View Categories

(19) Surah An-Nahl: Ayat 68-69

11 min read

Lebah Mendapat Ilham, Tinggal Di Bukit Dan Menyedut Bunga
& Madu Itu Syifa’

Live Pagi Selasa 12/05/2026 / 24 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (19) Ayat [68-69]

Full video: https://youtu.be/r5C3n7CYf5g?si=eGKwJKvUg8O4g0gg

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 68 sehingga ayat 69 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang satu lagi nikmat-Nya yang besar kepada manusia yang kita kena syukur kepada Allah iaitu keajaiban lebah yang tuannya kecil tetapi manfaatnya besar sekali.

Sehingga Allah kata Dia beri ilham {وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ} kepada lebah.

  1. Yakni Allah beri ilham kepada lebah untuk tinggal di atas bukit, atas pokok & tempat orang buat sarang khas untuknya.

Allah juga perintah lebah untuk menyedut cecair madu dari bunga-bunga kemudian balik prosesnya.

  1. Kemudian keluar dari perutnya madu berkhasiat yang mempunyai banyak warna & rasa, madu itu menjadi penawar atau syifa’ kepada sebahagian penyakit manusia (bukan semua penyakit- hanya yang sesuai).

*Semua ini- keajaiban kejadian lebah dan kehidupannya mempunyai tanda-tanda akan rahmat & kuasa Allah bagi orang yang berfikir!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas kita telah nukilkan kata-kata Syeikh Fakharuddin ar-Razi dalam tafsirnya tentang matlamat atau objektif utama al-Quran & kejadian makhluk iaitu untuk menunjukkan akan keagungan & keEsaan Allah s.w.t.

Juga bagaimana susu diproses antara usus yang mengandungi hampas & najis tetapi keluar susu yang putih bersih lagi lazat untuk diminum.

Juga bagaimana keluar dari buah-buahan perahan jus.

Ini adalah dua dalil yang kuat & bukti yang sangat nyata bahawa alam ini ada Pemilik-Nya yang menyusun atur mentadbir alam ini!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tentang dalil itu melalui nikmat-Nya yang ketiga iaitu madu.

Bagaimana lebah seekor binatang kecil mempunyai sistem yang amat lengkap dan tersusun bermula dari sarangnya sehingga kepada madu yang dihasilkannya.

Ratu lebah yang amat dihormati dan memerintah dengan penuh kuasa dalam sarang mereka.

*Boleh search cari tentang keajaiban lebah.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ ‎﴿٨٦﴾

Ayat 68- {Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.} (Al-Nahl 16:68)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia telah memberi ilham {أَوْحَىٰ} kepada lebah untuk membuat sarang tempat tinggalnya samada di atas gunung-ganang atau di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
  2. Sepakat para ulama’ bahawa perkataan {أَوْحَىٰ} ini membawa makna Allah memberi ilham- bukan memberi wahyu menjadi nabi seperti manusia.

Sama seperti Allah memberi ilham kepada ibu Nabi Musa a.s dulu:

“وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ”

{Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; -}(Al-Qasas 28:7)

  1. Nota [563]- Setelah Allah Ta’ala menerangkan perihal susu yang didapati dari binatang ternak, dan tentang makanan dan minuman yang didapati dari buah-buahan, maka dalam ayat ini diterangkan pula tentang madu atau gula lebah yang menjadi ubat penawar bagi manusia; yang didapati dari makhluk yang kecil – lebah.

Allah jua yang memberi ilham kepada lebah membuat sarangnya di tempat-tempat yang tersebut.

Pembentukan sarang lebah yang demikian rapinya, cara hidupnya di dalam sarangnya yang cukup teratur, dan lengkap dengan rajanya, pengawal-pengawal dan pekerja-pekerja yang ditugaskan keluar menyedut madu bunga pokok-pokok tanaman dan tumbuh-tumbuhan untuk dibawa ke sarangnya dari tempat yang sejauh-jauhnya; dan tentang caranya mengeluarkan madu dan menyimpannya dengan sebaik-baik dan sebersih-bersihnya, adalah kesemuanya itu menjadi dalil-dalil yang nyata yang membuktikan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah yang menjadikannya.

Dari peristiwa lebah yang tersebut dalam ayat inilah, surah ini dinamakan surah “An-Nahl” (Perihal Lebah).

  1. Ada diceritakan oleh pencari madu yang mendapat ilham juga bilakah waktu yang sesuai untuk mengambil madu lebah yang matang, juga agar tidak mendapat serangan & halangan dari lebah si tuan sarang.

ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ‎﴿٩٦﴾‏

Ayat 69- {Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.} (Al-Nahl 16:69)

  1. Munasabah ayat:
    i- haiwan ini ada rumah atau sarang untuk mereka berehat.

Dalam ayat yang lepas Allah beri ilham kepada lebah untuk membuat sarang di beberapa tempat yang telah dipilihnya sebagai tempat tinggalnya.

Kemudian haiwan juga perlukan makanan untuk hidup sama seperti manusia.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah beri ilham kepada lebah untuk makan dari bunga-bunga & buahan- apa yang mereka suka!

Pelbagai jenis bunga yang mereka makan ini menghasilkan pelbagai jenis madu yang berlainan pula!

*Kata ulama’, Ibnu Juzai rhm: Maksudnya perkataan {مِن} di sini ialah sebahagian dari pokok bukan semua bunga atau buah yang dimakan lebah ini!
Kerana itu terdapat pelbagai jenis madu yang berlainan rasanya.

  1. Munasabah ayat juga: Selepas Allah ilhamkan kepada lebah untuk pergi mencari bunga-bunga- Allah ajar & beri ilham pula kepada mereka untuk ikut jalan yang Allah telah permudahkan {ذُلُلًۭا}, agar mereka tidak penat untuk terbang jauh mencari bunga yang diingini!
  2. Hasil dari bunga-bunga yang dimakan itu akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, serta berlainan rasanya- berbeza mengikut tempat habitat lebah itu, jika lebah bukit lain rasa madunya berbanding dengan lebah hutan atau lebah peliharaan manusia!

Yakni makanan lebah itu memberi kesan kepada rasa & kualiti madunya!

  1. Kemudian Allah kata madu lebah itulah minuman yang mengandungi penawar bagi manusia dari beberapa jenis penyakit.
  2. Nota [564]- tentang madu lebah menjadi penawar bagi penyakit telah diterangkan juga dalam hadis-hadis Nabi s.a.w dan diakui oleh ahli perubatan lama & modern.
  3. Hadis tentang kelebihan madu:
    i- Daripada Abu Said al-Khudri R.A, seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: Saudaraku sakit perut (cirit-birit).
    Rasulullah S.A.W bersabda: “Beri dia minum madu.”
    Lelaki itu datang kembali dan berkata: “Aku sudah melakukannya (memberi madu), tetapi perutnya bertambah sakit.”
    Rasulullah S.A.W bersabda (kali kedua dan ketiga): “Beri dia minum madu.”
    Lelaki itu datang lagi dan berkata: “Aku sudah melakukannya.”
    Rasulullah S.A.W bersabda: “Allah Maha Benar, sedangkan perut saudaramu berdusta (sakit). Beri dia minum madu.”
    Lelaki itu kembali memberi madu, dan akhirnya saudaranya sembuh. [HR Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.]
  4. Ulasan Ibnu Kathir  tentang hadis ini: Mengikut kajian doktor pada masanya; Lelaki itu telah tersalah makan atau banyak makan yang menyebabkan ada bakteria dalam perutnya yang menyebabkan cirit-birit.

Maka apabila dia minum buat kali pertama & madu masuk dalam ususnya tadi- ia berlawan dan menendang makanan beracun dan penyakit yang ada dalam perut lelaki itu sehingga bertambah ciritnya.

Selepas minum bagi kali ketiga barulah sembuhlah sakit perutnya!

  1. Kerana itu jika kita nak berubat bahan-bahan alami atau Sunnah begini kena ada cara & kaifiyyatnya yang betul bukan hanya pandai-pandai sendiri.

Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah telah menulis sebuah Kitab yang bertajuk Perubatan Cara Nabi (الطب النبوي).

  1. Lagi hadis tentang madu sebagai syifa’:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ ‏ “‏ الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ شَرْبَةِ عَسَلٍ، وَشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وَكَيَّةِ نَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَىِّ ‏”‏‏

(Nabi (صلى الله عليه وسلم) berkata), “Kesembuhan itu ada dalam tiga perkara: Seteguk madu, bekam, dan pembakaran dengan api (membakar).
Tetapi aku melarang umatku menggunakan pembakaran dengan api.” [HR Bukhari].

  1. Pada akhir ayat Allah mengatakan sesungguhnya pada semua kejadian itu adalah tanda yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir.
  2. Yakni jika kita baca & cari banyak lagi keajaiban dan kepelikan lebah yang banyak bermula dari sarangnya (bee-hive) yang berbentuk enam segi, petugas lebah di dalam sarang & di luar sarang mereka, peranan permaisuri lebah dan lain-lain.
  3. Yang penting dalam ayat ini Allah mengajar kepada kita beberapa perkara semoga kita mendapat kefahaman & manfaatnya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 68- {Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah:…} sehingga akhir ayat}-

Allah buat lebah satu makhluk yang kecil, kemudian Allah berinteraksi dengannya, ajar suruh duduk di mana, makan apa dan sebagainya!

Ini kata ulama’ adalah dalil menunjukkan betapa sempurnanya kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.

Susahnya lebah terbang mencari bunga untuk membuat madu, membina sarang- semua itu Allah cipta sebagai satu nikmat yang besar untuk manusia!

Lebah sendiri tak makan atau gunapun madu itu tetapi buat untuk kita manusia, penyakit tu boleh makan madu, madu sebagai penawar itu ini!

Kata Abu Anas: Hanya inilah madu yang kita mampu milik atas dunia sekarang ini- insya’ Allah selamanya begitu!

Madu lebah ini amat panjang sekali perbahasannya.
Cukuplah kita akui betapa rapi, halus & telitinya susun atur yang Allah buat, susahnya lebah buat semua itu untuk nikmat kegunaan manusia.

Maka jika manusia ini masih kufur tidak bersyukur kepada Allah akan segala nikmat-Nya maka patutlah sekali mereka diazab oleh Allah s.w.t!

Ya Allah jadikan kita semua sebagai orang yang bersyukur kepada Allah dalam segala hal.

  1. Ayat 68- {Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah:…}
    Allah memberi wahyu kepada lebah- yakni dengan makna memberi ilham!

Kata ulama’ tadabbur: Bukan semua yang diberi wahyu menjadi rasul atau nabi!
Tetapi ia adalah wahyu ilham yang Allah beri kepada lebah untuk bertindak begitu begini!
Sama seperti wahyu ilham kepada ibu Nabi Musa.

Bukan wahyu hakiki untuk menjadi nabi & rasul seperti manusia yang dipilih & dilantik Allah.
Itu wahyu khas yang Allah hantar malaikat Jibril untuk turun memberi wahyu kepada seorang rasul yang dilantik Allah.

Antara ilham yang diberi khas Allah kepada lebah ialah:

Untuk memilih tempat tinggal iaitu membina rumahnya samada di gunung-gunung, atas pokok atau sarang yang dibina khas manusia untuknya.

Allah tak sebut tentang rumah atau sarang binatang/makhluk lain.
Ini kerana hanya rumah lebah yang mempunyai madu, jadi Allah pilih khas.

*Dalam surah an-Namli (Perihal Semut) nanti ada juga Allah sebut tentang sarangnya.

  1. Ayat 69- {Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai),…}-

Allah suruh lebah pergi makan dan pilih dari bunga & buahan yang ia suka, yang sesuai!

Ulama’ kata dari ayat ini jelas Allah tak kata semua bunga atau buah- tetapi dari apa yang kamu telah sukai, yang sesuai!

Kamu pilih yang pasti akan memberi kebaikan dan penawar bukan bunga atau buah yang beracun yang tidak memberi kebaikan bahkan mudharat pula!

Allahu Akbar- lebah pun pandai pilih makanan yang baik & selamat, tetapi ajaib manusia ada juga yang mahu makan sesuatu yang haram & kotor, yang Allah larang!

  1. Ayat 69- {… (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).}-
    Allah kata keluar dari perut lebah itu minuman {فيه شفاء للناس}.

Allah sebut minuman tak sebut madu di sini, kenapa?
Ini kerana bila disebut minuman itu lebih dekat dengan jiwa kita manusia, manusia suka minum sesuatu yang berkhasiat, lazat dan mempunyai nutrisi isi kandungan yang baik.

Maka Allah telah beri kepada kita kelebihan yang besar melalui lebah ini, di mana madunya menjadi penawar, yang kita kena perhatikan!

Kata ulama’: Asal dari perubatan, syifa’nya duduk di sini madu dan ia menjadi dalil harus bagi kita untuk berubat- tetapi kena cari yang betul-lah!

Allah telah sebut perkataan syifa’ (penawar) ini di dalam al-Quran sebanyak dua kali:

i- ayat kita ini bahawa madu itu sebagai penawar bagi sebahagian penyakit yang dialami manusia.

ii- kedua dalam ayat 44 Surah fussilat Allah sifatkan al-Quran sebagai syifa’ penawar bagi manusia juga.

Iaitu madu penawar bagi badan manakala al-Quran penawar bagi hati!

  1. Ayat 69- { Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.}– Allah kata semua ini; lebah itu sendiri, madunya, sarangnya dan fadhilatnya menjadi satu perkara yang bermanfaat bagi orang yang berfikir!

Ya Allah jadikan kita dari golongan orang yang berfikir-
Lebah itu sesuatu yang pelik & ajaib, rumahnya pelik, madunya pelik, sistem kehidupannya pelik; satu ciptaan Allah yang ajaib!

Tetapi lebih ajaib lagi jika manusia & apatah lagi kita orang yang beriman ini tidak berfikir akan keajaiban lebah dan lain-lain ini sebagai satu tanda & dalil keEsaan & keagungan Allah s.w.t!

Bacalah untuk menambahkan ilmu dan pemahaman kita akan kekuasaan & keagungan Allah s.w.t!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 12/05/2026 / 24 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=949955954521592&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top