View Categories

(28) Surah An-Nahl: Ayat 94-97

15 min read

Janji Palsu Munafiq, Jangan Tunggang Agama, Dunia Akan Fana & Galakan Amal Soleh

Live Pagi Sabtu 23/05/2026 / 06 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (28) Ayat [94-97]

Full video: https://youtu.be/qI7FeArix7Y?si=JGs5mvgUyjkEvOYI

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 94 sehingga ayat 97 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang janji palsu munafiq, yang datang bersumpah di hadapan Nabi s.a.w untuk berbaik sedangkan dalam hati mereka sudah ada niat untuk mengkhianatinya!
  3. Allah juga memberi peringatan agar jangan tunggang agama, iaitu berjanji dengan nama Allah tetapi menipu orang sewenag-sewenangnya!
    Kita jangan terpengaruh terperangkap dengan kejahatan ini.
  4. Kemudian Allah nyatakan jangan tunggang agama untuk habuan dunia kerana dunia akan fana- banyak mana harta yang kamu kumpulkan tinggi mana pangkat yang kamu kejar semua akan ditinggalkan!

Carilah pahala & bekalan untuk Akhirat, syurga yang kekal abadi bukan habuan dunia saja!
Usahlah terpedaya dengan dunia yang akan hilang!

  1. Allah beri galakan untuk beramal soleh dan Allah janjikan balasan baik di dunia & Akhirat- amalan sedikit tetapi limpah kurnia balasan Allah amat besar & tidak sepadan!
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan larangan perjanjian & sumpah palsu secara umum.

ii- dalam ayat ini Allah ulang balik- jangan kamu buat sumpah palsu (aiman- ) khusus kepada golongan kafir- munafiq & yahudi yang datang terhegeh-hegeh di hadapan Nabi s.a.w untuk buat perjanjian tetapi sudah ada niat jahat untuk komplot sesama musuh Islam di belakang Nabi s.a.w.

Baginda s.a.w sabar untuk beberapa ketika kemudian apabila diambil tindakan mereka semua akan dibinasakan!

*Jangan kamu cuba berselindung tipu-sana tipu sini kerana segalanya akan terlondeh nanti!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ أَيْمَٰنَكُمْ دَخَلَۢا بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمُۢ بَعْدَ ثُبُوتِهَا وَتَذُوقُوا۟ ٱلسُّوٓءَ بِمَا صَدَدتُّمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ وَلَكُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ‎﴿٤٩

Ayat 94- {Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).} (Al-Nahl 16:94)

  1. Allah memberi amaran jangan kamu jadikan sumpah kamu dengan nama Allah sebagai satu tipu daya untuk memperdaya manusia agar mereka percaya kepada kamu!

Sedangkan dalam hati kamu bila ada peluang akan tipu dan ambil kesempatan atas kepercayaan orang ramai beri itu!

  1. Allah beri amaran kelak nanti kaki kamu akan tergelinci dari jalan kebenaran iaitu jalan Allah yang lurus dan terpedaya masuk ke jalan syaitan yang sesat!
  2. Amaran azab akibat sumpah & janji palsu ini kerana:

i- azab dunia akan menimpa kamu dengan sebab kamu berpaling dari jalan Allah.

ii- kamu sekat manusia dari jalan Allah ketika kamu bersumpah bohong & kamu tipu dengan janji kamu- maka mereka pun tidak percaya kepada agama Allah dengan sebab sumpah palsu kamu itu!!

  1. Itu orang kafir yang bersumpah palsu untuk mengaburi & menyamar- kita orang Islam jangan sesekali bersikap seperti sesumpah ini depan lain belakang lain!

Bertukar-tukar wajah untuk mengambil peluang dan menipu manusia!
Itu adalah sifat munafiq!

*Sesumpah atau pokko (Kelantan) adalah satu binatang yang boleh berubah warnanya ikut keadaan persekitarannya untuk menyelamatkan diri.

وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۚ إِنَّمَا عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎﴿٥٩﴾

Ayat 95- {Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit; sesugguhnya apa yang ada di sisi Allah (dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui.} (Al-Nahl 16:95)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan orang tamak untuk memiliki harta dunia, berlumba untuk perbanyakkan harta, pangkat & kedudukan- semua itu adalah sebab yang besar manusia jadi belot & suka batalkan perjanjian!

Berjanji kerana dunia batalkan juga kerana dunia!

ii- maka datang ayat ini Allah bagi amaran keras jangan buat perbuatan jahat ini- ambillah yang baik tinggalkan yang buruk!

  1. Munasabah kedua:

i- dalam ayat yang lepas juga Allah beri amaran jangan kamu bermain dengan sumpah, jangan tunggang nama Allah untuk harta, pangkat & kedudukan dunia!

ii- maka Allah nyatakan dalam ayat ini; apa yang kamu buat itulah perbuatan menjual nama Allah untuk habuan dunia yang sedikit.

Kamu tidak akan ke mana, tak dapat apa keuntungan kerana hanya sedikit yang kamu dapat dari dunia itu!

  1. Yakni Allah bwa dalil besarnya dosa bersumpah palsu itu.

Allah melarang memberi amaran agar jangan sesekali kamu bersumpah palsu, guna nama Allah, menipu untuk mendapatkan habuan dunia yang cuma sedikit dan tidak bernilai itu!
Ini jenayah besar bukan kecil & main-main.

  1. Berhati-hatilah apabila Allah sentap hantar balasannya kamu tidak akan tahu lagi ke mana akan lari, bumi mana nak dipijak, langit mana nak dijunjung- semuanya milik Allah & di bawah kekuasaan-Nya!
  2. Apa yang kamu miliki dan dapat atas dunia ini sekejap sahaja!

Carilah redha Allah atas nikmatnya dan jika kamu cari redha Allah kamu akan dapat redha Allah!

  1. Antara cara nak dapatkan redha Allah ialah kamu tunaikan janji kamu!

Jika kamu tak tunai janji keburukannya amat besar, kesannya amat parah & kamu akan dimurkai Allah dan kamu tak tahu apa sebenar yang akan terjadi!

  1. Jika sudah tiba teguran & azab Allah barulah kamu tahu apa yang akan terjadi & ke mana akhir penghujung kamu; maka jangan dok sedap hati menipu orang, berjanji bersumpah palsu sana sini!

مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓا۟ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ‎﴿٦٩﴾

Ayat 96- {(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:96)

  1. Allah berjanji bahawa balasan pahala yang Tuhan nak balas lebih besar daripada apa yang kamu kerjakan!

Jika kita lihat pahala Allah beri tak setimpal dengan apa yang kita buat!!!

  1. Contoh balasan pahala bagi sesiapa yang menjaga solat sunat rawatib 12 rakaat setiap hari Allah akan balasnya dengan sebuah mahligai di dalam syurga!

Betapa besar pahalanya kerana itu DDAAM menamakannya sebagai “Projek Mega Mampu Milik” untuk kita meraihnya insya’ Allah.

  1. Diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha, Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah S.W.T dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah S.W.T akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” [HR Muslim]
  2. Munasabah ayat:
    i- jangan kamu tunggang atau jual agama dengan harga murah kerana balasan yang kamu dapat hanya sedikit & kecil sahaja!

Contoh orang yang ambil rasuah juta-juta apabila tertangkap- kena hukum penjara puluh-puluh tahun sehingga ke akhir usia terhukum dalam sangkar besi makan roti kering!
Duit juta-jutanya dimanfaatkan orang lain!

ii- tetapi apa boleh buat jika itu jalan yang dipilih- celaka & rosaklah hidupnya.

Hidup dalam ketakutan dan kebimbangan kerana menipu atas nama Allah!

Tetapi pahala Allah amat besar dan akan kekal selamanya!

*Allah s.w.t- lah yang akan menolong kita untuk kekal istiqomah apabila bersumpah & berjanji; tak akan jual atas nama Allah atau khianat!

  1. Kita dengan dunia ini hanya dua pilihan sahaja:
    i- samada kita meninggalkan dunia – iaitu kita mati dulu,
    ii- atau dunia meninggalkan kita iaitu ia rosak dulu!
  2. Allah jamin bahawa orang yang istiqomah & sabar melakukan ketaatan, sabar dalam meninggalkan dosa maksiat & sabar menanggung ujian musibah dari Allah; akan dapat pahala yang besar di sisi Allah kelak!

*Ya Allah jadikan kami orang yang bersabar dalam tiga-tiga keadaan & dimensi ini!

مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ‎﴿٧٩﴾‏

Ayat 97- {Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:97)

  1. Munasabah ayat ini jelas:

i- Allah berjanji setelah Dia memberi amaran kepada orang yang khianat tak tunai janji!

ii- maka datang ayat ini- Allah kata jadilah orang yang baik, yang beriman & soleh.
Orang yang baik tidak akan menipu kelentong orang, orang yang baik hebat dan amat besar kedudukannya di sisi Allah!

  1. Allah nyatakan sesiapa yang melakukan amal soleh lelaki atau perempuan- maka bagi mereka balasan yang baik dari Allah s.w.t!
  2. Kata ulama’ tafsir- ayat ini ayat yang lengkap kerana Allah sebut kedua sekali lelaki & perempuan- kerana biasanya tidak disebut perempuan- kerana masuk sekali dalam sebutan bersama lelaki secara umum.
    Tetapi dengan syarat dia beriman {وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ}!
  3. Apakah amalan soleh itu?
    Menurut Syeikh Fudhail bin Iyadh rhm:
    i- pertama wajib ikhlas kepada Allah s.w.t.

ii- bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w.

Contoh: Jika amalan itu pada asalnya adalah baik seperti berzikir kepada Allah atau selawat kepada Nabi s.a.w; tetapi jika dibuat di tengah padang dengan bergendang, pasang muzik, menari atau bercampur gaul lelaki perempuan- ia adalah tidak soleh kerana tidak ikut apa yang dibuat & diajar oleh Nabi s.a.w!

  1. Antara amal soleh dalam konteks ayat kita ini ialah tunaikan janji; lelaki yang berjanji & perempuan perempuan yang berjanji; kena tunaikannya!

Dengan syarat dia juga seorang mukmin yang beriman dengan Allah & Rasul, dia percaya & membenarkan janji & amaran Allah, maka dia akan hidup di dunia dengan kehidupan yang bahagia!

  1. Dia akan merasa kemanisan iman, jinak & dekat dengan Allah, sebut nama Allah semangat, buka al-Quran semangat!
    Dia akan rasa nikmat untuk buat amal ibadat- solat rasa nikmat, berzikir rasa nikmat, baca al-Quran rasa nikmat, kuliah & tadabbur rasa nikmat!
  2. Maka Allah berjanji Allah akan beri kehidupan yang baik {حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ}.

Banyak tafsiran ulama’ tentang kehidupan yang baik ini:
i- Kata ibnu Kathir: Kehidupan yang baik itu banyak dimensi; rehat, rasa hidup tenang, dapat rezeki yang halal & rasa cukup dengan rezeki yang ada tak tamak- itu semua kehidupan yang baik & bahagia atas dunia ini!

  1. Kata Ibnu Asyur setelah dikumpulkan pandangan ulama’ tadi- semua itu- hidup tenang, dapat rezeki yang halal, anak isteri yang soleh, akhlak yang baik, tak menipu orang dan lain-lain- semua itu adalah kehidupan yang baik atas dunia ini!
    Manakala di Akhirat pastilah syurga yang menati!
  2. Sabda Nabi s.a.w:
    “Sesungguhnya berjayalah orang yang memeluk Islam, dikurniakan rezeki yang mencukupi dan dia berpuas hati dengan apa yang Allah berikan kepadanya.” [HR Muslim].
  3. Sifat qanaah (berpada) ini adalah kunci kekayaan jiwa. Ia menjauhkan seseorang daripada sifat keluh-kesah dan sentiasa bersyukur atas nikmat yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T.
  4. Yang tak tahannya duit & harta banyak tetapi masih tamak rasa tak cukup- gila itu adapelbagai- gila harta gila pangkat & kedudukan, gila mabuk, gila betina, gila membunuh dan sebagainya! Na’uzu billah!
  5. Hadis kedua- Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Tidak mengapa kekayaan bagi orang yang bertaqwa kepada Allah.
    Kesihatan bagi orang yang bertaqwa juga lebih baik daripada kekayaan, dan kebahagiaan jiwa itu termasuk sebahagian daripada kenikmatan.” (HR Ahmad).

*Tidak salah menjadi kaya jika dengan sumber rezeki yang halal & gunakannya untuk kebaikan yang memberi pahala di Akhirat kelak!

Semoga kita dikurniakan sifat taqwa, orang yang sihat jiwa & raga, berasa cukup dengan rezeki yang ada, tidak khianat & tidak menipu orang.

  1. Allah kata Dia akan balas pahala bagi orang beriman yang ikhlas beramal soleh dengan pahala yang besar sekali, lebih daripada apa yang amalan yang mereka buat di Akhirat kelak! Alhamdulillah!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 94- {Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu,…}– jangan kamu bersumpah untuk menipu & menyelamatkan diri kamu!

Ayat ini menyatakan betapa jahat & buruknya perangai orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan niat untuk menipu & memperdaya orang agar percaya kepadanya lalu dia ambik kesempatan ke atas mereka!

Kata ulama’; Sumpah ini merangkumi dalam semua perkara & urusan- dalam jual beli, perniagaan, dalam politik, pentadbiran dan lain-lain.

Maka ayat ini sekaligus Allah menyatakan amaran jangan kamu jadikan sumpah sebagai benteng untuk menipu orang, sebagai ubat untuk melariskan jualan, sebagai alat untuk goreng orang bagi menipu mereka!

Jika tidak, kamu akan tergelincir dari landasan yang baik ke dalam lembah yang hina lagi buruk!
Sekejap saja kamu dapat untung dari penipuan itu kemudian kamu akan kehilangannya!

Ada orang yang pada awalnya seorang yang baik pada zaman mudanya- kemudian terseret dalam keburukan kerana masalah perjanjian yang tidak ditunaikan!

Apatah lagi sesiapa yang bersumpah dengan nama Allah untuk tipu orang pastilah lagi dahsyat!

Allah guna analogi tergelincir kaki dari jalan yang benar amat dahsyat & menakutkan!
Apabila dah tergelincir dan jatuh macamana lagi kita nak naik semula.

  1. Ayat 95- {Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit;..}– kamu jangan jual perjanjian kamu dengan nama Allah untuk menipu orang bagi habuan, mata benda dunia yang sedikit!

Allah gambarkan bahawa sebanyak mana projek habuan dunia ini hanyalah kecil & sedikit berbanding dengan Akhirat kelak!

Kata ahli tafsir: Yakni sedikit nilainya di sisi Allah walaupun nampak besar nilainya atas dunia ini seperti berjuta-juta.
Harta dunia tak akan pergi ke mana, ia akan hilang akhirnya!

Inilah larangan keras daripada membatalkan perjanjian dalam Islam!

Allah gambarkan orang yang membatalkan perjanjian dengan nama Allah ini sebagai orang jual nama Allah dengan nilai mata benda yang sedikit!

Semua pulangan yang kamu dapat, hasil kamu tipu orang dengan nama Allah, hasil kamu dapat habuan dari sumpah palsu, walaupun kamu dapat pulangan yang sebesarnya di mata dunia; itu semua sedikit & kecil tiada nilai di sisi Allah.
Bahkan kamu akan dimurkai Allah, dapat balasan dosa dan azab dari Allah pula!

  1. Ayat 96- {(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal;…}– apa yang ada di sisi kamu itu semua akan rosak dan tidak akan kekal!
    Apa yang kekal hanya di sisi Allah.

Maka ketenangan jiwa & hati kita duduk di sini kerana banyak harta yang kita miliki atau sebanyak harta yang kita kerugian semata-mata kerana nak jaga hak Allah;

Kita jangan kecewa & sedih kerana semua yang ada atas dunia ini.akan rosak belaka.

Maka kita tunggulah pahala yang dijanjikan Allah s.w.t kerana ia amat besar dan tidak berpadanan dengan amalan kita!

  1. Ayat 96- {… dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.}– ini kerana Allah kata apa yang Dia akan beri, apa yang Allah janjikan kepada kita lebih baik daripada apa yang ada atas dunia ini!

Atas dunia ini; banyak mana harta yang kita kumpulkan akan habis, tinggi mana pangkat yang kita ada akan hilang- tetapi pahala yang Allah beri akan kekal!

Nikmat hanya sejengkal tetapi kesannya di dunia lagi begitu dahsyat & buruk sekali- apatah lagi azab siksa yang menunggu di Akhirat kelak!

Nikmat hanya sejengkal maksudnya:
i- nikmat untuk mulut– perbuatan buruk menggunakan mulut atau makan yang haram hanya sekejap itu saja dari mulut ke kerongkong sejengkal dan sekejap saja nikmatnya.

Maka jaga mulut jangan keji, umpat orang dan jangan makan-minum yang haram.
Sedapnya hanya sebentar tetapi dosa yang menunggu akibatnya berterusan!

ii- nikmat untuk kemaluan; jaga kemaluan dari perbuatan keji- larangan keras jangan hampiri zina dan perbuatan seumpamanya kerana nikmatnya juga hanya sebentar tetapi kesannya perbuatan keji itu akan menghantui sepanjang hidup atas dunia.

Apatah lagi dosa & azab yang berat di Akhirat nanti yang tidak terperi menanti!!!

Sebagaimana hadis riwayat daripada Sahl bin Sa’d R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang dapat menjamin kepadaku (memelihara) apa yang ada di antara dua janggutnya (mulut/lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), nescaya aku menjamin syurga baginya.” [HR Bukhari].

  1. Ayat 97- {Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman,…}-
    Kata ulama’ tadabbur:
    Ayat ini menggumpulkan lelaki & wanita disebut keduanya- ini adalah ayat galakan yang terbesar untuk melakukan kebaikan dalam al-Quran.

Nota [580]- Lelaki atau perempuan yang mengerjakan amal-amal yang soleh, sedang ia tetap beriman hingga akhir hayatnya, maka Allah akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik di dunia dengan menikmati sepenuh-penuh kebahagiaan meskipun ia hidup miskin; dan dia akhirat pula ia akan beroleh sebaik-baik balasan.

Sedang orang-orang kafir atau orang-orang yang tenggelam dalam maksiat, akan dihidupkan di dunia dalam keadaan resah-gelisah dan tidak tenteram jiwanya, walaupun mereka kaya-raya; dan di akhirat pula akan beroleh seburuk-buruk balasan dengan sebab kekufurannya atau maksiat-maksiat yang dilakukannya.

Tak usah bercakap besar sebanyak mana harta kamu ada, setinggi mana pangkat kedudukan kamu; jiika amalan kamu tidak baik maka dosanya sangat besar, balanya sangat berat!!

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kebahagiaan dunia bukan terletak pada harta yang banyak, pangkat kedudukan yang tinggi, anak isteri yang ramai; tetapi dengan amal soleh!

Tiada kehidupan yang baik kecuali bagi orang yang beramal soleh di dunia ini samada dari kalangan lelaki atau wanita!

Ya Allah jadikan kami dari kalangan orang yang soleh & bertaqwa, berikalah kami kehidupan dunia yang aman-damai, selamat, ikut al-Quran & Sunnah sentiasa, berakhir dengan husnul-khatimah dan di Akhirat menjadi ahli syurga-Mu!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 23/05/2026 / 06 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=959107550273099&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top