View Categories

(5) Surah Al-Israa’: Ayat 12-15

16 min read

♥ Live Kuliah Pagi Khamis 11/06/2026 – 25 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (05) Ayat [12-15]♥

Full video: https://youtu.be/EFknYdZCPvM?si=78m1BBTV1MD_8mg5

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Isra’ dengan ayat 12 sehingga ayat 15 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan kepada kita tentang tanda-tanda nikmat Allah di atas dunia ini.
    Iaitu nikmat adanya malam dan siang, yang setiap perubahannya mengandungi tanda waktu dan jadual solat & ibadat bagi orang yang beriman.
    Ia adalah tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t.
  3. Kemudian ayat seterusnya menakutkan bagi orang yang beriman; Allah peringatkan lagi bahawa setiap orang akan menerima suratan amalan masing-masing yang akan dikalungkan dilehernya untuk dibaca sendiri.

Ia adalah mengikut apa amalannya atas dunia dulu- beriman atau kufur, jika beriman tetapi buat amalan atau dosa maksiat akan celaka juga!

*Kata DDAAM: Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak- kita sendirilah penulisnya!

Kamu buat baik akan tertulis perkara yang baik, kamu buat jahat akan tertulislah yang jahat & buruk!
Tak akan boleh diubah atau ditukar lagi walaupun cuba mencari alasan.

  1. Kemudian Allah tegaskan bahawa setiap manusia akan menanggung dosa masing-masing di Akhirat kelak.

Kecuali dosa berkait- yang menganjur atau menggalak dosa itu akan dapat juga dosanya manakala yang buat itu pastilah akan berdosa juga- bukan kata dia lepas!

Begitulah kita akan berhadapan bala besar di Akhirat kelak jika buat dosa & maksiat.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang nikmat-nikmat yang banyak serta nikmat hidayah dengan turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk ke jalan yang benar dan lurus, jalan yang diredhai Allah.
Ini manfaat untuk dunia & Akhirat.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tanda-tanda Allah bagi manfaat dunia untuk manusia.

Dengan bersilih-ganti siang malam kita tahu pertukaran dan bilangan hari, minggu, bulan & tahun.

Ia juga sebagai penanda ibadat kita seperti solat, puasa & haji.

Manusia juga silih berganti apabila ada yang mati ada juga yang baru lahir.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ آيَتَيْنِ ۖ فَمَحَوْنَا آيَةَ اللَّيْلِ وَجَعَلْنَا آيَةَ النَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ فَصَّلْنَاهُ تَفْصِيلًا ‎﴿٢١﴾

Ayat 12- {Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.} (Al-Israa’ 17:12)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia jadikan dengan kekuasaan & keagungan-Nya, perselisihan malam dan siang itu dua tanda yang membuktikan wujud Allah & sempurna kekuasaan-Nya.

Tanda malam itu gelap gelita & tanda siang itu pula terang benderang!

  1. Ia adalah menunjukkan sempurnanya kuasa & satu nikmat yang besar kepada manusia yang tidak dirasai & dihargai dengan sewajarnya!

Ini adalah nikmat untuk faedah dunia bagi manusia menjalani kehidupannya.

  1. Nota [611] Kemudian Allah Ta’ala menerangkan setengah daripada cara-cara hidayah petunjuk di dalam Al-Qur’an iaitu menarik perhatian kepada tanda-tanda yang terdapat di alam langit meliputi pertukaran malam dan siang, yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Alah ‘Azza wa Jalla Pencipta seluruh alam.
  2. Kata al-Qurtubi: Tanda keagungan Allah malam & siang ini:

i- kadang-kadang kita tak perasan pun pertukaran malam & siang yang berlaku, waktu yang berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.
Malam datang tanpa kita sedari dan ke mana ia pergi pun kita tidak tahu.

ii- Malam & siang juga berubah tempohnya dengan perubahan musim.
Jika musim panas (summer) siang lebih panjang malam lebih pendek manakala pada musim sejuk (winter) adalah sebaliknya!

  1. Kemudian Allah nyatakan antara kejadian alam ini yang bertepatan dengan kajian ilmu sains.

Allah jadikan malam itu gelap dengan dihapuskan cahaya dari bulan yakni bulan itu bukan bercahaya.

  1. Kata ulama’ Ibnu Kathir rhm:
    i- Allah jadikan tanda bagi malam itu dengan menjadi gelap, keluarnya bulan & bintang.

ii- siang pula dengan keluarnya matahari yang cerah bercahaya- terang benderang.

  1. Ulama’ tafsir membincangkan tentang maksud firman Allah {Kami padamkan- فَمَحَوْنَآ} cahaya malam atau bulan ini:

i- ada ulama’ berpendapat asalnya kedua-dua bulan & matahari ada cahaya.

Kemudian Allah padamkan cahaya bulan dan hanya menumpang pantulan cahaya matahari kerana nak menjadikan malam gelap.

ii- ada ulama’ kata tidak- bulan itu dari asalnya bukan objek yang bercahaya, ia hanya mempunyai nur yang merupakan pantulan cahaya daripada matahari!

*Begitu menarik sekali perbincangan dalam ilmu falak & sains ini yang menunjukkan kehebatan ciptaan Allah s.w.t!

  1. Allah nyatakan antara objektif dijadikan dan kelebihan siang & malam itu:

i- agar mudah kita mencari rezeki pada waktu siang yang cerah itu.

ii- untuk kita tahu peredaran waktu dan bilangan hari, bulan & tahun.
Lalu senang untuk kita berjanji, menandakan sesuatu waktu & yang penting sekali untuk mengetahui perjalanan ibadat kita!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.} (Al-Qasas 28:73)
  2. Allah nyatakan dalam al-Quran ini satu penjelasan yang terang-jelas tentang perjalanan agama & hidup kamu yang tidak ada sebarang keraguan & kekurangan.

وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ ۖ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا ‎﴿٣١﴾

Ayat 13- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).} (Al-Israa’ 17:13)

  1. Munasabah ayat ini:
    i- dalam ayat lepas Allah kata Dia huraikan satu persatu apa yang ada dalam kehidupan kamu.

ii- maka datang ayat ini Allah peringatkan semua perbuatan kamu atas dunia ini yang baik atau buruk semuanya akan dicatat dan akan dibentangkan kepada kamu di Akhirat kelak untuk kamu baca kamu teliti & mengetahui apakah hukuman yang akan dikenakan ke atas kamu!!

  1. Maka jangan sesekali kamu berani buat maksiat, derhaka kepada Allah, buat perkara yang karut- kerana semua itu akan dibentangkan di hadapan Allah dan di persoalkan di hadapan semua orang di Akhirat kelak!

Di mana kita nak sembunyikan muka kita, di mana lagi kita nak lari menyorok pada hari itu!!!

Jika dengan hati kita tak gementar tak takut juga; maka kamu kena cari hati lain kerana hati yang ada sudah mati!!!!

  1. Allah tegaskan bahawa suratan amalan itu akan digantung dileher setiap manusia untuk dibacanya sendiri, tidak akan ada yang terlepas dari melihat & membacanya sendiri kerana:

i- ia tergantung dileher masing-masing- tidak akan terlepas darinya!

ii- ianya juga akan didapatinya terbuka untuk di tatapnya- tidak dapat tidak wajib akan dilihat & dibacanya!

  1. Banyak sekali ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan akan hal ini, antaranya:
    i- {“Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan”.} (At-Tuur 52:16)

ii- {Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.} (Fussilat 41:46)

iii- {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} (Az-Zalzalah 99: 7-8)

  1. Ayat ini adalah antara ayat yang menjadi tangisan orang soleh (مبكاة الصالحين)- yang dapat menginsafkan kita, menakutkan kita dari terlibat dalam apa saja yang boleh membawa dosa & kemurkaan Allah!
  2. Sebagaimana firman Allah lagi:
    {Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)
  3. Nota [612] Setelah Allah Ta’ala menerangkan dalam ayat-ayat yang lalu tentang kitab suci Al-Qur’an yang menjelaskan satu persatu amal-amal yang baik dan yang jahat, lalu diterangkan dalam ayat ini tentang “Kitab Manusia” atau “Suratan Amalnya” yang tertulis di dalamnya segala perkara yang dilakukannya sendiri, samada amal baik atau jahat.

Amalnya itulah yang menentukan ikhtiarnya sendiri.
Jika baik amalnya maka selamatlah dia di dunia dan akhirat, dan jika jahat amalnya maka celakalah dia dunia akhirat.

Amalnya dan nasibnya diibaratkan sebagai benda yang dikalungkan di lehernya yang tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, kerana dialah sendiri yang bertanggungjawab terhadapnya.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, – Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.} (Al-Insyiqaaq 84: 7-9)

ii- {Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.} (Al-Insyiqaaq 84: 10-12)

  1. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w bahawa pertanyaan malaikat itu saja pun sudah menjadi satu azab!

Bagi orang beriman yang beramal soleh Allah akan berikan satu hisab yang mudah.

Sentiasalah kita berdoa:
اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرًا-
“Ya Allah, hisablah aku dengan hisab yang mudah.”

Ya Allah permudahkan hisab kami di Akhirat kelak, jadikan kami orang yang menerima hisabnya dengan tangan kanan dan taufiqkan untuk beramal soleh & menjadi ahli syurga-Mu.

Ayat 14- {(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.} (Al-Israa’ 17:14)

  1. Kemudian diperintahkan kepada mereka setelah menerima kitab amalan itu untuk membacanya sendiri!

Akan dikatakan kepada setipa orang: Lihat dan bacalah apa yang telah kamu buat atas dunia dulu!

  1. Allah tegaskan bahawa cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu tentang segala yang telah engkau lakukan”.
  2. Yakni setiap orang sudah tahu apakah nasibnya apabila melihat kitabnya itu!

Mereka juga tahu apa yang telah mereka lakukan di dunia dulu!

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا ‎﴿٤١﴾

Ayat 15- {Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Israa’ 17:15)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah kata bahawa setiap orang akan digantung dilehernya suratan amalannya!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan kamu nak jadi baik ikutlah petunjuk al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w. dan kamu akan dapat balasan yang baik.

Manakala sesiapa yang buat buruk maka buruklah akibatnya di Akhirat kelak!

  1. Kemudian Allah beri jaminan bahawa setiap individu akan menanggung dosanya sendiri, dosa masing-masing. Inilah jaminan & keadilan Allah!
  2. Kecuali dosa berkait sebagaimana yang dikatakan sebelum ini:

i- penganjur atau penaja maksiat. Walaupun dia duduk di masjid orang lain yang melompat buat maksiat dia tetap sharenya!
Dosa penganjur penyebab maksiat tetap naik atas kepalanya.

ii- orang yang bertanggung-jawab seperti bapa atau suami sebagai ketua keluarga- jika tak ajar, tegur atau larang mereka yang di bawah tanggungnya akan mendapat juga share dosa itu tetapi pelakunya tetap dapat dosa bukan kata terelepas kerana telah ditanggung.

  1. Nota [613] Orang yang mendapat hidayah petunjuk lalu mematuhi perintah Allah dan Rasu-lNya maka kesudahannya yang baik hanya terpulang kepada dirinya sendiri.

Sebaliknya orang yang menyeleweng dari jalan yang benar itu, maka akibatnya yang buruk hanya akan menimpa dirinya sendiri.

Allah Maha Adil dan kerana itulah dosa seseorang tidak dapat dipikul oleh orang lain, masing-masing bertanggungjawab.

Demikian juga Allah tidak mengazabkan sesuatu umat sebelum diutuskan seorang Rasul yang menerangkan kepada mereka:
perkara yang benar dan perkara yang salah.

Pada masa yang lalu, Rasul-rasul diutus kepada umat masing-masing, tetapi selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w – Rasul yang akhir sekali – telah diutus kepada umat manusia seluruhnya.

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 12- {Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami),…}– malam & siang sebagai dua tanda keagungan Allah s.w.t!

Kata ulama’ as-Sayuti: Ayat ini menjadi asas kepada ilmu perbincangan waktu, ilmu sejarah & ilmu tauhid tentang keagungan Allah s.w.t.

kerana itu antara ilmu yang kita kena belajar ilmu falak supaya kita tahu bilangan hari, tahun & bulan untuk urusan dunia seperti bayar hutang orang, terima gaji dan lain-lain dan waktu untuk ibadat bagi urusan Akhirat.

Allah nyatakan malam menjadi gelap apabila hilang cahaya matahari.

Dalam ayat ini Allah mulakan dengan sebut malam dulu kerana asalnya dunia ini gelap kemudian menjadi cerah dengan datangnya matahari!

  1. Ayat 12- {… dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.}-

Allah nyatakan setiap perkara yang diperlukan oleh manusia Allah detailkan di dalam al-Quran, dihuraikan oleh hadis-hadis Nabi s.a.w & diperincikan oleh para ulama’ Islam melalui ijtihad mereka yang dipanggil qiyas.

Dalam ayat ini Allah kumpulkan perkara yang boleh memberi ketenangan dan asas kebahagaian atas dunia ini:

i- kita kena kuat beramal- kamu kena keluar cari rezeki bukan hanya menganggur tunggu rezeki datang bergolek.

ii- setelah berusaha kita kena redha dengan ketentuan Allah!
Orang yang redha dengan ketentuan Allah akan tenang tetapi kena usaha dulu jangan malas kerana kita tak tahu rezeki kita banyak mana.

iii- apabila kita berkerja kerana Allah- hidup kita akan tenang kerana kita tidak akan tamak, tidak dengki dan hasad kepada orang lain.

Ayat ini menjadi usul atau asas kepada kebahagiaan – semua yang kita belajar tentang aqidah, adab, akhlak itu semua memberi ketenangan dalam tanda-tanda bersilih gantinya malam & siang yang Allah telah detailkan hikmahnya kepada kita.

Allah kata Aku telah jelaskan kepada kamu- maka apabila kita tahu kita akan redha & tenang!

  1. Ayat 13- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya…}– yakni setiap orang akan menerima suratan amalan masing-masing di Akhirat kelak.

Suratan amalan ini pula tak tercabut atau disembunyikan lagi- telah dikalungkan di lehernya serta terbuka terdedah sedia untuk dibaca!

Kata ulama’ tadabbur: Maka apabila manusia tahu jika mereka buat baik mereka akan mendapat ganjaran pahalanya – mereka akan berlumba-lumba untuk buat kebaikan.

Bika kita tahu buat baik seperti untuk dapat pahala kita akan bertambah semangat untuk melakukannya kerana kita tahu bak kata AAM:

“Kain kafan untuk kita masuk kubur nanti tak ada poket untuk kita bawa duit!
Tetapi kita boleh hantar duit kita itu melalui tabung infaq dan derma semasa kita masih hidup ini”!

Juga bila manusia tahu mereka akan terima suratan di Akhirat kelak – orang tak akan berani lagi nak buat dosa maksiat.

Kenapa Tuhan kata suratan itu digantung dileher?

Kata ulama’: Kerana ia tidak akan dapat dicabut & disembunyikan lagi- tidak akan terlepas darinya segalanya telus & jelas- catatan itu tidak akan hilang, tersembunyi atau rosak sesekali.

Orang beriman apabila membaca ayat ini akan makin kuat keimanannya, makin bertaqwa dan takut kepada Allah, makin rajin buat ibadat & makin tidak berani melakukan kejahatan dan kemungkaran.

  1. Ayat 14- {(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu…}-

Allah kata kamu bacalah sendiri suratan amalan kamu itu & cukuplah kamu sendiri menjadi saksi akannya!

Dalam ayat ini Allah kata cukuplah kamu sendiri yang membaca dan menjadi saksinya!

Manakala dalam ayat lain Allah berfirman:
{… dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa’ 21:47)

Maka persoalannya apaka dua ayat ini kontra?
Kata ulama’: Tidak kontra sesekali!

Ini menunjukkan di Akhirat kelak ada banyak tempat atau beberapa stesen- ada tempat kamu terima surat itu dan membacanya sendiri, ada tempat malaikat yang membaca rekod itu pula dan membuat pertuduhannya!

Sama seperti orang pergi ke mahkamah, ada tempat orang baca sendiri surat saman, kemudian pertuduhan atau pendakwaan dibaca oleh kerani, kemudian dalam mahkamah dibaca oleh pendakwaraya di hadapan hakim pula dan seterusnya.
Yakni ia ada peringkat & tahapnya ikut keadaan.

Apa yang penting samada kita baca sendiri atau malaikat yang bacanya; kita mahu biarlah rekod kita bersih daripada dosa dan maksiat!!

Biarlah suratan amalan kita hanya mengandungi kebaikan dan kebajikan saja!

Hadis kisah bitoqah (kad) riwayat Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

إنَّ اللَّهَ سيُخَلِّصُ رجلًا من أمَّتي على رؤوسِ الخلائقِ يومَ القيامةِ فينشُرُ علَيهِ تسعةً وتسعينَ سِجِلًّا، كلُّ سِجِلٍّ مثلُ مدِّ البصرِ ثمَّ يقولُ: أتنكرُ من هذا شيئًا؟ أظلمَكَ كَتَبَتِيْ الحافِظونَ ؟يقولُ: لا يا ربِّ، فيقولُ: أفلَكَ عذرٌ؟ فيقولُ: لا يا ربِّ، فيقولُ: بلَى، إنَّ لَك عِندَنا حسنةً، وإنَّهُ لا ظُلمَ عليكَ اليومَ، فيخرجُ بطاقةً فيها أشهدُ أن لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وأشهدُ أنَّ محمَّدًا عبدُهُ ورسولُهُ، فيقولُ: احضُر وزنَكَ فيقولُ يا ربِّ، ما هذِهِ البطاقةُ مع هذِهِ السِّجلَّاتِ؟ فقالَ: فإنَّكَ لا تُظلَمُ، قالَ: فتوضَعُ السِّجلَّاتُ في كفَّةٍ، والبطاقةُ في كفَّةٍ فَطَاشَتِ السِّجلَّاتُ وثقُلتِ البطاقةُ، ولا يثقلُ معَ اسمِ اللَّهِ شيءٌ

“Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan seorang lelaki dari kalangan umatku di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat.
Kemudian, akan dibentangkan kepadanya 99 catatan amalnya, setiap satu catatan itu sejauh mata memandang.

Allah akan bertanya kepadanya: “Adakah engkau mengingkari sesuatu catitan yang ada ini?
Adakah para malaikat pencatat amal telah menzalimi engkau?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak, wahai Tuhanku.”

Allah bertanya lagi: “Adakah engkau mempunyai alasan (untuk membela diri)?” Lelaki itu berkata: “Tidak, wahai Tuhanku.”

Lalu Allah berfirman: “Sebenarnya, engkau masih mempunyai satu kebaikan di sisi Kami. Dan pada hari ini, engkau tidak akan dizalimi.”

Maka, dikeluarkan sehelai kad kecil (bitoqah) yang tertulis padanya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”

Allah memerintahkan: “Hadapkan timbangannya!”
Lelaki itu berkata: “Wahai Tuhanku, apakah nilai kad ini dibandingkan dengan semua catatan ini?”

Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau tidak akan dizalimi.”

Lalu, catatan-catatan amal buruk diletakkan di satu timbangan, dan kad kecil itu diletakkan di timbangan yang satu lagi.

Maka, sebelah timbangan catatan-catatan kejahatan menjadi ringan, dan sebelah kad itu menjadi berat.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Dan tiada sesuatu yang lebih berat daripada nama Allah (kalimah tauhid).” [HR at-Tirmizi & Ahmad].

Ya Allah sembunyikan segala dosa kesalahan kami semasa di dunia & hapuskannya semua semasa di Akhirat!

  1. Ayat 15- {Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.}– siapa mendapat petunjuk selamatlah dia, siapa yang sesat celakalah dia!

Juga setiap orang tidak akan menanggung dosa orang lain kecuali dosa bersebab (seperti yang telah dijelaskan di atas).

Yakni di akhir ayat Allah kata:
i- siapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri,
ii- dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.

iii- Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain kecuali dosa bersebab.

Penganjur atau penaja maksiat akan menanggung juga orang yang buat maksiat kerana sebabnya.

Firman Allah s.w.t:
{Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.} (Faatir 35:18)

Tetapi ingat baik-baik- Allah s.w.t juga telah berfirman:
{(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.} (Al-Nahl 16:25)

*Seperti orang yang amal ajaran sesat kemudian dia menyesatkan orang lain pula, dosa dia sendiri sesat dia tanggung kemudian dosa orang lain yang sesat akibatnya dia tanggung juga!

Kesimpulannya:
i- dosa peribadi nafsi-nafsi
ii- dosa yang berkait atau penyebab maksiat akan mendapat tempiasnya juga!

Akhirnya Allah juga beri jaminan bahawa manusia itu tidak akan diazab kecuali setelah diutuskan seorang Rasul untuk menerangkan yang benar dan yang salah.

Jadi Rasul sudah datang, al-Quran sudah turun, Sunnah Nabi s.a.w sudah ada- tak mahu ikut juga maka memang cari pasal nasib celaka!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga
mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 11/06/2026 – 25 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=975969338586920&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top