View Categories

(22) Surah An-Nahl: Ayat 78-80

10 min read

Nikmat Mata, Telinga, Hati, Keajaiban Burung Terbang & Nikmat Bulu Dan Kulit Haiwan

Live Pagi Sabtu 16/05/2026 / 28 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (22) Ayat [78-80]

Full video: https://youtu.be/qKjl-Gv31vc?si=_xuNWUXxzZQaPLL5

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 78 sehingga ayat 80 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan manusia dikeluarkan dari perut ibunya tanpa tahu apa- lapar menangis, tak selesa menangis itu saja yang dia tahu.
  3. Kemudian Allah sebut tentang nikmat yang Allah jadikan kepada manusia iaitu nikmat pancaindera seperti telinga, mata dan hati- ini adalah tiga alat untuk menerima ilmu (pendengaran, penglihatan & akal pemikiran).
  4. Keduanya Allah nyatakan tentang keajaiban burung yang terbang dilangit, tak jatuh tanpa ada yang memegangnya kecuali dengan kuasa Allah. Sedangkan burung itu berat bukan ringan seperti kapas.
  5. Lalu Allah nyatakan nikmat daripada haiwan ternakan yang kita bela itu kita dapat manfaat dari bulu dan kulit haiwan juga selain daging & susunya.

*Inilah 3 nikmat yang Allah sebutkan dalam ayat ini;

Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang sabar & syukur akan segala nikmat-Mu ini- bukan yang kufur & keras kepala!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang cerita Kiamat yang boleh berlaku dalam sekelip mata saja!

ii- maka datang ayat ini Allah nak ceritakan tentang kejadian asal kamu yang berasal dari rahim ibu!

Maka jangan sesekali kamu sombong dan derhaka terhadap ibu kamu- apatah lagi ingkar derhaka kepada Allah Pencipta kamu!

  1. Munasabah kedua:

i- Allah telah mencela puak kafir yang berpegang dengan kepercayaan batil mereka & kufur kepada Allah; kemudian Allah bawa mari cerita Kiamat- barulah kamu tahu ke mana akhir tuju kamu nanti- neraka atau syurga!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan kamu ada pasangan atas dunia ini- dengan itu terciptanya kamu & keluar dari perut ibu kamu!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎﴿٨٧﴾‏

Ayat 78- {Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} (Al-Nahl 16:78)

  1. Allah menyatakan dengan ilmu & kuasa-Nya Dia keluarkan kamu manusia dari perut ibu kamu sewaktu kamu tak tahu apa, tidak ada ilmu tentang dunia atau Akhirat!
    Allah nak peringatkan kita bahawa kita dulu lemah & jahil!
  2. Untuk ada ilmu & mengetahui urusan hidup kamu atas dunia ini; Allah mengurniakan kepada kamu (telinga) pendengaran dan (mata) penglihatan serta hati iaitu akal fikiran.
  3. Tertib susunan ini hikmah Allah, susunan ini ada hikmah & sebabnya kerana terbukti secara saintifik manusia dari bayi menggunakan pendengarannya dulu untuk belajar, kemudian baru penglihatan, lama selepas itu baru pandai menggunakan akal fikiran untuk menilai baik buruk!
  4. Para ulama’ membahaskan tentang mana yang lebih hebat antara pendengaran & penglihatan.

Hakikatnya pendengaran lebih power kerana walaupun mata buta masih boleh belajar dengan mendengar dan betapa ramai alilm ulama’ yang buta matanya tetapi celik hatinya!

*Telinga juga boleh mendengar dalam gelap atau cerah- mata tak nampak dalam gelap walaupun tidak buta!

  1. Yang penting ini semua Allah beri kepada kamu agar kamu bersyukur & menggunakan semua nikmat itu untuk kebaikan dan pada jalan yang diredhai Allah s.w.t!

Bukan guna untuk maksiat & keburukan- mata tengok benda maksiat, telinga dok dengar lagu-muzik, orang mengumpat, hati dok memikirikan yang negatif dan sebagainya!

  1. Ini adalah nikmat pancaindera sebagai alat untuk menerima ilmu bagi manusia!

أَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ ‎﴿٩٧﴾‏

Ayat 79- {Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.} (Al-Nahl 16:79)

  1. Munasabah ayat:
    i- Ini adalah dalil yang lain pula untuk menunjukkan betapa sempurnanya kuasa Allah, semua dibuat dengan penuh hikmah & kebijaksanaan.

ii- Jika Allah tak cipta udara dengan caranya & burung dengan caranya; nescaya burung itu tidak akan boleh terbang dengan selamatnya!

Yakni Allah permudahkan udara itu kepada burung untuk ia terbang dan berhijrah ke mana saja yang ia kehendaki.

  1. Munasabah kedua:
    i- apabila Allah bincangkan tentang manusia yang ada pancaindera- ada telinga, mata & hati (akal);

ii- maka datang ayat ini untuk kita berfikir apakan burung ada akal seperti kita???

Walaupun tidak ada akal seperti kita tetapi ia ada penglihatan & pendengaran serta kemahiran & naluri yang khas- ilmu untuk haiwan-haiwan ini meneruskan kehidupan mereka- semua ini adalah di bawah ilmu & kuasa Allah!

*Jika kita lihat rencana-rencana tentang haiwan kita akan dapati betapa ajaib dan hebatnya ciptaan Allah itu!

  1. Allah bertanya: Wahai manusia apakah kamu tidak lihat kepada burung-burung yang terbang di udara, antara langit & bumi, dengan kompas semula jadinya menujuk ke tempat yang mereka nak pergi. Ia terbang tanpa jatuh, tanpa ada yang memegangnya kecuali Allah s.w.t!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Mulk 67:19)
  3. Allah permudahkan urusan burung berterbang ke sana sini di udara, dengan mencipta angin atau udara yang lembut membantunya terbang tanpa jatuh; keluar pagi mencari rezeki dengan perut yang kosong- balik dengan tembolok yang penuh!

*Kita boleh baca kisah burung yang berhijrah ikut musim, terbang beratus kilometer jauhnya.

Juga bagaimana di langit ada lebuh raya angin yang membantu burung-burung itu terbang dengan mudah dan lain-lain keajaiban alam ciptaan Tuhan ini!

  1. Ini semua- menjadi tanda & dalil akan sempurnanya kekuasaan ilmu & keagungan ilmu Allah bagi orang yang beriman dan berfikir!

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ الْأَنْعَامِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ ۙ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ ‎﴿٠٨﴾

Ayat 80- {Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.} (Al-Nahl 16:80)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah sebut bahawa Allah cipta manusia dari tak tahu apa kepada tahu dengan adanya pancaindera dan ilmu;

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan manusia kena ada tempat tinggal lalu Dia beri kepada kamu rumah kediaman untuk kamu tinggal di dalamnya.

  1. Allah jadikan kepada kamu wahai manusia rumah-rumah kamu yang kamu bina daripada batu, tanah atau kayu sebagai tempat tinggal (سَكَنًۭا) yang kamu diami di dalamnya.

Rumah juga sebagai tempat perlindungan kepada keluarga kamu berehat, berteduh dari panas & sejuk atau gangguan manusia & haiwan lain!

  1. Atau tempat tinggal dari jenis khemah yang dibuat daripada kulit & bulu haiwan yang ringan untuk di bawa ke mana-mana semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti.

*Ini adalah kebiasaan kehidupan Arab badwi yang sentiasa berpindah-randah, tidak diam setempat, memasang mencabut khemah mereka setiap perpindahan itu.

  1. Juga nikmat daripada bulu & kulit binatang ternakan yang pelbagai jenis untuk kegunaan kamu sebagai pakaian dan perhiasan.

Yang paling banyak sekali digunakan ialah bulu kambing biri-biri (wool) yang dibuat pakaian. Kulit binatang seperti lembu pula masyhur dijadikan beg, kasut, tali pinggang dan lain-lain. Bahkan ada keropok dari kulit sapi (lembu).

  1. Tetapi ingat- manusia yang paling cerdik ialah yang pandai mencari keredhaan Allah, bukan hanya pandai mencari makan seperti haiwan saja.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 78- {Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun;..}-

Allah ungkit di sini wahai manusia- kamu keluar dari perut ibumu tanpa apa-apa ilmu & pengetahuan serta ingatan.

Setiap masa ada saja nikmat Allah yang dapat kita perhatikan.

Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil kepada manusia untuk bersyukur kepada Allah dengan murnikan tauhid dan beriman kepada Allah & menolak segala syirik!

Apabila mendapat nikmat; orang beriman akan bersyukur!

Kerana itulah Allah kata di akhir ayat: { لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون- supaya kamu bersyukur.}

Asal manusia itu jahil, keluar dari perut ibu tanpa tahu apa sesuatu- kerana itu kita kena belajar kemudian bersyukur kepada Allah.

  1. Ayat 78- {… dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} –

Allah khususkan tiga alat untuk menerima ilmu ni kerana kelebihan & kemuliannya!
Telinga dengar, mata melihat & hati atau akal memikirkannya!

Ia adalah sumber & kunci untuk menerima ilmu. Kita kena gunakannya dengan sebaiknya untuk kebaikan; jangan salah guna untuk dosa & maksiat yang akan mengundang kemurkaan Allah.

Tiga alat ini mejadi keistimewaan manusia untuk membezakannya dengan haiwan- haiwan ada juga mata & telinga untuk melihat & mendengar tetapi mereka tidak ada akal untuk memproses ilmu!

  1. Ayat 79- {Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah;..}– dalam ayat ini Allah tanya tidakkah kamu tengok kepada burung bagaimana ia terbang.

Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang kelebihan akal & pancaindera!

Betapa luasnya ilmu Allah & kasih-sayangnya kepada makhluk-Nya.

Haiwan itu tiada akal tetapi mereka ada naluri- contoh seperti burung; ibunya sayang kepada anaknya, mereka keluar mencari makanan, tahu ke mana hendak keluar dan kembali semula ke sarang mereka, memberi makan kepada anak dan sebagainya.
Allah permudahkan urusan burung itu!

Hadis daripada Umar bin al-Khattab R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung diberikan rezeki. Ia keluar pada pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang.”(HR al-Tirmizi)

Kita lihat perbezaan antara dua ayat tentang burung ini, mengapa:

i- surah al-Mulk- Allah kata: { مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا ٱلرَّحْمَـٰنُ- Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan Allah Yang Maha Pemurah (Ar-Rahman)}.

ii- tetapi dalam ayat ini Allah kata: { مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا ٱللَّهُ – Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah.}

Jawapannya:
i- dalam surah al-Mulk Allah cerita dengan detail bagaimana burung buka sayap & tutup sayap {صَـٰٓفَّـٰتٍۢ وَيَقْبِضْنَ} serta kadang-kadang rehat dengan membuka sayapnya luas dan terbang terus tanpa jatuh!
Maka di sini menunjukkan Allah yang bersifat ar-Rahman {ٱلرَّحْمَـٰنُ} penuh dengan kasih sayang.

ii- tetapi dalam ayat ini Allah tak sebut dengan detail tentang sifat & keadaan burung bagaimana ia terbang- hanya sebut burung terbang di udara- yang pegangnya hanya Allah! Yakni dalam ayat ini hanya cerita secara ringkas!

Memang Allah & Ar-Rahman sama saja keduanya Allah s.w.t- tetapi para ulama’ telah membincangkan tentang kedudukan ayat itu dengan cermat.

  1. Ayat 80- {Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal;..}- Allah ciptakan rumah kamu itu sebagai tempat kediaman {سَكَنًۭا}.

Kita pergilah ke mana atas dunia ini- kita kena cari tempat tinggal, tempat untuk duduk.

Jika keluar daerah atau berjalan jauh kita cari hotel atau homestay, kemudian kembali ke rumah sendiri.

Ayat ini menunjukkan Islam mendidik umatnya bahawa rumah adalah tempat kediaman manusia, yang memberi ketenangan & perlindungan.

Manusia yang waras akan kembali ke rumahnya, besar atau kecil bukan ukurannya.

Manusia yang suka lepak di luar, tidak suka duduk di rumah itu adalah manusia yang tak betul perjalanan.

Rumah adalah tempat yang memberi ketenangan kepada seseorang.

Seperti warga pondok kita yang hanya duduk di pondok-pondok dan bilik yang hanya kecil tetapi mereka gembira & tenang, menjalani sisa usia untuk beribadat dan buat amal sebaik mungkin!

Bila nak masuk waktu solat bersegera ke masjid- sukanya hidup atas dunia ini jika Allah beri peluang untuk menambah ibadat & kebaikan.

Tetapi jika hidup hanya menambah dosa & maksiat- lebih baik segera mati daripada menambah beban yang besar di Akhirat.

  1. Ayat 80- {dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.}-

Allah nyatakan nikmat haiwan peliharaan lagi kepada kita iaitu dari segi kegunaan kulit & bulu mereka yang banyak gunanya itu!

Tetapi ingat baik-baik kamu hanya boleh menggunakannya untuk beberapa tempoh ketika saja- semua akan rosak dan musnah apabila tiba masanya.

Beli beg kulit mahal-mahal koyak terpaksa buang, beli baju bulu mahal-mahal rosak tak boleh pakai lagi!

Itulah keadaan & kaedah kita atas dunia ini- samada kita tinggalkan dunia (dengan mati) atau dunia tinggalkan kita dulu dengan rosak dan expirednya barang-barang milik kita!

Kerana itu Allah sebut di akhir ayat- segala nikmat yang Aku sebut ini hanya smentara- ada tempohnya!!– {وَمَتَـٰعًا إِلَىٰ حِينٍۢ}

Begitu juga kita sendiri- nyawa dan hidup kita ini ada tempohnya juga- apabila sampai ajal kita akan mati dan tiada atas dunia ini!

Ya Allah matikan kami dalam husnul khatimah, semasa hidup penuh dengan kesyukuran atas segala nikmat yang Allah beri dan sentiasa bersabar jika ada ujian yang menimpa!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 16/05/2026 / 28 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=953255720858282&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top