View Categories

(27) Surah An-Nahl: Ayat 91-93

18 min read

Tunaikan Janji, Sumpah Jangan Dilanggari & Kuasa Allah S.W.T Memberi Hidayah

Live Pagi Khamis 21/05/2026 / 04 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (27) Ayat [91-93]

Full video: https://youtu.be/AJmC96z8p4I?si=fMKwTyqgO02m8CiK

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 91 sehingga ayat 93 dalam juzuk keempat-belas.

Surah ini dikenali juga dengan nama surah an-Ni’am, yang penuh dengan nikmat Allah s.w.t ke atas kita yang wajib kita syukurinya.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t perintahkan sesiapa yang buat perjanjian, lebih-lebih lagi dikuatkan dengan sumpah & nama Allah- wajib tunaikan janji.
  2. Jangan melanggar janji & sumpah sewenangnya- jika tidak, akan dikira bersifat seperti munafiq!

Tidak kira peringakat negeri, negara atau kampung!

Bahkan janji dengan anak pun mesti ditunaikan! Menunaikan janji satu tanggung-jawab & sumpah jangan dilanggari.

  1. Allah buat satu analogi; Orang buat perjanjian dengan nama Allah kemudian membatalkannya seolah perbuatan yang sia-sia tidak cerdik- seperti seorang yang memintal tali pada paginya kemudian merungkainya balik pada petangnya.
  2. Akhirnya Allah kata jika Allah mahu menjadikan semua manusia atas dunia ini beriman atau tidak beriman semuanya- boleh saja!

Tetapi Allah sudah menetapkan manusia ini ada yang beriman & ada yang kufur.

Ini kerana kuasa Allah s.w.t untuk memberi hidayah taufiq kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya atau menutupnya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ya Allah taufiqkan kami pada jalan yang Engkau redhai & sukai, dan jauhkan kami dari sifat munafiq yang dibenci!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat 90 yang lepas Allah s.w.t telah kumpulkan ibu kebaikan iaitu adil, ihsan, buat baik kepada keluarga serta larangan daripada melakuakn perkara buruk seperti mungkar, keji & zalim!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan antara sifat & cici-ciri kebaikan ialah menunaikan janji.
Manakala antara cici-ciri keburukan ialah memungkiri janji & langgar sumpah!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ إِذَا عَٰهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُوا۟ ٱلْأَيْمَٰنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ ٱللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ ‎﴿١٩﴾

Ayat 91- {Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.} (Al-Nahl 16:91)

  1. Allah menyeru kepada manusia untuk menunaikan semua janji samada:
    i- janji kita dengan Allah seperti sumpah (أيمن), nazar (نذر) dan seumpamanya yang telah menjadi wajib ke atas kita untuk menunaikannya.

Kerana itu jangan kita susahkan diri kita- tak perlu buat syarat dengan Allah untuk melakukan sesuatu kebaikan.

Kerana itu Nabi s.a.w menyatakan nazar bukan satu kebaikan tetapi:

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak menolak sesuatu (qada’ atau takdir), dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

ii- janji kita dengan sesama manusia- bersumpah itu berjanji untuk melakukan sesuatu.

Janji mesti ditepati jangan dicapatikan!

Ingat dunia ini kecil saja- kita berjanji dengan orang kemudian buat-buat lupa buat tak tau! Senang hanya setahun kemudian akan susah hati!

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.} (Al-Maaidah 5:1)

Yakni jika kamu benar-benar beriman- tunaikan janji!

  1. Jangan juga sesekali bersumpah, bermain-main dengan nama Allah!

Nama Allah nama yang besar tidak boleh dibuat main untuk gunakkannya bagi menipu dan berjanji palsu!

Orang yang mainkan nama Allah tidak akan bahagia, orang beriman tidak akan buat begitu!

  1. Ini adalah sifat munafiq sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
    “Empat sifat, jika seseorang memiliki kesemuanya, maka dia adalah munafik sejati. Jika dia memiliki salah satu daripadanya, maka dia memiliki satu sifat kemunafikan sehingga dia meninggalkannya: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri, apabila diberi amanah dia khianat, dan apabila bertengkar dia melampaui batas (curang)”. [HR Bukhari & Muslim].
  2. Yakni dalam ayat ini Allah perintahkan untuk kita menunaikan janji apabila berjanji, tunaikan sumpah apabila kamu bersumpah atau buat persetujuan- apatah lagi dengan nama Allah- orang yang melanggar semua ini akan dicela oleh Allah & bersifat munafiq!
  3. Allah marah lagi- kamu bersumpah gunakan nama Allah untuk berjanji, guna nama Allah sebagai penjamin (كَفِيلًا) tetapi kemudian sewenang-wenangnya kamu mungkiri janji itu!
  4. Beberapa ayat dalam al-Quran ini yang Allah gunakan
    i- apabila Nabi Musa berjanji dengan bakal mertuanya dalam ayat ini:
    {Musa menjawab: “Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu”.} (Al-Qasas 28:28)

ii- cerita hutang duit 1000 dinar- dalam hadis yang sahih.

Bagaimana seorang itu mahu berhutang sebanyak 1000 dinar dan menjadikan Allah sebagai saksi dan penjamin!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah S.A.W bahawa Baginda pernah mengisahkan:
Bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil lain.

Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi!
Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.”

Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.”
Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.”
Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”

Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu.
Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya.
Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya.
Namun dia tidak mendapatinya.

Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang.
Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.

Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.

Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.
Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?”

Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.” [HR al-Bukhari (2291)].

  1. Di akhir ayat Allah nyatakan: {… sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.}- yakni Allah s.w.t tahu semuanya, dia tengok kita, dia perhati & kawal kita!

Maka jika kamu tahu Tuhan tahu; kamu tak akan buat perkara yang dibenci oleh Allah, ingat baik-baik, jangan dok main-main dengan nama Allah!
Tak kena di dunia di Akhirat azab menanti!

 وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّتِى نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنكَٰثًا تَتَّخِذُونَ أَيْمَٰنَكُمْ دَخَلَۢا بَيْنَكُمْ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِىَ أَرْبَىٰ مِنْ أُمَّةٍ ۚ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ ٱللَّهُ بِهِۦ ۚ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ مَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ ‎﴿٢٩﴾

Ayat 92- {Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.} (Al-Nahl 16:92)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan perintah untuk tunaikan janji jangan batalkannya tanpa sebab.

ii- dalam ayat ini Allah buat analogi bandingan orang yang mungkir atau batalkan janjinya sebagai satu perbuatan yang bodoh!
Kerana buat sesuatu yang karut, yang dimukai Allah s.w.t.

  1. Allah perintahkan kita agar jangan batalkan perjanjian yang telah dibuat atas nama Allah, kerana itu adalah satu perbuatan yang tidak cerdik sebagaimana seorang wanita yang tinggal di Makkah- seorang yang kurang cerdik di mana kerjanya adalah memintal tali, setelah selesai memintalnya dengan kuat & teguh; dia kemudian merombak satu persatu benda yang dipintalnya!

Setengah ulama’ tafsir menamakan sebagai Raithoh.

  1. Nota [5377]- Allah s.w.t melarang membatalkan perjanjian yang telah dikuatkan dengan sumpah dengan memberi perumpamaan perbuatan itu adalah seorang perempuan tukang pintal yang kerana bodohnya & tidak siuman telah merungkai balik pintalan kemas & rapi yang dibuatnya tadi.

*Inilah adalah satu contoh yang Allah buat supaya kita berfikir dan jangan buatnya!

  1. Allah kata lagi kamu telah jadikan sumpah kamu itu sebagai satu alat untuk menipu, ayat untuk tipu daya kemudian memungkirinya untuk bersama dengan kumpulan lain yang lebih ramai!

Kamu berjanji nak suruh orang percaya & terpedaya dan setia kepada kamu!
Tak kira perjanjian dalam bidang politik, perniagaan atau apa saja!

  1. Kamu buat perjanjian dengan sebelah tangan supaya orang percaya & setia kepadamu sedangkan tangan satu lagi bersedia untuk menyapu & membatalkannya!!!
  2. Watak ini telah disebut Allah dalam al-Quran & ada di mana-mana.

Betapa ramai golongan yahudi datang buat perjanjian dengan Rasulullah s.a.w kemudian belot & membatalkannya kerana nak join kafir lain yang lebih ramai!

Kerana itu Nabi s.a.w kata setiap penipu Allah akan pacakkan bendera khas atas kepalanya!

  1. Tetapi apa boleh buat masyarakat sudah tidak segan & takut untuk menipu kerana terlalu ramai penipu & scammer pada hari ini dalam dunia ini!

Kamu jumpa satu kumpulan yang lebih besar, menabur janji & kata-kata manis lalu kamu lompat kepadanya!

Lalu tidak setia & meninggalkan kumpulan asal kerana asal ada peluang dia akan menipu & memungkirinya!

  1. Ini adalah hakikat sebagaimana yang disebut dalam al-Quran- perbuatan ini berlaku dan berulang, perbuatan & sifat yang sama cuma watak saja berbeza!
    Yang penting jaga iman kita diri & janji kita tunaikan!
  2. Nota [578]- yakni Allah hanya menguji kamu dengan golongan yang ramai itu; apakah kamu akan berpihak kepada mereka atau masih tetap setia kepada rakan seperjuangan kamu yang tidak ramai!
  3. Pada akhir ayat Allah berkata bahawa sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan demikian itu; apakah kamu setia atau hanya mahu mengambi kesempatan & cari peluang!

Kemudian sudah tentu Allah akan menerangkan pada hari Kiamat apa yang kamu selisihkan padanya!

Allah uji kamu dengan janji, Allah uji kamu dengan batalkan kerana nak join orang lain!

  1. Pada hari Kiamat pula kamu akan dicela bahawa kamu telah berjanji dengan sebut nama Allah kerana nak suruh orang percaya!
    Kamu juga mengambil kesempataan bahawa kamu akan lari akhirnya!
  2. Kata Ibnu Juzai: Ayat ini diturunkan kepada puak Quraisy yang lebih ramai daripada umat Islam pengikut Nabi s.a.w pada waktu itu; dan mereka bersedia bergabung dengan sesiapa saja yang mahu menentang Islam & Rasulullah s.a.w!
  3. Maka ingat baik-baik- Allah kata apa yang kamu buat atas dunia ini; Allah akan dedahkan segala-galanya!

وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَلَٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَلَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ‎﴿٣٩﴾‏

Ayat 93- {Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:93)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    I- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t larang dari menipu, tak tunai janji & bersumpah palsu atas nama Allah!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa kuasa di tangan Allah.

Allah boleh beri taufiq hidayah kepada sesiapa dan boleh menyekatnya, Dia maha berkuasa. Tetapi kita semua akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak!

  1. Allah kata jika Allah nak Dia boleh buat semua manusia itu beriman atau semua manusia itu kafir!

Tetapi Allah telah tetapkan begitulah perjalanan hidup atas dunia ini, ada manusia yang beriman ada yang kafir!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.
    Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.} (Hud 11: 118-119)
  2. Tentang ummatan wahidah & punca khilaf ulama’ dan cara untuk bersatunya boleh baca dalam buku “Islam Cara Hidup” yang menarik ini:
    https://dartaibah.com/…/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup…
  3. Allah juga nyatakan antara hikmah Allah tidak jadikan manusia itu satu kumpulan saja tetapi dengan pebagai jenis agama, mazhab, pegangan & kepercayaan atas dunia ini ialah untuk kita mencari sendiri apakah jalan yang benar & diredhai Allah!

Yang penting kita yang beriman dan sedar ini carilah kebenaran berdasarkan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Allah kata kuasa-Nya untuk buat begitu tetapi ingat baik-baik; Allah juga telah tegaskan bahawa kamu semua akan dipersoalkan tentang apa yang kamu buat atas dunia ini di Akhirat kelak!
  2. Nota [579]- yakni jika Allah mengkehendaki pastilah Dia akan jadikan sekelian manusia atas agama yang satu- menurut keadaan semulajadi mereka.

Dan juga pastilah Dia tidak akan jadikan bagi mereka usaha ikhtiar dan kuasa untuk memilih apa yang mereka nak lakukan.

Akan tetapi mereka tidaklah demikian; bahkan diberi kuasa & usaha untuk untuk memilih setelah diterangkan kepada mereka jalan yang benar & jalan yang salah.

Kerana itulah mereka akan disoal di Akhirat kelak tentang apa yang telah mereka kerjakan dan kemudian masing-masing akan dibalas; yang baik dibalas baik yang buruk dibalas buruk.

Kita minta berlindung dengan Allah dari sifat yang buruk!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 91- {Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji;}-
    Allah kata tunaikan janji apabila kamu berjanji!

Ayat ini membawa galakan & arahan kewajipan untuk tunaikan segala janji dan sumpah kita dengan orang & jangan mudah-mudah membatalkan sumpah kita!

Orang beriman tidak akan mudah-mudah membatalkan perjanjian dengan mudah sewenang-wenangnya!

Kerana Allah nyatakan di akahir ayat bahawa Allah tahu apa yang kamu kerjakan semuanya!

Kamu berjanji dengan nama Allah tetapi dalam hati kamu sudah berniat untuk menipu!!!

Allah beri amaran bahawa sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan!

Yakni Tuhan tengok apa yang kamu lihat apa yang kamu buat dan rekodkannya!

Sesiapa yang bermain dengan nama Allah jangan sedap hati- Allah hanya beri tempoh sekejap untuk melihat apakah kamu betul-betul jujur!
Jika sebaliknya akan sampai masanya balasan tiba!

Kita orang beriman jujurlah dengan nama Allah yang kita guna dalam sumpah dan perjanjian kita buat dengan orang jangan tipu!

  1. Ayat 91- {… dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah),}-

Allah kata ada manusia yang buat perjanjian dengan nama Allah!

Apabila kamu jadikan Allah sebagai penjamin, pelindung dan saksi; maka kamu kena jaga nama & haq Allah- jangan main-main!

Sebagaimana hadis tadi kisah seorang yang berjanji dan menjadi Allah sebagai saksi & penjaminnya!

Ini kerana niatnya ikhlas dan benar-benar berniat untuk tunaikan janjinya dengan bayar hutang duit yang dipinjamnya maka Allah tolongnya untuk tunaikan hutang yang dijanjikannya!
Inilah yang dikatakan wali dari auliya’ Allah.

Siapa yang benar, jujur & ikhlasnya janjinya kerana Allah- Allah akan bantunya untuk menunaikan janji & sumpah itu!

Allah akan beri rezeki & pertolongan kepadanya melaui jalan yang tidak disangka dan seolah mustahil.

Kitab 51 Kisah ajaib yang sahih- menarik juga, dapatkannya di:
https://dartaibah.com/…/Kitab-51-Hadis-Sahih-Kisah…

  1. Ayat 92- {Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh;.. }- kamu jangan jadi seperti wanita yang tak cerdik pagi pintal tali petang dirungkaikannya semula.

Analogi ini Allah buat bahawa sesiapa yang tidak jaga janji; buruk padahnya, tak cerdik orangnya, bodoh tindakannya dan kerana dia buat perkara sia-sia yang tidak memberi hasil yang baik bahkan merugikan kerana penat letih & tidak menghasilkan sesuatu yang baik!

Ulama’ tafsir kata perempuan ini adalah seorang yang kurang cerdik, duduk di Makkah & ada yang kata duduk di Ja’ranah.

Pagi dia bersungguh kerja memintal tali, tetapi petangnya rungkai balik segala talinya itu.

Ada ulama’ tafsir kata namanya Raithoh bin Amru- pada awal lagi Nabi s.a.w cerita kisahnya ini!

Inilah contoh orang yang bodoh, orang yang tak cedik, dia batalkan perjanjian sewenang-wenangnya kerana kepentingan diri atau kerana tak cerdik!

Allah nyatakan sebab dia batalkan perjanjian itu kerana dia jumpa kumpulan orang lain yang dirasakannya lebih baik lalu tukar ikutan!

Inilah budaya yang buruk yang jangan kita jadikan budaya dalam masyarakat!

Jika pemimpin atau orang-orang besar begitu sikapnya- maka kita bimbang jika masyarakat & rakyat juga akan tiru dan menjadi begitu sikapnya tak lekat janji!

Sebagaimana kata penyair: Jika tuan rumah atau ketua keluarga kerjanya memalu gendang; kamu akan dapati ahli rumahnya bangun menari!

Maknanya jika pemimpin dok ajar menipu kepada rakyat; maka rakyat juga akan menipu ikut pemimpin!

Kita minta Allah ampunkan kami dan selamatkan negera & negeri kami daripada sifat-sifat yang buruk ini!
Juga selamatkan keluarga kami semua dari segala sifat yang buruk ini!

  1. Ayat 93- {Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi…}-
    Allah kata jika Dia mahu Dia boleh buat semua manusia ini sebagai umat yang satu!

Tetapi ketetapan Allah telah tetapkan kita bukan umat yang satu, tetapi umat yang berpecah-pecah.

Tetapi di sana ada satu jalan yang benar untuk kita pilih & ikut.

Hadis Nabi tinggalkan kepada kita dua perkara yang jika ikut selamat!

Jalan Nabi dan jalan para sahabatnya- ikut ini akan selamat!

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Aku tinggalkan bagi kamu dua perkara, yang mana kamu tidak akan sesat, selagimana kamu berpegang dengannya. Ia adalah kitab Allah جل جلاله (iaitu Quran) dan sunnah Nabi-Nya.”(H. Imam Malik)

Kerana itulah kita kempen untuk sentiasa mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah berdasarkan Sunnah Nabi yang sahih!

Jika tidak kita tidak akan selamat kerana perpecahan ini memang akan berlaku!

  1. Ayat 93- {… Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);}- kuasa Allah memberi hidayah taufiq kepada manusia begitu juga kuasa menyesatkan manusia yang dikehendaki-Nya.

Manakala kerja Nabi s.a.w & para pendakwah selepasnya hanyalah hidayah bimbingan menyampaikan, memberi bimbingan, ajaran dan berdakwah masyarakat kepada jalan Allah!

Maka kita kena sentiasa peka, bergantung kepada Allah supaya kita akan selamat.

Di akhir ayat Allah kata kamu akan dipersoalkan di hadapan dengan segala perbuatan kamu di atas dunia ini- tidak ada perkara atau perbuatan yang berlalu begitu saja!

Kata ahli fikir: Hari ini kita banyak tanggung-jawab tetapi ingat apabila kita mati semua yang kita buat atas dunia ini akan dipertangung jawabkan kepada kita di Akhirat kelak!

Ya Allah hidupkan kami sebagai seorang muslim yang menunaikan janji dan tidak membatalkannya, bersihkan kami dari sifat munafiq yang berjanji tetapi tidak tunai!

Berikan kamu husnul-khatimah yang melayakkan kami ke syurga-Mu dan selamatkan kami dari neraka-Mu!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 21/05/2026 / 04 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=957433670440487&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top