Surah Al-Israa’ – سورة الإسراء
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah An-Nahl

Live Kuliah Pagi Ahad 07/06/2026 – 21 Zulhijjah 1447H Dr Abu Anas Madani Di Masjid Ar-Rahman PSD Tafsir Surah Al-Israa’ (01)
Full video: https://youtu.be/pMu5ann_l6U?si=zn93aCZrTT0c2OcX
Muqaddimah Surah Al-Israa’ – سورة الإسراء #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Israa’.
Surah yang ketujuh-belas dalam al-Quran dan permulaan juzuk yang kelima-belas.
- Kita mulakan dengan muqaddimah, intisari & kelebihan surah yang ada serta munasabahnya dengan surah yang sebelum ini.
- Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan ijma’ ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 111 ayat.
- Ada juga khilaf mengatakan ada beberapa ayat yang turun di Madinah.
Tetapi asasnya ianya turun di Makkah kerana Isra’ Rasulullah s.a.w berlaku di Makkah sebelum hijrah.
Nama Surah #
- Terkenal juga dalam hadis dengan nama surah Bani Israil, kerana menceritakan tentang kisah anak-anak Bani Israil yang tidak diceritakan dalam surah lain.
Ada athar (perkataab sahabat) tentang nama surah Bani Isail ini. - Dinamakan Surah Al-Israa’ – سورة الإسراء yang bererti (Perjalanan Pada Malam Hari) kerana di awal surah Allah sebut peristiwa Rasulullah s.a.w di bawa Isra’ (berjalan) pada malam hari dari Masjidil Haram Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, iaitu dalam ayat pertama.
- Ada juga ulama’ berkata surah ini dinamakan (Subhana- سبحان) Maha Suci Allah kerana Allah mulakannya sebagai perkataan pertama di awal surah ini. Kelebihan Dan Ciri Keistimewaan Surah:
- Rasulullah s.a.w membacanya setiap malam sebagaimana hadis dari UM Sayyidah Aisyah r.a ini:
Maksudnya:
“Rasulullah tidak pernah tidur hingga Baginda membaca surah Bani Israil (Al-Isra’) dan Az-Zumar, setiap malam.” (HR Ahmad, Tirmizi dan Hakim).
*Kita cubalah juga baca dua surah ini bergilir-gilir bersama surah al-Mulk yang dibaca setiap malam.
- Antara Surah yang terawal turun di Makkah. Abdullah bin Mas’ud R.A, menyifatkan Surah al-Isra’ (juga dikenali sebagai Surah Bani Israil) sebagai antara surah yang terawal diturunkan.
Beliau mengatakan bahawa surah ini bersama Surah al-Kahfi, Maryam, Taha, dan al-Anbiya’ adalah antara yang paling awal diwahyukan dan ia merupakan antara surah pertama yang dipelajarinya. [HR Bukhari].
Maqasid/Objektif Surah:
من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ الإسراء #
- Untuk menanam, pasak dalam hati umat manusia ini asas aqidah Islam.
Juga membersihkan hati manusia daripada perkara yang merosakkan nya dari tauhid. - Allah terangkan sifat Nabi s.a.w & Allah nyatakan sifat orang kafir terhadap Baginda s.a.w.
- Allah juga nyatakan sebahagian daripada taklif (keberatan tanggung-jawab) Syara’ dalam mendidik individu & masyarakat.
Dari segi hubungan kita sesama manusia seperti dengan ibu bapa, keluarga dan lain-lain.
Tajuk Utama Surah – Tafsir Muharrar #
- Allah sebut tentang Isra’ dan menerangkan tentang tujuan dan hikmah berlakunya Isra’ dan isyarat kepada Mi’raj.
- Allah sebut tentang kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s yang menjadi hidayah kepada kaumnya Bani Israil.
Serta Allah sebut kejahatan yang dilakukan mereka yang besar sebanyak dua kali atas muka bumi ini kerana itu mereka telah dimusnahkan pada dua kali.
Pada akhir zaman orang Islam akan membunuh semua yahudi nanti.
- Allah menegaskan tentang kelebihan al-Quran sebagai pemberi petunjuk kepada jalan yang benar, memberi khabar gembira kepada orang beriman dengan balasan pahala yang besar.
- Untuk mengisbatkan dalil keEsaan Allah Azza wa Jalla dengan ketuhanan-Nya.
Dengan menunjukkan dalil pertukaran malam & siang. Ini sepatutnya manusia syukur kepada Allah akan nikmat malam yang memberi kita rehat.
Bahawa setiap manusia akan ada kitab surat amalan masing-masing di akhirat nanti.
Maka banyakkan amalan baik kita agar mendapat balasan syurga.
Suratan amalan yang kita nak baca di akhirat kelak kitalah penulisnya sendiri!
- Menetapkan setiap individu menanggung dosanya sendiri masing-masing.
Kecuali dosa berkait seperti ibu bapa atau suami tak larang isteri atau anak yang ingkar kepada Allah seperti tak solat atau tak tutup aurat!
- Menyatakan ketetapan Allah s.w.t akan manusia kurun-kurun yang terdahulu yang telah dibinasakan mereka!
Hancurnya negara dengan sebab kemewahan, kekayaan dan kejahatan & kesombongan penduduknya!
Jangan sebab sedikit kekayaan yang Tuhan beri kita terus lupa Akhirat.
- Allah nyatakan kebahagaian kita di Akhirat bergantung kepada kehendak Allah s.w.t & kepada keadaan kita di dunia!
Orang yang buat baik atas dunia ini Allah akan beri ganjaran pahala di Akhirat kelak!
- Perintah supaya sembah Allah semata-mata!
Serta kerharmonian hidup atas dunia ini melalui hubngan kemasyarakatan; seperti buat baik kepada ibu bapa- larangan daripada membunuh anak, bunuh orang & zina, larangan dari memakan harta anak yatim & jangan berzina, serta arahan untuk tunaikan janji dan cukupkan timbangan & sukatan.
Ini semua arahan Allah s.w.t serta larangan daripada bercakap tentang hukum-hakam yang kita tiada ilmu tentangnya.
Hatta dalam perkara isu-isu semasa yang kita tak ada maklumat- tak perlu ulas- bukan semua perkara kita kena ulas & komen!
- Larangan daripada mengambil Tuhan lain dengan buat syirik kepada Allah serta Allah bawa dalil batalnya dakwaan mereka bahawa bahawa Tuhan itu ada partner!
Serta mengkritik adab jahiliyyah yang membenci anak perempuan!
Anak perempuan tak mahu, isteri mereka perempuan mahu pula!
- Allah nyatakan dalam al-Quran ini ada peringatan supaya manusia mengingati Allah tetapi sebaliknya orang kafir semakin liar apabila dibaca al-Quran kepadanya!
- Allah nyatakan semua makhluk yang ada atas dunia ini bertasbih kepada Allah kecuali jin & manusia yang derhaka!
- Allah sebut beberapa pandangan puak kafir tentang kebangkitan semula pada hari Kiamat serta Allah bawa hujjah yang menolaknya agar manusia yang dengar dan tahu bahawa hujjah mereka itu tidak betul!
- Allah sebut cerita perjalanan dan penciptaan manusia dari awal lagi bermula dari tanah.
Serta Allah muliakan datuk kita Nabi Adam a.s dengan menyuruh malaikat bersujud tanda hormat kepadanya!
Kemudian Allah ceritakan sikap iblis yang sombong, angkuh tak mahu sujud kerana merasakan dia yang dicipta daripada api lebih baik daripada Adam yang dicipta dari tanah.
Allah nyatakan bahawa iblis yang tidak ada kuasa untuk mengalahkan orang Islam yang betul-betul beriman- tetapi jika iman lemah pastilah iblis akan dapat menguasainya!
- Allah nyatakan nikmat-Nya di darat & dilautan.
Allah s.w.t yang melepaskan kesusahan mereka apabila mereka meminta pertolongan-Nya.
- Allah sebut kemuliaan bani Adam & beberapa penyaksian yang akan berlaku pada hari Akhirat.
- Allah nyatakan Dia beri kekuatan jiwa kepada Nabi s.a.w dan Allah memerintahkan Baginda untuk sentiasa tunaikan solat & membaca al-Quran.
Serta mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menolak segala kejahatan.
17 . Allah puji al-Quran dan nyatakan tentang I’jaznya (kelebihannya)- di mana manusia tak akan mampu untuk lawan, cabar atau tirunya!
Bagaimana pua kafir minta pelbagai benda pelik dari Nabi s.a.w- Allah kata sudah cukup dengan al-Quran sebagai satu mukjizat yang besar!
- Allah sebut sedikit tentang kisah Nabi Musa a.s dengan Fir’aun.
- Allah turunkan al-Quran ini dengan kebenaran dan dengan benar turunnya al-Quran.
Allah nyatakannya & jelaskannya supaya Nabi s.a.w baca kepada manusia dengan tenang & teratur.
Allah juga turunkan al-Quran secara berperingakat agar mudah para sahabat membaca, menghafaz dan beramal dengannya!!
Maka apabila dibaca al-Quran- para sahabat akan tunduk kepada Allah dalam keadaan khusyuk & takut kepada-Nya.
- Penutupnya- Allah tutup surah ini dengan arahan untuk puji Allah s.w.t & bahawa Tuhan tak ada anak, tidak ada sekutu bagi-Nya dalam Kerajaan-Nya ini.
Serta Allah nyatakan siapa nak mulia duduklah di bawah arahan Allah s.w.t! Tidak akan hina orang yang bewala’kan kepada Allah!
Intisari Kandungannya
(Pimpinan ar-Rahman) #
- Menegaskan bahawa tujuan dan hikmat-hikmat berlakunya mukjizat “Israa’” yang luar biasa itu, ialah kerana hendak memperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah ‘Azza wa Jalla.
Kemuliaan yang besar ini dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada Baginda ketika Baginda sedang menghadapi tentangan keras dari kaum kafir musyrik di Makkah untuk memberi semangat supaya Baginda berjuang terus menyiarkan Islam hingga berjaya.
- Diterangkan pula perihal kaum Yahudi Bani Israil yang sentiasa menderhaka kepada Allah Ta’ala dan bertindak ganas kepada umat manusia, dan kerana itulah mereka telah menerima kehancuran dua kali di Palestin – (kali yang pertama di tangan raja Babylon dan kali yang kedua di tangan raja Rom).
Lalu diberi amaran bahawa selagi mereka menderhaka dan menceroboh maka selama itulah pula Allah Ta’ala menggerakkan umat-umat yang lain untuk menyerang, memburu dan menghancurkan mereka.
Dan inilah yang telah berlaku di sepanjang sejarah kaum Yahudi zaman berzaman.
- Setelah menegaskan bahawa Kitab Suci Al-Qur’an memberi petunjuk ke jalan yang amat betul – agama Islam, lalu diterangkan tentang “Kitab manusia” atau “suratan amalnya” yang tertulis di dalamnya segala perkara yang dilakukannya dengan ikhtiarnya sendiri, samada amal bai atau amal jahat.
Amalnya itulah yang menentukan nasibnya sendiri.
- Jika baik amalnya maka selamatlah dia di dunia akhirat, dan jika jahat amalnya maka celakalah dia dunia akhirat.
Amalnya dan nasibnya diibaratkan sebagai benda yang dikalungkan di lehernya, yang tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, kerana dialah yang bertanggungjawab terhadapnya.
- Perbezaan dan kelebihan antara sesama manusia itu bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat lebih besar lagi.
Ada yang bersenang-lenang dengan berbagai-bagai nikmat di dalam Syurga dengan mendapat pangkat kedudukan yang setinggi-tingginya, dan ada yang menderita azab sengsara di lapisan Neraka yang terkebawah sekali.
Bahkan di dalam Syurga pun berperingkat-peringkat, demikian juga yang menderita azab di dalam Neraka.
- Oleh kerana sembahyang yang lima waktu telah difardhukan Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya pada malam “Israa’ dan Mi’raaj” yang disebutkan perihalnya dalam surah ini lalu diperintahkan supaya sembahyang itu dikerjakan pada waktunya yang telah ditentukan, kemudian diterangkan secara khusus tentang keistimewaan sembahyang subuh, supaya masing-masing memulakan harinya dengan ibadat pada saat yang berkat itu sebagai bersyukur kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
- Surah “Al-Israa’ – الإسراء” ini diakhiri dengan menerangkan cara memuji Allah Ta’ala supaya Rasulnya dan sekalian hambanya sentiasa menyebut: “ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ” (segala puji tertentu bagi Allah), sebagai bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat-Nya yang tidak terhitung itu kerana Dialah Tuhan yang Maha Esa dan Dialah sahaja yang wajib dibesarkan dan dimuliakan dengan sepenuhnya.
Munasabah Antara Surah Al-Israa’ – سورة الإسراء ini Dengan Surah Al-Nahl Sebelumnya.
(Tafsir Al-Munir) #
- Munasabah atau kaitan pertama:
i- Pada akhir Surah Al-Nahl Allah katakan Dia telah jadikan hari Sabtu itu sebagai punca perbalahan puak yahudi tentangnya.
ii- maka dalam surah al-Isra’ ini Allah jelaskan tentang kedudukan hari Sabtu dan apa yang terkandung dalam kitab Taurat.
Kata Ibnu Jarir melalui riwayat ibnu Abbas r.a- ada beberapa ayat dalam surah al-Isra’ ini menceritakan tentang isi kandungan Kitab Taurat.
- Di hujung Surah An-Nahl juga:
i- setelah Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w agar bersabar menghadapi ancaman, gangguan dan kejahatan puak kafir serta jangan bersedih atas kedegilan kaum musyrikin Makkah yang buat pelbagai tuduhan kepada Baginda seperti ahli sihir, ahli syair dan sebagainya.
ii- maka datang surah ini untuk melapangkan dada Rasulullah s.a.w dan tenangkan hatinya dengan membawa Baginda berjalan ke Masjid al-Aqsa dan Mikraj naik ke langit berjumpa Allah s.w.t tanpa perantaraan.
- Dalam dua surah ini Allah nyatakan tentang nikmat-Nya yang banyak yang dicurahkan kepada manusia:
i- sehingga dinamakan surah an-Nahli juga sebagai surah nikmat.
ii- maka dalam surah al-Isra’ ini Allah nyatakan beberapa jenis nikmat secara umum dan secara khususnya sebagai sambungan kepada surah yang lepas itu!
- Munasabah tentang sifat al-Quran:
i- dalam Surah An-Nahli Allah nyatakan bahawa al-Quran itu datang dari Allah bukan manusia yang buatnya sebagaimana tuduhan Quraisy.
ii- maka datang ayat dalam surah ini menyatakan bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk membawa manusia ke jalan yang benar.
- Munasabah kelima:
i- dalam surah an-Nahli Allah sebut kaedah bagaimana kita nak ambil faedah daripada makhluk-makhluk yang ada atas muka bumi ini seperti bukit, pokok batu kayu dan lain-lain.
ii- maka datang ayat dalam surah al- Israa’ ini Allah sebut beberapa kaedah hidup bermasyarakat terutamanya khidmat buat baik & ihsan terhadap ibu bapa, buat baik kepada kaum kerabat, kepada anak yatim, orang miskin dan musafir yang terputus bekal dalam perjalanan.
Allah juga ajar dengan dua cara iaitu jangan terlalu boros & jangan bakhil.
iii- kemudian Allah nyatakan dalam ayat ini pengharaman bunuh orang, zina, makan harta anak yatim serta perintah untuk menyempurnakan sukatan & timbangan dengan betul dan membatalkan taqlid buta kepada orang tanpa ilmu!
Sempena dengan awal muqaddimah surah al-Isra’ ini banyak perkara yang kita kena belajar, insya’ Allah kita usaha!
Kita berdoa kepada Allah semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman tentang apa yang kita belajar serta taufiqkan kita untuk beramal dengannya.
Jika Allah tidak berikan kepada kita kefahaman dalam agama- tidak beri taufiq untuk kita mengamalkannya; kita akan menjadi orang yang rugi, iaitu ada ilmu tanpa amal!
Yang paling perlu kita jaga sekali terutama sebagai muslimat yang suka belajar suka mengaji ini ialah jaga aurat dengan sempurna!
Jika tidak kita akan jadi orang yang belajar saja tanpa amal!
Hanya Allah Yang Maha Kaya yang dapat menolong kita!
Jangan sampai mendaki bukit lebih senang daripada mendaki tangga masjid.
Kita orang beriman kena sebaliknya!
Penutup #
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada Surah Al-Israa’ – سورة الإسراء ini.
- Insya’ Allah dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 15/04/2026 / 26 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=972004495650071&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3
Semoga Bermanfaat!
