View Categories

(11) Surah An-Nahl: Ayat 38-40

11 min read

Kafir Bersumpah Menolak Hidup Semula, Janji Allah S.W.T Pasti Berlaku & Kuasa Kun Fayakun

♥ Live Pagi Khamis 30/04/2026 / 12 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (11) Ayat [38-40]♥

Full video: https://youtu.be/fApRCbNSDSw?si=WKEsXZhtTvV5E24v

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 38 sehingga ayat 40 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa kafir bersumpah bahawa mereka tidak percaya. menolak hidup semula.
    Episod perjalanan dunia ini berakhir dengan kematian manusia, tidak ada Akhirat.
  3. Kemudian Allah nyatakan bahawa janji Allah s.w.t benar & pasti berlaku.

Siapa buat baik di dunia akan dapat balasan baik, siapa buat jahat akan dapat balasan jahat juga. Siapa yang teraniayai atas dunia ini akan mendapat pembelaan di Akhirat.

  1. Allah nyatakan hikmah bangkit semula untuk menunjukkan kepada manusia yang tidak percaya dulu bahawa inilah yang kamu dustakan dulu.

Juga kuasa Allah yang apabila Dia kehendaki dan berkata jadilah maka ia akan terjadi; kun fayakun (كُنْ فَيَکون).

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa syubhah yang ditimbulkan oleh puak kafir sebelum ini seperti; tolak al-Quran, syubhah kedua mereka minta malaikat datang & segera meminta azab dan syubhah ketiga bermain dengan hujjah taqdir Allah menjadikan mereka kafir.

ii- maka datang ayat ini adalah syubhah keempat yang ditimbulkan oleh puak kafir iaitu mereka bersumpah bahawa mereka tak percaya & menolak bangkit semula.

Lalu Allah balas pendustaan mereka dengan dalil yang jelas bahawa semua manusia akan dibangkitkan semula untuk perhitungan di Akhirat kelak.

*Kita orang beriman yang yakin dengan perkara ini buatlah persediaan yang sepatutnya bukan hanya yakin saja!!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ ۙ لَا يَبْعَثُ اللَّهُ مَن يَمُوتُ ۚ بَلَىٰ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ‎﴿٨٣﴾

Ayat 38- {Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): “Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati”. (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.} (Al-Nahl 16:38)

  1. Puak kafir Quraisy itu bersumpah dengan nama Allah untuk mengeras & menguatkannya.

Mereka tidak bersumpah dengan nama berhala mereka kerana mereka tahu Allah itu wujud & berhala mereka lemah tiada kuasa!

  1. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak mungkin Allah boleh membangkitkan semula manusia yang telah mati setelah mereka menjadi tanah!

Mereka tidak mahu beriman, mengingkari bangkit semula & perhimpunan di Akhirat kelak!

  1. Allah terus membalas dengan mengatakan bahkan bahawa janji Allah untuk membangkitkan semula manusia itu benar & tiada siapa yang boleh membantahnya!
  2. Sebagai orang beriman kita yakin percaya tentang kebangkitan semula & wajib membuat persiapan untuknya!

Jika tahu saja tentang bangkit semula tetapi tidak ada persediaan untuknya tidak ada faedah!!!

  1. Janganlah kita mati dengan sebab yang sia-sia seperti mati dalam kemalangan akibat merempit bukan kerana keluar mencari rezeki!

Kita nak jawab apa kepada malaikat di hadapan Allah nanti.

Jika berani sangat pergi lawan yahudi di Palestine- biarlah mati dengan cara yang baik & ada alasan!

  1. Janji Allah benar kamu akan mati & akan dibangkitkan semula!

Tetapi kebanyakan manusia itu tak tahu atau buat tak tahu tentangnya lalu mereka menyalahi ajaran Allah & Rasulullah s.a.w.
Lalu akhirnya mereka jatuh terperangkap dalam kekufuran terhadap Allah!

  1. Hadis qudsi- Nabi s.a.w telah bersabda bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللَّهُ: كَذَّبَنِي ابْنُ آدَمَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ، وَشَتَمَنِي وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ، فَأَمَّا تَكْذِيبُهُ إِيَّايَ فَزَعَمَ أَنِّي لَا أَقْدِرُ أَنْ أُعِيدَهُ كَمَا كَانَ، وَأَمَّا شَتْمُهُ إِيَّايَ فَقَوْلُهُ لِي وَلَدٌ، فَسُبْحَانِي أَنْ أَتَّخِذَ صَاحِبَةً أَوْ وَلَدًا

Daripada Ibnu Abbas r.a., daripada Nabi صلى الله عليه وسلم, Baginda bersabda:
“Allah S.W.T telah berfirman:
“Anak Adam mendustakan-Ku dan itu tidak patut baginya.
Anak Adam memaki-Ku (menghina-Ku) dan itu tidak patut baginya.

Adapun pendustaannya kepada-Ku ialah perkataannya: ‘Allah tidak akan menghidupkanku kembali sebagaimana Dia menciptakanku pertama kali’.
Padahal, penciptaan pertama tidak lebih mudah bagi-Ku daripada menghidupkannya semula.

Adapun makiannya (penghinaannya) kepada-Ku ialah perkataannya: ‘Allah mempunyai anak’. Padahal Aku Maha Esa dan tempat bergantung, Aku tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Ku.” [HR Bukhari, Hadis No: 4974 / 4212].

  1. Begitulah Allah menyatakan bangkit semula itu pasti tetapi puak kafir mendustakannya!!

Inilah syubhah keempat yang mereka timbulkan, untuk mendustakan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w!

لِيُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي يَخْتَلِفُونَ فِيهِ وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّهُمْ كَانُوا كَاذِبِينَ ‎﴿٩٣﴾

Ayat 39- {(Allah menghidupkan semula orang-orang yang mati) untuk menerangkan kepada mereka apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.} (Al-Nahl 16:39)

  1. Ayat ini hikmahnya Allah nak beritahu kepada puak kafir dua perkara:

i- apa yang kamu tak percaya dulu kamu akan dapatinya benar apabila kamu nak mati lagi, kemudian apabila kamu melihatnya kamu percaya lagi!

ii- Allah nak beritahu kepada puak kafir bahawa bohong & tidak benarnya dakwaan mereka bahawa tidak ada kebangkitan semula!

  1. Allah nak nyatakan bahawa di Akhirat kelak benar apa yang Allah janjikan!

Allah akan bangkitkan semula orang mati di Akhirat kelak untuk melihat apa yang kamu dustakan dulu adalah benar terjadi & kamu akan mendapat balasan atasnya!

  1. Yakni buruk & beratnya balasan itu jika perbuatan yang dilakukan adalah buruk & jahat!

YANG baik akan dapat baik yang jahat akan dapat buruk- begitulah keadaan kita di Akhirat kelak!
Maka kita usahalah buat yang terbaik jangan buat yang buruk.

  1. Pada waktu itu akan tahu puak kafir yang mengingkari bangkit semula itu akan tahu dan lihat betapa sumpah mereka dulu adalah bohong.
  2. Nota [538] Orang-orang mati dihidupkan semula untuk menerangkan kepada mereka: perkara yang benar mengenai apa yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah ditentang oleh golongan yang ingkar dari umat masing-masing; maka dengan itu akan ternyatalah orang yang baik dari orang yang jahat, yang taat dari yang melakukan maksiat, yang zalim dari yang dizalimi; dan yang diberi balasan: yang baik dibalas baik dan yang jahat dibalas jahat.
  3. Berkata Syeikh Ibnu Asyur : Allah s.w.t itu Maha Bijaksana, tidak berlaku dalam semua perbuatan Allah menyalahi hikmah dalam sesuatu perkara.
  4. Maka kita orang beriman banyakkan & kuatkan ibadat, dekatkan diri kepada Allah, berpegang kepada Sunnah Nabi s.a.w, jauhi maksiat, hindari khurafat & jangan buat benda yang dilarang oleh Allah & oleh Rasulullah s.a.w.
    Maka kita akan aman di dunia & selamat di Akhirat insya’ Allah!

إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَا أَرَدْنَاهُ أَن نَّقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ ‎﴿٠٤﴾‏

Ayat 40- {Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: “Jadilah engkau! “, maka menjadilah ia.} (Al-Nahl 16:40)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah telah nyatakan bahawa bangkit semula itu wajib & nyatakan hikmahnya bahawa bangkit semula itu untuk menyatakan pembohongan mereka yang tidak percaya & untuk membalas kezaliman yang terlepas atas dunia; tetapi ramai di kalangan manusia yang tidak tahu!

ii- maka dalam ayat ini Allah nak nyatakan kuasa Allah nak hidupkan balik dengan nak buat yang baru sama saja.

Allah itu Maha Agung- apabila Allah nak jadikan sesuatu & berkata jadilah- (كُنْ فَيَکون) maka ia akan terjadi!

  1. Kita sebagai orang yang beriman yakin percaya & buat persiapaan yang menunjukkan kita percaya!
    Bukan bual saja tapi tak buat apa persediaan.
  2. Sekali saja Allah berfirman: Jadilah (كُنْ)! Maka akan terjadi (فَيَکون) sesuatu itu dengan kehendak & kuasa Allah tanpa tangguh, tanpapenat & letih.

Antaranya ialah untuk menghidupkan balik orang mati- bukan sesuatu yang susah lansung bagi Allah.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”
    Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
    “Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.
    Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
    Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!”. Maka ia terus menjadi.} (Yaa Siin 36: 78-82)
  2. Nota [539] Yakni Allah Yang Maha Kuasa, apabila Ia menghendaki sesuatu maka dengan serta-merta terlaksanalah dia.

Adapun kalimah “Kun fa yakun – كُنْ فَيَكُونُ” yang tersebut dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, hanyalah menggambarkan bagaimana mudah dan cepat terlaksananya kehendak Allah mengadakan sesuatu, kerana segala benda yang wujud itu adalah dari kesan kekuasaan Allah Ta’ala.

*Allah kata jadi-jadilah & tiada siapa boleh menghalangnya!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 38- {Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh…}– puak kafir bersumpah dengan nama Allah untuk menguatkan sumpah mereka.

Ulama’ kata mereka tidak bersumpah dengan berhala mereka kerana mereka tahu berhala sembahan mereka itu tidak ada apa-apa kuasa & kekuatan.

Mereka bersumpah bahawa mereka sesekali tidak percaya akan kebangkitan semula kerana bagi mereka apa yang ada di depan mata saja yang boleh mereka percayai.
Ada maka ada jika tiada maka tiadalah.

  1. Ayat 38- {Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh…}– kamu bersumpah bahawa kamu ingkar dan tidak percaya ini;
    Maka Allah tolaknya dengan bawa hujjah dalam ayat berikutnya ini:

{(Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.}- yakni Allah kata supaya kamu tahu apa yang kamu ingkar yang kamu tak percaya dulu itu- sekarang ini ada & berlaku kerana janji Allah itu benar & pasti berlaku!

Kemudian Allah nyatakan hikmah manusia dibangkitkan semula iaitu kenapa Allah menghidupkan semula orang-orang yang mati:

i- untuk menerangkan kepada mereka apa yang mereka berselisihan padanya,
ii- dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.

Allah bawa dalil dan berhujjah dengan apa yang akan berlaku & terjadi sungguh- apa yang mereka dustakan dulu, apa yang mereka kata bohong sekarang berlaku di depan mata mereka!

Allah Maha Kaya, Maha Adil & Bijaksana- sesiapa yang buat kezaliman kepada orang lain atas dunia ini jika terlepas atas dunia- mereka tidak akan terlepas di Akhirat kelak, akan mendapat hukuman dan balasan yang sewajarnya.

Manakala orang yang dizalimi yang tidak terbela di atas dunia dulu – akan mendapat pembelaan & pengadilan yang sewajarnya di Akhirat kelak!

Malaikat akan dakwa & bentangkan kes apa yang mereka buat di dunia dulu.
Maka kita orang beriman yakin akan pengadilan dan pembalasan Allah yang adil lagi sempurna ini!

  1. Ayat 39- {(Allah menghidupkan semula orang-orang yang mati) untuk menerangkan kepada mereka apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.}– dalam ayat ini Allah bawa dua hikmah yang sangat mendalam tentang kebangkitan semula.

Hikmahnya:
i- apa yang kamu perselisihkan atas dunia dulu- iaitu ada yang percaya beriman & ada yang menentang menolak- kita jumpa di Akhirat kelak untuk lihat siapa yang benar siapa yang salah.

Semua makhluk akan bertemu dan apa yang berlaku di dunia dulu akan dibentangkan dan kita akan tahu siapa yang betul & siapa yang soleh dalam apa yang kita berbalah perselisihkan di dunia dulu!

ii- nak beritahu kepada puak kafir bahawa apa yang kamu ceita dulu bohong!
Pegangan kamu dulu adalah bohong!

Kamu kata puak Islam berpegang dengan sesuatu yang batil tetapi sekarang jelas kamulah yang sesat & batil!

Syaitan lari apabila dibaca ayat kerusi;
Tetapi ahli politik pula sibuk berebut kerusi!!!

  1. Ayat 39- {(… dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.}-

Allah nyatakan bahawa Dia mahu orang kafir itu sendiri tahu bahawa dia salah!

Orang kafir sendiri akan menghukum diri mereka bahawa mereka dulu salah!

Atas dunia ini susah bagi manusia untuk mengaku salah.

Jika terbukti salah setara mana pun mereka akan pusing balik sehingga menjadi tak bersalah!

Kata Sayyidina Umar r.a:
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

“Kembali kepada kebenaran, balik ke pangkal jalan lebih baik daripada terus berjalan menuju kepada kebatilan!”.

Apabila kita tahu perkara itu tidak benar selepas kita belajar dan tahu; tidak salah & tidak hina orang yang u-turn balik mencari kebenaran selepas menyedari mereka telah tersalah dan dalam kesesatan.

Ingatlah atas dunia ini kita mungkin bebas untuk buat apa saja, tetapi ingat di Akhirat kelak kita tidak akan terlepas dari segala perbuatan & perkataan kita!

Tetapi apa boleh buat kafir itu baru sedar apabila mereka nak mati atau mati- maka tiada faedah lagi!

Maka jika nak sedar, nak insaf kembali bertaubat, buatlah ketika masih hidup- jangan tungu nak mati atau mati baru nak sedar- tidak akan ada guna faedah lagi!

  1. Ayat 40- {Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: “Jadilah engkau! “, maka menjadilah ia.}

Ayat ini menyatakan kekuasaan Allah s.w.t- Tuhan nyatakan kepada kita bahawa Allah itu berkuasa penuh!

Maka apabila Allah Maha Berkuasa penuh- maka nak bangkitkan semula manusia ini hanya dengan kun-fayakun!

Firman Allah:
{… tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Nahl 16:77)

Kata Imam al-Buwaiti rhm: Allah ciptakan makhluk ini dengan arahannya (kun) maka jadilah (fayakun).

Jika kun ini dianggap makhluk maka seolah makhluk mencipta makhluk -itu tidak benar!

Kun itu adalah perintah Allah, Allah yang nyatakan kemudian malaikat melaksanakannya. Itulah kuasa Allah Azza wa Jalla!

Ayat ini juga nak membatalkan iktikad kepercayaan puak musyrikin yang mengatakan adalah susah untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati!

Allah kata susah apa sekali Allah kata (kun) semua yang mati hidup semula- yang di dalam kubur dari zaman dulu, yang sedang tidur lama-lama semuanya akan bangkit hidup semula!

Semua manusia akan bangkit semula, berkumpul di satu tempat perhimpunan (Mahsyar) kemudian akan dibuat perhitungan di hadapan Allah Azza wa Jalla kemudian diberi pembalasannya.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 30/04/2026 / 12 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=940182095498978&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top