View Categories

(32) Surah An-Nahl: Ayat 108-111

14 min read

Table of Contents

Murtad Ditutup Hati Mereka, 6 Kerugian Bagi Si Murtad & Keadaan Golongan Mustad’afin

Live Pagi Ahad 31/05/2026 / 14 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (32) Ayat [108-111]

Full video: https://youtu.be/ahoVUFXtEew?si=o9iQutzYOPBXJCvI

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 108 sehingga ayat 111 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang golongan murtad akan ditutup hati mereka, pendengaran mereka & penglihatan mereka. Apabila tiga sumber ini tertutup maka mereka akan berada dalam kegelapan kufur & syirik, terumbang-ambing tak tahu nak ke mana!
  3. Allah timpakan hukuman dengan 6 kerugian bagi si murtad- pura-pura beriman kemudian murtad lari balik ini satu jenayah besar dalam Islam.
  4. Satu lagi golongan dalam Islam ialah golongan mustad’afin iaitu mereka yang samada lemah fizikal atau lemah semangat dalam mengamalkan amal-ibadat kerana duduk di bawah kawalan orang kafir.

Lalu orang kafir sangka mereka kafir dan suruh mereka buat perbuatan syirik seperti sembah berhala dan seumpamanya yang karut-marut.

Hatta mereka di Makkah ini di bawa ke Badar untuk berperang dengan tentera Islam.

Akhirnya mereka sempat menyelamatkan diri dengan berhijrah ke Madinah.

  1. Kemudian Allah nyatakan semua manusia akan dibalas samada yang baik & beriman atau yang jahat & buruk, maka marilah kita berusaha belajar bersungguh Kalamullah agar kita boleh memilih apa yang baik untuk Akhirat kita kelak.
  2. Kita minta Allah selamatkan kita semua- atas dunia di bawah pimpinan & bimbingan Allah s.w.t & berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w serta di Akhirat kelak layak mendapat syafaat Nabi s.a.w dan dibimbing ke syurga!
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang suka benar mereka-reka tuduhan & membuat naratif buruk terhadap Nabi s.a.w.

Allah juga nyatakan bahawa mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah itu adalah mereka yang tidak beriman kepada Allah.

Kemudian Allah nyatakan satu kumpulan yang masuk Islam kemudian mereka murtad itulah kumpulan yang dimurkai Allah kecuali mereka yang terpkasa & dipaksa sehingga mengancam nyawa & badan!

Allah juga nyatakan orang yang murtad itu ialah mereka yang hatinya benar-benar nak jadi kafir keluar dari Islam.

Mereka ini akan dimurkai Allah & tak dapat hidayah dari Allah s.w.t dan akan mendapat azab yang pedih.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan Allah cop ke atas hati mereka, tutup penglihatan dan pendengaran mereka daripada menerima ilmu & hidayah!

Yakni alat atau sumber untuk menerima ilmu sudah lumpuh & rosak maka tiada harapan lagi untuk menerima hidayah petunjuk dari Allah!

Kita minta perlindungan dari Allah dari menjadi seperti golongan ini!

*Hari ini 14hb Zulhijjah- berakhirlah hari-hari Haji- kita ucapkan tahniah kepada semua jemaah Haji semoga mereka telah melakukan ibadat sebaik mungkin dan keluar dari Arafah dengan diampunkan segala dosa mendapat haji yang mabrur & segala amalan diterima Allah!

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ “حَجّاً مَبْرُوراً وَسَعْياً مَشْكُوراً”

Semoga Allah menerima segala ibadat kita!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ‎﴿٨٠١﴾

Ayat 108- {Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.} (Al-Nahl 16:108)

  1. Allah nyatakan bahawa orang yang murtad iaitu kufur setelah beriman kepada Allah, Allah akan jatuhkan hukuman ke atas mereka iaitu:

i- yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka- hati mati tak dapat hidayah Allah & tak memikirkan tentang kekuasaan Allah.

ii- dan pendengaran mereka juga seolah pekak tak dapat mendengar nasihat kebaikan & perintah Allah.

iii- serta penglihatan mereka, mereka juga seolah buta tak dapat melihat dalil-dalil tanda kebesaran & keEsaan Allah!

  1. Mereka ini adalah orang yang Allah jadikan panca-indera mereka rosak tidak berfungsi (عطلان) untuk menerima kebaikan & petunjuk hidayah hanya berfikir macamana mahu makan minum dapat harta & kuasa!
    Allahu al-Musta’an.
  2. Allah katakan merekalah orang-orang yang lalai- iaitu apabila tak berfikir menjadi lalailah- Allah nak suruh mereka buat ibadat mereka sembah berhala, Allah nak suruh jadi baik dia buat maksiat- maka Allah sediakan azab bagi mereka di Akhirat!

Ini kerana mereka tak percaya dan tak yakin maka mereka tak berimanlah!

لَا جَرَمَ أَنَّهُمْ فِي الْآخِرَةِ هُمُ الْخَاسِرُونَ ‎﴿٩٠١﴾

Ayat 109- {Tidak syak lagi, bahawa mereka ialah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak.} (Al-Nahl 16:109)

  1. Tiada sebarang keraguan lagi bahawa mereka yang rosak alatnya itu adalah orang yang rugi di Akhirat kelak walaupun atas dunia in mereka orang yang kaya, berpangkat & berkuasa!!
  2. Kata ulama’: Orang yang lari dari agama ini, murtad dengan sebenarnya setelah mereka tahu, Allah campakkan ke atas mereka 6 hukuman:

i- mereka berhak untuk mendapat kemurkaan Allah-(غضب من الله).

ii- mereka juga berhak mendapat azab siksaan yang cukup dahsyat (عذاب اليم).

iii- mereka memilih untuk enjoy berpoya-poya (حب الدنيا) atas dunia ini tidak memikirkan tentang Akhirat- seperti haiwan saja hidup atas dunia ini.

iv- tertutup pintu hidayah ke atas mereka!
Allah tak akan beri kepada mereka petunjuk hidayah selagi mereka dalam keadaan begitu!

v- Allah akan tutup & cop ke atas hati, pendengaran & penglihatan mereka- semuanya rosak alat untuk menerima ilmu & agama ini!

vi- Allah jadikan mereka orang-orang yang lalai- tidak memikirkan akan agama & Akhirat.

Na’uzubillah, kita minta perlindungan dengan Allah dari semua perbuatan yang merugikan ini!

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِن بَعْدِ مَا فُتِنُوا ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَرُوا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿٠١١﴾‏

Ayat 110- {Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Nahl 16:110)

  1. Munasabah ayat ini jelas:

i- Allah sebut tentang orang yang kufur setelah beriman juga tentang orang yang dipaksa kufur kerana lemah!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan orang lemah tadi telah mendapat peluang untuk berhijrah meninggalkan negeri kafir ke Madinah.

Tetapi sebelum itu mereka telah ditekan, dipaksa & disiksa sehingga tidak dapat berhijrah bersama orang ramai.

  1. Allah nyatakan golongan Islam yang lemah {المستضعفين} yang sembunyikan Islam mereka untuk menjaga diri & nyawa akibat mereka lemah, tidak berdaya, tidak mampu untuk berhijrah pada awal penghijrahan yang diperintahkan dulu.

Mereka tetap berada di negeri kufur & kelihatan seolah bukan Islam!

  1. Iaitu orang-orang yang berhijrah setelah diuji dan diganyang oleh puak kafir musyrik- akhirnya mereka ada kekuatan untuk berhijrah; maka Allah akan ampunkan dosa mereka setelah mereka berhijrah dan menzahirkan betul-betul Islam mereka yang disembunyikan sebelum itu!
  2. Ini kerana Allah s.w.t adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mereka diberi keampunan dan dimaafkan kerana mereka lemah tak kuat untuk keluar berhijrah seperti orang lain!

  1. Nota [588]- Orang-orang yang telah “difitnahkan” di sini maksudnya: segolongan orang-orang Islam yang telah ditindas oleh kaum musyrik di Makkah sehingga mereka terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

Kemudian mereka bertaubat dan berhijrah ke Madinah lalu berjuang menentang kaum kafir (yang menceroboh), serta sabar dalam perjuangan, maka mereka diampuni Allah dosa-dosanya yang telah dilakukan semasa mereka di Makkah dahulu.

  1. Yakni telah lepas tak mengapa biarkan berlalu Allah sudah ampunkan cuma untuk masa depan kuatkan semangat, berjihad pada jalan Allah dan lakukan amal sebaiknya, kita buka fail baru!

۞ يَوْمَ تَأْتِي كُلُّ نَفْسٍ تُجَادِلُ عَن نَّفْسِهَا وَتُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ‎﴿١١١﴾

Ayat 111- {(Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka tidak akan dianiaya sedikit pun.} (Al-Nahl 16:111)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah beri amaran kepada orang yang derhaka & khabar gembira bagi orang yang taat.

Allah juga nyatakan tentang hukuman ke atas orang yang murtad- cop 6 perkara kerugian kepada mereka.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan di Akhirat kelak akan terzahir kesan daripada amalan & perbuatan kita atas dunia ini dulu!

Setiap orang akan menerima balasan, bertemu dengan apa yang diusahakannya.

  1. Ingatlah sebagaimana kata ahli motivasi: Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah nanti- kitalah penulisannya!
    Kamu tulis apa- akan tuailah nanti!
  2. Begitu juga sekarang ini kita nak tengok pendirian & hala-tuju seseorang lihat kepada penulisannnya atau zaman sekarang ini tengok kepada posting-posting media sosialnya!

Ada orang sibuk dengan makanan, ada yang masya’ Allah dok sebar ilmu, ada yang sibuk sebar fitnah & tuduhan terhadap orang!!!

Tidak mengapa walaupun atas dunia ini tak dapat LOD dari orang kita fitnah, kita tunggulah panggilan malaikat & pembentangan di Akhirat kelak!

  1. Setiap orang akan bertemu dengan apa yang dibuatnya dulu!

Kemudian pada waktu itu (hari Kiamat) setiap orang akan cuba membela diri & mempertahankan perbuatan salahnya di dunia dulu.
Itu pada peringkat awal- diberi peluang bersuara.

  1. Kemudian setelah mereka cuba berdalih memberi alasan dan berdusta juga- Allah meterikan kunci mulut mereka tidak dapat bercakap.

Pada waktu itu anggota badan mereka sendiri, kaki tangan akan mengaku menjadi saksi akan segala perbuatan jahat atas dunia dulu!

Tidak akan ada yang tersembunyi dan terselindung!

  1. Kita semua akan mati dan Allah kata; Aku akan balas semua apa yang kamu kerjakan atas dunia dulu baik atau buruk!

Kamu juga tidak akan dizalimi sedikit pun- apa yang kamu tak buat tidak akan dikenakan atau dituduh ke atas kamu, apa yang kamu buat walaupun sebesar zarrah akan dibalas sedemikian baik atau buruk!

  1. Bukan seperti di dunia ini boleh direka pertuduhan dan jenayah ke atas seseorang!

Seseorang boleh dihukum kerana tuduhan palsu ke atasnya, atas jenayah yang tidak dibuatnya!!!

  1. Atas dunia juga manusia boleh bayar peguam untuk membela & menolongnya!

Tetapi di Akhirat tidak ada semua itu- hanya dirnya sendiri yang akan menjadi saksi kepada segala perkataan & perbuatannya!

Malaikat tidak akan salah tulis, malaikat tidak akan menerima rasuah- kerana itu Allah kata tidak akan ada orang yang akan dizalimi kelak!

  1. Tetapi jika kamu kena zalim dan kena siksa di Akhirat kelak- itu adalah kerana hasil kerja buat kamu sendiri!

Maka atas dunia ini berfikirlah dulu para jemaah pencinta ilmu, pencinta Sunnah semua- sebelum melakukan sesuatu apakah ia akan memberi pahala atau dosa, membawa hasil pulangan yang baik atau buruk di Akhirat kelak!

  1. Jika dapat pahala teruskan, jika tahu membawa dosa jangan buat kerana azab di Akhirat kelak amat berat & tiada siapa yang dapat membela dan menolong untuk melepaskan kita darinya!

Penutup & Faedah:

  1. Ayat 108- {Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.}-

Allah kata Dia akan tutup (sealed) atas hati, pendengaran & penglihatan kumpulan yang jahat & murtad!

Bila hati tidak terbuka apa lagi yang boleh kita harapkan, rosaklah semuanya dan akan menjadi orang yang lalai tak dapat hidayah petunjuk dari Allah!

Kata ulama’ tadabbur: Orang yang murtad setelah dicop atas hati mata telinga mereka – maka semua alat itu tidak berfungsi maka rosaklah segalanya!

Telinga dengar tetapi tak masuk & tak boleh terima perkara kebenaran dan yang baik!

Apabila Allah tutup semua itu ia jadi tidak berfungsi tak boleh nak berfikir dan menapis apa yang baik atau buruk, apa yang benar apa yang palsu!

Telinga ini mudah benar nak dengar & percaya terima apa yang tidak baik!

Perkara baik susah pula nak lekat, nak terima & percaya!

Kata ulama’ ahli pendidikan Islam:
i- Jika kamu dengar, dengarlah dengan telinga itu apa saja semua yang sampai kepadanya kerana telinga itu tak boleh ditutup.

ii- tetapi apabila kamu nak keluarkannya semula samada dengan tangan (tulis) atau dengan mulut (percakapan)- jangan kamu keluarkan semuanya, tapis dan pilih dulu hanya keluarkan yang pasti sahih dan baik, yang buruk & tidak sahih tidak perlulah dikongsi kembali!

Tak perlulah hantar video-video orang lain untuk para ustaz cek & beri pendapatnya.

Kita cubalah tapis sendiri dulu dengan ilmu dan maklumat yang kita ada.

Ustaz pun tak sempat nak tengok dan buat penilaian tentang video-video yang begitu banyak.

Jika sudah ada ustaz lain yang memberi komen kita diam saja dulu- minta maaf jika hanya dijawab wallahu a’lam.

  1. Ayat 109- {Tidak syak lagi, bahawa mereka ialah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak.}– puak yang murtad dan lari dari agama ini enam kerugian yang akan menimpa mereka!

Kerugian mereka ialah secara ringkasnya:
i- Allah murka.
ii- bagi mereka azab yang besar.

iii- mereka hanya pilih dunia tidak Akhirat.
iv- Allah tak akan beri hidayah petunjuk kepada mereka.

v- Allah akan mandulkan atau rosakkan tiga sumber ilmu mereka, hati tak berfikir, telinga yang tak dengar, mata yang tak lihat kebenaran.

vi- Allah jadikan mereka dari golongan yang lalai.

Ini amat bahaya & menakutkan- kita minta berlindung dengan Allah dari semua kerugian ini!

  1. Ayat 110- {Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar;…}-

Allah kata sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah meninggalkan kampung halaman, kaum-kerabat & harta benda semata-mata kerana nak cari keredhaan Allah s.w.t & menyelamatkan diri dari difitnah diganggu orang kafir!

Maka Allah akan berikan kepada mereka keampunan Allah!

Itu dulu- sekarang ini tiada lagi hijrah secara fizikal seperti dulu iaitu dari Makkah ke Madinah itu!

Tetapi sekarang ini masih ada hijrah maknawi iaitu berhijrah dari keburukan kepada kebaikan;

i- jika dulu tak solat kita solat & pertingkatkan segala amal ibadat.

ii- dulu tak suka solat jemaah & majlis ilmu sekarang suka & tenang ke masjid.

iii- jika dulu kita ikut je kujliah atau majlis ilmu mengata orang, memfitnah orang, yang lucu gelak ketawal; kita dengar semua.

Sekarang kita nak majlis ilmu yang dapat memberi kesan kepada jiwa & agama manusia, penuh dengan firman Allah & sabda Rasulullah s.a.w, yang dapat meningkatkan keimanan kepada Allah dan memantapkan taqwa.

iv- jika dulu muslimat tak tutup aurat dengan sempurna sekarang tutup aurat dengan sempurna & patuh Syari’ah!

v- hijrah juga taubat nasuha meninggalkan maksiat kepada ketaatan, tinggalkan kekotoran kepada kesucian seperti meninggalkan najis rokok, najis riba rasuah dan seumpamanya!

*Ini amat sukar untuk dilakukan walaupun dia ahli jemaah masjid.
Jika orang pergi haji dapat tinggalkan rokok itu adalah antara tanda-tanda haji mabrur insya’ Allah!

  1. Ayat 110- {… sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar;}– iaitu setelah mereka diuji.
    Apakah makna fitnah di sini?

Fitnah di sini banyak jenis iaitu antaranya:
i- yang terbesar ialah syirik kepada Allah!

ii- fitnah melalui syaitan yang datang menggoda atau orang kafir yang datang menekan!

iii- fitnah jadi sayang nak tinggal maksiat.

iv- fitnah terjebak dengan perkara mungar.

v- atau fitnah dengan makna tidak betul-betul beriman kepada Allah s.w.t!

Kita sekarang ini alhamdulillah sudah beriman kepada Allah, suka beramal, suka dah- tetapi apakah ikut Sunnah atau tidak?

Ini mesti dipastikan juga agar segala amal ibadat kita tidak sia-sia & kerugian!

Yakni Allah Allah kata sesiapa yang berhijrah, berjihad, tinggalkan dan sabar.

Sabar itu ada 3 kategori:
i- sabar melakukan ketaatan,
ii- sabar dalam meninggalkan dosa maksiat,
iii- sabar menanggung ujian musibah.

  1. Ayat 111- { (Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata,…}– setiap diri itu akan cuba membela dan mempertahankan diri masing-masing.

Begitulah manusia sejak dari atas dunia ini akan cuba mempertahankan dirinya dan cari peguam untuk bela dirinya walaupun dia tahu dia salah sebenarnya!

Kemudian di Akhirat begitu juga cuba manusia jenis ini mencari alasan membela diri dengan pelbagai alasan.

Ini pada peringkat awal hari Akhirat di mana Allah berikan mereka peluang berkata-kata & bercakap.

Kemudian Allah tutup mulut mereka, dan jadikan segala anggota badan manusia sendiri boleh bercakap menjadi saksi kepada tuan badannya sendiri!

Tidak boleh berdusta & menipu lagi segalanya akan terdedah & terbukti!

Akhirnya Allah kata semua kamu akan dibalas tiada satupun yang akan tertinggal walaupun sekecil mana perbuatan baik atau jahat itu!

Tidak ada seseorang pun akan dizalimi di sisi Allah s.w.t.

Sekali lagi kita ulang dan peringatkan selalu kepada diri kita bahawa:

Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah kelak; kita sendirilah penulisnya!

Maka pilihlah apa yang kita nak tulis sekarang yang baik atau yang buruk!!!!

Allah kata Dia tak zalim tetapi manusia yang menzalimi dirinya sendiri.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya, juga sebagai panduan untuk kita beramal atas dunia ini!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 31/05/2026 / 14 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=965599159623938&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top