View Categories

(4) Surah Al-Israa’: Ayat 9-11

13 min read

Live Kuliah Pagi Rabu 10/06/2026 – 24 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (04) Ayat [09-11]

Full video: https://youtu.be/xY_xtvNeBaY?si=yqcbK4P31ET72ILI

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Isra’ dengan ayat 09 sehingga ayat 11 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Al-Quran sebagai petunjuk, matlamat al-Quran ialah untuk memimpin manusia, menjadi panduan manusia untuk menuju kepada Allah s.w.t Tuhan sekelian manusia!
  3. Al-Quran juga sebagai pembawa khabar gembira bagi orang yang beriman & beramal soleh, ganjaran pahala yang besar bagi mereka. Manakala orang yang tidak beriman neraka Jahannam tempatnya!
  4. Allah juga nyatakan bahawa manusia ini gopoh suka melatah, jika nak marah tidak sabar terus memaki dan mengutuk!

Allah ajar jangan doakan kebinasaan atas diri kita sendiri, keluarga, haiwan dan harta benda milik kita semuanya.

Jangan keluarkan perkataan buruk tetapi doakan yang baik-baik untuk semuanya- jika tidak, jahanam keluarga dengan sebab doa buruk ibu bapa & keluarga.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

A) Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan:
i- tentang kurniaan besar & anugerah agung kepada Nabi s.a.w iaitu Isra’ & Mikraj; berjalan malam, naik ke langit menghadap Allah s.w.t & menerima fardhu solat.

ii- Allah juga telah memuliakan nabi Musa a.s dengan Kitab Taurat.

iii- apabila Taurat datang bani Israil berpecah kepada dua golongan ada yang beriman kepadanya selamat & yang mendustakannya binasa.

iv- Juga tentang kebinasaan bani Israil sebanyak dua kali pada zaman Bukhtanassar & Rom.

v- Kemudian sekali mereka dibinasakan pada zaman Nabi s.a.w akibat perbuatan khianat mereka.

Bani Quraizah telah dibunuh manakala bani Nadhir & Qainuqa’ telah dihalau keluar dari Madinah & Khaibar.

vi- Kemudian Allah nyatakan bahawa punca kebinasaan manusia ialah kerana derhaka dan maksiat kepada Allah s.w.t.

B) Maka datang ayat ini Allah nyatakan inilah al-Quran;

i- jika kamu nak selamat inilah jalannya- ikutlah jalan al-Quran sebagai petunjuk & bimbingan!

ii- dalam ayat ini Allah bawa 3 sifat al-Quran:
1- memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam).

2- dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh;

3- memberi amaran kepada orang yang derhaka kepada Allah & buat dosa maksiat!

*Sebagai pendakwah kena lengkap dakwah kita bukan hanya sekerat atau separuh, bawa berita gembira saja tetapi tidak nyatakan yang buruk atau amaran bagi dusta ingkar!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا ‎﴿٩﴾

Ayat 9- {Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.} (Al-Israa’ 17:9)

  1. Allah nyatakan al-Quran ini sebagai petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar {أَقْوَمُ} iaitu jalan yang lurus, yang adil, yang betul dan yang sempuna dari segi aqidahnya.
  2. Al-Quran juga mengajar tentang pelbagai aspek cara hidup manusia; dari sudut amalam kita ikut al-Quran bersama penjelasan dari Nabi s.a.w.

Nak cari akhlak yang mulia carilah dalam al-Quran juga, cara muamalah hubungan dengan manusia juga, yakni padanya terkumpul segala yang terbaik!

  1. Apabila berlaku ikhtilaf di kalangan orang beriman itu bukan tentang al-Quran sendiri tetapi dalam bab untuk memahami makna al-Quran- maka dalam khilaf itu ada keluasan.
  2. Kata Syeikh Syanqiti  maksudnya ayat ini: Dalam ayat yang mulia ini Allah kumpulkan semua yang ada dalam al-Quran dari petunjuk-petunjuk kepada jalan yang benar, yang mulia & yang baik.

Jika kita kaji & teliti kita akan dapati apa yang dikehendaki dalam al-Quran itu ada dalam ayat yang mulia ini.

[Rujuk: Tafsir Adhwa’ul Bayan (Adhwa’u al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an) oleh Syeikh Muhammad Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Jikani asy-Syinqithi].

  1. Kata Syeikh al-Alusi pula: Ada yang berpendapat makna {أَقْوَمُ} di sini ialah lebih baik seperti dalam perbandingan!

Tetapi ini tidak tepat kerana jika bandingan bermakna ada juga jalan lain yang baik juga.

Maka ia bukan bandingan kerana mana mungkin jalan manusia dibandingkan dengan jalan Allah!

  1. Jadi para ulama’ memilih bahawa makna al-Quran itu {أَقْوَمُ} ialah jalan yang terbaik, teragung, paling adil & hebat tiada selainnya!

Yakni al-Quran adalah yang paling baik (The Best) bukan yang lebih baik daripada…(Better than..)!

  1. Al-Quran juga membawa khabar gembira kepada orang beriman yang benar dalam iman mereka, bertaqwa & beramal soleh bahawa bagi mereka ganjaran pahala yang besar di sisi Allah s.w.t di Akhirat kelak!

وَأَنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا ‎﴿١٠﴾‏

Ayat 10- {Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Israa’ 17:10)

  1. Kemudian ayat ini bawa sifat al-Quran yang sebaliknya juga- sebagai amaran dan ancaman keras bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Allah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  2. Nota [609] Pada ayat yang lalu, Allah Ta’ala menerangkan kelebihan Al-Qur’an dan keistimewaannya.

Al-Qur’an bukan hanya menjadi petunjuk kepada sesuatu umat tetapi kepada umat manusia seluruhnya ke jalan yang amat lurus (ugama Islam).

Al-Qur’an juga memberikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman dengan ikhlas serta mengerjakan amal-amal yang baik untuk keselamatan hidup di dunia dan di akhirat kelak, bahawa mereka kesudahannya akan beroleh pahala yang besar dan balasan yang sebaik-baiknya.

Al-Qur’an juga memberikan berita yang berupa amaran kepada orang-orang yang tidak percaya hari akhirat, bahawa mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi.

  1. Kata Syeikh Al-Wahidi: Al-Quran memberi khabar gembira dengan nikmat yang Allah sediakan bagi orang yang beriman & balasan azab bagi orang yang derhaka!
  2. Kata Syeikh al-Farra’ pula: Khabar gembira itu ialah bagi mereka balasan pahala, bagi orang yang tidak beriman bagi mereka azab yang cukup dahsyat!
  3. Ya Allah jadikan kami orang yang beriman, yang sentiasa mengikut petunjuk hidayah al-Quran, yang sentiasa memandu kita kepada jalan yang diredhai Allah Azza wa Jalla.
    Itulah yang terbaik insya’ Allah!
  4. Al-Quran juga memberi khabar gembira kepada orang beriman agar jangan sedih & kecewa, atas perbuatan jahat orang kafir ke atas mereka di dunia- jika mereka terlepas hukuman atas dunia- tak mengapa kerana Allah telah sediakan bagi musuh mukmin balasan azab di Akhirat kelak!
  5. Walaupun mungkin mereka nampak tenang atas dunia ini- tetapi di Akhirat kelak mereka tidak akan aman sesekali!

Atas dunia mungkin mereka senang & kaya-raya tetapi di Akhirat tidak akan tenang!

Kita jangan kagum dengan mereka kerana orang kafir kerjanya ialah mencari jalan untuk memecahkan kesatuan orang Islam!

Mereka sudah lama merancangnya hanya kita yang tidak sedar!

Jangan sampai kita gembira sekarang menangis di kemudian hari.

  1. Yakni al-Quran memberi dua khabar gembira kepada orang mukmin:

i- ganjaran pahala bagi kebaikan yang mereka lakukan.

ii- musuh mereka akan masuk neraka!
Segala perbuatan jahat & kezaliman orang kafir ke atas mereka akan dibalas azab setimpalnya!

وَيَدْعُ ٱلْإِنسَٰنُ بِٱلشَّرِّ دُعَآءَهُۥ بِٱلْخَيْرِ ۖ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ عَجُولًا ‎﴿١١﴾

Ayat 11- {Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.} (Al-Israa’ 17:11)

  1. Allah nyatakan manusia ini sifatnya- terburu-buru & gopoh atau belorat & gaduh (Kelantan).

Apabila nak kebaikan dia berdoa juga memintanya dan apabila nak marah dia juga tak sabar terus mendoakan keburukan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan tadi!

  1. Nota [610] Setelah Allah Ta’ala menerangkan sifat-sifat Al-Qur’an yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, diterangkan pula perihal manusia yang menerima petunjuk. (Ada yang terima molek, ada yang terima separuh & ada yang rejek terus!)

Manusia itu bertabiat terburu-buru.
Semasa marah ia tidak keberatan supaya dirinya, atau anak-anaknya atau harta bendanya ditimpa mala petaka.

Ia memohon yang demikian sebagaimana ia berdoa memohon kebaikan.

Padahal kalaulah dia bertenang tentulah ia tidak tergamak melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

  1. Maka Allah larang kita lebih-lebih ibu bapa- jangan gopoh terus mendoakan keburukan kepada diri sendiri, anak cucu dan semua milik kita!

Ibu bapa tok nenek dan semua orang tua; jagalah mulut, bersabar walaupun nak marah setara mana- jangan keluarkan perkataan buruk terhadap anak-anak cucu!

Kerana ditakuti ketika itu langit terbuka doa itu mustajab maka buruk & celakalah hidup anak cucu kita itu dengan sebab doa orang tuanya! Allahu al-Musta’an!!!

  1. Hadis Nabi s.a.w melarang melaknat apa saja:

i- hadis pertama daripada Jabir bin Abdullah r.a, beliau berkata:

سافرنا مع رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ في غَزْوَةِ بَطْنِ بُواطٍ، وَهو يَطْلُبُ المَجْدِيَّ بنَ عَمْرٍو الجُهَنِيَّ، وَكانَ النّاضِحُ يَعْتَقِبُهُ مِنّا الخَمْسَةُ والسِّتَّةُ والسَّبْعَةُ، فَدارَتْ عُقْبَةُ رَجُلٍ مِنَ الأنْصارِ على ناضِحٍ له، فأناخَهُ فَرَكِبَهُ، ثُمَّ بَعَثَهُ فَتَلَدَّنَ عليه بَعْضَ التَّلَدُّنِ، فَقالَ له: شَأْ، لَعَنَكَ اللَّهُ،
فَقالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مَن هذا اللّاعِنُ بَعِيرَهُ؟ قالَ: أَنا، يا رَسولَ اللهِ، قالَ: انْزِلْ عنْه، فلا تَصْحَبْنا بمَلْعُونٍ، لا تَدْعُوا على أَنْفُسِكُمْ، وَلا تَدْعُوا على أَوْلادِكُمْ، وَلا تَدْعُوا على أَمْوالِكُمْ، لا تُوافِقُوا مِنَ اللهِ ساعَةً يُسْأَلُ فِيها عَطاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ.

صحيح مسلم (٣٠٠٩)

“Kami pernah bersama Rasulullah S.A.W dalam peperangan Batni Buwat iaitu untuk memerangi Majdi bin ‘Amr al-Juhani.

Pada ketika itu, seekor unta digunakan secara bergilir-gilir oleh lima, enam atau tujuh orang daripada kami.

Tiba giliran seorang lelaki Ansar menunggang untanya. Dia merendahkan unta itu lalu menungganginya.
Kemudian dia menggerakkannya, namun unta itu agak lambat bergerak.
Maka lelaki itu berkata: “Pergilah! Semoga Allah melaknatmu!”

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah yang melaknat untanya itu?”
Lelaki tersebut menjawab: “Saya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda:
“Turunlah daripadanya!
Janganlah engkau menemani kami dengan haiwan yang dilaknat.

Janganlah kamu mendoakan keburukan ke atas diri kamu, jangan juga ke atas anak-anak kamu, dan jangan juga ke atas harta benda kamu.

Jangan sampai doa itu bertepatan dengan suatu waktu yang Allah memperkenankan permohonan, lalu Allah mengabulkannya untuk kamu.” (HR Muslim, no. 3009).

ii- hadis kedua:

عن عمران بن الحصين رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما قال: بينما رَسُول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره وامرأة من الأنصار على ناقة فضجرت فلعنتها فسمع ذلك رَسُول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال: (خذوا ما عليها ودعوها فإنها ملعونة) قال عمران: فكأني أراها الآن تمشي في الناس ما يعرض لها أحد. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Maksudnya: Dari Imran bin Husain r.a, dia berkata: Ketika Rasulullah s.a.w dalam salah satu perjalanannya, ada seorang wanita Ansar yang mengendarai unta, dia marah lalu dia melaknat untanya.

Rasulullah s.a.w. mendengarnya dan berkata: “Ambillah apa yang ada di atasnya dan tinggalkan, kerana ia terkutuk.”

Imran berkata: Seolah-olah aku melihatnya sekarang berjalan di antara manusia, dan tidak ada yang mengganggunya. [HR Muslim.]

*Contoh kita nak marah lalu melaknat kereta atau kenderaan kita yang tak hidup- jangan menaikinya kerana ia telah menjadi sesuatu yang dilaknati!

  1. Allah menyatakan lagi bahawa sememangnya manusia itu bertabiat terburu-buru & gopoh- apabila dia nak marah terus memaki dan melaknat tidak memikirkan kesan & akibatnya!
  2. Sesungguhnya sifat gopoh itu dari ajaran syaitan manakala sifat tenang & fikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata itu adalah ilham dari Allah!
  3. Kita minta perlindungan dengan Allah dari dibiarkan terumbang-ambing tanpa pedoman petunjuk dari Allah!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:

{Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).} (Al-Anbiyaa’ 21:37)

  1. Maka kita beringatlah semoga kita tidak termasuk sebagai orang yang mulut laser, mudah melaknat & mendoakan yang buruk-buruk kepada anak cucu!

Orang yang boleh mengawal mulutnya adalah orang yang sabar dan tenang hatinya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam),…}– fungsi al-Quran ialah memimpin manusia kepada jalan yang benar, jalan yang betul & jalan yang lurus.

Samada melalui aqidah, akhlak & amalan kita semuanya kena ikut al-Quran.

Kata ulama’: Dalam ayat ini diceritakan tentang kemuliaan dan keagungan al-Quran kerana ia memimpin manusia kepada jalan yang benar, jalan yang betul!

Nak belajar aqidah kita cari dalam al-Quran, amalan kita kena ikut apa yang al-Quran ajar, akhlak kita juga berpandukan al-Quran.

Sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya maka dia akan mendapat jalan yang benar, jalan yang lurus.
Maka kita kena berusahalah untuk menjadi ahli al-Quran.

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam),…}-

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini memberi isyarat bahawa Allah beri jaminan bahawa umat yang ikut al-Quran akan selamat daripada terpesong dari jalan yang benar.

Ini kerana al-Quran datang dengan uslub & gaya pendidikan dan tarbiyah yang lengkap!

Kerana jika hanya guna akal semata-mata tidak akan berjaya!

Jangan kita ambil teori dan pandangan manusia lain dan jadikannya yang utama- kita wajib letak al-Quran di depan sekali bukan hanya tempelan atau pinggiran.

Letakkan kata-kata ulama’ Islam dihadapan bukan kata-kata hikmah orang kafir!

Sebagaimana pepatah Arab:
“الحق ما شهد به الأعداء”:
Kebenaran (atau kemuliaan) itu akan terserlah dan lebih terbukti apabila diakui dan disaksikan oleh musuh-musuhnya sendiri”.

Sebagaimana seorang ahli sejarah terkena bukan Islam Michael H. Hart, berani mengambil keputusan menempatkan Nabi Muhammad s.a.w di tempat pertama dalam senarai 100 tokoh manusia paling berpengaruh di dunia dalam bukunya yang bertajuk- The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Jika musuh atau orang kafir tak sokong atau akuipun kita sudah yakin & sokong; tetapi apabila musuh bagi pengakuan pastilah lebih tinggi kredibiliti dan naik nilainya!

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.}– kerja al-Quran juga memberikan khabar gembira kepada orang beriman.

Dalam ayat ini Allah bawa dua khabar gembira bagi orang yang beriman:

i- khabar gembira pertama dia akan mendapat ganjaran pahala yang besar di akhirat iaitu syurga & segala nikmatnya.

ii- khabar gembira kedua bahawa musuhnya yang menzaliminya atas dunia dulu akan dibinasakan oleh Allah!

*Ini kerana naluri manusia dia akan gembira apabila musuhnya jatuh!

Kata ulama’ tadabbur: Dalam ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran membawa khabar gembira & juga amaran dengan menyebut sebab bagaimana untuk kita mendapat kebaikan atau khabar gembira ini.

Iaitu dengan beriman dan amal soleh, dengan tauhid yang murni & aqidah yang jitu!

Juga khabar gembira bahawa musuh orang beriman akan dizab- tidak di dunia di Akhirat kelak!

  1. Ayat 9- {… dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.- khabar gembira.

Soalan: Bolehkah juga kita guna memberi khabar gembira untuk orang yang mendapat azab seperti dalam ayat ini:

{Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;-
فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}
(Al-Insyiqaaq 84:24)

Jawapan:
Sebenarnya khabar gembira yang digunakan untuk azab itu adalah lebih kepada bersifat perlian dan cercaan – guna perkataan yang bertentangan untuk menyampaikan maksud yang sebaliknya.

Berita azab ini diistilahkan sebagai ‘khabar gembira’ secara sindiran (sarkasme) akibat penolakan mereka terhadap kebenaran lalu terimalah balasan azab ini!

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya;} (Asy-Syuura 42:40)

Contoh lagi- seperti yang ibu telah melarang anaknya dari berbuat sesuatu yang bahaya- apabila jatuh terus berkata: Hah bermainlah lagi, naiklah lagi dan seumpamanya!

  1. Ayat 11- {Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.}.

Manusia ini gopoh, nak marah sikit terus mengamuk- celaka itu celaka ini!

Maka dia maki suami/isteri, maki anak dan semuanya!

Maka dalam ayat ini dua perkara yang Allah tegur:

i- jangan gopoh terburu-buru.
ii- jangan suka melaknat dan mendoakan keburukan terhadap diri sendiri, anak cucu keluarga kita, kawan-kawan atau harta benda milik kita.!

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).} (Al-Anbiyaa’ 21:37)

Sifat gopoh ini termasuk dalam mengikut hawa nafsu yang buruk kerana ia ia dicela di dalam al-Quran semuanya!

Hadis- Sabda Rasulullah S.A.W:” Sifat berhati-hati (Ketenangan) itu daripada Allah, manakala sifat gopoh-gapah (tergesa-gesa) itu berasal daripada syaitan.” (HR al-Baihaqi)

Dalam al-Quran beza makna dua perkataan ini:
i- jika digunakan perkataan {اَلْعَجْلَةُ} dengan makna gopoh, iaitu perbuatan yang dicela biasanya.

ii- tetapi jika bersegera untuk buat kebaikan & tinggalkan keburukan digunakan perkataan { وَسَارِعُوا} dan ini perbuatan yang digalakkan.

Kita hendaklah bersegera untuk buat kebaikan & meninggalkan keburukan.

Manakala tergesa-gesa atau gopoh adalah sifat yang tidak matang, tindakan yang tidak waras.

Kita berdoa kepada Allah agar menjadikan hati kita sentiasa tenang, sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada keluarga, kita doakan juga agar umat Islam di negara kita ini bersatu hati untuk kemuliaan Islam, kepentingan agama & kebaikan keluarga kita & umat Islam seluruhnya.

Jangan biarkan orang kafir bermain sentiment untuk memecah-belahkan kita kerana itu adalah hasutan syaitan!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 10/06/2026 – 24 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=974601702057017&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top