View Categories

(23) Surah An-Nahl: Ayat 81-83

10 min read

Nikmat Bayang, Bukit, Pakaian, Tugas Nabi S.A.W Meyampaikan
& Sikap Kafir Tetap Menentang

Live Pagi Ahad 17/05/2026 / 29 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abdul Basit Abdul Rahman – Tafsir Surah An-Nahli (23) Ayat [81-83]

Full video: https://youtu.be/VdH-16gzR8c?si=3Nmb7RR7wokXFVgc

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 81 sehingga ayat 83 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang nikmatnya ada bayang yang meneduhkan dari kepanasan.

Samada bayang dari pokok atau gua yang ada di bukit, ini bagi negara yang panas bayang ini amat diperlukan.

Antara nikmat lagi ialah pakaian- samada pakaian harian kita untuk melindungi dari sejuk & panas juga baju besi- sebagai pertahanan dari senjata.
Ini adalah nikmat anugerah Allah kepada kita!

  1. Kemudian Allah menenangkan hati Nabi s.a.w, bahawa tugas Baginda s.a.w hanya meyampaikan, jika orang masih tidak mahu beriman tidak mengapa kerana Baginda telah menjalankan tugasnya.
  2. Allah juga nyatakan antara sifat buruk ialah tahu tetapi tetap lawan.

Iaitu tentang sikap kafir tetap menentang walaupun tahu kebenaran Nabi s.a.w.

Atau orang yang tahu hukum halal-haram tetapi tetap merempuh masuk juga.
Inilah yang bahaya walaupun ada ilmu tetapi tetap menolak kebenaran.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa perkara nikmat seperti pancaindera untuk mendapat ilmu, Allah suruh kita lihat kepada burung bagaimana ia terbang di udara, tempat tinggal sebagai perlindungan, nikmat bulu & kulit haiwan untuk pelbagai kegunaan.

Kemudian Allah peringatkan bahawa semua nikmat itu hanya sementara, ada tempoh kebinasaan semuanya!

ii- datang ayat ini menceritakan tentang nikmat bayang untuk berteduh serta lubang-lubang gua di bukit & gunung sebagai tempat perlindungan pula!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُم بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ ‎﴿١٨﴾

Ayat 81- {Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.} (Al-Nahl 16:81)

  1. Allah menyatakan bahawa dia mencipta sesuatu yang dapat memberi bayang-bayang untuk manusia berteduh iaitu samada:

i- bayang-bayang dari pokok {ظِلَـٰلًۭا} atau;
ii- apa saja objek yang dapat memberi bayang sebagai tempat berteduh dari kepanasan matahari.
Tetapi ia tidak memberi perlindungan dari lain-lain ancaman.

  1. Allah juga mencipta pelbagai jenis gua atau lubang-lubang yang ada di sebahagian gunung-ganang sebagai tempat-tempat berlindung {أَكْنَـٰنًۭا} yang menyelamatkan kamu dari panas, sejuk, hujan dan musuh samada bagi manusia dan haiwan.

*Suatu ketika dulu di Afghanistan penduduknya berlindung dari serangan musuh di dalam gua-gua yang tersembunyi- Tora Bora.

  1. Nikmat Allah ini mengikut keadaan iklim sesuatu tempat & penduduknya.

Oleh kerana negara Arab itu panas maka mereka amat perlu kepada bayang, perlu tempat berteduh dari matahari yang membahang.

  1. Ulama’ menyatakan perbezaan antara makna dua bayang ini:

i- zilal {ظِلَـٰلًۭا} ialah bayang yang kita boleh berteduh saja di bawahnya seperti bayang pokok dan lain-lain objek.
Tetapi ia tidak dapat memberi perlindungan kepada kita- jika ada haiwan atau hujan tetap tak terlindung!

ii- manakala aknan {أَكْنَـٰنًۭا} ialah bayang yang memberi keteduhan dan beri perlindungan seperti gua atau lubang di dalam bukit & gunung.

*Semoga Allah membuka pintu hati dan lapangkan dada untuk sentiasa suka bertadabbur al-Quran dan makin memahami al-Quran untuk menambahkan cinta kita kepada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Nikmat Allah juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian {سَرَٰبِيلَ}:

i- samada pakaian harian yang dipakai bagi memelihara kamu dari panas dan sejuk;

ii- juga menjadikan pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang iaitu jika perang zaman dulu baju besi & perisai untuk melindungi dari senjata tajam atau jaket kalis peluru pada zaman ini.

  1. Nikmat Allah yang besar ini ialah Allah sempurnakan & lengkapkan apa yang kamu perlu dari urusan kamu di dunia ini agar kamu dapat ikhlas beribadat kepada Allah.

Kemudian kamu serah diri kepada Allah, taat kepada Allah, lakukan kebaikan yang diperintah & menjauhkan diri dari larangan-Nya.

فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلَاغُ الْمُبِينُ ‎﴿٨٢﴾

Ayat 82- {Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan cara yang jelas nyata.} (Al-Nahl 16:82)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila nikmat telah diberi secara menyeluruh tetapi mereka masih kafir juga;

ii- maka jangan bimbang lagi wahai Nabi s.a.w- kamu telah menjalankan tugas kamu, Allah tidak akan murka kepada kamu.

  1. Tetapi puak kafir ini setelah mereka melihat kejadian alam ini yang begitu hebat serta pelbagai nikmat yang Allah sediakan untuk mereka dari segenap keperluan kehidupan; tetapi mereka masih tidak beriman, tetap degil keras kepala, ingkar menolak dakwah Nabi s.a.w.
  2. Maka kerja Nabi s.a.w telah selesai, Baginda telah menyampaikan dakwahnya iaitu hidayah memberi bimbingan & ajaran telah dilaksanakan.

Jangan risau dan bimbang kerana hidayah memberi petunjuk & taufiq itu milik Allah s.w.t! Hanya Allah yang berhak memberinya.

  1. Allah tidak akan murka serta tiada celaan & cercaan ke atas Nabi s.a.w kerana Baginda telah mejalankan tanggung-jawabnya iaitu menyampaikan wahyu Allah dengan jelas & nyata.
  2. Kita teruskan cinta kepada Baginda s.a.w dengan menerima dakwahnya dan mengamalkan Sunnah yang sahih.

Banyakkan berselawat ke atas Nabi s.a.w serta fahami maksud & kelebihan selawat yang kita baca itu.

Boleh dapat buku ini:
Fadhilat Selawat
https://dartaibah.com/…/Kitab-Baru-Fadhilat-Selawat…

يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ اللَّهِ ثُمَّ يُنكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ الْكَافِرُونَ ‎﴿٣٨﴾‏

Ayat 83- {Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.} (Al-Nahl 16:83)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah hantar Nabi s.a.w, ada orang yang terima, ada yang menolaknya!

ii- maka manusia yang menolaknya walaupun mereka tahu kebenarannya adalah manusia yang celaka lagi kafir ingkar.

  1. Puak kafir ini kufur nikmat Allah & nikmat yang paling besar Allah kurniakan kepada puak Quraisy pada waktu itu ialah bangkitnya & dilantik seorang rasul dari kalangan mereka. Inilah nikmat yang sepatutnya mereka syukuri dan bangga dengannya.
  2. Tetapi mereka ini ingkar kenabian Rasulullah s.a.w walaupun mereka tahu akan kebenaran itu terutamanya puak ahli kitab yang ada Kitab- sudah ada sifat Nabi dalam kitab mereka, mereka tahu tetapi tetap ingkar!
  3. Mereka terima & guna nikmat Allah tetapi mereka melakukan syirik kepada Allah!

Inilah kecelakaan yang paling besar & kita minta berlindung darinya!

  1. Kata asy-Syaukani: Allah kata {…dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.}

Maksudnya ada sebahagian mereka ingkar nikmat Allah- iaitu kebanyakan dari kafir Quraisy itu ingkar atau kebanyakan manusia yang ingkar- bukan semua kerana ada yang kafir dengan ilmu & ada yang kafir ikut-ikutan saja!

Kerana itu Allah tak kata semua puak Quraisy atau musyrikin itu ingkar!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 81- {Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya:..}– ini dalil yang kita ahli Sunnah berpegang dengannya iaitu Allah cipta manusia & juga mencipta perbuatan manusia itu!

Semua kita dan pekerjaan perbuatan kita semuanya adalah di bawah kuasa Allah s.w.t.
Allah sebut bagaimana kita orang beiman kena peka, kena pandai & tahu bahawa Allah mengajar kepada kita tentang nikmat yang besar supaya kita boleh fikir & akui tentang nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita!

Kita kena yakin apa saja perkara, kita kena kaitkan dengan kuasa Allah s.w.t!
Kuasa manusia itu lemah & amat terhad!

  1. Ayat 81- {Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh,…}-

Allah jadikan kepada kamu bayang-bayang pokok {ظِلَـٰلًۭا} untuk kamu berteduh.
Ini adalah bayang pokok atau objek-objek lain.

Kemudian nikmat juga Allah jadikan bayang dari gua & lubang bukit {أَكْنَـٰنًۭا} sebagai tempat perlindungan dan berteduh.

Kenapa Allah sebut bukit tetapi tak sebut lembah yang datang sekali bersamanya?

Jawapan: Ini kerana puak kafir pada waktu ayat ini diturunkan tidak tinggal di lembah tetapi mereka tinggal di bukit-bukit.
Maka Allah sebut nikmat yang dekat dengan mereka.

Inilah uslub al-Quran biasanya akan disebut nikmat & dibawa contoh yang dekat dengan seseorang itu agar mereka mudah nampak, mudah faham dan lebih menghayati.

Kemudian Allah kata Dia menjadikan pakaian untuk kamu berlindung dari kepanasan.
Kenapa Allah sebut panas saja tidak sebut sejuk???
Jawapannya kata ulama’:
i- sebab perkara ini berlawan- jika dengan pakaian boleh selamat dari panas maka ia juga boleh selamat dari sejuk!

ii- kerana ayat al-Quran ini turun kepada umat yang berada di negeri yang panas, bukit-bukit tiada pokok-pokok besar sebagai tempat berteduh.

Begitulah Allah akan bawa contoh yang dekat dengan orang itu.
Maka disebut panas kerana al-Quran turun kepada orang bukit yang panas!

iii- tidak disebut sejuk ini kerana pada awal ayat dulu Allah sudah sebut tentang berlindung dari sejuk- dalam ayat 5 dulu Allah kata dia cipta haiwan untuk kamu gunanya pada waktu sejuk, untuk memanaskan badan kamu dengan bulu & kulit ia.

Perbezaan tentang nikmat dalam ayat pada awal surah dan tengah surah ini:
i- Pada awal adalah nikmat yang daruri- keperluan asas seperti makan-minum, tempat tinggal asas & pakaian.

ii- manakala dalam ayat-ayat ini adalah nikmat berteduh dari panas, nikmat duduk dalam gua inilah pelengkap kepada nikmat yang asas tadi.

  1. Ayat 82- {Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan cara yang jelas nyata.}-
    Nikmat Allah hantar Nabi s.a.w kepada manusia.

Kerjanya berdakwah menyampaikan menceritakan kepada manusia tentang kebaikan, memahamkan manusia tentang ketuhanan.

Tetapi malangnya ada juga manusia yang masih ingkar dan menolaknya!

Maka Allah s.w.t tidak murka lagi kerana Nabi s.a.w telah menjalankan tugasnya dengan sempurna & lengkap kepada apa yang diperlukan manusia.

Dalam ayat ini Allah nyatakan sebab Allah tidak marah, tidak menyalahkan Nabi jika manusia tidak beriman ialah kerana Nabi telah menjalakan tugasnya!

Maka kita para pendakwah tidak perlu susah hati, berat kepala rasa terbeban; apabila kita sudah sampaikan orang tak dengar- lepas tanggung-jawab kita.

Jangan mudah koyak, gopoh & mudah putus-asa- jangan baru sekali atau dua kali berdakwah terus nak tengok kesannya dengan cepat!

Sedangkan Nabi s.a.w adalah orang yang paling pandai dan hebat berdakwah, paling sempurna uslub dakwahnya tetapi ramai juga orang yang lari tak mahu ikut.

Kerja kita bukan membuka hati manusia, kerja kita hanya untuk mengetuk pintu hati manusia- terbuka atau tidak itu kerja Allah!

Ini supaya kita tidak kecewa, tidak frust, jangan mudah perit, serik & lari dari tanggung-jawab.
Kita sampaikan, kita kempen dan dakwah- jika orang tak ikut juga kita telah lepas dari tanggung-jawab- malaikat telah menulisnya!

  1. Ayat 83- {Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya;..}-

Allah cerita perangai kafir- mereka tahu, mereka kenal Nabi s.a.w, tetapi mereka ingkar!

Zaman kita hari ini sama juga; tahu tentang kebenaran, kebaikan, tahu tentang nikmat Allah tetapi tak mahu ikut juga!

Allah cerita tetapi sebenarnya nak mencela perangai buruk puak kafir.
Ini kerana orang yang tahu tetapi ingkar lebih buruk & teruk daripada orang yang tak tahu (jahil) tetapi ingkar!

Orang yang lawan tetapi tak tahu sungguh adalah orang yang jahil & tak cerdik.

Tetapi jika lawan juga walaupun tahu betul, tetapi kena lwan juga sebab nak jaga kerusi nak jaga kedudukan!

Ingat baik-baik, atas dunia ini kita seronok ada kedudukan & jawatan- tetapi semua itu akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t kelak!

Bila berkumpul dua perbuatan berlawan ini dahsyat sekali- dia tahu tetapi ingkar maka ia lebih teruk daripada jahil & ingkar!

  1. Ayat 83- {… dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.}-
    Allah sifatkan bahawa kebanyakan mereka itu kafir & ingkar {وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ}.

Kata orang: Jika kata sudah kafir pastilah semuanya kafir mana ada kafir separuh-separuh atau sebahagian saja??

Jawapannya:
Kata ulama’ Allah sifatkan mereka itu kafir kebanyakannya kerana puak kafir yang syirik itu kafirlah mereka!

Yakni yang diambil-kira yang lawan & ingkar ini ialah kafir yang tahu, yang ada ilmu tentang kebenaran Nabi s.a.w.
Lebih-lebih lagi ahli kitab dari kalangan yahudi & Nasrani- mereka tahu tetapi tetap ingkar.

Pendapat kedua: Walaupun Allah kata kebanyakan tetapi maksudnyanya semua.
Maka kebanyakan mereka adalah kafir, kufur, ingkar, lawan Nabi s.a.w; itulah manusia yang celaka wal-‘iyazu billah.

Kita yang ada ilmu, yang tahu & beriman tentang ini- kita taat kepada Allah & perbanyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w yang telah menjalankan tugasnya menyampaikan dakwah dari Tuhan kepada hamba-Nya.


Peringatan mesra dari DDAAM:
Hari ini adalah hari terakhir bagi mereka yang telah berniat nak korban tahun ini untuk memotong kuku & buang bulu-bulu rambut yang mahu dibuang sebelum masuknya 1 Zulhijjah!
Jika ikut taqwim kita besok dijangka sudah masuk 1hb Zulhijah.

Peringatan ini untuk kita menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w yang melarang dari memotong bulu & kuku sehingga selesai haiwan korban disembelih. Tidak eloklah untuk kita melakukan apa yang telah dilarang oleh Nabi s.a.w.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 17/05/2026 / 29 ZulQa’dah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=954080880775766&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top