View Categories

(9) Surah An-Nahl: Ayat 33-34

12 min read

Ancaman Kepada Kafir, Malaikat Akan Binasakan Mereka & Turun Azab Atau Mati

Live Pagi Selasa 28/04/2026 / 10 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (09) Ayat [33-34]

Full video: https://youtu.be/Vx30ezwHT74?si=1-qZtfDjoWk-cyjc

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli iaitu Surah Lebah atau Surah an-Ni’am (Nikmat yang banyak) dengan ayat 33 sehingga ayat 34 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan amaran & ancaman (تهديد) kepada golongan kafir, kerana mereka tak dengar kata, berkeras kepala nak duduk atas kebatilan!
  3. Lalu Allah hantar malaikat yang akan binasakan mereka dengan izin Allah.
    Azab ini adalah sebagai balasan ke atas mereka yang suka hina perli Islam- maka terimalah balasan kehinaan!
  4. Hukuman mereka adalah samada turun azab atas dunia ini lagi atau mati sebagai pengakhiran hidup atas dunia ini.

Ada kafir kena azab atas dunia & ada yang selamat; tetapi episod lain tetap akan terjadi seperti azab kubur & azab pada hari Kiamat kelak pula!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keraguan syubhat pertama yang dilakukan oleh kafir iaitu cuba menjatuhkan kredibiliti al-Quran dengan mengatakan ia hanyalah dogengan orang terdahulu!.

ii- datang ayat ini menolak syubhat kedua yang ditimbulkan kafir iaitu meminta diturunkan malaikat & azab dengan segera jika Nabi Muhammad s.a.w adalah benar!

Tetapi Allah jawab jika malaikat datang adalah untuk bawa azab ke atas mereka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَوْ يَأْتِىَ أَمْرُ رَبِّكَ ۚ كَذَٰلِكَ فَعَلَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ‎﴿٣٣﴾

Ayat 33- {(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka). Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (Al-Nahl 16:33)

  1. Ayat ini mengherdik & tempelak puak kafir yang tidak mahu beriman itu: Apakah yang kamu tunggu???
    Semua wahyu yang Allah turunkan kepada Nabi s.a.w kamu tolak & tidak terima!
    Maka apakah lagi yang kamu tunggu!!!
  2. Kemudian datang amaran bahawa mereka yang tidak beriman telah menzalimi diri mereka sendiri- mereka tidak menunggu apa yakni tidak beriman sehinggalah:
    i- kedatangan malaikat yang bertujuan untuk mencabut nyawa mereka,
    ii- atau kedatangan azab Tuhanmu yang akan membinasakan mereka.
  3. Pada waktu itu tidak ada guna lagi, malaikat akan datang untuk cabut nyawa mereka tanpa tangguhan walaupun sesaat awal atau lewat!
    Penyesalan dan taubat tidak akan berguna lagi!

*Ingat hanya malaikat maut yang tiba tepat pada masa yang ditetapkan; tidak ada delay atau retime walaupun sesaat!
Yakinlah hanya malaikat & maut yang tiba on time!

  1. Kita semua akan menghadapinya maka kita buatlah persiapan dan sentiasa bertaubat, kembali kepada Allah- kerana orang yang paling baik kepada dirinya orang yang sentiasa bertaubat!

Jika sesiapa yang menyesal atas perbuatan buruknya yang lalu maka dia telah dikira bertaubat kepada Allah!

Hadis ‘Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه :

عن عَبْدِ اللهِ بْنِ مَعْقِلِ بْنِ مُقَرِّنٍ، قَالَ: دخلتُ مع أبي وأنا إلى جنبِهِ عند عبدِ اللهِ
فقال لهُ أبي : أسمعتَ من رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ؟ فقال: نعم سمعتُ
رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يقولُ : الندمُ توبةٌ

Daripada ‘Abdullah bin Ma‘qil bin Muqarrin, katanya:
“Aku masuk bersama ayahku, dan aku berada di sisinya, menemui ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lalu ayahku berkata kepadanya:
‘Adakah engkau pernah mendengar sesuatu daripada Rasulullah ﷺ?’
Maka ‘Abdullah bin Mas‘ud menjawab:
‘Ya, aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
Penyesalan itu ialah taubat.’”

  1. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah & yakin akan hari Kiamat- buatlah persiapan dengan perbanyakkan bekalan Akhirat dengan amal ibadat yang sahih, sentiasa berzikir dan buat kebaikan serta menjauhi dosa & maksiat!
  2. Hadis- Seorang Arab Badwi bertanya Nabi S.A.W: “Bilakah Kiamat?”
    Baginda menjawab, “Apa yang telah kamu siapkan?”
    Dia menjawab: “Aku cinta Allah Azza wa Jalla dan Rasul-Nya.”
    Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.” [HR Muslim, 4775].
  3. Maka marilah kita letakkan kesayangan pertama kita kepada Allah dan taatlah kepada perintah & larangan-Nya.

Kita tunjukkan tanda sayang & cinta kepada Allah dengan mengamalkan ajarannya Baginda s.a.w yang sahih bukan buat sesuatu yang karut & batil.

  1. Manakala tentang maksudnya ayat ini- {atau kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka).}- ulama’ kata samada:

i- azab di Akhirat kelak di mana Allah kumpulkan semua manusia di padang Mahsyar untuk pengadilan dan pembalasan.

ii- ada ulama’ kata balasan atas dunia ini lagi- dengan mendapat azab kesusahan, ujian atas dunia, mental & hati tak tenang, hidup tak keruan, kesihatan tak stabil walaupun duit & harta bertimbun!

  1. Maka jangan sampai kita menjadi manusia yang menyesal di Akhirat kelak!
    Manusia samada kafir atau mukmin akan menyesal kelak:

i- Kafir menyesal kerana tak beriman lalu masuk neraka & mendapat azab yang hina!

ii-manakala orang beriman- ahli syurga juga akan menyesal iaitu menyesal kerana tak buat banyak lagi ibadat & amal kebaikan- solat sunat zikir dan lain-lain.
Ahli ibadat menyesal kerana tak banyak lagi ibadatnya- lalu tak dapat darjat yang lebih tinggi!

  1. Maka begitulah keadaan puak kafir yang akan dijatuhkan hukuman akibat perbuatan mereka yang kufur!

Allah s.w.t tidak menzalimi mereka kerana telah ada hujjah ke atas mereka, Allah telah hantar para rasul, telah diturunkan kitab dan diberi ajaran!!!

  1. Tetapi mereka sendiri yang menolak & enggan menerimanya- menolak dakwah & ajaran rasul, maka jadilah mereka golongan kafir yang mendapat balasan azab buruk dari Allah s.w.t! Serta golongan yang menyesal tiada guna lagi!

فَأَصَابَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا عَمِلُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ ‎﴿٤٣﴾‏

Ayat 34- {Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka telah ejek-ejek dahulu.} (Al-Nahl 16:34)

  1. Maka puak kafir itu:
    i- samada kafir umat terdahulu atau kafir Quraisy umat Rasulullah s.a.w.

ii- ini kerana sifat dan perbuatan mereka sama, menolak dan ingar, tidak mahu beriman, menentang rasul mereka, menyekat manusia daripada jalan Allah, buat diayah palsu untuk memburukkan nabi mereka sendiri, memburukkan al-Quran & kitab yang ada di tangan mereka.

  1. Akibat dari kekufuran & amalan buruk yang mereka lakukan itu Allah timpakan azab ke atas mereka semua sebagai hukuman.
  2. Kata Ibnu Jarir, orang kafir akan ditimpa azab itu ialah samada:
    i- malaikat datang kepada mereka, lalu mati dicabut nyawa;
    ii- atau kena azab dalam kubur;
    iii- atau Allah hantar azab & bala yang nyata atas dunia ini seperti terbalik bumi, gempa bumi dan seumpamanya!
  3. Azab Allah itu pula akan meliputi {} dan menimpa mereka semua secara total & menyeluruh iaitu azab Isti’sol (عذاب الاستئصال); itulah azab ke atas umat terdahulu.

Ini sebagai balasan perbuatan mereka perli dan menghina para rasul & umat Islam yang mengikutinya!

  1. Tetapi azab ke atas umat Muhammad s.a.w tidak begini- hanya azab juz’i ( جزئ) iaitu berperingkat & tidak semua.

Ada kawasan yang kena, ada yang tidak- seperti sekarang ada kawasan hujan; ada yang tetap panas & kering walaupun kampung sebelah!

  1. Kita berdoa kepada Allah agar selamatkan kita semua di dunia dan aman daripada azab kemurkaan Allah s.w.t di Akhirat kelak!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 33- {(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu melainkan…]-
    Allah cabar dan perli puak kafir- apa yang kamu tunggu lagi?
    Tunggu malaikat maut datang mencabut nyawa kamu???
    Atau tunggu malaikat datang bawa azab dengan arahan Allah s.w.t untuk binasakan kamu!!!

Kata ulama’: Dalam ayat ini Allah nyatakan bantahan ke atas puka kafir!
Ini kerana dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan pauk kafr yang buat komplot perancangan & konspirasa terhadap rasul & pengikutnya yang beriman!

Ayat ini juga secara umumnya sebagai perlian & herdikan ke atas mereka kerana puak kafir tidak menunggu pun maut atau azab itu!

Ini kerana mereka tidak percaya pun tentangnya lalu bagaimana mereka nak menunggunya!

Oleh kerana mereka degil tak dengar kata, keras kepala tak mahu beriman; maka wajib azab itu akan datang menimpa mereka!
Maka Allah sandarkan perkataan menunggu azab itu kepada mereka.

Ini kerana Allah nak nyatakan bahawa mereka tahu bahaya risikonya tetapi kerana mereka tak percaya lalu mereka ingkat!
Seolah mereka tak tunggu pun perkara ini!

Mereka tak tunggu kerana mereka tak percaya- kalau kita percaya baru kita tunggu!!

  1. Ayat 33- {(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu melainkan…}– ayat ini sebagai amaran Allah kepada puak kafir khususnya kafir Makkah yang ada bersama Rasulullah s.a.w pada waktu itu dan buat onar itu!

Ini kerana pada peringkat awal, sebelum Nabi s.a.w berhijrah dan sebelum berlakunya peperangan Badar- puak kafir nampak agresif, senang menghina Nabi s.a.w, menghina Islam, menindas dan menzalimi orang Islam yang lemah.

Lalu datang ayat ini sebagai amaran kepada puak kafir agak jangan banyak macam- sekali kamu kata al-Quran ini dongengan orang terdahulu, sekali datang cabar nabi s.a.w agar bawa turun malaikat!

Maka datang ayat ini menjawab keraguan syubhat yang ditimbulkan oleh puak kafir!

Kamu jangan berani-berani minta malaikat turun kerana apabila malaikat datang samada untuk mencabut nyawa kamu atau menurunkan azab!

Yakni ayat boleh ditujukan kepada semua:
i- jika puak kafir: nak tunggu apa lagi jika kamu tidak beriman!!!!

ii- jika untuk orang yang sudah beriman muslimin atau muslimat; sampai bila kamu nak insaf, sampai bila kamu nak lagha hanyut- sampai bila!

Maka di saat itulah kita akan kebimbangan takut datang azab, datang malaikat maut dalam keadaan kita lalai & lagha, kita tak insaf- maka rugi besarlah!

  1. Ayat 33- {… Mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka.}– atau sehingga datang arahan dari Tuhan-Mu!

Perintah Allah apabila sudah diberikan kepada para malaikat iu dijalankan- tidak ada perubahan atau pertukaran lagi!

Azab itu apabila turun tidak boleh diundur atau ditangguhkan lagi!

Bila azab datang ia meliputi kesemuanya, diganyang habis yang ada atas dunia ini, tak boleh nak lari ke mana lagi!

Betapa banyak kita telah lihat kesan azab orang terdahulu, tetapi kita umat terkemudian ini buat tak faham, buat tak reti bahasa!

Kita rasa azab itu seolah hanya untuk umat terdahulu & hanya untuk orang kafir!

Sedangkan Nabi s.a.w telah bersabda, yang maksudnya:
“Wahai kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kamu terjatuh ke dalamnya – dan aku berlindung kepada Allah supaya kamu tidak menjumpainya-

(1) Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka tha’un (wabak) dan penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya,

(2) Tidaklah mereka mengurangi timbangan kecuali akan ditimpa kegawatan, susahnya penghidupan dan kezaliman penguasa atas mereka,

(3) Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan daripada mereka (hujan tidak turun) dan sekiranya bukan kerana haiwan nescaya manusia tidak akan diberi hujan,

(4) Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka (daripada kalangan selain mereka; orang kafir) berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki,

(5) Dan selama pemimpin mereka (kaum Muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik daripada apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.”
[HR Ibnu Majah dan Al-Hakim dengan sanad sahih].

Hadis ini menekankan bahawa kerosakan moral dan ketidakadilan sosial, jika dibiarkan tanpa teguran, akan mengundang bala bencana dan azab daripada Allah S.W.T.

Azab itu juga turun apabila sesama Islam berbalah & tidak bersatu dalam agama, dalam ibadat & ketaatan kepada Allah samada dalam sesebuah negeri atau antara negara!

  1. Ayat 33- {…. Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.}

Allah menegaskan bahawa Tuhan sesekali tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya dengan menurunkan azab ke atas mereka!

Tetapi mereka sendiri yang berbuat zalim ke atas diri mereka, dengan melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah; lalu azab akan turun sebagai hukuman ke atas mereka!

Kata Luqman: Kezaliman yang paling besar ialah syirik!

Kemudian zalim manusia (hamba) sesama manusia seperti pemerintah atau penguasa yang zalim!

Kita muhasabah diri kita sendiri samada kita zalim atau tidak!

Zalim jika buat maksiat kerana seolah mengundang bala ke atas kepalanya sendiri!

Orang yang kufur tidak beriman, orang yang buat dosa & maksiat walaupun beriman, orang yang langgar undang-undang Tuhan, orang yang zalim terhadap orang lain dengan menipu dan mengambil hak orang tanpa haq, menganiaya manusia- seolah mencabar Tuhan, mengundang kemurkaan & azab Allah ke atas dirinya!
Maka itu maknanya zalim ke atas diri sendiri!

Jika ada amanah duit orang miskin seperti zakat atau sedekah orang jangan kita rembat!

  1. Ayat 34- {Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka telah ejek-ejek dahulu.}-

Allah akan timpakan azab dengan sebab apa yang kamu buat!

Apa yang kamu buat atas dunia ini akan dinilai & dibalas maka kenalah kamu!
Kamu buat baik dibalas baik; kamu buat jahat pastilah dibalas jahat juga!

Yakni Allah timpakan azab sebagaimana perbuatan kamu di atas dunia ini.

Tetapi ada juga orang yang faham dan berkata: Kenapa ada juga orang yang baik sakit & ditimpa kesusahan, kenapa ada juga orang yang soleh diuji dan seumpamanya!

Jawapannya:
Dalam bab qadha’ & qadar, dalam bab ujian Allah kepada hambaNya:

i- orang baik & orang soleh diuji- untuk diangkat darjatnya!

Bagi orang soleh; ujian ini bukan tanda Allah benci, melainkan untuk meningkatkan keimanan dan pahala, menggugurkan dosa dan menaikkan darjat mereka di sisi Allah.

Nabi S.A.W bersabda, “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang seumpama mereka (yang lebih utama) dan seterusnya yang seumpama mereka” [HR al-Nasa’i (7440)]

Saidatina Aisyah R.anha menyatakan beliau tidak lagi cemburu melihat seseorang mati dengan mudah/senang setelah menyaksikan kesakitan tenat yang dialami Rasulullah S.A.W sebelum wafat! [HR Bukhari & Muslim].

*Ini kerana Allah nak angkat darjat Baginda s.a.w kepada suatu darjat yang tertinggi, yang tak sampai manusia lain kepadanya!

ii- tetapi jika orang kafir atau ahli maksiat- Allah ujinya untuk dia kembali kepada Allah.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).} (Al-A’raaf 7:168)

Yakni Allah uji manusia samada dengan kebaikan seperti harta kekayaan senang -lenang atau dengan keburukan iaitu susah-payah.
Ini semua supaya mereka kembali kepada Allah Azza wa Jalla.

Jadi apabila kena ujian jangan kata Allah sudah tak sayang- tetapi tujuan atau maksud bala yang Allah turunkan:

i- untuk orang kafir agar insaf bertaubat & kembali ke jalan yang diredhai Allah!

ii- untuk orang beriman & soleh untuk angkat darjat mereka dengan ujian tersebut.

Jadi apabila kena ujian jangan kata tuhan sekarang dah tak melindungi dia!

Kita berdoa kepada Allah agar hidup dengan aman, kita minta keselamatan & kesejahteraan atas dunia ini, dapat beribadat dengan baik & mati dalam husnul-khatimah, hidup di dalam kubur yang merupakan taman-taman syurga, dibangkitkan di Akhirat kelak berada di bawah banyan Arasy, melintas Titian Sirat seolah kilat yang menyambar lalu sampai ke syurga dengan aman!!!!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 21/04/2026 / 03 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=939092082274646&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top