Negeri Aman Kufur Nikmat, Rasul Didustakan & Makanlah Yang Halal Toyyiban

Live Pagi Isnin 01/06/2026 / 15 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (33) Ayat [112-114]
Full video: https://youtu.be/u8zc8q-nbBk?si=3Wp6Pdq2q4eRqQCf
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 112 sehingga ayat 114 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan satu contoh tentang satu negeri yang asalnya aman damai, hidup tenang & rezekinya luas.
Tetapi malangnya mereka kufur nikmat Allah dengan melakukan syirik, buat perkara mungkar & maksiat.
Lalu Allah timpakan bala ke atas mereka dengan ekonomi merudum jatuh lalu mereka dalam kelaparan & ketakutan!
- Kemudian Allah datangkan rasul kepada mereka tetapi mereka mendustakannya!
Tidak lama selepas itu pastilah azab pula akan datang menimpa mereka yang menghancurkan negara & mematikan penduduknya!
- Pada ayat terakhir dalam siri ini Allah pesan agar jangan kamu menjadi seperti umat terdahulu, kesalahan yang mereka buat jangan ikut.
Allah ajar kepada kita banyak perkara; kamu makanlah yang halal toyyiban, laksanakan Syari’ah, syukuri nikmat Allah, jangan kufur & hilangkan segala bentuk kezaliman.
Inilah cici-ciri keselamatan di dunia & aman di Akhirat!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang amaran keras kepada mana-mana puak kafir bahawa mereka akan diazab di Akhirat kelak!
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa sebelum kena azab Akhirat- atas dunia ini lagi mereka akan dikenakan bala.
Iaitu mereka akan ditimpa bala ketakutan & kelaparan- sebelum akhirat, atas dunia lagi kamu akan susah!
- Kita orang beriman jika kena ujian kita sabar, jika dapat nikmat kita syukur- keduanya baik bagi orang yang beriman dan dapat pahala!
Hatta jika ujian berat yang bawa kematian- kita akan mati masuk kubur & kubur itu akan menjadi taman syurga, alhamdulillah!
Tetapi jika orang kafir selepas mati segala nikmat yang sementara atas dunia ini akan berakhir bagi mereka & mereka akan diazab pula di Akhirat!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴿٢١١﴾
Ayat 112- {Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.} (Al-Nahl 16:112)
- Allah sebut tentang satu negeri yang aman damai lagi tenang kehidupan penduduknya, tidak ada pergolakan dan sebarang kesusahan.
- Ulama’ tafsir berbeza pandangan tentang negeri manakah ini.
Adakah ia negeri tertentu atau mana-mana negeri secara umum saja?
i- pendapat pertama dipilih oleh jumhur ulama’ tafsir seperti Ibnu Kathir, al-Wahidi, Ibnu Jarir, al-Qurtubi dan lain-lain serta ulama’ semasa seperti asy-Syanqiti ialah negeri Makkah!
Iaitu di Makkah hatta semasa jahiliyyah tiada pembunuhan dalam Makkah, tiada peperangan pada asalnya.
*Cuma apabila kedatangan Islam mereka tak tahan, mereka siksa dan bunuh juga orang muslim seperti Yasir dan Sumayyah & Bilal R.Anhum dan lain-lain yang lemah.
Kata asy-Syanqiti: Sifat-sifat yang disebut Allah dalam ayat ini terpakai untuk negeri Makkah.
ii- pendapat kedua kata ianya adalah negeri lain bukan Makkah.
Kata ar-Razi: Ini kerana Allah buat cerita itu mahu penduduk Makkah lihat ambil contoh iktibar kepada negeri tersebut, maka takkan negeri Makkah di buat contoh kepada negeri Makkah sendiri???
Pendapat ini disokong oleh Ibnu Atiyah & ulama’ semasa seperti asy-Syaukani menyokong pendapat ini.
- Kita kata kedua pendapat itu boleh diterima asal negeri itu tak baik maka tak baiklah.
Allah memberi contoh akan sebuah negeri yang Allah beri nikmat keamanan, kedamaian dan kemewahan tetapi penduduknya salah guna nikmat itu, mereka kufur nikmat itu dengan membuat kemungkaran dan maksiat kepada Allah pula! Nikmat (نعمة) lawannya bala (نقمة).
- Ayat ini ditafsirkan dengan ayat ini bagi yang mengatakan negeri itu Makkah:
{Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?} (Al-‘Ankabuut 29:67)
- Allah gambarkan keadaan negeri yang mendapat nikmat itu seperti makanan yang banyak, senang didapati & datang dari pelbagai sudut.
Perniagaan dan perdagangan yang berkembang maju!
Kerana ini kata ulama’ ini bertepatan dengan sifat Kota Makkah yang walaupun pun ia kering kontang tetapi ia seolah menjadi hub dagangan dan pusat perniagaan dari setiap penjuru dunia.
Terutama pada musim haji, para jemaah datang membawa barang dagangan masing-masing yang tiada di Makkah semua terkumpul di situ seolah pusat WTC- world trade centre.
- Tetapi sayangnya penduduk negeri itu kufur dengan nikmat Allah tak bersyukur.
Sebagaimana firman Allah:
{Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?} (Ibrahim 14:28) - Apabila maksiat & kemungkaran berleluasa- maka datanglah hukuman dan akibatnya!
Allah timpakan bencana dan azab dalam bentuk:
i- kelaparan yang bersangatan- sehingga mereka menjadi manusia yang kebuluran, tak sihat tubuh-badan, tak cukup zat & nutrisi menjadi pucat dan kurus melidi!
Ini kerana mereka kufur, samada kufur kafir sungguh atau kufur nikmat Allah.
ii- Hadis dari Ibnu Mas’ud r.a: Puak kafir ini apabila melawan Nabi s.a.w- Baginda lalu berdoa.
“Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda ketika melihat orang-orang berpaling (dari Islam): “Ya Allah, timpakanlah kepada mereka kemarau tujuh tahun seperti kejadian zaman Yusuf.”
Maka terjadilah masa kemarau tersebut di mana tidak ada tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh sehingga mereka memakan (apa saja yang mereka jumpa) kulit, bangkai dan barang-barang busuk.
Kemudian ada seorang dari mereka yang memandang ke langit melihat awan lantaran lapar (yakni pandangan menjadi kabur berpinar akibat terllau lapar).
Lalu Abu Sufyan menemui baginda seraya berkata, “Ya Muhammad, engkau adalah orang yang memerintahkan untuk taat kepada Allah dan menyambung silaturahim, kaummu telah binasa, maka mintalah kepada Allah untuk mereka.”
Allah lalu berfirman: ‘(Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata) hingga firman-Nya: ‘(Sesungguhnya kamu akan kembali (ingkar). (Ingatlah) hari (ketika) kami menghantam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya kami adalah pemberi balasan)’ (Dukhaan:10-16).
Seksaan (hentaman yang keras) adalah saat mereka terbunuh dalam perang Badar. Dan saat awan gelap sudah berlalu.” [Sahih Bukhari (952)].
*Ulama’ sirah kata hadis ini terjadi sebelum hijrah Nabi s.a.w lagi.
Ada juga yang kata terjadi selepas hijrah lalu mereka terpaksa ke Madinah untuk berjumpa Nabi s.a.w.
وَلَقَدْ جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْهُمْ فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمُ الْعَذَابُ وَهُمْ ظَالِمُونَ ﴿١١٣﴾
Ayat 113- {Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim.} (Al-Nahl 16:113)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat lepas Allah nyatakan tentang orang kafir yang kufur kepada Allah- ditimpakan azab lapar & ketakutan yakni tiada kedamaian.
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan punca azab & hukuman itu ialah kerana mereka telah ingkar apa yang dibawa & mendustakan rasul yang diutuskan kepada mereka.
- Sedangkan rasul yang datang kepada mereka itu adalah dari kalangan kaum mereka sendiri, mereka kenalinya & keturunannya, mereka tahu kebenaran ajarannya mengajak mereka kepada kebenaran, tetapi mereka tetap mendustakannya!
*Ayat ini menguatkan lagi pandangan yang mengatakan negeri yang dimaksudkan dalam itu adalah Makkah.
- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.} (At-Taubah 9:128) - Lalu Allah timpakan ke atas mereka azab di dunia lagi iaitu mereka jatuh dalam kelaparan dan ketakutan dengan berlakunya pembunuhan & peperangan yang membawa huru-hara dan tiada lagi keamanan.
- Sebab azab ini ialah kerana mereka kafir & syirik serta kufur, tidak syukur nikmat Allah yang banyak kepada mereka sebelum ini, yang mengundang bala & kebinasaan yang akan menghancurkan!
- Inilah yang kita takuti jika ada orang yang berkuasa yang membenarkan dan mengambil mudah program maksiat & mungkar dalam negara kita; pesta minum arak, pesta mandi air bercampul betina jantan, kemudian kedengaran ada plan nak buat industri hub hiburan pula di negara kita- Allahu al-Musta’an!
- Maka tuan-tuan fikir & ingatlah jangan kita biarakan mereka ini bermaharaja-lela kerana jika sokong seolah kita mengundang bala & kemurkaan Allah dengan dosa & maksiat!
- Jangan sedap hati sangat kerana sekali Allah sentap akan tercabut segala nikmat.
Sekarang inipun kita lihat banyak nikmat kita sudah hilang- seperti nikmat ukhuwwah & perpaduan sesama Islam sudah hilang akibat mengejar kerusi & kedudukan dunia!
- Nota [589] Demikianlah bandingannya kaum kafir musyrik penduduk Makkah, yang pernah hidup aman damai dan makmur, tetapi tidak bersyukur akan nikmat Allah dan tidak mahu beriman kepada Rasulullah s.a.w yang telah diutus oleh Allah Ta’ala dari kalangan mereka sendiri.
Akhirnya mereka ditimpakan dengan kelaparan, kerana musim kemarau yang berlanjutan, dan tinggallah mereka dalam ketakutan terhadap kekuatan Islam, yang berakhir negeri Makkah dikuasai oleh Islam.
*Iaitu Pembukaan Makkah pada bulan Ramadan Tahun ke-8 Hijrah.
Ayat 114- {Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.} (Al-Nahl 16:114)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan dalil-dalil tauhid kepada Allah, Allah juga nyatakan musnahnya kaum terdahulu dengan sebab kezaliman, rosak aqidah mereka dengan sebab menjadikan Tuhan lain selain dari Allah.
ii- maka datang ayat ini Allah seru orang beriman agar jangan ikut jejak langkah mereka!
Kamu makan makanan yang baik yang Allah kurniakan dan bersyukurlah akan nikmat Allah dan jangan derhaka kepada Allah!
- Yakni Allah menyeru orang yang beriman untuk memakan rezeki yang halal lagi baik yang Allah kurniakan dari segi haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan seumpamanya serta pelbagai jenis tumbuhan seperti bijiran dan buah-buahan hasil pertanian!
Asal semua benda ini halal tetapi kena lihat pula kepada sumber dan sifatnya sendiri apakah baik juga!
- Allah sebut khas semua itu adalah perkara yang halal lagi baik iaitu bukan setakat halal tetapi baik juga untuk kesihatan dan sumbernya.
Ada benda halal tetapi tidak baik untuk seseorang itu, ada benda halal tetapi sumber pendapatnya tidak halal!
Itulah rahsia Allah sebut halal & toyyib ini!
*Contoh: Madu sesuatu yang halal & banyak khasiatnya tetapi ia tidak berapa baik bagi orang yang ada penyakit diabetes kerana manis.
- Allah perintahkan kita untuk gunakan segala nikmat itu untuk sembah Allah, taat kepada perintah Allah serta jauhi dari segala larangan Allah dan dalam masa yang sama; Kita halalkan apa yang Allah halalkan, kita haramkan apa yang Allah haramkan- bukan ikut logik kepala otak kita atau ikut suka nafsu kita!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.} (Al-Baqarah 2:172)
Penutup & Faedah #
- Ayat 112- {Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram,..}-
Allah buat perbandingan akan sebuah negeri yang aman & tenang!
Kata ulama’ tadabbur: Setiap orang yang berakal kena perhati baik-baik ayat ini, tadabbur baik-baik dan ambil pengajaran yang besar darinya!
Negeri yang aman-damai jangan kita rosakkannya dengan kufur dan buat maksiat kepada Allah, kamu jangan zalim dan tidak bersyukur kepada Allah, salah guna nikmat yang Allah kurniakan!
Jika tidak, tunggulah bala bencana yang akan Allah turunkan sebagaimana yang disbeut dalam hadis tadi.
Kamu jangan lawan nikmat Allah s.w.t dengan kufur, zalim supaya negeri kamu kekal aman, kekal tenang & bala tidak menimpa kamu!
Untuk menyelamatkan negeri kita dari bala bencana Allah, kita orang beriman wajib menjaganya jangan biarkan keamanan negeri kita ini dirosakkan oleh sesiapa saja!
Caranya ialah dengan bersyukur kepada Allah jangan kufur akan nikmat-Nya!
Dengan syukur kekalnya nikmat, siapa kufur akan hilang nikmatnya!
Allah s.w.t telah berjanji dalam firman-Nya ini:
{Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.} (Ibrahim 14:7)
Kata ulama’: Syukur menjaga nikmat yang sedia ada & menarik nikmat baru yang lain.
- Ayat 112- {… kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.}- apabila mereka kufur maka datanglah bala!
Dalam ayat ini bala mereka datang dalam bentuk kemarau yang kering & ketakutan!
Apabila kemarau datang rezeki menjadi sempit!
Punca kemarau ialah kerana maksiat yang dibuat oleh manusia.
Hadis riwayat Abu Hurairah r.a- menceritakan bahawa Rasulullah membaca Qunut Nazilah ini pada Solat Isya’, mendoakan azab ke atas mereka yang menganiaya orang-orang Islam.
Kata Abu Hurairah:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ قَنَتَ اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ
Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Nabi S.A.W apabila berkata “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” pada raka’at terakhir ketika solat ‘Isya’, Baginda membaca qunut:
“Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid,
Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah keraskanlah ‘azab-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah (azab-Mu) ke atas mereka dalam bentuk musim kemarau yang panjang sepertimana musim kemarau zaman Nabi Yusuf A.S”. [HR Bukhari]
Maka apabila bala datang puak mereka menghadapi kemarau yang dahsyat tiada makanan kebulur dan kering kontang sebagaimana hadis sebelum ini.
Manakala ketua-ketua mereka yang Nabi s.a.w sebutkan namanya itu mati musnah dalam perang Badar atau lainnya.
Yang penting jangan kufur nikmat jika tidak kamu akan binasa.
- Ayat 112- {… maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.}– jelas di sini Allah nyatakan punca bala itu ialah dengan sebab mereka kufur nikmat Allah!
Nikmat banyak tetapi datang bala dengan sebab kufur nikmat.
Kata ulama’ tafsir: Mereka kufur itu tidak kuat mana tetapi bala yang datang besar sekali- bagaimana sekiranya mereka kufur akan nikmat yang lebih besar lagi??
Pastilah tidak terkira dahsyat bala yang akan datang!
Atas dasar agama itu adalah satu peringatan & nasihat; peringatan untuk kita semua hari ini juga, ayat kita ini adalah tentang kufur nikmat.
Jangan menjadikan kekayaan membuatkan kita lalai & kufur nikmat Allah, waktu senang jangan buat perkara yang pelik & karut, jangan ingat kita sudah kaya terlepas dari hukuman Allah.
Kekayaan & kesenangan itu sekejap saja, sekali Allah nak sentap tiada bumi kita nak pijak lagi.
Jangan tunjuk kesombongan kita atas dunia ini, jika hanya empayar perniagaan kecil saja bagi Allah, sebuah negara yang besar pun mudah saja bagi Allah nak turun azab memusnahkannya!
Ingatlah Qarun yang lebih kaya daripada kamu semua itu sekejap saja Allah tarik nikmatnya & tenggelamkannya!
Bersederhanalah dalam hidup, jangan angkuh dan sombong dengan perbuatan kita atas dunia ini!
- Ayat 113- {Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri…}– setiap rasul itu Allah utuskan biasanya untuk kaum mereka sendiri.
Hatta Nabi Muhammad s.a.w walaupun Baginda rasul untuk seluruh manusia dan jin, rahmatan lil-Alamin ini tetapi asas dan tempat bertapaknya adalah di bumi Makkah, kalangan kaum Arab Quraisy, al-Quran dalam bahasa Arab iaitu bahasa Quraisy.
Mereka memahami makna al-Quran kerana bahasa mereka- mereka menolaknya bukan kerana tak faham tetapi kerana mereka saja nak lawan keras kepala tak mahu terima!
Maka Allah sebut di sini apabila mereka kufur nikmat tak syukur sedangkan Nabi s.a.w adalah anak beranak mereka, kitab al-Quran dalam bahasa mereka, tetapi masih tak syukur lawan- maka ketika itu datanglah azab yang membinasakan mereka!
- Ayat 114- {Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik,…}-
Allah kata wahai orang yang beriman, makanlah yang halal yang baik-baik.
Sekarang ini orang nak cepat kaya tak peduli lagi halal-haram, patuh Syari’ah atau tak- jual apa tak kira asal laku, ada duit melabur terus tak kira patuh Syari’ah atau tak, jalan terus asal masuk bonus & dividen!
Jangan begitu tuan-puan, wajib pastikan kehalalan apa yang kita nak jual atau nak melabur tu!
Contoh mudah- walaupun biskut atau beg atau kopi yang nak dijual itu halal, tetapi penjualnya pula dok bertiktok dengan tak tutup aurat dengan berpakaian menjolok mata dan seumpamanya maka ia tidak toyyib- tidak baik!!!
Jika benda itu halal tetapi cara rezeki nak dapat itu tidak toyyib maka ia tidak baik!
Begitu juga para influencer- kerja kamu cukup merbahaya- jika orang membeli dengan sebab percayakan iklan atau testimoni kamu yang tidak benar atau palsu- kamu puji sesuatu dengan sebab makan upah- maka kerja itu tidak akan ada keberkatan di sisi Allah.
Terakhir Allah kata syukurlah akan nikmat Allah jika kamu betul-betul beriman dan menyembah Allah s.w.t!
Maka marilah kita semua menjadi orang yang bersyukur kepada Allah.
Ya Allah jadikan kami dari golongan yang bersyukur & tawadhuk, lagi kaya lagi tinggi kesyukuran kita kepada Allah, lagi tawadhuk kita kepada Allah!
Semoga Allah selamatkan negeri dan negara kita daripada menjadi tempat maksiat dan kekufuran yang boleh mengundang azab & bala dari Allah! Bala apabila ia datang bukan hanya kena seorang tetapi semua yang ada!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 01/06/2026 / 15 Zulhijjah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=966294302887757&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
