View Categories

(9) Surah Al-Hijr: Ayat 45-50

13 min read

Para Muttaqin Dalam Syurga, Hati Tenang Tanpa Hasad & Allah S.W.T Maha Pengampun

Live Pagi Isnin 06/04/2026 / 17 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (09) Ayat [45-50]

Full video: https://youtu.be/r1MWNtb8Hjk?si=2v98_VSqJhQLRodr

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 45 sehingga ayat 50 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa para muttaqin berada dalam syurga yang terpancar mata airnya yang indah.
    Ahli syurga sifat & hatinya bersih.
  3. Ahli syurga hatinya tenang tanpa hasad dengki, tidak ada sifat saling membenci sesama muslim.

Kerana itu atas dunia ini lagi jangan kita mempunyai sifat hasad dengki ini kerana ia bukan sifat orang bertaqwa, bukan sifat ahli syurga!

  1. Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan sifat-Nya;
    i- Allah s.w.t maha pengampun bagi orang yang bertaubat.

ii- tetapi dalam masa yang sama azab Allah juga amat dahsyat bagi mereka ingkar melawan-Nya!!!
Siapa taat selamat, siapa lawan binasa!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang apa yang disediakan untuk ahli neraka, dari segala azab yang dahsyat!

ii- maka dalam ayat ini Allah sebutkan pula apa yang disediakan nikmat kepada ahli syurga!

*Apabila mendengar atau baca tentang ayat syurga & nikmat-Nya kita terus berdoa agar termasuk dalam golongan ini begitu juga sebaliknya!

Allah nak nyatakan perbezaan antara dua golongan ini- ahli neraka dalam azab manakala ahli syurga dalam nikmat yang tidak tergambar!

  1. Dalam ayat yang lepas Allah juga nyatakan bahawa neraka itu mempunyai tujuh pintu
    { لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَٰبٍۢ- laha sab’atu abwabin}.

Tentang penafsiran perkataan “sab’atu abwaab,” (tujuh pintu), terdapat dua versi pendapat:

i- maksudnya adalah tujuh tingkat atau tingkatan yang istilahnya disebut ad-Darakaat (ٱلدَّرْكِ -tangga berlapis-lapis)
Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
{Sungguh,-orang-orang munafik itu (di-tempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka- فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ } (an-Nisaa’: 145)

Sebab kekafiran memiliki tingkatan-tingkatan yang berbeza sesuai dengan tingkat kekafiran; maka tingkatan azabnya juga berbeza.

ii-maksudnya tujuh bahagian dan adalah setiap bahagian memiliki pintunya sendiri.

Bahagian atau pintu itu pula ada namanya sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Juraij: – جهنم، لظى، الحطمة، السعير، سقر، الجحيم، والهاوية
Jahannam, Lazhaa, Hutomah, Sa’iir, Saqar, Jahiim & Haawiyah- semua nama ini ada disebut dalam al-Quran.

  1. Kemudian ada ulama’ tafsir yang membahagikan neraka itu kepada penghuninya pula tetapi tiada nas yang sorih tentangnya:

i-Jahannam sebagaimana yang disebutkan oleh adh-Dhahhak, diperuntukkan bagi orang-orang beriman yang melakukan maksiat.

ii- Neraka Lazhaa untuk kaum Yahudi.
iii- Neraka Hutamah untuk kaum Nasrani.
iv- Neraka Sa’iir untuk kaum sobi’iin.
v- Neraka Soqar untuk kaum Majusi.
vi- Neraka Jahiim untuk orang-orang musyrikin (paganis).

vii- Sedangkan neraka Haawiyah adalah untuk orang-orang munafik.
Yakni neraka yang paling bawah, di dasarnya. Wallahu a’lam.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّٰتٍ وَعُيُونٍ ‎﴿٥٤﴾‏

Ayat 45- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.} (Al-Hijr 15:45)

  1. Allah nyatakan jaminan dan janji-Nya bahawa orang yang bertaqwa (yang ikut perintah Allah & menjauhi larangan-Nya) akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh nikmat.
  2. Antara sifat syurga itu ialah:
    i- beberapa taman Syurga,
    ii- dengan mata air-mata air terpancar padanya.
  3. Kata ulama’ maksud orang bertaqwa {ٱلْمُتَّقِينَ} di sini ialah:
    i- orang yang takut dari perbuatan syirik kepada Allah.
    Yang tahu membezakan antara batas syirik & iman.
    ii- orang yang takut dari melakukan dosa & maksiat kepada Allah!
  4. Beberapa firman Allah tentang orang bertaqwa balasannya syurga:

i- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.
Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya,} (Ad-Dukhaan 44: 51-52)

ii- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.
(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.} (Az-Zaariyaat 51: 15-16)

iii- {Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,
Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.} (Al-Qamar 54: 54-55)

Ya Allah jadikan kami orang yang layak menjadi penghuni syurga!

ٱدْخُلُوهَا بِسَلَٰمٍ ءَامِنِينَ ‎﴿٦٤﴾

Ayat 46- {(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman”.} (Al-Hijr 15:46)

  1. Para malaikat menyambut dan mempersilakan orang yang bertaqwa untuk masuk ke dalam syurga nanti dengan ucapan salam sejahtera {بِسَلَـٰمٍ ءَامِنِينَ}.
  2. Mereka akan masuk ke dalam syurga dengan;
    i- selamat sejahtera tiada kesusahan & kesakitan.
    Tidak perlu berfikir lagi, dukacita, stress, takut kebimbangan semuanya tidak ada dalam syurga!

ii- serta beroleh aman dari kematian & azab! Tidak ada lagi kematian atau azab dalam segala bentuknya!

  1. Sedangkan kita atas dunia ini yang susah memang susah, yang senang pun susah!!

Contohnya yang miskin susah tak ada makanan!
Yang kaya ada makanan pula; tak makan lapar, silap makan sakit perut, terlebih makan sebu, salah makan sakit- naik darah, naik kolestrol & macam-macam kesusahan.

وَنَزَعْنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَٰنًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَٰبِلِينَ ‎﴿٧٤﴾

Ayat 47- {Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.}(Al-Hijr 15:47)

  1. Munasabah ayat:
    i- ketenangan, suasana harmoni & segala nikmat yang didapati tidak akan sempurna tanpa kita berkumpul bersama ahli keluarga dan para sahabat serta orang yang disayangi dalam keadaan hati bersih dari segala sifat buruk!

ii- lalu datang ayat ini menyatakan Allah telah kumpulkan semua ahli syurga duduk bersama & berhadapan.

Serta dalam masa yang sama Allah telah cabut dari hati ahli syurga segala perasaan benci, dendam, hasad dengki dan segala penyakit hati yang busuk!

  1. Maka para ahli syurga itu hidup dalam aman, riang gembira sesama mereka tanpa sifat benci, dendam, marah dan lain-lain ini!
  2. Sedangkan atas dunia ini manusia hidupnya keluh -kesah tak tenang kerana hati penuh rasa sakit hati, benci, dendam hasad dengki dan segala penyakit hati yang busuk!

*Buka saja media sosial- terserlah kegawatan akhlak masyarakat hari ini; kata-mengata, tuduh menuduh, benci-membenci seolah tiada ampun maaf lagi menjadi fenomena biasa!

  1. Maka untuk menjadi ahli syurga kita kena hilangkan segala sifat ini sesama Islam- jika berbeza pendapat jangan membenci lebih daripada benci kepada orang kafir atau seumpamanya.

Benci biar berpada- ingatlah malaikat belum pencen- nanti kita akan merangkak cari orang yang kita fitnah untuk meminta maaf!

  1. Berdasarkan hadis riwayat Abu Said al-Khudri:
    i- orang beriman akan melintasi titian sirat dengan kelajuan yang berbeza-beza mengikut kadar amalan mereka. Ada yang melintas sepantas kilat, angin, burung yang terbang, kuda yang pantas, berlari, berjalan, merangkak, dan ada yang tersambar, tergantung amal kebajikan. (HR Sahih Muslim).

ii-Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
“Orang-orang Mukmin selamat dari neraka, lalu. mereka ditahan dan diberhentikan di atas sebuah jambatan antara syurga dan neraka (qantorah).

Lalu di sana dilakukan qisas pembersihan (menghukum dengan tindakan yang sama seperti yang dilakukan terhadap mangsa) atas berbagai tindakan kezaliman dan pelanggaran yang pernah terjadi di antara sesama mereka ketika di dunia, sehinggalah mereka semua telah dibersihkan, barulah mereka pun diizinkan untuk masuk syurga.” (HR Bukhari).

  1. Sifat ahli syurga juga: serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.

Inilah tanda hati redha & suka- dapat bertentang mata dan berhadapan muka antara satu sama lain dengan penuh kecintaan dan kasih sayang!
Jika dalaman rosak tidak akan dapat bertentang mata & muka.

  1. Peringatan: Tetapi jika ada keperluan bercakap dengan ajnabi (bukan mahram) yang berlainan jantina- tidak boleh bertentang mata bertatapan wajah kecuali untuk menjadi saksi!

لَا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُم مِّنْهَا بِمُخْرَجِينَ ‎﴿٨٤﴾

Ayat 48- {Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.} (Al-Hijr 15:48)

  1. Ahli syurga tidak akan menghadapi apa-apa masalah!

Di dalam syurga tiada kesusahan & kesakitan, tak perlu buat kerja dan mengeluarkan usaha tenaga- nak makan minum semua dilayan sempurna!

  1. Ahli syurga juga akan kekal abadi di dalam syurga selama-lamanya, tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.

*Bukan seperti ahli neraka yang beriman!

  1. Tetapi atas dunia ini pastilah usaha kena ada, amal ibadat mesti dibuat untuk meraih pahala & keredhaan Allah s.w.t baru boleh menjadi ahli syurga!

نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ‎﴿٩٤﴾

Ayat 49- {Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).} (Al-Hijr 15:49)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah sebut tentang ahli syurga, tentang ahli neraka.

ii- maka datang ayat ini untuk menggalakkan agar orang beriman berhusnuz-zhon berbaik sangka kepada Allah- bahawa Allah Maha Pengampun kepada mereka yang insaf bertaubat kembali kepada Allah!

  1. Yakni Allah menyatakan kepada hamba-Nya sifatnya Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh.

وَأَنَّ عَذَابِى هُوَ ٱلْعَذَابُ ٱلْأَلِيمُ ‎﴿٠٥﴾

Ayat 50- {Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).} (Al-Hijr 15:50)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah nyatakan sifat-Nya yang maha Pengampun {ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ};

ii- Allah bawa pula sifat-Nya yang satu lagi iaitu yang amat dahsyat azab-Nya {ٱلْعَذَابُ ٱلْأَلِيمُ} juga.

*Ini supaya manusia ini tidak tamak mengharapkan keampunan Allah semata-mata tanpa beramal.

Juga agar dia tidak terlalu takut kepada azab Allah sehingga kemurungan, tak boleh nak kerja-buat!

  1. Kedua sifat Allah ini mesti diyakini dengan serentak barulah manusia akan tenang & seimbang- takut kepada azab Allah dalam masa yang sama tidak akan putus asa kepada rahmat & keampunan Allah!

Seperti burung yang mesti terbang dengan dua sayap- jika sebelah saja tidak akan dapat naik terbang!

  1. Hadis Nabi s.a.w:
    عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
    «لو يعلمُ المؤمنُ ماعند الله من العقوبة، ما طَمِع بِجَنَّتِهِ أحدٌ، ولو يَعلمُ الكافرُ ما عند الله من الرَّحمة،
    ما قَنَطَ من جَنَّتِهِ أحدٌ ».[صحيح] – [رواه مسلم]

Dari Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Seandainya orang mukmin mengetahui seksaan yang disediakan Allah, nescaya tidak ada seorang pun yang merasa mampu masuk syurga-Nya.

Andaikan orang kafir mengetahui rahmat yang dikurniakan Allah, pasti tidak akan ada seorang pun yang berputus asa dari syurga-Nya.” [HR Muslim]

  1. Maka kita orang beriman kena ada dua sifat ini:
    i- mengharapkan rahmat Allah(الرجاء) dengan sentiasa bertaubat istighfar minta ampun kepada Allah.

ii- takut kepada azab Allah (الخوف) dengan cara menjauhkan diri dari dosa & maksiat dan sebab yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

*Barulah kita selamat dunia Akhirat insya’ Allah.

Kita minta perlindungan dengan Allah agar jangan Allah biarkan kita terumbang-ambing tanpa panduan dan bimbingan-Nya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 45- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.}

Allah janjikan bahawa syurga ini hanya layak untuk orang bertaqwa.

Iaitu orang yang ikut arahan Allah & menjauhi larangan-Nya.

Syurga yang dijanjikan itu besar lagi indah, malaikat menunggu untuk menyambut dengan ucapan selamat & salam sejahtera!

Ulama’ buat perbincangan pula bilakah ucapan malaikat ini, masuk dulu baru ucap atau ucap dulu baru masuk???

Jawapan:
i- ada yang kata apabila selesai pengadilan malaikat datang menjemput mereka yang layak untuk masuk syurga.

ii- ada yang kata apabila mereka masuk syurga ada malaikat yang menunggu untuk menyambut dan mengucapkan selamat datang & salam sejahtera.

Ayat ini tidak bercanggah- boleh jadi serentak juga!

Dijemput masuk ini adalah satu adab yang sopan lagi mengalu-alukan!

*Begitu juga apabila menerima tetamu- pastikan tuan rumah yang dulu masuk bukan jemput suruh tetamu masuk dulu!

  1. Ayat 47- {Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.}

Allah cabut dari hati kita segala sifat & perasaan buruk semuanya tenang dan ikhlas gembira apabila masuk ke dalam syurga!

Para ulama’ kata orang pertama yang Allah cabut perasaan dan sifat buruk ini ialah dari hati para sahabat dan kemudian orang yang berusaha untuk memperbetulkan hatinya untuk menjadi orang yang baik!

Ya Allah jadikan kami orang yang tidak ada perasaan hasad dengki dan membenci sesama muslim.

Keadaan ahli syurga juga:
Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing- ini menunjukkan mereka tidak ada perasaan benci dan hasad apabila hati bersatu dan saling menyayangi.

Kita ini jika boleh lihat & berhadap muka satu sama lain bermakna tiada ada persaan buruk dalam hati masing-masing.

Bila hati bersatu muka boleh berhadapan dan mata boleh saling bertatapan!

*Kecuali antara wanita & lelaki yang ajnabi- tidak boleh bertatapan kecuali untuk menjadi saksi kena lihat muka untuk pastikan kenal identitinya!

Jika tidak haram- berbual mesra sambil berhadapan tanpa keperluan darurat!

  1. Ayat 48- {Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.}-

Ayat ini menyatakan bahawa:
i- ahli syurga tiada lagi sifat buruk, kesusahan dan kesakitan;

ii- serta jaminan bahawa mereka kekal abadi di dalam syurga selamanya!

Sesuatu perkara itu untuk menjadi pahala yang besar & bermanfaat- ada 4 syarat:

i- apa yang kita berikan kepada orang itu biar ada manfaat kerana itu Allah kata: {جَنَّـٰتٍۢ وَعُيُونٍ} taman-taman dan mata air.

ii- benda yang diberikan itu penuh dengan kebesaran dan kemuliaan- masuklah ke dalamnya dengan aman & selamat-
{ ٱدْخُلُوهَا بِسَلَـٰمٍ}.

iii- anugerah yang diberi itu bersih dan tiada segala kekotoran {وَنَزَعْنَا}- Dan kami cabut.

iv- benda itu bersifat kekal- baru ia menjadi pahala yang amat besar kedudukannya!

Syarat pahala itu bermanfaat ialah ada kebesarannya, tidak ada perkara yang menyalahi peraturan serta bersifat kekal bukan sementara.

Tidak ada orang kena keluar dari syurga kerana sudah habis pahalanya- tetapi neraka ada tempohnya bagi orang beriman yang derhaka.

  1. Ayat 49- {Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).} – dalam ayat ini Allah sebut untuk memberitahu kepada hamba-Nya akan dua sifatnya ini:

i- AllahYang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh.

ii- serta yang maha dahsyat azab-Nya.
Yakni dalam ayat ini Allah sebut sifat pengampun-Nya dulu baru mari azab.

Tetapi dalam ayat dari surah al-Maidah ini adalah sebaliknya- Allah ceritakan tentang azab-nya dulu baru disebut sifat-Nya Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah s.w.t:
{Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksa-Nya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya).} (Al-Maaidah 5:98)

Jawapan:
i- ayat kita ini Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberitahu kepada semua makhluk bahawa Allah itu sifat-Nya Maha Pengampun lagi rahmat tetapi Dia juga ada azab.

Ini kerana ayat ini nak mengajak orang kepada syurga dan benci kepada neraka maka dinyatakan sifat Allah yang Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh!

ii- tetapi ayat dalam surah al-Maa’idah setelah menyebut tentang dosa dan hukum yang berat- maka Allah beri amaran bahawasanya Allah Maha berat azab seksa-Nya kepada orang yang kufur dan derhaka.

Semua susunan ayat dalam al-Quran apabila diperhati dan dihuraikan satu persatu akan terserlah I’jaz dan keajaiban hikmah al-Quran yang amat tinggi.

  1. Ayat 49- {Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).}
    Ayat 50- {Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).}

Dua ayat ini adalah ayat tentang perasaan berharap (الرجاء) & takut (الخوف).
Ini kerana kita tidak boleh:

i- takut saja maka kita akan jadi stress, kemurungan dan depression.

ii- kita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada keampunan Allah semata-mata kerana ia akan menyebabkan kita menjadi lagha, liberal tak mahu buat ibadat kerana Allah maha Pengampun.

Maka wajib ada keduanya sekali Galakan (الترغيب – At-Targhib) & Amaran (الترهيب – At-Tarhib):

i- Dorongan, galakan, motivasi, atau janji ganjaran pahala/syurga yang diberikan untuk melakukan sesuatu kebaikan.

Ini untuk mendekatkan diri manusia kepada ketaatan, seperti galakan bersedekah, menuntut ilmu, puasa sunat, dan menyebarkan salam.

ii- tetapi jangan buat maksiat. Kena ada juga ancaman, peringatan, atau menakut-nakutkan daripada melakukan maksiat/dosa dengan menyebut azab neraka atau seksaan Allah.

Ini untuk menghalang manusia daripada melakukan perkara haram maksiat atau melanggar perintah Allah.

Seperti burung yang terbang dengan dua sayap inilah perjalanan kita sebagai orang muslim takut (الخوف) & harap (الرجاء) kena serentak baru hidup kita seimbang dan selamat insya’ Allah.

Orang mukmin tidak boleh hanya:
i- takut saja sehingga putus asa atau;
ii- hanya berharap saja sehingga meremehkan dosa & malas melakukan ibadat.
Kedua-duanya mesti ada bersama sehingga ajal tiba.

Ya Allah, semoga Allah cabut dari hati kita segala perasaan benci dan hasad kepada orang yang beriman.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 06/04/2026 / 17 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=921129354070919&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top