Ibu Segala Kebaikan, Berlaku Adil, Ihsan Kepada Semua & Larangan Melakukan Mungkar Dan Kezaliman

Live Pagi Rabu 20/05/2026 / 03 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (26) Ayat [90]
Full video: https://youtu.be/nkMexI6j_3Q?si=Uo1vBzgQj0Kk6DXp
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan satu ayat saja iaitu ayat 90 dalam juzuk keempat-belas.
*Para ulama’ mengatakan ayat ini ialah ayat al-Quran yang terkumpul padanya lengkap arahan untuk melakukan kebaikan & larangan dari melakukan keburukan.
- Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan tentang ibu segala kebaikan, yang terkandung dalam ayat ini- arahan untuk kebaikan & larangan dari melakukan keburukan, perkara keji dan kejahatan.
*Terdapat sebuah kitab yang menarik yang menggambarkan keindahan agama ini dan pentingnya untuk kita menonjolkan kebaikan Islam dan melawan Islamiphobia.
Boleh dapatkannya di:
Keindahan Islam
https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
- Walaupun hanya satu ayat, ayat ini lengkap bermula dengan Allah perintahkan kita untuk berlaku adil, ihsan kepada semua- ihsan kepada Allah, kepada keluarga dan semua makhluk lain.
- Kemudian larangan keras dari melakukan perkara keji, mungkar dan kezaliman.
Di akhir ayat Allah kata semoga ayat ini mengingatkan kepada Allah, menerima nasihat, kebaikan & larangan. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang janji baik (وعد) untuk orang bertaqwa & amaran, janji azab (وعيد) untuk orang yang kafir & ingkar.
Amaran ini bukan biasa-biasa; Allah kata Dia akan bawa saksi di Akhirat kelak untuk perbicaraan supaya tidak ada bantahan kerana manusia ini suka mencari helah & membantah.
*Terlepas atas dunia tak semestinya bebas & selamat di Akhirat.
ii- maka datang ayat ini Allah bawa arahan yang lengkap kepada ibu segala kebaikan iaitu buat adil, ihsan dan asas akhlak kemasyarakatan dengan berbuat baik kepada keluarga, anak-beranak.
Ayat ini mengingatkan kita untuk utamakan yang dekat dulu sebelum pergi kepada yang jauh!
- Nota [576]- Allah Azza wa Jalla memerintahkan kita untuk berlaku adil (بِٱلْعَدْلِ) dalam segala perkara.
Kerana itu umat Nabi Muhammad disifatkan Allah sebagai umat yang terpilih, umat yang terbaik (أُمَّةًۭ وَسَطًۭا).
Wasota dengan makna sederhana, tak melampaui dan tak cuai, tengah-tengah & adil.
- Lihat nota [54] dalam surah al-Baqarah ayat 143: Umat Islam dijadikan oleh sebagai ummatan Wasoto iaitu umat yang terpilih lagi adil, umat pertengahan yang tidak melampaui dan cuai dalam amalannya!
Diperintahkan juga atas dasar ihsan- yakni segala perkara yang dilakukan samada mengenai ibadat atau lainnya- hendaklah dilakuan dengan sebaiknya & sesempurnanya!
Ihsan juga bererti memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan, membalas budi orang dengan sempurnanya & memmafkan kesalahan orang!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴿٠٩﴾
Ayat 90- {Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.} (Al-Nahl 16:90)
- Ayat 90 ini ayat yang lengkap.
Dalamnya merangkumi anjuran untuk berbuat 3 amalan baik ini, ibu kepada segala kebaikan:
i- Adil العدل yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Al-‘Adli dalam menunaikan haq Allah & adil dalam haq manusia dengan menjalankan yang wajib seperti tunaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak iaitu menunaikan kewajipan.
ii- Ihsan الإحسان Berbuat kebaikan dan kebajikan dalam semua perkara.
Sama ada ibadat atau perbuatan, ihsan juga memberi pertolongan bagi yang memerlukannya, membalas budi yang berbuat baik dan ia lebih kepada melakukan perbuatan sunat.
Sebagaimana firman Allah s.w.t ini menjelaskan dengan terperinci:
{Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;} (An-Nisaa’ 4:36)
iii- Memberikan bantuan kepada kaum kerabat yang memerlukan kerana merekalah yang perlu diutamakan.
Yakni yang terdekat dengan kita dulu.
Jangan kerana terlalu ghairah mencari yang jauh sehingga terlupa dan tertinggal yang dekat dan ada pertalian.
- Persamaan itu tidak semestinya keadilan. Contoh dalam bab pusaka yang Allah telah tetapkan.
- Allah kata Dia menjadikan kita Ummatan wasatha {أُمَّةًۭ وَسَطًۭا۟}- maknanya: Umat terpilih, yang adil dan menjaga agama.
Yakni umat pertengahan yang tidak melampau & tidak cuai dalam perjalanan agama.
- Sebagaimana firman Allah:
{Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil…} (Al-Baqarah 2:143) - Ayat 90 juga mengandungi larangan daripada 3 perbuatan buruk ini:
i- Perbuatan keji iaitu fahisya’: فحشاء yakni keji seperti rogol, liwat zina dan seumpamanya.
Perbuatan jahat ini mungkin nampak atau tidak (zahir atau batin) lebih kepada masalah peribadi dan maruah diri.
ii- Munkar: منكر segala perbuatan maksiat yakni melanggar larangan Allah S.W.T. Perbuatan jahat ini yang nampak (zahir) & tersembunyi dilarang oleh Syara’ dalam semua sudut.
iii- Baghyi (kezaliman) بغي melampaui dan tidak meletakkan sesuatu pada haknya.
Zalim kepada orang jika mampu berlaku adil adalah satu dosa yang berat sekali.
Doa orang yang kena zalim akan termakbul suatu hari nanti.
Zalim juga boleh jadi ke atas diri sendiri dengan kufur & syirik kepada Allah!
- Kata Ibnu Mas’ud r.a: Ayat ini mengumpulkan asas segala kebaikan dan mengumpulkan segala perkara buruk dan jahat untuk kita jauhi!
- Kata Qatadah rhm.:
i- Tidak ada perkara & akhlak yang baik yang dilakukan oleh puak Arab jahiliyah dulu kecuali Allah suruh kita buat & kekalkannya; contoh seperti menghormati tetamu.
Hadis: Rasulullah S.A.W bersabda:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
ii- tidak ada perbuatan yang buruk yang keji yang mungkar kecuali Allah s.w.t suruh kita tinggalkannya!
Dari Ali bin Abi Talib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pemurah, Dia suka kepada sifat pemurah dan ketinggian akhlak, serta membenci akhlak yang rendah (buruk).” [HR At-Tabarani & al-Hakim- sanadnya baik].
- Kisah yang menarik dari kitab Tafsir Ibnu Kathir & Riwayat:
Ada seorang yang bijak pandai di kalangan Arab yang bernama Aktham ibn Sayfi al-Tamimi (أكثم بن صيفي التميمي)- cendikiawan Arab, ahli Sya’ir yang panjang umurnya.
Dia menjadi tempat rujukan bagi orang ramai.
Kemudian pada suatu hari dia dengar bahawa Nabi akhir zaman sudah muncul.
Setelah mendengar tentang kemunculan Nabi Muhammad S.A.W dan ajaran Islam, Aktham bercadang untuk pergi sendiri ke Madinah bagi menyiasatnya.
Walau bagaimanapun, kaumnya menghalang beliau berbuat demikian kerana kedudukannya sebagai ketua dan tokoh yang sangat penting.
Aktham kemudiannya menugaskan dua orang wakil yang cerdik daripada kaumnya untuk berjumpa Rasulullah S.A.W dan mendapatkan jawapan kepada dua persoalan asas:
“Siapakah kamu?” dan
“Apakah yang kamu bawa?”
Di Madinah, kedua-dua utusan tersebut mengemukakan soalan itu.
Nabi S.A.W menjawab:”Aku adalah Muhammad bin Abdullah.”
“Aku adalah hamba Allah dan pesuruh-Nya.”
Nabi S.A.W kemudian membacakan Surah An-Nahl ayat 90 ini yang bermaksud:
{Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan… sehingga akhir}.
Utusan tersebut berulang kali meminta Baginda mengulangi bacaan ayat itu sehingga mereka menghafalnya.
Apabila mereka pulang dan membacakan ayat tersebut kepada Aktham, beliau mengakui ketinggian mesej Islam dengan berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (Nabi Muhammad S.A.W) mengajak kepada akhlak yang mulia dan melarang perbuatan yang keji.”
*Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa Aktham bin Saifi meninggal dunia dalam perjalanan ketika dalam usaha untuk berhijrah ke Madinah bagi memeluk Islam.
Dikatakan bahawa Allah S.W.T tetap memberikan ganjaran ke atas niat hijrah beliau berdasarkan Surah An-Nisa ayat (100).
*Betapa dalam satu ayat ini- ajaran agama Islam yang lengkap telah dapat difahami & diterima orang.
Perintah dan ajaran untuk melakukan kebaikan dan segala perintah larangan bagi perbuatan buruk.
Cukuplah ayat ini sebagai satu pengajaran.
- Allah perintahkan kita untuk berlaku adil.
Adil yang sebenar bukan hanya sekadar persamaan, tetapi memberi setiap orang akan haknya.
Menunaikan kewajipan dan tanggungjawab adalah keadilan, adil dalam menunaikan haq Allah & adil dalam menjaga haq sesama manusia.
Persamaan itu tidak semestinya keadilan.
*Contoh dalam bab pusaka yang Allah telah tetapkan serta perbezaan hak & tanggung-jawab antara lelaki dan wanita dalam Islam.
Orang kafir cuba memperjuangakan persamaan jantina sesuatu yang jelas bertentangan dengan fitrah kejadian manusia!
- Ihsan pula adalah galakan untuk membuat segala kebaikan dan kebajikan yang lebih daripada kewajipan.
Ihsan juga ikhlas dalam ibadat- yakni kita buat ibadat seolah-oleh kita nampak Allah atau Allah nampak kita, Allah tahu apa yang kita buat- maka kita akan cuba yang terbaik!
- Allah telah tetapkan ihsan dalam semua perkara termasuk:
i- dalam cara untuk menyembelih haiwan.
Hadis Rasulullah S.A.W bersabda:”Sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan supaya kamu berbuat baik (ihsan) dalam segala perkara.
Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik.
Apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik.
Hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan (memudahkan) haiwan sembelihannya.” [HR Muslim]
ii- ihsan kepada kedua ibu bapa, ihsan kepada orang tua & memudahkan urusan orang yang berhajat, ihsan kepada orang yang berhutang yang benar-benar tidak mampu dan banyak lagi!
! Ihsan ini amat luas skopnya tak cukup masa untuk kita bincangkan dalam waktu yang singkat!
Hadis- Daripada Aisyah r.a:
“Nabi S.A.W tidak pernah membalas kejahatan seseorang dengan kejahatan yang sama, tetapi Baginda memaafkan dan mengampunkan.” (HR al-Bukhari)
- Kita juga kena buat baik kepada keluarga. Berbuat baik kepada keluarga & kaum kerabat kita akan dapat dua darjat pahala; pahala sedekah & pahala buat baik kepada keluarga!
Utamakan keluarga terdekat yang juga memerlukan & layak untuk menerima bantuan- bukan kroni atau nepotisme.
- Islam juga melarang dari buat perkara yang keji- keji di sini ialah sesuatu yang haram dan merosakkan maruah seperti zina, mencuri, minum arak dan lain-lain dosa peribadi yang mungkar dan dibenci Syara’.
- Yang ketiga ialah larangan dari menjadi orang yang zalim. Ingat baik-baik jika kita zalim dalam keluarga, masyarakat, peringkat negeri atau negara- semuanya akan dilaknat & mendapat dosa besar.
- Hadis daripada Abu Bakrah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada suatu dosa yang lebih layak untuk disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia ini kepada pelakunya – di samping azab yang turut disediakan untuknya di akhirat kelak – daripada dosa melakukan kezaliman dan memutuskan silaturahim.” (HR Abu Daud, At-Tirmizi, dan Ibnu Majah).
Begitulah hujung jatuh orang yang zalim!
- Kesimpulannya:
i- Adil itu ialah kita menunaikan yang wajib
ii- dan ihsan menambahkanya lagi,
ii- manakala keji mungkar zalim itu ialah semua yang Allah larang & melakukannya bererti telah melanggar Syari’at Allah maka dia jadi zalim! - Di akhir ayat Allah kata; Semua ini, Aku suruh, Aku larang supaya kamu ingat kepada arahan & peraturan Allah maka kamu akan jadi manusia yang baik!
Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang soleh dan hamba yang baik!
Wallahu a’lam.
Penutup & Faedah #
- Ayat 90- {Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat;…}- ayat ini telah mengumpulkan banyak hukum-hakam, arahan & larangan walaupun ia hanya pendek.
Kata Ibnu Mas’ud r.a: Ayat yang mengumpulkan banyak kebaikan & keburukan dalam al-Quran ialah ayat ini!
Kata al-Hasan al-Basri apabila dia membaca ayat ini:
“Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengumpulkan kebaikan semuanya dalam ayat, Allah juga telah mengumpulkan keburukan semuanya dalam ayat ini juga.
Boleh dihurai & ditafsir dengan panjang lebar.”
*Kata DDAAM: Ayat ini menjadi ayat yang disukai oleh para jemaah solat Jumaat kerana menandakan akan berakhirnya khutbah Jumaat, mana yang lena akan celik matanya.
Pada asalnya ia bukan masuk dalam sunat khutbah Jumaat pun tetapi ayat ini disuruh baca pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz untuk menutup pintu fitnah dan ucapan yang tidak berfedah.
- Ayat 90- {Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil,..}- agama Islam ialah agama yang adil bukan hanya persamaan!
Contoh: Jika kita nak beri duit belanja sekolah untuk tiga orang anak yang berlainan umur- sekolah rendah, sekolah menengah & kolej.
Bukan keadilam jika semuanya dapat duit poket yang sama RM5 sehari, itu hanya persamaan- kerana keperluan mereka tidak sama & kos berlainan.
Begitu juga lelaki & perempuan tidak sama; kerana itu melanggar tabi’e jika berkahwin sesama jantina.
Islam adalah agama keadilan!
Puak human right duduk menuntut persamaan dalam beberapa perkara yang memang tidak logik akal & tidak sepatutnya.
Tuan rumah & tetamu juga tidak sama kedudukannya!
Adil ialah kita beri kepada orang apa yang sepatutnya kita beri & larang apa yang sepatutnya kita larang.
- Ayat 90- {Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan (ihsan)..}- Ihsan lebih tinggi daripada adil!
Adil kita beri kepada orang cukup-cukup haknya!
Manakala ihsan kita beri lebih daripada yang septutnya!
Contoh: Adil ialah bayar hutang orang sebanyak yang kita ambil.
Ihsan ialah bayar lebih tanpa dipinta atau beri hadiah tanda berterima-kasih.
Islam juga menyuruh ihsan dalam menyembelih haiwan, jangan sampai menyiksa & menyakiti mereka tanpa perlu.
Bukan seperti pembunuhan haiwan yang dibuat oleh bukan Islam lebih kepada kezaliman dan kekejaman!
- Ayat 90- {.. serta memberi bantuan kepada kaum kerabat…}- Kamu kena buat baik kepada keluarga.
Kata ulama’: Ini adalah dalam hubungan silaturrahim- semua kaum kerabat dan keluarga yang terdekat. Ibu bapa, datuk nenek, anak cucu, adik beradik, ibu bapa saudara, sepupu-sepapat dan semuanya!
Sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
“Tidak ada suatu dosa yang lebih layak untuk disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia ini kepada pelakunya – di samping azab yang turut disediakan untuknya di akhirat kelak – daripada dosa melakukan kezaliman dan memutuskan silaturahim.” (HR Abu Daud, At-Tirmizi, dan Ibnu Majah).
Ayat ini memanglah satu ayat yang mengumpulkan segalanya dalam al-Quran.
- Ayat 90- {.. dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.}- ayat ini juga mengumpulkan tiga perkara yang buruk iaitu perbuatan keji {ٱلْفَحْشَآءِ} dalam bab peribadi, mungkar {وَٱلْمُنكَرِ} dan kezaliman {وَٱلْبَغْىِ}.
Di akhir ayat Allah kata: {Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.}- yakni semua ini Allah sebut agar hati kamu lembut, akur dan beriman kepada Allah, taat & patuh kepada perintah & larang Allah s.w.t.
Sebab benda mungkar, keji yang dibuat akan dihitung, dihisab & diazab lg Allah s.w.t!
Doa kepada akhlak yang baik:
للَّهُمَّ اهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْI
وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, berilah aku petunjuk kepada akhlak yang paling baik—tiada yang memberi petunjuk kepadanya melainkan Engkau; dan jauhkanlah daripadaku akhlak yang buruk—tiada yang dapat menjauhkannya daripadaku melainkan Engkau.”
Serta jauhkan kami, keluarga kami dan semua pelajar kami dari segala sifat keji & mungkar serta sebarang bentuk kezaliman sesama manusia.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 20/05/2026 / 03 Zulhijjah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=956700460513808&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
