Peringkat Umur Manusia, Kadar Rezeki Berbeza
& Keluarga Dan Keturunan

Live Pagi Rabu 13/05/2026 / 25 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (20) Ayat [70-72]
Full video: https://youtu.be/Kgilcls-yvA?si=Ckux2z6s_scE7wrP
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 70 sehingga ayat 72 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kekuasaan-Nya mencipat manusia & menghidupkannya sehingga mati atas dunia ini.
Sebelum mati itu ada orang yang umurnya panjang, ada yang pendek dan ada yang kembali kepada umur yang nyanyuk hilang ingatan.
Yakni terdapat pelbagai peringkat umur manusia.
- Kemudian Allah nyatakan kuasa-nya juga untuk melebihkan seseorang daripada orang yang lain iaitu samada kadar rezeki yang berbeza, ada yang kaya ada yang kurang & ada yang miskin, ada yang alim ada yang tak mengaji.
- Akhirnya, Allah nyatakan tentang keluarga dan keturunan manusia, rezekinya juga tak sama, ada yang berkahwin ada yang tidak, ada yang ada anak cucu ada yang tidak ada.
Begitulah manusia, umur, darjat kedudukan serta rezeki yang pelbagai & tidak sama!
Kesyukuran manusia kepada Allah juga tidak sama!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang nikmat Allah dari segi tanam-tanaman, haiwan peliharaan, susu serta tentang lebah yang ajaib serta madunya yang berkhasiat untuk beberapa jenis penyakit!
ii- maka dalam ayat ini diterangkan pula tentang kehidupan manusia dalam alam ini serta peringkat umur seseorang yang tidak sama & pelbagai peringkat.
- Allah nyatakan peringkat perjalanan hidup manusia itu ada empat martabat:
i- peringkat bayi yang lemah tidak dapat berbuat apa-apa untuk dirinya sendiri, bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau penjaganya!
*Marhalah kanak-kanak ini pula ada beberapa peringkat pula ikut ahli pendidikan & psikologi.
ii- peringkat muda sehingga berumur 40 tahun.
iii- peringkat dewasa sehingga berumur 60 tahun.
iv- apabila sudah 60 tahun ke atas itu adalah peringkat tua atau istilah sekarang warga emas atau warga kubur lebih tepatnya!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّاكُمْ ۚ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ ﴿٠٧﴾
Ayat 70- {Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} (Al-Nahl 16:70)
- Allah menyatakan wahai manusia, Allah yang menciptakan kamu dari tiada kepada ada!
Kemudian Allah akan matikan kamu apabila cukup tempohnya! - Yakni perjalanan hidup manusia dari lahir hidup sehingga ke mati ini tidak sama.
Ada yang pendek umur, ada panjang umur dan sebagainya! - Kata Ibnu Asyur rhm: “Orang tua’ (الهرم) ini tidak boleh ditentukan berapa umurnya secara khas.
Kerana ada orang yang cepat tua dan lemah badannya, ada orang yang walaupun umurnya telah banyak tetapi masih cergas, kuat dan sihat tubuh badannya! - Bahkan ada yang panjang umur sehingga kembali lemah menjadi nyanyuk pelupa seperti kanak-kanak.
Kita minta perlindungan dari keadaan ini- Nabi s.a.w mengajar doa untuk berlindung dari keadaan ini.
*Jika panjang umur sihat tubuh badan & ingatan serta boleh melakukan kebaikan & amal ibadat tidak mengapa, bahkan itu yang terbaik!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} (Ar-Ruum 30:54)
ii- {Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).} (Ghaafir 40:67)
- Doa yang diajar oleh Nabi s.a.w untuk berlindung daripada beberapa perkara:
i- Daripada Anas bin Malik r.a beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
“اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْبُخْلِ”.
Rasulullah S.A.W selalu membaca doa:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari sifat malas, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut, dan aku berlindung kepada-Mu dari penyakit tua (nyanyuk) dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat bakhil”. [HR BUKHARI 6371]
ii- Amru bin Maimun al-Audi berkata: Adalah Sa’d mengajar anak-anaknya beberapa kalimat doa sebagaimana seorang guru mengajar murid-muridnya menulis dengan katanya:
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W sentiasa meminta berlindung daripada perkara-perkara ini selepas selesai solat dengan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُر
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: Ya Allah, Sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu dari sifat penakut dan aku berlindung dengan-Mu dari aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah dunia dan aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur. [HR al-Bukhari (2822)].
*Penakut dari nak menyampaikan kebenaran, takut nak menyatakan hak dan macam-macam.
*Untuk doa di akhir solat sila rujuk kitab Zikir Pagi Petang:
- Jika Allah kehendaki, ada orang yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah- iaitu peringkat tua tapi perangai kebudak-budakan sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; ini kita panggil tua nyanyuk.
- Kata Syeikh Syanqiti rhm, dinukilkan dari Sayyidina Ali r.a; dia mengatakan umur nyanyuk ini bermula dari 75 tahun.
Tetapi Qatadah pula kata tidak, ia bermula dari 90 tahun, serta pelbagai pendapat lain lagi. - Jadi kesimpulannya: Yang zahirnya umur yang nyanyuk ini kata ulama’ tidak boleh ditetapkan berapa, tidak boleh diukur dengan angka umur yang tertentu. Ia bergantung kepada kekuatan mental & kesihatan seseorang.
Ada orang berumur 100 tahun boleh menjadi ketua & memimpin lagi! - Mungkin ada orang yang walaupun tua tetapi mentalnya baik & tidak nyanyuk tetapi fizikalnya pula lemah & sakit, tidak boleh bangun bergerak dan seumpamanya!
Ada yang walaupun tubuhnya secara fizikal sihat tetapi fikirannya telah celaru atau nyanyuk.
- Akhirnya Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa sifat Allah tidak akan berubah- sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa kekal sehingga bila-bila.
*Yakni Allah tidak akan lemah hilang kekuatan, tidak akan lupa atau nyanyuk seperti manusia- makhluk ciptaan-Nya.
وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ ۚ فَمَا الَّذِينَ فُضِّلُوا بِرَادِّي رِزْقِهِمْ عَلَىٰ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَاءٌ ۚ أَفَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ ﴿١٧﴾
Ayat 71- {Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?} (Al-Nahl 16:71)
- Nota [556]- Ayat ini ditujukan kepada kaum kafir musyrik. Yakni jika mereka tidak rela memberikan sebahagian daripada harta mereka kepada hamba-hamba mereka supaya mereka menikmatinya juga.
Tetapi bagaimana mereka tergamak pula memberi kepada berhala mereka sifat-sifat ketuhanan yang hanya layak tertentu bagi Allah.
- Yakni Allah sentap puak kafir di sini betapa peliknya perangai mereka- harta mereka tak sanggup beri kepada hamba mereka tetapi mereka beri pula kuasa seperti Tuhan kepada berhala mereka yang tiada daya upaya itu!
Dengan Tuhan buat kira pula!! - Munasabah ayat:
i- setelah Allah nyatakan perjalanan hidup manusia yang pelbagai;
ii- dalam ayat ini Allah nyatakan pula rezeki manusia atas bumi ini! - Allah lebihkan sebahagian manusia ke atas sebahagian yang lain.
Ada manusia yang lebih rezekinya lalu menjadi kaya, ada yang kurang rezekinya & miskin! - Allah juga katakan ada orang-orang yang diberi kelebihan rezeki itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta.
Tetapi kuasa Tuhan mereka nak beri pula kepada hamba mereka itu!
Milik dia tak mahu berbahagi, kuasa Tuhan mereka nak bahagi-bahagi pula!!
- Yang lebih dahsyat lagi dengan nikmat yang Allah beri itu; mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik & dosa maksiat terhadap-Nya! Begitulah peliknya manusia!
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ ﴿٢٧﴾
Ayat 72- {Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?} (Al-Nahl 16:72)
- Munasabah ayat:
i- sebelum ini Allah nyatakan tentang rezeki & nikmat manusia yang pelbagai dan berbeza.
ii- dalam ayat ini Allah nyatakan sudut manusia yang lain pula- wujudnya manusia & membiak atas dunia dengan cara perkahwinan.
Lalu Allah ciptakan bagi kamu pasangan masing-masing!
*Pasangan ini pula lelaki dengan wanita dan manusia dengan manusia bukan dengan jin atau haiwan!
- Inilah kehidupan manusia biar ada keturunan dan ramai umat Islam atas dunia ini.
Tetapi malangnya dunia nak Kiamat akhir zaman ini manusia lawan fitrah tidak mahu berkahwin & beranak, hidup sendiri dan jika kahwin pun tidak mahu anak atau tak mahu anak ramai!
Yang dahsyatnya berkahwin sesama jantina kembali menjadi kaum Lut yang dilaknat!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.} (Ar-Ruum 30:21) - Jadi dalam ayat ini Allah ceritakan tentang keperluan manusia kepada pasangan & zuriat keturunan, anak cucu untuk meneruskan kehidupan & perkerjaannya atau untuk menguruskannya apabila sudah tua!
- Kemudian Allah kata dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal!
Yakni apabila ada keluarga perlukan kepada rezeki pula untuk menanggung nafkah makan-minum, duduk-pakai keluarga lalu Allah berikan rezeki yang pelbagai kepada manusia!
- Maka Allah sentap di sini, melarang agar jangan sesekali kamu:
i- tidak bersyukur dan kufur akan segala nikmat yang Allah berikan ini.
ii- berpegang dengan sesuatu yang batil samada ajaran sesat yang tidak berpaksi kepada wahyu Allah Azza wa Jalla!
Penutup & Faedah #
- Ayat 70- {Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya)… sehingga akhir ayat}– dalam ayat ini Allah bawa dalil kepada kita tentang penciptaan manusia itu sendiri dan perjalanan hidup manusia.
Kata ulama’ tadabbur:
i- sebelum ini kita telah mengambil dalil (beristidlal) dengan kekuasaan Allah di bumi & dilangit, tumbuhan & haiwan termasuk dengan kejadian lebah yang kecil tetapi besar manfaatnya!
ii- maka datang ayat ini Allah bawa dalil akan diri manusia itu sendiri- dulu tiada sekarang ada.
Manusia itu Allah cipta dari ada kepada tiada, ada orang yang panjang umur ada yang pendek umur, yang sihat ada yang sakit, ada yang baik ada yang tidak baik!
Allah juga nyatakan ada orang yang walaupun panjang umurnya masih kuat ingatannya dan baru separuh umur tetapi sudah nyanyuk.
Nabi s.a.w ajar kepada kita agar sentiasa membaca doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ،
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada sifat bakhil (kedekut), dan aku berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut, dan aku berlindung dengan-Mu daripada dikembalikan kepada umur yang paling hina (nyanyuk), dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dunia dan azab kubur.” [HR Bukhari, no. 2822]
*Amalkan doa yang sahih yang diajar oleh Nabi s.a.w. Boleh dapatkan Kitab ini untuk belajarnya:
Perisai Muslim
https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
Atau versi Jawi:
https://dartaibah.com/…/Zikir-Pagi-Petang-dan-Selepas…
Yakni Allah jadikan manusia ini ada pelbagai peringkat umurnya!
- Ayat 71- {Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya;…}-
Allah nyatakan bahawa rezeki manusia juga pelbagai ada yang kaya ada yang miskin.
Jika kaya hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah akan nikmat itu, keluarkan zakat & infaq kepada fakir-miskin, nafkah untuk keluarga dan seumpamanya barulah menunjukkan kita bersyukur.
Orang miskin pula hendaklan sentiasa sabar, sentiasa berdoa semoga Allah perluaskan rezekinya, banyak buat amal ibadat & kebaikan.
Jangan pula miskin dunia dan miskin Akhirat!
Masjid tak pergi, buat amal ibadat malas dan seumpamanya!
Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.} (Az-Zukhruf 43:32)
Maka kita syukurlah atas nikmat yang banyak dan sabar atas nikmat yang sedikit!
- Ayat 72- {Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri),…}-
Allah jadikan manusia ini berpasangan kerana itu adalah naluri manusia yang sihat.
Pasangan pula Allah cipta dari jenis yang sama; manusia dengan manusia, jin dengan jin- jangan kita dok cari yang tidak sejenis.
Manakala manusia yang nalurinya rosak tidak mahu berkahwin atau minat hubungan sama jenis jantina pula!
Pasangan ini Allah cipta supaya kamu hidup tenang dengan mereka- maka kita kena usahakan agar keluarga kita menjadi keluarga yang aman damai dan bahagia.
Jika kita sudah jumpa pasangan yang serasi dan baik alhamdulillah jangan buat perangai pula.
Jika tidak ada kesesuaian atau persefahaman- Islam buka jalan untuk bercerai iaitu berpisah secara baik dan halal.
- Ayat 72- {Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri),…}– dalam ayat ini Allah kata Dia cipta kepada kamu pasangan {أَزْوَٰجًۭا}.
Kata ulama’ apabila disebut pasangan (zauj) bermakna seseorang yang sangat rapat, boleh duduk bersama & dekat tanpa batasan dan had selagi tidak menyalahi Syari’ah.
Suami dipanggil pasangan & peneman (قرين) seorang isteri, begitu juga isteri teman kepada suami.
Pasangan ini adalah ciptaan yang khusus untuk manusia.
Manusia yang waras akan bertanggung-jawab terhadap anak-isteri di bawah tanggungannya, kita manusia bukan seperti haiwan yang tiada taklif & tanggung-jawab.
Allah juga kata Dia beri kepada manusia keturunan- anak-cucu cicit sebagai cahaya mata & peneman di akhir usia.
- Ayat 72- {.. serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal;..}-
Allah kata Dia beri kepada manusia {مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ} dari benda yang baik lagi halal.
Yakni bukan semua tapi sebahagian daripada {مِّنَ} nikmat dan kebaikan atas dunia ini.
Ini kerana nikmat & rezeki atas dunia ini terhad- semua kebaikan itu dalam syurga baru dapat semua & tidak terhad.
Di dalam syurga tiada demam tiada sakit, tiada letih, tiada berak kencing, tiada peluh & bau busuk, nak makan apa saja dapat.
Kebaikan di dunia hanya contoh-contoh saja dari apa nikmat di Akhirat kelak!
Di akhir ayat Allah sentap manusia- setelah semua nikmat yang Allah berikan ini- kamu kufur & percaya dengan benda batil dan dengan nikmat Allah kamu kufur!
Kita orang beriman tidak begitu- dengan nikmat Allah kita bersyukur- samada nikmat berpasangan & keluarga, nikmat ada anak cucu cicit, nikmat harta, nikmat kesihatan dan semuanya.
Ini kerana Allah telah berfirman:
{Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.} (Ibrahim 14:7)
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 13/05/2026 / 25 ZulQa’dah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=950619161121938&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
