View Categories

(34) Surah An-Nahl: Ayat 115-119

14 min read

Makanan Yang Diharamkan, Larangan Mengharamkan Sesuka Hati
& Allah Menerima Taubat Hamba-Nya

Live Pagi Selasa 02/06/2026 / 16 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (34) Ayat [115-119]

Full video: https://youtu.be/e-d3OS3nbNU?si=GqRb2VauGuInzkkr

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 115 sehingga ayat 119 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita tentang makanan yang diharamkan, ada 4 jenis yang disebut dalam ayat ini- secara fizikal & maknawi semuanya ada.
  3. Kemudian Allah menyatakan larangan mengharamkan sesuka hati, tidak orang yang ada autoriti untuk memberi hukum ini kecuali dari Nas al-Quran atau hadis Nabi s.a.w.

Allah juga nyatakan tentang yahudi yang cari penyakit mengharamkan sesuatu perkara ke atas diri mereka sendiri!

  1. Allah nyatakan Dia maha menerima taubat hamba-Nya samada dari orang kafir yang menerima Islam atau orang yang sudah Islam tetapi melakukan dosa & kesalahan.

Jika mereka ini menyesal & bertaubat kembali kepada Allah, berazam tak mahu buat lagi- Allah akan menerima semua taubat itu!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keizinan & arahan untuk manusia memakan sesuatu yang halalan toyyiban {حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا} iaitu halal dari segi hukum Syari’ah & baik dari segi sumber atau hasil & kesannya.

Maka kita kena tahu apa yang halal untuk kita makan.

ii- maka Allah sebut di sini apa yang haram iaitu lawan kepada yang halal itu.
Ini kerana makanan yang halal itu banyak & yang haramnya sedikit; maka Allah sebut sesuatu yang sedikit iaitu yang haram dan selain daripada yang disebut adalah halal.
Maka bererti yang selain daripada itu adalah halal & harus dimakan.
Yakni ayat ini menjelaskan apakah makanan yang haram itu!
Di dalam ayat ini disenaraikan makanan yang haram dari jenis binatang sahaja.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿٥١١﴾

Ayat 115- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Nahl 16:115)

  1. Dalam ayat ini Allah membincangkan tentang makanan yang haram dari jenis binatang iaitu ada 4 asasnya:

i- memakan bangkai, iaitu haiwan yang mati tanpa sempat disembelih secara Syar’i.
Tak kiralah bagaimana cara kematiannya.

ii- dan darah, iaitu darah yang mengalir, yang cair asalnya disimpan dan dibekukan.

*Jika ada sikit-sikit darah yang terlekat di daging atau tulang setelah dibasuh bersih itu dimaafkan dari sudut Syari’ah.

iii- dan daging babi, serta segala perkara yang berkait dengannya, semua seekor babi itu haram semuanya- kulitnya, lemaknya, bulunya dan segala komponennya!
Disebut daging saja sebagai wakil atau contohnya.

*Sama seperti ayat makan harta anak yatim atau makan riba- bukan makan saja segala penggunaan yang tak sah adalah haram.

iv- dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Haiwan itu disembelih tetapi atas nama berhala, kubur, wali-wali dan seumpamanya!! Yang disembelih selain dari nama Allah!

  1. Nota [590] Selain daripada yang tersebut, ada lagi jenis-jenis binatang yang diharamkan memakannya, seperti yang diterangkan dalam ayat 3, surah “Al-Maaidah” dan juga dalam hadith-hadith Nabi.
    Lihat penjelasan nota nombor [188].
  2. Firman Allah s.w.t:
    [Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.
    Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.
    ]

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Maaidah 5:3)

*Kecuali dua jenis bangkai yang dikecualikan iaitu belalang & ikan (dan semua jenis makanan laut)- tidak perlu disembelih.

  1. Kemudian Allah nyatakan: {.. maka sesiapa terpaksa memakannya benda yang haram itu kerana darurat sedang ia tidak mengingininya}- tidak mengapa Allah maafkan.

Contoh: i- seperti orang sesat di hutan tak jumpa makanan lain kecuali bangkai haiwan- dibolehkan dia makan!

ii- orang yang tercekik makanan tiada air lain kecuali arak dekatnya!

  1. Tetapi Allah bagi dua syarat untuk memakan benda haram itu:
    i- iaitu sedang ia tidak mengingininya- bukan kerana dia suka atau mahukannya, makan kerana terpaksa nak hilangkan lapar yang memudaratkan!!

ii- juga sekadar diperlukan dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa).

Sekadar untuk hambat lapar untuk ambil tenaga.
Bukan kata buat bekal apa pula, tak cukup bakar, buat goreng dan sup apa pula!!??

  1. Nota [591] Tentang keadaan “darurat” menurut pengertian Syara’, lihat penjelasan nota nombor 65.
  2. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:173)

*Yakni bukan kerana dia suka & mengingininya tetapi kerana terdesak & terpaksa!

  1. Kata Imam Mawardi  tentang ayat ini
    {غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ} ada 3 pendapat:
    i- orang yang memberontak ke atas imam atau penjahat kepada orang ramai- maka mereka ini tidak dibenarkan makan walaupun mereka lapar.

ii- dia tidak melampaui dalam makanan yang haram itu dan tidak berlebih-lebih!
Dia makan kerana terdesak dan terpaksa untuk jaga nyawa.

iii- jangan makan dengan seronok melakukannya dan makan dengan banyak sekali sehingga tersadar kekenyangan, makan sekadar nak hambat lapar & cari tenaga!

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ ‎﴿٦١١﴾‏

Ayat 116- {Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.} (Al-Nahl 16:116)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah sebut 4 perkara yang diharamkan.

Maka ada manusia yang pandai-pandai mengeluarkan hukum & fatwa ini halal ini haram!.

ii- maka datang ayat ini Allah melarang berbuat begitu kerana orang buat sedemikian akan dikira seperti dia mengadakan atau mendustakan ke atas Allah!

Itu perbuatan orang jahiliyyah yang menurut hawa nafsunya dan Islam tidak membenarkan sedemikian kerana dikira mereka-cipta pendustaan ke atas Allah.

Yakni Allah melarang orang Islam jangan pandai-pandai menghalalkan dan mengharamkan sesuatu tanpa dalil & nas.

Atau jika tiada nas secara qiyas atau ijtihad oleh ulama’ yang layak.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, – menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.

Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.} (Al-An’aam 6: 138-139)

  1. Nota [592] Yakni Allah Ta’ala tidak membenarkan sesiapapun memandai-mandai menghalalkan atau mengharamkan sesuatu, dengan tidak berdasarkan hukum Syara’. Kerana perbuatan yang demikian hanya menurut hawa nafsu dan berdusta terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.
  2. Inilah larangan keras dari mereka-reka atas agama & hukum atas nama Allah!

Dengan perbuatan mereka akan mendapat sedikit kesenangan atas dunia yang sementara ini.

Ini kerana sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya!!

مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ‎﴿٧١١﴾

Ayat 117- { (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Nahl 16:117)

  1. Sesiapa yang menghalalkan sesuatu yang haram demi habuan dunia yang sedikit & sementara ini- hati-hatilah, jangan bermudah dalam hukum halal-haram ini.
  2. Ini kerana Allah akan membalasnya dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  3. Hukum halal & haram ini bukan boleh jadi pilihan atau ikut undian manusia- ia adalah sesuatu yang hanya Allah s.w.t boleh tetapkan!
  4. Berhati-hatilah para panel penasihat agama apa-apa syarikat & produk- jika tidak solid dalil yang ada jangan kita permudah-mudah menghalal atau mengharamkan sesuatu produk atas dasar kemaslahatan yang tidak jelas.
  5. Jika perkara itu jelas haram; penghalalan yang dibuat itu dapat elaun atas dunia tetapi di Akhirat kelak bagi mereka azab yang pedih!! Allahu al-Musta’an.

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا مَا قَصَصْنَا عَلَيْكَ مِن قَبْلُ ۖ وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ وَلَٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ‎﴿٨١١﴾‏

Ayat 118- {Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.} (Al-Nahl 16:118)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah sebut tentang 4 perkara yang diharamkan kemudian Allah haruskan dalam keadaan darurat.

ii- maka Allah nyatakan tentang yahudi yang telah menyusahkan diri mereka sendiri yang mengharamkan ke atas diri mereka apa yang Allah halalkan.
Lalu Allah mengharamkan terus ke atas mereka perkara tersebut!

  1. [593] Yakni yang tersebut dalam ayat 146, surah Al-An’aam & An Nahl Ayat 118: Ayat Jawab Syubhah (kekeliruan).

Ayat ini adalah jawapan bagi soalan: kenapa ada benda yang halal dalam Islam, namun haram dalam syariat Bani Israil, iaitu unta? Kenapa tidak sama?

  1. Penjelasan jelas dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.} (Al-An’aam 6:146)
  2. Puak yahudi & kafir menzalimi diri mereka sendiri kerana mereka buat maksiat ke atas Allah lalu Allah mengharamkan ke atas mereka apa yang asalnya halal lalu menyusahkan mereka! Mereka sendiri yang cari pasal!

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ عَمِلُوا السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿٩١١﴾

Ayat 119- {Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Nahl 16:119)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat lepas Allah menyatakan larangan mereka-reka hukum ke atas Allah s.w.t serta dosa besar akibatnya!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan jaminan Dia akan ampunkan segala dosa hamba-nya yang insaf & bertaubat kembali kepada Allah!

Hatta orang yang syirik sekalipun jika mereka insaf bertaubat Allah akan ampunkan, yang lepas itu lepas yang akan datang taubatlah dengan taubat nasuha!

  1. Allah nyatakan sesiapa yang pernah buat dosa yang tak sepatutnya dia buat seperti dosa kufur dan maksiat kerana dia jahil tak tahu itu salah, hanya ikut orang- kemudian dia insaf & masuk Islam; Allah kata kamu jangan risau Allah akan beri keampunan walaupun sebesar mana dosa itu!
  2. Ulama’ membincangkan tentang makna- dengan sebab jahil {بِجَهَـٰلَةٍۢ}:
    Kata Syeikh Ibnu Atiyah rhm: Ia bukan makna dengan jahil tak belajar tetapi dari segi melampaui batas buat dosa maksiat kepada Allah.

Maka sesiapa yang buat dosa walaupun setinggi mana ilmunya dia tetap dikira jahil dan melanggar batas!

Siapa buat maksiat kepada Allah dia dikira jahil dan melampaui dalam bab itu!

  1. Allah bagi syarat jika kamu betul-betul taubat dengan cukup syaratnya.
    Allah akan ampunkan segala dosa itu alhamdulillah!

Inilah rahmat Allah yang paling besar kita terima iaitu pintu taubat sentiasa terbuka yang silapnya kita yang tak jumpa pintu itu kerana lalai atau lagha!

  1. Syarat taubat itu ada 3:
    i- tingalkan dosa yang lepas;
    ii- menyesalinya dan insaf sesungguh hati;
    iii- perbaiki yang akan mendatang tak ulangi lagi.

*Jika ada terlibat dengan hak orang- kembalikan atau minta maaf darinya.

  1. Nota [594] Orang-orang yang beriman yang telah terlanjur melakukan maksiat disebabkan kebodohannya, kemudian mereka bertaubat dan memperbaiki amalannya maka Allah menerima taubat mereka, kerana pintu taubat sentiasa terbuka, dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 115- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah…}– empat perkara yang Allah haramkan ke atas orang yang beriman iaitu bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah.

Allah bawa empat perkara asas ini dan yang lain dikiaskan dengannya sebagaimana yang telah kita bincangkan di atas tadi.

Kata ulama’ tadabbur: Kenapa Allah haramkan khas empat perkara ini?

Jawapan: Ini kerana semua agama Samawi terdahulu yang datang dari Allah mengharamkan empat perkara termasuk makan babi ini dalam apa keadaan saja kecuali kerana darurat!

*Manakala segolongan manusia yang memang makan babi seperti di banyak tempat atas dunia termasuk di Malaysia ini; itu adalah agama tok nenek atau ajaran rakaan sesama manusia bukan agama yang turun dari langit (agama wahyu Allah).

Allah bawa satu persatu yang ringan dulu bermula dari bangkai, darah yang mengalir kemudian yang lebih jelek iaitu babi dan akhirnya yang paling berat iaitu sembelihan atas nama berhala dan seumpamanya!

Kita minta perlindungan Allah dari dibiarkan terumbang-ambing tanpa petunjuk lalu terjebak dengan perbuatan & perkara yang teruk ini!

  1. Ayat 115- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi…}-

Allah haramkan daging babi dan segala komponennya- yakni seekor babi itu haram semuanya!

Allah sebut daging babi tapi termasuk semuanya- lemak, kulit, tulang, bulu dan semuanya!

Kenapa Allah haramkan babi khas dalam Islam? Sedangkan banyak lagi haiwan lain yang haram tidak disebut.

Ini sebagai satu ujian kepada manusia kerana babi itu terlalu banyak kegunaannya serta murah pula!

Murah banyak guna & dikatakan sedap pula- itulah ujian Allah ke atas manusia yang beriman!

Jika kita lihat dalam negara-negara lain babi itu boleh dijadikan pelbagai produk dan seluruh tubuhnya dari kulit bulu semua ada kegunaannya!
Inilah ujian ke atas manusia!

Boleh lihat dalam kitab Keindahan Islam hikmah Allah haramkan babi dan lain-lain secara ringkas:

Keindahan Islam https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…

Kemudian Allah haramkan juga memakan binatang yang disembelih bukan kerana Allah untuk menunjukkan besarnya dosa syirik kepada Allah!

  1. Ayat 116- {Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah;..}-

Allah melarang jangan kamu berdusta dengan lidah kamu mengatakan itu halal ini haram, mereka-dusta ke atas nama Allah- ini adalah satu dosa besar.

Ayat ini melarang kita yang tiada ilmu dari bermain-main dengan hukum Allah!

Apatah lagi jika yang ada ilmu pun tetapi terjebak juga dengan perbuatan bermain dengan hukum Allah dek kerana nak jaga periuk nasi & mencari habuan dunia yang sedikit!

Kata Ibnu Kathir rhm: Termasuk juga dalam masalah halal-haram ini ialah orang yang mereka-reka ibadat sedangkan ia tiada dalam Islam asalnya!

Yakni termasuk ke dalam pengertian ini setiap orang yang mengadakan suatu bid’ah yang tidak ada sandarannya dari hukum Syara’.

Atau dia menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah, atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah, hanya berdasarkan pendapat sendiri dan kemahuan hawa nafsunya.

Contoh; buat majlis cinta Nabi tapi menyanyi muzik atas pentas bercampur gaul lelaki perempuan tak tutup aurat dan pelbagai maksiat lagi!

Termasuk juga penguasa yang memberi lesen membenarkan program-program yang jelas mengandungi maksiat & mungkar!

Termasuk juga dalam bab ibadat dilarang jangan kita mudah-mudah mengambil kelonggaran dalam perkara yang Allah haramkan!

Contoh: Menghalalkan solat fardhu sambil duduk bagi orang yang mampu berdiri juga adalah haram!

Bab halal haram duduk di bawah kuasa Allah semata-mata bukan untuk kita buat main, suka-suka!

Semua itu akan menjadi tanggung-jawab di hadapan Allah s.w.t!

Seorang ulama’ Abu Nadhrah  berkata: Selepas membaca ayat ini aku takut lagi untuk berijtihad mengeluarkan hukum!
Takut perkara yang sebenarnya haram di sisi Tuhan kita pergi kata halal & sebaliknya!

  1. Ayat 118- {Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu;..}-

Allah s.w.t mengharamkan secara total ke atas kaum yahudi apa mereka haramkan secara suka-suka sendiri ke atas diri mereka.
Iaitu sesuatu yang asalnya halal dari Allah!

Puak yahudi kerana main-main, pandai-pandai mengharamkan apa Allah halalkan ke atas mereka asalnya; maka Allah haramkan sungguh perkara itu!

Jadi benarlah mereka sendiri yang menzalimi & menyusahkan diri mereka sendiri dengan melakukan pendustaan terhadap Allah!

Boleh rujuk kepada tafsir surah an-Nisaa’ ayat 160 sudah dibahaskan sebelum ini.

  1. Ayat 119- {Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan…., sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

Allah beri jaminan kepada hamba-Nya dalam ayat ini.

Sebanyak mana dosa & seberat mana kesalahan kita- pintu taubat sentiasa terbuka, Allah masih buka pintu taubat untuk hamba-Nya yang bertaubat dan insaf!

Marilah kita semua bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha dengan taubat yang bersungguh-sunguh selagi pintu taubat masih terbuka!

Bilakah pintu taubat tertutup?
i- bagi setiap individu apabila nyawa sudah dihalkum!

ii- bagi seluruh dunia ini apabila Kiamat tiba, iaitu bila matahari terbit dari barat!

Selagi pintu taubat ini terbuka, jom marilah kita segera bertaubat kepada Allah sebelum terlambat dan perbetulkan channel untuk hari yang akan datang.

Semoga Allah berikan kepada kita yang terbaik, hidup mengamalkan perintah Allah & ikut Sunnah Nabi s.a.w, mati dalam husnul-khatimah!

Ya Allah matikan kami dalam husnul-khatimah dan termasuk dalam golongan ahli syurga-Mu!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 02/06/2026 / 16 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=967320716118449&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top