View Categories

(16) Surah An-Nahl: Ayat 56-60

13 min read

Table of Contents

Kafir Kata Tuhan Ada Anak Perempuan, Mereka Tak Mahunya & Allah S.W.T Maha Tinggi Sifat-Nya

Live Pagi Rabu 06/05/2026 / 18 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (16) Ayat [56-60]

Full video: https://youtu.be/jw5W-0jEIxg?si=DzjTLBuuMvLLvKqr

Muqaddimah:

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 56 sehingga ayat 60 dalam juzuk keempat-belas.

Surah tentang nikmat anugerah Allah kepada manusia.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kejahatan, buruk perangai & keji dakwaan kafir yang mendakwa Tuhan ada anak perempuan.
  2. Sedangkan mereka sendiri tak mahunya. Apabila isteri mereka melahirkan anak perempuan berubah wajah mereka dengan kemarahan dan kebencian bahkan ada yang menanam anak perempuan mereka hidup-hidup!

*Islam yang datang melindungi dan mengangkat darjat wanita, bukan human rights atau women’s rights yang dicanang barat.

  1. Kemudian Allah bawa bandingan buruk puak kafir yang diberi makan & rezeki tetapi derhaka kepada Allah.

Tetapi Allah S.W.T Maha Tinggi sifat-Nya dan Maha Agung lagi gagah perkasa.

  1. Ayat ini masih lagi kesinambungan dari ayat yang lepas di mana Allah s.w.t nyatakan tentang 3 perkara buruk yang dibuat puak kafir iaitu syirik, kejinya perangai puak kafir & Allah berikan tempoh untuk memberi peluang mereka bertaubat kembali kepada jalan Allah.

Dalam ayat ini Allah sambung kisah buruknya, jeleknya perangai buruk puak kafir yang membuat tuduhan jahat terhadap Allah s.w.t.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- Allah sudah menyatakan dalil yang begitu kuat tentang rosak & buruknya perangai puak kafir yang menyamakan Allah dengan makhluk!

ii- maka dalam ayat ini Allah jelaskan dengan terperinci tentang perkataan & perbuatan, yang buruk lagi jelek itu.

Mereka tidak tahu apa pun hak berhala itu yang tidak boleh memberi manfaat & darurat.

Tidak ada hujjah yang membolehkan untuk menyembah berhala- tetapi mereka jadikan dalam kehidupan mereka itu bahagian untuk berhala.

Mereka mendekatkan diri mereka dengan berhala dengan haiwan-haiwan & tanaman yang dikurniakan Allah sebagai nikmat kepada mereka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَيَجْعَلُونَ لِمَا لَا يَعْلَمُونَ نَصِيبًا مِّمَّا رَزَقْنَٰهُمْ ۗ تَٱللَّهِ لَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَفْتَرُونَ ‎﴿٦٥﴾‏ 

Ayat 56- {Dan mereka (yang musyrik itu) menentukan untuk keperluan benda-benda yang mereka tidak mengetahui hal keadaannya, sebahagian dari harta-benda yang kami kurniakan kepada mereka. Demi Allah! Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu ada-adakan secara dusta itu.} (Al-Nahl 16:56)

  1. Allah menyatakan antara kejahilan puak kafir yang syirik itu ialah memperuntukkan sebahagian harta dan rezeki yang Allah berikan kepada mereka; kepada berhala sembahan mereka yang tidak tahu apa keadaan & hakikat sebenarnya!! (yakni tak punya kuasa & lemah).
  2. Nota [549] Yakni untuk keperluan berhala-berhala pujaan mereka yang mereka tidak mengetahui keadaannya yang sebenar, bahawa ia tidak dapat memberikan sebarang faedah atau mendatangkan sesuatu mudarat kepada mereka.
  3. Allah gambarkan apabila seseorang itu tidak gunakan akalnyadan ikut wahyu maka akal itu akan digunakan untuk ikut nafsu- maka jadilah seperti golongan syirik itu!

Akalnya jadi mandul & tidak boleh nak berfikir akan kebatilan perbuatan mereka itu!

*Sembah batu kayu yang tidak bergerak atau haiwan yang tidak berakal dijadikan Tuhan!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-An’aam 6:136)
  2. Demi Allah- mereka semua akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat nanti akan segala perbuatan kufur, pembohongan dan pendustaan mereka terhadap Allah.

Allah akan ambil tindakan keras ke atas mereka kerana perbuatan itu!

  1. Itulah perangai bodoh & sesat puak kafir- mereka berikan bahagian daripada harta mereka yang rezeki dari Tuhan kepada berhala yang tidak tahu apa itu!

Seperti mengkususkan sebahagian tanaman & haiwan ternakan tertentu sebagai hak berhala!!!

  1. Manusia kafir hari ini ada juga yang begitu- berwasiat meninggalkan harta mereka untuk kucing dan anjing peliharaan mereka!

Kita orang Islam tidak perlu runsing bab harta pusaka- Allah s.w.t telah siapkan dan bahagikan bahagian para pewaris yang berhak melalui Faraidh.

  1. Samada kamu sempat atau tak sempat bahagikan sendiri harta pusaka- Allah telah tetapkan bahagian untuk suami/isteri, anak-anak & ibu bapa kamu- serahkan kepada Allah- insya’ Allah pewaris kamu tidak akan berkelahi.

Tetapi jika bahagikan sendiri di belakang- pasti akan timbul pertikaian & ketidak puashati para pewaris!

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ ٱلْبَنَٰتِ سُبْحَٰنَهُۥ ۙ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ ‎﴿٧٥﴾

Ayat 57- {Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).} (Al-Nahl 16:57)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas mereka berikan bahagian rezeki kepada berhala!

ii- dalam ayat ini mereka membuat pembahagian pula; bagi Tuhan anak perempuan dan bagi mereka anak lelaki!
Apa yang mereka tak mahu mereka beri kepada Tuhan!

  1. Yakni puak kafir mendakwa Tuhan ada anak perempuan & malaikat itu adalah anak perempuan Tuhan (ملائكة)!

Sedangkan mereka tak suka anak perempuan & anggapnya sebagai satu keaiban & beban!

  1. Maha Suci Allah daripada tuduhan jahat puak kafir!
    Orang yang berani membuat tohmahan & tuduhan jahat ke atas Tuhan- jahat sekali mereka!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat:
    i- {(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
    Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu – perempuan?
    Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
    “Allah beranak”; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!} (As-Saaffaat 37:152)

(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?
Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?
Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)? (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.} (As-Saaffaat 37: 153-157)

ii- {Patutkah tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuannya, dan Ia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?
Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa ia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.
Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?} (Az-Zukhruf 43: 16-18)

iii- {Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?
Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.} (An-Najm 53:22)

*Inilah perangai yang amat buruk- apa yang dia tidak mahu diberikan kepada orang lain!
Jika tak mahu tak perlu dibuang kepada orang lainlah!

  1. Nota [550] Demikian jahatnya pemikiran dan pertimbangan kaum Jahiliyah.

Perkara yang mereka tidak sukai, seperti anak-anak perempuan, mereka untukkan bagi Allah; dan perkara yang mereka sukai – seperti anak lelaki, mereka untukkan bagi diri mereka sendiri.

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِٱلْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ ‎﴿٨٥﴾‏

Ayat 58- {Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.} (Al-Nahl 16:58)

  1. Allah gambarkan dalam ayat ini bagaimana buruknya perangai puak kafir jahiliyyah itu.

Apabila salah seorang dari mereka menerima berita dapat anak perempuan- berubah wajah mereka menjadi marah & muram sepanjang hari kerana membencinya!

  1. Kata al-Wahidi, ulama’ tafsir menyatakan:
    i- Orang zaman jahiliyyah dulu- apabila waktu isterinya mahu melahirkan anak- mereka akan pergi bersembunyi di sesuatu tempat sehingga selesai lahir anaknya- apabila tiba berita yang lahir anak lelaki mereka melompat keluar berlari kembali ke rumah dengan gembira.

ii- Tetapi apabila puak kafir menerima khabar bahawa isteri mereka telah melahirkan anak perempuan- berubah wajah mereka menjadi hitam dengan penuh kemarahan dan kebencian kerana malu kepada masyarakat yang menganggap anak perempuan adalah satu beban yang tidak bernilai & membawa aib.

يَتَوَٰرَىٰ مِنَ ٱلْقَوْمِ مِن سُوٓءِ مَا بُشِّرَ بِهِۦٓ ۚ أَيُمْسِكُهُۥ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُۥ فِى ٱلتُّرَابِ ۗ أَلَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ ‎﴿٩٥﴾

Ayat 59- {Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-Nahl 16:59)

  1. Mereka terus bersembunyi dari orang ramai disebabkan berita buruk yang disampaikan kepadanya iaitu dapat anak perempuan!
  2. Sambil dia terus melayan fikiran buruknya dengan panduan syaitan; memikirkan apa yang akan dibuat dengan anak perempuan itu:

i- apakah dia akan membela anak itu dan menanggung aib & kehinaan dalam hidupnya;

ii- atau menanam anak itu hidup-hidup.
Selesai masalah dan tidak dianggap jenayah & kejahatan di kalangan mereka pada waktu itu!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat:
    {Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -Dengan dosa apakah ia dibunuh?} (At-Takwiir 81: 8-9)
  2. Allah nyatakan amat buruk & keji sekali perbuatan mereka itu!
  3. Nota [551]- Menurut adat kaum Jahiliyah, mereka benci kepada anak-anak perempuan kerana dipandang hanya menjadi beban sahaja.

Mereka pula suka kepada anak lelaki kerana ia dapat dan dapat pula membela keluarganya dari serangan musuh.

*Peringatan: Maka jangan sesekali kita nisbahkan diri kita dengan zaman jahiliyyah ini, zaman yang gelap tiada tamadun & kemanusiaan berada diperingkat paling bawahnya- pakej lengkap dengan minum arak, judi, membunuh, zina dan lain-lain kejahatan.

  1. Manusia zaman jahiliyyah hanya buang & bunuh anak perempuan- tetapi manusia jahil zaman kita ini pula tak kira anak perempuan atau lelaki hasil luar nikah- semuanya dibuang campak merata tempat!!!

لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ مَثَلُ ٱلسَّوْءِ ۖ وَلِلَّهِ ٱلْمَثَلُ ٱلْأَعْلَىٰ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ‎﴿٠٦﴾

Ayat 60- {Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Nahl 16:60)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah nyatakan puak kafir itu bercakap benda karut-marut, buat tuduhan ke atas Allah;

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa mereka itu adalah orang buruk lagi jelek perangai mereka.

  1. Kepada puak kafir yang tidak beriman kepada Allah & hari Kiamat itu Allah buat satu bandingan yang cukup aib, keji & penuh kehinaan.
  2. Nota [552]- yakni sifat-sifat kelemahan yang berhajat kepada pertolongan dan pembelaan juga sifat kedekut yang melampau.
  3. Bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; iaitu Allah mempunyai sifat yang baik, sifat yang sempurna, sifat yang penuh hikmah & kebijaksanaan.

Serta bersihnya Allah dari sifat lemah seperti makhluk iaitu mempunyai anak, samada lelaki atau perempuan!

Allah-lah pemilik sifat yang sempurna dari segala sudut.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat:
    {Dan bagi-Nyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Ar-Ruum 30:27)
  2. Di akhir ayat Allah tegaskan bahawa:
    i- Dia-lah jua Yang Maha Kuasa, iaitu yang menguasai segala sesuatu, semua perkara di bawah kekuasaan Allah!

ii- lagi Maha Bijaksana- bijak dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, tiada kepincangan & tiada kesalahan dalam pentadbiran-Nya yang Maha Mulia.

  1. Nota [553]- Kerana Allah jua Maha Kaya, tidak berhajat kepada sesuatu apapun, Maha Sempurna dan Maha Suci daripada segala sifat kekurangan.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 56- {Dan mereka (yang musyrik itu) menentukan untuk keperluan benda-benda yang mereka tidak mengetahui hal keadaannya,..}– puak kafir membahagikan harta yang diberikan Allah, memberi bahagian kepada berhala yang tidak tahu apa- tidak bergerak tidak ada kuasa!

Amat buruk sekali perbuatan bodoh mereka itu!

Kata ulama’ tafsir: Ada sebahagian manusia hari ini yang bernazar untuk menyembelih haiwan dikubur para wali bagi meminta hajat mereka- walaupun dia sembelih sambil menyebut nama Allah (Bismillah) tetapi niat dia sebenarnya adalah sembelih untuk wali dalam kubur itu.

Perangai ini tidak jauh bezanya dengan puak kafir jahiliyyah yang menyembelih untuk berhala mereka!

Kisah menarik dari Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi , suatu kisah di suatu tempat di Mesir sewaktu dia masih belajar dulu:

i- apabila tiba waktu Raya Korban dia cadang kepada tok Syeikh dia untuk kempen kepada penduduk untuk korban Idil-Adha.
Tapi Syeikh kat kamu tak faham, mana oleh kerana orang kampung tak ada duit kononnya.

ii- Dr Yusuf kemudian mengingatkan Syeikh itu betapa orang ramai menyembelih haiwan, bernazar di kubur Badawi yang dianggap keramat di kawasan mereka itu boleh pula dilakukan dengan banyaknya!

*Akhirnya dia dihalau keluar dari kelasnya kerana dianggap pengacau dan memberi cadangan yang yang tak boleh mereka terima!

  • Baca buku Sunnah Dan Bid’ah.

Begitulah kempen yang Sunnah tak boleh walaupun hanya cadangan!

  1. Ayat 57- {Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).}– puak kafir ini jahat mereka beri kepada Tuhan apa yang mereka tak nak iaitu anak perempuan- anak lelaki mereka nak pula!

Allah gambarkan betapa buruknya perangai puak kafir ini yang membuat pembahagian yang tak adil & yang sesekali tak betul.

Yakni kita ni jika ada benda yang kita tak suka jangan dok beri kepada orang!

Tak suka kita jangan ambil benda itu, ini tidak ambil kemudian nak beri kepada orang pula!

Begitu juga orang yang ambil tuduhan yang tak baik kita tempelkan atas kepala orang lain!
Dua kali kejahatan dia buat!

Begitulah pembahagian yang buruk ini banyak masalahnya!

Maka jangan kita Cari masalah yang buruk tetapi kita cari yang baik.

Begitulah perangai buruk kafir; jangan kita biarkan sifat ini berleluasa dalam masyarakat kita!

  1. Ayat 58- {Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.}– apabila dapat anak perempuan mereka amat dukacita marah dan tidak puas hati!

Marah mengatakan isteri mereka tak pandai beranak!

Allah gambarkan betapa wajah mereka berubah menjadi muram & gelap { ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّۭا}- yakni pada siang atau tengah hari wajahnya gelap kemarahan.

Mereka juga bersembunyi tak mahu jumpa orang {يَتَوَٰرَىٰ} kerana mereka malu dapat anak perempuan- anggap isterinya tak pandai beranak!

Kemudian dia dok berfikir apa yang patut dibuatnya- jika simpan akan malu & aib atau nak senang cerita terus ditanam dalam tanah anak perempuan itu!!!

Kata ulama’:
i- jahiliyyah zaman Fir’aun di bunuh anak-anak lelaki bani Israil;

ii- jahiliyyah zaman Abu Jahal- musyrikin Makkah membunuh anak-anak perempuan;

iii- jahiliyyah di akhir zaman ini orang membunuh anak tak kira lelaki atau perempuan untuk menutup aib dosa.

Sentiasa berdoa kepada Allah agar anak cucu zuriat kita, para pelajar kita agar tidak terjebak dengan budaya mungkar, berkapel, maksiat zina, perbuatan mungkar dan keji sehingga membawa masuk dalam keluarga keturunan yang tidak sah!

Antara tanda akhir zaman & Kiamat ialah berlaku banyaknya pembunuhan sehinggakan si pembunuh tak tahu kenapa dia membunuh!!!!
Kita jaga diri kita, jaga anak kita, jaga mulut jaga lidah jangan sampai kerana celupar mulut kita menyesal!
Banyak berdoa jangan banyak mengata orang!

  1. Ayat 60- {… dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}-
    Allah membuat perbandingan bahawa bagi Allah jualah sifat yang tertinggi!

Di sini Allah letakkan misal perbandingan kepada diri-Nya sendiri!

Manakala dalam ayat 74 nanti Allah kata:
{Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah.} (Al-Nahl 16:74)
Bagaimana ini??

Kata ulama’ ia tidak bercanggah kerana:
i- perbandingan yang Allah buat untuk Zat diri-Nya sendiri dan contoh bagi sifat-Nya adalah benar & mulia semuanya!

ii- tetapi perbandingan yang kafir kata & tuduh Allah itu semua batil & tidak benar!

Mereka kata Allah ada anak perempuanlah dan macam-macam.

Bagi Allah sifat yang sempurna dan tinggi tidak terhad kepada 20 atau berapa saja!

  1. Ayat 60- {… dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}– semua perkara yang bercanggah seperti sifat aib, lemah, buta, tuli, mengantuk tidur- semuanya ternafi dari Zat Allah yang mulia.

Kerana Allah telah meletakkan perbandingan & hadnya iaitu bagi Allah sifat Yang Maha Tinggi.

Maka kita ingatlah:
i- segala sifat yang sempurna itu bagi Allah – manakala;

ii- segala kekurangan itu adalah sifat bagi makhluk yang wajib kita jauhkan dari Allah s.w.t!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 06/05/2026 / 18 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=945131971670657&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top