Rasul Seorang Lelaki, Tanyalah Ahli Ilmu & Kafir Tidak Lepas Dari Azab Allah S.W.T.

Live Pagi Ahad 03/05/2026 / 15 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (13) Ayat [43-47]
Full video: https://youtu.be/JHS3G8uaEfE?si=0ctCEGLdQgArN-pe
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 43 sehingga ayat 47 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t tegaskan bahawa Rasul yang diutuskan di kalangan manusia ialah seorang lelaki & tidak ada nabi atau rasul dari kalangan wanita!
- Kemudian jika ada apa-apa persoalan Allah perintahkan agar bertanyalah kepada ahli ilmu. Pada zaman itu ulama’ besar ialah mereka dari kalangan ahli Kitab yahudi & Nasrani- kemudian diguna pakai kepada ulama’ Islam yang muktabar, jika ada masalah bertanyalah kepada mereka yang luas ilmunya itu!
- Kemudian Allah nyatakan beberapa amaran bahawa kafir tidak akan lepas dari Azab Allah S.W.T.
Azab Allah akan datang dari pelbagai sudut yang diketahui & dijangka!
Maka jangan menggundang azab Allah kerana jika datang ia akan menimpa semua orang, yang kafir atau yang beriman.
*Kata ulama’ tafsir; dalam ayat ini Allah sebut syubhat keraguan yang kelima yang ditimbulkan oleh penentang Nabi s.a.w. Iaitu tidak sepatutnya Allah pilih manusia seperti Muhammad sebagai rasul anak seorang pengembala kambing, mereka nak malaikat dan sebagainya.
Maka dalam ayat ini Allah membawa dalil menolak syubhat keraguan kelima yang ditimbulkan oleh orang kafir bagi menolak Nabi s.a.w.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia telah membangkitkan & mengutus rasul kepada umat masing-masing.
Namun ada golongan yang menolak kerasulan dari kalangan manusia dengan alasan mereka mahukan malaikat.
lalu hasil dari mereka menentang rasul, Allah binasakan mereka dan kamu boleh melihat kesan kebinasaan itu dari perjalanan musafir kamu.
Kebanyakannya menolak seorang manusia sebagai rasul.
ii- lalu datang ayat ini Allah tujukan kepada Rasulullah s.a.w sebagai rasul & manusia yang mulia; menyatakan bahawa semua rasul-rasul yang Allah utuskan sebelum Baginda adalah manusia biasa, seorang lelaki juga.
Jika kamu tak percaya bertanyalah kepada ahli ilmu, iaitu mereka yang mempunyai Kitab di kalangan yahudi & nasrani.
*Begitulah kebiasaan manusia ini tidak percaya & kurang masyhur orang dekat mereka lebih suka merujuk dan percaya kepada orang luar atau yang jauh!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ ۚ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٤﴾
Ayat 43- {Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.} (Al-Nahl 16:43)
- Allah tegaskan bahawa telah diutuskan betapa banyak rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w dan mereka adalah seorang lelaki dari kalangan manusia.
Mereka adalah manusia yang terpilih dan diberi wahyu oleh Allah kepada mereka Syari’ah dan hukum-hakam.
- Sebagaimana firman Allah s.w.t:
i- {“Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?”} (Yusuf 12: Ayat 109)
ii- {Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).} (Al-Furqaan 25:20)
*Maksud berjalan di pasar-pasar ini samada seperti manusia lain mencari keperluan harian mereka atau untuk berdakwah kepada masyarakat.
- Kata Syeikh Asy-Syanqiti : Perkataan lelaki dalam ayat ini tidak menafikan bahawa ada juga rasul di kalangan malaikat yang bukan lelaki atau wanita.
Iaitu Allah pilih di kalangan malaikat itu rasul, yang menjadi perantaraan antara Allah & manusia, sebagai utusan Allah kepada makhluk serta menjalankan tugas yang diperintahkan Allah kepada mereka seperti menulis catatan amalan manusia, bawa angin, menolak awan menurunkan hujan dan sebagainya!
- Sebagaimana firman Allah:
{Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Hajj 22:75) - Allah kata wahai musyrikin Makkah; jika tak percaya maka pergilah bertanya kepada para pendeta ahli kitab di kalangan yahudi atau nasrani yang diberi kitab & diutuskan rasul juga di kalangan mereka sebelum ini.
Tanya mereka apakah rasul-rasul sebelum ini manusia atau malaikat?
*Allah suruh mereka tanya ahli kitab dalam ayat ini kerana puak Quraisy itu sangat percaya dan sering bertanya kepada ahli kitab para pendeta sebelum ini lagi- tentang hal & cara melawan Nabi s.a.w!
- Nota [542]-Kaum musyrik di Makkah merasa hairan bagaimana nabi Muhammad s.a.w, seorang manusia boleh mendapat wahyu dan dipilih menjadi Pesuruh Allah?
Lalu turun firman Allah Ta’ala ini menerangkan kemusykilan mereka, bahawa bukan sahaja Nabi Muhammad s.a.w bahkan sekalian Rasul yang telah diutus sebelum Nabi Muhammad adalah terdiri dari umat manusia – dari kaum lelaki.
Kaum kafir musyrik itu disuruh bertanya kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama yang diberikan Kitab-kitab Suci dan diutuskan Rasul-rasul kepadanya, kerana mereka juga dapat menerangkan hal itu.
*Begitulah manusia apabila tidak suka & tak mahu terima- mereka akan timbulkan segala yang negatif, korek cari yang tak kena!
- Ayat suci ini menjadi dalil bahawa orang-orang Islam yang tidak mengetahui sesuatu masalah ugama, hendaklah bertanya kepada alim ulama’ dan ahli pengetahuan ugama.
Jangan dok tanya ular dalam semak maka rosaklah jadinya!
بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَٱلزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٤٤﴾
Ayat 44- {(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.} (Al-Nahl 16:44)
- Allah nyatakan bahawa rasul-rasul terdahulu diberikan:
i- hujjah-hujjah yang membuktikan kebenaran mereka.
ii- dan ada yang diturunkan kitab kepada mereka yang menjadi panduan dan mukjizat kepada mereka.
- Manakala kepada Nabi Muhammad s.a.w Allah telah menurunkan kitab al-Quran sebagai satu peringatan {ٱلذِّكْرَ}.
Al-Quran disebut sebagai {ٱلذِّكْرَ} kerana penuh dalam al-Quran itu nasihat, bimbingan dan peringatan. - Lalu tugas Nabi s.a.w adalah untuk menerangkan kepada manusia semua ajaran yang Allah turunkan ini.
Tujuan al-Quran ialah untuk menjelaskan kepada manusia; lafaznya kita baca, makna & tafsirnya menjelaskaan apa yang tidak difahami serta kita tadabbur perhatikan kepada makna ayat apa yang Allah nak sampaikan kepada kita!
Jangan ingat al-Quran diturunkan kepada orang lain tetapi kepada kita!!!
- Tugas manusia pula untuk memikirkannya- iaitu tadabbur tentang ayat-ayat Allah ini samada:
i- ayat-ayat yang dibaca -Ayat Maqru’ah (الآيات المقروءة) iaitu merujuk kepada kitab suci Al-Quran al-Karim atau;
ii- ayat-ayat yang boleh dilihat- Ayat Manzurah (الآيات المنظورة)- iaitu merujuk kepada alam semesta dan ciptaan Allah di langit dan di bumi.
Kita akan dapati keajaiban alam ini yang menunjukkan kepada kehebatan Penciptanya!
*Kita ambil iktibar dari alam & ayat al-Quran untuk kehidupan kita.
- Nota [543].
- Hadis Nabi s.a.w menjelaskan al-Quran lebih terperinci dan panjang lebar kepada kita. Nyatalah bahawa hadis & al-Quran tidak boleh dipisahkan.
Siapa yang anti & menolak hadis maka dia dikira anti al-Quran sekali!!
- Sabda Nabi s.a.w:
تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” (HR Imam Malik) - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.} (Saad 38:29)
أَفَأَمِنَ ٱلَّذِينَ مَكَرُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَخْسِفَ ٱللَّهُ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ ﴿٤٥﴾
Ayat 45- {(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?} (Al-Nahl 16:45)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa ada 4 atau 5 jenis bala yang akan ditimpakan ke atas puak kafir yang keras kepala itu, yang buat perancangan jahat ke atas Nabi s.a.w!!
- Munasabah ayat:
i- setelah disebut tentang keburukan puak kafir & Allah ancam mereka dengan azab pada hari Kiamat;
ii- maka datang ayat ini Allah beri amaran pula tentang ancaman azab yang akan menimpa mereka atas dunia ini lagi.
- Azab yang pertama: Allah bertanya apakah kamu manusia yang telah membuat pelbagai perancangan jahat terhadap Rasulullah s.a.w itu berasa aman dari azab Allah lalu Allah jadikan kamu tenggelam ditelan bumi sebagaimana mendiang Qarun pada zaman nabi Musa a.s.
- Azab kedua iaitu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya!!
Ini jenis azab yang datang tiba-tiba ketika manusia dalam keadaan lagha melakukan maksiat- na’uzubillah!
- Kerana itu kita orang beriman kena takut juga apabila melihat maksiat & dosa yang dilakukan secara terang-terangan kerana apabila azab datang semua yang ada bersama akan kena.
Pihak pemerintah yang berkuasa kena memainkan peranan & guna kuasa mereka untuk mencegah kemungkaran yang berlaku.
- Sebagaimana kata-kata Saidina Uthman r.a ini:
إن الله لَيَزَعُ بالسلطان أكثر مما يَزَعُ بالقرآن
“Sesungguhnya Allah beri kuasa untuk mencegah (kemungkaran) dengan sultan (pemerintah), lebih banyak berbanding Dia mencegah dengan al-Quran”.
- Maksudnya, Allah mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran dan dosa dengan kekuasaan sultan (pemerintah), lebih banyak berbanding dengan mencegah mereka dengan al-Quran.
*Ini kerana manusia lebih takut kepada apa yang mereka nampak & hadapi di hadapan mata mereka.
- Yakni Allah s.w.t beri kepada manusia kuasa untuk mencegah kemungkaran disamping al-Quran sebagai peringatan.
Pentingnya umat Islam ada kuasa di tangan mereka untuk mencegah maksiat & kemungkaran dari berleluasa di dalam masyarakat lalu mendapat kemurkaan Allah & ditimpa azab-Nya!
أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِى تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ ﴿٦٤﴾
Ayat 46- {Atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah.} (Al-Nahl 16:46)
- Ayat ini menceritakan azab yang ketiga iaitu: Allah membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing!
- Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang bala sebegini.
- Maka walaupun ayat ini turun kepada Quraisy- kita semua kena tetap ambil ingatan & pengajaran!
أَوْ يَأْخُذَهُمْ عَلَىٰ تَخَوُّفٍ فَإِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿٤٧﴾
Ayat 47- {Atau Ia membinasakan mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.} (Al-Nahl 16:47)
- Azab yang keempat itu Allah akan membinasakan mereka dan harta benda mereka sedikit demi sedikit.
Iaitu secara beransur-ansur seperti kerugian dalam perniagaan, dirompak atau kena curi hartanya, berlaku kegawatan ekonomi lalu berkurangan sedikit demi sedikit!
- Ini kerana sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada manusia hamba-hamba-Nya!
- Nota [544]- Yakni sebab itulah Allah Ta’ala tidak membalas kejahatan kamu dengan serta-merta dan dengan sekali gus, padahal Ia Maha Kuasa melakukan demikian.
- Kita berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kepada para pendakwah Islam, kekuatan untuk mengajak kepada kebaikan & mencegah kemungkaran dari sesiapa saja!
Tugas kita sebagai pendakwah mesti tegur dan nasihat semua orang yang kita nampak ada kepincangan tak kira dari puak mana- tidak bias dan pilih bulu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi s.a.w:
i- Dari Abu Musa Al asy’ari bahawa Nabi s.a.w bersabda:
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحَدٌ أَصْبَرُ عَلَى أَذًى سَمِعَهُ مِنْ اللَّهِ يَدَّعُونَ لَهُ الْوَلَدَ ثُمَّ يُعَافِيهِمْ وَيَرْزُقُهُمْ
.صحيح البخاري ٦٨٣٠
“Tidak ada seorang pun atau tidak ada sesuatu pun yang paling sabar terhadap gangguan yang didengarnya selain Allah.
Sesungguhnya mereka menisbahkan anak kepada-Nya, namun Dia tetap memberi mereka keselamatan dan rezeki.” [HR. Bukhari no. 7378 & Muslim].
ii- Daripada Abu Musa R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya Allah memberi penangguhan kepada orang yang zalim, namun apabila Dia menyiksanya, maka Dia tidak melepaskannya. “Kemudian, Rasulullah S.A.W membaca ayat 102 Surah Hud:
وَكَذَٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ ٱلْقُرَىٰ وَهِىَ ظَٰلِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُۥٓ أَلِيمٌ شَدِيدٌ
“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.” [HR Bukhari & Muslim].
Penutup & Faedah #
- Ayat 43- {Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki,..}– kata ulama’ tafsir ayat ini menegaskan bahawa tiada rasul dari kalangan wanita atau muslimat.
Manakala rasul dari kalangan malaikat pula itu khas untuk golongan mereka- malaikat tidak ada lelaki atau perempuan!
Rasul secara umumnya mesti lelaki bukan perempuan.
Alhamdulillah ini nikmat yang Allah pilih & beri kepada kaum lelaki- kaum muslimat tidak perlu jealous dan tiada hak untuk berdengki.
- Ayat 43- {Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.}–
Allah perintahkan jika kamu tak tahu & tidak ada ilmu- pergilah bertanya kepada orang yang ada ilmu!
Kata ulama’; ayat ini memberi kelebihan kepada orang yang mempunyai ilmu!
Alhamdulillah kita belajar ilmu, lebih-lebih lagi ilmu tentang Allah, tentang Rasulullah s.a.w.
Dalam konteks ayat ini- ia perintah kepada kafir Makkah untuk bertanya kepada ahli kitab atau para pendeta yahudi yang ada ilmu tentang perkara ini!
Hikmah yang besar apabila Allah jadikan para ahli kitab yahudi atau nasrani ini kekal duduk di kalangan orang Islam & puak kafir musyrikin menjadikan yahudi itu sebagai tempat rujukan mereka apabila nak berbalah, nak berhujjah berdebat dengan Nabi s.a.w.
Ini supaya hujjah Islam makin kuat & kebenaran Rasulullah s.a.w terserlah dan terbukti.
Apabila puak yahudi beri soalan atau masalah untuk ditanya kepada Nabi s.a.w bagi mengujinya- semuanya dapat dijawab dengan tepat!
Maka ini menjadikan puak kafir Makkah makin tak keruan & bingung, marah kepada yahudi kerana semua soalan itu dapat dijawab Nabi s.a.w sekaligus membuktikan kebenarannya!
Ayat ini sekaligus memberi kekuatan & kedudukan yang tinggi kepada ahli zikri iaitu para ahli ilmu, ulama’ di kalangan umat Islam!
Maka jika kita nak jadi orang yang mulia, orang yang hebat; jadilah ahli ilmu, belajar betul-betul kerana Allah, menyampaikan ilmu juga kerana Allah maka kita akan jadi ahli zikri yang mulia ini!
Ada juga ulama’ kata maksudnya perintah ini ialah apabila kita tak tahu & bertanya kepada ulama’- kita boleh bertaqlid kepada ulama’ dalam masalah yang kita tak tahu!
Kerana itu dikatakan mazhab orang awam ialah mazhab mufti atau guru mereka!
- Ayat 44- {,, dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan..}-
Setiap nabi itu diberi hujjah, keterangan & kitab sebagai panduan, tiada nabi yang datang dengan tangan kosong tanpa hujjah keterangan yang jelaslagi nyata.
Sebagaimana Nabi Musa a.s diberi Kitab Taurat- kemudian semua para anbiya’ bani Israil menggunakan kitab Taurat sebagai rujukan sehingga datang Nabi Isa dan diturunkan pula Kitab Injil.
Islam bukan hanya disebarkan dengan paksaan, kekerasan dan pedang saja!
Tetapi dengan fakta & hujjah yang jelas lagi nyata- apabila orang yang percaya itu beriman maka dia menerima Islam dengan kefahaman dan fakta yang jelas.
Inilah keistimeaan yang Allah anugerahkan untuk umat ini!
Umat ini adalah umat yang berfakta bukan umat yang auta!
Allah turunkan khas al-Quran sebagai peringatan kepada Nabi s.a.w. kerana ia mengandungi banyak peringatan dan nasihat!
- Ayat 44- {… dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka…}-
Allah turunkan al-Quran sebagai peringatan yang memberi peringatan kepada manusia dan tugas Nabi s.a.w ialah menjelaskan al-Quran kepada manusia.
Jadi Nabi s.a.w telah menjelaskan kepada umatnya semua yang ada dalam al-Quran, apa yang ada dalam agama ini, tidak ada yang tertinggal atau tersembunyi.
Kata ulama’: Tidak ada dalam al-Quran ini walaupun satu ayat yang tidak difahami lansung oleh manusia tentangnya.
Jika orang biasa tak faham, ulama’ akan akan faham.
Jika ulama’ itu tak faham insya’ Allah ada ulama’ lain yang akan memahaminya!
Maka dalam ayat ini Allah sebut hikmah diturunkan al-Quran kepada Nabi s.a.w:
i- untuk menjelaskan kepada manusia segala perundangan, amar ma’ruf, nahi mungkar dan hukum-hakamnya.
ii- supaya kamu berfikir- jangan baca al-Quran saja tak fikir, tak tadabbur tak menghayati apa yang ada dalam al-Quran.
Kitab yang terjemahkan oleh AAM tentang tadabbur al-Quran:
Indahnya Hidup Bersama Al-Quran.
https://dartaibah.com/…/*NEW-2024-Indahnya-Hidup…
Boleh juga ikuti Kuliah Live atau rakamannya di youtube Halaqah Abu Anas:
https://www.youtube.com/watch?v=ZPg0j8xVlPk…
Tujuan Allah turunkan al-Quran supaya Nabi s.a.w menjelaskan dan menyampaikan semua perkara kepada manusia.
Tidak ada dalam al-Quran satu ayatpun yang lansung tidak difahami oleh seorang manusia pun!
- Dari Ayat 45 sehingga Ayat 47: Ayat-ayat ini adalah ayat tahdid iaitu ayat untuk menakutkan atau untuk memberi amaran.
Iaitu untuk menakutkan bahawa sesiapa yang ingkar, siapa yang tolak Islam maka Allah bawa empat amaran atau ancaman dalam ayat yang kita baca ini iaitu;
i- ditimbuskan oleh Allah mereka ke dalam bumi- {أَن يَخْسِفَ ٱللَّهُ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ}.
ii- atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya-
{أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ}.
iii- atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing
{أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِى تَقَلُّبِهِمْ}.
iv- atau Ia membinasakan mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit
{أَوْ يَأْخُذَهُمْ عَلَىٰ تَخَوُّفٍۢ}.
Ayat ini memperingatkan kepada kita jangan sesekali berani buat maksiat nanti Allah akan hilangkan nikmat yang kita ada ini!
Tak kira dosa atau maksiat yang dibuat peringkat tertinggi seperti peringkat negara, kerajaan, negeri & penguasa atau peringkat individu seperti para penjual dan pemain tiktok!
Wajib kita ingkari semua perkara yang tidak baik, kena cepat beritindak kerana ingkar mungkar ada 3 peringkat:
i- dengan tangan atau kuasa.
ii- dengan lidah jika tak ada kuasa iaitu seperti beri amaran & nasihat!
iii- jika nak bercakap pun tak mampu- kita ingkar dengan hati & ini adalah selemah-lemah iman!
Jika dengan hatipun tidak ingkar- imannya sudah terlalu malap dan lemah.
Kita minta perlindungan dengan Allah dari iman yang lemah ini- kita cubalah setakat yang kita mampu dan ada kebolehan.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 03/05/2026 / 15 ZulQa’dah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=942711491912705&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
