View Categories

(12) Surah An-Nahl: Ayat 41-42

13 min read

Pahala Berhijrah Fi Sabilillah, Di Dunia Dan Akhirat & Sabar Dan Tawakkal

Live Pagi Sabtu 02/05/2026 / 14 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (12) Ayat [41-42]

Full video: https://youtu.be/XkpkT9wwoCg?si=NKq7SciOEkwsmQRp

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 41 sehingga ayat 42 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kelebihan & pahala bagi orang yang berhijrah fi sabilillah.

Mereka orang yang terawal berhijrah samada ke Habsyah (Ethiopia) pada awalnya atau kemuncaknya apabila Quraisy nak bunuh Nabi s.a.w maka Allah izinkan untuk semua termasuk Nabi s.a.w untuk berhijrah ke Madinah.

  1. Mereka akan mendapat pahala yang besar- dua-dua di dunia dan akhirat.
    Ini kerana semasa di dunia mereka terutama (المستضعفين) yang lemah seperti golongan hamba & miskin telah mendapat tekanan dan penyiksaan yang zalim dari kafir Quraisy.
  2. Sifat para muhajirin ini ialah; sabar dan tawakkal.

Sabar menghadapi ancaman dan hentaman dari puak kafir musyrikin.

Mereka juga tawakkal kepada Allah maka Allah akan berikan mereka kehidupan yang baik.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tak percaya bahawa adanya bangkit semula.

Maka mereka makin keras, dahsyat & teruk menentang Islam- kerana mereka tidak beriman, tidak percaya kepada Akhirat!

*Orang beriman yang kurang iman juga akan berani melanggar perintah Allah & zalim kepada orang.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bagi orang yang berhijrah di dunia lagi mereka akan mendapat kebaikan- seperti Raja yang baik & melindungi di Habsyah atau kemudian berhijrah ke Madinah.

Taibah negeri yang baik & penduduknya yang baik juga iaitu golongan Ansar.

Orang yang berhijrah mesti mempunyai sifat sabar & bertawakkal kepada Allah.

  1. Kita kena tahu tentang hijrah & peranannya dalam Islam serta kepentingannya dalam kehidupan kita walaupun pada zaman kita sekarang.

Kita duduk atas nama umat Islam yang bebas merdeka tetapi sebenar tidak bebas kerana amalan agama kita terbantut hanya dibenarkan dalam bab ibadat tetapi tidak dalam bab muamalat & jenayah- dinafikan sekerasnya dalam sebahagian negara umat Islam.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ‎﴿١٤﴾‏

Ayat 41- {Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.} (Al-Nahl 16:41)

  1. Allah nyatakan bahawa orang berhijrah kerana Allah { فِى ٱللَّهِ} meninggalkan negeri, harta & keluarga kerana Allah s.w.t.

Iaitu dari Makkah yang zalim penduduknya pada masa itu kerana (ditindas oleh musuh-musuh Islam), ke negeri yang aman.

Iaitu pertamanya hijrah ke Habsyah dan keduanya hijrah ke Madinah al-Munawwarah.

*Bahkan ada orang yang Islam yang sudah dibunuh seperti Yasir & isterinya Sumayyah- syahid pertama dalam Islam.

  1. Nota [450]- Yakni orang-orang Islam dalam zaman Nabi s.a.w yang telah ditindas oleh kaum musyrikin Makkah sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah sebagai hijrah yang pertama dan yang kedua ke Madinah al-Munawwarah.

Adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah & mempertahankan kesucian agam Islam.

  1. Hijrah (الهجرة) dalam skop pada zaman Nabi s.a.w maksudnya berpindah dari satu tempat, negeri yang zalim iaitu Makkah ke negeri lain yang aman iaitu pertamanya ke Habsyah & kemuncaknya ke Madinah.
    Hijrah tubuh badan dan berpindah negeri.
  2. Pada peringkat awal Islam hijrah ini memang wajib untuk menjaga diri & agama kecuali mereka yang lemah (المستضعفين)!

Ini pada zaman Nabi s.a.w dan tiada lagi pada zaman ini kelebihan seperti hijrah yang tersebut.

  1. Kemudian selepas itu ada pula hijrah maknawiyyah iaitu meninggalkan perbuatan yang buruk, maksiat & mungkar!

Hijrah ini berterusan sehingga hari Kiamat dan di mana saja kita berada atas dunia ini!

  1. Hijrah negeri tidak ada lagi zaman kita ini kecuali memang tertindas dan tertekan (seperti dalam negara komunis) tak boleh menjalankan amal ibadat & bahaya diri; boleh keluar mencari tempat lain yang lebih aman.

*Tetapi jika sudah berada di dalam negara yang baik tak perlu lagi hijrah.

  1. Hijrah ini wajib betul-betul kerana Allah {فِى ٱللَّهِ} menuntut keredhaan Allah sebagaimana hadis Nabi s.a.w:

Dari Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a. katanya, “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya):
Hanya sesungguhnya segala amal itu bergantung dengan niat.
Dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang diniatkannya.
Maka barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia hijrahkan”. [HR Bukhari dan Muslim].

  1. Bagi mereka ini yang betul-betul hijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi di Makkah; maka Allah beri satu jaminan iaitu akan beri balasan yang baik semasa di dunia lagi iaitu: {Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik;}- {فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ}.
  2. Nota [451] iaitu sehingga mereka berjaya mengalahkan musuhnya, memegang kuasa pemerintahan, menikmati kesenangan hidup dan mengembangkan Islam ke merata pelusuk dunia.
  3. Bagi ayat ini para ulama’ memberi beberapa pandangan mereka yang berbeza tentang maksudnya {Kami akan beri kepada mereka kebaikan di dunia}:

i- Syeikh ar-Ras’ani menafsirkan kebaikan dunia ialah negeri yang baik iaitu al-Madinah al-Munawwarah, Toyyibatul Toyyibah.

Ibnu Kathir menukilkan dari Ibnu Abbas juga mengatakan sedemikian.

ii- ada juga yang kata maksudnya rezeki yang baik.

iii- kemenangan untuk mengalahkan musuh mereka sebagaimana dalam peperangan Badar pada Tahun Ke-2H.

iv- apa yang mereka dapat tawan dari negara kafir seperti jatuhnya Parsi dan lain-lain.

v- apa yang mereka dapat pujian dari Allah & pujian dari makhluk!

*Ulama’ semasa seperti asy-Syaukani kata: Tidak salah kita kumpulkan semua pandangan ini kepada maksud balasan yang baik di dunia.

  1. Ibnu Kathir  juga berpendapat: Boleh juga kita guna ayat ini kepada hijrah yang pertama iaitu ke Habsyah, sewaktu Sayyidina Usman bin Affan bersama isterinya Ruqayyah binti Rasulullah s.a.w, Ja’far bin Abu Talib, Abu Salamah serta sahabat lain seramai dalam 80 orang berhijrah ke Habsyah negeri yang aman & Raja yang baik!
  2. Tetapi yang besar & utamanya kita kembali kepada Madinah al-Munawaarh, negeri hijrah yang dipilih Allah s.w.t yang menjadi tapak perkembangan Islam & yang menyimpan jasad Nabi s.a.w yang mulia!

*Boleh baca buku Madinah: Kelebihan & Sejarah- sila dapatkan di:
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…

  1. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan tentang kelebihan ini:
    {Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (An-Nisaa’ 4:100)
  2. Kemudian Allah menegaskan bahawa sesungguhnya pahala hijrah & amal mereka yang baik itu lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui!

Pahala syurga pastilah lebih besar dari nikmat dunia & kalau kamu tahu pastilah kamu akan bersegera melakukannya!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
    Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.
    Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.} (At-Taubah 9: 20-22)
  2. Ya Allah jadikan kami termasuk dalam golongan ini; jika tak dapat hijrah dengan badan, hijrah dengan hati kepada kebaikan.

ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ‎﴿٢٤﴾‏

Ayat 42- {Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.} (Al-Nahl 16:42)

  1. Allah nyatakan mereka yang berhijrah kepada Allah mempunyai dua sifat iaitu sabar & tawakkal kepada Allah!
    Jika tiada dua sifat ini tidak mungkin.
  2. Sabar atas segala karenah & kejahatan yang dibuat oleh puak kafir, sabar meninggalkan kampung halaman dan harta yang ada.
  3. Mereka juga bertawakkal dengan penuh yakin kepada pertolongan & jagaan Allah ke atas mereka yang beriman!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 41- {Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah,…}-
    Kata ulama’ tadabbur- ayat ini menjadi dalil bahawa kita kena ikhlaskan segala amalan kita kepada Allah sebagaimana hadis Nabi s.a.w tadi.
    Jika tidak, nescaya rugi & sia-sialah amalan kita.

Hadis lain riwayat Abu Musa al-Asy’ari yang berkata:

“قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ، وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ: “مَنْ قَاتَلَ، لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Seorang A’rabi telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang orang yang perang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang, dan orang yang berperang kerana mahu namanya dikenang, dan orang yang berperang kerana ingin diangkat kedudukannya.
Siapakah antara mereka yang berperang pada jalan Allah?
Jawab baginda: Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fisabilillah.” (HR al-Bukhari, no. 3126)

Maka kita berhijrah atau buat segala amalan ikhlas kerana Allah s.w.t!

Hijrah ini ada dua:
i- hijrah secara zahir iaitu hijrah tinggalkan negeri (هجرة الأوطن) seperti dari Makkah ke Madinah.
Apabila Makkah telah menjadi negara Islam tiada lagi hijrah negeri!

Yang ada ada hanya niat untuk berjihad sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
“Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Makkah, akan tetapi jihad dan niat, dan jika kalian diminta (oleh pemerintah) untuk pergi berjihad maka pergilah.” [HR Bukhari & Muslim].

Cuma bagi orang yang hidup dalam negeri kafir yang menekan sehingga tidak boleh beramal & ibadat, beramal dengan ajaran agama; boleh lari keluar mencari tempat yang aman dan selamat untuk agama & dirinya!

ii- hijrah secara maknawi iaitu hijrah meninggalkan dosa & maksiat.

Hijrah ini berterusan sehingga ke hari Kiamat dan di mana saja kita berada.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
والمهاجرُ من هجر ما نهى اللهُ عنه

“Seorang muslim adalah orang yang lidah dan tangannya tidak menyakiti muslim lain, dan orang yang berhijrah (muhajir) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” [HR al-Bukhari & Muslim].

Marilah kita berhijrah kepada manhaj yang sahih, jangan duduk di atas landasan yang bahaya!

  1. Ayat 41- {Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam),…}– apabila orang Islam ditekan dan dizlaimi serta di khianati oleh orang kafir; maka ketika itulah timbulnya keperluan berhijrah.

Kita kena lari dari tempat itu selamatkan diri pergi ke tempat yang aman sebagaimana para sahabat yang telah dua kali berhijrah pada zaman Nabi s.a.w.

Iaitu hijrah pertama ke Habsyah yang dipimpin oleh Sayyidina Usman & hijrah kedua yang kemuncaknya ke Madinah di mana semua orang pergi kecuali beberapa orang yang lemah tadi.
Itupun setengah dari mereka telah ditawan dalam peperangan Badar!

Hijrah maknawi masih ada sehingga ke hari ini- contoh kita tinggal di kampung- yang tiada kelas pengajian, tiada majlis ilmu, tidak solat jemaah di masjid, dok lagha tengok tv saja atau berbual di warung!

Lalu kita pindah ke pondok pengajian yang ajar berdasarkan kitab al-Quran & amalan Nabi s.a.w yang sahih, solat jemaah 5 waktu di masjid, ada majlis ilmu, kelas pengajian al-Quran, kawan-kawan yang satu perjuangan dalam mencari bekalan Akhirat dan seumpamanya yang memberi kebaikan kepada kita dunia Akhirat.

Itulah hijrah- dari kampung yang tiada tempat belajar menuntut ilmu ke tempat yang ada pengajian & beribadat – tetapi carilah tempat yang benar-benar bertepatan dengan ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Ayat 41- {… Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik;}– iaitu untuk mereka yang berhijrah pada hijrah yang pertama tadi seperti ke Madinah bumi yang baik & subur dan penduduk yang baik iaitu orang-orang Ansar.

Maka dalam ayat ini Allah nyatakan sesiapa yang tinggalkan negerinya hartanya kerana Allah- Allah akan gantikan dengan yang lebih baik!

Yakni seperti kita hari ini; sesiapa yang berhijrah tinggalkan rumah, tinggalkan ayam-itik, kucing ke tempat yang ada pengajian, majlis ilmu, solat jemaah dan seumpamanya.

Siapa yang tinggalkan sesuatu yang tak baik atau kurang baik kerana Allah; Allah akan gantikannya dengan yang lebih baik!

  1. Ayat 41- {… dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.} –

Allah nyatakan pahala Akhirat lebih besar daripada habuan dunia ini.

Jika tak dapat yang di dunia ini pun jika kita berhijrah kita akan dapat pahala di Akhirat, yang pasti lebih baik insya’ Allah!

Atas dunia ini hanya sementara dan tak perlu kita fikirkan.
Banyak mana sekalipun pulangan yang dapat akan kita tinggalkan & akan hilang juga.
Tetapi Akhirat itulah yang kekal abadi selamanya.

Allah kata lagi kalaulah manusia tahu semua itu- iaitu betapa besarnya kebaikan di Akhirat yang Allah telah sediakan bagi orang yang berhijrah mencari kebaikan kerana Allah; semua manusia akan berebut untuk berhijrah, berkejar lari meninggalkan segala maksiat, tempat yang lagha & tak baik!

Kerana itu dalam sebuah hadis daripada Nafi’ Bin Abdul Harith r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang adalah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunganggan yang elok.” [HR al-Bukhari (457)].

Jika persekitaran rumah kita sekarang tak baik (contoh azan pun tak dengar)- pindahlah cari kawasan perumahan yang lebih tenang, jiran-jiran muslim yang baik, ada masjid, ada kemudahan majlis ilmu dan seumpamanya!

  1. Ayat 42- {Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.}– mereka bersabar & bertawakkal kepada Allah.

Inilah sifat orang yang nak berhijrah dan berjalan kepada Allah s.w.t. kena ada!

Inilah tali kekang dalam setiap urusan & perjalanan kita, kena ada dua sifat ini!

Nak lawan kafir kena sabar, nak lawan nafsu kena sabar!
Nak taat & buat ibadat juga bukan senang dan kena sabar!

Kerana itu sabar itu ada 3 jenis:
i- sabar melakukan ketaatan!
Bukan mudah kita nak bangun solat subuh pagi hari, nak keluar ke masjid di saat orang lain sedang enak di dalam selimut.

ii- sabar meninggalkan maksiat & dosa.
Ini juga bukan senang- contoh seseorang yang kuat mengaji dan tadabbur al-Quran- tetapi sudah kelas mulut berasap dengan rokok!!!
Tak dapat kawal nafsu nak tinggalkan rokok ini walaupun amalan lain kuat!

Ingat sesiapa yang tinggalkan sesuatu yang tidak baik kerana Allah s.w.t semata nescaya Allah s.w.t akan gantikannya dengan yang lebih baik!

iii- sabar menghadapi musibah & ujian.
Nak berhijrah ini bukan mudah- kena tinggi kesabarannya.

Apabila kita sudah sabar & tekad untuk buat perkara baik- kita kena ada pula sifat tawakkal kepada Allah!
Jika tidak, tiada siapa yang dapat menolong kita!

Perbincangan dari sudut bahasa:

i- Ketika Allah sebut tentang sabar Allah guna feel yang telah lepas atau past tense (فعل الماضي) iaitu iaitu orang yang telah bersabar (ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟).

ii- tetapi apabila sebut tentang tawakkal Allah guna lafaz yang masih terjadi (فعل المضارع) atau present tense.

Kenapa begitu???
Jawapan:
i- Ayat ini memberi isyarat bahawa kesabaran kamu menghadapi penindasan kafir Makkah akan berakhir apabila kamu hijrah ke Madinah & mereka akan tewas dalam Perang Badar.
Hilangnya bala dengan hijrah, hilangnya sebab bala itu.

Allah akan buka pelepasan yang baik dengan sebab hijrah & ini satu khabar gembira kepada orang muslim.

Saat untuk kamu sabar menghadapi Quraisy akan berakhir, dengan pertolongan Allah.

ii- Tetapi tawakkal menggunakan (فعل المضارع) yang sedang berlaku dan berterusan; kerana kita kena ada sifat tawakkal sehingga ke mati.

Apabila kita sudah mendapat tempat yang baik & keadaan, sudah dapat kemenangan, kita tetap kena sentiasa tawakkal kepada Allah kerana bimbang nanti akan terpelanting keluar daripada jalan yang benar!

Berapa ramai orang yang dulunya kuat dakwah, kuat ajak manusia kepada Sunnah & kepada amalan yang sahih, akhirnya tukar channel ajak orang gosok kubur pula!
Na’uzu billah!

Hanya Allah saja yang dapat beri kekuatan kepada kita untuk tetap berada di atas landasan yang benar!

Hadis Nabi s.a.w bersabda;

لاَ تَنْقَطِعُ الْهِجْرَةُ مَا تُقُبِّلَتِ التَّوْبَةُ، وَلاَ تَزَالُ التَّوْبَةُ مَقْبُولَةٌ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنَ الْمَغْرِبِ،
فَإِذَا طَلَعَتْ؛ طُبِعَ عَلَى كُلِّ قَلْبٍ بِمَا فِيْهِ، وَكُفِيَ النَّاسُ الْعَمَلَ.

“Hijrah tidak akan terputus selama taubat masih diterima, dan taubat akan tetap diterima hingga matahari terbit dari barat.

Jika ia telah terbit (dari barat), maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya dan dicukupkan bagi manusia amal yang telah dilakukannya. (HR. Ahmad, dalam Musnad Imam Ahmad, III/133-134, 1671).

Iaitu sehingga kamu nak mati atau tiba hari Kiamat- itulah perkara yang merbahaya jika kita tidak ikut ajaran yang diajar oleh Allah & Rasul-Nya s.a.w.

Ya Allah jadikan kami orang yang sentiasa berhijrah meninggalkan keburukan kepada kebaikan, berhijrah kepada Allah & kerana Allah; serta jadikan sifat sabar & tawakkal teguh dalam hati kami!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkat-Nya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 02/05/2026 / 14 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=941561695361018&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top