan jaga para nabi & pendakwah- tetapi bukan bererti mereka tidak ada ujian!
Betapa ramai para pendakwah yang ditangkap dan dipenjara tetapi semua itu ujian yang akan menguatkan mereka dan menambahkan pahala.
- Ayat 98- {Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.}-
Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk bertasbih & berzikir kepada Allah!
Ayat ini adalah tips bagaimana untuk menghilangkan stress, dukacita & susah hati iaitu dengan banyak bertasbih!
Oleh kerana (maqam) keadaan Nabi s.a.w pada waktu itu ialah di dalam keadaan sempit dada akibat tentangan & tekakan puak kafir; maka Allah ajar kepada Nabi s.a.w bagaimana cara untuk menghilangkan sempit dada itu.
Ia adalah dengan banyak istighfar ingat kepada Allah serta solat, berzikir bertasbih kepada Allah, banyak ibadat kepada Allah akan dapat menenangkan jiwa melapangkan dada & insya’ Allah kita akan selamat!
Nabi s.a.w sendiri apabila Baginda dalam susah & ada masalah- Baginda akan terus bangun bersolat!
Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi S.A.W meriwayatkan daripada Allah S.W.T, firman Allah S.W.T:
نعيم بن همار الغطفاني
يَا ابْنَ آدَمَ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ، أَكْفِكَ آخِرَهُ
Maksudnya: “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.” [HR al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)]
خلاصة حكم المحدث : صحيح
Tentang solat pada awal siang ini
{أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ}
Ada ulama’ kata:
i- adalah 2 rakaat solat subuh & 2 rakaat sunat fajar sebelumnya!
ii- ada ulama’ kata ia adalah 4 rakaat solat dhuha.
Jika kita jaga empat rakat solat di awal hari ini – insya’ Allah Allah akan jaga kita sehingga ke akhir hari atau petang!
Maka sesiapa nak tenang, siapa nak selamat, pagi-pagi solat Subuh berjemaah, baca zikir pagi, dengar kuliah jika ada kemudian solat dhuha 4 rakaat, insya’ Allah- Allah akan jaga kita sehingga ke petang!
Inilah ubat yang paling mujarab, zikir, solat ibadat akan tenang hati insya’ Allah!
- Ayat 99- {Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.}– kamu sembahlah Allah sehingga kamu mati!
Para ulama’ tafsir sepakat mengatakan maksudnya yakin { ٱلْيَقِينُ } di sini ialah MATI!
Ada sekumpulan kumpulan yang sesat (mulhid yang jahat) mengatakan yakin ini dengan makna makrifat!
Ini adalah satu darjat yang tertingi- apabila sudah sampai darjat yakin ini maka kita tak perlu solat lagi- kerana sudah kenal Tuhan!
Tingkatan darjat bagi mereka ialah; Syari’at, hakikat & makrifat.
Syari’at ini martabat paling rendah lagi masih kena solat, apabila dah tiba martabat makrifat dah tak perlu solat kerana dia sudah sampai darjat yakin!
Kata Ibnu Kathir rhm: Sesiapa yang mengatakan bahawa dia boleh keluar dari Syari’ah, boleh gugur dari ibadat kerana sudah sampai kepada martabat yakin – maka dia adalah seorang yang sesat, kufur & jahil.
Kerana itu kita lihat tokseh-tokseh ajaran sesat ini tidak solat, boleh bersalam dengan wanita ajnabi kerana tiada sekatan halal haram lagi mereka!
Ini kerana para anbiya a.s adalah orang yang paling dekat dengan Allah, paling kenal Allah, paling warak tetapi dalam masa yang sama mereka adalah orang yang paling kuat beribadat kepada Allah!
Nabi s.a.w sendiri mengaku dia sebagai orang paling bertaqwa, paling takut kepada Allah tetapi Baginda sendiri solat sehingga bengkak kakinya!
Maka jangan sesekali kita terpengaruh & percaya kepada ajaran sesat makrifat yang karut ini!
Ini semua karut jangan sampai kita terpengaruh dengannya!
Alhamdulillah pada hari ini tamatlah kuliah tafsir kita bagi surah al-Hijr dengan 14 siri kuliah!
Semoga kita semua mendapat faedah & berkatnya, diberi kekuatan untuk terus istiqomah & semangat untuk meneruskan pengajian kita dalam siri-siri seterusnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 14/04/2026 / 25 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=927195646797623&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
