View Categories

(30) Surah An-Nahl: Ayat 101-103

15 min read

Al-Quran Menasakhkan Hukum Lama, al-Quran Bukan Rekaan Nabi S.A.W & Bukan Diajar Oleh Manusia Nasrani

Live Pagi Isnin 25/05/2026 / 08 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (30) Ayat [101-103]

Full video: https://youtu.be/DsEZswQ-J5o?si=q336wMgvUFTtXNRd

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 101 sehingga ayat 103 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang satu hukum dalam Al-Quran iaitu nasakh & mansukh; di mana al-Quran menasakhkan (hapuskan atau tukar) hukum lama yang berat kepada hukum baru yang lebih ringan.
  3. Orang kafir lalu mengatakan al-Quran adalah rekaan Nabi s.a.w yang menukarnya hukum ikut sukanya.
    Ini adalah ujian Allah ke atas orang kafir untuk melihat sejauh mana pemahaman & penerimaannya.
  4. Kafir juga menuduh al-Quran ini adalah ilmu atau kisah yang diajar oleh seorang lelaki Nasrani kepada Nabi s.a.w.
    Lalu dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t mahu membatalkan hujjah & menafikan dua tuduhan puak kafir ini!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa al-Quran diturunkan menjadi penjelas kepada segala perkara & kita diperintahkan untuk beristi’azah apabila mahu membaca al-Quran.

Iaitu membaca;
{ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ }
kerana tidak mahu dikacau oleh syaitan!

Ada beberapa lafaz isti’azah yang diajar oleh Nabi s.a.w boleh kita pelbagaikannya!

Allah juga nyatakan bahawa syaitan tak boleh kacau orang beriman yang ikhlas kerana Allah. Orang yang ikut syaitan pastilah akan dikuasainya.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan apa yang syaitan campakkan ke atas para pengikutnya- lalu mereka menimbulkan beberapa syubhat kekeliruan ke atas al-Quran.

a) syubhat atau tuduhan pertama ialah apabila Allah menasakhkan ayat-ayat al-Quran; mereka kata bahawa Nabi s.a.w yang mereka-cipta sendiri al-Quran ikut sukanya.

b) syubhat kedua ialah al-Quran diajar oleh seorang lelaki Nasrani kepada Baginda Nabi s.a.w.

  1. Lalu Allah s.w.t mengajar kepada Nabi s.a.w hujjah & cara bagi menjawab syubhat yang ditimbulkan ini!

Ini pentingnya ilmu bayan; kita kena jawab syubhat & waswas dan keraguan yang mereka ditimbulkan kerana ia adalah keracunan yang ditimbulkan oleh puak kafir untuk menimbulkan keraguan & keresahan di kalangan umat Islam agar tidak yakin & ragu kepada al-Quran & agama Islam ini!

Maklumat:
i- hari ini adalah hari yang kelapan Zulhijjah iaitu hari Tarwiyah di mana jemaah haji keluar ke Mina sebelum menuju Arafah keesokannya.

ii- esok hari kesembilan Zulhijjah Hari Arafah- jemaah haji berwuquf di Arafar- disunatkan puasa bagi mereka yang tidak mengerjakan haji.

Afdhalnya untuk kita berpuasa pada hari Isnin & Selasa iaitu 8 & 9 Zulhijjah bagi meraih pahala besar yang ditawarkan Allah!

iii- hari kesepuluh Zulhijjah- Hari Raya Aidil Adha atau Hari Nahar: Hari menyembelih korban.

iv- 11, 12 & 13 Zulhijjah (Hari Tasyriq- أيام التشريق ): Hari untuk menjemur daging korban dan meraikan hari raya.

*Pada hari-hari ini, umat Islam diharamkan berpuasa kerana ia adalah waktu untuk umat Islam menikmati rezeki dan jamuan.

Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, makan, dan minum.

iv- hari kesebelas Zulhijjah juga dipangil sebagai hari al-Qarr (يوم القَرّ)
v- hari kedua-belas Zulhijjah- juga dipanggil hari nafar awal (يوم النفر الأول).
vi- hari ketiga-belas Zulhijjah- juga dipanggil hari nafar thani (يوم النفر الثاني).

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِذَا بَدَّلْنَا آيَةً مَّكَانَ آيَةٍ ۙ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوا إِنَّمَا أَنتَ مُفْتَرٍ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ‎﴿١٠١﴾

Ayat 101- {Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta”; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.} (Al-Nahl 16:101)

  1. Allah s.w.t menyatakan apabia berlaku pertukaran satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan)- biasanya menukarkan dari hukum yang berat kepada yang lebih ringan- dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan- semuanya dengan hikmah & kebijaksanaan-Nya.

*Nasakh ini ada dihapuskan terus ayat itu berserta hukumnya, ada hukum saja tukar tetapi ayat kekal atau ada yang hukum kekal tetapi ayatnya saja dimansukhkan.

  1. Puak kafir lalu terus memberi reaksi dengan menimbulkan keraguan syubhat dengan mengatakan Rasulullah s.a.w sebagai seorang pendusta kerana menukar al-Quran ikut kehendaknya.
  2. Nota [583]- dalam al-Quran ada ayat-ayat suci yang telah dimansukhkan hukumnya dengan ayat-ayat yang lain yang mengandungi hukum yang lain disebabkan sesuatu hikmah yang dikehendaki Allah Azza wa Jalla.

Apabila berlaku penukaran ini orang-orang kafir terus menuduh bahawa Nabi s.a.w telah berdusta ke atas nama Allah.

Padahal tuduhan itu adalah disebabkan mereka jahil & tidak mengetahui hikmah penukaran itu!

Yakni mereka lawan dengan degil keras kepala tanpa ilmu!

  1. Di akhir ayat Allah kata kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.

Ini kerana urusan nasakh mansukh ini adalah urusan Allah s.w.t, dengan kehendak-Nya bukan urusan Nabi s.a.w.

  1. Yakni jika ada pertukaran semua itu adalah dengan hikmah Allah demi kemaslahatan umat Islam sendiri.
    Bukan seperti yang didakwa oleh kafir bahawa Nabi s.a.w seorang pendusta!

*Orang yang banyak belajar & mengkaji akan kuranglah kritikannya!

  1. Lalu dalam ayat seterusnya nyatakan sebab & hikmah Allah melakukan pertukaran & nasakh-mansukh itu!

قُلْ نَزَّلَهُ رُوحُ الْقُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذِينَ آمَنُوا وَهُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ ‎﴿٢٠١﴾‏

Ayat 102- {Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.} (Al-Nahl 16:102)

  1. Allah suruh Nabi s.a.w menjawab & katakan kepada puak kafir yang menuduh itu bahawa al-Quran ini bukan rekaan sesiapa.

Kemudian dinyatakan hikmah & tujuan Allah nasakh dan mansukh hukum itu.

  1. Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat.

Malaikat adalah satu makhluk yang sungguh cermat & teliti menjalankan amanah Allah dengan penuh integriti tanpa ada kecuaian!

  1. Allah nyatakan sifat & tugas al-Quran:
    i- untuk meneguhkan iman orang-orang yang berimanii- untuk menjadi hidayah petunjuk;

iii- serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.

*YAkni asalkan kita seorang Islam kita akan mendapat petunjuk dan faedah dari ayat al-Quran yang akan menguatkan iman dan memberi khabar gembira.

  1. Nota [584]- Yakni katakanlah kepada mereka: Bahawa Al-Qur’an ini yang aku bacakan kepada kamu adalah dibawa oleh malaikat Jibril dari Tuhanku untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan isinya yang mengandungi dalil-dalil tegas yang membuktikan keesaan Allah Pencipta seluruh alam, dan membuktikan kekuasaan-Nya serta keluasan ilmu-Nya; dan memberi galakan supaya memerhati dan menyelidiki alam langit dan bumi; dan berisi pula dengan undang-undang yang memajukan umat manusia meliputi akhlaknya, kebudayaannya, dan ilmu pengetahuannya, ke peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat-umat yang lain.

Kesimpulannya: Al-Qur’an bukan sahaja menjadi hidayah petunjuk bagi umat Islam untuk mencapai kemajuan di dunia dan kebahagian yang kekal di akhirat, tetapi juga membawa berita gembira kepada mereka tentang sebaik-baik balasan yang disediakan untuk mereka di sisi Allah Ta’ala.

  1. Kita kena tonjolkan balik sejarah Islam, perkenalkan tokoh-tokoh Islam yang begitu hebat dan melampaui masa pada zaman mereka itu.

Bahkan kafir & barat telah mencedok dan mengaku segala ilmu sebagai milik mereka.

  1. Ini supaya anak kita serta generasi depan nampak akan kemajuan & ketinggian agama Islam- bukan hanya agama lemah.

Kenalkan sejarah asal siapakah dulu yang menerokai dan mencipta teknologi yang canggih dalam bidang sains, matematik bahkan perubatan- semua asalnya dipelopori oleh ulama’ Islam!
Contoh seperti di negara Uzbekistan- itu tak kira ilmu & agama Syari’ah lagi!

*Akibat ditekan ditindas oleh penjajah kafir semua in terhapus & terpadam!

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ ۗ لِّسَانُ الَّذِي يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَٰذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُّبِينٌ ‎﴿٣٠١﴾‏

Ayat 103- {Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.} (Al-Nahl 16:103)

  1. Munasabah ayat: Ayat ini nak membatalkan satu lagi tuduhan jahat puak kafir kepada Nabi s.a.w serta keraguan waswas kepada orang Islam ialah bahawa al-Quran ini diajar oleh seorang manusia kepada Nabi s.a.w. Yakni datang dari sesama manusia bukan diturunkan daeri Allah s.w.t!
  2. Lalu dalam ayat ini Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab tuduhan jahat puak kafir ini- bawa Allah tahu tuduhan mereka itu dengan hujjah & fakta yang jelas bahawa dakwaan & tuduhan jahat mereka itu tidak berasas sama-sekali.
  3. Ini kerana realitinya bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya iaitu orang yang dikatakan mengajar al-Quran kepada Nabi s.a.w iaitu ialah seorang yang berbahasa asing orh ‘ajam bukan Arab, sedangkan Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata!!
  4. Tak logik sekali al-Quran yang begitu tinggi dan fasih bahasa Arabnya yang puak Quraisy pun akui keistimewaan bahasanya di reka oleh seorang bukan Arab!!!!

Jadi kita orang Islam kena sentiasa waspada, berfikir baik-baik & beringat agar tidak terperangkap dengan mainan jahat & dakyah puak kafir!

  1. Nota [585]- Kaum musyrik di Makkah tidak percaya bahawa Al-Qur’an ini diwahyukan oleh Allah Ta’ala dengan perantaraan malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sebaliknya mereka mengatakan bahawa ia diajar oleh seorang bangsa asing yang tinggal di Makkah; lalu Allah menolak tuduhan mereka yang tidak berasas itu dan menegaskan bahawa orang yang mereka katakan mengajar Nabi Muhammad ialah seorang bangsa asing yang lain bahasanya, sedang Al-Qur’an berbahasa Arab yang fasih dan amat indah susunan bahasanya yang tidak dapat dibuat oleh orang-orang Arab sendiri, apa lagi orang-orang asing yang berbahasa lain.

  1. Zaman kita ini pelik lagi, orang yang dakwa rakyat Malaysia, ada kewarganegaraan Malaysia bahkan ada yang menjadi pemimpin negara tetapi nak bercakap bahasa Malaysia pun berbelit lidah & berterabur!

Bahasa rasmi tidak dipelajari & digunakan tetapi berpegang dengan bahasa kaum masing-masing!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 101- {Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan,..}-

Kata ulama’ tadabbur apabila kita tahu bahawa al-Quran ini datang dari Allah, kita wajib mengagungkan al-Quran, meletakakkan al-Quran pada tempatnya!

Beriman dengan al-Quran & beramal dengan isi kandungannya bukan setakat untuk majlis khatam al-Quran atau dipertandingkan dalam majlis musabaqah!

Inilah talbis iblis kepada manusia yang menanamkan pegangan bahawa al-Quran bukan untuk diamalkan tetapi sekadar menjadi kitab pertandingan & perhiasan!

Tetapi apabila disebut untuk guna hukum dalam al-Quran semua pakat celik mata!

  1. Ayat 101- {Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan,…}-

Ayat ini menunjukkan bahawa memang berlakunya pertukaran antara al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain!

Ini untuk menolak keraguan yang ditimbuklan oleh puak kafir.

Ayat ini jelas kepada kita bahawa Allah sendiri yang menyatakan berlakunya nasakh-mansukh ini.

Kemudian Allah nyatakan pula sebab dan hikmah kenapa berlakunya pertukaran ini!

Semua ini samada ayat yang sebelumnya yang dimansukhkan itu turun & datang dari Allah begitu juga ayat-ayat yang baru datang juga datang dari Allah.

Yang awal Jibril bawa turun- yang baru juga Jibril bawa turun- dengan yang kedua lebih tenang & mesra untuk orang mukmin.

Ini semua kerana Allah nak meneguhkan iman & tenangkan hati orang Islam.

Contoh nasakh mansukh yang berlaku:
i- pertukaran kiblat dari Baitul-Maqdis ke arah Ka’bah di Makkah melalui penurunan ayat 144 surah al-Baqarah.

Yahudi terus menimbulkan waswas keraguan & Allah terus menjawabnya!

ii- dalam bab peperangan- Pada peringkat awal Islam, diperintahkan 1 orang Islam untuk melawan 10 orang kafir, jika ada 10 kena lawan 100 orang musuh.

Tetapi tidak lama kemudian, sekejap sahaja- Allah ringankan hukuman & bilangan itu; di mana 1 orang Islam hanya wajib lawan 2 orang kafir saja, Alhamdulillah.

Maka kita kata pertukaran ayat ini kedua-duanya datang dari Allah s.w.t , ia berlaku dengan kehendak & hikmah Allah Azza wa Jalla.

  1. Ayat 101- {… dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan,..]-

Apabila puak kafir mendengar pertukaran atau nasikh-mansukh ini; mereka terus datang mengutuk- ini rekaan pekerjaan Muhammad s.a.w- sekali kata begini sekarang ubah pula!

Seolah menunjukkan sesuatu yang tidak istiqomah! Sedangkan kedua-duanya itu datang dari Allah bukan direka oleh Nabi s.a.w!

Orang kafir ini cuba untuk attack serang Islam dari pelbagai sudut!

Kerana itu kita kena berakhlak dengan akhlak mulia!

Kita kena sentiasa beringat dan berhati-hati- jaga akhlak & sifat kelakuan kita agar tidak menjadi senjata yang makan diri & memberi peluang untuk kafir kutuk hina & menolak agama Islam.

Sedangkan ajaran Islam itu sudah cukup sempurna jangan kerana kita umatnya yang merosakkannya!

*Kisah orang Jepun yang datang melawat masjid di ibu kota kita & setuju terima terjemahan al-Quran untuk dibaca & kaji.

Tetapi malangnya apabila nak keluar masjid mereka dapati selipar mereka hilang diambil orang!

Terus mereka tolak balik al-Quran terjemahan itu & tak mahu bagi peluang terus untuk mengkaji Islam kerana dirasakan agama ini tidak cukup baik integrtitinya!

Rekaan-rekaan yang dibuat oleh puak kafir ini mereka nak menimbulkan syubhat keraguan supaya kebencian orang terhadap Islam melalui kerosakan atau perbuatan buruk atau sifat tak baik yang dibuat oleh penganutnya!

Sedangkan jika nak kira kerosakan yang dibuat oleh manusia setiap pengikut agama itu pasti ada keburukan & kejahatan orangnya!

Kerana itu kita jangan lihat orang atau pengikutnya tetapi lihat kepada agama itu sendiri!
Jika tidak tak selesai masalahnya!

  1. Ayat 102- {Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman…}-

Allah nyatakan dua-dua ayat al-Quran yang dimansukhkan & nasakh itu keduanya diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.

Kemudian Allah nyatakan sebab kenapa ditukar- iaitu untuk menguatkan hati orang yang beriman.

Kata ulama’: Ini menunjukkan diberi pulangan yang besar kepada orang Islam- mereka akan menerimanya dengan dada yang lapang, dengan hati yang tenang dan menerima hukum yang lebih ringan daripada yang asal.

Contohnya pelaksanaan puasa pada awal pensyariatannya lebih ketat dan mencabar dari segi peraturan.
Kini, ia lebih mudah dengan kelonggaran hukum yang ditetapkan Allah S.W.T.

i- Awal Islam: Umat Islam pada awal pensyariatan dibenarkan makan, minum, dan melakukan hubungan suami isteri hanya selepas berbuka sehingga waktu tidur.

Jika seseorang itu tertidur walau seketika sebelum sempat makan malam, dia diharamkan untuk makan atau minum pada malam tersebut dan wajib meneruskan puasa sehingga waktu berbuka keesokan harinya.

ii- Sekarang: Aturan ini telah dimansuhkan oleh Allah S.W.T melalui surah Al-Baqarah ayat 187. Umat Islam kini dibenarkan makan, minum, dan bersama suami isteri sepanjang malam sehingga masuknya waktu subuh.

alhamdulillah, banyak pertukaran di sini yang memberi ketenangan & keringanan kepada kita orang beriman.

Tetapi puak kafir menjadikan ini, khasnya pertukaran kiblat sebagai satu isu untuk attack orang Islam, untuk kutuk & serang Nabi s.a.w.

Maka Allah kata kamu yakinlah bahawa pertukaran itu datang dari Allah, dengan malaikat Jibril yang bawanya dengan haq & penuh kebenaran.

Ayat-ayat penguat di sini memberi ketenangan kepada kita orang beriman!

  1. Ayat 103- {Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”.}-

Allah kata puak kafir tuduh Nabi s.a.w belajar al-Quran dengan manusia.

Allah tak sebut nama orang yang dituduh mengajar kepada Nabi s.a.w al-Quran ini, sedangkan zahir tuduhan tersebut.

Ini kerana Allah tak mahu, tuju khas- spesifikkan nama khas & perbuatan itu atas seorang manusia saja- sesiapa saja yang dituduh mengajar al-Quran kepada Nabi s.a.w, hatta siapa sekalipun manusia itu atas dunia ini- walaupun seuruh manusia- semuanya adalah tuduhan palsu yang tidak betul!

Yang betulnya al-Quran itu datang dari Allah s.w.t diturunkan kepada Nabi s.a.w melalui malaikat Jibril a.s.

Walaupun ada nama yang disebut oleh ahli sejarah iaitu Jabar tetapi inipun tidak pasti- cuma yang mahu ditekankan jika dia adalah seorang Nasrani, a’jam yang bukan Arab- jadi macamaan dia boleh ajar al-Quran yang dalam lisan bahasa Arab yang begitu fasih dan tinggi nilai bahasanya!

Inilah dua syubhat yang cuba ditimbulkan oleh puak kafir;

i- pertama syubhat tentang nasakh & mansukh;
ii- keduanya syubhat tentang al-Quran datang dari mana!

Kemudian Allah ajar kepada kita cara untuk jawab & tolak tuduhan mereka itu- alhamdulillah, dengan perbezaan bahasa saja pun kita boleh jawab dan tolak tuduhan mereka itu!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Pesanan mesra DDAAM kepada seluruh umat Islam:

Esok hari Selasa 9hb Zulhijah bersamaan 26hb Nei 2026 tahun ini adalah hari Arafah yang amat digalakkan untuk kita berpusa padanya.

Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [HR Muslim (1977)]

*Puasa hanya 14 jam kita dapat kafffarah selama 2 tahun. Maka hanya orang tak cerdik saja tak mahu rebut tawaran yang diberi Allah ini!

Juga orang yang uzur & tak mampu puasa- jika mereka berniat nak puasa juga cuma tak boleh semoga Allah memberi juga pahala yang sepatutnya!

Bagi yang mampu seeloknya kita kembarkan dengan hari ini lagi sempena hari Isnin & 10 terawal Zulhijjah.
Jangan lupa ajak semua kaum keluarga anak isteri untuk turut berpuasa.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 25/05/2026 / 08 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=960637553453432&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top