View Categories

(2) Surah al-Israa’: Ayat 1 – 3

14 min read

Live Kuliah Pagi Isnin 08/06/2026 – 22 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (02) Ayat [01-03]

Full video: https://youtu.be/yJe50tWbA2g?si=1NztesrHIeM5jOSQ

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 01 sehingga ayat 03 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam tiga ayat pertama ini Allah s.w.t nyatakan satu peristiwa besar yang Allah anugerahkan kepada Nabi s.a.w iaitu mukjizat Al-Isra’ wa Al-Mi’raj.
    Ini adalah dua perkara yang berbeza dalam satu malam yang sama.
  3. Isra’ ialah perjalanan malam di mana Allah bawa Nabi s.a.w dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjid Aqsa yang diberkati di Palestin.
  4. Kemudian Allah nyatakan kepada kita satu nikmat besar iaitu Taurat diturunkan kepada Nabi Musa A.S.

Kita umat Nabi Muhammad s.a.w juga wajib bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita!

  1. Dalam siri muqaddimah kita telah bincangkan kaitan atau munasabah antara surah al-Isra’ ini dengan surah an-Nahli sebelumnya.

Ini untuk menunjukkan bukti & dalil bahawa al-Quran ini semua datang dari sumber yang satu, semua datang dari Allah s.w.t kerana itu tiada percanggahan dan kekeliruan yang timbul.

*Jika bumi ini ada Tuhan lain selain daripada Allah sudah lama rosak binasa bumi ini; kerana ini kita yakin & percaya bahawa Allah saja yang maha berkuasa atas dunia ini & malaikat adalah sebagai pegawai-Nya yang bertugas.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ‎﴿١﴾

Ayat 1- {Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Israa’ 17:1)

  1. Maha Suci Allah {سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ}- kita mensucikan dan membersihkan Allah dari segala sifat kekurangan & segala kelemahan yang tidak layak bagi-Nya.
    Bebas dari segala keperluan dan dari segala sekutu.
  2. Allah s.w.t memulakan surah ini dengan Subhana (Maha Suci Allah) untuk menceritakan tentang satu peristiwa yang besar iaitu:

i- Allah telah membawa berjalan {أَسْرَى}
ii- hambaNya Nabi Muhammad s.a.w {بِعَبْدِهِ} bukan yang lain;
iii- pada suatu malam {لَيْلًۭا} iaitu sebahagian dari malam itu saja.

Yakni Allah sendiri yang berfirman menyatakan bahawa Dia yang bawa Nabi s.a.w berjalan itu!

  1. Peristiwa besar itu berlaku pada suatu malam, iaitu Isra’ dan mikraj:

al- Isra’ {الإسراء}- maksudnya Rasulullah s.a.w dibawa berjalan malam, iaitu dari Masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada satu malam.

  1. Disebut Masjid Aqsa sebagai masjid yang jauh, sebelum ini namanya Masjid Iliya.

Kenapa jauh? Kerana akan ada masjid yang dekat selepas itu iaitu Masjid Nabi s.a.w di Madinah, ini menunjukkan satu mukjizat al-Quran.

  1. Ulama’ berbincang pula tentang dari manakah bermula perjalanan itu:

i- ada yang berpendapat ia dari Masjidil Haram, iaitu dari masjid itu sendiri.

Ibnu Kathir bawa hadis dari Anas yang mengatakan Isra’ bermula dari Masjidil Haram ketika Nabi s.a.w sedang duduk bersandar di Hijir Ismail.

ii- ada yang berpendapat bahawa ia bermaksud dari Tanah Haram- bukan dari Masjidil Haram itu sendiri.

Kerana ada riwayat yang mengatakan Isra; berlaku ketika Nabi s.a.w sedang berehat di rumah sepupunya Ummu Hani.
Ini pendapat kebanyakan ulama’ tafsir.

iii- kemudian datang sekumpulan ulama’ lain seperti Imam al-Hafiz Ibnu Hajar yang nak mengumpulkan antara dua pendapat ini.

Iaitu ketika Nabi s.a.w sedang tidur di rumah Ummu Hani dekat Syiab Abu Talib, kemudian datang malaikat yang membawanya ke Masjidil Haram dan dari situ mereka naik Buraq menuju ke Masjid al-Aqsa.

  1. Manakala Mi’raj {والمعراج}- pula bererti Nabi s.a.w dinaikkan dari Baitulmaqdis ke langit menuju beberapa tingkat hingga langit yang ketujuh terus ke Sidratul-Muntaha.
  2. Peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah mukjizat yang telah berlaku kita tidak boleh sesekali mempertikaikannya.

Boleh baca kisahnya yang sahih dalam Kitab Sirah ini:

Tahzib Sirah. https://dartaibah.com/…/Cetakan-Baru-2024-Edisi…

  1. Kemudian Allah menyatakan bahawa Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya; iaitu diberkati negeri Palestin itu dengan udara yang bersih, sungai yang mengalir jernih, buah-buahan yang subur seperti pokok tin & zaitun yang disebut dalam al-Quran.
    Ia juga menjadi tempat tinggal ramai para nabi & orang soleh.
  2. Disebut Masjid Aqsa sebagai masjid yang jauh, kerana akan ada masjid yang dekat selepas itu iaitu Masjid Quba dan Masjid Nabi s.a.w di Madinah.

Ayat ini juga menunjukkan kelebihan Masjid Aqsa kerana hanya 3 masjid yang digalakkan untuk pergi ziarah sebagaimana hadis Nabi s.a.w.

  1. Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:
    “Tidak sepatutnya bersusah payah untuk keluar menziarahi ke mana-mana kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Baitul-Maqdis)”. (HR Bukhari).
  2. Allah telah menjanjikan bahawa pahala solat:
    i- di Masjidil Haram (di Makkah) 100,000 kali ganda,
    ii- di Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) 1000 kali ganda,
    iii- manakala di Masjid al-Aqsa (di Baitul-Maqdis) adalah 500 kali ganda.
  3. Kemudian Allah nyatakan objektif atau matlamat besar peristiwa itu ialah untuk memperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t {لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ} untuk menguatkan keimanan dan keteguhan hati Baginda s.a.w.
  4. Kita semua ahli Sunnah & Jamaah memilih pendapat yang percaya bahawa Allah s.w.t bawa Nabi s.a.w Isra’ & Mikraj ini dengan roh & jasad Baginda s.a.w. Bukan dengan roh saja atau melalui mimpi semata seperti yang didakwa sebahagian orang. Kita tak terima pendapat ini!
  5. Kerana itu apabila puak Quraisy cuba mendustakan dakwaan Nabi s.a.w ini dan mereka mengujinya dengan bertanya kepadanya berapa pintu yang ada di Masjid al-Aqsa.

Lalu Allah buka penglihatan Nabi s.a.w- seolah nampak skrin yang jelas seperti google map hari ini kita kata!
Lalu Baginda dapat menjawab semua pertanyaan musyrikin itu dengan tepat & jelas!

  1. Kemudian Allah s.w.t Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui tentang apa saja yang berlaku terhadap Nabi s.a.w.
    Allah tahu apa yang Baginda s.a.w kata, dengar dan buat.
  2. [602] Ayat ini menjadi dalil tentang peristiwa Israa’ junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa dengan roh dan jasadnya.

Tentang peristiwa “Mi’raaj” pula ada disebutkan dalam surah An-Najm (surah ke-53 nanti.).

Peristiwa Israa’ dan Mi’raaj bukan sahaja tersebut di dalam Al-Qur’an, tetapi juga di dalam hadith-hadith yang sahih: Bukhari, Muslim, dan lain-lainnya.

  1. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Najmi, dari ayat 11 sehingga ayat 18:
    {Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.
    Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.} (An-Najm 53: 17-18)
  2. Para ulama’ Sunnah berbeza pendapat pula apakah Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t secara direct dengan mata kasarnya atau tidak?

i- majoriti ulama’ ahli Sunnah dan para sahabat berpendapat Nabi s.a.w tidak melihat Allah secara lansung.
Tetapi Baginda berkata-kata secara lansung dengan Allah s.w.t.

ii- tetapi Nabi s.a.w telah melihat ayat-ayat tanda kebesaran Allah, antaranya ialah Baginda telah melihat malaikat Jibril a.s dalam rupanya yang asli di sisi Sidratul Muntaha.

  1. Hadis Isra’ Mikraj yang sahih, yang panjang ada diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam hadis yang bernombor: 162.

Boleh juga baca peristiwa ini secara detail dalam pelbagai Kitab Sirah yang sahih atau boleh lihat rakaman kuliah DDAAM tentangnya.

وَآتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا مِن دُونِي وَكِيلًا ‎﴿٢﴾

Ayat 2- {Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): “Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)”.} (Al-Israa’ 17:2)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat pertama Allah s.w.t menyatakan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w yang mendapat anugerah Isra’ & Mikraj!

ii- kemudian datang ayat ini Allah nyatakan pula keistimewaan Nabi Musa a.s yang menerima kitab Taurat secara lansung juga dari Allah s.w.t.

  1. Nabi Muhammad s.a.w berkata-kata dengan Allah di atas langit manakala Nabi Musa a.as juga berkata-kata dengan Allah di Tur-Sina, keduanya membaw berkat kepada umat masing-masing.

Kisah dua Nabi ini dikembarkan dalam satu cerita bersama kerana mukjizatnya yang ajaib ini.

  1. Allah nyatakan bahawa Dia telah jadikan satu kitab kepada bani Israil sebagai hidayah petunjuk untuk menjadi panduan bagi mereka.
  2. Nota [603] Yakni sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w diberi sebesar-besar kemuliaan dengan dibawa Mi’raaj ke langit serta bermunajat dengan Allah Ta’ala, dan juga telah diberikan Kitab Al-Qur’an yang menjadi petunjuk ke jalan yang adil dan betul untuk seluruh umat manusia – maka demikian pula halnya Nabi Musa a.s telah pergi ke Gunung Tursina, dan telah bermunajat dengan Allah Ta’ala sehingga digelarkan “Kalimullah” serta diberikan kepadanya Kitab Taurat untuk menjadi hidayah petunjuk kepada kaumnya: Bani Israil.
  3. Kemudian Allah berpesan jangan kamu ambil Tuhan lain selain daripada Allah s.w.t.

Ayat ini adalah seruan tauhid- di mana semua para nabi itu membawa ajaran & aqidah tauhid yang murni kepada Allah s.w.t!

Tauhid yang suci murni daripada sebarang kekeliruan dan syubhat!

  1. Inilah pentingnya para pendakwah menjaga masyarakat dari terjebak dengan kesyirikan- bukan kerja kita nak mensyirikkan orang.

Kena faham dengan jelas di sini- jangan mudah-mudah nak membuat label & tuduhan terhadap orang!

ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ ۚ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا ‎﴿٣﴾

Ayat 3- {(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.} (Al-Israa’ 17:3)

  1. Kemudian Allah menyeru kepada manusia yang asalnya beriman yang datang dari bahtera Nabi Nuh a.s yang selamat dari bala bencana kemusnahan azab Allah.

Umat Nabi Nuh terbahagi dua- yang beriman naik bahtera & selamat, yang tak beriman tak mahu naik kapal termasuk anaknya binasa tak selamat!

  1. Nota [604] Seruan ini ditujukan kepada Bani Israil supaya mereka mengenang nikmat Allah yang telah menyelamatkan datuk nenek mereka semasa taufan dahulu, di dalam bahtera bersama-sama Nabi Nuh.

Yakni patuhilah perintah-perintah Allah yang telah melimpahkan nikmatNya itu, dan contohilah Nabi Nuh yang sentiasa taat dan bersyukur.

Sebab itulah ia bersama pengikut-pengikutnya yang diselamatkan oleh Allah dari bahaya taufan yang mengerikan itu.

  1. Allah nyatakan Nabi Nuh ini adalah seorang hamba Allah yang sangat bersyukur!

Maka ikutlah jejak langkahnya dengan bersyukur kepada Allah & jangan sesekali buat syirik kepada Allah!

Siapa syirik dia cari pasal & cari kemurkaan Allah s.w.t!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 1- {Maha Suci Allah yang telah…}-
    Allah s.w.t memulakan surah ini dengan Subhana- Maha Suci Allah untuk membersih & menyucikan Allah daripada segala sifat kekurangan yang tidak layak bagi-Nya.

Ini kerana kes ini berat, pasti orang kafir akan menolak & mendustakan peristiwa ini; maka untuk menolak dakwaan orang yang mahu mendustakan peristiwa ini- lalu Allah nyatakan bahawa Allah yang Maha berkuasa, yang suci daripada segala sifat kekurangan & kelemahan yang menjalankan Nabi s.a.w dari Makkah ke Baitul-Maqdis- kenapa kamu masih nak menolak & percayanya??!!

Ayat ini satu Kiamat besar bagi Nabi Muhammad s.a.w dan Allah kembarkan kisah dua Nabi untuk menyatakan Nabi Musa juga diberi kemuliaan yang sama oleh Allah.

Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w dibawa berjalan malam & diangkat ke langit oleh Allah dan berkata-kata dengan Allah secara lansung; begitu juga Nabi Musa berjalan dari kampungnya menuju ke Tur Sina untuk bermunajat, menerima Taurat & berkata-kata dengan Allah s.w.t secara direct.

Inilah kisah dua nabi yang dikembarkan sebagaimana kitab al-Quran & Taurat dikembarkan kerana keduanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

  1. Ayat 1- {Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)…}– Allah sebut dengan perkataan HAMBA-NYA, kepada Rasulullah s.a.w, bukan nabi atau rasul-Nya.

Kata ulama’ tadabbur: Allah guna perkataan ini adalah gelaran atau sifat teringgi Rasulullah s.a.w, sebagai seorang hamba-Nya.

Maqam al-Ubudiyyah adalah maqam tertinggi yang Allah anugerahkan kepadanya dan nabi-nabi lain.

Para rasul itu adalah Rasulullah dan hamba Allah!

Kita juga begitu hamba Allah yang taat kepada Allah & ikut Sunnah Rasulullah s.a.w- insya’ Allah selamatlah kita!

  1. Ayat 1- {Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari…}-

Allah kata Dia perjalankan Nabi s.a.w dalam sebahagian malam yakni peristiwa itu berlaku dalam satu malam sahaja.

Ia pula berlaku sepanjang malam itu tetapi hanya pada sebahagian malam saja.

Malaikat Jibril bawa Nabi s.a.w naik satu kenderaan yang dinamakan Buraq yang begitu laju.

Buraq ialah sejenis binatang yang lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada kuda.

Ayat ini menjadi dalil bahawa Rasulullah s.a.w Isra’ & Mikraj dengan jasadnya bukan hanya bermimpi.
Jika hanya bermimpi tak pelu naik Buraq pergi begitulah saja!

Isra’ ini dikatakan dari Masjidil Haram sendiri atau dari rumah Ummu Hani sebagaimana yang telah kita bincangkan di atas.

Maksudnya ini pula dikatakan masjid yang jauh (dari Masjidil Haram) kerana selepas itu akan ada masjid yang dekat iaitu Masjid Nabawi di Madinah yang akan dibina selepas dari itu!

  1. Ayat 1- {…. ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, ..}- maksudnya bumi yang Syam diberkati.

Diberkati ini adalah:
i- dari sudut nikmat & rezeki yang banyak seperti yang kita sebut dia atas tadi.

ii- dari sudut dakwah itulah pangkalan bagi beberapa orang nabi bermula dengan nabi Ibrahim a.s dan anak cucunya; Ishaq, Ya’qub, Yusuf dan lain-lain, ramai nabi yang duduk di Baitul-Maqdis.

Dalam al-Quran ada 5 ayat yang menunjukkan berkatnya Bumi Syam ini:

i- {Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya.} (Al-A’raaf 7:137)

ii- {Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya…} (Al-Israa’ 17:1)

iii- {Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.} (Al-Anbiyaa’ 21:71)

iv- {Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Anbiyaa’ 21:81)

v- {Dan – di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran),…} (Saba’ 34:18)

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t meletakkan keberkatan itu boleh jadi pada masa, tempat, orang dan lain-lain.

Allah nyatakan tujuan Allah anugerahkan peristiwa Isra’ adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya di bumi & di langit!

Bagaimana Rasulullah s.a.w berjumpa para nabi di bumi & dilangit dan melihat malaikat Jibril dalam rupa aslinya di atas langit!

Yang terbesar sekali ialah munajat kepada Allah s.w.t & menerima perintah solat 5 waktu!

  1. Ayat 3- {(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)!..}–
    Allah menyeru orang yang beriman dan menyatakan bahawa kamu orang beriman ini datang dari zuriat Nabi Nuh a.s.

Allah menyatakan bahawa manusia yang beriman ini datang dari zuriat Nabi Nuh a.s. Mereka ini yang naik bahtera bersama Nabi Nuh lalu selamat dari azab Allah dulu yang memusnahkan semua orang yang tidak beriman!

Kerana itu Nabi Nuh ini dipanggil sebagai bapa manusia yang kedua, Nabi Adam sebagai bapa manusia yang pertama.

Kemudian terputus sekejap pada zaman Nabi Nuh di mana semua manusia yang kafir tidak beriman, Allah musnahkan dalam banjir besar.

Manakala yang beriman & naik bahtera bersama Nabi Nuh selamat dan dari keturunan mereka inilah lahir generasi yang beriman seterusnya!

Tetapi apa boleh buat syaitan ini tak duduk diam selepas itu syaitan datang kacau lalu manusia menjadi kufur pula!

Nabi Nuh dipilih Allah sebagai seorang nabi yang hebat- panjang sangat perjalanan dakwahnya, Allah s.w.t yang Maha Kaya & mengetahui akannya!

Bilakah tarikh Isra’ Mikraj:

Tidak disebut bilakah tarikh yang tepat berlakunya Isra’ dan Mi’raj; maka banyak sekali pendapat ulama’ tentang bilakah Isra’ dan Mi’raj ini:

i- Ada yang kata ia berlaku pada tahun awal Kenabian, ada kata tahun ke 5 kenabian, ada kata pada 27 Rajab tahun ke 10, bulan Ramadhan tahun ke 12, ada kata bulan Muharam tahun ke 13 dan macam-macam lagi.

ii- Imam an-Nawawi saja ada 3 tarikh yang berlainan dalam bulan Rajab. [Ar-Rahiqul Makhtum].

Yang penting tiada tarikh yang spesifik yang disebut dalam al-Quran atau hadis yang sahih tentang bilakah malam Isra’ Mikraj ini!

Maka tidak perlu kita sibuk-sibuk berbalah tentang bilakah tarikhnya kerana Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak menyebutnya dengan jelas.

Ini juga supaya kita tidak keterlaluan menyambutnya kerana ia bukanlah perbuatan Nabi s.a.w & para sahabat, tetapi mengadakan kuliah untuk mengajar tentang peristiwa ini sambil mengambil iktibar & pengajaran tidak mengapa!
Tak perlu tunggu tarikh tepat seperti 27hb Rajab sahaja.

Boleh baca perbincangan penuh tentangnya di:
Tarikh Al-Isra’ Wa Al-Mu’raj.
http://abuanasmadani.blogspot.com/…/tarikh-israk-dan…

Peringatan tentang nama anak:
i- apabila sebut tentang Nabi Nuh kita teringat; molek dah letak nama nabi tetapi ikut orang putih pula panggilannya.
Nama Nuh dipanggil Noah (No-wah); sedangkan jelas dalam al-Quran Allah namanya adalah Nuh (نوح) dalam hadis Nabi s.a.w pun disebut Nuh.

Jadi dinasihatkan paggillah nama itu dengan sebutan yang betul iaitu NUH- walaupun sudah tertulis sebagai Noah dalam sijil tidak mengapa.

ii- juga terdapat trend bubuh nama anak nama malaikat seperti Mikail atau Mikayla dan seumpamanya.

Semua itu pula bukan perkataan dari asal bahasa Arab sedangkan peminat malaikat Mikail ini adalah golongan yahudi yang anti malaikat Jibril!

Harap kita semua berhati-hati dalam memilih nama anak-anak dengan menyemaknya dulu dari sumber yang sahih & orang-orang alim.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 08/06/2026 – 22 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=972854372231750&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top