View Categories

(29) Surah An-Nahl: Ayat 98-100

14 min read

Berta’awwuz Sebelum Baca al-Quran, Syaitan Tak Boleh Menguasai Orang Beriman & Berkuasa Atas Kafir

Live Pagi Ahad 24/05/2026 / 07 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (29) Ayat [98-100]

Full video: https://youtu.be/-YAgaduNtPA?si=Yh7FhzilpQCaQlBx

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli atau an-Ni’ami dengan ayat 98 sehingga ayat 100 dalam juzuk keempat-belas
    .
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang untuk kita baca al-Quran- kita kena mulakannya dengan berta’awwuz sebelum baca al-Quran iaitu lafaznya:

أَعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa syaitan itu sebenarnya lemah tak boleh menguasai orang beriman yang tinggi & mantap imannya.
  2. Tetapi syaitan itu boleh berkuasa atas kafir atau orang yang lemah & tak kuat imannya.
    Yakni jika kita lemah tak kuat iman syaitan akan kuat dapat mengalahkan kita untuk ikut hasutannya!
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang nikmat-Nya ke atas Nabi s.a.w dengan diturunkan al-Quran kepada Baginda Al-Quran. Al-Quran itu sebagai penjelasan & petunjuk kepada manusia.

ii- kemudian datang ayat ini Allah ajar kepada kita bagaimana cara untuk baca al-Quran- adabnya tadabbur al-Quran.

Ini agar syaitan tidak mengganggu kita, hati tenang & minda terbuka untuk menerima manfaatnya.

  1. Munasabah kedua:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sesiapa yang buat amal soleh & lelaki perempuan- Allah akan beri balasan yang besar.

ii- maka antara amalan soleh ialah tilawah al-Quran.
Jadi bila nak baca al-Quran adabnya ialah kamu kena minta perlindungan dengan Allah dulu agar tidak dikacau al-Quran- dengan dada lapang, hati cerah & minda terbuka.

Maka datanglah ayat yang mulia ini mengajar kepada kita untuk beristia’zah iaitu minta berlindung dengan Allah agar tidak dikacau syaitan!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ‎﴿٨٩﴾‏

Ayat 98- {Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.} (Al-Nahl 16:98)

  1. Allah ajar kepada kita adab apabila nak baca al-Quran (walaupun khitabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi ajaran & perintahnya kepada seluruh umat Baginda s.a.w) untuk memohon perlindungan kepada Allah, isti’azah { أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ}
    dari hasutan Syaitan yang kena rejam.
  2. Ini supaya syaitan tidak pesongkan kamu dengan perasaan waswas apabila kamu tadabbur al-Quran lalu kamu akan dapat manfaatnya.
  3. Ulama’ membincangkan apakah arahan ini wajib atau sunat?

i- majoriti ulama’ kata arahan ini berbentuk sunat tetapi amat afdhal & elok kerana Allah sendiri yang ajar adab ini!
Supaya kita tidak mudah dihasut syaitan menjadi ragu & waswas.

ii- ada ulama’ yang berpegang dengan zahir ayat ini- berpendapat arahan ini adalah wajib!

  1. Perbincangan lagi apakah kita baca pada setiap rakaat solat isti’azah ini:

i- sebahagian ulama’ seperti mazhab Hanafi dan lainnya berkata hanya pada awal solat iaitu pada rakaat pertama bacaan al-Fatihah saja untuk baca isti’azah ini.

Ini kerana solat itu pakej- dari awal solat sehingga akhir adalah satu pakej maka cukup baca sekali pada awal rakaat pertama saja.

ii- pandangan ulama’ Syafei dan lain-lain pula: Hendaklah dibaca berulang pada setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fatihah, maka kita mulakan setiap rakaat baru itu dengan isti’azah sebelum membaca surah al-Fatihah.

  1. Manakala lafaz ta’awuz ada banyak tetapi lafaz yang terpilih untuk kita bacanya adalah sebagaimana yang Allah sendiri ajar & sebut dalam ayat ini:
    أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
    Maksud: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).
  2. Tetapi berdasarkan hadis Nabi s.a.w terdapat beberapa riwayat lain bacaannya seperti berikut:

i- أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksud: Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.

*DDAAM apabila memulakan kuliah tafsir pagi sesi yang pertama dulu membaca lafaz ini sebelum memulakan kuliah.

Sekarang ini membaca lafaz yang pertama seperti tadi untuk membezakan siri tafsir yang disampaikan.

ii- أعوذ بالله من الشيطان الرجيم، إن الله هو السميع العليم
Maksud: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

iii- اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَهَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada syaitan yang direjam serta permusuhan yang disebabkan darinya, takburnya ia, serta syair yang tercela.

  1. Begitu juga apabila kita dalam kuliah atau mengajar- cukuplah kita hanya membaca lafaz ta’awuz ini hanya sebelum bacaan ayat al-Quran yang pertama saja.
  2. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang tidak membaca lagi ta’awuz ditengah-tengah kisahnya.

Rasulullah s.a.w bersabda menceritakan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قِيلَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ ادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ يُغْفَرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ فَبَدَّلُوا فَدَخَلُوا الْبَابَ يَزْحَفُونَ عَلَى أَسْتَاهِهِمْ وَقَالُوا حَبَّةٌ فِي شَعَرَةٍ

Dikatakan kepada Bani Israil: Masuklah pintu itu sambil bersujud dan katakanlah “hittah” (hapuskanlah dosa-dosa kami), nescaya diampunkan kesalahan-kesalahan kamu, tetapi mereka mengubahnya, lalu mereka masuk pintu itu dengan merangkak di atas punggung mereka dan mereka berkata: “habbah fi sya’rah” (biji di dalam rambut). [HR Muslim].

*Jika kita nak baca juga tidak menjadi kesalahan.

  1. [581] Setelah Allah Ta’ala menerangkan bahawa Ia akan membalas orang-orang yang beriman dengan sebaik-baik balasan di dunia dan di akhirat, lalu diberi petunjuk kepada amalan yang dapat membersihkan amal mereka dari hasutan Syaitan, terutama ketika hendak membaca Al-Qur’an.

Kerana tujuan membaca Al-Qur’an yang sebenarnya ialah untuk memahami, memikirkan kandungan ayat-ayatnya, mematuhi dan mengamalkan ajarannya, juga memperoleh pahala membacanya.

Faedah membaca
“أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”
ialah merupakan pengakuan dari seseorang hamba Allah akan kelemahannya, dan menegaskan bahawa Allah jualah yang berkuasa memberi perlindungan dari segala perkara yang membahayakan atau yang mendatangkan mudarat.

  1. Sebab itulah kita disunatkan meminta perlindungan Allah ‘Azza wa Jalla ketika hendak membaca Al-Qur’an, dengan membaca lebih dahulu:

“أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.
Yakni “Aku berlindung kepada Allah daripada hasutan Syaitan yang kena rejam”.

“Yang kena rejam”, maksudnya: yang dikutuk dan disingkirkan dari rahmat Allah.

  1. Kalau Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang maksum (yang terpelihara dari gangguan Syaitan dan dari melakukan dosa) disuruh meminta perlindungan Allah dari hasutan Iblis, apa lagi umatnya?

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ‎﴿٩٩﴾

Ayat 99- {Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.} (Al-Nahl 16:99)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah menyuruh kita isti’azah, minta berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan;

ii- maka Allah nyatakan ini tidak bermakna syaitan itu gagah atau berkuasa.
Syaitan itu lemah tidak ada kuasa untuk mempengaruh orang beriman!

  1. Yakni Allah nyatakan bahawa syaitan tidak boleh menggoda dan menghasut, tidak berkuasa dan tidak mampu untuk mempengaruhi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
  2. Syaitan mengaku dan berlepas diri dari awal lagi dia tidak akan dapat mengalahkan orang yang mantap aqidah, suci murni lagi ikhlas imannya, jitu amalnya & tinggi tawakkalnya kepada Allah s.w.t!
  3. Yakni jika kita kuat syaitan lemah & tidak akan dapat menguasai kita & sebaliknya jika kita lemah (iman) maka syaitan akan kuat dan dapat mengalahkan kita!
    Ini bahayanya jika kita tak kuat iman- akan terpengaruh untuk melakukan kemungkaran & maksiat kepada Allah!
  4. Syaitan tahu & dah mengaku cuma kita yang lalai dan tak tau- lalu kita jadi lemah & syaitan menguasai; maka apabila syaitan ajak buat riba kita buat, syaitan ajak terima rasuah kita terima maka habislah!

إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُم بِهِ مُشْرِكُونَ ‎﴿٠٠١﴾‏

Ayat 100- {Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.} (Al-Nahl 16:100)

  1. Syaitan hanya akan dapat mempengaruhi orang yang taat & ikut syaitan maka akan jadi makhluk yang lemah & tidak bermaya!!!

Yakni orang yang menjadikan syaitan pemimpin mereka yang diikuti maka syaitan akan jadi kuat, manusia taat & ikut jejak langkah syaitan!

  1. Nota [592]- Dalam ayat 99 & 100 ini Allah menerangkan bahawa umat Islam terbahagi dua!

Sebahagiannya orang yang tidak dapat dihasut syaitan iaitu orang yang beriman kepada Allah dan berserah bulat-bulat bertawakkal kepada Allah serta mematuhi segala perintah Allah!

*Bagi golongan ini syaitan mengaku kalah dari awal lagi tak boleh buat apa kepada mereka ini.

Sebahagian lagi ialah orang-orang yang dapat dipengaruhi oleh syaitan, kerana mereka ingkar akan perintah Allah.

  1. Kerana itu kata ulama’: Sesiapa yang kuat mereka-cipta bid’ah dalam ibadatnya- Sunnahnya akan mati!

Lorong kita ini hanya dua samada lorong Sunnah atau lorong tidak Sunnah yakni bid’ah!

  1. Contoh- Nak anjur majlis penghayatan hari Arafah tetapi menyediakan jamuan dan makan-makan sedangkan Nabi s.a.w secara Sunnahnya menganjurkan hari Arafah sunat untuk kita berpuasa.
  2. Masyhur dari kata-kata Ibnu Mas’ud: Betapa ramai orang nak buat kebaikan tetapi tak kena lorong!
    Orang suruh berpuasa kita pergi buat kenduri!

Begitulah apabila kita lemah syaitan akan menguasai kita!

  1. Sebagaimana yang dikatakan syaitan pun lari dan takut untuk berjumpa dengan Sayyidina Umar yang kuat & mantap imannya tetapi malangnya datang puak Syi’ah mengutuk mencaci beliau dengan mulut yang begitu busuk!

Maka kita jangan berani dan mudah-mudah mengata kepada para sahabat Nabi s.a.w yang besar ini walaupun hanya sebagai contoh yang tak baik pada zaman jahiliyah dahulu.

  1. Semoga Allah s.w.t beri kefahaman yang baik kepada kita, curahkan perasaan cinta dalam hati kita kepada para sahabat Nabi r.anhum dan jauhkan kita dari gangguan syaitan!
  2. Jika penghayatan dan amalan Sunnah kuat maka akan lemahlah benda yang tidak Sunnah di situ, tetapi jika Sunnah lemah- akan naiklah yang tidak Sunnah pula!
  3. Lama kelamaan yang benar & Sunnah itu menjadi pelik manakala yang bid’ah & karut itu menjadi benar & amalan orang ramai.
  4. Alhamdulillah kita puji Allah & syukur atas anugerah yang Allah anugerahkan ini, besarnya nikmat & tingginya darjat apabila kita beramal dengan Sunnah Nabi s.a.w atas dasar kecintaan kita kepada Allah & Rasulullah s.a.w.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 98- {Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.}-

Allah ajar apabila kamu nak baca al-Quran- mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Kenapa begitu, sedangkan al-Quran adalah Kitab Allah yang mulia, Kalamullah kenapa kena minta perlindungan lagi!

Al-Quran adalah Kitab yang mulia paling tinggi kedudukannya berbanding dengan kitab-kitab Allah lain.
Al-Quran membaiki hati manusia daripada kufur syirik kepada tauhid, terkandung dalam al-Quran ilmu yang banyak.

Kerana itu syaitan akan cuba kacau & ganggu kita supaya apabila kita baca al-Quran- hati kita tidak khusyuk dan tidak tenang.

Apabila orang nak baca al-Quran akan ada saja gangguan dan kekacauan!

Jawapan:
Maka kerana itu apabila nak mula baca al-Quran; kita minta Allah jaga & lindungi kita daripada gangguan syaitan ini agar kita khusyuk & tenang, tumpukan perhatian kepada al-Quran sepenuhnya lalu mendapat manfaat dan kebaikan darinya!

Inilah kekacauan yang ditimbulkan syaitan yang mesti kita minta berlindung darinya!

Tujuan kita baca al-Quran nak khusyuk, untuk tadabbur & memberi kesan kepada jiwa kita; jika kita hanya baca sambil lewa begitu saja mungkin hanya akan dapat pahala bacaan saja bukan dapat kefahaman & pahala tadabbur juga!

  1. Ayat 98- {Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.}

Ayat ini mengandungi perintah Allah agar kita minta perlindungan dengan Allah setiap kali kita nak baca al-Quran.

Imam Ibnu Kathir  berkata: Majoriti ulama’ berpendapat ayat ini hanyalah arahan sunat & galakan membaca isti’azah bukan perintah wajib.
Jika tak baca tak berdosa tetapi baik sebagai adab & persiapan minda juga meraih pahala.

Kita juga boleh mana-mana lafaz yang sahih untuk kita baca.
Sewaktu nak baca al-Quran dalam solat pun kita boleh bacanya, diluar solat pun sunat membacanya juga.

Sebagaimana perbincangan di atas tadi- apakah bacaan ta’awuz ini kena ulang dalam setiap rakaat atau tidak?

i- pendapat Mazhab Hanafi dan lain-lain ulama’ mengatakan cukup baca sebelum al-Fatihah dalam rakaat pertama sahaja.
Ini kerana solat satu pakej maka cukup sekali pada permulaannya sahaja.

ii- manakala Mazhab Syafi’ie rhm, tetap berpendapat -Isti’azah disunatkan untuk dibaca pada setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fatihah.

Kita kata alhamdulillah dalam perkara ini ada keluasannya- maka yang luas jangan kita sempitkan, yang sempit jangan kita luaskan.!

  1. Ayat 98- {Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.}-

Allah suruh kita baca isti’azah pada awal sebelum membaca al-Quran.

Kenapa tidak disyari’atkan untuk kita membaca Basmalah untuk minta berkat apabila nak baca al-Quran tetapi kena baca isti’azah?

Sedangkan kita sering membaca basmalah di tengah surah- namun yang tepatnya baca isti’azah kerana Allah syari’atkan untuk membaca isti’azah apabila nak baca al-Quran.

Jawapan:
Ini kerana kita sekarang berada pada tahap nak mennyelamtakan diri daripada sebarang kekurangan & kecuaian, minta perlindungan dari syaitan bukan tempat kita nak minta berkat.

Ini kerana al-Quran itu sendiri adalah keberkatan & kesempurnaan anugerah Allah s.w.t maka cukup dengan membaca isti’azah bukan Basmalah yang meminta berkat.

Tetapi dalam memulakan segala perbuatan lain kita kena baca Basmalah untuk meminta berkat Allah dalam segenap & setiap perbuatan kita seperti nak makan-minum dan segala perbuatan lain kita nak mula kerja kita dengan minta berkat Allah!

Walaupun dalam mazhab Syafe’i disunatkan juga membaca Basmalah pada awal surah- tidak mengapa kerana jika di tengah surah kita tak perlu lagi baca basmalah tetapi disunatkan terus membaca isti’azah.

Kita minta berlindung dengan Allah awal-awal lagi agar syaitan tak datang kacau ganggu kita apabila kita nak baca al-Quran kerana kita nak baca al-Quran dengan tekun & tadabbur.

Penghayatan kita kepada al-Quran juga kena kuat bukan hanya kerana majlis dan sempena-sempena acara saja!

  1. Ayat 99- {Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.} – dalam ayat ini Allah menafikan kekuasaan syaitan- syaitan tak boleh kacau, nak ganggu orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sepenuhnya!

Ayat ini adalah satu senjata yang kukuh & kuat untuk memberi semangat kepada orang mukmin- kamu jangan lemah kena kuat & lawan syaitan!

Apabila kita betul-betul bertawakkal kepada Allah & mantap iman syaitan akan lompat lari.

Orang yang betul-betul selamat dari syaitan ialah orang yang ikhlas.
Iman yang ikhlas akan menghalang penguasaan syaitan ke atas kita!

Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya,
“Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan”.} (Saad 38:83).

Yakni syaitan mengaku kalah dari awal lagi kepada orang yang ikhlas beriman & bertaqwa kepada Allah!

Dalam ayat ini pula Allah nafikan kekuatan syaitan- dia tak boleh kacau kita yang beriman dengan ikhlas kepada Allah!

  1. Ayat 100- {Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka,…}– dalam ayat ini Allah kata pula syaitan boleh menguasai orang yang berwala’ kepadanya.

Yakni Allah kata syaitan lemah & tak boleh menguasai orang yang beriman tetapi syaitan akan menjadi kuat dan boleh menguasai orang yang mengikutinya, yang berwalikan syaitan!

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).} (Al-Hijr 15:42)

Ulama’ tadabbur kata kenapa ayat ini nampak seolah berbeza & kontra- sekali Allah kata syaitan lemah sekali Allah kata syaitan boleh menguasai manusia; jawapannya ia adalah dua situasi yang berbeza tiada kontra atau bertembungan fakta!

Kita kena faham bahawa:
i- Allah nafikan kuasa syaitan itu ke atas orang beriman.
Yakni asalnya syaitan tidak boleh menguasai manusia.

ii- Allah tetapkan kekuasaan syaitan- tetapi syaitan boleh menguasai manusia apabila mereka ikut dia!

Ini menjelaskan bahawa ayat-ayat al-Quran itu tiada kontra- yang berlaganya ialah kepala otak manusia yang boleh faham atau tak faham.

Boleh pergi ke link ini untuk mendengar kuliah DDAAM yang telah khatam tentang- Hakikat Syaitan Yang Direjam- di youtube halaqahabuanasmadani:
https://youtu.be/m5G3bJuFd4g?si=0FCqKwA7bUM7I57w

Semoga Allah melindungi kita semua dari diganggu oleh syaitan, yang zahirnya atau yang batinnya atau apa saja bentuknya dari kalangan jin atau manusia!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 24/05/2026 / 07 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=959880080195846&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top