View Categories

(8) Surah An-Nahl: Ayat 30-32

16 min read

Para Muttaqin Beriman Dengan Al-Quran, Nikmat Syurga Untuknya & Sambutan Malaikat Kepada Mereka

Live Pagi Khamis 23/04/2026 / 05 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (08) Ayat [30-32]

Full video: https://youtu.be/L_no4g00fwU?si=yPCt3Pmvr3sS7Jx0

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 30 sehingga ayat 32 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada sifat-sifat para muttaqin {ٱلْمُتَّقِينَ} yang beriman dengan al-Quran sebagai wahyu yang diturunkan. Muttaqin ini berlawan dengan sifat {المبطلين} iaitu orang yang mengatakan al-Quran itu hanyalah dongengan,
  3. Orang bertaqwa mereka patuh, taat & percaya kepada al-Quran. Maka Allah sediakan kepada mereka Jannatu Adni iaitu nikmat syurga yang Allah anugerahkan, mereka masuk ke dalamnya dengan gembira.
  4. Bagi orang yang dicabut rohnya dalam keadaan beriman & bertaqwa, disambut baik oleh para malaikat. Roh mereka dibawa naik ke langit dan tempatkan di Iliyyin, tempat yang tinggi!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang orang yang mendustakan al-Quran {المكذبين} mereka kata al-Quran hanya dongeng orang yang terdahulu;
    Maka datang ayat ini Allah nyatakan al-Muttaqin beriman dengan al-Quran dengan sebenarnya.
    ii- dalam ayat yang lepas juga Allah nyatakan hal keadaan orang kafir di dunia & di Akhirat;
    Maka dalam ayat ini Allah nyatakan pula hal keadaan orang beriman & bertaqwa di dunia & Akhirat juga!
  6. Begitulah gaya uslub al-Quran; bila disebut tentang yang baik- akan disebut juga tentang yang buruk. Manakala yang mana dulu disebut baik atau buruk bergantung kepada siyaqul-ayat; isu atau cerita yang dibincangkan!
  7. Keduanya disebut agar orang beriman & bertaqwa ambil tahu dan faham bahawa di Akhirat kelak hanya ada dua jalan samada jalan ke syurga atau jalan ke neraka! Maka pilihlah jalan yang terbaik jangan sampai kita kerugian dan menyesal yang tiada guna lagi di Akhirat kelak!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

۞ وَقِيلَ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ مَاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا۟ خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ ‎﴿٠٣﴾‏

Ayat 30- {Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.} (Al-Nahl 16:30)

  1. Apabila ditanya kepada orang yang bertaqwa apakah yang Allah turunkan dari al-Quran itu. Mereka akan mengatakan ia adalah satu kebaikan anugerah dari Allah!
  2. Fungsi al-Quran adalah sebagai rahmat, huda-petunjuk & keberkatan bagi orang yang beriman & ikut al-Quran. Manakala mereka yang tak beriman & tak ikut al-Quran itulah manusia yang celaka!
  3. Ulama’ dalam perbincangan- maksud ditanya kepada orang yang bertaqwa {ٱلْمُتَّقِينَ} siapakakah mereka ini? Ada ulama’ seperti Ibnu Asyur berkata: mereka ialah orang beriman yang dikenali di Makkah iaitu Sayyidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Bilal dan lain-lain.
  4. Mereka hanya jawab sepatah: Sesungguhnya Al-Quran mengandungi kebaikan {خَيْرًۭا}, Yakni semua kebaikan ada terkandung dalam al-Quran, kamu nak kebaikan dunia ada dalam al-Quran, nak kebaikan Akhirat apatah lagi, ada juga dalam al-Quran.
  5. Begitulah sepatutnya makin banyak kita belajar al-Quran- makin tinggi akhlak kita, makin kuat integriti kita. Tetapi sehari dua ini amat menakutkan kerana kita dengar betapa orang yang dok main dengan al-Quran dalam medsos itulah yang digari atas tuduhan pecah amanah & menyeleweng harta awam bahkan harta zakat.
  6. Walaupun perkara itu masih di awal perbicaraan tetapi apabila sesuatu benda yang telah menjadi percakapan manusia- walaupun belum terbukti bersalah- tetapi orang akan susah percaya lagi & telah rosak persepsi masyarakat terhadapanya- (كيف وقد قيل)
    *Semoa Allah menjadikan kita orang yang amanah tidak khianat kepercayaan orang & makan haq orang!
  7. Tetapi orang yang betul-betul baca Quran, faham & beramal dengannya- al-Quran akan menjaganya, menjadi hidayah petunjuk baginya di dunia maka dia akan aman di Akhirat!
    Ya Allah jadikan kami ahli al-Quran, orang yang telus, amanah & jujur dalam menjaga hak orang lain!
  8. Bagi orang beriman yang buat baik atas dunia ini, iaitu:
    i- perkara terbaik yang dapat kita buat atas dunia ini ialah kita melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dengan ikhlas-jujur & terbaik mengikut Sunnah Nabi s.a.w.
    ii- kemudian kita buat baik pula kepada sesama hamba Allah, ihsan sesama manusia, kita tidak khianat, tidak menipu scam orang dan seumpamanya. Ini adalah orang mukmin yang muhsin (ihsan).
  9. Maka bagi mereka yang buat baik ini balasannya:
    i- Allah akan bagi pahala segera di dunia ini. Iaitu kehidupan yang baik atas dunia ini lagi, tenang, berasa cukup dengan apa yang ada dan sentiasa bersyukur kepada Allah.
    ii- rezeki yang baik, yang halal lagi baik, bukan yang haram atau syubhah, atau melalui perbuatan yang haram!!!
    *Seperti nak jual barang tetapi dengan iklan perbuatan yang haram seperti tak tutup aurata tau lucah!
    Rezeki walaupun juta-juta jika tidak berkat tiada gunanya.
    iii- mendapat kebahagian dunia & ketenangan.
    Atas dunia ini ada empat ciri-ciri kebahagian manusia sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
    حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ وَقَبِيصَةُ قَالاَ : حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ ، عَنْ خَمِيلٍ ،
    عَنْ نَافِعِ بْنِ عَبْدِ الْحَارِثِ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ
    Maksudnya: Nabi s.a.w bersabda:
    Antara (tanda) kebahagiaan seseorang adalah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunganggan yang elok.” [HR al-Bukhari (457)].
    *Kita nak dapat jiran yang baik mestilah kita kena jadi jiran yang baik juag!
  10. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:97)
    ii- {Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.} (Az-Zumar 39:10)
  11. Dalam ayat ini Allah menyuruh orang beriman agar bertaqwa kepada Allah. Ini kerana beriman tidak semestinya bertaqwa- beriman percaya kepada Allah manakala bertaqwa takut kepada Allah! Betapa ramai orang yang beriman kepada Allah tetapi ambil rasuah, riba & khianat pecah amanah!
  12. Siapa yang buat kebaikan atas dunia ini Allah akan beri kebaikan kepadanya dan bumi Allah ini luas- hiduplah dengan tenang & aman.
  13. Namun begitu Allah menegaskan, dibandingkan dengan kebaikan dunia- pastilah kehidupan di Akhirat adalah lebih baik dan kekal abadi. Maka bagi orang yang bertaqwa pastilah baginya nikmat yang terbaik & tempat yang terbaik. Di manakah tempat duduk mereka- lihat ayat seterusnya!

جَنَّٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ ۖ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْزِى ٱللَّهُ ٱلْمُتَّقِينَ ‎﴿١٣﴾‏

Ayat 31- {(Untuk mereka) Syurga-syurga ” Adn “, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa,} (Al-Nahl 16:31)

Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sebaik-baik kehidupan bagi orang yang bertaqwa ialah Akhirat yang lebih baik. Maka apakah ia?
ii- datang ayat ini Allah nyatakan kehidupan Akhirat itu- iaitu syurga-syurga adni yang kekal.

Sifat syurga itu yang indah:
i- yang penuh dengan kebun, mengalir padanya beberapa sungai; bangunan yang indah dan pelbagai keindahan lagi.
ii- mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki!
*Kata ahli tafsir: Yakni apa saja ahli syurga kehendaki atau terlintas saja di dalam hati apa yang diingini- terus semuanya tersedia terhidang untuk mereka!

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.} (Az-Zukhruf 43:71)

Itulah syurga yang disediakan sebagai balasan bagi orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh! Tiga komponen ini tidak boleh berpisah- beriman iaitu sifat hati, bertaqwa dengan amalan yang dizahirkan serta melakukan amalan yang terbaik!

Amal yang terbaik itu ialah:
i- ikhlas kerana Allah semata-mata;
ii- ikut apa yang Nabi s.a.w ajar!

ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَٰمٌ عَلَيْكُمُ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ‎﴿٢٣﴾

Ayat 32- { (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.} (Al-Nahl 16:32)

  1. Allah cerita semula sifat atau ciri-ciri orang yang bertaqwa lagi:
    Iaitu mereka yang diambil nyawa oleh malaikat dalam keadaan diri, hati mereka suci dari kufur, ikhlas beriman kepada Allah, tidak melakukan syirik atau kekufuran kepada Allah & dk melakukan dosa maksiat kepada Allah!
  2. Malaikat datang dan mengucapkan: Salam sejahtera ke atas kamu
    {سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمُ} dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan sebab amalan baik yang kamu kerjakan! Ketika itu malaikat buka hijab tunjukkan di mana tempatnya di dalam syurga kelak! Lalu roh yang mulia ini tidak sabar untuk pergi bertemu Allah!
  3. Ayat ini berlawanan dengan ayat 28 sebelum ini- iaitu orang yang dimatikan oleh malaikat dalam keadaan zalim & menganiayai diri sendiri {ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ}.
  4. Allah nyatakan keadaan mereka yang dimatikan, diambil nyawanya dalam keadaan beriman, taqwa & tauhid yang murni & ibadat yang benar! Mereka dalam bersih dari segala dosa dan maksiat serta suci dari segala perkara yang boleh mencalarkan iman mereka. Bukan tidak beriman tetapi ada perbuatan atau kepercayaan yang boleh mencalar atau merosakkan iman mereka!
  5. Contohnya seperti orang yang kuat beramal solat jemaah puasa dan seumpamanya tetapi percaya kepada tok bomoh dukun yang menilik meramal sesuatu- boleh membawa syirik sebagaimana hadis Nabi s.a.w.
  6. Sabda Nabi s.a.w:
    “Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan (mempercayai) apa yang dikatakan olehnya, sesungguhnya dia telah mengingkari (kufur) dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ahmad – 9667)
  7. Adalah sangat penting dalam kehidupan kita ini untuk menjelaskan bagi menjaga antara batas iman & kufur agar tidak tergelincir!! Berhati-hatilah para jemaah sekelian terutama para wanita yang mudah percaya & terpengaruh dengan perkara sebegini!
  8. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
    “Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.} (Fussilat 41: 30-31)
  9. Malaikat datang untuk mengambil nyawa, berpesan kepada mereka agar jangan sedih & bimbang, jangan takut; Allah akan jaga apa yang kamu tinggalkan atas dunia ini serta memberi khabar gembira syurga yang penuh segala nikmatnya bagi kamu!
  10. Ya Allah jadikan hidup kami penuh istiqomah, mati dalam husnul-khatimah dan mendapat khabar gembira dari malaikat! Kita atas dunia hari ini jika tidak hidup dengan rahmat Allah tidak tahu apa akan terjadi!
  11. Di akhir ayat Allah katakan lagi kepada mereka: {… masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan!}
  12. Ini tidak bertentangan dengan hadis Nabi s.a.w yang mengatakan kita masuk syurga dengan rahmat Allah- ini kerana amal itu adalah sebagai penyebab untuk kita mendapat rahmat Allah lalu dapat masuk syurga!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 30- {Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi;…}– dalam 3 ayat yang kita bincangkan ini Allah nyatakan sifat al-Muttaqin & balasan bagi orang yang bertaqwa.
    Ada empat kali ayat yang Allah ulang dalam surah an-Nahli ini bahawa orang yang bertaqwa & berbuat baik atas dunia ini Allah akan beri balasan senang hidup atas dunia, aman damai & balasan syurga di Akhirat:
    i- Ayat pertamanya ialah ayat 30 ini: {Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.} (Al-Nahl 16:30)
    ii- ayat kedua ayat 41: {Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.} (Al-Nahl 16:41)
    iii- ayat ketiga ialah ayat 97: { Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:97)
    iv- ayat yang keempat ayat 122- Allah ceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s: {Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.} (Al-Nahl 16:122)
    Allah ulang makna kebaikan dunia Akhirat ini empat kali dalam surah ini & tidak diulang dalam surah lain.
    Rahsianya kerana surah ini adalah surah tentang nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya.
    Syarat atau asas utama untuk mendapat nikmat Allah & kebaikan dunia Akhirat ialah; iman, taqwa, amal & ikhlas!
    Ya Allah jadikan kami orang yang mendapat kehidupan yang baik atas dunia ini & mendapat balasan syurga di Akhirat kelak!
  2. Ayat 30- {Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi;…}– bagi sesiapa yang buat kebaikan di dunia akan dapat balasan baik di dunia & Akhirat.
    Maka Allah sebut juga yang sebaliknya iaitu jika kamu tak ambil lorong ini tetapi ambli lorong yang tak baik maka hidup kamu tak akan tenang di dunia & akan mendapat azab di Akhirat pula!
    Firman Allah s.w.t:
    {“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.} (Taha 20:124)
    Siapa lari dari mengingati Allah; tak pakai al-Quran tak pakai hadis, maka hidupnya atas dunia susah di Akhirat pula buta & akan dihumbankan ke dalam neraka! Wal’iyazubillah
    Maka kamu pilih sendiri jalan yang kamu nak, nak jalan husna atau nak jalan susah & sempit { ضَنكًۭا}- hati-hati jangan salah pilih- celakalah akibatnya!

3. Ayat 31- {… mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa,}- Allah kata dalam syurga itu apa saja yang kamu kehendaki akan dapat, Allah akan sediakan bagi kamu.
Kata ulama’ tadabbur seperti seperti Syeikh ar-Razi: dalam tafsirnya: Semua yang kita nak tidak terhalang & tiada sekatan- ini tidak akan terjadi kecuali di dalam syurga. Kita tidak akan dapat semua yang kita nak kecuali di dalam syurga saja!
Maka ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa atas dunia ini bukan semua yang kita nak akan dapat.
Contoh- kaya ada duit beratus juta tetapi ada penyakit- kena pantang sakit tak boleh makan itu tak boleh makan ini, tak boleh nak pergi ke sana sini lagi!!!
Yakni isu halal haram itu satu hal dah, ini yang halal pun tak boleh nak makan atau minum- terhalang dek kesihatan pula!!!

4. Ayat 32- { (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat..}– dalam ayat ini Allah kata malaikat yang ambil nyawa dan mematikan orang itu {تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ}.

Kenapa begitu sedangkan dalam ayat ini Allah kata:
i- Malaikat maut yang mencabut nyawa atau mematikan manusia:
{Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.} (As-Sajdah 32:11)
ii- dalam ayat ini pula Allah kata Dia yang mematikan:
{Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.} (Az-Zumar 39:42)
Tidak bercanggah ke ayat-ayat ini; sekali kata Allah sekali kata Malaikat Maut sekali kata malaikat saja???
Ulama’ tafsir kata jangan pening kerana semua orang tak akan mati kecuali dengan izin Allah! Semua orang akan mati dengan dicabut nyawanya oleh malaikat maut yang diperintahkan Allah. Malaikat maut sebagai ketua pula diiringi oleh para malaikat lain sebagai pembantunya!! Yang penting kita nak mati dengan husnul-khatimah.
Malaikat itu juga apabila datang kepada orang yang baik yang nak dicabut nyawanya: {.. Sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu…}.
Nas ini sebagai dalil yang mengisbatkan akan “amal’ malaikat. Iaitu malaikat ini boleh berupa, boleh beramal, boleh bercakap dan apabila datang kepada orang yang husnul khatimah mereka berkata: {Salam sejahtera ke atas kamu!}
Juga jelaslah bahawa hanya orang yang baik saja dapat masuk syurga.

  1. Ayat 32- {… masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.}- dikatakan kepada orh yang bertaqwa-masuklah kamu ke dalam syurga sebagai balasan amal baik yang kamu kerjakan atas dunia dulu!
    Seperti yang kita nyatakan tadi- ulama’ telah menjelaskan bahawa ayat ini tidak bercanggah dengan hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.”
    Sahabat bertanya: “Sekali pun engkau wahai Rasulullah?”
    Baginda menjawab: “Sekali pun aku, kecuali Allah meliputiku dengan rahmat dan kurnia-Nya.” (HR. Bukhari no. 5673 dan Muslim no. 2816)
    Memang seseorang masuk syurga kerana rahmat Allah. Tetapi untuk nak dapat rahmat Allah pastilah kena ada amalan! Seperti nak makan nasi tapi tak menanak atau pergi beli nasi- tunggu rahmat datang!
    Nak dapatkan rahmat Allah kita kena beramla! Bermula dengan iman, taqwa, ihsan iaitu amal yang soleh & berbuat baik.
    Memang kita tidak akan dapat masuk syurga semata-mata dengan usaha & kekuatan kita saja, tetapi mestilah dengan rahmat & izin Allah. Nak dapat rahmat & redha Allah pastilah kena beribadat & beramal soleh kepada Allah!

Ya Allah jadikan kami dari golongan yang mendapat rahmat-Mu, mati dalam husnul-khatimah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 23/04/2026 / 05 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=934211766096011&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top