View Categories

(31) Surah An-Nahl: Ayat 104-107

14 min read

Kafir Tertutup Pintu Hidayah, Membuat Tuduhan Palsu & Hukum Orang Dipaksa Kufur

Live Pagi Selasa 26/05/2026 / 09 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (31) Ayat [104-107]

Full video: https://youtu.be/8uYKiuDcAns?si=9s1cVVsHq2bMVdUW

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 104 sehingga ayat 107 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bagi orang kafir yang tidak beriman; Allah tutup pintu hidayah bagi mereka!
  3. Orang kafir ini pembohong besar atas dunia ini membuat tuduhan palsu kepada Nabi s.a.w & menimbulkan syubhah keraguan kepada al-Quran.
  4. Kemudian Allah nyatakan hukum orang yang dipaksa kufur jika tak mampu mempertahankan imannya tidak mengapa & mereka diberi rukhsah untuk memilih untuk buat apa yang dipaksa atau mati kerana Allah.
    Ini kerana setiap manusia itu ada strategi & kekuatannya!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang tuduhan kafir yang mengatakan Nabi s.a.w merekacipta sendiri al-Quran dan belajar dengan lelaki a’jam yang tidak logik sama sekali.

ii- maka datang ayat Allah nyatakan orang yang ingkar walaupun setelah dibacakan al-Quran & hadis ke atas mereka- tetap ingkar!

Maka Allah tutuplah hati mereka tidak akan beriman sehinggalah Allah jua yang membukanya kembali.
Kerana itu dikatakan hidayah taufiq hanya milik Allah & di bawah kuasa-Nya.

Jika kamu nak jadi orang baik; bukalah telinga, lapangkan dada, cerahkan hati untuk menerima Islam maka kamu adalah orang yang diberi hidayah oleh Allah Azza wa Jalla.

Sempena Hari Arafah ini, sebagai motivasi kita nukilkan kata-kata:

Ibnu Rajab r.a:
من لم يستطع الوقوف بعرفة. فليقف عند حدود الله الذي عرفه.
Barang siapa tidak mampu wuquf di ‘Arafah, hendaklah ia wuquf (berhenti) pada batasan-batasan syariat (hudud) Allah yang telah diketahuinya.

ومن لم يستطع المبيت بمزدلفة. فليبت على طاعة الله ليقربه ويزلفه.
Barang siapa tidak mampu mabit (bermalam melakukan ketaatan) di Muzdalifah, hendaklah ia mabit di atas ketaatan kepada Allah guna merapat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

ومن لم يقدر على ذبح هديه بمنى. فليذبح هواه ليبلغ به الُمنى.
Barang siapa tidak mampu menyembelih binatang hadyunya di Mina, hendaklah ia menyembelih hawa nafsunya untuk meraih harapan yang diidamkan.

ومن لم يستطع الوصول للبيت لأنه بعيد. فليقصد رب البيت فإنه أقرب إليه من حبل الوريد.
Barang siapa tidak mampu mencapai Baitul Haram kerana jauh, hendaklah ia menujukan niatnya kepada Rabb Baitul Haram (Tuhan Ka’bah) kerana Ia lebih dekat dengan kita dekat daripada tali urat.
[Sumber: Lathaiful Ma’arif, hlm. 633]

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ لَا يَهْدِيهِمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ‎﴿٤٠١﴾

Ayat 104- {Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Nahl 16:104)

  1. Allah tegaskan bahawa orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, walaupun hujjah-hujjah telah disampaikaan mereka tetap menolak!

Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka, yang menyebabkan mereka makin sesat & jauh dari jalan Allah!

  1. Penolakan mereka terhadap dakwah menyebabkan hidayah tak sampai!
    Ini azab di dunia lagi Allah berikan.
    Di Akhirat pula pastilah mereka beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
  2. Ini menakutkan bagi kita orang Islam kerana ada orang yang lihat macam jinak, baik dan baik akhlaknya tetapi tetap menolak Islam kerana tidak dapat hidayah!
  3. Orang yang beriman ialah orang yang taat & akur kepada perintah Allah, mengikut Sunnah Nabi s.a.w.
    Kita kata alhamdulillah kita termasuk dalam golongan ini!

إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ ‎﴿٥٠١﴾‏

Ayat 105- {Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.} (Al-Nahl 16:105)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah sudah batalkan segala syubhat yang ditimbulkan oleh puak kafir bahawa al-Quran direka oleh Nabi s.a.w dan dipelajari dengan orang kafir!

ii- Lalu Allah menyatakan bahawa orang yang buat tuduhan tadi itulah orang tidak beriman walaupun mereka mengaku Islam.

Orang yang mendustakan ayat-ayat al-Quran ini adalah orang kafir yang tidak beriman kepada Allah!

  1. Yakni orang yang mereka-reka mencipta tuduhan & persepsi buruk ke atas Allah adalah orang kafir yang tidak beriman!
    Ini kerana orang beriman akan tunduk akur patuh kepada perintah Allah, mereka tidak akan bantah, tidak ingkar akan perintah Allah.
  2. Paling tidak cuma bagi yang tidak kukuh imannya mereka tidak buat perintah Allah- seperti tidak tutup aurat, tidak solat-puasa- maka mereka termasuk dalam golongan fasiq- masih beriman selagi tidak mengingkari perintah Allah!

Cuma degil, keras kepala tak mahu buat ibadat- tahu solat & tutup aurat wajib- tidak ingkar & tahu cuma tak mau buat dan buat tak tahu!

  1. Mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta- suka bercakap bohong dan berdusta- itulah sifat orang kafir yang disokong oleh munafiq!
  2. Nota [586]- Yakni sifat berdusta itu bukan sifat Nabi Muhammad s.a.w dan orang-orang yang beriman, tetapi sifat orang-orang yang tidak beriman, dan merekalah yang sebenarnya orang-orang yang berdusta.
  3. Ini kerana sifat bohong adalah sifat munafiq!
    Orang mukmin tidak akan berbohong- mungkin dia buat benda itu ini tetapi dia tidak berbohong!
    Kita berusahalah buang sifat bohong dari diri kita terutamanya berbohong dalam agama! Na’uzubillah.

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ‎﴿٦٠١﴾

Ayat 106- {Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.} (Al-Nahl 16:106)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah kata orang yang mendustakan ayat-ayat Allah adalah orang kafir yang tidak beriman!

ii- maka dalam ayat ini kerana Allah tahu ada hamba-Nya yang lemah, jiwa tidak kuat- maka Allah beri sedikit rukhsah agar mereka yang terpaksa & tiada kekuatan untuk melawan ini- tidak terkeluar dari Islam.

  1. Yakni Allah nyatakan sesiapa yang sudah beriman kemudian mereka kufur keluar dari agama Allah {مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِ} dengan sukarela & pilihan mereka- itulah orang murtad yang akan ditimpa kemurkaan dari Allah.
  2. Tetapi Allah beri pengecualian; kecuali mereka yang dipaksa untuk kufur {إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ} sedangkan hati mereka tetap beriman tidak goyah walaupun sedikit, iktiqad mereka tidak berubah, hati mereka tenang dengan iman!

Tetapi fizikal dan keadaan mereka lemah & tidak mampu untuk melawan maka Allah maafkan mereka jika menyerah kepada paksaan itu!

  1. Nota [587]- Dalam permulaan Islam, kaum kafir musyrik di Makkah telah menyiksa orang-orang Islam untuk memesongkan iman mereka menjadi murtad.

Di antara sahabat-sahabat Nabi yang telah diseksa ialah Bilal, Yaasir, Sumayyah (isterinya), dan “Ammaar (anaknya) semoga Allah meredhai mereka semua.

Sumayyah telah mati dibunuh secara kejam, dan dengan itu menjadilah ia orang syahid yang awal pertama gugur dalam Islam.
Suaminya juga telah dibunuh.

Manakala Bilal – (seorang hamba abdi), walaupun ia telah dijemur di tengah-tengah panas, diletak atas dadanya dengan batu besar, dan diselar dengan api, tetapi tetap mempertahankan imannya dengan gagahnya sambil menyebut: “Ahad, Ahad” (Allah Maha Esa, Allah Maha Esa).
Akhirnya ia dibeli oleh Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dari tuannya yang musyrik lalu dimerdekakannya.

Tetapi ‘Ammar bin Yasir oleh kerana ia masih mentah dan tidak dapat menahan seksa akhirnya ia terpaksa menurut apa yang disuruh oleh kaum musyrik yang menyeksanya supaya ia mencaci nabi Muhammad s.a.w dan memuji berhala mereka. Dalam pada itu hatinya tetap beriman.

Apabila orang menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w bahawa ‘Ammar telah murtad, Baginda menjawab:
“Tidak! Sebenarnya “Ammar dipenuhi iman dari hujung rambutnya ke hujung kakinya, dan iman telah mesra dengan daging dan darahnya!”

“Ammar pun datang mengadap Nabi sambil menangis.
Lalu Baginda bertanya: “Apa halmu?”

Setelah ‘Ammar menceritakan halnya, baginda bersabda:

إن عادوا فعد

“Jika mereka menyeksamu lagi, maka ulangilah apa yang engkau katakan itu kepada mereka, (asalkan hatimu tetap beriman)”.

Untuk menerangkan hukum orang-orang yang seperti ‘Ammar inilah, turun firman Allah Ta’ala ini. (Kita kata alhamdulillah)

Ayat ini menjadi dalil, bahawa orang-orang yang dipaksa melakukan sesuatu yang melanggar hukum Islam, atau memperkatakan pada zahirnya sesuatu yang membawa kepada kufur, tidaklah menjadi salah selagi hatinya tetap beriman.

[Kisah ini disebut oleh al-Hakim, Abu Nu’aim, al-Baihaqi dan lain-lain].

  1. Banyak lagi kisah-kisah para sahabat yang terpaksa mengaku tidak beriman atau mencerca Nabi s.a.w demi maslahah atau strategi memerangkap musuh seperti kisah yang telah kita sebut- kisah sahabat yang mahu membunuh Ka’ab bin Asyraf di Madinah dengan perintah Nabi s.a.w.

Boleh baca buku ini:
Madinah Munawwarah
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ ‎﴿٧٠١﴾

Ayat 107- { (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat).} (Al-Nahl 16:107)

  1. Allah nyatakan bahawa puak kafir itu dimurkai & dicela oleh Allah kerana mereka kufur memilih nikmat dunia yang sementara- meninggalkan nikmat syurga yang kekal abadi! Mereka telah murtad meninggalkan agama kerana nak kejar habuan dunia!
  2. Allah kata Dia tidak akan beri taufiq kepada orang yang kufur akan ayat-ayat-Nya, yang berterusan dalam kekufuran mereka- Allah tidak akan buka pintu hidayah kepada mereka lansung!

Pintu hati mereka tertutup lansung dari menerima cahaya Islam & terima kebenaran.

  1. Tetapi kita jangan putus-asa putus harap, sentiasa berdoa agar Allah curahkan hidayah, buka pintu hati sesiapa yang kita sayangi untuk menerima hidayah.
  2. Sebagaimana kisah Abu Hurairah dan ibunya yang belum Islam selepas dia Islam.

Akhirnya dengan doa anaknya sendiri & doa Nabi s.a.w ibunya mendapat hidayah- insaf & menerima Islam.

  1. Kita berdoalah orang yang kita kenal itu- jika belum Islam terbuka hati untuk beriman & masuk Islam, jika sudah Islam seperti anak-anak kita terbuka hati lebih rajin lebih suka & ringan hati untuk melakukan ketaatan & ibadat dengan sempurna!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 104- {Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka,…}-

Allah kata Dia tidak akan berikan hidayah kepada mereka yang kafir & tidak beriman!
Ayat ini keras dan satu ancaman yang menakutkan.

Mafhumnya: Sesiapa yang beriman Allah akan curahkan hidayah-Nya ke dalam hati, buka pintu hati mereka agar bertambah mantap iman, tingkatkan ibadat & ketaatannya.

Maka kita ini bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang ada kerana menjadi orang Islam yang beriman.

Dalam masa yang sama kita minta banyak lagi tambahan dari Allah supaya kita makin sayang kepada Allah, makin cinta kepada Rasulullah s.a.w dengan beramal dengan Sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda Nabi s.a.w dan Allah akan beri hidayah kepada kita!

Bertambah cintakan al-Quran, beramal dengan al-Quran, pada waktu malam yang sunyi kita bangun beribadat kepada Allah dan baca al-Quran.

Kita tak perlu tungu majlis rasmi besar-besaran untuk baca al-Quran, kena buat uniform seragam dan seumpamanya yang menyusahkan dan boleh menjadikan payah untuk baca al-Quran!

Mafhumnya: Siapa yang beriman Tuhan bagi hidayah- siapa yang tidak beriman Allah tutup pintu hidayah dari hatinya!

Kita minta berlindung dengan Allah s.w.t dari sifat yang buruk, yang tidak baik!

  1. Ayat 105- {Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah,…}– orang yang mereka-reka tuduhan jahat ini ialah orang yang tidak beriman kepada Allah!

Ayat ini adalah amaran keras kepada sifat pembohong!

Kita telah dengar orang kafir banyak membuat pelbagai tuduhan jahat & pendustaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Mereka kata Nabi s.a.w reka sendiri ayat al-Quran, Nabi belajar dengan orang kafir al-Quran ini dan pelbagai tuduhan yang tak masuk akal!

Sama seperti zaman kita hari ini orang kafir menimbulkan ketakutan & kebencian yang tak rasional terhadap Islam atau istilah hari ini Islamaphobia.

Itulah tanda orang yang tidak beriman; melemparkan tuduhan jahat terhadap Islam & orang beriman!

Hatta mereka yang mengaku Islam sekalipun; tetapi percakapan, sifat & perbuatan mereka cukup dahsyat & tidak mencerminkan seorang mukmin.

Ada yang dia punya tafsiran kepada agama itu rosak dan melemparkan pelbagai keraguan syubhat atas hukum-hakam Allah.

Contoh hakikat yang terjadi di dunia realiti:
Seperti seorang ulama’ tafsir al-Quran yang masyhur dari sebuah negara (QS), boleh duduk sekali & post di media sosialnya gambar bersama anak perempuannya yang tidak menutup aurat!

Si anak mengatakan dia tidak bertemu dalam al-Quran perintah Allah agar wanita menutup aurat atau memakai tutup kepala!

!!!لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ

Si bapa boleh tidak tegur si anak atau tunjukkan jalan yang benar atau hukum yang tidak dijumpainya itu!!

Kita minta berlindung dengan Allah agar kita tidak dibiarkan Allah terumbang-ambing tanpa hidayah & bimbingan, tanpa kasih-sayang; maka jadilah seorang Islam yang bercakap merapu tanpa ilmu!

  1. Ayat 106- {Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah),…}- ulama’ kata ini adalah orang yang murtad keluar dari agama & hukumnya amat berat.

Kerana hukumnya sesiapa yang meninggalkan agama Islam setelah beriman hukumnya adalah bunuh!!!

من بدل دينه فاقتلوه

Kerana ia boleh menimbulkan fitnah terhadap Islam.

Tak kira human’s right atau apa- itu sebelum dia memeluk Islam kita tak boleh paksa dia masuk Islam tetapi apabila dah masuk Islam- nyawanya halal untuk dihukum mengikut perundangan Syari’ah Islam sekiranya murtad.

Tetapi Allah kata: Kecuali orang yang dipaksa murtad atau kufur- sehingga mengancam nyawa dan badannya- diberi rukhsah kelonggaran untuk mengatakan seperti yang diperintahkan tetapi dengan syarat dalam hatinya tetap teguh beriman kepada Allah!

Rukhsah dalam keadaan darurat ini hanya sekadar yang diperlukan sahaja- jangan melampaui dan berlebih-lebih pula!

Kafir suruh kata sekali saja- cukuplah jangan kita dok ulang-ulangnya tanpa keperluan juga.

Contoh juga orang yang kelaparan tiada makan lain- hanya ada banngkai!
Dia boleh memakannya sekadar keperluan menghilangkan kebulur yang memudharatkan.

Bukan kata buat jamuan & bekal pula untuk tiga hari tiga malam- makan sehingga kekenyangan yang tidak perlu!

Itu bukan darurat lagi tetapi bermewah-mewah dengan daging haram!

Kata ulama’ feqah: Hukumnya bagi orang yang dipaksa keluar dari Islam, dipaksa melafazkan cerai dan dipaksa memerdekakan hamba tanpa kerelaan mereka– semua itu tidak akan menjadi sah!
Dengan syarat dalam hatinya tenang & tetap teguh tidak berkehendakkan sedemikian.

Ulama’ berbeza pendapat dengan kadar paksaan ini; jika mereka (kafir) paksa kata saja, maka kata sajalah jangan tambah dengan perbuatan pula!

Ada kata paksaan yang diharuskan ini hanya dalam perkataan saja bukan dalam perbuatan.

Jika mampu untuk lawan & bertahan- bertahanlah & itu lebih afdhal.

Sebagaimana kisah para sahabat tadi- Yasir & Sumayyah r.a yang rela mati, Ammar bin Yasir r.a yang masih mentah terpaksa berpura-pura ikut paksaan kafir yang menyiksanya!

Juga Bilal bin Rabah r.a yang tetap lawan sanggup menghadapi semua siksaan itu dengan iman yang teguh sehingga diselamatkan oleh Sayyidina Abu Bakar yang memerdekakannya dari tuannya yang kejam!

Juga kisah Ashabul-Ukhdud- golongan orang beriman yang dipaksa terjun dalam api- kekuatan jiwa mereka tidak goyah sanggup mati kerana agama!

Kerana itu kata ulama’ jika kamu mampu untuk lawan- lawanlah sehingga ke titis darah terakhir, sehingga mati syahid!

Hadis daripada Khabbab bin al-Arat, beliau berkata:

شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الكَعْبَةِ، قُلْنَا لَهُ: أَلاَ تَسْتَنْصِرُ لَنَا، أَلاَ تَدْعُو اللَّهَ لَنَا؟

Kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W, ketika itu baginda sedang berbantalkan selimutnya di bawah bayangan Kaabah.

Kami bertanya kepada baginda: “Tidakkah engkau meminta pertolongan untuk kami? Tidakkah engkau berdoa untuk kami?”

قَالَ: «كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهِ، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ، وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ، وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرَ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ»

Baginda bercerita: Seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu ini telah digali tanah untuknya, lalu ia diletakkan di dalam lubang tersebut.
Kemudian diletakkan gergaji di atas kepalanya lalu dibelah sehingga menjadi dua bahagian.

Perkara tersebut tidak menghalangnya daripada terus teguh di dalam agamanya.
Tulang dan urat di bawah dagingnya disikat dengan sikat besi.
Tetapi ia tetap tidak menghalangnya daripada terus teguh di dalam agamanya.

“Demi Allah! Akan menjadi sempurna urusan (agama Islam) ini sehinggalah seorang penunggang kuda mengembara dari Sanaa hingga Hadharamaut.
Dia tidak takut melainkan kepada Allah, serta dia tidak bimbang serigala akan memakan kambingnya. Tetapi kamu sangat tergesa-gesa.
(HR Al-Bukhari 3612)

  1. Ayat 106- {… akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.}– akan tetap ada juga orang yang lapang tenang jiwanya untuk keluar dari Islam.

Yakni dengan sedar & kerelaan murtad keluar dari Islam- maka bagi mereka ini kemurkaan dari Allah dan akan mendapat azab yang besar!

Mereka akan dilaknat oleh Allah kerana mengatakan atau melakukan perbuatan itu bukan bertaqiyah (berlakon) untuk selamat lagi; tetapi kata atau buat sungguh dengan hatinya kerana memang tidak percaya kepada Islam lagi- maka dia telah kufur!

Maka para jemaah sekelian berhati-hatilah dengan perkataan kufur, juga jangan suka mengkafirkan orang, boros di meja kuliah dalam menuduh mengatakan orang itu kafir atau murtad atau sesat.

  1. Ayat 107- { (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat,…}

Allah kata sebab apa Dia murka kepada orang yang kufur & murtad ini-
kerana mereka pilih jalan yang dekat tinggalkan jalan yang jauh, tinggalkan jalan yang lurus lagi benar; pilih jalan yang bengkok lagi sesat!

Tidak mahu ambil risiko menerima kecaman & perlawanan orang kafir.

Sedangkan jika mereka terus lawan dan mati- mereka akan mati syahid mereka akan dibawa ke syurga Allah s.w.t!

Sempena hari ini hari Arafah- kita ucapkan tahniah kepada mereka yang telah berniat puasa.
Ingatlah puasanya hanya lebih kurang 14 jam tetapi pulanganya mendapat pahala kaffarah (diampunkan dosa) selama 2 tahun.

Maka marilah kita hidupkan Sunnah meraih pahala yang besar, mendapat kaffarah dari Allah Ta’ala.

Kita juga bermunajat berzikir berdoa kepada Allah sempena 10 Awal Zulhijjah & hari Arafah ini semoga Allah mengampunkan segala dosa kita, kedua ibu bapa, anak isteri, kaum keluarga dan semua orang yang kita sayangi mukminin mukminat sekelian.

DOA DDAAM.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 26/05/2026 / 09 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=961252643391923&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top