Bandingan Iktiqad Kafir Seperti Bangunan Runtuh, Ahli Ilmu Mencela Kafir & Kafir Tak Mengaku Syirik

Live Pagi Rabu 22/04/2026 / 04 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (07) Ayat [26-29]
Full video: https://youtu.be/Kz-4kD2aZuc?si=M6JR4oP_VzqT-HtC
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 26 sehingga ayat 29 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t buat bandingan iktiqad puak kafir seperti satu bangunan yang telah runtuh tiangnya lalu jatuh atapnya dari atas kepala.
Maka banyaklah bencana yang menimpa tanpa mereka sedar.
*Itu baru azab di dunia manakala pada hari Kiamat kelak azab lain pula yang akan menimpa mereka!
- Kemudian Allah nyatakan apabila mati puak zalim ini, mereka tidak mengaku mereka tidak beriman!
Maka pada ketika itulah ahli ilmu mencela puak kafir yang apabila mati tak mengaku bahawa mereka syirik atas dunia dulu.
- Penafian ini pada peringkat awal kebangkitan, selepas itu mulut akan dikunci hanya segala anggota tangan kaki akan menjadi saksi dan mereka akan dihumbankan ke dalam neraka Jahannam.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang menolak dakwah Nabi s.a.w & mengatakan al-Quran hanya dongengan orang terdahulu!
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tentang kebinasaan mereka di dunia kemudian diikuti kebinasaan di Akhirat kelak dengan azab yang Allah sediakan bagi golongan kafir & syirik yang derhaka kepada Allah!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
قَدْ مَكَرَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَأَتَى ٱللَّهُ بُنْيَٰنَهُم مِّنَ ٱلْقَوَاعِدِ فَخَرَّ عَلَيْهِمُ ٱلسَّقْفُ مِن فَوْقِهِمْ وَأَتَىٰهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ ﴿٦٢﴾
Ayat 26- {Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap agama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak menyedarinya.} (Al-Nahl 16:26)
- Allah nyatakan puak kafir iaitu pada masa itu musyrikin Quraisy yang telah mendustakan dakwah Nabi s.a.w dan membuat perancancangan jahat untuk menghalau, membunuh Rasulullah s.a.w.
- Perbuatan mereka ini selari dengan puak kafir umat nabi-nabi terdahulu, begitulah perangai mereka, yang mahu membunuh nabi mereka & menyekat manusia dari jalan Allah.
- Lalu Allah mengagalkan rancangan jahat mereka itu dengan meruntuhkan, membinasakan binaan atau asasnya lagi!
Yakni Allah membuat perbandingan keadaan mereka itu seperti bangunan yang runtuh dan atap yang jatuh dari atas menimpa mereka lalu membawa pelbagai masalah & bencana kepada mereka sendiri!
- Kata ulama’ tafsir:
i- ia adalah binaan fizikal sebenar, yang jatuh- iaitu kepunyaan Namruz raja pada zaman Nabi Ibrahim a.s di Babel yang membina bangunan tinggi bertujuan untuk naik ke langit melihat Tuhan. Lalu datang angin meruntuhkan binaan tersebut.
ii- ada juga yang mengatakan raja itu bukan Namruz tapi Bukhtannasar yang buat bangunan tinggi dengan tujuan nak cari tuhan begitu juga!
iii- ada juga ulama’ yang mengatakan ayat ini terpakai belaka kepada sesiapa saja, semua puak kafir yang mendustakan nabi, sesiapa yang buat tipu daya rancangan jahat untuk mengkhianati nabi & agama Islam.
- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah:
{Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.} (Ar-Ra’d 13:42) - Yakni ayat ini secara umum untuk semua, tak kira Namruz ke, Bukhtannasar ke, kafir Quraisy ke, atau mana-mana kafir yang menentang Islam dan mahu menyakiti para nabi sepanjang zaman!
- Ayat ini menjelaskan kepada kita analogi tentang satu binaan yang runtuh!
Atapnya jatuh dari atas menimpa mereka yang dibawahnya.
Serta datang azab dari pelbagai sudut yang mereka ini tidak sedar, tak sangka & tak jangkanya.
Nau’zubillah!
- Nota [531]-Setelah Allah nyatakan buruk padahnya orang-orang yang sesat dan menyesatkan orang lain- maka Allah tegaskan pula rancangan jahat & tipu daya yang mereka jalankan untuk menentang agama Allah dan Rasul-Nya s.a.w itu akan membinasakan diri mereka sendiri seperti yang telah terjadi kepada orang terdahulu sebelum mereka!
- Pendapat yang disebut di atas tadi ialah tentang runtuhnya bangunan secara fizikal.
- Ada juga ulama’ yang berpendapat bahawa ayat ini lebih kepada perbadingan, misal analogi- Allah nak nyatakan bahayanya pegangan syirik mereka!
Syirik ini asasnya tak kukuh- apabila tiangnya jatuh, runtuhlah bangunan & atapnya! Yakni Allah buat perbandingan runtuhnya aqidah & gagalnya perancangan mereka- bukan bangunan fizikal.
- Kerana itu dalam tafsir as-Sa’di dia berkata: Ini adalah satu perbandingan yang cukup indah.
Allah nak membatalkan tipu-daya musuhnya- betapa puak kafir duduk buat komplot dan perancangan jahat satu demi satu- seolah mereka sedang buat satu bangunan- kemudian apabila datang angin- sekali tiup saja terus runtuh bangunan itu yakni gagal plan mereka itu!
- Mereka buat perancangan jahat nak halau Nabi, nak bunuh Nabi akhirnya siapa yang runtuh??
Allah serahkan Makkah kepada Nabi s.a.w- {إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًۭا مُّبِينًۭا} maka di mana kamu semua wahai kafir penentang Islam??
Allah nak menyatakan betapa rapuh & lemahnya pegangan puak kafir & musyrikin itu! Wallahu a’lam.
ثُمَّ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ يُخْزِيهِمْ وَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تُشَٰٓقُّونَ فِيهِمْ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ إِنَّ ٱلْخِزْىَ ٱلْيَوْمَ وَٱلسُّوٓءَ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ ﴿٧٢﴾
Ayat 27- {Kemudian pada hari kiamat, Allah menghinakan mereka (dengan azab seksa) sambil bertanya: “Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu berperi-peri memusuhi (Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman) untuk membela mereka?” (Pada ketika itu) berkatalah orang-orang yang beroleh ilmu pengetahuan: “Sesungguhnya kehinaan hari ini dan azab seksa, adalah tertimpa kepada orang-orang yang kafir;} (Al-Nahl 16:27)
- Munasabah ayat ini jelas:
i- ayat sebelumnya Allah nyatakan tentang azab yang berlaku di dunia.
ii- maka dalam ayat ini dinyatakan pula peristiwa & azab yang berlaku di Akhirat.
*Kena ingat hidup ini bukan hanya di dunia. dunia hanya sementara, lorong untuk ke Akhirat yang kekal abadi.
- Pada hari Kiamat kelak Allah hina puak kafir dengan bertanya secara tempelak & marah kepada mereka: Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu bersungguh jadikan sembahan untuk memusuhi Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman, bawalah mereka untuk membela kamu dari azab Allah yang menanti kamu!!
- Nota [532]- Yakni kenapa mereka tidak datang pula untuk membela kamu dari azab siksa yang dikenakan Allah ini.
- Pada hari itu Allah hinakan mereka dengan terzahir dan terserlah segala perancangan, konspirasi dan perbuatan jahat puak kafir.
Walaupun mereka cuba nak menipu dan menafikan segala kejahatan mereka dulu tetapi Allah tutup mulut mereka bawa saksi anggota mereka sendiri.
- Pada ketika itu juga orang yang beriman, orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan oleh Allah, menjampuk sambil berkata untuk perli orang kafir: “Sesungguhnya kehinaan hari ini dan azab seksa, adalah tertimpa kepada orang-orang yang kafir;”.
- Siapakah orang yang diberi ilmu ini {ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ}?
Kata Ibnu Athiyah rhm: Semua orang beriman yang diberi ilmu oleh Allah samada dari kalangan manusia atau malaikat- semua mereka ini menempelak orang kafir kerana mereka derhaka di dunia dulu.
*Inilah kelebihan ahli ilmu- maka jika kita nak jadi mulia, nak jadi hebat- jadilah orang yang berilmu & beramal dengannya!
ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ ۖ فَأَلْقَوُا۟ ٱلسَّلَمَ مَا كُنَّا نَعْمَلُ مِن سُوٓءِۭ ۚ بَلَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٨٢﴾
Ayat 28- {(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).” Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): “Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan”. (Malaikat menjawab): “Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan”.} (Al-Nahl 16:28)
- Munasabah ayat:
i- apabila mereka di Akhirat kelak orang kafir akan dijerkah, ditempelak dan ditanya di manakan sekutu-sekutu yang mereka jadikan dulu- apakah tidak boleh datang untuk menolong mereka??
ii- pada awalnya mereka tidak mengaku tetapi pada ketika itu juga malaikat akan menyoal dan menempelak- akhirnya puak kafir tidak dapat menolak lagi, bahkan mereka menyerah dengan lemahnya!
- Apabila melihat azab di depan mata mereka lalu tunduk menyerah, tidak dapat nak menafi dan melawan lagi, nak lawan tak boleh lagi. Sekarang bukan masa melawan tetapi masa menerima hukuman.
فَٱدْخُلُوٓا۟ أَبْوَٰبَ جَهَنَّمَ خَٰلِدِينَ فِيهَا ۖ فَلَبِئْسَ مَثْوَى ٱلْمُتَكَبِّرِينَ ﴿٩٢﴾
Ayat 29- {“Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur”.} (Al-Nahl 16:29)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat lepas orang kafir cuba menafikan kekufuran & kesyirikan mereka.
ii- dalam ayat ini tidak ada alasan atau penafian lagi- sudah jelas dan tenyata kekufuran & kesyirikan mereka di mana akhirnya mereka dihalau masuk ke dalam neraka!!!
- Allah nyatakan akhirnya tempat kembali puak kafir itu adalah neraka yang mereka akan kekal di dalamnya selamanya!
- Sesungguhnya neraka adalah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur!!
- Iaitu takabbur daripada beriman & tauhid kepada Allah, takabbur daripada menerima dakwah & kebenaran yang dibawa Rasulullah s.a.w.
Atau pada zaman kita ini takabbur daripada menerima al-Quran & Sunnah dengan kefahaman seperti huraian para ulama’ yang muktabar.
Mereka tak mahu hanya nak apa yang tok syeikh mereka hurai & faham.
- Hati-hati kerana takabbur ini banyak kategori & banyak jenis!
Orang takabbur ialah orang menolak kebenaran & suka menghina orang lain!
Satu sifat yang cukup bahaya kerana ia mengundang bala di Akhirat!
Penutup & Faedah #
- Ayat 26- {Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap agama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak menyedarinya.}– bagi orang yang membuat rancangan dan komplot jahat kepada Islam & Rasulullah- Allah akan gagalkan & timpakan azan bencana ke atas mereka!
Ayat ini adalah satu perbandingan yang amat tepat:
i- Allah bandingkan rancangan jahat, komplot dan konspirasi terhadap rasul-rasul-Nya; nak menjatuhkan nabi & menyakitinya, menyekat Islam & umatnya seperti orang yang buat binaan tinggi.
ii- Kemudian bangunan tinggi yakni perancangan jahat mereka jatuh ranap atas kepala mereka sendiri, membinasakan & bawa bala ke atas diri mereka sendiri.
Mereka menyangka bangunan atau binaan itulah yang akan melindungi mereka- tetapi rupanya bangunan itulah yang akan meranapkan mereka & membuat mereka binasa!
Rugi sahaja perancangan mereka- kita yakin & percaya akan kekuasaan Allah!
Ini kerana:
“من حفر لأخيه جبا، وقع فيه منكبا”
Sesiapa yang gali lubang untuk jatuhkan saudaranya;
dia sendiri yang akan jatuh ke dalam lubang itu!
Ingatlah, hati-hati nak buat jahat kepada orang kena fikir panjang!
Kerana di sana ada perancangan, di situ juga ada kegagalan maka kita buatlah perancangan yang baik-baik supaya kita tidak menyesal di kemudian hari!
Semua perancangan jahat kafir nak jatuhkan Nabi s.a.w semuanya gagal!
Sekarang ini orang buat jahat & tuduh fitnah orang berselindung di sebalik fake akaun!
Dia ingat Allah tak tahu tak nampak!
Hadis dari Abu Barzah Al-Aslami R.A, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
يا معشرَ من آمنَ بلسانِه ولم يدخلْ الإيمانُ قلبَه، لا تغتابوا المسلمين، ولا تتَّبعوا عوراتِهم، فإنه من اتَّبعَ عوراتِهم يتَّبعُ اللهُ عورتَه، ومن يتَّبعِ اللهُ عورتَه يفضحُه في بيتِه.
الراوي: أبو برزة الأسلمي نضلة بن عبيد • الألباني، صحيح أبي داود (٤٨٨٠) • حسن صحيح • أخرجه أبو داود (٤٨٨٠)، وأحمد (١٩٧٧٦)
Maksudnya: “Wahai kaum yang beriman dengan lidahnya tetapi iman belum meresap ke dalam hatinya!
Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan janganlah kamu mencari-cari aurat (aib/rahsia) mereka.
Kerana sesiapa yang mencari-cari aib saudaranya, nescaya Allah akan mencari-cari aibnya…”.
(HR Abu Daud [4880] dan Ahmad [19776]. Hadis ini dinilai sebagai Sahih)
Kena ingat jangan kita asyik dok buat perancangan kepada orang, kita tak tahu apakah perancangan Allah ke atas kita, kita buat jahat kepada orang maka belum tentu kita selamat!
Kita cari bongkar rahsia orang- Allah akan buka dedah juga rahsia aib kita!
Kata ahli tafsir pada zaman dulu lagi manusia sudah maju, bangunan bertingkat & tinggi sudah wujud.
i- bangunan yang dibuat oleh Namruz di Babel (Babylon) itu tingginya adalah 5000 hasta. Tetapi malangnya usaha & kerja mereka semua sia-sia dan membawa bencana.
Allah nyatakan atap itu jatuh ranap dari atas.
Ini menunjukkan betapa bangunan itu adalah tinggi.
Serta betapa dahsyatnya bala bencana yang Allah timpakan ke atas kafir ini!!!
- Ayat 27- {.. (Pada ketika itu) berkatalah orang-orang yang beroleh ilmu pengetahuan:..}–
Kata ulama’ tadabbur:
Ini menunjukkan betapa kelebihan orang yang berilmu, beramal dan menyebarkan ilmunya.
Iaitu ilmu yang benar, yang berdasarkan kepada Al-Quran & Sunnah.
Orang ini akan bercakap benar di dunia & mereka akan menjadi saksi di Akhirat kelak.
Perkataan ahli ilmu itu diambil kira di sisi Allah dan diterima juga di sisi makhluk.
Pentingnya kita menjadi ahli ilmu yang beriman, beramal dan taat kepada perintah Allah!
Allah nyatakan di atas dunia lagi orang yang ada ilmu yang berpaksikan Kitab & Sunnah ini diterima kesaksian mereka.
Kemudian di Akhirat kelak sekali lagi Allah iktiraf, ambil kira juga perkataan & pandangan mereka!
Marilaah kita menjadi ahli ilmu yang berpaksikan al-Quran & Sunnah & huraian ulama’ yang muktabar!
- Ayat 28- {(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).” Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): “Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan”.}– ayat ini menceritakan bahawa Allah menceritakan kepada kita bahawa puak kafir ini bukan atas dunia saja dia nak menipu- tetapi di Akhirat kelak pun mereka cuba nak menipu dan kelentong lagi!
puak kafir sentiasa cuba menipu, tak mengaku perbuatan jahat mereka, sebagaimana firman Allah ini:
{Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.} (Al-An’aam 6:23)
Kata ulama’: Ayat ini juga menunjukkan hari Kiamat itu ada pelbagai peringkat, tempat & keadaan.
i- ada tempat masih boleh bercakap.
Lalu mereka cuba mencari alasan dengan menipu untuk mengelak dari dihukum.
ii- kemudian apabila nampak mereka telah melampau Allah kunci mulut mereka tidak dapat bersuara apa lagi & segala anggota pula menjadi saksi kepada tuannya sendiri.
Sebagaimana firman Allah ini:
{Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Yaa Siin 36:65)
Jadi kita jangan rasa pelik kenapa sekali boleh bercakap, ada waktu memang dikunci mulut mereka tidak boleh berkata apa!
Begitulah keadaan pada hari Kiamat kelak.
- Ayat 28- {… (Malaikat menjawab): “Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan”.}– apabila mereka tak mengaku cuba kelentong dengan mengatakan mereka tak buat;
Para malaikat terus menjawab dengan ayat ini:
i- bahkan kamu ada melakukannya;
ii- dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.
Yakni malaikat menjawab terus- wahai puak kafir tak perlu kamu mengarut & tak usah nak kelentong lagi- Allah mengetahui & mencatat segapa perbuatan kamu atas dunia dulu.
Ayat ini memberi amaran besar kepada kita orang beriman juga;
i- Jangan kita cuba nak kelentong dan sembunyikan apa yang berlaku atas dunia ini! Kerana semua itu akan terserlah dibentangkan & dizahirkan.
Allah s.w.t juga tahu semua apa yang kita buat!
ii- Maka jika kita ada tersalah tersilap atas dunia ini (pasti ada kita sebagai manusia biasa) terus kita beristighfar minta ampun kepada Allah agar Allah maafkan, ampunkan kita dan hapuskan segala dosa kita.
Jangan sampai Allah dedahkan di Akhirat kelak & kita mendapat aibnya!
Ya Allah ampunkan dan hapuskan segala dosa kami, semoga orang tak tahu keaiban kita lalu kita akan masuk ke dalam syurga dengan aman sejahtera!
- Ayat 29- {“Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur”.}-
Allah perintahkan puak yang sombong takabbur itu untuk masuk neraka!
Maka sekali lagi ditegaskan bahawa orang yang akan masuk neraka ialah orang yang sombong {ٱلْمُتَكَبِّرِينَ}
Iaitu sombong atas dunia ini tak mahu beriman, sombong tak mahu taat kepada rasul.
Sombong pada zaman kita ini tak mahu dengar al-Quran & Sunnah, bacalah apa pandangan ulama’ yang muktabar tak jadi mereka bagi mereka!
Ini semua calon-calon neraka yang terdiri daripada golongan yang sombong!
Samada sombong sepenuhnya seperti kafir & syirik atau sombong dari keperibadian seperti sifat sombong kepada orang- semua itu sifat yang buruk!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 22/04/2026 / 04 ZulQa’dah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=934211766096011&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
