View Categories

(18) Surah An-Nahl: Ayat 65-67

13 min read

Nikmat Hujan, Susu Haiwan & Perahan Buah-buahan

Live Pagi Isnin 11/05/2026 / 23 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (18) Ayat [65-67]

Full video: https://youtu.be/4B2YkYyV2qM?si=ojctTy4pBnd6njpP

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 65 sehingga ayat 67 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan nikmat-Nya menurunkan air hujan dari langit yang menyebabkan pokok-pokok tumbuh subur, mengeluarkan buah-buahan yang baik, menjadi makanan, minuman manusia & haiwan.
  3. Kemudian Allah ceritakan tentang nikmat haiwan & susunya (begitu juga susu manusia), yang berasal dari usus, berada antara alat pencerna & najis yang kotor- tetapi susu yang bersih & berkhasiat yang keluar sebagai nikmat!
  4. Allah juga nyatakan nikmat hasil perahan buah-buahan seperti anggur, kurma dan lain-lain yang menjadi jus minuman yang lazat & menyegarkan.

Ini semua- rezeki yang baik & nikmat yang lazat; menjadi tanda keagungan Allah s.w.t bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang objektif besar Allah turunkan al-Quran ialah untuk menetapkan empat usul atau asas.

Sebagaimana kata Syeikh Fakhruddin ar-Razi dalam tafsirnya: Allah turunkan al-Quran untuk menetapkan 4 usul iaitu; tentang ketuhanan (الإلهية), kenabian (النبوة), bangkit semula (المعاد) & ketetapan taqdir Allah s.w.t.
(إثبات القضاء والقدر).

Objektifnya yang utamanya dari 4 usul ialah menetapkan Ketuhanan Allah s.w.t.

Kerana itu dalam ayat ini Allah bawa perbincangan tentang kesesatan puak kafir & janji Allah bahawa mereka yang menentang & syirik akan binasa.

ii- maka dalam ayat kita ini Allah bawa semula dalil untuk menetapkan Ketuhanan yang Esa & Allah mulakan dengan dalil keEsaan Allah, Kudrat-Nya, segala perbuatan-Nya seperti menurunkan hujan, mengeluarkan susu haiwan dan lain-lain.

Ini dalil menunjukkan adanya Allah s.w.t sebagai Pencipta.

Dalil dari langit iaitu hujan & dalil yang ada dekat kita iaitu haiwan & tumbuhan!

Maka carilah Allah s.w.t yang Maha Berkuasa sebagai Tuhan bukan cari yang selain dari-Nya, yang tidak ada kuasa yang menyebabkan kamu akan dibinasakan Allah!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَٱللَّهُ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ ‎﴿٥٦﴾

Ayat 65- {Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).} (Al-Nahl 16:65)

  1. Allah s.w.t yang Esa, yang menurunkan hujan dari langit- ini adalah dalil dari alam atas.

Bumi dan isi kandungan hatta logam-logam adalah dalil alam bawah.

Hasil dari air hujan Allah keluarkan tumbuh-tumbuhan yang telah kering & mati- tumbuh dengan subur & segar semula bumi.

  1. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;}
    Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya;
    (Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).} (Qaaf 50: 9-11)
  2. Nota [560[- Yakni menumbuhkan tanam-tanaman di bumi, sesudah bumi itu kering-kontang dalam masa kemarau.

Fahamkanlah baik-baik perbandingan di antara Al-Qur’an yang disebutkan pada ayat 64 yang lalu dengan “air hujan” yang tersebut pada ayat 65 ini.

Kedua-duanya diturunkan dengan tujuan menghidupkan sesuatu yang mati.

Al-Qur’an diturunkan untuk menghidupkan hati yang mati disebabkan kejahilan, dan air hujan pula diturunkan untuk menghidupkan tanaman pada bumi yang kering-kontang.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat 64 dinyatakan Allah turunkan al-Quran untuk menghidupkan hati yang mati dengan iman & zikir.

*Zikir dengan hati umpama ikan di dalam air- hidup dengan segar & riang!

ii- dalam ayat ini Allah turunkan hujan untuk menghidupkan bumi yang mati & kering!

  1. Allah menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan menjadi dalil yang jelas akan tanda keEsaan & keagungan Allah s.w.t bagi orang berfikir, yang hatinya tak mati, mata tak buta & telinga tak pekak; dia dengar dan dia ikut!
  2. Semua ini dalil yang membuktikan kebijaksanaan Allah bagi kaum yang mendengar peringatan ini dan memahaminya.

Orang dengar & faham dia cari dalil tentang bukti keagungan Allah.

Orang tak berakal, dia dengar, dia celik mata tapi tak dapat apa faedah- satu kerugian yang besar!

وَإِنَّ لَكُمْ فِى ٱلْأَنْعَٰمِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِى بُطُونِهِۦ مِنۢ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَآئِغًا لِّلشَّٰرِبِينَ ‎﴿٦٦﴾‏

Ayat 66- {Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.} (Al-Nahl 16:66)

  1. Kemudian Allah bawa kita kepada dalil & tanda keEsaan Allah di bumi pula, yang dekat dan nampak di depan mata kita.

Iaitu dari kejadian binatang ternakan yang memberi banyak manfaat kepada manusia.

  1. Allah suruh kita lihat kepada susu haiwan yang begitu hebat ciptaannya:

i- susu segar yang terbit dari dalam perut haiwan (usus), yang keluar dari antara hampas makanan dengan darah;

ii- menjadi susu yang putih bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

Yakni tidak memberi kesan buruk seperti bau atau warna walaupun duduk dekat usus yang sama.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah sebut macamana Dia perhidupkan bumi yang mati dengan air hujan.

Hasilnya bumi subur dan tumbuh tanaman yang menjadi makanan bagi binatang ternakan dan lain-lain.

ii- lalu dari haiwan itu keluar susu yang segar lagi bersih menjadi minuman yang mengenyangkan bagi manusia.

*Hatta susu manusia- susu ibu yang paling berkhasiat dan baik untuk bayi.

  1. Kerana itu Allah kata kepada kita: sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu {فِى ٱلْأَنْعَـٰمِ}, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar akan keEsaan & keagungan Allah s.w.t!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
    Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.
    Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?} (Yaa Siin 36: 71-73)
  3. Dalam ayat ini Allah nyatakan nikmat & rezeki susu yang bersih lagi segar itu yang Allah anugerahkan kepada manusia dengan ayat yang jelas lagi detail bahawa Allah sendiri yang berikan nikmat itu: {Kami beri minum kepada kamu- نُّسْقِيكُم}!
  4. Nota [561]- pelajaran yang mendatangkan iktibar yakni yang membuktikan akan kesusahan Allah s.w.t. iaitu bagaimana benda-benda yang dimakan oleh binatang ternakan itu bertukar menjadi dan dari darah itu lahirnya susu yang sedap rasanya, banyak faedahnya & hebat khasiatnya untuk diminum oleh manusia untuk menjadi tenaga, membesar dan menguatkan tulang!
  5. Baru kita sedar selama ini kita minum susu yang begitu lazat & banyak khasiatnya tanpa memikirkan akan Tuhan yang memberi rezeki iaitu Pencipta susu itu!

وَمِن ثَمَرَٰتِ ٱلنَّخِيلِ وَٱلْأَعْنَٰبِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ‎﴿٧٦﴾

Ayat 67- {Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.} (Al-Nahl 16:67)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini adalah tentang rezeki dari sudut haiwan ternakan yang Allah berikan.

ii- dalam ayat ini pula Allah sebut nikmat dari segi buah-buahan pula seperti kurma & anggur yang halal buahnya {وَرِزْقًا حَسَنًا} atau yang dijadikan minuman yang diperam lalu menjadi minuman yang haram pula kerana memabukkan {سَكَرًۭا}!

  1. Nota [562]- menurut Imam Habrul-Ummah wa Turjumanul Quran; Abdullan bin al-Abbas r.a: Sakaran {سَكَرًۭا} yang disebut di sini ialah minuman yang haram (memabukkan) hasil dari perahan air anggur atau kurma.

Manakala rezeki yang baik {وَرِزْقًا حَسَنًا} ialah buah-buah tamar & anggur itu sendiri atau arak yang telah bertukar menjadi cuka dan kembali halal semula & benda yang dibuat daripadanya seperti cuka dan lain-lain.

  1. Timbul perbincangan di kalangan apakan status ayat ini, dimansukhkan (batal) atau tidak:

i- pendapat pertama mengatakan ia telah dimasukhkan dan menjadi tahap pertama tentang hukum haramnya arak.

Kemudian datang peringkat seterusnya larangan sedikit demi sendikit sehingga akhirnya datang hukuman yang tuntas lagi jelas tentang pengharaman arak dengan ayat 90-91 dari surah al-Ma’idah.

ii- pendapat yang kedua ada ulama’ kata ayat ini tidak dimansukhkan kerana {سَكَرًۭا} yang dimaksudkan di sini ialah cuka yang diperam atau jus yang masam bukan kerana diperam.

*Apapun yang pasti arak dan lain-lain minuman yang memabukkan telah diharmakan secara mutlak!

  1. Allah nyatakan wahai manusia dalam buah-buahan yang kamu dapat itu adalah rezeki yang baik & menjadi nikmat minuman yang menyegarkan lagi halal.
    Ini untuk kamu ambil iktibar & berfikir akan kejadiannya!
  2. Bahawa semua rezeki & nikmat ini menjadi tanda & dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 65- {Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda…}-

Allah nyatakan kepada manusia bahawa semua yang Allah buat itu- turunnya hujan dari langit, tumbuh pokok-pokok yang menjadi makanan dan rezeki kepada manusia & ternakannya.

Maka kamu kena berfikir dengan baik, menjadi orang yang mendengar, mengambil iktibar dan pengajaran, perhati dengan betul, tadabbur dengan penuh keinsafan akan keEsaan & keagungan Allah.

Baca al-Quran dengan mulut sambil hati tadabbur & memahaminya- baru kita dapat manfaat dari al-Quran yang Allah turunkan ini.

Jika tidak al-Quran hanya akan menjadi perhiasan di masjid & rumah-rumah, menjadi agenda musabaqah sahaja dan seumpamanya!!!

  1. Ayat 66- {Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar.}-
    Kemudian Allah suruh kamu perhatikan pula kepada haiwan yang hasil daripada makanan yang subur & segar- keluar susu yang lazat.

Sebelum ini kepada fizikal unta tetapi kali ini kepada hasil yang lahir dari air hujan menumbuhkan tanaman menjadi makanan haiwan dan menghasilkan susu.

Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil bahawa susu haiwan yang halal dimakan adalah halal, menjadi minuman yang menyegarkan dan mengenyangkan, berkhasiat & lazat!!

Susu yang kamu minum itu adalah nikmat anugerah yang besar yang Allah berikan kepada manusia!
Boleh dimabil dan diminum terus.

Kita boleh lihat perbezaan antara dua ayat ini tentang dua nikmat yang Allah nyatakan ini:

i- susu haiwana ini Allah kata nikmat yang dia beri sendiri { نُّسْقِيكُم} kamu tak perlu buat atau proses apa- ambil dan terus minumnya dengan segar.

Yakni inilah nikmat yang hakiki- Allah nisbahkan kepada diri-Nya; Aku berikan kepada kamu minum susu itu- yang halal lagi baik!

ii- manakala untuk perahan buah-buahan pula Allah kata kamu manusia yang ambil dan buat sendiri, prosesnya untuk menjadi minuman yang memabukkan atau haram.

Lihat: Ayat 67- {Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram…}– yakni bila kamu buat sesuatu yang salah & tak baik Allah nisbahkan kepada kamu sendiri wahai manusia yang buat & carinya!

Allah tak suruh dan tak sediakan untuk kamu sesuatu yang memabukkan & haram.

  1. Ayat 66- {Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}-

Allah keluarkan susu itu dari perut haiwam, dari tempat di antara hampas dan sisa makanan- keluar susu yang baik!

Kata ulama’ feqah & tadabbur- ayat ini menjadi dalil bahawa susu itu halal & bersih, walaupun ia duduk berdekatan atau satu lorong dengan najis dalam perut haiwan itu; tetapi ia tidak dikira najis.

Kata ulama’ ini menunjukkan bahawa sesuatu yang bersih tidak akan menjadi kotor dengan sebab berada dekat dengan yang najis!

Begitu juga dalam perut kita, ada usus yang mengandungi najis dan air kencing tetapi ia tidak najis dan tidak kotor, kita boleh bawanya ke mana-mana hatta bersolat dengan perut kita yang ada kekotoran di dalamnya.

Tetapi apabila ia keluar dari perut kita- najis & air kencing akan menjadi najis & kotoran yang boleh membatalkan ibadat.

Begitu juga dengan kanak-kanak lelaki yang belum bersunat (berkhitan)- mereka tidak membawa najis dalam kemaluan mereka itu kerana ia berada di dalamnya.
Tidak menjejaskan kebersihan dan sah solat.

Memang hakikat dalam masyarakat kita ini; berapa ramai orang tua yang fobia dengan kanak-kanak yang belum bersunat, menghalaunya dari saf solat, tidak dibenarkan duduk dekat dan seumpamanya- sedangkan semua itu tidak betul!

Kanak-kanak itu tidak menanggung najis- sama seperti orang tua yang bawa tangki najis dalam perut mereka itu!

Inilah Fiqh Atfal- Feqah kanak-kanak- kita kena faham!

  1. Ayat 67- {Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram…}- daripada buah-buahan itu kamu ambil jadikan minuman yang memabukkan atau mabuk menjadi cuka- sebagaimana perbahasan kita di atas tadi?

Arak itu haram tetapi kenapa Allah sebutnya juga dalam ayat yang menceritakan tentang nikmat makanan & minuman kepada manusia ini- tentang susu tentang buah-buahan tiba kena ada arak!???

Jawapannya, ini kerana:
i- ayat al-Quran ini turun di Makkah sebelum pengharaman arak!
Arak itu dharamkan sepenuhnya semasa di Madinah.

ii- Allah nak sebut nikmat untuk semua manusia.

Maka Allah sebut semuanya yang halal untuk orang Islam yang haram untuk orang kafir!

Yang penting bagi kita orang beriman kena tahu & sedar tentang apa saja yang kita buat & hukum-hakamnya.

Setiap benda yang memabukkan itu haram tidak kira dibuat daripada apa, bukan hanya khas yang dibuat daripada buah-buahan yang diambil & diperam ini!

  1. Ayat 67- {… sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.}-

Allah kata jika kamu ada akal yang elok & tak mabuk kamu akan memikirkan tentang kekuasaan Allah s.w.t.

Begitu juga jika kita nak cari rezeki yang baik {وَرِزْقًا حَسَنًا}- kita kena cari rezeki yang halal jangan cari yang haram.

Kerana itulah Nabi s.a.w telah ajar kepada kita hendaklah dibaca setiap pagi doa ini;
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amal yang diterima”.

Baik itu maknanya rezeki dari sumber yang baik dan digunakan pada jalan yang baik juga!

Jika rezeki yang datang dari sumber haram seperti riba, rasuah, merompak, mencuri, menipu scammer, jual barang haram dan seumpamanya; kemudian nak dibersihkan dengan sedekah ke tempat halal- tak akan jadi baik dan halal.

Bekas yang bersih jangan dibasuh dengan air najis- tak akan jadi bersih.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 11/05/2026 / 23 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=949132937937227&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top