Hikmah Ditangguhkan Azab, Ucapan Keji Si Kafir & Tugas Nabi S.A.W Dan Al-Quran

Live Pagi Khamis 07/05/2026 / 19 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (17) Ayat [61-64]
Full video: https://youtu.be/FVblIzLURLg?si=MGjxyolgFfRBUxWD
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 61 sehingga ayat 64 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan hikmah ditangguhkan azab ke atas puak-puak yang derhaka kepada Allah!
Dari satu dimensi ini menunjukkan sifat rahmat Allah kepada hamba-Nya walaupun mereka derhaka & buat maksiat terhadap-Nya.
Sehingga sampai tempoh yang Allah tetapkan jika terlepas atas dunia di Akhirat pasti akan dipukul, diazab siksa!
- Allah tempelak lagi ucapan keji si kafir yang memberikan apa yang mereka tak suka kepada Allah.
Mereka mengatakan Allah ada anak perempuan sedangkan mereka sendiri tidak menyukainya!
- Kemudian Allah memberi penenang kepada Nabi s.a.w menyatakan bahawa bukan hanya Baginda yang ditentang kaumnya bahkan para rasul terdahulu begitu juga menghadapi tentangan yang sama.
Lalu Allah nyatakan tugas Nabi S.A.W untuk menyampaikan bimbingan dan Al-Quran sebagai peringatan kepada manusia seluruhnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang betapa keji & jeleknya perkataan puak kafir membuat tuduhan terhadap Tuhan, serta jahatnya perbuatan mereka menanam anak perempuan hidup-hidup.
ii- datang ayat ini Allah menyatakan sifat-Nya yang Maha sempurna iaitu penuh lemah-lembut & kasih sayang terhadap hamba-Nya; boleh menangguhkan azab ke atas mereka yang begitu buruk sifatnya itu.
Allah yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa boleh mengambil tindakan ke atas hamba-Nya bila-bila masa tetapi Allah beri tempoh kepada mereka, beri lagi makan minum, hidup senang atas dunia ini.
- Munasabah kedua:
i- mereka puak kafir kata kepada Allah macam-macam, ada anak la, apa yang mereka tak nak anak perempuan mereka bagi kepada Tuhan, anak lelaki mereka ambil!
ii- maka datang ayat ini lebih kepada amaran kepada mereka- wahai kafir kamu buat derhaka dan macam-macam kejahatan atas dunia ini- jika Allah nak ambil tindakan ke atas kamu tak akan hidup kamu atas dunia ini!
*Jadi ayat ini terpakai kepada dua-dua keadaan iaitu samada menunjukkan sifat rahmat Tuhan atau amaran kepada si kafir!
Itulah uslub al-Quran yang penuh hikmah!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَوْ يُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِظُلْمِهِم مَّا تَرَكَ عَلَيْهَا مِن دَآبَّةٍ وَلَٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَـْٔخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ ﴿١٦﴾
Ayat 61- {Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.} (Al-Nahl 16:61)
- Jika Allah nak menghukum, nak ambil tindakan ke atas manusia dengan sebab kafir & syirik mereka, dosa maksiat, dengan sebab tuduhan jahat mereka terhadap Allah, menyakiti & menghina Rasulullah, menyekat manusia di jalan Allah dan segala kejahatannya.
*Nota [554] Yakni disebabkan kekufuran atau maksiat-maksiat yang mereka lakukan.
- Pasti tidak akan ada yang tinggal terlepas kerana Allah telah membinasakan semua makhluk yang melata di bumi ini.
Semua haiwan juga akan ikut binasa kerana semua manusia dibinasakan maka tidak akan ada sesiapa pun yang hidup atas dunia ini.
- Nota [555] Yakni tentulah Ia membinasakan dunia ini dan segala isinya disebabkan kejahatan golongan yang kufur ingkar dan yang mengerjakan maksiat itu.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kalau sekiranya Allah menyiksa manusia disebabkan usahanya, niscaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun, akan tetapi Allah menangguhkan (penyiksaan) mereka sampai waktu yang tertentu; maka apabila datang ajal mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.} (Faatir 35:45)
*Allah tahu di mana saja kamu berada tak perlu nak lari bersembunyi cari pertahanan!
- Tetapi Allah yang sifat-Nya Maha Lemah-lembut juga boleh menangguhkan azab-Nya ke atas mereka yang derhaka itu!
Apabila Allah nak ambil tindakan, nak hantar azab-Nya- tidak akan ada yang terlepas, tidak ada tempat makhluk boleh berlindung dari kuasa Allah!
- Kenapa Allah memberi tempoh itu???
Nota [556] Allah memberi tempoh itu ialah supaya orang yang kembali insaf dapat bertaubat, dan orang yang degil akan bertambah azabnya. - Yakni Allah beri tempoh kerana dua sebab:
i- untuk mereka bertaubat kembali kepada Allah jika mendapat hidayah.
ii- atau biar mereka makin jahat mengumpul dosa lalu senang malaikat nak humbankan mereka ke dalam neraka!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- { Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).} (Ibrahim 14:42) - Hadis: Abu Musa Al-Asy’ari R.A menceritakan, “Rasulullah S.A.W bersabda:
‘Sesungguhnya Allah S.W.T memberikan kesempatan kepada orang yang zalim, tetapi ketika Allah S.W.T mengazabnya, tidak ada seorang pun yang dapat menyelamatkannya.’
Kemudian, Baginda membaca Al-Quran surah Hud ayat 102:
{Begitulah seksa Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh seksa-Nya sangat pedih, sangat berat.} [HR Bukhari & Muslim]. - Kemudian Allah nyatakan apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.
- Kata ulama’ tafsir: Tempoh itu ialah maut. Yakni apabila azab Allah atau ajal tiba- tidak akan dapat dipercepatkan atau ditangguhkan sesaat pun, atau dielakkan & diselamatkan!
وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ ٱلْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ ٱلْحُسْنَىٰ ۖ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ ٱلنَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ ﴿٦٢﴾
Ayat 62- {Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).} (Al-Nahl 16:62)
- Allah nyatakan lagi perbuatan buruk & jahat puak kafir yang memberikan atau menisbahkan kepada Allah sesuatu yang mereka tidak suka.
Sebagaimana dalam ayat-ayat yang kita baca sebelum ini bagaimana mereka bersembunyi, amat benci & marah apabila isteri mereka melahirkan anak perempuan.
- Kita ingat juga jangan buat perangai begini, iaitu jangan kamu beri kepada orang apa yang kamu tak suka samada:
i- dalam bab sedekah atau pemberian sebagaimana firman Allah:
{لَن تَنَالُوا ٱلْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَىْءٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ}
Maksudnya: {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.} (A-li’Imraan 3:92)
ii- juga dalam bab memberi gelaran atau memanggil orang dengan nama buruk- nanti mereka akan membalasnya dengan panggilan yang kita tak suka!
Sebagaimana firman Allah:
{وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ}
Maksudnya: {Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.} (Al-An’aam 6:108)
- Puak kafir berkata perkara dusta dengan lidahnya- menyangka kerana mereka mendapat kekayaan & kejayaan atas dunia ini- menunjukkan bahawa Allah sayang & redha kepada mereka!
- Menyebabkan mereka kata mereka akan dapat kebaikan {ٱلْحُسْنَىٰ} yang Tuhan beri.
Atas dunia mereka berjaya dah, di Akhirat kelak pastilah akan berjaya dan dapat kebaikan juga!
Mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat kebaikan di akhirat sama seperti mereka mendapatkannya semasa di dunia.
- Kata Syeikh Syanqiti: Maksudnya {ٱلْحُسْنَىٰ} di sini ialah mereka sangka mereka akan dapat kebaikan juga di Akhirat kelak berdasarkan kebaikan & kejayaan mereka atas dunia ini.
- Sedangkan tidak ragu & tidak syak lagi {لَا جَرَمَ } iaitu pastilah bagi mereka balasan api neraka & merekalah orang yang akan segera dimasukkan ke dalam neraka!
Mereka akan dilupakan & dibiarkan di dalam neraka selamanya tiada tempoh pengakhiran!
- Inilah pegangan kita ahli Sunnah bahawa syurga & neraka itu kekal abadi selamanya tiada pengakhiran dan kesudahan penamat!
*Orang beriman yang ada iman dalam hatinya tetapi masuk neraka dengan sebab dosa mereka- ada tempohnya sehingga habis hukuman mereka akan keluar neraka!
تَٱللَّهِ لَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ أَعْمَٰلَهُمْ فَهُوَ وَلِيُّهُمُ ٱلْيَوْمَ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٣٦﴾
Ayat 63- {Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Nahl 16:63)
- Munasabah ayat:
i- bagaimana puak kafir duduk buat tuduhan yang karut-marut terhadap Allah;
ii- maka datang ayat ini untuk menenangkan hati Nabi s.a.w. - Nota [557] Allah Ta’ala bersumpah dengan nama-Nya sendiri untuk memberi semangat kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya janganlah ia berdukacita disebabkan golongan yang ingkar dari kaumnya; kerana apa yang dilakukan oleh mereka, pernah juga dilakukan oleh umat-umat yang telah lalu yang menentang Rasul masing-masing.
- Yakni Allah jelaskan kepada Nabi s.a.w bahawa para rasul sebelum Baginda juga menghadapi tentangan dan pendustaan dari kaum mereka.
Apabila mengajak orang kepada Tuhan & meninggalkan syirik- akan kena lawanlah!
- Syaitan telah menghiaskan kepada puak kafir bahawa telah elok & betul apa yang mereka amalkan itu, benar apa yang telah tok nenek mereka tinggalkan.
- Syaitan memperelokkan apa amal-amal mereka yang jahat itu- lalu syaitan akan menjadi wali atau ketua mereka di Akhirat kelak!
Iaitu syaitan & pengikutnya akan dihumban di dalam neraka bersama semuanya! - Lalu mereka semua akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya!
وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ ۙ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ ﴿٤٦﴾
Ayat 64- {Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.} (Al-Nahl 16:64)
- Dalam ayat ini Allah ceritakan peranan Nabi s.a.w & fungsi al-Quran:
i- Tujuan Allah turunkan wahyu kepada Nabi s.a.w agar Baginda menjelaskan kepada manusia tentang apa yang mereka perselisihkan.
*Nota [558] Yakni perkara-perkara yang mereka mengingkarinya, seperti hari akhirat, benda-benda yang halal dan haram, dan lain-lainnya.
ii- Al-Quran juga menjadi petunjuk & rahmat bagi orang yang beriman.
*Nota [559] Al-Qur’an menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, kerana merekalah yang mematuhi ajaran-ajarannya; sedang orang-orang yang tidak beriman adalah sebaliknya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.} (Yunus 10:57)
Penutup & Faedah #
- Ayat 61- {Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak;..}– dalam ayat ini menyatakan bahawa rahmat Allah itu sangat luas dalam dunia ini.
Ini kerana walaupun seseorang itu jahat dan buat sesuatu yang amat buruk kepada Tuhan, mereka tetap dapat rezeki, masih boleh makan minum, hidup atas dunia ini dengan bebasnya!
Maka bersenang-senanglah sebelum Allah ambil tindakannya ke atas kamu atau kamu mati!
Ayat ini menunjukkan sudut rahmat Allah yang amat luas- jika tidak kerana rahmat Allah ini- tidak akan ada lagi manusia atas dunia ini- habis semua musnah kena azab!
Timbul soalan: Bagaimana pula keadaan apabila Allah turunkan azab- apakah orang beriman yang ada bersama akan selamat- azab itu pilih-pilih saja atau bagaimana?
Jawapannya tidak- semua yang ada akan kena. Sebagaimana hadis Nabi ini.
Daripada Sayidina Ibn Umar r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ عَذَابًا أَصَابَ الْعَذَابُ مَنْ كَانَ فِيهِمْ ثُمَّ بُعِثُوا عَلَى أَعْمَالِهِمْ
“Apabila Allah mengkehendaki azab berlaku kepada sesuatu kaum, Allah akan menimpakan azab kepada semua yang berada dalam kalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan dengan amalan-amalan mereka.” (HR Muslim)
- Ayat 61- {.. tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak;..}
Allah kata Dia tidak akan tinggalkan sesuatu pun yang melata.
Maksudnya {دَآبَّةٍ}- ini ialah semua haiwan yang hidup- termasuk manusia ini kerana menurut ulama’ mantiq- manusia adalah haiwan yang boleh bercakap!
Maka apa yang Allah nak maksudkan di sini ialah manusia!
Hikmah Allah tangguhkan azab itu:
i- nak beri peluang jika ada yang akan bertaubat & beriman!
Memang ramai pun yang selamat kembali kepada Allah ini.
Contoh pada zaman Nabi s.a.w: Abu Sufyan & Khalid al-Walid yang pada awalnya musuh utama Islam & berbelas tahun menentang Nabi s.a.w.
ii- Allah tahu jika ibu bapanya tidak beriman pasti akan ada anaknya yang akan beriman. maka diberi tempoh.
iii- ini peluang besar bagi orang yang beriman tetapi buat derhaka kepada Allah- Allah beri tempoh untuk mereka insaf dan bertaubat & tinggalkan dosa maksiat itu!
Kita pun begitu juga sentiasa bertaubat insaf & tinggalkan dosa & silap jika ada!
- Ayat 62- {Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya;…}– kejahatan puak kafir itu letakkan atas Allah benda yang mereka tak suka!
Kejahatan manusia ini samada:
i- melalui perkataan mereka seperti mengatakan tuduhan palsu.
ii- perbuatan mereka- menyembah berhala & buat syirik.
iii- dan mereka tidak rasa atau atau tidak tahu bahawa mereka itu salah & sesat.
Rasa & sangka mereka betul, Allah sayang kepada mereka!
Puak kafir ini Allah beri kepada mereka satu sifat yang tidak baik- mereka sangka mereka betul & Tuhan sayang mereka serta bagi mereka kebaikan dunia & Akhirat sekali!
Kerana itu mereka payah insaf & susah untuk bertaubat!
- Ayat 63- {… lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu;}– kerja syaitan menghiaskan apa yang buruk menjadi cantik di mata manusia.
Puak kafir sangka baik, tetapi sebenarnya perkara itu buruk, nampak molek kerana telah dihiasi syaitan- jadi baik & elok.
Benda buruk tetapi kita rasa elok, baik dan indah kerana telah dihias dengan kosmetik atau mekap oleh syaitan!
Satu kata-kata nasihat dari Syeikh al-Fudhail kepada para penuntut ilmu:
قال الفضيل بن عياض رحمه الله *يوصي طلبة العلم:
لا تكونوا كالمنخل ** يخرج الدقيق الطيب ويمسك النخالة،
تخرجون الحكمة من أفواهكم؛** ويبقى الغل في صدوركم .*
Maksudnya: Wahai penuntut jangan kamu jadi seperti penapis;
iaitu mengeluarkan gandum yang elok dan memegang hampasnya.
Kamu pula mengeluarkan kata-kata hikmah dari mulut kamu;
tetapi kekal keburukan dalam hati kamu (sifat dendam, hasad atau riya’).
Syaitan ini pandai dia menghiasi sesuatu yang buruk; menjadikan manusia berasa apa yang elok itu buruk dan yang benar & elok itu pula terasa buruk & jelek!
Seperti Islam menghalang kemajuan, kemodenanan dan seumpamanya!
Orang kafir ini di dalam negara Islam tidak berani nak bertindak atau bercakap memulakan dakyah mereka- tetapi jika ada orang Islam sendiri yang bersandar kepada mereka, mereka jadi gagah & berani!
Kerana itu dalam Islam ini ada satu kumpulan munafiq- mereka mengaku Islam tetapi perangai kafir!
Inilah bahayanya, jangan kita menjadi tongkat atau senjata kepada orang kafir untuk memukul Islam sendiri.
Ayat ini sekaligus untuk menenangkan hati Nabi s.a.w, bahawa bukan Baginda seorang saja yang menghadapi tentangan & ancaman begini- bahkan semua para nabi terdahulu begini juga!
- Ayat 64- {Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.}– ayat ini menunjukkan kepada peranan al-Quran.
Al-Quran menjadi petunjuk, penjelas dan pemisah antara yang haq & batil.
Kerana itulah apabila kita nak penerangan dan penjelasan, nak tahu perkara yang benar- rujuklah kepada al-Quran.
Objektif besar Allah turunkan al-Quran ialah:
i- mengeluarkan manusia dari kejahilan;
ii-membebaskan manusia dari syirik
iii- membersihkan manusia daripada kotoran maksiat & mungkar!
Al-Quran adalah petunjuk {وَهُدًۭىۭ} kepada manusia, siapa nak selamat kena ikut al-Quran. Ikut berdasarkan penjelasan dan huraian para ulama’ Salafus-Soleh dan ulama’ muktabar yang terkemudian dan sekaligus mesti berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 07/05/2026 / 19 ZulQa’dah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=945585221625332&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
