View Categories

(36) Surah An-Nahl: Ayat 124-128

17 min read

Keadaan Hari Sabtu, Berdakwah Dengan Hikmah & Sabar Dan Memaafkan

Live Pagi Khamis 04/06/2026 / 18 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (36) Ayat [124-128]

Full video: https://youtu.be/G_FLlqFZL5k?si=fUuPf5B5bq-4gK0X

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri terakhir tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 124 sehingga ayat yang terakhir iaitu ayat ke-128 iaitu ayat terakhir dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri dan ayat-ayat terakhir ini Allah s.w.t nyatakan keadaan orang yahudi yang membesarkan hari Sabtu, kemudian mereka sendiri yang kacaunya dengan memutar-belit, guna helah untuk menghalalkan perbuatan mereka yang haram.

Kita jangan tiru perbuatan begini, berselindung di sebalik pelbagai helah.

  1. Allah ajar untuk berdakwah dengan 3 cara iaitu secara hikmah, menasihat dengan cara yang baik dan berdebat atau berhujjah dengan cara yang baik juga.
  2. Kemudian Allah nyatakan jika dizalimi kita boleh membalas seumpamanya tetapi jika kita bersabar dan memaafkan itu adalah lebih baik. Kita sabar atas dunia nanti di Akhirat kita jumpa & berhitung!

*Allah sukakan orang yang bertaqwa & orang-orang yang baik- semoga kita termasuk dalam golongan ini!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang arahan untuk mengikut agama bawaan datuk kita dulu iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Ini kerana agama bawaan Ibrahim adalah Islam sama seperti agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Kemudian Allah tegur yahudi yang keras kepala dakwa ikut agama Nabi Ibrahim tetapi mereka tidak tauhid kepada Allah.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa hari Sabtu adalah hari kebesaran untuk yahudi berehat tak boleh bekerja dan sebagai hari beribadat.

Ini sebagai hukuman kerana mereka berselisih tentangnya; maka Allah jatuhkan hukuman yang keras ke atas mereka!

  1. Nota [598] Hari Sabtu adalah hari kelepasan bagi orang-orang Yahudi, sebagaimana hari Ahad menjadi hari kelepasan bagi orang-orang Kristian.

Adapun kita umat Muhammad s.a.w, dikehendaki menghormati hari Juma’at.

  1. Hadis dari Abu Hurairah R.A katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat.

Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka.

Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat.

Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita.
Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani”.
[HR Bukhari & Muslim].

  1. Daripada Abu Hurairah dan Huzaifah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Allah telah menyesatkan umat-umat sebelum kita daripada hari Jumaat.
    Bagi kaum Yahudi hari Sabtu, dan bagi kaum Nasrani hari Ahad.
    Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi petunjuk kepada kita pada hari Jumaat.

Maka Allah menjadikan hari (Jumaat) itu untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

Mereka sentiasa mengikut kita di belakang (pada hari kiamat kelak).

Kita adalah yang terakhir di dunia ini, tetapi yang pertama pada hari kiamat.” (HR Muslim)

*Kita berharap pemerintah dalam negara kita tetapkanlah hari Jumaat sebagai hari kebesaran dan cuti mingguan bagi umat Islam, jangan tiru ambil hari puak lain itu!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّمَا جُعِلَ السَّبْتُ عَلَى الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ‎﴿٤٢١

Ayat 124- {Sesungguhnya hari Sabtu itu dijadikan (Hari kelepasan yang wajib dihormati) atas orang-orang (Yahudi) yang telah berselisihan padanya; dan sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat, tentang apa yang mereka telah berselisihan padanya.} (Al-Nahl 16:124)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa hari Sabtu telah dijadikan sebagai satu Hari kelepasan yang wajib dihormati atas orang-orang Yahudi.
  2. Nota [598] Hari Sabtu adalah hari kelepasan bagi orang-orang Yahudi, sebagaimana hari Ahad menjadi hari kelepasan bagi orang-orang Kristian.
    Adapun kita umat Muhammad s.a.w, dikehendaki menghormati hari Juma’at.
  3. Hadis dari Abu Hurairah R.A katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat.
Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat.
Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. [HR Bukhari & Muslim].

  1. Daripada Abu Hurairah dan Huzaifah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Allah telah menyesatkan umat-umat sebelum kita daripada hari Jumaat. Bagi kaum Yahudi hari Sabtu, dan bagi kaum Nasrani hari Ahad.
    Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi petunjuk kepada kita pada hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari (Jumaat) itu untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.
    Mereka sentiasa mengikut kita di belakang (pada hari kiamat kelak). Kita adalah yang terakhir di dunia ini, tetapi yang pertama pada hari kiamat.” (HR Muslim).
  2. Allah akan jatuhkan hukuman ke atas puak yahudi yang berselisih tentang hari Sabtu itu.

Ada yang ambilnya & ikut perintah, ada yang berputar-belit mencari helah untuk mengelaknya- bermacam ragam mereka!

  1. [599] Yakni tentang perbuatan derhaka yang mereka lakukan dan penyelewengan mereka dari jalan yang benar.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ‎﴿٥٢١

Ayat 125- {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.} (Al-Nahl 16:125)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah suruh ikut agama Nabi Ibrahim a.s pasti ada yang terima ada yang tidak terima.

Yang tak terima ada 3 kategori, maka:
ii- dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w 3 cara untuk berdakwah iaitu dengan hikmah kebijaksanaan, dengan nasihat pengajaran yang baik dan hendaklah berbahas dengan cara yang baik juga.

  1. Nota [600] Setelah itu Allah Ta’ala menerangkan dalam ayat ini tentang cara dan tata-tertib dakwah Islamiyah, iaitu hendaklah dijalankan:

Pertama– dengan hikmah kebijaksanaan, yakni dengan penjelasan yang tepat dan betul, berdasarkan dalil dan bukti yang menerangkan kebenaran, dan menghapuskan kekeliruan.

Kedua– dengan nasihat pengajaran yang baik, yakni dengan pengajaran yang menarik dan dengan menyebutkan peristiwa-peristiwa yang mendatangkan iktibar, supaya mereka mematuhi perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Ketiga– hendaklah berbahas dengan golongan yang menentang dengan cara yang sebaik-baik, iaitu dengan lemah-lembut dan kata-kata yang baik, kerana cara yang demikian dapat melembutkan tentangan mereka.

*Jangan sesekali membodohkan orang, melabel letak gelaran ke atas orang- tak akan selesai dan tak berjaya masalahnya, bahkan makin jauh jurang perbezaan!

  1. Yakni Allah ajar dan perintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk berdakwah menyeru manusia kepada agama Tuhan kamu, kepada Al-Qur’an & Sunnah dengan dengan nasihat yang baik, yang boleh memberi kesan kepada jiwa mereka!

Jika mereka berkeras mahu lawan juga maka kita boleh berdebat dengan cara yang baik!

  1. Firman Allah s.w.t juga tentang cara berdebat dengan baik:
    {Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik.} (Al-‘Ankabuut 29:46) |
  2. Di akhir ayat Allah kata Dia tahu segalanya:
    i- akan orang yang sesat dari jalan-Nya, yakni Allah tahu siapa yang menyeleweng tersesat dari jalan & landasan yang benar, tersasar dari Siratul-mustaqim!

ii- dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

*Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang mendapat petunjuk.

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ ‎﴿٦٢١

Ayat 126- {Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.} (Al-Nahl 16:126)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah ajar kepada kita 3 uslub dakwah sebagaimana yang disebut tadi.

ii- datang ayat ini Allah suruh kita balas & jawab balik jika mereka hentam dan kutuk agama kita.

Mereka kata agama kita tak betul kita kena balas & lawan balik.
Kita balas ikut tahap perbuatannya!

  1. Yakni dalam ayat ini Allah ajar kepada kita jika kita mampu boleh kita nak balas perbuatan orang kepada kita- boleh balas tetapi ikut tahapnya!

Iaitu hukum qisas- kita balas sebagaimana yang orang buat ke atas kita- dia potong tangan kita potong tangan, dia cabut gigi kita cabut gigi!

  1. Tetapi Allah kata juga jika kamu mampu bersabar adalah lebih baik kamu (balasan di sisi Allah).

Tetapi masalahnya jika sabar tak melawan orang kata kita penakut pula dan orang akan hentam juga, kata tak berwibawa & penakut! Jika kita lawan orang kata kita gedebe pula!

  1. Tetapi kita jangan jawab balik seperti apa yang mereka hentam dan kata buruk kepada kita.

Kerana dengan begitu tidak akan selesai masalah dengan cara itu!

Jangan kita perbesarkan benda yang kecil, ambil pendekatan yang baik, yang boleh menyelesaikan masalah.
Jangan jadikan habbah kepada kubah!

  1. Kerana itu Nabi s.a.w larang kita dari memaki mengata kepada ibu bapa kita sendiri:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ
أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ
قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr R.A ia berkata; Rasulullah S.A.W bersabda:
“Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?”
Baginda menjawab: “Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya.
Kemudian bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan membalas mencaci ibunya.” (HR Tirmizi No: 1824)

  1. Allah s.w.t juga melarang agar jangan cela tuhan orang lain kerana nanti kelak mereka akan cela Tuhan kita pula!

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: {Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.} (Al-An’aam 6:108)

  1. Ayat 126 ini mempunyai sebab nuzulnya:

i- Dari Ubay bin Ka’ab r.a menceritakan bahawa:
Pada waktu perang Uhud telah gugur enam puluh empat orang dari kaum Ansar dan enam orang dari kaum Muhajirin di antaranya Sayyidina Hamzah r.a.
Kesemuanya dirosak (dikelar) anggota badannya dengan kejam.

Berkatalah kaum Ansar:
“Jika kami memperoleh kemenangan kami akan berbuat lebih dari apa yang mereka lakukan”.

Ketika terjadi pembebasan kota Makkah (Fathu Makkah), turunlah ayat ini (surah An-Nahl ayat 126) yang melarang kaum Muslimin mengadakan pembalasan yang lebih kejam dan hendaknya bersabar. [HR at-Tirmizi].

ii- Rasulullah s.a.w juga melarang para sahabatnya pada Pembukaan Makkah:

كفُّوا عَنْ قُرَيْشٍ، فَقَدْ كَفَى قُرَيْشًا مَا جَاءَهَا…..

Maksudnya:
“Cukuplah daripada menyakiti/memerangi Quraisy, kerana penderitaan yang telah menimpa Quraisy sudah memadai (atau sudah cukup menyeksa mereka).” [HR at-Tirmizi & Ahmad].

Walaupun pengampunan diberikan secara umum, Nabi صلى الله عليه وسلم mengecualikan beberapa individu tertentu (dalam riwayat disebut empat lelaki dan dua wanita) yang jenayahnya terlalu berat seperti membunuh, murtad, dan menghina Islam secara melampau.

Mereka ini diperintahkan untuk dibunuh walaupun dijumpai berlindung di dalam Kaabah:

i- Ikrimah bin Abu Jahal (Beliau kemudian melarikan diri, dibawa balik ke Makkah oleh isterinya lalau memeluk Islam dengan ikhlas, dan menjadi sahabat yang hebat).

ii- Abdullah bin Khatal.
iii- Miqyas bin Subabah.
iv- Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarh.

(Dua lagi individu adalah hamba perempuan yang terlibat menghina Nabi s.a.w.

  1. Ayat ini menetapkan bahawa sekiranya umat Islam diserang atau dizalimi, mereka dibenarkan untuk membalas dengan kadar yang sama rata dan setimpal sebagaimana hukum qisas.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud
{… dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang.
Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.} (Al-Baqarah 2:194)

  1. Tetapi diakhir ayat Allah menyatakan: Walaupun dibenarkan untuk membalas, ayat ini diakhiri dengan peringatan bahawa jika tak balas lalu bersabar dan memaafkan adalah jauh lebih baik.
  2. Nota [601]- Yakni kalau kamu hendak membalas orang-orang yang telah menyakiti kamu, maka balaslah dengan adil dan jangan melampaui batas.

Dalam pada itu, jika kamu bersabar, maka yang demikian amatlah baiknya bagi kamu.

  1. Maka kita pun ambillah nasihat ini dengan memilih jalan yang kedua iaitu bersabar dan serahkan kepada Allah untuk membalasnya di Akhirat kelak!

Apa orang kata, tuduh-hentam & label ke atas kita, kita tunggu tindakan & balasan Allah saja ke atas mereka, tak padan kita nak saman menyaman atas dunia ini, habiskan masa & wang kita saja!
Lebih baik kita turun-naik tangga masjid daripada turun-naik tangga mahkamah!

Ya Allah jadikan kami dari kalangan orang yang sabar!

! اللَّهُمَّ اكْفِنَا شَرَّهُم بِمَا شِئْت-
ya Allah jagalah kami dari kejahatan mereka dengan apa yang Kamu mahu!

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ ‎﴿٧٢١﴾‏

Ayat 127- {Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.} (Al-Nahl 16:127)

  1. Munasabah ayat ini jelas:

i- apabila Allah kata kamu boleh pilih nak membalas dengan setimpal atau kamu mahu bersabar.

ii- maka datang ayat ini memilih untuk Rasulullah s.a.w agar bersabar terhadap karenah puak yang ingkar itu & kesabaran itu tidak akan terhasil kecuali dengan pertolongan Allah!

  1. Yakni Allah s.w.t memerintah Rasulullah s.a.w untuk bersabar terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu.

Sabar itu ada keadaan:
i- sabar dalam berdakwah- sabar untuk menyampaikan ilmu dan hukum-hakam.

ii- sabar atas ancaman yang diterima & tentangan terhadap dakwah itu pula!

*Sabar ini tidak akan terjadi tanpa pertolongan & taufiq dari Allah.

  1. Allah s.w.t juga berpesan kepada Nabi s.a.w:
    {Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.} (Al-Muzzammil 73:10)
  2. Allah s.w.t berpesan kepada Nabi s.a.w agar:
    i- janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka,
    ii- dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan!
  3. Maka jika sudah menyampaikan tak perlu sedih dan dukacita sebab kedegilan mereka- sudahlah tak dengar mereka lawan pula kita dengan pelbagai tuduhan & tipu-daya- kita jangan jadikan semua ini sebagai penghalang.
  4. Tugas kita berdakwah menyampaikan dakwah dengan penuh ikhlas & kasih-sayang.

Tanggung-jawab kita sudah selesai, itu salah mereka yang degil tidak menerimanya!

  1. Contoh- para anak murid DDAAM jika sudah istiqomah ikuti kuliah kita- dengarlah nasihat & larangan tertutama dalam bab rokok!

Tinggalkanlah rokok yang memberi mudharat dan tiada faedah lansung itu!

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ ‎﴿٨٢١﴾‏

Ayat 128- {Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.} (Al-Nahl 16:128)

  1. Allah tutup surah ini dengan cukup menarik- Allah mengatakan bahawa sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa & berusaha untuk meperbaiki amalannya!
  2. Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang bertaqwa dan orang baik yang taat ikut kepada perintah Allah!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 124- {Sesungguhnya hari Sabtu itu dijadikan (Hari kelepasan yang wajib dihormati) atas orang-orang (Yahudi) yang telah berselisihan padanya;…}
    Allah kata hari Sabtu adalah ujian Allah ke atas yahudi.

Di mana ia menyebabkan mereka berbalah sesama mereka; nak ambil atau tidak, nak hormat atau tidak!

Akhirnya mereka guna jalan helah untuk menghalalkan apa yang Allah haramkan ke atas mereka!

Kerana itu kata ulama’ tadabbur kita orang Islam jangan guna helah dalam perbuatan kita!

Dalam urusan kita hari ini pun banyak terjadi beberapa pihak yang cuba menggunakan helah untuk menghalalkan perniagaan & pelaburan mereka!

Terutama dalam produk kewangan banyak tersembunyi cara helah ini seperti kad kredit, plan-plan pinjaman dan seumpamanya!

Pihak yang dilantik menjadi panel-panel Syari’ah berhati-hatilah jangan bermudah-mudah untuk meluluskan sesuatu produk tanpa bersandarkan kepada dalil & nas yang kukuh dan sahih.

Jangan guna helah untuk menghalalkan sesuatu yang jelas haram.

Para panel Syari’ah; Takut & bertaqwalah kepada Allah dalam urusan yang berkaitan dengan harta dan kewangan umat Islam ini!- jika tak boleh kita nak kata apa lagi kerana memang benda itu haram atau syubhah jangan kita pandai-pandai nak menghalalkannya pula demi satu pangkat & jawatan!

Contohnya: Jika benda tak boleh buat; kita nyatakan sebenarnya bahawa kita sudah cuba nak buat patuh Syari’ah tetapi masih lekat tak lepas beberapa persen- kena nyatakan!

Jika tidak kita akan bertanggung-jawab di Akhirat kelak!

Yahudi binasa dengan sebab helah yang banyak- hari Sabtu ikan naik mereka dilarang untuk menangkapnya.
Lalu mereka buat helah pada hari Jumaat mereka gali lubang, hari Sabtu ikan naik mereka senyap, hari Ahad mereka tangkap ikan yang terperangkap dalam lubang galian mereka, hari Isnin Allah sumpah mereka menjadi kera-monyet kemudian mati semuanya!

Monyet itu bukan asal keturuan manusia kerana mereka semuanya mati binasa selepas itu!

  1. Ayat 125- {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad)…}-
    Allah suruh berdakwah kepada jalan Allah & Allah ajar pula untuk berdakwah dengan 3 cara!

Pertama: Berdakwah pula fi-sabilillah, kepada Tuhan kamu, bukan untuk diri kita sendiri!
Sebagaimana ayat sekarang ini menunggang agama demi habuan dunia!

Maka dalam ayat ini:
i- Allah perintahkan kepada kita untuk berdakwah.

ii- berdakwah pula kepada agama Allah & Sunnah Nabi s.a.w. Bukan dakwah kepada diri kita- cari pengikut & kemasyhuran supaya orang taksub kepada kita!
Jangan tunggang agama istilah hari ini.

Selepas berdakwah jika semua orang menjadi baik, takut kepada Allah, rajin beramal ibadat tetapi tidak ingat & tak kenang kita- tak mengapa biarlah kerana dakwah kita Lillahi Taala!!!

Biarlah di sisi manusia kita tak bernilai asal kita mendapat tempat di sisi Allah!

Jika dakwah untuk diri kita iaitu mengharapkan pujian & balasan manusia kita akan kecewa & binasa!!!

Kemudian diajar pula uslub dakwah:
i- nasihat dengan penuh hikmah,
ii- kemudian dengan amaran dan peringatan yang baik,
iii- akhirnya berdebat apabila mereka tetap keras kepala.

Ingat jangan terus berdebat berbalah- berdakwah dulu dengan peringatan yang baik!
Atau jangan terus cerita tentang kena potong jika masuk Islam-

  1. Ayat 125- {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;…}- dalam ayat ini Allah ajar untuk buat semua perkara dengan kebaikan semuanya {ٱلْحَسَنَةِ}.

Allah tekankan kebaikan & kelembutan disini kerana ada orang yang keras & kasar!

Yakni kita kena guna dengan uslab kebaikan & kelembutan bukan terus dengan kekerasan dan uslub yang kasar.
Ia akan membuatkan orang benci & lari sebelum faham apa yang nak kita ajar!

Berdakwah ini ada peringkat & tahapnya sama seperti amar ma’ruf & nahi munkar!

Ia juga ada 3 peringkat- dengan kuasa jika mampu, tak ada kuasa dengan lidah, tak mampu juga dengan lidah; membenci & ingkarinya dengan hati!

Sama seperti dalam berdakwah ada langkah & tahap-tahapnya, bukan terus menghukum dan berkeras.

i- Jika orang kafir nak dengar benda baik kita mulakan dengan hikmah {بِٱلْحِكْمَةِ}, buat baik, buat kawan, ajak makan, bantu jika perlu, cerita tentang kebaikan Islam dan seumpamanya!

ii- jika orang yang sudah tahu dan dengar dah seperti orang Islam juga; kita beri peringatan {وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ} pula sehingga dia faham, memberi kesan kepada jiwa dan boleh mengalir air matanya!

iii- Jika tetap degil keras kepala juga barulah kita berdebat menyampaikan hujjah yang padu lagi mantap {وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ} kepada mereka!

  1. Ayat 126- {Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.}- jika mereka buat jahat kepada kamu boleh saja kamu nak balas seperti apa yang mereka buat- tetapi lebih baik jika kamu bersabar!

Dalam ayat ini Allah nyatakan dalam Islam boleh kita membalas perbuatan jahat seseorang itu sebagaimana perbuatannya seperti dalam hukum Qisas.

Tetapi dalam ayat yang sama Allah nyatakan jika kamu bersabar dan maafkan adalah lebih baik bagi kamu!

Sebagaimana sebuah kisah yang menyayat hati seperti yang diceritakan oleh Syeikh Atiyah  seorang mantan Qadhi di Madinah, bagaimana ketika dijalankan sesi pembalasan hukum bunuh berdasarkan Qisas di Madinah pada suatu masa; Tiba-tiba salah seorang keluarga si mati (bapanya) bangun memaafkan si pembunuh pada saat terakhir sebelum pedang dihayunkan ke leher si pembunuh.

Dia berkata sebagaimana dia maafkan si pembunuh, dia berdoa mengharapkan semoga Allah ampunkan juga dosa anaknya- peristiwa ini mengundang kesedihan & terharu semua yang hadir.

Sedangkan sebelum ini telah terjadi perundingan antara kedua keluarga meminta untuk dimaafkan pembunuh dengan dibayar diyat 100 ekor unta- tetapi keluarga si mati menolak!

Fakta: Jika seorang sahaja daripada pewaris mati memaafkannya maka ia boleh dimaafkan.

Yakni Allah amat galakkan sedekah hatta sedekah nyawa!
Amat besar pahalanya!
Kita pun begitulah kita sabarlah atas dunia ini kita tunggulah perhitungan Allah di Akhirat kelak!

  1. Ayat 127- {Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah;…}– akhir sekali Allah perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk bersabar.

Allah juga tegaskan bahawa kamu tidak akan mampu bersabar kecuali dengan hidayah & pertolongan Allah!

Kamu juga jangan bersedih jika sudah berdakwah tetapi orang tidak dengar! Kita kata alhamdulillah kita sudah menyampaikan dan menjalankan tugas.

Allah s.w.t juga menjamin Allah akan bersama kita, yakni Allah akan tolong kita, bantu kita dengan memberi hidayah-Nya!

DOA.

Alhamdulillah tamatlah sudah kuliah tafsir kita untuk surah an-Nahli ini semoga kita mendapat faedah & berkatnya.

Tolonglah kami untuk beramal dengan apa yang kita pelajari dan terus istiqomah untuk belajar & tadabbur al-Quran & mendapat kefahaman yang sebaiknya!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 04/06/2026 / 18 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=969470265903494&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top